Alhamdulillah.
dah tengah hari.
16hb Februari 2012
abc dah janji nak post cerpen kedua untuk Februari kan?
baca dan komen yek!
+++++++++++++++
Setelah dua kali aku bermimpi aku berkahwin,
aku tekad membuat solat hajat serta solat istikharah. Aku cuba mencari maksud
mimpiku itu, namun pelbagai tafsiran di internet membuatkan aku makin keliru
dan resah. Ada yang kata dimurahkan rezeki ada yang kata akan sibuk dan ada
juga yang kata ajal makin hampir, astagfirullah! Itu yang aku takutkan. Belum
cukup amalan untuk aku bawa. Allah, panjangkan umurku.
Sudah seminggu hal itu berlalu, hari
ini, sebaik pulang daripada mengajar, penuh kereta diperkarangan rumah. Mak
buat kenduri ke? Debaran dihati terjawab, benar telahan ‘gatal’ aku waktu dalam
kereta, orang datang meminang!
“Dah ada kata putus?” Suara mak
mengejutkan aku yang sedang menelek cincin belah rotan itu. Aku hanya tersenyum
memandang ibu.
“Dah, tapi mak macam mana? Okay ke?”
Mak menarik tanganku dan menggosok perlahan dan penuh kasih sayang.
“Mak dah lama tunggu masa ni. Semua
adik beradik atas Aishah semua dah kahwin, Aishah aje belum. Dah 30 tahun umur
kamu, dah sesuai dan patut.” Aku tersengih malu. Terlupa usianya dah mengjangkau
30 tahun bulan lalu.
“Lupa.” Ujarku. Mak menarik hidungku.
“Tu lah kerja aje. Tak pikir masa
depan.” Aku menjuih bibir. Bukan tak fikir, tak ada calon.
“Cakap-cakap jugak, setuju tak?” Mak
menyoal lagi, dengan malu-malu aku mengangguk perlahan. Mak mengucap syukur,
dan menyarung cincin belah rotan itu ke jari manisku. Aku membelek jariku yang
tersarung cantik dengan cincin tanda itu. Mak mula melangkah keluar dari
bilikku.
“Eh, mak…”
“Apa lagi Aishah?” Mak berkerut dahi
melihat aku tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Gambar bakal suami Aishah takde?” Mak
ketawa kecil, aku pula berkerut dahi.
“Kamu ni Aishah, hari tu dia datang
sekali kan? Tak tengok ke?” Mak masih dengan sisa tawanya.
“Ada ke? Tak perasan la Mak, yang
mana?” Mak menggeleng perlahan melihat aku yang tergaru-garu kepala yang tidak
gatal.
“Yang duduk dekat dengan pintu tu,
yang tengok kamu tak kelip tu?” aku ternganga.
“Yang gelap tu eh Mak?” Mak bantai
gelak besar.
“ Dah setuju kan, ye lah gelap sikit,
tapi badan besar tu…” Mak mengusikku lagi. Aku mencebik lagi. Tak payah gambar
pun dah cam. Serius, tak senyum. Macam terpaksa kahwin aje. Tapi tak nafi
memang ‘tough’! I loike!
………………………………………
Majlis berjalan seperti yang aku
inginkan. Disebabkan faktor usia, aku tidak mahu bertunang, terus sahaja akad
nikah. Kenduri pun hanya kenduri kesyukuran dan doa selamat. Mak bantah juga,
abah? Ikut aku aje. Adik beradik semua tak kisah. Mak kata biar meriah, sekali
seumur hidup. Tapi aku tak mahu, yang penting nikah kan? Pihak lelaki pun
setuju dengan rancangan aku. Alhamdulillah, sekali lafaz, aku kini sah menjadi
isteri kepada Muhd Firdaus bin Harun.
Upacara pembatalan air sembahyang
yang paling aku berdebar. Waktu itu, saat itu adalah pertama kali kami
bertentang mata. Dalam tempoh persediaan majlis iaitu 3 bulan, kami tidak
pernah berbual, apatah lagi bertemu. Mak dan ibu dia yang jadi perantaraan. Mak
selalu membebel, tapi aku pulak pandai bagi alasan dan mengugut jugak, ugut tak
jadi kahwin. Biasalah segan dan takut nak bercakap dengan stranger!
“Aishah duduk sana, jaga diri. Nanti
abah uruskan pertukaran sekolah Aishah.” Mak mula bersuara, saat itu aku dan
suami sudah siap untuk pulang ke kampungnya. Selepas ini, aku akan jadi salah
seorang penduduk Kampung Tempoyak, Kuala Nerang. Aku tau tempat tu, jauh di
pelosok utara Kedah! Tapi aku suka kampung, pelajar-pelajar dia mesti baik dan
tekun. Aku dah biasa buat latihan mengajar di kawasan kampung. Akhirnya impian
nak mengajar anak-anak kampung tercapai. Yeah!
“Aishah tau mak. Mak dan abah halalkan
makan minum Aishah ye, sepanjang mak abah jaga Aishah.” Aku sudah menahan air
mata dari mengalir. Mak memelukku erat. Tangan abah aku salami, begitu juga
dengan Firdaus dan kemudian kami memulakan perjalanan yang hanya mengambil masa
4 jam. Iye lah, aku tinggal di Tanjung Malim, Firdaus Kuala Nerang, tak jauh
pun!
Sepanjang perjalanan, kami berdua
hanya ditemani suara DJ radio. Dia senyap aku lagi la senyap. Walaupun aku
seorang cikgu, tapi aku memang pendiam, tambah pula dengan seseorang yang baru
aku kenali. Keadaan yang sepi ini seperti malam-malam sepanjang di rumahku.
Waktu dengan abah dan mak serta adik-adik, dengar juga suara dia, tapi dengan
aku sepi. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Kenapa? Aku tak tahu dan tak paham!
“Awak kena kahwin paksa ke dengan
saya?” Aku mula bersuara. Firdaus mengelingku disebelah sekejap.
“Kenapa tiba-tiba tanya macam tu?”
Suara garaunya membuat hatiku berdegup laju. Sungguh macho!
“Awak macam tak suka dengan saya.
Sebab tu saya tanya macam tu.” Firdaus hanya berdiam diri. Jawab tidak, marah
tidak, semua tidak. Aku mengeluh kecil. Radio aku kuatkan volumenya dan kemudian aku terus memejam mata. Tidur lagi seronok
daripada senyap macam orang bisu!
Kereta yang terasa terhenti
membuatkan aku terjaga daripada lena. Bunyi pintu kereta ditutup membuatkan aku
terus membetulkan duduk. Sudah sampai. Aku betulkan tudungku yang senget,
kemudian barulah aku keluar daripada kereta. Di tangga rumah, kelihatan ibu
sudah menunggu. Ayahnya sudah 10 tahun meninggal dunia. Ibu tinggal sendiri
dengan Firdaus. Dari usia 18 tahun Firdaus sudah bekerja, kerja kampung,
menoreh getah, usahakan sawah, bela ayam ternak lembu kambing dan macam-macam
lagi. Sebabkan perkerjaan dia tu, adik beradik semua menyoal aku banyak dan
berulang kali. Abah terutamanya.
“Aishah betul terima?” Abah menyoal
lagi. Kali ini waktu kami semua sedang menonton televisyen. Tadi masa berkebun
depan rumah abah dah tanya. Aku berkerut dahi.
“Betullah abah, Aishah kira, dah 10
kali abah tanya, mak 9 kali along angah ateh, semua lah, asyik tanya soalan
sama. Aishah terima Firdaus tu. Sepenuh hati. insyaAllah. Kenapa?” Aku menjawab
penuh keyakinan.
“Aishah tahukan, dia kerja kampung,
belajar takat SPM aje. Aishah ada master. Ingat tu. Sebab tu kami semua tanya,
tak nak di masa depan ada masalah sebab hal ni.” Aku tersenyum dan menggeleng
perlahan.
“Aishah belajar tinggi sebab suka
belajar. Bukan sebab nak bezakan diri Aishah dengan orang lain. insyaAllah.
Selagi dia bernama suami, tunai kewajipan sebagai suami yang baik, Aishah akan
hormatkan dia. Doakan Aishah ye.” Aku memandang semua ahli keluargaku yang ada,
mohon agar semua mendoakanku. Mak memelukku erat.
………………………
Semua beg pakaian aku telah siap
diangkat oleh Firdaus. Ibu yang ditangga aku hampiri dan salami penuh hormat.
Dahiku dikucup penuh kasih sayang.
“Penat Aishah?” Firdaus yang berada
dibelakangku terus sahaja memotong jawapanku.
“Tak penat lagi, berdengkuq sepanjang
perjalanan bu.” Ibu mencubit lengan Firdaus sehingga dia mengaduh sendiri. Aku
mencebik.
“Tidur la, dah diam aje.” Aku
merungut, ibu ketawa melihat kami berdua.
“Biaqkan dia Aishah, dia memang diam
sikit. Tapi kalau dah lama-lama, banyak mulut jugak.” Aku hanya tersenyum
mendengar kata ibu. Firdaus hanya menjeling tak puas hati.
Kami sampai pada jam 3.00 petang, ibu
telah siapkan makan tengah hari. Selesai aku mandi dan solat, aku menelefon mak
dan abah, untuk memberitahu bahawa aku telah selamat sampai di rumah Firdaus.
Selepas itu, aku keluar ke dapur. Dari luar bilik, sudah kedengaran suara Ibu
dan Firdaus berbual-bual. Boleh pulak bercakap, dengan aku bisu aje.
“Ha… Aishah, mari kita makan
sama-sama ye. Ibu masak ikan keli sambai. Mak habaq Aishah suka?” Aku
mengangguk dan terus duduk di kerusi berhadapan dengan Firdaus. Firdaus tika
itu sudah diam tidak bersuara. Bisu balik!
“Suka, kalau ibu masak mesti Aishah
lagi suka.” Aku cuba mengambil hati ibu mertuaku. Baru seminggu kan. Mesti
tunjuk baik sikit. Firdaus mencebik.
Sepanjang waktu makan, hanya bunyi
pinggan sahaja, sepi. Aku perasaan ibu memandangku dan Firdaus. Sepi. Tidak
keluar sepatah pun.
“Nah,
makan ulam ni Aishah, elok untuk kesihatan.” Ibu meletakkan ulam berbuas ke
dalam pingganku. Alamak!
“Aishah
tak makan ulam daun-daun ibu. Maaf.” Ibu mengangguk faham, tapi Firdaus tak.
Dia mengambil daun berbuas lagi banyak dan terus meletakkan ke dalam pingganku,
kemudian terus mencedok sambal belacan ke atas ulam. Aku memandangnya dengan
pandangan terkejut.
“Dah
kahwin dengan saya, duduk rumah ni, kena makan semua, tak boleh pilih.” Ibu menggeleng
kepala. Aku menggenggam tangan di bawah meja. Geram! Takkan nak buang pulak?
Apa kata ibu. Aku hanya mengangguk dan terus menjamah sedikit demi sedikit.
Hampir terkeluar air mata menahan pahit dan pelik rasa ulam berbuas. Aku betul
tak makan, bukan mengada-ngada. Ulam yang aku makan macam timun, jantung
pisang, kacang kelisa, itu aje. Yang daun-daun hijau memang tak!
“Toksah
makan Aishah, nak termuntah ja muka tu ibu nampak. Nak seksa bini kau ni kenapa
Daus?!” Ibu menyelamatkanku, di ambil semua ulam yang berbaki. Firdaus yang
selesai makan, terus sahaja bangun dan ke sinki membasuh tangan dan pinggang
makannya.
“Belajaq
la makan, bukan mati pun kan.” Firdaus menyindir lagi. Kenapa dia macam tak
suka aku? Aku memandangnya sepi.
“Sabaqlah
Aishah, Daus memang lagu tu. Angin tak kira masa, tapi dia baik. Ibu kenai
dia.” Aku meneguk air perlahan dan mengangguk faham.
………………………..
“Air
kat kampung ni ada masalah sikit Aishah, bilik ayaq takdak air. Aishah nak amik
wuduk boleh pi kat bilik ayaq kat luaq tu, ada perigi.” Ibu memberitahuku
sewaktu aku mahu mandi malam itu. Waktu maghrib dah masuk, petang tadi seronok
sangat ikut ibu pergi bendang, sampai terlupa nak mandi awal.
Aku
menjenguk keluar rumah dari pintu dapur. Gelap gelita! Aku menelan air liur,
terasa keras pulak. Aku pandang ibu yang sedang memasak.
“Gelap
la bu…” Aku mengadu.
“Takut?”
Ibu menyoalku. Aku mengangguk perlahan dengan riak muka mintak belas.
“Firdaus….”
Ibu melaung panggil Firdaus. Alamak! Mesti kena bahan. Terdengar derap kaki
Firdaus di atas rumah.
“Suruh
Daus temankan ye.” Aku tak tahu nak kata apa.
“Awat
ibu?” Soal Firdaus memandang aku dan ibu yang berada di pintu dapur tika itu.
“Teman
Aishah, dia nak mandi, luaq tu gelap.” Firdaus memandangku tajam. Dia mengambil
pelita yang terletak elok di para di dapur dan nyalakannya.
“Jom.”
Ujarnya sepatah sebaik menyarung selipar. Aku hanya membontoti langkahnya.
Sampai dia depan pintu bilik air tu, dia berhenti. Dia memandangku dan aku
pandang dia kembali.
“Kenapa?”
Soalku.
“Kenapa
apa? Awak yang nak mandi, masuk lah. Takkan nak teman sampai dalam.” Aku
termalu sendiri. Tapi gelap?
“Nah
ni…” Firdaus memberikan pelita itu kepadaku, setelah melihat aku terjenguk-jenguk
ke dalam bilik air itu setelah menolak daun pintunya.
“Awak
tunggu sini tau.” Aku menunjukkan tempat kami berdiri sambil berpesan, takut
dia masuk ke dalam rumah. Seram weh!
“Iye,
cepatlah, lama sangat nanti saya tinggal.” Firdaus memberi arahan dan ugutan!
“Tunggu
tau…” Aku pesan lagi dan terus melangkah masuk. Air perigi betul-betul menguji
diriku. Dah lama tak rasa, dulu masa Tok Abah ada selalu jugak balik kampung
mandi perigi tapi perigi dalam rumah, tak takut macam ni. Selesai membasahkan
diri, aku mencari-cari sabun untuk membersihkan badan. Tapi…
“Ahhhhhh……”
Aku terjerit sendiri, setelah terpicit katak yang aku sangka sabun. Terus
sahaja ketakutan menjerat diriku. Aku menangis teresak-esak. Pintu bilik air
diketuk oleh Firdaus dari luar.
“Aishah,
kenapa?” Firdaus mengetuk kuat pintu itu setelah mendengar tangisanku.
Perlahan-lahan aku membuka selak pintu, Firdaus terus sahaja menolak pintu itu
laju setelah mendengar selak itu dibuka.
“Awak….”
Aku menangis lagi, tanganku aku tunjuk ke arah katak yang sebesar tapak
tanganku. Firdaus mengambil pelita dan menyuluh ke arah yang aku tunjukkan.
Beberapa ketika dia kembali ke arahku yang masih berdiri di pintu bilik air.
Aku masih teresak-esak menangis.
“Sebab
katak aje menangis?” Firdaus bersuara kasar.
“Saya
ingat sabun.” Aku kembali teresak.
“Mengada
tau tak!” Terus sahaja Firdaus meninggalkan aku di situ. Aku ambil tuala dan
membalut tubuhku yang masih berkemban kain batik. Aku terus melangkah laju ke
dalam rumah. Ibu sudah di pintu dapur, bertanya pelbagai macam soalan. Aku
hanya menggeleng dengan air mata dan terus masuk ke dalam bilik air dalam rumah
untuk menyalin pakaian. Sampai hati Firdaus!
“Bini
kamu tak makan Daus?” Ibu menyoal Firdaus yang sedang menjamah makanan.
“Tidoq
dah kut.” Ibu menggeleng perlahan, makin pelik perangai Firdaus.
“Kamu
marahkan ibu?” Ibu menyoal lagi. Firdaus berhenti menyuap nasi dan memandang
ibunya.
“Awat
nak marah ibu pulak?”
“Sebab
ibu yang pilih Aishah dan paksa kamu kahwin dengan dia.” Firdaus meneguk air
perlahan. Memang dia mahu marah tapi itu ibu. Pilihan ibu pasti terbaik buat
dia.
“Takdak
lah, awat?”
“Kamu
macam tak suka Aishah ja.”
“Dak
aih…”
“Dah
tu, awat layan dia lagu tu?” Firdaus mengeluh lemah.
“Layan
lagu mana, biasa ja.” Ibu yang sudah siap makan, bangun dari kerusi dan terus
ke sinki membasuh tangan.
“Cenge...
garang tak kena tempat. Selalu dak pun.” Firdaus meneguk air sekali lagi. Bukan
sengaja, cuma terasa!
“Pi
kejut dia makan, dok biaq dia tak makan pulak, kalau mak dia tau kata apa pulak
satgi?” Ibu bersuara lagi, kali ini lebih tegas. Firdaus hanya menurut kata.
…………..
Firdaus
menolak daun pintu biliknya. Aishah dilihat terbaring lena di atas katil. Selangkah
demi selangkah dia menghampiri Aishah, lalu duduk di sisi Aishah yang sedang
nyenyak lena. Dengkuran halus menyapa telinganya. Firdaus tersenyum. Siapa
tidak bangga, dapat isteri cantik, manis bertudung, baik dan lemah lembut serta
berpendidikan. Tapi kalau diukur dengan dia, terlalu besar bezanya. Sudah diaju
pada ibu soal kufu. Ibu kata keluarga dia akan terima, yakin sangat. Tapi
betul, tiga hari selepas hari peminangan terus sahaja dapat kata putus. Tidak
ditolak malah diterima baik. Kenapa? Sudinya dia menerima lelaki seperti aku?
“Tak
kejutkan lagi pasaipa?” Ibu terus sahaja menyoal setelah melihat Firdaus keluar
sendirian daripada biliknya.
“Dah
lena sangat dah bu, biaq dia lena ja la. Satgi lapaq dia bangun la kut.” Ibu
mengangguk sahaja. Jauh dilubuk hati ibu, ada rasa terkilan dengan layanan Firdaus
terhadapku.
……………….
Kesejukan
terasa hingga ke tulang! Penangan hidup di kampung. Segar setiap pagi. Seawal
jam 5.00 pagi Firdaus sudah bangun, kemudian dengar suara ibu. Rumah sudah
terang benderang. Mujur aku mengajar sebelah pagi, jadinya sudah biasa bangun
seawal ini, tapi kadang-kadang lewat jugak. Setelah melihat Firdaus yang sudah
siap mandi masuk ke bilik, terus sahaja aku bangun dan mengemas katil. Tuala
aku ambil dan terus melangkah keluar. Tiada sapaan pagi, aku masih terkilan!
“Pelita
mana ibu?” Soalku pada ibu yang baru masuk ke dalam rumah. Ibu memandangku
sambil tersenyum.
“Ibu
dah letak dalam sana dah. Nak Daus teman tak? Gelap lagi tu.”
“Takpe
la bu, Aishah pergi sendiri.” Ibu hanya mengangguk. Aku yang mula melangkah,
sudah terkumat-kamit membaca doa termasuklah doa supaya katak semalam tak ada
lagi!
Selepas
satu curahan, aku berhenti dan berdiri memeluk tubuh. Sejuk! Dengan hembusan
angin pagi… terasa lutut aku terketar-ketar. Kalau dekat rumah, ada water
heater, takkan pernah rasa, lutut ketar lebih laju daripada bibir! Aku rasa dah
sejam aku mandi, ye lah masa nak panaskan diri pun lama.
“Aishah,
awak mandi ke berendam dalam perigi” terkejut aku dengan suaranya yang
tiba-tiba. Aku mengurut dada. Sudahlah tengah berwaspada, tiba-tiba datang tak
bersalam, buat aku cuak aje!
“Se…juk…”
Aku yang mahu menjawab, terkeluar suara ketar-ketar.
“Biasa-biasakanlah,
sini tak macam rumah awak.” Aku terdiam. Perli dan menyindir. Tak pernah
terlintas pun aku nak minta air panas atau suruh dia pasang water heater, tak pernah! Derap kakinya
kedengaran berlalu. Aku timba air lagi, dan aku curah ke badan, curahan ini tak
terasa sejuk sebab bercampur air mata. Aku terkilan!
“Sejuk
Aishah?” Soal ibu sewaktu aku melangkah masuk ke rumah.
“Sejuk
sampai terketar lutut. Tapi best!” Ujarku. Ibu sedang sibuk memasak di dapur.
“Awal
ibu masak?” Baru hampir pukul 6, takkan seawal ni sudah sarapan?
“Biasalah,
bekai untuk Daus, dia nak pi motong.” Barulah aku faham. Jadi lepas ni, aku
kena masak awal jugak? Untuk dia? Erm… mujur ibu ada, terkekek aku dalam hati.
Main-main!
“Aishah
pergi solat dulu, karang Aishah tolong ibu ye.” Terus aku melangkah laju masuk
ke bilik. Firdaus baru sahaja melipatkan kembali sejadah, baru selesai solat,
getus hatiku. Rambut aku keringkan beberapa saat dengan tuala dan kemudian aku
sangkut tuala dipenyangkut yang ada. Sejadah aku bentang, dan telekung aku
pakai. Sejuk dan dingin, selesa untuk mengadap DIA. Firdaus, aku tahu dia
memerhati, namun aku biarkan.
…………………
Petang
nanti ibu mengajak aku ke bendang lagi. Kali ini cari ikan. Ibu kata petang
nanti orang akan lau padi, jadi selepas itu ikan akan banyak, boleh tangkap
dengan tangan. Aku teruja. Teringat zaman kanak-kanak, Mak dan Abah tak bagi
aku turun ke bendang, banyak lintah katanya, aku ni darah rendah, abah kata
cepat lemah!
“Banyak
lintah tak ibu?” Soalku bila melihat ibu dan Firdaus serta beberapa anak
kampung sudahpun berada dalam bendang. Ibu hanya ketawa, Firdaus tak, dia
sentiasa bermuka serius.
“Takdak
aih. Mai la masuk dalam ni.” Ibu mengajak lagi. Aku cukup dewasa, aku tahu ada
kemungkinan yang besar untuk lintah makan darahku.
“Biaq
dia ibu, mana dia lalu nak celup kaki dia kat dalam selut lagu ni.” Firdaus
menyindir lagi. Aku mengetap bibir, sabarlah duhai hati! Aku hanya memerhati,
tak berani ambil risiko, kalau abah tau nanti mesti kena piat telinga. Tak nak!
Aku menekup telingan kanan, terasa pulak seperti abah akan piat! Berangan
sendiri.
“Abang
Dausss… tolong..” Suara perempuan itu menampar gegendang telingaku. Aku pusing
ke kanan. Laju Firdaus berlari dalam selut bendang itu ke arah perempuan yang
memanggilnya. Perempuan itu mengangkat-angkat tangannya kepada Firdaus.
“Ala
Rose ni, pacat je pun…” Firdaus ketawa, begitu juga perempuan yang kelihatan tadi
hampir menangis. Mereka tampak mesra.
“Hai
Rose sejak bila hang takut pacat lintah ni. Heran aku.” Ibu bersuara tapi
dengarnya macam menyindir. Aku hanya memerhati, tak faham situasi. Perempuan
bernama Rose itu menarik muka masam dengan kata-kata ibu, terus sahaja dia
berlalu keluar daripada bendang.
“Ibu
ni…” Firdaus bersuara. Entahlah, macam ada cerita, tapi aku tak faham.
Gatal-gatal di jari kaki membuatkan aku tergaru-garu tapi… SubhanaAllah! Benda
apa panjang nih? Macam anak ular tapi sakitnya!
“Ibu….!!!”
Aku terjerit kecil. Ibu memandang, Firdaus juga.
“Ada
benda gigit jari Aishah…” Aku menahan sakit dan menahan geli melihat makhluk
Allah itu.
“Sat
ibu naik…” Ibu yang mahu melangkah di tahan Firdaus.
“Eh,
ibu, biaq kat dia. Kena la biasa kalau nak dok kampung.” Aku hanya menahan air
mata. Sakit, perit digigit, dan sakit diperli.
“Takpa
ibu, dah takde dah. Aishah balik rumah dulu.” Terus aku berlari pulang dengan
benda tu yang masih setia menghisap darahku.
………………
“Aishah,
Aishah…” Laungan ibu kedengaran. Tapi aku masih dalam proses membuang benda
kecil dan panjang itu. Makin aku tarik, makin sakit jariku, darah sudah
mengalir keluar. Aku hanya mampu menangis!
“Aishah…
kamu kat dalam ka?” Ibu mengetuk pintu bilik air. Aku menekup mulutku agar
tangisanku tidak kedengaran. Aku cuba kawal senduku, ibu masih memanggil dan
mengetuk pintu.
“Ai…Aishah
cuci kaki bu…” Aku menjawab setelah sendu berjaya aku kawal.
“Oh…
risau ibu, dok panggil Aishah tak jawab. Takpa na…” Setelah derap kaki ibu sudah
tidak kedengaran, aku kembali berusaha membuang benda yang masih melekat di
jari kakiku. Ranting kayu yang aku sempat ambil di bendang, aku gunakan untuk
menolak benda tersebut. Nak menarik guna tangan, geli! Aku menolak benda itu,
namun dia terlekat kuat. Aku cuba lagi, kali ini terasa perit sedikit, mungkin
jariku sudah terluka, hingga beberapa cubaan barulah benda itu jatuh, terus
sahaja aku tumbuk lumat dengan batu. Nak termuntah tapi bila bermain air mata
semuanya jadi kepuasan. Darah mengalir lagi banyak, kepala aku sudah
berpusing-pusing.
“Aishah…
awat pucat lesi ni?” Belum sempat menjawab aku sudah terjelopok jatuh. Duniaku
kelam. Ibu terkejut, tidak sempat mahu menahan aku dari jatuh. Terus dijeritkan
nama Firdaus. Selepas itu aku tidak tahu apa yang jadi.
“Tu
la kamu Daus. Baru tiga hari ja dia dok dengan kita, dah jadi macam-macam.
Kalau hang tak suka hantaq dia balik. Ibu sanggup tahan muka malu dari seksa
anak orang lagu ni.” Ibu sudah berlinang air mata. Firdaus hanya duduk diam di
atas kerusi rotan.
“Nak
hantaq balik pasaipa pulak. Bini Daus tu.” Firdaus menjawab.
“Ha..
menjawab! Tau pun bini. Yang pi layan lagu orang asing pasaipa? Dok perli dia
setiap hari. Ingat ibu pekak? Tak dengaq kamu dok sindiaq dia?” Ibu sudah
bersuara keras. Firdaus hanya mengeluh lemah. Dia terkejut bila melihat Aishah
kaku dilantai petang tadi. Terkejut lagi melihat kaki Aishah yang berdarah.
Terus diangkat Aishah ke bilik.
“Ibu,
Daus cuma nak dia biasa dengan cara hidup kita, tu ja.” Ibu mengesat air mata
dengan hujung lengan bajunya.
“Awat?
Dia ada mintak apa-apa kat kamu yang kamu tak boleh bagi? Dia ada komplen ka?”
Firdaus menggeleng.
“Takdak
kan? Dah tu kamu nak dia biasa macam mana lagi? Dia boleh terima kalau kamu
ajaq dia, bukan buat kurang ajaq lagu ni.” Firdaus hanya memandang ibu, sepi.
Firdaus tersedar sendiri. Betul jugak, detak hatinya.
“Ibu
tak kira, sekali lagi hai lagu ni jadi kat dia, ibu sendiri pi hantaq dia
balik. Kamu ingat tu.” Ibu sudah mengugut. Setelah kelibat ibu hilang dibalik
pintu biliknya, Firdaus melangkah masuk ke bilik.
Tubuh
isterinya yang terbaring dipandang sayu. Kaki yang sudah dibalutnya dipegang.
Darah sudah berhenti. Diletak pula tangan di dahi isterinya, panas kian
meninggi. Terus sahaja dia ke dapur mengambil sebekas air untuk dituamkan ke
kepala isterinya.
…….................................
Sengal-sengal
di kaki, membuatkan aku terjaga. Terasa ada benda di kepala, terus aku pegang
benda tersebut, kain? Aku pandang sisiku, ada sebekas air yang dicampur dengan
daun hijau, mungkin daun bunga raya. Aku demamkah? Aku merasa dahi sendiri,
agak panas. Aku bangun dan menyandarkan badan ke kepala katil. Kaki ku terasa
sengal-sengal dan berdenyut.
“Awak
dah bangun?” Suara Firdaus menyapa telingaku. Aku hanya mengangguk. Kain yang
diletakkan di dahiku tadi, aku letak kembali ke dalam bekas berisi air dan daun
itu. Firdaus melabuhkan duduk di hujung kakiku. Dipegang kakiku yang berbalut.
Berbalut? Bila pulak dibalut?
“Sakit
lagi?” Lembut sahaja suara Firdaus. Aku hanya mengangguk.
“Pukul
berapa sekarang?” Aku menyoalnya setelah melihat dia berbaju melayu.
“Pukul
11 dah. Kenapa? Lapar?” Firdaus menyoal, tidak lagi sekasar sebelum ini dan
tiada nada perli.
“SubhanAllah.
Lama eh saya tidur. Saya tak solat maghrib dengan isyak lagi.” Aku bingkas
menyelak selimut, untuk pergi mengambil wuduk. Eh, baju tidur? Bila aku tukar?
“Saya
pengsan ye awak?” Aku menyoal Firdaus yang masih duduk membelek kakiku. Dia
hanya tersenyum dan mengangguk. Senyuman dia… macam pernah tengok, tapi tak
pasti dekat mana. Aku terleka sebentar.
“Awak
nak solat? Saya buka balutan ni dulu ya.” Suaranya menyedarkan aku yang telah
hanyut berfikir. Macam pernah tengok tapi di mana ya?
“A’ah,
nak solat. Eh, ibu ye tukarkan baju saya?” Soalku kepada Firdaus yang ralit
membuka balutan kakiku.
“Kenapa
ibu? Saya kan suami awak… semuanya halal.” Selamba sahaja dia menjawab, terasa
panas menyerbu mukaku. Malu! Aku terus sahaja bangun setelah dia siap membuka
balutan kakiku. Ingat nak lari terus ke bilik air, tapi terlupa kaki aku sakit.
Mujur tak terjatuh, tangannya lebih cekap.
“Betullah
saya cakapkan, awak halal untuk saya kan?” Firdaus menyoal lagi. Kali ini
sengaja untuk membuat aku malu sendiri. Tangannya erat memeluk pinggangku,
membantu aku berjalan. Kakiku sudah besar sebelah!
“Kejap
lagi, saya nak ambik wuduk, kalau awak pegang macam ni, batal la wuduk saya.”
Soalku dalam langkah ke bilik air. Firdaus tersenyum lagi.
“Balut
badan dengan tuala, tak sentuh kulit tak batal kan?” Tak jadi jugak helah aku!
Segan bila serapat begini.
…………………….
Setelah
sebulan urusan pertukaran sekolahku. Akhirnya semuanya selesai. Jamuan
perpisahan turut diadakan khas untuk aku, oleh pelajar dan juga para guru. Terharu
juga, bila diri kita dihargai oleh orang lain. Firdaus tak ikut aku pulang ke
Tanjung Malim. Iyelah, kerjanya bukan makan gaji, semua kena urus sendiri.
Pokok getah, kambing lembu, sawah lagi. Semua dia uruskan sendiri. Nak upah
orang pun hanya waktu mengutip hasil.
Hubungan
aku dengan dia makin baik. Tapi lebih kepada kawan, bukan suami isteri. Baiknya
pun ada masa. Salah aku tetap dimarah, rajuk aku tetap tidak dipujuk. Hujung
bulan ini, ibu mahu mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat, sekali
menyambut kedatanganku ke rumah. Biarpun sudah hampir 3 bulan aku di situ tapi
ibu tetap mahu mengadakannya.
“Berapa
lama lagi awak kat rumah mak?” Firdaus menyoalku malam itu. Panggilan daripada
dia amat aku tunggu-tunggu.
“Kenapa?
Dah rindu eh?” Sengaja aku mahu mengusik.
“Ah…
takdak masa nak rindu. Kat sini banyak benda nak kena buat, balik cepat sikit.”
Aku mencebik. Ingat rindu.
“Ye
lah, saya nak balik malam awak tak bagi. Ni nak bising pulak, sekarang saya
balik. Bye.” Terus aku tamatkan perbualan. Aku menghenyak tubuh ke katil. Baru
nak lepas rindu, tapi dia….. Aku merungut sendiri. Telefonku berdering lagi.
“Ye,
saya tengah siap-siap nak balik la ni.” Sengaja aku berkata begitu. Tahu dia
akan membebel dan marah, aku tahu dia sayang, tapi sombong!
“Aishah,
kalau awak sampai rumah awal pagi, siap awak. Tahu la saya kerjakan.” Firdaus
mengugut.
“Nak
kerjakan konon. Dah suruh balik cepat. Dah siap pun ni, nak drive, bye.” Aku
menahan geli hati.
“Nur
Aishah Ahmad.” Aku tahu, marahnya sudah meletus. Bila dia sudah memanggilku
dengan nama penuh, aku tahu dia serius. Boleh bayang muka dia yang bengis tu.
“Ye
Muhd Firdaus Harun?”
“Awak
tahu saya seriuskan?”
“Ye.
Tak balik la. Esok lepas subuh baru saya bertolak. Sebelum tengahari sampai
la.”
“Okay.
Hati-hati, ingat esok sebelum bertolak telefon saya dulu.”
“Iye
tahu, esok saya call awak.”
“Dah
lewat, tidur, esok nak bawak kereta pulak. Assalamualaikum.” Talian dimatikan.
Aku mengeluh perlahan. Pesanan demi pesanan. Teringat hari dia mahu bertolak ke
Tanjung Malim, Firdaus tak tentu arah. Kejap duduk kejap berdiri. Termenung
sana, termenung sini. Ada aje tak kena. Pagi ini patut pergi memotong dia tak
pergi. Bila aku tanya, dia hanya diam.
“Janganlah
risau, saya pernah drive jauh-jauh” Aku bersuara setelah melihat dia begitu
risau.
“Tak
risau awak cakap? Awak tu cepat letih, dalam kereta tidur ja.” Aku terkejut
dengan alasannya.
“Eh,
tidur tu sebab awak drive. Lepas tu senyap aje. Saya tidurlah.” Aku
mempertahankan diri. Alasan tak kukuh!
“Ye
la tu, ingat berhenti rehat kalau mengantuk atau letih, tapi berhenti tempat
yang ramai. Awak tu perempuan.” Aku tersenyum mendengar pesanannya.
“Sayang
jugak awak dekat saya ye.” Aku cuba mengusiknya.
“Awak
isteri saya, memanglah sayang.” Ujarnya lalu terus melangkah keluar bilik. Aku
tersenyum-senyum sendiri.
………………..
Jam
sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari, tapi Aishah belum jugak sampai. Firdaus
tidak senang duduk, hendak telefon takut Aishah sedang memandu. Sudah beberapa
kali ibu menyuruhnya menghubungi Aishah namun di tolaknya. Takut Aishah
menjawab sambil memandu, bahaya!
Jam
berputar lagi, kemudian telefon Firdaus bordering. Laju sahaja tangannya
menekan punat telefon.
“Aishah,
awak dekat mana?” Tiada salam, terlalu kalut dan risau!
“Awak,
kereta saya rosak la.” Firdaus panik.
“Ya
Allah, awak dekat highway lagi ke?” Kepalanya sudah fikir yang bukan-bukan.
Risau kerana isteri berkeseorangan.
“Dah
keluar highway dah, dekat Jalan Langgar. Takut pulak nak mintak tolong orang,
bukan tempat saya.”
“Aishah,
awak masuk kereta. Kunci ye. Setengah jam saya sampai. Tunggu tau.”
“Okay,
saya tunggu.” Setelah talian dimatikan, terus sahaja Firdaus bergegas keluar
rumah. Sekarang ni musim ragut, rompak dan rogol. Takut jika apa-apa terjadi
kepada isterinya.
…………….................
Dari
jauh aku melihat kelibat Firdaus. Laju benar bawak motor? Betul-betul setengah
jam. Setelah melihat Firdaus memberhentikan motor, aku keluar daripada kereta.
Firdaus melangkah menghampiriku, tak semena-mena, dia memelukku erat dan terus
mencium ubun-ubunku lama. Setelah beberapa minit barulah dia bersuara.
“Aishah
okay?” Aku hanya mengangguk. Terdengar dia mengucap syukur, perlahan tapi
singgah juga dicuping telingaku. Terkejut juga aku dengan reaksinya. Firdaus
datang bersama rakannya, mungkin mekanik. Setelah memeriksa dan memulas sini
sana, keretaku dapat dihidupkan semula.
“Hang
bawak kereta ni pi bengkel lepaih ni. Aku buat bagi boleh jalan ja.” Mail
memberitahu Firdaus. Kemudian Mail pulang dengan motor Firdaus, dan Firdaus memandu
keretaku. Dari tadi, dia tidak lepas menggenggam erat tanganku.
“Macam
mana awak nak drive kalau awak asyik pegang tangan saya je ni?” Firdaus terus
sahaja melepaskan genggaman tangannya. Kereta dihidupkan dan terus dipandu ke
bengkel.
Bengkel Mail dekat aje dengan rumah.
Bengkel dalam kampung. Selepas menghantar kereta, kami pulang dengan motor
Firdaus. Pertama kali Firdaus dan aku naik motor berdua, sebelum nip ayah, ke
mana dia pergi tak nak bawak aku. Apatah lagi kalau nak naik motor, pujuklah
macam mana pun, payah!
“Pegang baju tau.” Firdaus memberi
arahan. Aku mencebik.
“Kenapa?”
“Pegang aje la.”
“Ala, kalau pakwe makwe, diorang
peluk apa, kita suami isteri pegang baju je?” Aku cuma mengusik. Firdaus buat
muka serius.
“Nak balik ke tak ni?” Firdaus
bersuara tegas. Aku menjuih bibir.
“Yelah-yelah….” Aku naik motor
perlahan-lahan. Hujung baju Firdaus dipegang, seperti yang di arahkan sebentar
tadi.
“Dia peluk kita takpe pulak.” Aku
merungut dibelakangnya.
“Ha… merungut-merungut!” Firdaus
menegur. Aku menekup mulut. Telinga macam lintah! Tak semena mena, dia menarik
tanganku supaya melingkari pinggangnya. Aku tersenyum sendiri. Bagi pulak!
………………………….
Pagi
ini aku bangun awal daripada biasa, sebabnya aku nak ikut Firdaus pergi
memotong! Firdaus tak bagi, tapi aku nak jugak, cuti sekolah sekarang, duduk
rumah aje bosanlah.
Ibu dan Firdaus tak bangun lagi, agak
menghairankan, selalu ibu bangun awal sebab nak siapkan bekal untuk Firdaus.
Memandangkan ibu belum bangun, aku ambil alih untuk memasak. Selalu ibu buat
bihun goring, hari ni aku buat spaghetti goreng. Best jugak makan berdua di
pondok dekat kebun getah tu nanti, aku berangan sendiri. Gatal!
“Awai Aishah bangkit hari ni?” Aku
yang sedang memasak tersenyum dengan teguran ibu.
“Ibu lewat hari ni? Aishah nak ikut
Abang Firdaus pergi motong kejap lagi.” Ibu memandangku sambil berkerut dahi.
“Pi motong? Daus kata tak pergi pagi
ni, dia dah upah orang.” Aku ternganga. Pulak!
“Betullah tu. Daus dah pesan kat Mat
dengan kawan dia pi motong. Awatnya?” Firdaus yang baru turun ke dapur
menyampuk. Firdaus memandangku yang sudah berubah riak. Geram!
“Awal awak bangun Aishah? Siap masak
pulak tu?” Terus sahaja kerusi ditariknya dan terus melabuh duduk. Aku terus
berlari ke bilik. Sentap weh!
“La… pasaipa pulak tu?” Ibu menyoal.
Firdaus menjungkit bahu, tangannya laju sahaja menyenduk makanan. Ibu menampar
bahunya.
“Kamu, buat perangai pengotoq pulak.
Pi la mandi solat subuh dulu, baru la makan.” Firdaus tersengih-sengih.
“Bau sedap sangat bu, lapaq teruih!”
……………..................
Firdaus menghampiriku yang masih lagi
duduk termenung di birai katil. Terasa, sangat terasa. Semalam tidak
dikhabarkan pula yang dia tidak pergi memotong getah. Tidak juga beritahu
bahawa dia telah mengupah Mat dan rakan untuk pergi memotong. Beria-ria
dia bangun pagi dan siapkan
segala-galanya, akhirnya termalu sendiri.
“Aishah merajuk lagi ye…” Firdaus
mengusik. Aku hanya mendiamkan diri. Novel yang terletak di atas meja kecil
itu, aku ambil dan selak sehelai demi sehelai. Firdaus yang mulanya berdiri
kini mengambil tempat di sisiku, rapat sekali. Novel itu di ambilnya, dan
kemudian dibelek sebentar dan terus meletakkannya ditepi.
“Jangan merajuk lama-lama, saya tak
pandai pujuk. Saya mintak maaf.” Firdaus mula bersuara. Aku hanya diam membatu.
“Aishah…” Panggilnya perlahan. Aku
masih protes, masih diam membatu.
“Nur Aishah Ahmad…” Firdaus memanggil
lagi, namun kini bernada tegas.
“Ermm…”
“Dah pukul 10, awak tak makan lagi.
Jom.” Firdaus menarik tanganku, mengajakku untuk turut berdiri. Aku hanya akur.
Muka masih cemberut.
“Mak cakap dekat saya awak suka makan
pulut panggang. Here you go.” Firdaus menghulurkan sepinggan pulut panggang.
Aku mengambil tanpa berkata apa-apa. Firdaus menarik kerusi dihadapanku dan
terus duduk sambil menompang dagu. Aku hanya memandangnya sekilas.
Daun pisang yang membalut pulut
panggang itu aku buka. Aku makan pulut panggang yang terhidang. Firdaus masih menompang
dagu, memerhatikan aku. Aku mengerut dahi, menyampah melihat dia begitu,
sengaja nak menyakitkan hati.
“Aishah…”Firdaus memanggilku. Aku
hanya memandangnya dengan muka tidak puas hati. Muka bengang!
“Aishah tahu tak, bila dengan suami
mana boleh buat muka macam tu. Seorang isteri perlu menggembirakan hati
suaminya. Betul tak? Saya rasa Aishah tahu tu.” Aku mula terasa sebak. Aku tahu
salah untuk bermasam muka dengan suami, tapi hatiku yang terguris dengan
sikapnya hari demi hari bagaimana pula? Pernah dia fikirkan?
Pulut panggang aku ambil dan aku buka
balutannya. Air mata yang aku tahan mengalir juga perlahan di pipi. Suapan aku
teruskan lagi, sambil air mata yang mengalir aku kesat dengan belakang tangan.
Makin aku laju suapan aku, makin laju air mata ini mengalir. Firdaus berubah
riak.
“Aishah… saya tak bermaksud nak buat
awak menangis.” Ujarnya, bingkas bangun dari kerusi dan terus melutut di sisi
aku. Mendengar suaranya seolah-olah satu suntikan untuk air mataku kian laju
mengalir.
“Jangan Aishah… shhhh… jangan
menangis…” Firdaus cuba memujukku, tapi setiap kali aku mendengar suaranya,
membuatkan air mata merembes lebih banyak. Firdaus mengesat air mataku dengan
jarinya. Dia memegang wajahku dengan kedua-dua tangannya. Mata Firdaus memandang
tepat ke dalam anak mataku.
“Saya tak boleh nak stop.” Aku terus
teresak-esak, lalu membuatkan Firdaus menarikku ke dalam pelukkannya.
“Shh… tangisan awak buat saya susah
hati Aishah…” Aku menangis dalam pelukannya. Menangis semahu-mahunya. Seolah
membuang segala ketidakpuashatianku terhadapnya selama 3 bulan lebih menjadi
isterinya.
Dari balik pintu, ibu memandang
dengan senyuman. Bukan bergembira dengan tangisanku, sebaliknya bersyukur
melihat hubungan kami seerat pelukan kami ketika itu.
……………..
Tudung
yang senget ditiup angin aku betulkan. Ais krim ditangan sesekali aku jilat.
Firdaus disebelah hanya tersenyum melihat tingkahku. Petang ni sebagai tanda
maaf, Firdaus membawaku ke tempat kesukaannya dalam kampung ni. Sungai dihujung
kampung, atau boleh dipanggil Kuala, iaitu kawasan yang sudah hampir bersambung
dengan laut. Dari sini, kita dapat melihat matahari naik atau terbenam.
“Aishah…
umur awak 30 tahun kan?” Tersedakku dengan soalnya. Aku menjelingnya yang
berada di sebelahku. Kaki yang tergantung dari atas titi kecil itu aku
goyang-goyangnya.
“Kenapa,
ada masalah? Awak 35 kan?” Aku sengaja menyebut umurnya. Firdaus ketawa lagi.
“Ada
sikit masalah la… awak perangai macam umur 23, 24 tau tak.” Aku hanya menjelir
lidah.
“Ha..
tengok tu… betul tak saya kata.” Ujar Firdaus lagi sambil membaling batu-batu
kecil ke dalam sungai. Aku menekup mulut dengan tanganku.
“Refleks
la…” Ujarku sekadar mempertahankan diri. Beberapa ketika kami senyap sendiri.
melayan perasaan masing-masing.
“Awak
terpaksa berkahwin dengan saya?” Tiba-tiba sahaja soalan itu keluar daripada
mulutku setelah beberapa ketika ia berlegar dalam kepala.
“Kenapa?”
Firdaus kembali menyoal. Mungkin terkejut dengan soalan yang tiba-tiba.
“Just
jawab, ya atau tidak.” Aku cuba untuk bertegas.
“Dalam
soal perkahwinan Aishah, tiada soal paksa atau rela. Jika kita sudah menerima
dan bergelar suami kepada seseorang, awak patut tahu jawapannya kepada soalan
awak tu ialah YA.” Firdaus memberikan jawapan yang panjang lebar. Aku hanya
mengangguk.
“Saya
pilihan awak?”
“Tak,
awak pilihan ibu dan saya terima.”
“Terima
seikhlasnya atau sebab ibu?” Firdaus mengeluh perlahan. dia tidak menjawab
sebaliknya memberikan soalan.
“Okay,
awak pulak? Terima saya atau dipaksa menerima.” Aku tersenyum malu.
“Dalam
tiga hari, saya membuat keputusan untuk terima awak. So jawapan saya ialah saya
terima awak, tiada siapa memaksa malah semua setuju.” Firdaus hanya mengangguk
perlahan.
“Kenapa
awak terima saya?” Firdaus menyoal lagi.
“Tiada
jawapan untuk itu. Saya istikharah.” Aku menjawab ringkas. Sememangnya aku
tiada jawapan untuk tu.
“Saya
pun istikharah tapi…” Firdaus menghentikan bicaranya tiba-tiba.
“Ada
tapi?” Aku menyoalnya apabila dia terus berdiam diri.
“Hari
dah lewat ni, jom kita balik…” Firdaus tidak menjawab tapi mengelak. Aku
menarik tangannya, menghalang dia untuk melangkah.
“Jangan
berahsia dengan saya ye. Saya terima awak seikhlasnya. Sepenuh hati.” Firdaus
hanya tersenyum dan mengangguk, kemudian mengelus pipiku. Kami melangkah ke
motor sambil berpegangan tangan. Mungkin dia ada sesuatu yang sukar untuk
menyatakannya, aku hanya perlu bersabar untuk beberapa ketika, kerana aku sedar
sesuatu itu yang bisa membuatkan kami diuji sehebatnya.
…………………………..
Ibu
kelam kabut di dapur. Aku memandang dengan kerutan dan kepelikanan. Kenapa
kalut sangat? Aku hampiri ibu yang asyik menyeduk nasi ke dalam bekas makanan.
“Ibu,
kenapa kelam kabut ni?” ibu memandang sambil melepas lelahnya perlahan.
“Ibu
terlewat bangun pagi ni, sedar pun masa Daus nak pergi motong dah. Tu yang
kelam kabut ni ha, kejap lagi Aishah tolong pergi hantarkan ya.” Aku melihat
jam di dinding.
“Dah
pukul 9.30 bu, bukan Abang Firdaus balik pukul 10 ke?” Ibu masih lincah
membungkus makanan.
“Hari
ni dia dah cakap nak balik tengah hari sikit. Nak mesin semak-semak kat kebun
getah tu…” aku hanya mengangguk-angguk.
“Aishah
pergi siap kejap ye bu…”
Setelah menukar baju ke baju lengan
panjang dan memakai tudung yang sedia ada. Aku mula ke dapur untuk mengambil
makanan yang telah siap ibu bungkus. Setelah itu, aku mula melangkah ke kebun
getah, yang jauhnya hanya 10 minit berjalan kaki.
Selang rumah di sini jauh-jauh.
Jadinya, aku berjalan sorang-sorang macam ni tidaklah segan sangat. Kalau rumah
aku di Tanjung Malin, rumah taman, segan kalau jalan macam ni. Ada aje mata
yang memandang, langsung tak privacy!
Aku mula tersenyum bila pondok kecil
tempat rehat Firdaus sudah kelihatan. Tinggal beberapa langkah panjang aje lagi
untuk sampai ke situ. Peluh sudah merenik halus di dahi. Aku betulkan tudung
yang mungkin tersenget, dan betulkan sedikit baju yang aku pakai. Senyuman aku
hiaskan dibibir.
Aku mula melangkah berhati-hati,
rumput dan semak di kawasan itu agak tebal. Beberapa langkah kemudian aku
hentikan. Suara dan gelak tawa itu membuatkan aku berasa hairan. Siapa? Aku
langkah berhati-hati dan begitu perlahan mendekati pondok itu, pokok dan semak
samun di situ mengganggu pandanganku.
“Abang makan la ni… Rose masak tau.”
Rose menyuakan kuih seri muka itu rapat ke mulut Firdaus. Firdaus dengan senang
hati membuka mulut dan menjamah kuih tersebut. Aku menekap tangan di dada.
Sakit! Amat sakit! Gelak tawa itu membuat aku terasa hati ini bagai
tersiat-siat dengan belati.
Langkah laju aku atur. Air mata aku
tahan sebaiknya. Setelah kian menghampiri, aku memberi salam dengan kuat.
“Assalamualaikum! Seronok berdating?”
Aku menyindir. Bungkusan makanan itu aku hempas kuat ke atas lantai pondok.
Rose menjeling-jeling. Firdaus cuma memandang tanpa riak.
“Nah. Saya tak masak makanan ni dan saya
pun tak pandai nak suap orang!” Suaraku penuh marah dan terus melangkah pergi.
Benci, sakit hati semua ada!
Hari itu hanya berlalu begitu sahaja.
Aku tak tahu apa yang jadi antara mereka berdua di kebun selepas aku pulang,
dan ibu hanya menyoal kenapa aku pulang begitu cepat. Sehari aku berkurung
dalam bilik, menangis. Pada ibu, aku sudah beri alasan yang aku senggugut.
Mujur, aku memang datang bulan.
“Apa hai lagi ampa dua orang ni…?”
Ibu menyoal Firdaus semasa mereka sedang makan malam. Firdaus hanya menjungkit
bahu. Ibu menggeleng kepala.
“Sejak dia balik dari kebun pagi tadi
dok terperuk dalam bilik tu ha…” Ibu merungut lagi. Firdaus mengunyah perlahan
nasi di dalam mulut. Wajah ibu dipandang sekilas dan kemudian memandang
pinggannya kembali.
“Dia nampak Rose dengan Daus kat
kebun tadi.” Firdaus menjawab ringkas. Ibu ternganga, terkejut dengan jawapan
Firdaus yang bersahaja.
“Astagfirullahal’azim… Kamu buat apa
dengan Rose dekat kebun tu hah?!” Ibu sudah bersuara tinggi.
“Ibu ni, ada Mail la kat situ.”
Firdaus sudah berkerut kening, tak suka dengan ibu yang sudha fikir
bukan-bukan.
“Kamu jangan lupa. Rose tu dah lama
syok kat kamu. Lupa kes dulu yang dia buat kamu nahas ja kena cekup dengan dia,
lupa?” Marah ibu. Aku yang berada di pintu tengah antara bahagian depan rumah
dengan dapur hanya memasang telinga. Terkejut dengan pernyataan ibu.
“Ingat bu. Kan Daus cakap ada Mail
kat situ.” Firdaus mengangkat pinggan ke dapur. Ibu mencerlung marah.
“Memang ada Mail. Tapi kalau orang
nampak apa orang cakap sat gi?”
“Ibu jangan pikiaq jauh-jauh sangat.
Tak da pa aih. Daus ingat semua tu bu.” Ibu meneguk air perlahan, bagai
meredakan marah yang meledak dalam hatinya terhadap anak tunggalnya itu.
“Awat kamu tak jauhkan diri kamu dari
Rose?”
“Rose tak dak masalah apa pun bu.
Patutnya memang Daus patut kahwin dengan dia bu. Kami…” Belum sempat Firdaus
menghabis kata aku memintas.
“Kenapa tak kahwin aje? Kenapa kahwin
dengan saya?” Ibu dan Firdaus berpaling ke arahku.
“Kenapa tak jawab?” Aku mula
meninggikan ton suara.
“Aishah, jangan masuk campur.”
Firdaus mula bersuara. Tinggi.
“Kenapa? Aishah orang asing? Macam
tu?”
“Aishah, Daus… jangan
tengking-tengking macam tu.” Ibu menegur.
“Aishah tak tahan bu. Aishah dah 5
bulan duduk sini, tapi Aishah rasa macam orang asing bila dengan Firdaus.” Air
mata sudah bertakung penuh dalam kelopak mata. Firdaus merengus kasar. Dia
mencengkam lenganku dan terus menarik aku ke bilik. Setiap kali aku meronta dan
cuba merentap cengkamannya, dia menguatkan cengkamannya.
“Sakit lah. Awak dah gila ke?!”
Soalku setelah melepas kasar cengkamannya.
“Awak tu yang gila.”
“Ye saya memang gila. Gila dengan
sikap dingin awak!”
“Nur Aishah Ahmad!” Firdaus
menengking. Aku hanya diam, menggosok lengan yang merah dek cengkamannya.
“Kalau awak tak nak dekat saya,
lepaskan saya dengan baik. Saya ingatkan awak, saya benci manusia yang curang.”
Firdaus meraup wajahnya beberapa kali.
“Diam boleh tak, diam kejap.” Firdaus
memeluk tubuh. Aku mengesat kasar air mata yang mula mengalir.
“Kenapa perlu diam?”
“Saya pening dengan awak yang
marah-marah macam gini.”
“Pening? Ye lah, dengan Rose tu awak
gembira, boleh gelak besar kan.” Firdaus merengus kasar.
“Sekali lagi awak cakap macam tu,
saya tampar mulut awak.” Aku terbangun dari duduk. Aku pandang dia dengan riak
marah.
“Sanggup awak ye? Fine. Awak buatlah
apa yang awak suka. Saya takkan pernah masuk campur, even awak nak kahwin
dengan perempuan gedik tu sekalipun.” Suaraku, setelah itu aku terus keluar
dari bilik. Hati siapa tak marah melihat suami dengan perempuan lain bermesra,
sedang dengan isteri dingin macam di kutub utara!
“Aishah awak salah faham…” Tutur
Firdaus perlahan, hanya dia sendiri yang mendengar.
………………………
Telah
sebulan hal itu berlaku. Aku? Aku masih dingin. Firdaus juga tak pernah mahu meleraikan
kekusutan yang berlaku antara kami. Sejak kejadian itu, aku mencuba sebaiknya
mengelak daripada bercakap dengan Firdaus. Hati aku benar-benar kecewa. Jika
selama ini dia menganggap aku bertindak seperti budak-budak, sekarang aku
bertindak seperti orang dewasa! Dewasa ke? Erk!
Minggu
lepas ibu sudah mula menyoal tentang kenduri yang telah aku minta ditangguhkan.
Hati aku tiada lagi untuk semua tu. Jauh dalam hati, perpisahan mungkin yang
terbaik, tapi bila difikirkan akal yang waras, penceraian adalah perkara
terakhir akan aku buat!
“Hari
ni pun dah makan kat sekolah?” Firdaus yang berada di kerusi rotan itu menegur
aku yang baru melangkah masuk. Ada nada sinis di situ.
“Ye.”
Jawabku acuh tak acuh dan terus masuk ke bilik. Firdaus membontoti langkahku.
“Kenapa
buat perangai macam ni Aishah?” Aku yang sedang membuka tudung, terhenti
seketika. Aku pandang wajahnya sekilas.
“Buat
perangai apanya…” Tudung yang telah aku buka, aku sangkut sebentar di kerusi
meja solek. Aku tanggalkan jam dan cincin dan kemudian meletakkannya di dalam
bekas yang tersedia. Firdaus hanya memerhati sedari tadi.
“Cuba
cakap apa yang awak nak sebenarnya?” Firdaus menyoal. Aku hanya menggeleng
sambil melipat lengan baju. Tuala yang tersangkut di dinding, aku ambil dan
letakkannya diatas kepala. Sedia untuk mandi dan solat.
“Aishah…”
Firdaus memanggilku dengan nada keras, setelah aku mula melangkah keluar. Aku
berpaling kepada dia yang berada dibelakang.
“Saya
tak nak apa-apa.” Jawabku dan terus melangkah keluar. Firdaus hanya mengeluh,
dia melabuh duduk di birai katil. Bukan sengaja aku mengeraskan hati, tapi
sebenarnya hatiku sudah hancur dengan kata-katanya tempoh hari.
Usai
solat zuhur, aku lihat Firdaus masih setia di birai katil. Masih setia
memerhatikan gerak geriku. Aku tanggalkan telekung dan kemudian meletakkan
kembali di tempatnya. Sikat di atas meja solek aku ambil dan menyikat rambutku
supaya kemas. Firdaus masih senyap tak bersuara.
“Awak
tak pergi kerja ke, yang asyik dok tengok saya je dari tadi kenapa?” Aku
bersuara. Getah rambut aku ambil dan ikat rambutku jadi satu.
“Aishah,
kita bincang kejap.” Firdaus tidak membalas pertanyaanku sebaliknya mengajak
aku untuk berbincang. Setelah sebulan baru nak bincang?
“Bincang
apa?” aku berdiri memeluk tubuh memandang Firdaus yang masih duduk di katil.
“Tentang
kita. Sampai bila awak nak mengelak dari saya?” Firdaus mencerlung memandangku.
Aku hanya mengeluh kecil.
“Dah
sebulan baru nak bincang. Takde guna dah awak…”
“Saya
biarkan awak sejuk dulu, dan hari ni kita selesaikan semua.” Aku duduk di
kerusi meja solek.
“Erm…
ikutlah mana yang baik.” Jawabku lemah.
“Boleh
buang marah awak tu sebelum kita berbincang?” aku ketawa sinis.
“Bila
saya marah?”
“Dah
tu, awak nak tak nak aje cakap dengan saya.”
“Memang
saya tak nak bercakap dengan awak, nak pandang awak pun saya menyampah”
“Aishah…
saya suami awak ingat tu.” Suara Firdaus, tegas.
“Ingat.
Ingat juga suami saya ni tak ingin pun nak kahwin dengan saya sebenarnya.”
“Aishah,
saya cakap baik-baik dengan awak kan?”
“Selama
ni pun saya baik dengan awak, tapi apa yang saya dapat?” Aku bersuara dengan
suara yang terketar menangis tangisan. Ah! Aku payah untuk marah, bila terlalu
marah aku mudah menangis.
“Saya
tau saya punca semua ni, tapi awak tak tahu apa yang saya pendamkan.” Firdaus
mula berdiri dan melangkah ke jendela.
“Kenapa
pendamkan? Saya pernah tanya, tapi awak terlalu banyak berahsia.” Aku memerhati
Firdaus yang melempar pandangannya jauh ke luar jendela.
“Saya
rasa seperti seekor pipit yang terbang bersama seekor enggang sepanjang bersama
awak.” Aku bangun berdiri mendekatinya.
“Saya
tak pernah letakkan jurang antara kita. Tak pernah!” Firdaus menyelak rambutnya
yang melurut di dahi.
“Memang
awak tak pernah. Tapi orang lain? Telinga saya bernanah dengar semua tu.” Aku
mengeluh lemah.
“Kenapa
dengar cakap orang? Dan apa yang enggang sangat saya ni? Saya kerja cikgu aje
pun.” Firdaus memegang bahuku kejap.
“Awak
belajar sampai peringkat Master, sekarang pun awak sibuk dengan persediaan nak
sambung lagi. Saya? Saya punya SPM pun cukup makan aje.” Aku ketawa kecil.
Firdaus memandangku dengan pandangan pelik.
“Awak
pahamkan apa saya rasa.” Aku menekup mulutku. Alasan tak masuk akal.
“Entah.
Tak faham. Isu tu macam tak masuk akal.” Firdaus menggosok belakang tengkuknya.
Mukanya beriak serius.
“Aishah,
awak fikir saya main-main. Awak tahu tak berapa ramai orang mengata sebab hal
tu? Saya kerja kampung, awak satu hari nanti ada gelaran doktor depan nama.”
Aku melangkah menghampirinya yang sudah kembali duduk di atas katil.
“Okay
saya tak jadi sambung belajar, tapi itu boleh mengubah kata-kata awak haritu?
Awak memang nak kahwin dengan Rose kan?”
“Tak.
Saya cuma tertekan. Saya tak tahu nak jelaskan macam dekat awak. Saya terasa
rendah daripada awak Aishah. Apa yang saya boleh beri pada awak?” Aku melabuh
duduk di sisinya.
“Saya
tak mintak apa-apa pun dari awak. Pernah saya mintak apa-apa yang membebankan
awak, ada?” Aku memandangnya, ada kepiluan dalam matanya.
“Saya
tahu, tapi di masa depan?” Aku mengeluh lemah, tangannya aku tarik dalam
genggaman.
“Saya
pernah cakapkan, saya terima awak setelah istikharah. Bukan keputusan saya
semata, tapi berdasarkan ketenangan yang Allah beri pada hati saya sepanjang
tiga hari tu. Saya terima awak seadanya, Muhd Firdaus. salah ke keputusan
saya?” Genggaman tangan aku eratkan.
“Saya
cuba, tapi…”
“Masih
ada tapi? Erm… kalau sebab pendidikan saya buat awak rasa perkahwinan kita ni
satu kesilapan, saya sanggup berhenti kerja.” Firdaus menekup mulutku dengan
jemarinya.
“Saya
tak maksud macam tu…”
“Habis
tu? Oh… tak nak saya sambung, saya boleh lupakan cita-cita saya tu…”
“Bukanlah,
saya sokong awak nak belajar.”
“Saya
tak fahamlah. Apa masalah sebenarnya?”
“Saya
pun tak tahu.” Aku mengeluh kuat. Apa yang dia tahu?
“Muhd
Firdaus, suamiku, apa masalah kita sebenarnya?”
“Kita
takdak masalah, cuma kita berbeza dari segi pendidikan. Jurang yang besar.”
“Takde
masalah, tapi ada jurang? Senang aje, awak sambung belajar, saya tunggu, lepas
tu nanti kita buat Phd sama-sama, amacam?” Firdaus pula yang mengeluh.
“Aishah,
suami awak ni, otak dia dah tepu. Saya kerja dari umur 18. Awak takpa lah tak
berhenti-henti belajar.” Aku mencebik.
“Alasan
lapuk je tu. Habis tu nak settle macam mana? Takkan kita nak ce…”
“Hissh!
Jangan sebut!” Firdaus memintas kata-kataku, aku menekup mulut sendiri. Mulut
capui betui!
“Sekarang
ni, awak tu yang bermasalah. Saya terima awak seadanya, tapi awak? Suka dengar
cakap orang. Fine, awak kahwin dengan Rose, saya akan pergi dari sini.” Aku
pula berdiri di tepi jendela. Dari jauh, sayup-sayup kelihatan beberapa orang
sedang menyembur racun di tepi sawah.
Terasa
ada tangan yang melingkari pinggangku. Aku kalih sedikit untuk memandang,
wajahnya begitu hampir denganku. Jantung ini usah ditanya kelajuannya, mungkin
sepantas cahaya. Fuh! Boleh tercabut rasanya.
“Abang
mintak maaf, abang cuma rasa, orang seperti Rose yang patut abang kahwini.
Aishah terlalu hebat untuk abang. Abang terlalu banyak kekurangan untuk
Aishah.” Kata-kata itu ditutur lembut dicuping telingaku. Aku pegang tangannya
yang melingkari pinggangku tika itu.
“Kenapa
perlu rasa salah dalam perkahwinan kita? Kita sama-sama istikharah. Kurang atau
lebih, kita terima seadanya. Yang selebihnya, kita serah pada DIA untuk
menentukan. Jurang tu, hati abang yang bina. Aishah tak pernah adakan jurang
antara kita, Aishah terima abang seadanya abang.” Firdaus mengangguk perlahan.
“Abang
mintak maaf.”
“Aishah
sentiasa maafkan walaupun abang tak mintak maaf. Abang suami Aishah, syurga
Aishah.”
“Petang
ni teman abang tabur baja dekat padi eh.”
“Serius
ni?”
“Serius
la.”
“Kena
catat tarikh hari ni. First time abang ajak Aishah ikut abang.” Firdaus
memandangku.
“Sebelum-sebelum
ni abangkan mana pernah ajak or bagi Aishah ikut abang pergi motong, pergi bagi
kambing lembu makan, pergi sawah lagi la tak. Kenapa eh?” Firdaus mengucup
pipiku lama.
“Abang
malu dekat Aishah, kerja abang semua kotor-kotor.” Aku membuat muka pelik.
“Pelik
la abang ni. Kerja Aishah pun kotor, kapur dengan marker pen tu lagi banyak
bagi penyakit tau tak.” Firdaus mengeratkan pelukannya.
“Aishah
main-main bila abang serius.” Aku ketawa kecil mendengar rungutannya.
“Abang
tu pikir bukan-bukan. Aishah bangga ada suami macam abang tau.” Firdaus
mencebik.
“Apa
nak di banggakan?”
“Dari
umur 18 abang dah kerja sendiri. Aishah masa umur 18, semua Mak Abah tanggung. Abang
umur 18 dah fikir masa depan, Aishah? Aishah masih leka dunia remaja. Haa… now
we can see, kurangnya Aishah dilebihkan oleh abang. Kurangnya abang dilebihkan oleh
Aishah. Faham tak maksud Aishah?”
“Kita
saling melengkapilah, macam tu maksud Aishah?” Aku mengangguk laju. Petang itu,
kami menghabiskan masa muhasabah hubungan kami, diri kami. Seusai solat asar
berjemaah, kami berdua ke bendang untuk membaja padi. Dalam hati aku sentiasa
berdoa, hubungan antara kami akan sentiasa dibajai dengan cinta dan kasih
sayang.
…………………………….
“Daus,
hang pi tengok bini hang tu, aku panggei dia dok senyap ja kat situ.” Mail
tercungap-cungap itu mengadu pada Firdaus. Firdaus mula berlari-lari anak ke
arahku yang berada di tengah-tengah bendang.
“Aishah,
kenapa dok situ, mai naik atas batas ni.” Aku hanya menggeleng laju. Firdaus
melangkah lebih hampir. Dia memegang bahuku.
“Hey,
Aishah… kenapa ni? Pucat ni…” Aku memandangnya. Wajahku sudah lencun dengan air
mata. Firdaus kaget, terkejut melihat keadaanku tika itu.
“Aishah,
abang ada ni, cakap dekat abang kenapa ni…” Firdaus memujuk. Aku yang masih
kaku, cuba untuk bersuara.
“Tadi
Aishah dok tabur baja, lepas tu…” aku mula teresak. Firdaus menggosok lembut
bahuku.
“Lepas
tu apa Aishah…” Aku memandangnya.
“Ada
benda dalam baju Aishah…” Ujarku perlahan.
“Apa
dia?” Firdaus mungkin tidak berapa jelas mendengar , aku bercakap dalam masa
yang sama menangis.
“Ada
benda dalam baju Aishah.” Ujarku lebih kuat.
“Benda
apa, mana? Tunjuk dekat abang…” aku teragak-agak untuk menyelak bajuku.
“Abang
tengok ya… abang nak tolong Aishah ni…”Firdaus mula menyelak sedikit bajuku.
Beberapa saat kemudian, dia ketawa. Kulit di bahagian perutku terasa
pedih-pedih.
“Dah,
Aishah abang dah selamat dah…” Aku yang masih menangis, memandangnya dengan
penuh persoalan.
“Benda
tu dah takde?” Firdaus mengangguk dengan senyuman, terus sahaja aku mendakap
dia ditengah bendang itu. Aku menangis semahu-mahunya dalam pelukannya.
“Alolo…
kesian isteri abang ni, lintah minat sungguh dekat dia. Jeles abang.” Firdaus
cuba mengusik.
“Abang
ni…” aku mula merengek, Firdaus masih dalam sisa ketawanya.
“Dah
betul, dulu kaki ja, sekarang masuk dalam baju. Nakai betui lintah ni…” Firdaus
mengusik lagi. Aku menolak dia dari terus memelukku.
“Merajuk
tau la…” Firdaus hanya ketawa, walaupun aku mula tarik muka. Seronok dapat
mainkan aku.
“Eleh,
merajuk la… Try merajuk, abang nak tengok…” Aku terus naik ke batas dan berlalu
pergi. Baru beberapa langkah, Firdaus melaung.
“Aishah,
ada sekoq lagi kat kaki tu…” Terus sahaja aku pusing dan berlari laju ke arah
Firdaus. Tubuhnya terus aku peluk dan kaki aku goyang sekuat hati supaya benda
itu akan terjatuh dengan sendiri.
Firdaus
ketawa besar. Mail dan kawannya juga tersenyum-senyum. Pak Harun yang baru
melintas dengan motor kapcainya menegur kami yang berdrama di tengah bendang.
“Daus
oi… nak honeymoon hang bawak bini hang pi Langkawi nuu, yang dok berasmaradana
kat tengah bendang buat pa.” Terus sahaja aku melepaskan pelukan dan menelek
kakiku, tak ada apa-apa pun.
“Abang
tipu Aishah!” bentakku
“Aishah
merajuk dengan abang.” Firdaus membalas. Aku melangkah laju, pulang dengan
perasaan bebal. Firdaus menyaingi langkahku dan mengenggam tanganku, erat!
“Abang
sayang Aishah.”Aku mencebik.
“Aishah
merajuk!” Firdaus mencuit hidungku, manja.
“Lagi
abang sayang…” Aku tersenyum bahagia.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………
ALLAH s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki ) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan menjadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan…” (Ar-Rum: 21)
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki ) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan menjadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan…” (Ar-Rum: 21)
p/s; suami isteri saling melengkapi, sebab itu Hawa di jadikan daripada tulang rusuk Adam. Hadirnya Hawa merawat kesunyian Adam yang hidup sendiri kala itu ^^
much love readers!
51 comments:
comel je citer nii...
sambung lg leh x??
hihi.. ^^
~ syu ~
comelnyeeeee..:)
thanks ^^
comel gilaaa..suka la cerpen2 awak.buat laa bbyk lg cerpen
comel le citer ni dik..
anyway, just a bit curious..
ada ke Kampung Tempoyak, Kuala Nerang?
and.. congrats! suka citer2 awak..
sy google ada hehehe ^^
thanks for reading!
best sgt...mmg feeling hbs la
Baguskan kalau ada smbgn....smbglah...
hehe, suami istri dicipta tuk salingmelengkapi, citer best, ^_^. thanks
tq... ^^
sambung?? erm... ala byknye nk kena smbung hui3 hehehe insyaAllah
salam abc. cerpen ni rasa paling best pernah akak baca. lain dari yang lain. tak melibatkan golongan elit.
dekat penulisan1u dah bc. tp tetap nak bc lagi... best :)
thanks ;)
sambungan la... best cerpen nie
Yes Best!!
yes! tq hehehehe
Bila nak buat SE?? hehe!!
BESTTT, BESTTT, BESTTT!!!. Opss caption pulaaa. Muehehehe
suasana kampung yang best!
buat sambungan boleh?
insyaAllah :)
Dah lebih 5 Kali Saya dok bce cerpen ni, antara cerpen terbest yg pernah saya. Saya hrap cik writer boleh smbung cerpen ni,nak tahu ape terjadi kat si ros tu, masih menganggu...walaupun dah bce byk Kali air mata still keluar. Suka gilelah dgn cerpen ! :)
-SyaZu
novel ni best tapiiii sangat tak praktikal.dalam dunia realiti sebenar mungkin hanya satu dalam sejuta orang sahaja macam Aishah.Boleh terima lelaki macam Firdaus yg serba kekurangan secara amnya(tak ada rupa,tak ada pendidikan,kerja kampung).Mungkin, kalau aisyah sama level dengan firdaus boleh diterima akal lah juga.Dah tu layan aisyah punyalah teruk masa mula2 tu.entah pape.personally walaupun cerpen ni menarik tapi bila dibawakan watak lelaki macam tu saya stop baca .tak boleh terima.sorry ya writer. :)
Pelik dan sangat pelik.Kenapa orang yang educated macam Aishah nak kawin dengan lelaki macam Firdaus.yes,memang betul lah Firdaus tu baik tapi nak kawin bukan atas dasar baik semata mata.kenapa kita nak susahkan diri sendiri kahwin dengan lelaki macam tu?Kahwin bukan sekadar nak kasih sayang semata mata.Kadang2 perlu juga difikirkan pada masa depan,cth : bolehke dia bagi kesenangan pada anak2 nanti?merana tak anak2 nanti ? boleh ke dia penuhi impian anak2 kalau nak beli benda itu,benda ini.Hmm,pada saya Firdaus boleh nak kawin,tapi carilah yang sekufu.Cari perempuan yang biasa hidup kampung,susah macam dia,tak educated.Even allah pun suruh memilih pasangan yang sekufu.Maaf kepada writer sebab bagi komen yang mengkritik macam ni.Just my two cents.Thanks :)
bestnya kalau cik anon bgi nama cik anon.. huhuhu :)
mmg dgr macam tak logik. but FYI cik anon, sy menulis selalunya buat research, baca buku2, dr pengalaman sendiri dan juga pengalaman org lain.
cerpen ni dgr macam tak LOGIK tapi inilah yg berlaku kepada sahabat ibu saya. :) jodoh itu rahsia Allah.
dari komen cik anon, macam hina aje orang takde rupa, takde pelajaran, n kerja kampung. :)
kalau cik anon rasa mcm tak logik, ehem3 ni namapun cerpen.. always like fairy tales. happy ever after ^^v
this is the best cerpen!!! OMG...ini benar2 berlaku pada saudara saya. they live happily dan dah ada 1 anak pun...
abc, sambung...sambunglah ek? buat versi novel ke? why not?
Happy Mind : hehehe kebetulan aje nih hehehe :) sambung? hehehe
banyaknyaaaa nak sambung jadi novel hik3 :)
saya baru jumpa blog & cerpen ni...best...byk kali saya mmbacanya..
klu blh smbg la lagi...rasanya perlu dijelaskn di mana aishah pernah terlihat senyuman firdaus tu...
tentang rose tu yg dh tak kacau firdaus lagi...carikan psgn utk si rose tu, mail mgkin...
citer ni mmg best & LOGIK sbb di sekolah tmpt keje saya ada guru yg dh master yg sama jodohnya ngan si aishah tu...
yg penting si suami tahu tanggjwb & rajin brkerja...jodoh tu kn rahsia Allah...
klu citer ni wat novel lagi best...klu blh saya nak org pertama yg beli...
Cerpen yg best.... byk kali bacapun x pe. Teruskan tulis cerpen ye. Guna bakat kurnian Allah sebaik-baiknya.
comel ler citer ni..best..dh byk kali baca pun tak jemu...hrp ada smbngn atau wat novel k...pasti best
suka sgt dgn cerpen ni..best. cik writer buat la sambungan..
wahhhh! best sgt cita nie. susah nk jmpa. tahniah. :3
tq :)
Best..
salam. First time singgah sini. Anyway, cerpen ni best giler. selalunya kita baca laki tu keje ceo la bla bla bla la.. Tp kali ni simple je. Laki keje kampung n pompuan cg. Sweet gitu. Kalo boleh sambung la lg cite ni. Bagi ada watak antagonis sket. Rose tu simple sgt. Takpon buat je ada orang ketiga dalam hubungan firdaus ngan aishah tu. Baru la ada 'thrill' .. Just suggestion. :D keep it up!
salam abc.. Best cite ni. Watak pon simple je. Memang la nampak tak masuk akal, cg lulusan master kawen ngan org keje kg yg blajarnya takat spm je. Tp itulah yang dikatakan kehidupan. Takde yang mustahil melainkan yang benar-benar mustahil. Well, keep it up abc! U're talented writer. Nanti kalo ada cerpen baru, boleh tak emel kan linknya kepada sy . Well, sy peminat tegar cerpen n novel cinta. :P
Sweeetttt
Sweettt gileeee...tersenyum jer aku cam org xbtol time baca cerpen ni������
Sweettt gileeee...tersenyum jer aku cam org xbtol time baca cerpen ni������
Bestnyee..laen drpd yg laen..kipidap!
Alolo..sweetnyee..best sgtt2..
Sy bru baca.. Sy suka sy suka.. Mak Abah sy mcm ni.. Now,anak2 dh berjaya but they still romantic as always.. One of ex student Mak dy accountant n her day kerja pekebun sekadar ja.. Keep it up..
*bapak dy kerja pekebun sekolah ja(typo hehe).. Tp anak comel2.. Hehe sebenaqnya rmai ja yg mcm ni,, Tp depend on us la how to create the happiness..
best la cite ni bro...-iezahtakuya
Boleh tahan...seronok baca cerpen...klu boleh buat light novel..boleh up bakat sikit...
Udah berkali-kali baca cerpen ini tapi engga bosen-bosen. Masyaallah ^^
Penghujung 2019 & masih lagi membaca cerpen2/mini novel abc..
Keep up the good work dear..
terima kasih
Post a Comment