Nur
Ansar melangkah keluar daripada pusat menderma darah itu dengan lemah longlai.
Niatnya mahu menderma darah tidak kesampaian buat kesekian kalinya. Sedari
berumur 18 tahun dia sudah mahu menderma, namun sehingga berumur 24 tahun masih
belum berjaya. Aras hemoglobinnya rendah daripada yang telah ditetapkan oleh
pakar. Nur Ansar mengeluh perlahan, jari yang disuntik untuk mengambil darah
tadi dibelek, bibirnya dicuihkan.
“Sebijik
macam angsa!” Suara itu membuatkan Nur Ansar berpaling laju kebelakang. Abrisam!
“Patut
aku terbau-bau benda masam, rupanya kau kat belakang aku.” Abrisam tersenyum
dengan jawapan dari mulut Nur Ansar. Jawapan yang sama setiap kali dia mengusik
Nur Ansar dengan angsa. Nama Ansar dikatakan hampir dengan perkataan angsa. Nur
Ansar akan membalas dengan perkataan masam, menurut Nur Ansar, Nama Abrisam
pula lebih kurang dengan perkataan masam.
“Eleh...
aku baru aje mandi tau sebelum keluar tadi. Kenapa macam angsa aje nih? Gagal
lagi?” Abrisam menyaingi langkah Nur Ansar. Nur Ansar mengangguk perlahan.
“Bila
la nak boleh derma ni. Nak juga rasa darah baru.” Ujar Nur Ansar dengan nada
kecewa. Abrisam tersengih sendiri mendengar rungutan Nur Ansar.
“Tiap-tiap
bulan keluar pun tak puas hati lagi.” Abrisam ketawa besar. Nur Ansar menjeling
tajam mendengar baris kata yang keluar dari mulut Abrisam. Mahu sahaja dia
lepuk kepala lelaki itu dengan beg tangan yang dikeleknya.
“Jangan
main-mainlah...” Marah Nur Ansar. Abrisam menekup mulut, menutup tawanya yang
meletus besar sebentar tadi. Sekadar ingin bergurau, membuang kecewa dihati
sahabatnya itu.
“Sorry
Cik Nur Ansar.” Abrisam merapatkan kedua-dua telapak tangannya, bercantum. Nur
Ansar menggeleng perlahan. Kunci kereta dikeluarkan dari beg tangan, lalu pintu
kereta dibuka.
“Sorry
naik lori ye, aku nak balik dah ni. Kau datang dengan apa?” Soal Nur Ansar
mengendahkan permintaan maaf Abrisam yang sememang jarang bersikap serius
dengan Nur Ansar.
“Aku
datang dengan kereta la, bawak Jameela... My buah hati...” Abrisam bersuara
dengan nada ceria. Nur Ansar mengangguk perlahan. Jameela, gadis yang berjaya
membuat Abrisam, seorang lelaki ‘cerewet’ tentang perempuan jatuh cinta.
Jameela juga yang berjaya menyedarkan Nur Ansar, kawan baik tak boleh bercinta.
Oleh sebab itu, Nur Ansar terus menyimpan cintanya buat Abrisam jauh dilubuk
hati.
“Okay
lah kalau macam tu, aku balik dulu...” Ujar Nur Ansar pantas. Abrisam menahan
pintu kereta daripada ditutup oleh Nur Ansar.
“Kau
ni, tak tanya pun aku dengan Jameela datang hospital buat apa kan?” Abrisam
bernada kecewa. Nur Ansar mengeluh perlahan.
“Kau
dengan Jameela buat apa dekat hospital ni?” Nur Ansar menyoal, sekadar menjaga
hati sahabat baiknya. Abrisam tersenyum.
“Aku
dengan Jameela datang buat ujian HIV.”Abrisam menjawab ringkas. Nur Ansar
mengerut dahinya, hairan.
“Bukan
selalunya ujian tu untuk....”
“Yup,
aku dengan Jameela akan bernikah bulan depan.” Ujar Abrisam memintas kata-kata
Nur Ansar. Nur Ansar terkedu, bibirnya terbuka akibat terperanjat dengan berita
itu.
“Kenapa
aku tak tahu pun?” Ujar Nur Ansar, masih terkejut.
“Sebab
kau bukan pengantinnya...”Abrisam ketawa kecil, sekadar bergurau. Namun dia
tidak sedar, jawapan itu bagai menghiris luka yang masih berdarah. Nur Ansar
mengangguk perlahan, dia menunduk seketika, mencari kekuatan dan mahu mengelak
riak wajahnya yang berubah disedari oleh Abrisam.
“Tahniah
Abrisam Bin Hisham. Harap kenduri nanti jangan lupa jemput.” Tutur Nur Ansar
setelah emosi dan riak wajahnya dapat dikawal. Namun degup jantungnya yang
seolah-olah mahu berhenti tiada siapa tahu. Setelah itu, dia menutup pintu
keretanya dan terus berlalu pergi, belum sempat untuk Abrisam mengucapkan
terima kasih. Abrisam yang tadinya tersenyum, terus mati senyumannya, pelik
dengan reaksi Nur Ansar yang bersahaja namun terlihat juga ‘sentap’nya.
Merajukkah? Soal Abrisam di dalam hati.
+++++++++++++++
Nur
Ansar duduk menekur tanah. Sesekali pandangannya dilepaskan ke atas. Melihat
awan, burung-burung dan lambaian nyiur. Pemandangan itu membuatkan dia hanyut
dalam kenangan lamanya.
“Ansar,
kalau besar nanti awak nak tak jadi girlfriend
saya?” Abrisam menyoal dengan mulutnya comot dengan coklat Cadbury yang dikongsi bersama Nur Ansar. Nur Ansar menggeleng laju.
“Awak
tak suka saya ke?” Abrisam menyoal lagi.
“Saya
tak nak jadi girlfriend.” Ujar Nur
Ansar.
“Habis
tu?”Abrisam menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Nur Ansar tersenyum, dia
menghampiri Abrisam yang duduk di atas pangkin di depan rumahnya. Pipi Abrisam
yang dikotori coklat di sapu dengan sapu tangannya sehingga bersih. Abrisam
tersenyum menampakkan giginya yang agak rongak.
“Saya
nak jadi angel awak. Saya akan
lindungi awak setiap masa.” Nur Ansar bersuara dengan senyuman yang tidak
lekang dibibirnya.
“Angel? Macam Charlie's Angel ye?” Abrisam menyoal kurang faham.
“A’ah
macam tu lah. Angel kan cantik dan
kuat!”
“Tapi
kenapa angel bukan girlfriend?” Soal Abrisam sedikit
kecewa.
“Sebab
saya sayang awak.” Ciuman di pipi kanan itu membuatkan Abrisam terkaku, tak
lama kemudian tersengih sendiri. Ciuman daripada Nur Ansar!
“Berangan
atau mengenang?” Nur Ansar bingkas bangun daripada pembaringannya. Nenek yang
baru pulang dari menoreh, menyapa Nur Ansar yang dilihatnya termangu sendirian
dipangkin depan rumah.
“Eh,
bila nenek balik?” Nur Ansar cuba mengubah topik, takut juga bila di soal
tentang Abrisam.
“Baru
saja. Nur... nenek tanya sikit boleh?” Nur Ansar teragak-agak untuk mengangguk.
Hatinya seolah-olah dapat meneka apa yang ingin disoalkan.
“Nur
sayangkan Abrisam?” Soalan nenek terus sahaja, tiada belok dan simpang siur!
“Ish,
mencabarnya soalan nek!” Nur Ansar mengawal perasaannya dengan ketawa. Nenek
berwajah tenang dan serius. Ketawa Nur Ansar mati.
“Sayang...
dia kan kawan Nur dari kecik lagi.” Nur Ansar menjawab, wajahnya ditundukkan ke
bawah. Nenek mengeluh perlahan.
“Jadi
selama ni korang berdua hanya berkawan?” Nenek menyoal lagi. Nur Ansar
mengangguk perlahan.
“Abrisam
tak tahu Nur sayangkan dia lebih dari seorang kawan baik?” Nenek terus menerus
menyoal. Persoalan kali ini membuatkan Nur Ansar menyembam mukanya ke ribaan
nenek. Nur Ansar mula teresak-esak menangis.
“Kenapa
tak bagitahu dia?” Nur Ansar menggeleng-gelengkan kepalanya. Nenek mengeluh
perlahan. Dibiarkan Nur Ansar melayani perasaan sedihnya itu. Beberapa ketika
kemudian, Nur Ansar mengangkat mukanya. Air mata yang telah membasahi wajahnya
disapu kasar dengan telapak tangan.
“Biarlah
Nur simpan rasa sayang Nur, rasa cinta Nur untuk dia sampai bila-bila nek. Nur
tak layak untuk dia.” Nur Ansar kembali mengalirkan air matanya. Nenek menepuk
perlahan belakang tubuhnya, cuba menenangkan Nur Ansar.
“Layak
macam mana lagi? Setahu nenek korang berdua rapat sangat...” Nur Ansar
mengangguk perlahan.
“Sebabkan
kami rapat, Nur tahu dia tak sukakan Nur. Nur tak cantik nek, parut ni... parut
ni yang membuatkan Nur tahu, Abrisam takkan dapat terima Nur sebagai bidadari
dalam hidup dia.” Nur Ansar menyelak kain tudung yang menutupi separuh pipinya.
Kelihatan parut yang agak panjang, dari hujung kening hingga ke bawah cuping
telinga Nur Ansar. Nenek beristighfar perlahan.
“Nur
dapat parut ni sebab dia jugakkan?” Nenek kembali menyoal. Nur Ansar
mengangguk. Peristiwa hitam yang hampir meragut nyawanya itu kembali terlayar
di mindanya.
Senja
12 tahun lalu, riuh satu kampung Abrisam cikgu Hisham diculik lelaki gila yang
mengamuk sewaktu sedang bermain bola di hujung kampung. Semua penduduk mula
berkumpul di balai raya membincangkan cara untuk menyelamatkan Abrisam daripada
lelaki gila itu. Nur Ansar yang turut mendapat berita tersebut, terus sahaja ke
tempat Abrisam dijadikan tebusan. Tanpa berfikir panjang, Nur Ansar terus
sahaja merempuh masuk ke dalam rumah using tempat persembunyian lelaki gila
itu. Abrisam berjaya diselamatkan dua minit lebih awal oleh penduduk kampung
dan polis, namun Nur Ansar pula menjadi mangsa tetakan lelaki gila tersebut.
Mungkin belum ajal, Nur Ansar berjaya diselamatkan.
“Kenapa
kau buat macam tu?” Soal Abrisam selepas Nur Ansar sudah sedar dari koma. Nur
Ansar tersenyum, namun Abrisam masam mencuka.
“Akukan
nak jadi angel kau...” Nur Ansar menjawab dengan suara yang masih lemah.
Abrisam merengus.
“Sekarang
kau dah buruk, kau bukan angel aku lagi!” Ujar Abrisam tegas, lalu terus
berlari keluar daripada bilik itu. Nur Ansar terpana, air mata mula bertakung
ditubir matanya, mengalir perlahan sebaik dia mengelipkan kelopak matanya.
Kata-kata Abrisam tadi merobek hati kecilnya. Sehingga kini, kata-kata itu
masih jelas terngiang ditelinganya.
“Abrisam
dan Jameela macam pinang dibelah dua...”Nur Ansar bersuara perlahan. Nenek
menarik Nur Ansar ke dalam pelukannya.
“Nenek
tahu Abrisam sayangkan Nur Ansar...” Nenek bertutur perlahan. Tangannya
mengurut lembut belakang Nur Ansar, cuba menenangkan cucunya itu.
“Nur
kan kawan baik dia...” Ujar Nur Ansar sekadar mahu melenyapkan rasa hiba. Nenek
hanya mendiamkan diri. Pelukannya dieratkan. “Moga bahagiakan jadi milikmu,
cu....”
+++++++++++++
Abrisam
leka bermain dengan tablet barunya. Adik kecilnya, Aisyah sedari tadi memandang
ke arahnya. Lukisan yang baru dilukis tidak dipedulikan lagi. Abrisam yang sedar
dirinya diperhati, berpaling ke arah Aisyah.
“Dari
tadi tengok abang, kenapa? Abang hensem sangat ye?” Abrisam mengangkat-angkat
keningnya sambil menyoal. Aisyah menjuih bibir mungilnya.
“Perasan
la abang ni.”
“Dah
tu, asyik pandang abang aje, lukisan tu pun belum warna lagi. Kenapa?”
“Aisyah
hairanlah dengan orang dewasa ni....” Aisyah mula bersuara, Abrisam mengubah
kedudukannya dari berbaring kepada duduk bertentangan dengan Aisyah yang duduk
di atas permaidani.
“Hairan
tentang apa?” Ujar Abrisam.
“Hairanlah,
bercinta dengan orang lain tapi kahwin dengan orang lain.” Soalan itu membuat
Abrisam menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Siapa?”
Ujar Abrisam penuh hairan.
“Tanya
lagi? Abang la... bercinta dengan Kak Nur, kahwin dengan Kak Meela.” Aisyah pantas
sahaja menjawab. Abrisam ternganga.
“Bila
abang bercinta dengan Kak Nur?” Abrisam menyoal lagi. Aisyah merengus kecil.
“Habis
tu, bila pulak abang bercinta dengan kak Meela?” Aisyah yang baru berumur 7
tahun ni, terus menerus menyoal. Ada sahaja!
“Abang
kenal Kak Meela sejak abang belajar dekat UTM lagi tau.” Abrisam melayani tiap
persoalan si kecil itu.
“Tapi
Kak Nur abang kenal dari kecik lagi kan?” Abrisam sekadar mengangguk.
“Haa...
mestilah abang bercinta dengan Kak Nur dulu sebelum kahwin dengan Kak Meela.”
Aisyah membuat kesimpulan. Abrisam ketawa kecil.
“Kak
Nur tak suka abang la, sebab tu abang kahwin denga Kak Meela.” Aisyah pula yang
tergaru-garu kepala. Abrisam tersenyum.
“Kalau
dia tak suka, kenapa setiap kali abang ada dekat rumah dia mesti hantar makanan
kesukaan abang?” Abrisam mengangkat Aisyah ke atas ribaannya.
“Sebab
kan dia kata dia baru belajar masak semua tu...” Aisyah cepat sahaja
menggeleng.
“Bila
abang takde dekat rumah, Kak Nur dah belajar semua tu dengan mak la. Kenapa nak
belajar banyak kali pulak?” Abrisam terdiam sendiri. Dia sendiri tidak pasti
dan dia baru sahaja tahu tentang itu.
“Betul
tu, mak pun nak tanya kamu juga sebenarnya. Tapi dah jodoh kamu dengan Jameela,
mak terima aje.” Emak Abrisam yang kebetulan baru memasuki ruang tamu turut
mencelah.
“Tanya
apa mak?” Abrisam dilanda kehairanan.
“Tanya
kenapa kamu tak kahwin dengan Nur, tapi Jameela. Nur tu kalau kamu tak balik
kampung ni, hari-hari datang. Banyak yang dia tanya pasal kamu. Kamu telefon ke
tak, ada hantar emel ke tak.” Giliran ayah pula menyampuk belum sempat emak
mahu menjawab.
“Nur
dengan Sam kan kawan aje yah mak...” Ujar Abrisam. Ayah Abrisam sekadar
mengangguk perlahan.
“Yelah,
kami tertanya-tanya aje. Takpelah, jodohkan. Ha... Ayah baru edarkan kad jemputan,
nenek Mah terkejut kamu nak kahwin. Ayah lupa yang dia ke Mekah masa kita pergi
merisik dan meminang dulu, lupa pulak nak bagitau dia lepas dia balik.” Ayah meletakkan
baki kad ke atas meja. Emak yang tadinya masuk ke dapur, kini datang dengan
mendulang air minuman buat ayah.
“Yeke,
patutlah Nur pun terkejut semalam masa Sam cakap Sam nak nikah dengan Jameela
bulan depan.” Ujar Abrisam menokok tambah.
“Tak
marah ke orang tua tu?” Soal Emak kepada Ayah. Ayah hanya menggeleng perlahan.
“Tak,
cuma dia terkejut aje, takde ribut takde apa tup-tup anak bujang kita nak
kahwin dah.” Abrisam tersenyum kecil dengan jawapan ayahnya. Emak sekadar
mengangguk perlahan.
“Kamu
memang tak bercinta dengan Nur?” Entah kenapa ayah menyoal lagi.
“Kami
kawan aje ayah, kenapa ye?.” Jawab Abrisam ringkas.
“Takdelah,
orang kampung yang mana tak tahu kamu dah bertunang, semua ingat kamu kahwin
dengan Nur. Yelah dulu kamu berdua tu macam berlangkas. Ke mana aje kamu pergi
mesti Nur ada, kamu pun macam tu jugak. Sampai la kamu masuk UTM, Nur masih di
kampung. Sejak tu baru orang nampak Nur sorang-sorang.” Ujar Ayah, dengan
ketawa kecil. Senang dengan mengingati anak-anaknya waktu kecil dulu. Abrisam
hanya mengangguk, mindanya menerawang jauh. Persoalan Aisyah, cerita tentang Nur
Ansar yang tidak diketahuinya dan telahan orang kampung membuatkan Abrisam
terfikir sendiri seolah-olah ada rahsia tersembunyi disebalik semuanya.
“Dah
la Sam, tak payah fikir banyak. Tolong mak kejap, belikan mak tepung pulut.
Semalam kata teringin nak makan onde-ondekan?” Suara emak mematikan lamunan
Abrisam. Abrisam bingkas bangun dan terus mengambil kunci motor. Kedai runcit
Pak Ali di hujung jalan menjadi destinasinya.
+++++++++++
“Semuanya
9 ringgit aje Nur.” Pak Ali menyerahkan bungkusan itu kepada Nur Ansar yang
sudah tersedia dengan not RM10 di tangan. Pak Ali kemudian memulangkan baki
wang kepada Nur Ansar.
“Pak
Ali baru dapat jemputan dari Cikgu Hisham. Pak Ali terkejut juga ingat kamu
yang kahwin dengan Si Abrisam tu, yelah kamu selalu datang kedai Pak Ali tapi
tak cakap apa-apa pun.” Pak Ali membuka cerita, Nur Ansar terdiam sendiri.
Hatinya tidak dapat menerima apabila ada yang mula bercerita tentang itu. Nur
Ansar mengawal riak wajahnya. Dia menguntum senyum yang hambar.
“Ish,
ada pula macam tu Pak Ali. Siapalah nak dekat saya ni Pak Ali?” Ujar Nur Ansar
sekadar bergurau.
“Yelah
Pak Ali, pakwe lama dia tu belajar tinggi, hensem pula tu... mestilah cari yang
sama padan. Takkan nak yang duduk kampung, takat pandai masak menjahit aje, dah
tu pulak cacat!” Suara sumbang kutu kampung mula membingit telinga Nur Ansar.
Jika dulu, sebelum Abrisam pergi belajar jauh di selatan, Abrisamlah yang
sering membela dia. Selepas pemergian Abrisam ke Johor, Nur Ansar mula
membiasakan diri diganggu dengan kutu kampung itu semua. Namun hari ini,
hatinya bagai tidak biasa menerima gangguan itu. Hatinya pedih dengan setiap
bait kata mereka. Nur Ansar terus melangkah laju keluar daripada kedai.
“Eh
Nur?” Tegur Abrisam yang baru sahaja sampai di depan kedai. Apa lagi, suara
ketawa kutu kampung itu kembali kuat dan mengejek-ngejek Nur Ansar. Abrisam
saling memandang kedua-duanya tanpa suara. Nur Ansar terus melangkah laju tanpa
berkalih sekali pun.
“Korang
ni, dari dulu sampai sekarang asyik nak mengacau Nur aje kan!” Marah Abrisam.
Kutu kampung itu hanya ketawa.
“Hero
Nur sudah balik, tapi kesian bawak balik heroin baru!!!” Mereka semua ketawa
besar sebelum melangkah pergi. Abrisam menggenggam penumbuknya erat. Ikut akal
pendeknya sudah habis dibelasah mereka semua, namun disabarkan sahaja hatinya.
Abrisam terfikir, bagaimanakah hidup Nur sepanjang 5 tahun dia keluar dari
kampung itu?
++++++++++++
Abrisam
menunggang motor perlahan sepanjang sawah dihujung kampung. Petang-petang
begini, memang seronok ambil angin di sini. Abrisam memandang ke seluruh
kawasan sawah. Dari jauh dia terpandang susuk tubuh yang sangat dikenalinya.
Motornya dipulas minyak agar laju sedikit.
“Nur
Ansar.....!” Tempik Abrisam dari hujung sawah. Nur Ansar betul-betul berada
ditengah sawah dengan kerbau belaannya.
“Sam
kau buat apa kat sini?” Soal Nur Ansar sebaik dia menghampiri Abrisam yang
sedari tadi menenggek di atas motor dan memekik memanggilnya.
“Tu
dia, sombongnya... tak boleh ke aku datang sini?” Soal Abrisam. Nur Ansar tiada
riak wajah.
“Aku
tak nak orang cakap bukan-bukan aje nanti. Kau tu lepas raya minggu depan dah
nak jadi laki orang.” Abrisam mencebik dengan kata-kata Nur Ansar.
“Alah...
semua orang tahu kita kawan baikkan.” Nur Ansar masih tidak beriak, tangannya
ligat menanggalkan sarung tangan yang dipakainya dan kasut getah yang dipakai
untuk ke tengah sawah tadi.
“Ye,
tapi keadaan dah tak sama. Tak manis orang tengok. Nanti yang jadi mangsanya
aku jugakkan.” Nur Ansar membidas, agak kasar. Senyuman Abrisam termati dengan
kata-kata Nur Ansar.
“Jadi
kau marahkan aku?” Abrisam menyoal. Nur Ansar mengeluh berat.
“Tak
marah, aku tak nak terus hidup bawah bayangan kau.”
“Bayangan
aku?” Abrisam tidak faham.
“Sekarang
kecoh satu kampung kau akan kahwin, kecohnya sebab bukan aku pengantin perempuannya.
Kau faham tak yang tu?” Nur Ansar mengetap bibir menahan rasa.
“Aku
tak faham betullah, apa masalah aku nak kahwin ni dengan kau?” Abrisam mula
bersuara tinggi. Dia sudah bosan mendengar hal yang sama.
“Sebab
tu lah, aku harap kau tak datang sini, rumah aku atau jumpa aku. Aku pergi
dulu.” Nur Ansar terus meminta diri, sarung tangan, kasut getah dan parang di
ambilnya lalu terus mahu melangkah pergi. Namun Abrisam menahan dengan
mencengkam erat lengan Nur Ansar.
“Dulu
aku ajak kau jadi kekasih aku, tapi kau jugak yang tolakkan?” Soal Abrisam
dengan wajah bengis. Nur Ansar cuba menarik lengannya daripada cengkaman
Abrisam.
“Aku
tak layak untuk kau.” Suara Nur Ansar. Abrisam mengeratkan lagi cengkamannya.
“Setiap
kali aku cakap tentang cinta, kahwin, isteri, jawapan kau tetap sama dari dulu
lagi. Kau nak juga jadi angel yang
entah apa-apa tu!” Abrisam mula mengungkit kisah lama.
“Dan
aku tahu aku tak layak jadi angel untuk
kau.” Tutur Nur Ansar perlahan dengan matanya dipejam erat menahan tangis.
“Ye
sebab kau cacat, parut kau tu jadikan kau buruk. Buruk untuk jadi seorang.....”
Nur Ansar merentap erat lengan sebaik cengkaman yang erat itu kian longgar
dengan setiap bait kata yang keluar dari mulut Abrisam. Nur Ansar terus berlari
pulang ke rumahnya, meninggalkan Abrisam yang terdiam kerana baru menyedari
sesuatu yang selama ini dia tidak pernah fahami.
“Seorang
bidadari... Bidadari....” Abrisam menutur perlahan, Nur Ansar yang berlari meninggalkan
dia jauh dihadapan hanya diperhatikannya. Tak dikejar, tak dihalang. Baru
hendak berpaling, bunyi hon yang panjang menarik perhatiannya. Tubuh Nur Ansar
dilihatnya terbang melayang sebelum jatuh terhempas di atas jalan. Abrisam
tergamam, semuanya begitu pantas tanpa dia mampu untuk melakukan apa-apa.
“Kenapa
dia tak pernah balas emel saya nek?” Abrisam menyoal dalam sendu. Wajah Nur
yang pucat dengan wayar-wayar yang berselirat dipandangnya sayu.
“Nur
Ansar sudah banyak pendam perasaan dia. Bila dia termenung, menangis baru nenek
tahu dia sedih. Dia cetak semua emel Sam. Setiap hari dia baca. Nur segan nak
balas. Setiap emel Sam cerita tentang kehidupan baru Sam di Universiti, tapi
Nur masih di kampung, kawasan tempat mainan Sam dari kecil. Kata Nur apa lagi
dia nak cerita.” Nenek mengesat air matanya dengan hujung baju kurung yang
dipakainya.
“Abrisam
banyak tanya pasal perasaan dia, tapi dia senyap aje. Abrisam sayang Nur,
sayang sangat. Tapi Nur tak pernah balas, tak pernah cakap perasaan dia.”
Abrisam tersendu lagi. Nenek menepuk perlahan bahu Abrisam.
“Nur
sayangkan Abrisam, dari kecil sampai sekarang. Cuma Nur malu untuk mencintai
Abrisam walaupun sebenarnya cinta itu sudah lama ada. Nur pendamkan, sampailah
satu emel dari seseorang yang membongkar perasaan Nur untuk Abrisam pada
nenek.” Abrisam mengesat air matanya yang mengalir.
“Emel?”
“Petang
tu, Nur balik dalam basah kuyup, wajah dia muram, mata dia bengkak. Dia
hulurkan emel tu dekat nenek. Emel tu dari seorang kawan Abrisam, yang menyuruh
Nur tidak membalas semua emel-emel Abrisam. Kata emel tu lagi, Abrisam dengan
dia sedang saling mengenali hati, kehadiran Nur menganggu dia dan Abrisam.
Sejak hari tu, Nur tak pergi lagi ke kedai internet tu untuk cetak emel dari
Abrisam.” Abrisam terdiam.
“Sebab
tu dia datang rumah, setiap hari jumpa Mak dan Aisyah. Nur datang tanyakan
khabar Abrisam. Mulanya mak hairan tapi lama-lama mak sudah terbiasa.” Emak
Abrisam mencelah.
“Kenapa
Nur tak cakap Nur cintakan Sam?” Abrisam menyoal Nur Ansar yang terbujur kaku.
Hanya mesin yang membantu Nur Ansar untuk terus bernafas.
“Sejak
Abrisam marahkan Nur waktu Nur cedera ditetak dulu, sejak itu Nur terasa
dirinya tidak lagi layak untuk Abrisam. Cinta dia untuk Sam dia simpan dalam
hati. Yang terluah hanyalah bidadari....” Nenek cuba menjelaskan segalanya
kepada Abrisam.
“Sam
marah sangat dulu, Nur hampir tergadai nyawa dengan kejadian tu, dia tak
sepatutnya ke situ waktu tu. Bidadari...Sam tak faham semua tu nek... Bila Sam
faham, semuanya dah terlambat.” Abrisam teresak-esak menangis di tepi katil
yang menempatkan tubuh lemah Nur Ansar.
Hari
ini genap 7 bulan Nur Ansar hidup dibantu mesin untuk bernafas. Nenek redha
pada Allah, tidak mahu cucunya terseksa hidup hanya berjasad. Menurut pakar,
semua organ dalam badan Nur Ansar telah rosak teruk akibat kemalangan tersebut.
Nenek redha. Hari ini doktor akan mencabut mesin yang membantu Nur Ansar untuk
terus hidup. Hari ini Nur Ansar akan pergi buat selamanya dari bumi yang fana. Kisah
Nur sudah sampai ke akhirnya, cintanya sahaja yang dibawa bersama-sama.
Dari
Allah kita datang kepada Allah jua kita kembali.
++++++++++++++++++++
“Nur...
awak tahu tak bidadari tu apa?”
“Nenek
kata, bidadari tu seorang yang cantik yang akan sentiasa menemani seorang
lelaki yang baik.”
“Saya
baik tak Nur?”
“Baik...
sebab tu saya selalu teman awak.”
“Awak
bidadari saya ye Nur?”
“Ye,
saya nak jadi bidadari awak sampai bila-bila.”