Monday, March 26, 2018

Mini Novel 2018 : Tuan Haji Esmael - Part 1

TUAN HAJI ESMAEL (T.H.E)

Part 1

Tuan Haji Esmael bin Tuan Haji Ebrahem, jejaka 40 tahun yang sudah lima kali bertunang tetapi tidak jadi berkahwin akhirnya. Sebab? Orang kata Tuan Haji Esmael garang dan tegas orangnya. Mungkin sebab itu tiada yang sanggup menjadi isteri kepada Tuan Haji Esmael. Mungkin. Biarpun sudah lima kali tak jadi kahwin, masih ramai mak-mak, bapak-bapak yang berkenan sangat nak jadikan Tuan Haji menantu mereka. Manakan tidak, orangnya segak bergaya walaupun sudah cukup 40 tahun. Orangnya berada, harta warisan keluarga banyak, harta sendiri pun banyak. Kerja kampung sahaja tapi berjaya dalam apa yang diusahakan. Ilmu agama pula, cukuplah untuk memimpin diri dan keluarga. Sempurnakan?

Kisah cinta Tuan Haji Esmael bermula apabila Nur Annisa pulang ke kampung setelah tamat pengajian di Universiti. Nur Annisa sudah keluar menyambung pelajarannya sudah lama. Sejak umur 13 tahun dia sudah belajar di asrama, sambung pula di kolej Matrikulasi selepas SPM kemudian terus ke Universiti. Jarang nampak muka di kampung kerana Nur Annisa lebih suka bekerja sambilan di bandar dalam tempoh dia bercuti atau sebelum menyambung pelajaran.

Nak jadi cerita, Nur Annisa tidak mencari kerja sambilan setelah tamat pengajian di Universiti. Hatinya mendesak dia untuk berada di kampung sebelum dia diterima bekerja. Tidak lebih setahun, itu katanya. Niat hati Nur Annisa cuma mahu berbaik-baik dengan kedua-dua ibu dan abahnya. Sejak dia mendesak untuk ke asrama walaupun sedar keluarga mereka tidak mampu, ibu dan abah mula terasa Nur Annisa tidak memahami orang tuanya yang susah dan Nur Annisa seolah-olah mementingkan diri. Adik beradiknya ramai, dicelah-celah ibu dan abah berbahagi duit untuk belanja keluarga Nur Annisa meminta untuk ke sekolah berasrama. Kos yang lebih tinggi dan perlu belanja yang banyak. Nur Annisa ada niatnya tersendiri, lari. Ya lari dari sebuah realiti.

“Nak ke mana lagi Nisa?” Soal ibu setelah melihat Nur Annisa siap memakai tudung turun sarapan pagi itu. Nur Annisa hanya tersenyum. Air milo dituangkan ke dalam cawan yang ada.

“Nisa nak pergi memancing dekat bendang kampung belakang ni ibu. Semalam dapat 2 ekor, hari ni nak pergi awai sikit. Dapat banyak nanti boleh ibu buat pekasam.” Ujar Nur Annisa. Ibu menggeleng kepala.

“Duduk rumah sudahlah. Kamu anak dara, bahaya pergi sorang-sorang. Sunyi kan dekat situ?” Ibu melarang. Nur Annisa tetap tersenyum. Abah yang sedang mengasah parang diluar mendengus perlahan.

“Betui cakap ibu tu Nisa, duduk rumah, belajar masak dengan ibu, belajar menjahit ada juga gunanya” Abah juga melarang. Nur Annisa mencebik manja.

“Nisa dah penat belajar masa dekat Universiti dulu, jadi Nisa nak rehat kejap dari memasak dan menjahit, boleh? Nisa pergi sat ja  ibu, abah. Pukul 10 nanti Nisa balik ya. Janji.” Nur Annisa mengangkat tangan berjanji. Ibu dan abah menggeleng. Tahu sudah, Nur Annisa degil!

Kelihatan beberapa orang lelaki dan perempuan keluar dari surau kecil kampung. Ada yang masih bertelekung ada yang sudah bertudung. Yang lelaki pula ada yang sudah memecut laju pulang ke rumah dan masih ada yang berbual-bual di depan surau.

“Tuan Haji nak balik terus ka lepas ni?” Ujar Imam Ahmad kepada Tuan Haji Esmael.

“Saya nak singgah rumah Cik Man kejap, tiba-tiba tak datang surau pagi ni selalunya ada.” Imam dan beberapa orang lelaki yang turut bersama-sama mereka hanya mengangguk.

“Iyelah, kirim salam dekat dia ye. Kalau apa-apa bagitaulah.” Ujar Imam lagi.

“InshaAllah. Haa imam, berapa ekor lembu nak korbankan tahun ni?” Tuan Haji Esmael menyoal. Sebagai pembekal lembu dan kambing kampung itu, dia perlu tahu. Takut tak cukup pula nanti.

“Sama macam tahun lepas rasanya, 10 ekor. Kalau lebih atau kurang bulan depan saya maklumkan semula boleh?” Tuan Haji Esmael mengangguk.

“Okaylah kalau macam tu, saya balik dulu.” Tuan Haji Esmael mengundur diri. Disalami semua yang ada sebelum memecut dengan motor kesayangannya.

“Tuan Haji tu kaya, masih setia dengan motor Honda petak arwah ayah dia ye.” Ujar salah seorang daripada mereka.

“Banyak kenangan la tu. Lagi pun masih elok, nak buat apa cari baru.” Ujar Imam.

“Imam, Tuan Haji tu tak nak kahwin ke?” Imam menggeleng, selalu sangat soalan itu dia terima sedangkan Tuan Haji Esmael bukannya ada pertalian darah dengannya. Tuan Haji Esmael banyak habiskan masa di surau. Lima waktu di surau.

“Usahlah tanya saya. Soal jodoh, ajal maut kerja Allah. Kita doakan dicepatkan jodoh buat dia, InshaAllah.” Semua mengangguk perlahan.

Nur Annisa mempersiapkan semua kelengkapan untuk memancing. Umpan yang telah dicari semalam diperiksa, cacing ni bukan boleh kira, suka lari masuk tanah semula. Setelah berpuas hati, dia meletakkan semua ke dalam bakul basikalnya.

“Assalamualaikum.”Suara dari depan rumah. Nur Annisa yang siap berkemas mahu menjawab salam dan melihat siapa yang datang namun abah lebih pantas.

“Waalaikummusalam, Tuan Haji ke. Allah, ingatkan siapa tadi.” Jawab abah, ramah.

“Saya la Cik Man, harini saya cari Cik Man dekat surau takde sebab itu saya ke mari.” Tuan Haji Esmael membalas. Nur Annisa yang curi-curi dengar menjungkit bahu, tidak mahu mendengar lebih-lebih apatah lagi melibatkan lelaki pujaan ibu abah. Sejak pulang ke kampung, nama itu sering meniti di bibir ibu abah. Pilihan menantu untuk kak Ain.

“Ini ke Annisa?” Soal Tuan Haji Esmael kepada abah setelah Nur Annisa melintasi mereka berdua di depan rumah. Nak tak nak Nur Annisa terpaksa menghentikan langkah dan menunduk hormat sebagai tanda sapaan. Kalau terus pergi tak ke namanya sombong?

“Iyelah, ini Nisa. Nak pergi dah ke Nisa? Ingat pukul 10 balik.” Pesan abah.

“Okay abah. Pukul 10 Nisa balik.”

“Nak ke mana Annisa?” Soal Tuan Haji Esmael tiba-tiba. Nur Annisa terkaku seketika. Suaranya menggetar jiwa! Patutlah ramai tangkap cintan. Nur Annisa bermonolog sendiri.

“Memancing dekat bendang.” Jawab Nur Annisa ringkas dan padat.

“Banyak ke dapat?” Soalnya lagi. Nur Annisa sudah tidak senang duduk, banyak pula soalannya.

“Semalam dapat dua ekor je, sebab tu harini keluar awal sikit.” Tuan Haji mengangguk perlahan.

“Saya gerak dulu ye pak cik, abah.” Abah berdecit perlahan, mata membuntang memandang Nur Annisa. Nur Annisa mengerut dahi, kenapa? Tuan Haji hanya tersenyum meleret. Adeh! Manis.

“Kalau esok pergi lagi saya ikut boleh?” Nur Annisa menelan air liur, ikut pulak?

“Haaa… terpulanglah, saya pancing pun bendang orang bukan saya punya. Saya gerak dulu ye pak cik, abah.” Terus Nur Annisa mengayuh laju basikalnya. Sempat memandang abah yang merah muka, marah? Betullah pak cik. Tua dah tu…

“Maaflah Tuan Haji, Nisa ni bukan kenal siapa.” Abah malu-malu.

“Eh, kenapa pula nak minta maaf?”

“Nisa panggil Tuan Haji pak cik tadi.”

“Ya Allah, betullah tu. Annisa muda lagikan Cik Man. Saya ni dah cukup 40 tahun, pak cik la tu. Tak payah minta maaflah.” Tuan Haji Esmael ketawa. Abah tersipu-sipu malu dan ada sikit marah buat Nur Annisa.


to be continue ...
please leave some comments ya!
much love readers!

10 comments:

Yasmin Syamimi said...

Ehem...ehem...menarik intro

akubersamacahya said...

tq! ��

Anonymous said...

Best ada cite lg

aTie said...

Nampak menarik... Terima kasih terus berkarya..

akubersamaCahya said...

tq! abc tengah usahakan yang terbaik utk korang and abc jugak!

exam said...

macam best je..nak lagi

akubersamacahya said...

dh bc part 2???

Kak Id said...

Sekejap je tak jenguk sini dah ada cerita baru. Bagus3...akak suka penulis yg rajin ni😍😍

akubersamaCahya said...

Tq! Isnin depan sambung lg ya

akubersamaCahya said...
This comment has been removed by the author.