Wednesday, January 23, 2013

Novel : Janji Terpateri 9

Bab 9
Aku berdiri tegak, memeluk erat beg tanganku. Wajah angah dan kak Idah berselang seli aku pandang dengan mata yang kabur dek air mata. Sungguh aku tidak percaya angah sanggup berbuat begini kepadaku.

“Apa salah Mus?” Aku bersuara dengan getar tangisanku, namun masih jelas ketegasan dalam suara. Angah memandang tanpa riak bersalah, wajahnya tampak tegas dan bersahaja. Kak Idah sebaliknya, mungkin rasa bersalah bertandang dalam dirinya.

“Angah suruh Mus pilih antara dua. Tapi Mus pilih yang angah tak bagi pilih. Pilih angah atau Irham, bukan bas.” Angah menjawab tegas. Aku mengetap bibir, mata merenung tajam dengan air mata yang berlinang di pipi.

“Kenapa? Mus boleh balik sendiri dengan bas. Tiket pun dah beli, Mus tak nak angah atau Irham yang hantar Mus. Mus boleh balik sendiri!” Aku mula membentak, membantah cadangan angah yang mengundang amarahku malam ini.

“Angah dah buat keputusan, angah dah tanya mak dan mak pun setuju. Mus balik dengan Irham. Dia akan hantar Mus sampai depan rumah.” Angah bersuara lagi, kedengaran lebih tegas dan garang. Aku terus bermain dengan air mata.

“Apa salah Mus? Kenapa semua nak hukum Mus? Mus tak nak! Mus tak setuju!” Aku sudah tidak mampu lagi dengan segala yang terjadi. Beberapa hari di Kuala Lumpur membuatkan aku berasa sesak dan terhimpit. Kenapalah Irham Syakir mesti kembali? Beg-beg yang ada aku angkat dengan segala tenaga yang bersisa. Aku tekad, aku akan pulang ke Kedah dengan sendiri. Tidak perlu simpati atau belas sesiapa!

“Mustika!” Pekik angah setelah aku melangkah keluar dari rumahnya. Kak Idah juga tidak berjaya menahan. Jika aku masih di situ, pasti aku terpaksa menurut seperti kata angah. Aku tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan lelaki bernama Irham Syakir, malah mendengar namanya sahaja membuatkan hatiku merasa begitu sakit dan perit!

“Nak ke mana?” Irham yang baru sahaja tiba di hadapan rumah, laju sahaja keluar dari keretanya setelah melihat aku mengheret beg pakaianku. Aku langsung tidak mengendahkannya. Laju sahaja aku melangkah membawa diri. 

“Just tell me, where are you going?” Irham yang sudah merentam kasar tanganku, kini menyoal dengan begitu tegas dan garang sekali. Matanya seolah-olah berapi memandangku. 

“Kalau awak tak datang rumah saya, tak datang menagih janji bodoh tu. Semua ni takkan terjadi!” Mendengar suaranya yang mula mahu memarahi aku, aku bertindak lebih awal dengan meluahkan semua rasa hatiku. Sakit, pedih dan perit, semuanya aku lepaskan kepada lelaki yang masih erat memegang lenganku.

“Apa pun awak nak buat, maki saya sekali pun. Boleh tak awak fikirkan bayi dalam kandungan awak tu? Menangis macam orang gila, nak lari entah ke mana, kalau jadi apa-apa dekat bayi tu awak juga yang akan menyesal!” Irham bersuara tinggi, lenganku dilepasnya kasar. Aku terdiam dam esak tangis yang mula berkurangan. Kata-katanya itu ada benarnya, lalu laju sahaja aku menyapu air mata yang membasahi wajahku. Beg-beg yang aku kelek bersama akhirnya aku letakkan terus ke bawah. Irham Syakir masih berdiri tegak di hadapanku.

“Dah puas menangis?” Soal Irham, ada senyuman kecil di hujung bibirnya. Aku yang menunduk wajah hanya mengangguk sebagai jawapan kepada soalannya itu. Angah dan kak Idah di hadapan rumah hanya memerhati dari jauh. Angah masih berkerut wajah, aku tahu angah tidak suka orang membantah kata-katanya. Jarang pula apa yang dimintanya itu memburukkan orang lain. Cuma aku yang berdegil. Aku masih belum dapat menerima kehadiran Irham Syakir selepas 8 tahun aku cuba melupakannya. 

“Saya bukan nak buat apa-apa dekat awak, nak hantar awak balik Kedah aje. Itu pun masalah?” Irham mula menunduk, mengangkat ke semua beg yang telah aku letakkan ke atas tar jalan. Beg tanganku kemudian dihulurkan kepadaku. 

“Saya tak suka awak.” Ujarku jujur, beg tangan yang dihulurkan itu terus sahaja aku ambil dan galas ke bahu. Irham memasukkan beg bagasi dan beg sandangku ke dalam but keretanya. Aku memerhati dengan kerutan kening hingga bertaut kedua-duanya.

“Saya tak nak balik dengan awak!” Aku membentak dengan mengetap rapat gigiku. Irham memandang dan mengeluh perlahan. 

“Saya hantar awak ke Pudu aje, boleh?” Irham menyoal, ketinggiannya membuatkan dia menundukkan sedikit kepala ke arahku dengan kedua-dua belah tangannya berada di dalam poket seluar. Aku menarik nafas lega, akhirnya berjaya juga aku lepaskan diri daripada Irham Syakir.

“Okay, itu saya setuju. Saya jumpa angah kejap.” Laju sahaja aku melangkah ke arah angah dan kak Idah untuk bersalaman. Jam juga sudah menunjukkan jam 10 malam, lebih kurang setengah jam lagi bas akan bertolak. Takut juga kalau tidak sempat.

“Dah tak merajuk dah?” Angah menghulurkan tangannya untuk aku salami, sempat juga dia menyindir. Kak Idah menahan ketawa. 

“Mana ada Mus merajuk?” Aku membela diri. Angah memicit kuat hidungku.

“Mus tu tak lama dah nak jadi ibu, perangai masih tak berapa nak matang!” Rungut angah, aku hanya menjelir lidah tanda tidak mahu mendengar bebelannya itu.

“Abang ni, dah abang yang manjakan dia selama ni. Sekarang baru nak merungut?” Kak Idah membelaku. Aku memeluk erat kak Idah dan mengangkat tanda bagus ke arah angah. Irham yang memandang hanya tersenyum sendiri.

“Angah, saya hantar Mus dulu. Nanti apa-apa saya telefonlah.” Irham turut menyalami angah sebelum meminta diri.

“Pastikan hantar sampai ke pintu rumah.” Tegas angah. Irham memandang ke arahku, riaknya begitu serba salah. Aku yang tidak mahu angah tahu arah destinasi kami hanya memberi isyarat supaya Irham mengangguk.

“Mus suruh saya hantar dia...”

“Okay angah! Nanti Mus call bila dah sampai rumah. Bye, Assalamualaikum.” Hampir sahaja Irham terlepas kata mujur aku cepat-cepat memintas. Laju sahaja aku memberi isyarat supaya dia masuk ke dalam kereta. Tangan aku lambai-lambaikan ke arah angah dan Kak Idah yang masih berdiri di tempat sama.

“Ke mana ni sebenarnya? Pudu atau terus ke Kedah?” Irham menyoal setelah beberapa minit kami bergerak menjauhi rumah angah. 

“Pudu.” Ujarku ringkas, sambil membetulkan tali pinggang keledar yang aku pakai. Aku rasakan sedikit ketidakselesaan dipinggang.

“Tadi kata sampai rumah?” Irham menyoal lagi tidak berpuas hati.

“Kalau angah tahu, dia akan marah dan berleter panjang. Bas saya bertolak 10.30 tau, sekarang dah lewat pun.” Aku bersuara lagi, sebal sedikit dengan soalan-soalan Irham ditambah dengan ketidakselesaan yang aku rasai sekarang. Aku mencari-cari sesuatu sehinggalah aku menampar dahiku sendiri. Tertinggal!

“Kenapa pula ni?” Irham menyoal lagi, hairan dengan tingkah lakuku ketika itu yang seolah-olah tidak keruan.

“Saya tertinggal bantal.” Ujarku, sedih.

“Bantal? Buat apa?” 

“Pinggang saya rasa tak selesa, nak sendal belakang ni dengan bantal bagi selesa sikit.” Aku menyandarkan tubuh, cuba mencari posisi yang terbaik.

“Dekat belakang ada kusyen kecil. Ambillah, boleh kut bagi selesa.” Suara Irham lagi, membuatkan aku laju sahaja mengalih badan ke belakang. Ada dua kusyen kecil, namun sukar untuk aku capai tambahan dengan perut yang semakin membesar. Akibat sukar untuk dicapai, aku akhirnya mengalah.

“Dah kenapa pula? Tadi kata nak bantal?” Irham menyoal kehairanan.

“Susah nak ambil, tak sampai. Perut pula besar.” Aku merungut perlahan, terasa sedikit lelah dengan hanya beberapa cubaan. 

“Sorry, sorry Mus. Saya terlupa.” Irham memberi isyarat kereta ke tepi dan kemudian memberhentikan keretanya. Irham membuka tali pinggang keledar dan kemudian terus mengambil kusyen kecil yang berada di tempat duduk belakang dan terus memberinya kepada aku.

“Terima kasih.” Ujarku, Irham hanya tersenyum dan kemudian membelek telefon bimbitnya yang berdering seperti ada mesej yang baru diterimanya. Irham mengerut dahi dan memandang ke arahku sekilas, kemudian kembali memandang ke skrin telefon. Punat telefon ditekan beberapa kali dan kembali memandu keretanya menyusuri jalan raya yang agak sibuk malam ini.

“Siapa?” Aku menyoal setelah melihat Irham seakan terganggu selepas membaca mesej sebentar tadi. Irham memandang sekilas ke arahku dan hanya tersenyum nipis, kemudian dia menggeleng. Aku memandangnya dengan penuh tanda tanya, lama kemudian aku biarkan sahaja. Mungkin hal kerja atau hal peribadinya, siapa aku untuk masuk campur?

Jam di tangan aku belek, jarum jam sudah pun menunjukkan 10.30 malam. Aku menggelabah sendiri.

“Awak cepat, dah 10.30 ni. Kejap lagi bas mesti dah nak jalan, kalau terlepas macam mana?” Aku terus menggesa Irham yang masih memandu dengan bersahaja. 

“Dah habis laju dah ni. Kereta banyak malam ni, laju sangat nanti terlanggar orang pula. Langsung lambatlah jawabnya.” Irham bersuara membuat aku mengeluh sendiri.

“Mengeluh?”

“Tak hembus nafas.” Irham ketawa kecil dengan jawapanku itu. Aku lemparkan pandangan ke luar tingkap. Beberapa ketika kemudian aku terpempan. Papan tanda yang baru sahaja kami lintasi sebentar tadi membuatkan aku terkejut besar. Aku pandang terus ke depan, lalu Irham di sisiku aku pandang tajam.

“Awak tipu saya kan?” Mataku kembali digenangi air panas. Irham menarik nafas sedalam-dalam. Soalan yang aku ujarkan langsung tidak berjawab, sebaliknya telefon bimbit yang dihulurkannya. Aku mengambil dan terus membaca mesej yang siap dibukakan Irham. Jadi semua ini rancangan angah? Aku terperangkap dalam rancanganku sendiri. Kononnya mahu menipu angah, tetapi angah lebih cekap dan pantas. 

++Kalau angah dapat tahu Mustika naik bas balik Kedah, angah memang tak sokong kamu jadi adik ipar angah.++

Mesej yang ringkas namun tegas. Sememangnya Irham akan mengikut kata angah dengan ayat mesej sebegitu. Aku mengeluh lagi dan lagi. Akhirnya air mata yang sedari tadi bertakung kini mengalir di pipi.

“Saya minta maaf, saya terpaksa pilih angah demi janji yang saya tagihkan dari awak.” Senang sahaja Irham menjawab kemudiannya. Aku memandangnya tajam.

“Tak habis-habis dengan janji tu. Saya dah lupa tau tak. Sedangkan awak pun saya lupa, apatah lagi janji yang awak cakapkan tu. Saya dah lupa semua hal lapan tahun dulu.” Suaraku tegas. 

“Okay, cakaplah apa awak nak cakap. Sekarang nak tak nak saya kena hantar awak sampai ke rumah.” Irham bersuara, membuatkan aku terdiam. Air mata yang membasahi pipi aku kesat dengan belakang tangan. Benci macam mana sekali pun aku dengan dia, mahu atau tidak aku terpaksa berada dengan dia sepanjang malam ini sehinggalah sampai ke rumah pagi nanti. 

“Misha dengan Mizan dah dapat baby. Baby boy.” Irham bersuara selepas lebih kurang 20 minit kami berdua hanya membisukan diri. Aku membiarkan Irham bersuara sendiri, langsung tidak ambil peduli dengan apa yang dikatakannya itu.

“Dengar tak? Ke awak dah tak kenal diorang?” Irham menyoal lagi, kali ini sedikit menyindir. Aku hanya menjungkit bahu. Irham tersenyum hujung bibir, mungkin sedikit terasa dengan perlakuanku ketika itu.

“Takkanlah awak lupa semua benda yang berlaku 8 tahun dulu? Mustahil.” Irham bersuara lagi. Aku memandang ke arahnya sekilas kemudian kembali memandang ke depan.

“Tak semua.” Irham tersenyum, seolah-olah senang dengan jawapan itu.

“Saya ingat lagi, ada seorang lelaki yang pernah menipu saya. Mulut dia manis sangat, lelaki paling pandai paling hensem orang kata. Mungkin sebab tu juga dia paling pandai menipu dan tak nampak macam penipu.” Kata-kata sindiranku itu membuatkan Irham terus mendiamkan diri seketika. Irham mendengus perlahan, kemudian dia bersuara lagi memecahkan kesunyian dan kedinginan antara kami ketika itu.

“Terlalu banyak salah faham yang awak tak cuba nak fahamkan. Saya sudah cuba nak betulkan keadaan tapi awak tetap menolak sampailah sekarang. Apa lagi saya boleh buat? Apa pun alasan awak, walau apa pun yang berlaku, saya tetap akan menuntut janji yang awak buat dulu.” Ujar Irham, tekad sekali. Aku tersenyum sinis.

“Berusahalah, yang pasti, sangat-sangat pasti awak takkan berjaya. Saya akan pastikan awak akan lupakan terus janji bodoh tu.” Aku juga setekad dirinya. Irham menghela nafasnya kasar.

“Janji perlu ditepati, perlu ditunaikan. Sampai mati saya akan tuntut!”

“Sampai mati saya akan menolak!” Aku melawan. 

“Okay, cubalah. Awak belum kenal Irham Syakir sebenar-benarnya.” Irham bersuara lagi, kini bernada mengugut.

“Betul, saya kenal Irham Syakir yang suka menipu, pemain hati orang dan penuntut janji bodoh.” Aku membalas, sengaja menyakitkan hati lelaki itu. Sengaja menambahkan berang kepada lelaki itu.

“Dan seorang lelaki yang pernah awak cinta sebelum ni.” Irham menambah, ada tawa dihujung katanya. Aku menjeling tajam. Irham masih bersisa ketawa. Perjalanan dalam kereta ini akan menjadi lebih panjang, jadi aku cuba menyelesakan posisiku ketika itu. Kusyen kecil yang aku letakkan sebagai alas pinggang aku betulkan sedikit. Aku cuba menurunkan sedikit tempat duduk aku itu, namun gagal. 

“Kenapa, tak selesa?” Irham menyoal, sebaik melihat aku terkial-kial mencuba.

“Nak turunkan seat ni sikit.” Ujarku. 

“Cuba tarik dekat tepi tu.” Irham cuba memberi arah. Aku hanya mendengar dan cuba melakukan seperti yang di arahkan itu namun masih gagal. 

“Tak boleh pun.” Sebaik aku bersuara, Irham merapatkan dirinya kepadaku. Cepat sahaja aku melarikan tubuh rapat ke pintu. Irham terkejut dengan reaksiku. 

“Bawa kereta elok-elok.” Aku cuba membaiki situasi ketika itu yang menjadi lebih janggal daripada yang sebelumnya. 

“Kejap lagi saya berhenti dekat RnR, saya betulkan seat tu. Awak kena tahan kejap ye.” Ujar Irham cuba bersuara seperti selalu. Aku sekadar mengangguk perlahan. 

“Okay, saya pun dah tak tahan.” Aku bersuara, lidah aku ketap perlahan.

“Tak tahan? Sakit ke?” Irham menyoal resah. Aku hanya tersengih panjang.

“Tak, nak terkucil.” Irham ternganga, mungkin terkejut dengan pengakuanku.

“Apa? Biasalah ibu mengandung.” Aku membela diri. Irham akhirnya tersenyum sendiri. Irham meneruskan lagi pemanduannya dan aku hanya duduk mendiamkan diri di sisinya. Aku termalu sendiri!

 ++++++
abc poskan awalkan?
sabtu ni pos Janji Terpateri 10.
itu pos terakhir untuk JP.
doakan abc dapat siapkan manuskrip JP secepat mungkin ye.  
komen la sikit ye.
much love readers!

2 comments:

Anonymous said...

assalam,hai Kak ABC
comelnya penulisan >o<
saya suka!Semoga Berjaya dan Semoga manuskrip akak diterima.. Insya-Allah.. =D tak sabar JP 10..


-Mia-

akubersamaCahya said...

wsalam. :)
terima kasih atas doanya ^^
ameen ya rabb!

tunggu sabtu ye :)

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders