Tuesday, March 27, 2018

Mini Novel 2018: Tuan Haji Esmael - Part 2

TUAN HAJI ESMAEL (T.H.E)

Part 2

Dari kejauhan kelihatan Nur Annisa dengan kailnya. Sesekali diperbetulkan umpan. Cubaan demi cubaan, umpannya belum mengena. Jam sudah menunjukkan jam 9.50 pagi. Teringat janjinya dengan ibu dan abah. Nur Annisa mengemas barang-barang. Batang pancingnya diangkat dari air. Tiada rezeki. Baru sahaja hendak mengayuh basikal pulang, ada tangan yang menarik basikalnya dari belakang, mujur sahaja dapat dikawal basikalnya kalau tidak pasti akan terjatuh.

“Kau nak apa Omar?” marah Nur Annisa. Omar, kutu rayau a.k.a samseng kampung. Sudah lama menyimpan rasa terhadap Nur Annisa tetapi tiada balasan.

“Aku nak kau la. Rindu sangat dengan awek aku ni. Dah lama tak nampak muka cantik kau.” Omar mula mendekati dan mahu memegang bahu Nur Annisa.

“Kau gila ke hah?! Kau jangan sampai aku tumbuk muka kau.” Nur Annisa berang. Omar sudah melampau.

“Memang aku gila, aku gilakan kau Nisa. Dah lama aku tunggu saat-saat macam ni. Berdua-duaan dengan kau.” Omar semakin berani, mula menyentuh tangan dan muka Nur Annisa. Nur Annisa melepaskan basikal yang sedari tadi dipegangnya.

“Kau jangan cari pasal dengan aku, aku jerit baru kau tau.” Nur Annisa mula memerhati sekelilingnya. Kenapalah tidak disedarinya kawasan itu sunyi sepi. Nur Annisa mula berdoa dalam hati, moga-moga ada yang menghampiri mereka, Omar di depannya sangat menakutkan.

“Tiada siapa-siapa kat sini, kalau ada senang la. Aku dengan kau, kahwin free.” Omar ketawa besar, ketawa penuh dengan kejahatan. Nur Annisa sudah buntu. Omar tidak membuang masa, sudah lama Nur Annisa diidam-idamkannya. Omar meluak-luak marah apabila teringatkan pinangannya yang ditolak oleh Nur Annisa tahun lepas.

“Kau lepaskan aku! Tolong!” Nur Annisa mulai menjerit apabila Omar mula memeluk dirinya. Meronta-ronta Nur Annisa apabila Omar mula bertindak lebih jauh.

“Kau lepaskan aku! Omar kau jangan gila!” Nur Annisa berusaha melepaskan diri. Omar sudah hilang waras. Makin Nur Annisa melawan semakin dia naik gila.

“Hoi! Korang buat apa?!” Suara yang entah dari mana menjerkah. Jerkahan itu membuatkan Omar cepat sahaja melepaskan Nur Annisa daripada pelukkannya.

“Cik Hussin, tolong Nisa.” Nur Annisa melarikan diri ke arah sekumpulan lelaki yang amat dikenalinya. Orang-orang surau dan pak Imam.

“Tolong kamu apa? Aku dapat laporan ada orang buat maksiat dekat sini sebab tu kami semua ni datang.” Marah Pak Cik Hussin. Imam menggeleng kepala.

“Apa kamu buat ni Omar, Nisa?” suara Imam. Nur Annisa kaget.

“Nisa memancing dekat sini, Omar datang nak buat bukan-bukan dekat Nisa.” Nur Annisa mula membela diri, menceritakan hal sebenar setelah mendapati mereka yang datang itu mencurigai dirinya.

“Sayang sampai hati awak cakap macam tu. Kita sama-sama sukakan?” Omar pula buat hal. Nur Annisa berang. Panas sudah mukanya, marah dan malu.

“Kau gila omar! Kalau aku suka kau aku tak tolak la pinangan kau tu. Gila!” Marah Nur Annisa.

“Sudah-sudah. Kita balik rumah kamu Nur Annisa. Bincang di rumah.” Imam bersuara. Semua bersetuju dan mula membawa haluan ke rumah Cik Man, rumah abah Nur Annisa.

“Saya tak salah!” Tempik Nur Annisa setelah semua yang ada ketika itu mahu satukan dia dan Omar. Gila!

“Nisa!” Jerkah abah.

“Nisa tak salah abah, Nisa hampir-hampir jadi mangsa Omar. Sekarang semua tuduh Nisa berzina dengan dia dan sekarang nak suruh Nisa kahwin dengan dia?” Ujar Nur Annisa, bengang.

“Kalau kamu tak salah, kenapa ada yang laporkan dekat kami tentang kamu berdua?” Pak Cik Hussin menambah lagi.

“Siapa? Siapa yang laporkan tu?” Nur Annisa menyoal. Kemarahannya tidak dapat dibendung lagi. Bagi dia apa nak jadi, jadilah asalkan dia tak kena kahwin dengan Omar.

“Siapa yang lapor tu tak penting, yang penting maruah kamu tu Nisa!” Abah bersuara lagi.

“Tak penting? Penting abah, demi maruah Nisa yang semua orang tengah pijak-pijak sekarang, Nisa berani junjung al-Quran yang Nisa tak bersalah. Allah saksi Nisa.” Ujar Nur Annisa tegas. Semua yang berada di rumah Cik Man sudah berbisik sesama sendiri.

“Jadi macam mana sekarang ni?” Ujar ibu. Sedari tadi diam seribu bahasa, diam tidak marah pun tidak. Tapi ibu langsung tidak memandang wajah Nur Annisa.

“Saksi ada, cukup membuktikan yang mereka berdua ni berdua-duaan dekat hujung bendang tu. Tapi saya lihat pun macam Annisa sedang membela diri dia. Annisa kata dia tak bersalah, Omar ni pulak kata yang lain. Omar ni saya pun kurang percaya. Saya serahkan dekat Cik Man, ini anak Cik Man, soal keluarga Cik Man.” Imam tidak mahu memaksa, Nur Annisa bersungguh-sungguh menafikan. Siapa sahaja yang tidak kenal dengan Omar, ada sahaja yang dibuatnya sehingga menyusahkan orang lain.

“Elok kahwinkan sahaja, esok lusa membuncit siapa nak tanggung.” Pak Cik Hussin menambah-nambah. Nur Annisa naik berang. Kalau ikutkan fikiran yang tak waras, sudah ditampar-tampar mulut orang tua itu.

“Cik Hussin jangan fitnah saya, takkan membuncitlah sebab saya masih kenal halal haram, mana dosa dan mana pahala. Saya takut lagi dengan Allah. Jangan cuba tegakkan benda yang salah!” Nur Annisa membela dirinya. Dari awal sehingga kini. Biarlah bertahun sekali pun, dia akan membela dirinya.

“Aku pun tak hadaplah nak kahwin dengan kau. Ingat kau bagus sangat ke? Jangan ingat orang tak tahu apa kau buat kat bandar. Entah-entah selama ni pergi belajar ke cari jantan!” Omar yang berang apabila rancangannya gagal, mula mereka-reka cerita. Ibu dan abah yang mendengar kata-kata itu mula panas telinga. Nur Annisa mengetap giginya, fitnah lagi!

“Apa yang Nisa buat dekat bandar? Kau jangan nak fitnah anak aku!” Abah sudah naik berang. Satu persatu hal timbul, belum selesai satu Omar sudah menambah lagi.

“Cik Man percaya sangat anak Cik Man yang konon pandai sangat ni. Kalau Cik Man nak tau, Annisa ni pakwe dia mat rempit dekat bandar tu, sebab tu dia tak nak balik kampung ni. Semua orang dah tau Annisa ni dah rosak, dah kena tebuk!” Omar menabur fitnah. Nur Annisa terkesima. Laju sahaja dia melangkah menghampir Omar, mahu ditampar-tampar muka lelaki itu sampai pecah! Baru sahaja beberapa langkah tangannya direntap ibu.

“Betul ke Nisa apa Omar cakap tu?” Jerkah ibu. Nur Annisa bingung, takkan ibu percaya?

“Tipu ibu, Nisa tak buat semua tu. Ibu tahukan Nisa kerja, Nisa belajar. Takkan ibu percaya dengan apa yang Omar katakana tu?” Nur Annisa membela diri.

“Cakap betul-betul dengan ibu Nisa, betul Nisa tak buat semua tu?” Ibu menyoal lagi. Nur Annisa mengangguk laju, air mata sudah membasahi pipi.

“Haaa, kan dulu Ain dah cakap ibu, ibu tak nak percaya. Sekarang orang lain pun dah tahu cerita.” Entah dari mana Nur Ain, kakak Nur Annisa menyampuk. Tak kurang sesaat, pipi Nur Annisa ditampar kuat.

“Abah???” Nur Annisa terjelepok jatuh ke lantai rumah.

“Aku jaga kau, aku bela kau, ini yang kau balas dekat aku?” abah naik berang. Mahu dipukul lagi Nur Annisa namun Tuan Haji Esmael yang turut libatkan diri dalam perbincangan sejak awal tadi menahan.

“Sudah Cik Man, bukan ini caranya. Nur Annisa bukan macam tu. Kita siasat betul-betul. Cari bukti. Sekadar cakap, fitnah jadinya.” Tuan Haji Esmael cuba menenangkan abah.

“Demi Allah, Nisa tak buat semua tu. Nisa sayang ibu dan abah, takkan Nisa nak malukan keluarga kita. Demi Allah, Nisa tak buat.” Nur Annisa terus membela diri. Atas dendam apa Kak Ain sanggup berdusta sebegitu. Atas amarah apa, sanggup berkomplot dengan Omar yang tak guna tu? Nur Annisa berbisik sendiri.

“Macam ni lah, kita semua balik dahulu. Biar Cik Man dan keluarga bincangkan hal ni.” Imam Ahmad mula bersuara. Ini hal maruah seorang gadis dan juga maruah sebuah keluarga. Baik buruk, biar mereka sahaja yang tentukan. Orang lain cuma akan memburukkan lagi keadaaan dan jika ada yang hasad dengki pastinya waktu begini akan dinikmati mereka.

“Aku tak kira, Omar aku nak kau kahwin dengan Nisa, malam ni jugak!” Ujar abah, tegas.

“Abah!” Nur Annisa sudah habis kata, sedar ibu dan abah sudah termakan kata-kata Omar dan kak Ain.

“Cik Man simpanlah anak Cik Man tu. Biar membusuk. Jahat-jahat aku ni, aku cari perempuan yang masih dara.” Omar menyindir menambah bara ke atas api yang sudah pun marak. Abah terkesima, mukanya merah menyala. Ibu juga namun sudah tiada kata-kata, yang ada hanya air mata. Kak Ain memandang Nur Annisa dengan senyuman sinis dan penuh makna. Adik beradik yang lain hanya membisu, ada yang turut menangis sama.

Semua orang beransur pulang sebagaimana yang disuarakan Imam Ahmad, namun pulang dengan banyak cerita. Cerita yang akan dicanang seluruh pelusuk kampung. Ibu sudah hilang bersama-sama Kak Ain.

“Kamu dah malukan aku!” Tempik abah. Kakinya cepat sahaja mahu memijak Nur Annisa yang sedari tadi masih terduduk di lantai.

“Allahuakbar, Cik Man. Mengucap, Istighfar banyak-banyak.” Tuan Haji Esmael yang baru sahaja hendak pulang terpandang akan tindakan abah kepada Nur Annisa. Nur Alia dan Nur Aishah cepat-cepat memeluk kakak mereka.

“Allah…Allah…”Luluh sahaja suara abah. Seketika kemudian abah terduduk dekat sahaja dengan Nur Annisa. Tuan Haji Esmael memeluk erat orang tua itu.

“Nisa tak buat abah. Nisa jaga diri Nisa. Demi Allah.” Nur Annisa bersuara dengan esakkan kecil. Nur Alia dan Nur Aishah juga mengatakan yang sama, mereka percaya. Nur Annisa kakak yang paling rapat dengan mereka, adik-adik berbanding Nur Ameena dan Nur Ain.

“Kalau kamu tak buat sekalipun Nisa, siapa nak percaya?” Abah bersuara lirih.

“Abah percaya sudah cukup buat Nisa.”

“Habis,mulut orang kampung? Kamu perempuan Nisa. Siapa nakkan kamu kalau cerita ni heboh esok?”

“Nisa tak kisah semua tu abah, asal keluarga Nisa percayakan Nisa.”

“Dari dulu sampai sekarang, kamu cuma fikir diri kamu saja. Kamu ada fikir, mana ibu dengan abah nak letak muka kami? Kamu tak nak kahwin kamu punya pasal, kamu ada fikir kakak kamu, adik-adik kamu?” Ibu yang entah dari mana datang mula bersuara keras.

“Tapi ibu, Nisa tak buat.”

“Kamu buktikan.” Nur Annisa buntu.

“Kamu kahwin dengan Omar, esok ibu akan jumpa mak ayah Omar.” Ibu sudah membuat keputusan.

“Nisa tak nak!” Nur Annisa membantah.

“Habis kamu nak kahwin dengan siapa? Tak ada siapa akan nak kamu yang entah suci atau tak!” tempik ibu.

“Ibu tak percaya Nisa?”

“Aku nak kamu buktikan, baru aku percaya.”

“Kenapa mesti kahwin?” Soal Nisa.

“Dah itu aje jalan nak tutup mulut orang kampung.”

“Nisa tak nak.” Nur Annisa membantah. Gila! Aku tak salah!

“Kamu boleh tak sekali fikir ibu dengan abah yang jaga kamu dari kamu kecik? Boleh tak sekali ni kamu jangan fikir diri kamu saja?!” jerkah kak Ain tiba-tiba.

“Nisa tak buat, sebab tu Nisa tak nak. Memperjudikan diri Nisa untuk kahwin dengan Omar yang jelas tak ada masa depan.” Bantah Nisa. Bengang juga dengan kak Ain yang banyak menyokong kata-kata Omar sebentar tadi.

“Habis kamu rela conteng arang muka ibu dengan abah? Dasar anak tak kenang budi.” Bidas kak Ain. Nur Annisa terkedu. Sampai begitu sekali bencinya kak Ain terhadap dirinya.

“Sudahlah, kamu bising-bising tak jadi apa.” Abah mengawal keadaan.

“Habis tu bang, esok ni mesti semua orang mengata kita. Nur Ameena baru nak kahwin 2 bulan lagi. Abang rasa bakal besan kita tak akan rasa apa-apa ke dengan hal ni?” Ibu menambah lagi. Nur Annisa memejam mata, berat sungguh hati ibu untuk percaya dengan dia.

“Aku tengah fikir la ni. Aku pun kalau boleh elak memang nak elak Omar jadi menantu aku. Nur Annisa ni anak aku, takkan aku nak serah dia ke mulut buaya.” Ujar abah, sedikit melegakan hati Nur Annisa.

“Siapa lagi nak ke dia ni bang? Buaya tu yang dia cari, buaya tu la layak untuk dia.” Sinis sahaja kata-kata ibu.

“Ibu… sampai hati ibu.” Nur Annisa melirih.

“Kalau Cik Man setuju, boleh saya pinang Nur Annisa untuk jadi isteri saya?” Mereka semua hampir terlupa yang Tuan Haji Esmael masih bersama mereka. Terkedu semua orang mendengar cadangan yang disuarakan Tuan Haji Esmael.

“Ya Allah, Tuan Haji. Betul ni Tuan Haji? Allahuakbar.” Abah yang masih tidak percaya, laju sahaja memeluk tubuh Tuan Haji Esmael.

“Betul. Saya nak pinang Nur Annisa menjadi isteri saya. Boleh Nur Annisa?” Nur Annisa tika itu sudah kelu lidahnya. Nak ditolak, dibantah namun suaranya seakan-akan hilang.

“Siapalah yang tak setuju Tuan Haji… terima kasih Tuan Haji.” Abah setuju 100%. Tuan Haji memang lelaki yang selalu dipujinya. Setiap masa.

“Tapi bang, abang lupa ke?” Ibu memberi isyarat mata. Ibu resah, begitu juga kak Ain.

“Apa lagi Limah? Allah dah tolong kita.” Abah kembali ceria dari wajah yang kusut semenjak mendapat berita buruk petang tadi.

“Tapi Cik Man, Nur Annisa setuju ke?” Tuan Haji Esmael menyoal, matanya terus sahaja memandang Nur Annisa yang masih berendam air mata.

“Nisa kena setuju. Ni pilihan yang terbaik.” Abah memberi kata putus. Tuan Haji hanya mengangguk dan tersenyum. Ibu merengus kasar, ditarik tangan kak Ain masuk ke dapur.



to be continue...
komen di bawah ya.
much love readers!

8 comments:

Unknown said...

nnt mesti kak ain dia tu lg xsuka kt annisa ni..
xsabar tggu next part :)

akubersamacahya said...

itulah. ish3

Khairun Najwa said...

Dia orang ni adik beradik kandung ke tiri.Kenapa dengki sangat.Ayo.Ceh emo.Haha.

Tasabar nak tunggu sambungannya.

akubersamacahya said...

kandung. nnt Kita tgk pasaipa Ain dengki sgt dkt annisa

Siti said...

Cepat THE menghantar pinangan...😊

aTie said...

Tak suka dengki adik beradik... Tak sabar tunggu sambungan...

Anonymous said...

tuan haji dah kenan diaaa kaannnn sebenarnya ahhahah

- Sumayyah Nadhirah-

Rararawr said...

Sambung plis 😚

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders