Wednesday, January 16, 2013

Mini Novel: Pengganti - 1



Suha merenung kakinya yang sudah lenguh berjalan. Sehari suntuk dia keluar mencari kerja. Kerja sementara, sementara menunggu buka semester yang seterusnya. Keadaan keluarga yang kurang berkemampuan walaupun dia merupakan anak tunggal membuatkan Suha berusaha gigih mencari kerja. Ayah dan ibu sudah tua, hanya mengusahakan kebun kecil di belakang rumah mereka. Semester hadapan dia akan memasuki semester akhir, tentu sahaja banyak wang yang akan digunakan. Mahu atau tidak, Suha perlu berusaha sendiri tanpa menyusahkan kedua-dua ayah dan ibunya. Suha mengurut-urut kaki yang dilunjurkan ke hadapan. Hanya dia seorang diri menunggu bas di hentian berdepan dengan Kedah Medical Centre (KMC) waktu itu. Tengahari terik begini siapalah yang mahu keluar rumah?

            Lembaran-lembaran iklan yang dilekatkan di hentian itu dibelek-belek Suha sementara menunggu bas lalu di kawasan itu. Kebanyakkan iklan yang dipaparkan adalah mengenai pinjaman wang berlesen. Berlesen ke tidak yang pasti, semua itu hanya menjerut leher dengan nilai faedah yang sangat tinggi. Suha berdoa dalam hati, moga dia dan keluarganya jauh daripada masalah-masalah kewangan sehingga menyebabkan mereka sekeluarga berhutang dengan sesiapa. Sedang asyik membelek  iklan-iklan yang terpapar, matanya tertancap kepada satu iklan yang kertasnya sudah agak kusam. Iklan yang menarik perhatiannya.

            “Guru tuisyen peribadi.” Suha berbisik sendiri. Tangannya pantas sahaja mengeluarkan telefon bimbit dari poket beg sandangnya. 

            “Cuba nasib, mana tahu masih kosong.” Suha bermonolog sendiri, melihatkan keadaan lembaran iklan itu yang sudah agak kusam membuatkan Suha tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.

            “Hello... Waalaikummussalam.” Suha yang baru mahu bersuara sebaik sahaja talian di sambut, menjawab salam yang laju sahaja diberikan oleh orang di hujung talian.

            “Saya Suha, saya ada baca iklan yang....”

            “Mama, Im dah dapat cikgu!!!” Belum sempat memperkenalkan diri, laju sahaja kata-katanya dipotong. Suha yang mahu bersuara, akhirnya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Orang di hujung talian itu, asyik menjerit dan terpekik dengan orang yang dipanggil mama sedari tadi. Beberapa minit kemudian barulah orang yang dipanggil mama itu mengambil telefon dan bersuara.

            “Hello, cik baca iklan cikgu tuisyen peribadi tu ye?” Soalnya.

            “Ya, ya, iklan tu. Masih kosong lagi?” Suha menyoal kembali. 

            “Baru kosong balik. Cik nak kerja tu ke?” Suara itu menyoal lagi. Suha tersenyum lebar.

            “Ye, saya nak. Macam mana ye nak mohon?” Suha sudah sedikit berharap.

            “Datang rumah boleh? Cik dekat mana?” Soalnya lagi.

            “Saya tengah tunggu bas, dekat KMC.” Jawab Suha, resah juga untuk ke rumah orang yang langsung tidak dikenalinya. Disebabkan kerja yang dicarinya beberapa hari ini sudah di depan mata, dia cuba bersangka baik.

            “Boleh ke rumah saya? Taman Pandan, rumah berdepan Sekolah Menengah Syed Omar tu.” Ujar suara itu lagi.

            “Boleh, tapi lambat sikit ye, bas takde lagi ni.” Ujar Suha berterus terang. Suara itu terdiam beberapa saat, kemudian terdengar dia berbual dengan seseorang di sana.

            “Cik tunggu situ, nanti anak saya akan ambil cik dekat situ. Boleh?” Suaranya. Suha serba salah.

            “Takpe ke? Macam menyusahkan pula.” Ujar Suha dalam dua rasa. Serba salah kerana menyusahkan dan serba salah kerana tidak mengenali langsung mereka itu, kalau mereka orang jahat macam mana?

            “Anak saya on the way balik rumah juga tu. Tunggu tau, Cik pakai baju warna apa ye?” Suara itu menyoal, penuh ramah.

            “Baju kurung warna biru muda, tudung putih.” Ujar Suha. Talian dimatikan, Suha terus menunggu di situ seperti yang di arahkan. Hatinya masih belum lega selagi belum selesai rundingan kerjanya dengan entah sesiapa itu. Terasa gementar jika dia tersalah langkah dan masuk ke dalam perangkap orang jahat. Suha resah!

            “Haikal, ingat pesan mama tau. Ambil cikgu tu dekat bus stop seberang KMC.” Ujar Puan Johanna untuk kesekian kalinya kepada anak lelakinya, Khaliff Haikal. 

            “Ye ma, I know-I know. Haikal on the way ke sana la ni. Cikgu nama apa ma?” Soal Haikal membuatkan Puan Johanna tergaru-garu kepalanya.

            “Ala, mama lupa pulak nama dia. Tak kisahlah, dia pakai baju kurung biru muda tudung warna putih. Cepat sikit, kesian dia.” Ujar Puan Johanna.

            “Ish mama ni, entah sesiapa aje jadi cikgu adik. Tunggu ye mama, 10 minit Haikal sampai rumah dengan cikgu tu. Bye.” Haikal kemudian mematikan talian, kepala digelengkan beberapa kali. Senyuman kecil terukir di bibirnya.

            “Mangsa seterusnya.” Haikal kemudian ketawa besar. Sudah dua kali guru tuisyen adiknya, Imtiyazz bertukar ganti. Semuanya angkara perangai ‘nakal’nya yang mengganggu guru-guru itu sepanjang berada di rumahnya. 

            Beberapa minit kemudian, Haikal sudah sampai ke destinasi yang dikatakan itu. Di hentian itu hanya kelihatan seorang gadis muda yang memakai baju kurung rona warna yang sama seperti yang dikatakan Puan Johanna. Haikal tersenyum nakal. Otaknya sudah merangka sesuatu. Setiba di hadapan hentian itu, Haikal menurunkan tingkap keretanya. Gadis itu memandang ke arahnya tanpa riak. Beberapa kali Haikal menggamit ke arahnya namun dibiarkan sepi. Hon dibunyikan beberapa kali, hingga menarik perhatian kereta yang lalu lalang tetapi gadis itu hanya memandangnya dengan dahi yang berkerut.

            “Get in!” Haikal yang sudah keluar dari keretanya terus melaung memanggil gadis itu dari keretanya.
            “Saya ke?” Suha yang sedari tadi hairan dengan tingkah pemandu kereta BMW G4 itu akhirnya menyoal. Sedari tadi lelaki itu asyik menggamit memanggilnya, namun difikirnya lelaki itu sedang memanggil orang lain, jadi dia hanya membiarkan sahaja.

            “Yes, you!” Haikal kemudian terus masuk ke dalam kereta. Pintu sebelah pemandu kemudiannya dibuka dari dalam. Suha menghampirinya dengan langkah yang berhati-hati.

            “Awak tuan iklan ni?” Suha yang sudah berada di tepi kereta itu kemudian menunjukkan lembaran iklan yang diambil dari hentian bas ke arah Haikal yang berada dalam kereta. Haikal kemudian menghulur tangan untuk mengambil lembaran iklan yang ditunjukkan Suha itu. Beberapa ketika Haikal membelek iklan tersebut, bibirnya tersenyum sendiri, iklan tak professional langsung. Mesti kerja Imtiyazz! Haikal berbisik sendiri.

            “Ye, mama saya suruh ambil cikgu yang pakai baju kurung biru muda, bertudung putih. Awakkan?”Haikal kemudian melontar soalan. Suha memandang ke arah tubuhnya seketika, kemudian terus dia menganggukkan kepalanya.

            “Masuklah cikgu, mama dah tunggu dekat rumah.” Haikal, lembaran iklan itu diletakkan terus ke atas dashboard keretanya. Suha menapak masuk ke dalam kereta itu dengan berhati-hati, tali pinggang terus sahaja dipasang tanpa perlu diberitahu. 

            “Cikgu nama apa?” Khaliff Haikal kemudian menyoal sebaik sahaja kereta itu meluncur kembali di jalan raya. Suha yang masih berasa kekok itu menjawab pendek.

            “Suha.”

            “Suha? Suhaila? Suhana?” Khaliff Haikal menyoal lagi. Suha tersenyum kecil.

            “Suha Binti Sulaiman. Su-ha.” Ujar Suha satu persatu. Suha sudah biasa dengan soalan sebegitu, sudah lali. Sejak dari bangku sekolah sehinggalah ke Universiti, ada sahaja yang akan menyoal nama penuhnya sedangkan yang diberikan itu sememangnya nama penuh yang diberikan ayah dan ibu kepadanya.

            “Pendeknya.” Ujar Khaliff Haikal, Suha tidak berkata apa hanya tersenyum. Suha berasa kekok untuk berbual dengan lelaki yang baru sahaja dikenalinya itu. Hanya kenal wajah, namanya? Suha sendiri tidak tahu.

            “Boleh saya tahu nama encik?” Suha bersuara setelah lama mendiamkan diri. Soalan itu diutarakannya dengan berhati-hati. Dari riak wajah lelaki disebelahnya itu, tidak nampak keramahan. Malah lebih kepada keangkuhan. Cara matanya memandang Suha atas bawah sebentar tadi menambahkan anggapan itu kepada Suha.

            “Kenapa? Berminat nak berkenalan?” Haikal sengaja menjual mahal dan mengusik gadis itu yang dari matanya terlalu naif dengan dunia. Suha terdiam, muka mula merona merah. Malu!

            “Tak, tak. Jangan salah faham, saya cuma...” Suha cuba untuk menafikan apa yang dikatakan oleh Haikal. Takut jika lelaki sudah tersalah maksud dengan apa yang disoalannya itu.

            “Tak payah nak malu. I’m used to it. Keluar mana-mana aje semua nak berkenalan. Well.” Haikal memintas Suha dan terus sahaja bersuara riak. Suha sudah geli telinga mendengar Haikal yang mula mengangkat diri itu. Tidak mahu menidakkan atau mengiyakan, Suha mendiamkan diri. Haikal menjeling ke kirinya, dan tersenyum sendiri. Lebih kurang 10 minit, mereka tiba di rumah Haikal. Sebaik sahaja masuk ke garaj, Haikal terus sahaja keluar daripada kereta. Suha yang melihat Haikal pantas sahaja keluar, turut kelam kabut melangkah keluar. Baju kurungnya dibetulkan sedikit, pandangannya berkeliaran ke sekitar rumah itu. Besar halamannya, ringkas dengan taman kecil di penjuru rumah. Suha terpesona, jauh benar keadaan rumahnya dan rumah Haikal.

            “Mama...” Haikal melaung dari luar rumah. Suha hanya memandang dari kereta. Beberapa saat kemudian, seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 9 tahun berlari meluru keluar rumah. Imtiyazz, anak bongsu keluarga itu, adik kepada Haikal.

            “Abang Kal, mana cikgu Im?” Soal Imtiyazz. Haikal sekadar menjuih bibirnya ke arah Suha yang berada di belakangnya. 


            “Hai cikgu!” Imtiyazz terus melambai-lambaikan tangannya ke arah Suha yang baru melangkah menghampiri.

            “Hai, nama akak Suha. Adik?” Suha mencuit pipi Imtiyazz yang agak montel. Imtiyazz tersenyum lebar.

            “Nama saya Nur Imtiyazz Binti Johari.” Panjang sahaja Imtiyazz memperkenalkan dirinya. Suha tersenyum lebar, senang dengan sambutan gadis kecil itu kepadanya. Setelah beberapa ketika, Suha menyedari seorang wanita separuh usia menghampiri mereka.

            “Haikal, kenapa tak suruh cikgu masuk?” Haikal hanya menjungkit bahu, kemudian terus melangkah masuk ke dalam rumah tanpa bersuara atau memandang ke arah Suha.

            “Cikgu mari masuk dulu, kita bincang dekat dalam.” Puan Johanna menjemput Suha dengan penuh keramahan.

            “Terima kasih.” Suha menanggalkan kasutnya, kemudian dengan perlahan melangkah memasuki rumah itu sambil tangannya digenggam erat oleh Imtiyazz.

            “Im, pergi masuk bilik. Buat kerja rumah dulu, nanti baru kacau cikgu. Mama nak bincang dulu dengan cikgu ye.” Ujar Puan Johanna setelah melihat anaknya itu tidak mahu berenggang dengan gadis muda yang baru dikenalinya ini.

            “Ala... Im nak buat dengan cikgu baru Im.” Imtiyazz mula merengek manja. Puan Johanna menggeleng laju, Suha pula hanya tersenyum. Masih terkejut dengan penerimaan Imtiyazz terhadap dirinya, mudah benar gadis cilik itu menyukai dia?

            “Kejap lagi okay? Biar mama bincang dengan cikgu dulu, 10 minit aje sayang.” Puan Johanna memujuk. Tidak manis pula berbincang soal bayaran jika anak kecilnya itu ada bersama.

            “Kejap lagi, akak tolong Imtiyazz buat kerja sekolah ye.” Suha menambah, membuatkan Imtiyazz mengangguk dan terus melangkah ke biliknya. Puan Johanna menghela nafasnya, macam-macam fe’el!

            “Maaflah, Im tu suka sangat dengan kakak-kakak memandangkan dia takde kakak. Ada dua orang abang, tapi tu lah mana nak layan adik perempuankan. Saya harap cikgu tak kisah ye?” Puan Johanna segan dengan perlakuan Imtiyazz yang mungkin tidak selesa bagi Suha.

            “Takpe, saya tak kisah. Saya pun anak tunggal, suka juga ada adik ni. Puan tak perlulah panggil saya cikgu, saya bukan cikgu pun. Takde pengalaman mengajar pun, setakat mengajar adik-adik masa program-program di Universiti aje.” Suha menjelaskan. Segan pula asyik dipanggil cikgu sedari tadi. Dia bukan cikgu atau pelajar jurusan pendidikan, memang tak layak dengan panggilan cikgu.

            “Jadi saya nak panggil apa?” Puan Johanna menyoal, tangannya sibuk menghidang air yang dibawa orang gajinya sebentar tadi.

            “Panggil saya Suha.” Jawab Suha penuh sopan.

            “Suha? Sedap namanya.” Puan Johanna memuji, segelas air dihulurkan kepada gadis itu. Suha mengambilnya tanpa banyak soal, lalu disisipnya sedikit sebelum meletakkan kembali ke atas meja.

            “Suha bila boleh mengajar?” Puan Johanna mula membincangkan hal utama mereka.

            “Bila-bila pun boleh. Tapi saya mengajar untuk dua bulan aje, sebab belum habis semester lagi.” Ujar Suha, takut juga dia perlu mengajar lebih lama.

            “Oh, belum habis belajar la ni?” Suha menggeleng perlahan.

            “Takpelah, saya nak suruh Suha ajarkan subjek-subjek penting untuk Imtiyazz. Sementara cuti sekolah sekarangkan, Im tu lemah sangat matematik. Risau saya dibuatnya.” Ujar Puan Johanna.

            “InsyaAllah saya cubalah untuk dua bulan ni.” Ujar Suha penuh yakin. Puan Johanna sekadar tersenyum. Hati tuanya tercuit dengan kelembutan Suha.

            “Macam mana dengan bayaran?” Soal Puan Johanna, membuatkan Suha terdiam. Mana dia tahu soal bayaran, belum pernah dia menjadi guru peribadi yang mengajar di rumah.

            “Saya tak pandailah Puan.” Suha bersuara serba salah.

            “Kalau saya kira per subjek boleh? Satu subjek saya bayar dua ratus untuk sebulan. Berapa subjek tu nanti saya bincang dengan Imtiyazz sendiri. Boleh Suha?” Suha yang mendengar cuba mencongak sendiri. Akhirnya dia terkedu, banyaknya!

            “Tak mahal sangat ke?” Ujar Suha penuh jujur. Puan Johanna tersenyum melebar.

            “Kenapa? Nak harga tinggi lagi ke?” Haikal yang entah dari mana datangnya, mula menyampuk. Puan Johanna menampar perlahan tubuh anaknya itu, memberi amaran.

            “Bukan macam tu maksud saya.” Suha membidas perlahan dan penuh santun. Serba salah dibuatnya dengan kata-kata Haikal itu.

            “Suha jangan layan buaya ni. Menyibuk aje kerjanya.” Puan Johanna menjeling tajam anak lelakinya itu.

            “Mama kata Kal buaya? Sampai hati.” Haikal buat-buat merajuk. Puan Johanna langsung tidak peduli.

            “Biarkan dia Suha, macam mana, deal?” Puan Johanna menyambung perbincangannya dengan Suha. Suha yang sudah tidak memahami situasi ketika itu tercongok sendiri.

            “Tengok ma, dia nak harga tinggi lagi.” Haikal mencelah lagi. Membuatkan Suha menjadi gelabah.

            “Eh, tak. Saya setuju je semua Puan.” Puan Johanna berdecit kecil, wajah Haikal dipandangnya tajam.

            “Haikal, please jangan ganggu mama dan I’m warning you. Jangan sesekali ganggu Suha!” Puan Johanna memberikan amaran tegas. Haikal hanya ketawa kecil dengan amaran itu.

            “Ma, she is so naive. I like it!” Haikal berbisik ke telingan Puan Johanna membuatkan wanita itu menolak Haikal supaya menjauhi. Hatinya sedikit berang, sudah banyak kali anak lelakinya itu membuat perangai gatalnya yang menyebabkan habis lari guru-guru yang diupah sebelum ini. Semua kerana Khaliff Haikal!

            Setelah perbincangan dengan Puan Johanna selesai. Suha terus sahaja memulakan kerjanya untuk hari itu memandangkan dia sudah berjanji dengan Imtiyazz sebentar tadi. Hari ini dia akan bekerja separuh masa, memandangkan jam sudah menunjukkan jam 3 petang. Mulai esok, kerjanya sebagai guru tuisyen peribadi Imtiyazz bermula seawal 9 pagi sehingga 5 petang.

            “Cikgu... eh, Kak Suha.” Imtiyazz yang sudah dipesan supaya memanggilnya Kak Suha, tersasul. Terus sahaja dia menekup mulutnya.

            “Kenapa Im?” Suha memandang gadis cilik itu menyiapkan kerjanya. Imtiyazz menyambung penulisannya.

            “Kak Suha umur berapa?” Soal Imtiyazz, wajah Suha dipandang sekilas sebelum menyambung kembali kerjanya.

            “Erm, belum masuk tahun barukan. Umur akak 22 tahun, tua dah.” Ujar Suha dengan senyuman yang terukir dibibirnya.

            “Tua? Taklah, muda lagi. Abang Kal tu dah 29, next year dah 30. Tua-tua-tua.” Imtiyazz sengaja menguatkan suara dan perkataan tua memandangkan Haikal berada di ruang tamu utama tidak jauh dari mereka berdua.

            “I heard that adik!” Laung Haikal yang sedang leka dengan telefon bimbitnya. Sedikitpun tidak berpaling wajah. Suha sekadar tersenyum melihat keletah mereka berdua.

            “I know. Abang Kal, Kak Suha ni calon terbaik untuk jadi kakak ipar Im. I will 100 percent agree! I bet, Mama too!” Laju sahaja Imtiyazz menyuarakan pendapatnya itu, membuatkan Suha yang berada di hadapannya kini terkejut besar. Pipinya sudah terasa panas.

            “Apa Im cakap macam tu?” Suha bersuara perlahan, hampir berbisik kepada Imtiyazz yang sudah tersengih seperti kerang busuk. Haikal yang berada di ruang tamu mula mengangkat wajah. Dipandangnya Suha dengan pandangan yang tajam. Haikal mula bangkit dari duduknya dan melangkah menghampiri Imtiyazz dan Suha. Suha sudah gelabah sendiri.

            “Abang dengan cikgu Im ni?” Soal Haikal, bernada yang agak menjengkelkan telinga yang mendengar. 

            “Why?” Imtiyazz menyoal setelah melihat wajah abangnya itu yang memandang Suha dengan pandangan yang agak sinis. Suha sekadar membatukan dirinya, memekakkan telinga dan buat-buat seperti mereka berdua di hadapannya kini tidak wujud.

            “She is not my taste. Im, cikgu Im ni taste Abang Danny, bukan Abang Kal. I already have Shaha as your sister in law.” Haikal kemudian mencubit pipi adiknya dan terus melangkah ke tangga. Suha menghela nafas lega, setelah lelaki itu beredar dari situ.

            “Cikgu, jangan risau kalau nak cuba nasib masih boleh.” Haikal bersuara lagi, membuatkan Suha tersentak kecil. Wajah lelaki itu terus dipandangnya sebelum melarikan pandangan ke lain, setelah Haikal mengenyitkan mata ke arahnya. Haikal melangkah menaiki tangga dengan ketawa besar, berjaya mengenakan gadis naif itu.

            “Im takkan setuju kalau Abang Kal nak kahwin dengan Shaha. Totally not agree!” Imtiyazz yang masih menghabiskan kerjanya membentak kecil. Menyedarkan Suha yang sudah hilang dalam dunia resahnya. 

            “Kalau Im tak setuju sekalipun, jangan libatkan akak ye. Akak cari rezeki aje dekat sini.” Suha bersuara jujur, mahu Imtiyazz mengerti maksudnya.

            “Sorry akak, Im bukan sengaja. Im sekadar berkata jujur. Akak sangat-sangat, 200 percent lebih baik daripada Shaha, girlfriend Abang Kal tu.” Imtiyazz masih tidak berpuas hati. Sejak Haikal memperkenalkan Shaha kepada keluarganya, Imtiyazz sudah mula tidak bersetuju dengan pilihan abangnya itu.

            “Biarkanlah, pilihan dia. Im tu kena fokus belajar.” Suha cuba menasihati gadis cilik itu. 

            “Baik cikgu!” Imtiyazz bersuara dengan tangannya di angkat seolah berjanji. Suha tersenyum lebar. Hari ini terlalu panjang. Baru sahaja mengenali keluarga itu yang membuka pintu rezeki baginya, sudah macam-macam dilaluinya. Khaliff Haikal, lelaki itu selalu mengganggu perasaannya.

            “Assalamualaikum...” Suara garau itu menganggu sebentar Suha yang sedang mengajar Imtiyazz menyelesaikan satu masalah matematik yang tidak difahami gadis itu. Wajah Imtiyazz yang sebentar tadi mencerot dan berkerut akibat masalah matematik yang dihadapinya kini kembali ceria.

            “Abang Danny!!!” Imtiyazz terus bangun dan meluru ke pintu utama. Pekikan dari gadis cilik itu terus menarik perhatian Puan Johanna yang berada di dapur. Laju sahaja wanita itu melangkah ke arah pintu utama rumah. Suha yang tidak mengerti apa-apa, hanya bangun berdiri tegak di tempat yang sama. Matanya sahaja mengekori langkah Imtiyazz dan Puan Johanna ke arah pintu utama.

            “Hai sayang, mama mana?” Tubuh genit Imtiyazz terus dipeluknya erat. Imtiyazz membalas pelukan itu.
            “Mama dekat dapur.” Jawab Imtiyazz setelah merungkai pelukan. Tangan abangnya itu dirangkulnya erat dan melangkah masuk ke dalam rumah.

            “Danny! Balik tak cakap kenapa?” Puan Johanna yang menghampiri menyambut huluran tangan anaknya itu untuk menyalaminya. Dahi anaknya dikucupnya lama, melepaskan rindu.

            “Alah ma, Danny pergi dua minggu aje.” Puan Johanna tersenyum sendiri. 

            “Dua minggu pun, mama dah rindu.” Ujar Puan Johanna membuatkan tubuh wanita itu dirangkul ke dalam pelukannya.

            “I miss you too ma.” Bisiknya, Imtiyazz yang berada di situ mula mencekak pinggang.

            “Ma, tak boleh! Abang Danny pakwe Im. Ma ambil Abang Kal.” Imtiyazz menolak tubuh ibunya daripada pelukan Khaliff Daniel, abang sulungnya. Puan Johanna mencebik bibir seketika kemudian dia dan Daniel ketawa dengan tingkah Imtiyazz. Begitulah mereka kalau sudah berkumpul bersama-sama. Sejak pemergian ayah mereka, hubungan mereka berempat semakin erat. Daniel yang kemudian terpandang akan kehadiran Suha di situ mula berkerut dahi.

            “Siapa tu ma? Orang gaji baru?” Soal Daniel. Suha yang mulanya tersenyum ke arah Daniel, terus berubah riak. Suha memandang dirinya atas bawah beberapa kali, macam orang gaji ke? Soalnya sendiri.

            “Uishh, bukanlah. Cikgu tuisyen Im, baru hari ni mula.” Ujar Puan Johanna menjelaskan. Dia menggamit Suha supaya menghampiri mereka bertiga. Suha hanya menurut.

            “Suha ni, anak sulung saya. Khaliff Daniel. Danny, ni Suha, cikgu tuisyen Im.” Puan Johanna saling memperkenalkan mereka berdua. Suha sekadar mengukir senyum sebagai tanda hormat dan perkenalan. 

            “Hai cikgu, harap bersabarlah mengajar budak kecik ni.” Daniel menggosok kepala Imtiyazz yang sedari tadi memeluk erat lengannya. Imtiyazz menepis laju perbuatan Daniel kepadanya. Suha sekadar tersenyum dan mengangguk perlahan kepalanya.

            “Im baik ajelah!” Ujar Imtiyazz tidak puas hati dengan kenyataan abangnya itu.

            “Baiklah sangat sampai bertukar-tukar cikgu tuisyen.” Daniel mengejek. Imtiyazz menjeling tajam.

            “Itu semua kerja Abang Kal. Dia yang kacau semua cikgu-cikgu Im.” Imtiyazz mempertahankan dirinya.

            “Betul ke ma?” Soal Daniel dengan senyuman melebar, sudah faham benar dengan perangai buaya adik lelakinya itu. Puan Johanna sekadar mengangguk.

            “Suha ni dia tak kacau?” Daniel menyoal, membuatkan Suha terasa segan. Segan bila dirinya menjadi topik bualan.

            “Abang Kal kata bukan taste dia. Kak Suha taste Abang Danny.” Imtiyazz berterus terang, jujur sangat!

            “Ye ye aje. Suha, pedulikan diorang ni. Lagi layan, makin menjadi-jadi. Sampai tak terlayan.” Daniel bijak mengawal keadaan, kejujuran Imtiyazz membuatkan Suha kelihatan tidak selesa. Suha mengangguk dengan senyuman nipis.

            Tepat jam 5 petang, Suha mohon untuk pulang. Ibu ayah tidak lagi dikhabarkan dengan kerja yang baru diperoleh ini. Kalau mahu telefon tadi, belum tentu ada yang mengangkat panggilan. Sudah tentu sahaja ibu dan ayah berada di kebun belakang rumah, ataupun sedang mengutip hasil jualan sayuran dari kedai-kedai yang mengambil sayuran mereka untuk dijualkan.

            “Suha balik dengan apa ni?” Puan Johanna yang menghantar Suha sehingga ke pintu, mula menyoal.

            “Saya balik dengan bas, depan ni ada hentian bas.” Suha menghulurkan tangan untuk bersalam. Setelah itu, sandalnya disarungnya.

            “Saya suruh Daniel hantarkan?” Puan Johanna cuba membuat tawaran, kasihan juga melihatkan gadis itu menunggu bas petang-petang begini. Bimbang jika tiada bas yang beroperasi.

            “Takpe Puan, bas banyak lagi waktu ni. Saya dah biasa pun.” Suha menolak dengan baik. Puan Johanna mengangguk perlahan. Langkah gadis itu dipandangnya lama sehingga hilang dari pandangannya.

            “Mana nak dapat cikgu tu?” Daniel kemudian menyoal, sebaik sahaja ibunya melangkah memasuki dapur.

            “Dia call tanya mama, kosong ke tak lagi kerja yang mama iklankan tu. Kebetulan semalam Cikgu Sofia tu berhenti kerja. Mama pun suruh dia datang, mama tengok okay aje. Teruslah ambil kerja.” Ujar Puan Johanna, tangan ligat menyambung kembali kerja memotong sayur yang tergendala sebentar tadi. 

            “Muda sangat aje tengok.” Daniel menambah.

            “Baru 22, belajar lagi. Dia kerja part time aje, cari duit poket cuti semester.” Daniel mencebik bibir dan mengangguk.

            “Seronoklah si Haikal tu, putik muda katakan.” Daniel mula ketawa mengingati keletah Haikal yang pantang sahaja melihat perempuan cantik.

            “Amboi-amboi, balik aje terus mengumpat aku?” Haikal yang baru melangkah masuk ke dapur, terdengar perbualan Daniel dan ibu mereka. Bahu Daniel ditumbuknya kasar. Daniel masih galak ketawa.

            “Aku cakap yang betul aje. Apa pelan kau kali ni? Mengurat sampai dapat atau usik-usik aje?” Daniel menyoal, menyindir gurau adiknya itu. Haikal yang sedang meneguk air menjungkitkan kening dengan riak wajah yang ‘nakal’ dan penuh agenda.

            “Haa... kamu berdua, Haikal terutama. Mama harap jangan buat hal untuk dua bulan ni. Mama harap sangat Suha akan dapat habiskan kerjanya seperti yang mama nak. Have pity on your sister and also Suha!” Puan Johanna memberi amaran. Resah hati tuanya melihat dua beradik itu yang mula berbual yang bukan-bukan.

            “Okay madam! Ma, Haikal nak keluar kejap nak jumpa Rudy.” Ujar Haikal sebelum melangkah pergi.

            “Ikut bro!” Ujar Daniel terus bangkit dari duduk, namun cepat sahaja Haikal menolak.

            “No, not this time. Kau rehatlah dulu, aku ada ‘hal’ ni.” Haikal beriak penuh tersirat, membuatkan Daniel akur, kembali melabuh duduk.

            “Adalah tu, siapa pula jadi mangsanya tu?!” Puan Johanna mencelah, Haikal sekadar tersenyum lebar dan berlalu pergi. Laju sahaja kunci kereta di ambil dari laci dan terus melangkah ke kereta. Seketika kemudian kereta BMW G4 itu meluncur laju keluar ke jalan raya.

            “Nasiblah cikgu Suha, sekali kau datang dalam hidup aku, payah kau nak lari.” Haikal berbisik sendiri, senyuman terukir dibibirnya itu membawa penuh makna. Matanya mula meliar mencari sebaik sahaja keretanya itu keluar dari simpang perumahannya. Dari jauh kelibat ‘mangsa’nya dikenal pasti. Senyuman Haikal kian melebar, pedal minyak terus ditekannya sebelum memberi isyarat ke kiri untuk berhenti. “Game baru bermula!” 

            Suha memberikan salam sebaik sahaja sampai di depan rumahnya. Sunyi sahaja, seperti tiada sesiapa di rumah. Ke mana ayah dan ibu pergi? Selalunya waktu-waktu begini, mereka sudah ada di rumah. Kunci pendua di bawa keluar daripada begnya. Suha melangkah masuk ke dalam rumah, jam di tangan dibeleknya sekilas. Sudah hampir ke angka 6, mujur sahaja ditolak permintaan Khaliff Haikal sebentar tadi supaya menemaninya ke Old Town., kalau tidak tentu sahaja dia belum pulang waktu ini. Lelaki itu ada-ada sahaja. Suha melangkah terus ke bilik, dia belum lagi menunaikan solat Asarnya.

            “Kamu pi mana Suha, sehari suntuk keluaq tak balik-balik.” Ayah yang baru pulang bersama-sama ibu, mula menyoal anak gadisnya itu. Sesekali ayah terbatuk-batuk, sakit asma ayah menyerang kembali. Ibu menyerahkan barangan dapur yang di belinya kepada Suha.

            “Suha dah dapat reja yah, Alhamdulillah. Tadi dah mula.” Suha turut melangkah masuk ke dalam rumah, membontoti langkah ibu dan ayahnya. Suha langsung ke dapur meletakkan barangan tersebut di dapur.

            “Reja apa?” Soal ayah lagi. Suha kemudian mendekati ayahnya dengan membawa dua gelas air.

            “Reja jadi cikgu tuisyen peribadi, gaji yang depa bagi besaq jugak ayah.” Suha terus bercerita. Ayah dan ibu hanya mengangguk-angguk dan mengucap syukur.

            “Buat reja kena ikhlas, lagi-lagi jadi cikgu ni. Jangan dok harapkan duit sebagai balasan. Bila mengajaq bagi hat sebaiknya, curahkan ilmu yang kita ada. Ganjaran besaq, insyaAllah.” Ayah mula memberikan kata nasihat. 

            “Suha reja dekat rumah dialah? Dekat mana tu?” Ibu kemudian mencelah.

            “Dekat Taman Pandan ibu, a’ah Suha kena mengajaq dekat rumah dia. Dari pagi sampai petang.” Ujar Suha, riak wajahnya sedikit suram. Ayah dan ibu saling berpandangan.

            “Awat Suha? Ada masalah? Susah nak pi sana dengan bas? Nanti ayah hantaq Suha.” Ayah cepat sahaja bersuara sebaik melihat kesuraman wajah anaknya itu.

            “Takdaklah ayah, bas banyak lalu dekat situ. Rumah tu pun tak jauh dari jalan besaq. Cuma....” Suha mencari-cari ayat yang sesuai. Dia memandang wajah ibu dan ayahnya berselang seli.

            “Awatnya Suha?” Ibu menyoal, wajah anaknya itu dioles lembut.

            “Suha tak berapa selesa dengan anak lelaki tuan rumah tu. Puan Johanna, Imtiyazz yang Suha ajaq tu baik. Tapi anak lelaki dia buat Suha tak berapa selesa.” Ujar Suha perlahan, kepalanya kemudian dijatuhkan keribaan ibu.

            “Kalau tak selesa, tak payah reja. InsyaAllah ada reja lain yang lagi baik.” Ayah cuba mencari penyelesaian. Resah hati tuanya, jika anaknya sudah berkata demikian.

            “Sayang pula yah, reja mudah macam tu payah nak dapat.” Ujar Suha, wajah redup Ayah dipandangnya.

            “Mudah tapi tak selesa? Boleh reja ka kalau lagu tu?” Soal ibu. Suha menguntum senyum.

            “Suha ingat nak cuba untuk seminggu dua, kalau terus tak selesa Suha berhenti. Lagipun Suha reja sampai habis cuti semester ni aje.” Ujar Suha, menghilang resah di hati orang tuanya. Menyesal pula mengadu begitu, sepatutnya dia diamkan sahaja dahulu perkara itu. Baru sehari, entah esok lusa lelaki itu sudah tidak menganggunya.

            “Cikgu, jom saya hantarkan?” Tiba-tiba sahaja kereta itu berhenti betul-betul di hadapannya. Terkejut dibuatnya. Beberapa mata yang ada di situ mula menjeling-jeling ke arahnya. Suha menghampiri Haikal yang masih di dalam kereta.

            “Takpelah Encik Haikal, bas saya nak sampai dah tu. Terima kasih ye.” Suha menolak dengan baik pelawaan itu. Suha bukan jenis manusia yang suka mengambil kesempatan, walaupun peluang terbuka besar di depan mata.

            “Its okay, get in. Saya hantar balik, lambat lagi bas tu.” Haikal tidak putus asa, terus mencuba.

            “Terima kasih sangat-sangat Encik Haikal. Saya tak nak termakan budi, lagipun saya dah biasa naik bas.” Suha menolak lagi, ligat sahaja akalnya mencari ayat menolak pelawaan itu. 

            “Ala cikgu, jomlah. Lagipun saya nak minta tolong cikgu ni.” Haikal merayu lagi, kini dengan taktik lain pula. Suha sudah berkerut dahi, ayat apa lagi yang harus digunakan untuk membuatkan lelaki di hadapan ini faham dan terus pergi?

            “Tolong apa ye?” Soal Suha.

            “Naiklah dulu.” Pandai sahaja Haikal mengenakan, namun Suha langsung tidak berganjak.

            “Maaflah, saya pun ada hal lain. Saya tolong lain kali ye.” Bohong Suha, menolak untuk menolong apa sahaja bentuk pertolongan yang dipinta lelaki itu.

            “Saya nak ajak cikgu teman saya pergi minum-minum dekat Old Town. Jom, bosanlah petang-petang ni.” Haikal masih lagi merayu, berusaha memujuk kedegilan Suha yang masih menolak. Sebelum ini mudah sahaja dia memujuk perempuan, kenapa Suha ni macam bo-layan?

            “Maaflah, lagilah saya tak dapat nak tolong yang itu. Terima kasih Encik Haikal. Bas saya dah datang tu, saya balik dulu. Assalamualaikum.” Suha terus sahaja memberi salam dan melangkah laju menaiki bas. Lega hatinya, mujur Allah mempercepatkan bas itu untuk datang tepat pada waktu dia memerlukan. Rayuan lelaki itu langsung tidak diendahkan, hati perempuannya menyatakan tidak sama sekali menerima atau melayani rayuan serta pujukan lelaki itu. Segala-galanya bagai ada yang tersirat!

            “Tak guna, sombong kau ye Suha. Tunggulah, lepas ni kau yang merayu dekat aku!” Haikal membentak, stereng kereta di hentak kasar. Sebaik sahaja bas itu melintasinya, dia terus memandu keretanya terus ke destinasi. Rancangan pertama, gagal!
++++

sudah habis baca?
comment and rate! :)
much love readers!

18 comments:

Erna Shafiqah said...

aa, si haikal tu memg la x patot dilayan...hope suha cekal hati...huhu

fatonahHairil said...

permulaan yang menarik..:)

NANG NOR AZIMAH LONG NADZRI said...

boleh tak nak tampar si haikal uh ?? hahaha , thanks abc , ingat ak nak baca bila nampak mini novel , tapi last2 baca sampai habis... x puas baca... ;)

Anonymous said...

best.. :D

Cahaya Dayana said...

Akak!!! cepat2 ye sambung><

akubersamaCahya said...

thank u! ^^
tunggu, abc akan tunjukkan perangai haikal tu ish3

aqmar said...

akhirnya exm pon da slmt abeh..n kmbali belek pge abc..
emm..abc ni mmg suka guna nama "haikal" ea??hehe..trntya, mna 1 yg bakal tersangkut ngan suha..haikal@danny??

keep update!!

akubersamaCahya said...

alamak! LIF eh ada Haikal dah?
tak perasan hahahaha bakal suami Haikal kut??? tetttt

insyaallah, selagi mampu berangan, abc akan terus berkarya.

syokknya abeh exam! yeah3

aida azira said...

waa.. daebak.. hehe.. cepat sambung abc. dah tak sabar da ni. haikal or danny akan tambat hati suha nanti.

akubersamaCahya said...

daebak3 ^^ tq. tungguuuuuuu

asfiedaimpiana said...

best...

Anonymous said...

Abc, nak request boleh? Tlg jadikan danny hero. Tak nak haikal. Hehehehe

akubersamaCahya said...

hehehe tunggu yang kedua eh. ketiga keempat kelima keenam. u will c who is the real hero. :) hehehe boleh. no hal. danny ye, erm.. danny mmg terbaek!

Lieynaim mohd noor said...

salam... menarik.. suha...

betty said...

best!! tp benci lah ngan si haikal tuh...

fazi syah said...

wah..syok2..harap suha ngn abang bukan ngn adik..hehe

Admiralz said...

BMW Z4 bukan G4... sila buat pembetulan.

akubersamaCahya said...


hahaha okey. Z4 hehehe