Wednesday, March 28, 2018

Mini Novel 2018 - Tuan Haji Esmael (T.H.E) - Part 4


T.H.E - PART 4

Part 4

            Ibu yang sedang memasak di dapur mengerling Nur Annisa yang baru melangkah masuk ke ruang dapur bersama-sama dengan Ahmad Aish dan Ahmad Atif. Muka ibu masih masam mencuka sejak kejadian semalam. Nur Ain yang sedang memotong sayur di meja dapur terus bangun dan naik ke atas rumah.

            “Awat dok sembang berdua dengan Tuan Haji dekat pondok tu? Awat dok tunjuk gatai sangat?” Ibu mula bersuara, sinis sekali. Nur Annisa mengeluh perlahan.

            “Nisa duduk situ, Pak cik yang datang teguq. Nisa tak buat apa-apa pun ibu. Tengah cerah. Abah pun dok ada kat luaq tu.” Nur Annisa menjawab dengan teratur. Ibu merengus kasar.

            “Menjawab. Belajaq tinggi sampai pandai nak menjawab dengan aku.” Ibu mula naik suara. Nur Annisa mengeluh lagi.

            “Tak ibu. Nisa minta maaf. Apa salah Nisa sampai ibu marah sangat dengan Nisa.”

            “Dok tanya lagi? Aku pi mana-mana harini semua dok mengata aku ni tak reti ajaq anak. Dok biaq anak dok jauh dok bagi belajaq tinggi, alih-alih dok buat tak tentu hala bila balik kampung. Panas telinga aku ni Nisa.”

            “Nisa belajaq tinggi sebab nak banggakan ibu dengan abah. Nisa nak jadi contoh buat adik-adik. Nisa nak tolong ibu dengan abah. Salah ka ibu? Nisa tak dak buat dosa apa. Fitnah semua tu.”

            “Fitnah apa kalau orang dah nampak? Hang jangan nak tipu aku lagi dah. Aku dah tak percaya apa. Dari dulu lagi hang ni macam-macam. Lepas hang buat taik, hang dah rampas bakal suami kak Ain. Kak Ain tu dah berkorban macam-macam hang tau dak. Senang ja hang balik sini hang buat pasai.” Ibu terus memarahi Nur Annisa. Nur Annisa sudah bermain air mata.

            “Habih tu ibu nak Nisa pi dari sini ka? Macam tu?”

            “Kalau hang paham baguih la. Aku dah penat dengan hang.” Ibu terus naik ke atas. Meninggalkan Nur Annisa yang sudah berendam air mata.

            ‘Kalau itu yang ibu nak.’ Nur Annisa kemudian terus ke biliknya. Baju di dalam almari dikeluarkan dan terus dimasukkan ke dalam beg. Hati Nur Annisa kecewa. Amat kecewa. Tidak sangka ibunya langsung tidak percaya akan dirinya. Kiranya pemergian dia selama dia belajar jauh dari keluarga lebih menggembirakan ibu? Begitu? Sungguh dia kecewa.

            “Hang nak pi mana dengan beg semua ni?” Abah menegur sebaik sahaja Nur Annisa keluar dengan beg bajunya. Abah yang baru pulang dari solat Asar di surau.

            “Nisa nak pi Ipoh. Kawan Nisa kata ada kerja kosong dekat sana.” Ujar Nur Annisa. Ya, sebelum dia membuat keputusan untuk menetap di kampung selama satu tahun, dia telah pun menerima tawaran kerja sementara di Ipoh, Perak. Kawan sebilik di Universiti yang carikan kerja itu untuk dia. Tetapi disebabkan hatinya mahu menetap di kampung, jadi tawaran itu ditolak. Selepas ibu mahu Nur Annisa keluar dari rumah, terus sahaja kawannya dihubungi, mujur sahaja kerja itu masih menunggu dia.

            “Hang dok mengarut apa ni Nisa? Jangan dok buat malu aku.” Suara abah sudah naik satu oktaf.

            “Ini yang terbaik bah. Nisa ni tak ubah macam kambing hitam dalam keluarga kita. Nisa rasa, baik Nisa keluaq dari rumah ni.”

            “Habih tu yang hang setuju nak nikah dengan Tuan Haji dua minggu lagi tu apa dia pulak? Hang ni Nisa jangan dok buat pasai!” Abah sudah merah muka menahan marah. Nur Annisa kembali teringat perbincangannya dengan Tuan Haji Esmael.

            “Tuan Haji layaknya untuk Kak Ain bukan Nisa. Tak pa nanti Nisa cakap sendiri dengan Tuan Haji.” Nur Annisa mahu melangkah pergi, namun abah merentap tangannya, menahan dia dari pergi.

            “Abah tak izin hang keluaq dari rumah ni. Kalau hang betui nak keluaq jugak, hang keluaq malam ni lepas hang nikah dengan Tuan Haji.” Abah terus mengeluarkan telefon dan menghubungi Tuan Haji Esmael. Abah mengatur pernikahan yang dirancang dua minggu lagi ke malam ini. Nur Annisa terpempan. Abah!

            “Apa abang buat ni? Dia nak keluaq biaq pi dekat dia. Yang pi kalut nak bagi nikah dengan Tuan Haji tu pasai apa?” Ibu mula bersuara, sebaik sahaja mereka satu keluarga berkumpul di ruang tamu rumah petang itu.

            “Tuan Haji dah melamaq dia nak buat jadi isteri. Kita dah setuju. Kalau Nisa keluaq rumah, pi mana pun kita tak tau. Macam mana dengan janji kita dengan Tuan Haji? Hang nak kita tambah malu ka?” Abah kembali menyoal ibu yang sudah mencemberut wajah. Nur Annisa menunduk menekur lantai rumah. Seburuk itukah yang telah dia lakukan kepada keluarganya?

            “Ain yang patut kahwin dengan Tuan Haji, bukan Nisa.” Nur Ain mencelah.

            “Betui, itu yang kita rancang dari dulu lagi.” Ibu menambah. Abah menggeleng kepala laju.

            “Dah tak dak jodoh depa dua. Kira beruntung kita ni Hanem, Tuan Haji nak jugak jadi besan kita. Hang pun tau, kita ja beria nak Ain kahwin dengan Tuan Haji tapi Tuan Haji tu tak tau setuju ka tak lagi. Apa-apa pun, malam ni lepas isyak Nisa akan bernikah dengan Tuan Haji. Imam semua aku dah bagitau.” Abah membidas kata-kata Nur Ain dan ibu. Semua yang ada hanya diam dan mendengar sahaja. Keputusan telah abah putuskan, siapa lagi mampu mengubahnya?

            Selepas solat isyak, Nur Annisa duduk bersila di atas sejadah. Masih bertelekung. Baju kurung putih, persalinan nikah yang dihantar oleh pemandu Tuan Haji lewat petang tadi dipandang sepi.

Ya, dia  bersetuju untuk menerima Tuan Haji Esmael kerana saat ini itulah yang terbaik. Jodoh yang baik.Namun jauh dalam hati, ada sesuatu yang menolak yang menyebabkan dia berat hati. Nur Ain. Memikirkan Nur Ain yang langsung tidak bertegur sapa dengan dia menyebabkan dia berat hati.

Masih jelas dalam ingatannya, saat dia menerima keputusan yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), betapa tegar Nur Ain meremukkan hatinya.

“Aku nak hang keluar dari rumah. Hang pastikan ibu dengan abah hantaq hang pi asrama. Aku meluat nak tengok hang dok rumah ni. Hang ingat tu.” Tanpa sebab yang jelas dan munasabah Nur Ain menghalau Nur Annisa pergi.

Nur Annisa menyentuh lembut persalinan nikahnya. Air matanya menitis di pipi. Mungkin air mata yang terakhir di rumah ini. Tidak mahu membuang masa Nur Annisa bingkas bangun dan bersiap. Bersiap sedia menjadi isteri kepada Tuan Haji Esmael.

            “Kenapa tergesa-gesa?” Soal Tuan Haji Esmael selepas selamat mereka dinikahkan. Nur Annisa sekadar menggeleng kepala. Tuan Haji Esmael sekadar mengeluh perlahan. Orang kampung mula membuat cerita. Ada sahaja mulut yang mahu mengata. Ada juga yang sampai sanggup ke rumah Tuan Haji Esmael semata-mata mahu menyampai cerita yang entah dari mana asalnya.

            “Tekak sakit lagi ka?” Tuan Haji Esmael memancing Nur Annisa untuk membuka suara. Nur Annisa memandang Tuan Haji Esmael dengan pandangan yang kabur dengan air mata. Tuan Haji Esmael sudah cuak.

            “Lah… toksah dok menangis la. Sat gi orang kata saya buat apa dekat Annisa.” Tuan Haji Esmael gelabah. Nur Annisa mencebik, air mata yang mula mengalir di sapu dengan belakang tangan.

            Sebaik sahaja tetamu semua beransur pulang. Giliran Tuan Haji Esmael untuk meminta izin untuk pulang ke rumah dan membawa Nur Annisa bersama-sama dengannya.

            “Cik Man. Saya bawa Annisa balik rumah saya ya. Cik Man jangan kisahkan orang kata apa. Kita tau apa yang betui apa yang salah. Pekakkan saja. inshaAllah saya akan jaga Annisa sebagaimana Cik Man jaga dia.” Tuan Haji Esmael memeluk erat tubuh abah. Abah menepuk belakang Tuan Haji Esmael perlahan. Air mata abah yang mengalir cepat-cepat abah kesat dengan tangannya.

            “Abah serah Nisa dekat Tuan Haji ya. Baik buruk dia, abah harap Tuan Haji terima. Kalau sampai satu masa Tuan Haji rasa Nisa ni hanya menjadi beban, hantaq balik elok-elok dekat abah ya.” Pesan abah, pesanan yang membuatkan Nur Annisa yang tadi sudah berjanji kepada dirinya tidak lagi mahu menangis, kini kembali berendam air mata.

            “Nisa minta abah dengan ibu halalkan makan minum Nisa. Halalkan semua yang abah dengan ibu bagi dekat Nisa sepanjang Nisa belajaq. Terima kasih ibu lahirkan dan besarkan Nisa. Maafkan Nisa ibu.” Tangan abah dicapai dan dicium. Saat ingin mencapai tangan ibu, ibu terus melangkah pergi. Ibu langsung tidak bersuara mahu pun memandang Nur Annisa. Nur Annisa terluka.

            “Biaqlah. Nanti Nisa balik sini selalu ya. Bukan jauh pun rumah kita.” Pesan abah sebelum Nur Annisa masuk ke perut kereta. Nur Annisa melambai tangan ke arah keluarganya. Hanya ada abah, Nur Alia, Nur Aishah dan Ahmad Aish serta Ahmad Atif. Ibu dengan Nur Ain langsung tidak menampakkan muka. Nur Ameena masih belum tahu cerita.

            “Kenapa tergesa-gesa? Maaf kalau asyik tanya soalan yang sama.” Tuan Haji Esmael menyoal lagi di dalam kereta, soalan yang sama. Nur Annisa menyapu pipinya yang basah dengan air mata. Bibir terukir senyuman tawar.

            “Awat? Pak cik percaya orang kampung kata pasai saya tu ka?” Nur Annisa menebak. Telinganya pedih mendengar tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya. Hanya kerana abah mengatur pernikahan mereka secara tiba-tiba.

            “Saya pun manusia biasa Annisa. Saya nak tau saja. Bagi senang hati saya.” Tuan Haji Esmael sudah bersuara tegas. Mungkin terkesan dengan kata-kata Nur Annisa.

            “Kalau saya kata hat depa kata semua tu betui. Pak cik nak buat apa?” Nur Annisa membalas dengan sinis. Hatinya sendiri terluka dengan semua tohmahan itu. Dia juga tahu Tuan Haji Esmael sudah ragu-ragu dengan dirinya. Tuan Haji Esmael beristighfar panjang.

            “Saya tak percaya. Saya tau Annisa orang yang macam mana.” Masih tegas dan tenang. Nur Annisa tersenyum lagi, masih tawar.

            “Kalau tak percaya kenapa dok tanya? Kalau tak rasa ragu mesti tak tanya. Tak apalah. Terpulang. Lepas ni kalau nak buang saya pun saya terima.” Nur Annisa membalas, berjauh hati. Tuan Haji Esmael menarik nafas panjang.

            “Bukan macam tu. Saya cuma tanya. Bila saya tanya abah, abah kata kena cepat ja. Risau juga saya pasai apa.” Tuan Haji Esmael berjeda. Menyusun ayat agar Nur Annisa tidak terluka.

            “Kalut nak menikah sampai orang kampung kata saya ni dah mengandung. Kan? Saya tau pasai Cik Hussin pi rumah pak cik habaq saya ni dah mengandung dan tengah cari pak sanggup. Betui dak?” Nur Annisa mencelah saat Tuan Haji Esmael mahu menyambung kata. Tuan Haji Esmael menelan liur.

            “Tak apalah pak cik. Sedangkan ibu pun buang saya, tak heran kalau suami saya pun buang saya. Mana ada lelaki yang nak jadi pak sanggup, Omar pun nak kahwin anak dara.” Nur Annisa sudah seakan mati rasa.

            “Istighfar Annisa. Cerita betul-betul dekat saya, apa yang jadi sebenaqnya.” Tuan Haji Esmael yang sedang memandu cuba memujuk hati Nur Annisa. Jauh benar yang difikirkan Nur Annisa.

            “Ibu sebenaqnya nak kak Ain yang kahwin dengan Pak cik, bukan saya. Bila Pak cik kata nak kahwin dengan saya ibu marah. Kak Ain pun. Ibu suruh saya keluaq dari rumah. Macam yang saya selalu buat. Pergi jauh dari depa semua. Jadi, saya nak keluaq kalau itu yang gembirakan hati ibu. Abah tak bagi, abah kata saya boleh keluaq tapi sebagai isteri pak cik.” Nur Annisa teresak-esak menangis. Tangannya menekup wajahnya.

Tuan Haji Esmael mengangguk perlahan. Hati dia juga terasa sayu mendengar cerita itu. Tegarnya mak cik Hanem menghalau Nur Annisa hanya kerana bukan Ain menjadi pilihan dia. Tuan Haji Esmael menggosok belakang tubuh Nur Annisa memujuk isterinya dari terus menangis.

“Saya tau pak cik pun ragu-ragu kan. Terima kasih sebab tetap datang dan terima saya jadi isteri. Terima kasih.” Nur Annisa memandang Tuan Haji Esmael. Hanya senyuman dan anggukan yang diberikan.

‘Kalau Annisa tahu betapa gembiranya hati saya malam ni. Terasa penuh saat ijab dan qabul dilafazkan. Terasa bahagia saat Nur Annisa mencium tangan saya. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa saya cintakan Nur Annisa.’ Hati Tuan Haji Esmael berbisik sendiri. Senyumannya terukir, lebar dan kian lebar saat Nur Annisa memeluk lengannya sepanjang perjalanan itu.

‘Terima kasih Tuan Haji Esmael. Terima kasih kerana jadi wira buat Nur Annisa kedua kalinya. Terima kasih. Nisa akan bahagiakan Tuan Haji. Nisa janji.’ Nur Annisa berjanji dalam hati, sambil tangannya mengeratkan lagi pelukan.

to be continue next 2 weeks.
sorry! abc balik kampung dulu.

7 comments:

Siti said...

Will miss thiss...huhu
2 minggu...lama tu

Rararawr said...

😭😭😭😭😭

akubersamacahya said...

xsabaq. abc nk pi dok Kat bendang. amek angin bendang. Blk Dr kg abc post part seterusnya ya. tq!!!

aTie said...

Aduh.. Lamanya nak nunggu... Apa2 pun selamat balik Kg ABC... Kampung Best... Kan

Kak Id said...

Alahai sweetnya THE... Mesti rindu kat THE dua minggu ni

Unknown said...

Bestnyaaa..dah lama tak baca abc tulis..ni pon tau dr ig abc...keep it up abc...

akubersamaCahya said...

Ya i saw ur comment on ny ig. Hahaaa baca N&N sementara tunggu THE isnin nanti hehe

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders