Sunday, June 6, 2021

MINI NOVEL 2020 : MUZIKAL CINTA 23 (ROAD TO THE END)

 



BAB 23

Nur Ayla menghempaskan dirinya ke atas sofa. Terasa lelah menghimpit tubuhnya. Semalaman tidak tidur, malahan tidak langsung tidur sebaik tiba ke rumah sejak semalam. Ditambah pula dengan kedatangan Malik yang membuat kacau, semua penat itu seakan menghempapnya ketika ini. Seluruh badannya terasa sengal-sengal.

Nur Ayla membetulkan pembaringannya. Deringan mesej yang berbunyi membuatkan dia mengambil telefon yang berada di dalam poket seluar.

++ I’ll be late. Inspektor Ibrahim minta awak ke balai untuk buat statement tentang hal yang jadi. Saya tak dapat nak teman awak. Awak bolehkan pergi sendiri?” ++

Mesej yang dibaca itu dipandang sepi. Langsung tiada rasa untuk membalasnya. Nur Ayla kecewa lagi. Rashid seakan nekad dengan apa yang dikatakan awal pagi tadi. Mahu dia berhenti kerja? Nur Ayla menghela nafasnya. Telefon diletakkan semula.

“Bila tak dapat dikejar-kejar. Tapi bila dah dapat, ditinggal-tinggalkan.” Hatinya Nur Ayla berbisik sendiri. Tidak lama kemudian, Nur Ayla yang sedia memejam mata, terus terbuai mimpi. Dibiarkan sahaja semua yang berlaku, dia sudah terlalu penat untuk menangis sekali lagi.

Rashid mencuba lagi. Beberapa kali dia cuba menghubungi Nur Ayla namun tiada jawapan. Mesej yang dihantar jam 3 petang tadi, sudah dibaca namun tiada balasan. Sekarang sudah hampir jam 7 malam, namun Nur Ayla tidak tahu entah di mana. Rashid dihambat kerisauan dan rasa bersalah.

“Kenapa macam cacing kepanasan kamu ni?” Encik Rahmat yang mahu menyerahkan fail kepada Rashid menegur.

“Ayla, entah ke mana, call tak angkat, mesej pun tak berjawab.” Balas Rashid.

“Dah tu tunggu apa lagi, baliklah tengok isteri kamu. Ya Allah, baru semalamkan jadi benda buruk? Kamu tinggal lagi isteri kamu sorang-sorang?” Encik Rahmat berkerut kening.

“There’s a lot of thing to be settled pa… terpaksa.”

“Papa bukan suruh siapkan hari ini jugak. Sudah, pergi tengok Ayla tu, jadi apa-apa nanti baru menyesal.” Ujar Encik Rahmat sebelum berlalu keluar dari bilik Rashid. Rashid meraup wajah berkali-kali. Selepas itu, dia terus mengemas meja dan bersiap untuk pulang.

Dalam kereta, Rashid cuba menghubungi Nur Ayla lagi. Namun masih sama, tiada jawapannya. Rashid sudah terhimpit rasa bersalah kepada Nur Ayla. Egonya membuatkan dia tekad membiarkan sahaja Nur Ayla merajuk sendirian dan membawa hati. Rashid mengetap bibirnya. Kakinya menekan pedal minyak, melajukan pemanduan.

Nur Ayla membuka matanya perlahan-lahan. Kepalanya terasa berat dan berdenyut kuat. Terasa semakin kuat sengal-sengal di badannya. Jam di dinding dipandang, terus mulutnya beristigfar. Jam sudah melepasi jam 7 petang.

Tidak memikirkan kesakitan yang mencengkam, Nur Ayla terus bangun dan mahu membersihkan dirinya dan menunaikan solat asar yang sudah hampir dipenghujung. Teringatkan pesan Rashid yang dia perlu ke balai, membuatkan Nur Ayla bergerak lebih pantas.

Tepat jam 8 malam, Nur Ayla sudah bergerak ke balai polis. Kepala yang berdenyut agak menganggu pemanduannya. Sudahlah dia sudah lama tidak memandu, ini pula di waktu malam. Mujur sahaja tidak terlalu banyak kereta malam ini.

“Saya datang nak buat laporan berkenaan kafe’ saya yang kena pecah masuk.” Ujar Nur Ayla sebaik tiba di balai. Pegawai polis yang bertugas mula menyemak dan kemudian meminta Nur Ayla untuk tunggu seketika kerana pegawai yang mengendalikan kes tersebut sudah habis syif kerja.

“Puan boleh datang semula esok pagi, jam 10 pagi? Bukan apa, Inspektor Ibrahim nak uruskan kes ini sendiri.”

“Boleh-boleh. Maaf ya, saya tak berapa sihat tadi, tertidur dari tengah hari.”

“Tak apa, suspek masih dalam tempoh reman. Kalau puan cepat buat laporan, cepat kes ini diuruskan.”

“Okay baik, esok saya datang pada masanya.” Nur Ayla kemudian meminta diri. Kepala yang semakin terasa berat membuatkan Nur Ayla memejam mata seketika, sebaik sahaja menghidupkan keretanya.

Nur Ayla tercari-cari telefonnya namun tiada. Mungkin sahaja dia tertinggal kerana terlalu kelam kabut untuk datang ke balai tadi. Nur Ayla mengeluh sendiri, tentu sahaja Rashid sudah mencarinya. Tentu juga lelaki itu sudah berang atau apa sahaja. Teringatkan kata-kata Rashid membuatkan Nur Ayla panas hati. Namun mengenangkan keluarga mertuanya Nur Ayla berbolak balik.

Nur Ayla berfikir dengan kepala yang berdenyut kuat itu, mahu pulang ke rumah di kafe’ atau rumah mertuanya. Sejak majlis nikah dia dan Rashid, Nur Ayla belum lagi pulang atau bertemu empat mata dengan keluarga mertuanya, dengan itu Nur Ayla terus mengubah arah pemanduan ke Meru Heights. Dalam hati dia berdoa, Rashid sudah berada di sana.

“Assalamualaikum…” Nur Ayla memberikan salam, pagar bertutup rapat. Jam di tangan dibelek sekilas. Hampir jam 10 malam. Nur Ayla berdiri di depan pagar rumah Puan Ruhil dan Encik Rahmat, namun masih tiada jawapan. Mungkin semua sudah tidur.

Bunyi seretan kereta yang berhenti tiba-tiba mengejutkan Nur Ayla yang baru hendak duduk bersandar di keretanya.

“Where have you been Ayla? Macam orang gila saya cari awak, kenapa tak angkat telefon? I’ve called you hundred times!” Rashid meninggi suara. Nur Ayla membuka mulut cuba membalas namun, terlalu banyak soalan yang dilontarkan. Nur Ayla seakan kelu lidah.

“Boleh tak jangan buat perangai lari merata!” Kata-kata yang merengut hati Nur Ayla ketika itu. Baru hendak membalas, suara Puan Ruhil memintas.

“Ya Allah, apa ni Rashid bising-bising luar rumah? Tak malu jiran-jiran dengar? Ayla? Ada apa korang berdua ni?” Pintu pagar dibuka dari dalam. Encik Rahmat menggeleng kepala.

Rashid merengus kasar, terus melangkah masuk ke rumah tanpa mempedulikan Nur Ayla yang berdiri di situ, terkaku sendiri.

“Ayla, mari masuk dulu. Dah lewat ni.” Suara Puan Ruhil selepas memandang Rashid membawa diri sendiri ke dalam rumah. Nur Ayla hanya mengangguk kepala perlahan. Kepalanya kian berdenyut kuat, Nur Ayla memejam matanya menahan kesakitan yang semakin mencengkam. Baru hendak melangkah, tubuh Nur Ayla seakan hilang keseimbangan. Nur Ayla terus terjelepok mencium tanah.

“Ya Allah. Allahuakhbar. Ayla!” Puan Ruhil yang ketika itu menanti di pagar, terkejut besar melihat tubuh Nur Ayla tersembam mencium bumi. Laju dia mendapatkan Nur Ayla yang sudah tidak sedarkan diri, terbaring di tanah. Encik Rahmat yang mendengar jeritan Puan Ruhil terus laju mendapatkan isteri.

“Ya Allah, kenapa ni?”

“Tak tahu bang, tiba-tiba aje Ayla jatuh pengsan. Panggil Rashid cepat, dah luka Ayla ni kena tar ni.” Puan Ruhil mengangkat Nur Ayla keribaannya.

“Rashid… cepat. Ayla pengsan dekat luar tu!” Encik Rahmat menempik dari muka pintu. Rashid yang ketika itu berada di dapur, laju berlari keluar. Tanpa sempat menyarung selipar, Rashid terus sahaja berlari mendapatkan Nur Ayla.

“Allahuakbar, sayang…”

“Angkat masuk dalam. Panas sangat badan Ayla ni.” Ujar Puan Ruhil kepada Rashid. Tanpa banyak soal, Rashid terus mengangkat tubuh Nur Ayla masuk ke dalam rumah. Rashid memandang wajah Nur Ayla, pucat lesi. Rashid dihimpit penyesalan, beribu-ribu penyesalan.

“Kamu ni macam mana Rashid? Macam ni kamu jaga Ayla? Baru seminggu dia jadi isteri kamu, dah macam ni jadinya?” Puan Ruhil membebel, sambil memerhatikan Rashid yang sedang menyapu ubat ke dahi Nur Ayla yang terluka akibat tersembam tadi.

“Awak ni Ruhil, tak payahlah nak bising-bising. Biasalah diorang ni baru nak biasakan hidup berdua. Ujian dari sebelum nikah sampai nikah, dan sampai sekarang tak berhenti-henti.” Encik Rahmat cuba menghentikan bebelan isterinya yang terus-terusan membebankan Rashid.

“Taklah, abang pun dengar tadi macam mana dia marahkan Ayla. Sampai tak boleh nak bersuara langsung menantu saya ni.” Puan Ruhil masih tidak berpuas hati.

“Rashid tahu Rashid salah. Tadi Rashid rungsing, Rashid balik kafe’ Ayla tak ada. Call and mesej semua tak berjawab. Risau.” Rashid cuba menerangkan. Puan Ruhil menggeleng kepala.

“Mana Rashid mama yang penyabar tu? Setahun lebih boleh sabar dengan semua ujian yang ada. Sekarang dah dapat Nur Ayla pun, tak boleh dah sabar?” Bidas Puan Ruhil.

“Sudahlah… Rashid, jaga suhu Ayla jangan biar naik tinggi. Nanti dah sedar bagi Ayla makan ubat.” Encik Rahmat kemudian membawa Puan Ruhil keluar dari bilik itu, membiarkan Rashid mengubat Nur Ayla yang masih tidak sedarkan diri.

Rashid mengelus lembut rambut Nur Ayla. Wajah Nur Ayla yang masih pucat disentuh perlahan.

“I am sorry sayang. I am truly sorry. Saya tak maksudkan semua yang saya cakap dengan awak. I’m just tired dan tak fikir baik-baik sebelum saya cakap.”

“Sebab ego saya, awak sakit macam ni. Maaf sebab tak jadi suami yang baik untuk awak. Baru seminggu, saya dah buat awak menangis dan sakit. Sorry…” Dahi Nur Ayla dikucup perlahan. Tuala lembap ditukar ganti. Kemudian Rashid bangkit dan mahu menukar air di dalam mangkuk untuk terus mengelap badan Nur Ayla yang masih tidak surut panasnya.

Nur Ayla yang sudah kembali sedar, cuba membuka matanya. Dahi terasa perit sakit. Tekak terasa mual dan loya. Kepala yang masih kuat berdenyut menambahkan mual. Nur Ayla bingkas bangun dari pembaringan, akibat terlalu laju bangun membuatkan kepala Nur Ayla semakin kuat mencengkam mengakibatkan Nur Ayla mengerang kesakitan.

“Kenapa sayang?” Rashid yang berada di tandas, laju sahaja mendapatkan Nur Ayla yang sudah duduk di birai katil. Rashid duduk berhadapan Nur Ayla, namun Nur Ayla menolak Rashid menjauhinya. Nur Ayla menggeleng kepalanya perlahan.

“Why sayang? I’m so sorry, saya tak bermaksud nak cakap yang cakap dekat awak.” Rashid cuba menjelaskan, namun Nur Ayla tetap cuba menolak Rashid yang berada rapat dengannya. Nur Ayla yang sudah mahu mengeluarkan isi perutnya, menolak tubuh Rashid yang tetap di depannya. Rashid yang tidak tahu keadaan Nur Ayla ketika itu, menarik Nur Ayla rapat ke tubuhnya. Terus sahaja, Nur Ayla memuntahkan segala yang ada di dalam perutnya. Rashid tergamam, hanya mampu memandang bajunya penuh dengan muntah Nur Ayla.

“Sorry, saya rasa mual sangat….” Ujar Nur Ayla dengan suara yang lemah.

“Tak apa sayang, saya boleh cuci. Awak okay tak ni?” Soal Rashid. Nur Ayla menggeleng.

“Kepala saya sakit sangat. Lapar tapi rasa mual sangat.” Rashid memimpin Nur Ayla ke tandas untuk mencuci muntah.

“Makan tak hari ni?”

“Tak, lupa…” Rashid mengeluh perlahan. Dalam hati Rashid menyalahkan dirinya sendiri di dalam hati. Dia mengabaikan Nur Ayla hari ini, kesannya Nur Ayla terus sahaja jatuh sakit.

“Saya nak tukar baju dulu. Kejap lagi saya ambilkan makanan dan ubat. Milo panas boleh?” Soal Rashid sambil mengambil baju yang baru di dalam almari. Nur Ayla yang sedang berbaring hanya mengangguk sahaja. Bibir dan wajahnya pucat sekali. Rashid kemudian masuk ke tandas untuk mencuci dirinya yang tadi sudah dimandikan dengan muntah.

Sebaik keluar dari tandas, Rashid memandang ke arah Nur Ayla yang sudah pun terlena di katil. Rashid bingkas ke dapur mendapatkan makanan dan ubat untuk isterinya. Jam telah pun menganjak ke tengah pagi. Namun untuk Nur Ayla, Rashid gagahkan juga walaupun keletihan mula terasa.

Setelah siap menyediakan makanan dan ubat untuk isterinya, Rashid bergegas ke bilik. Nur Ayla masih terlena.

“Sayang, makan sikit boleh?” Rashid mengelus pipi Nur Ayla lembut. Nur Ayla masih dalam lena, memegang tangan Rashid yang terus mengelus pipinya. Mata dibuka sedikit memandang Rashid yang tersenyum di sisinya. Senyuman yang sama seperti kali pertama mereka bertemu.

“Kepala saya sakit sangat.” Ujar Nur Ayla perlahan.

“Makan sikit, lepas tu makan ubat. Nanti okaylah sayang. Boleh ye?” tangan Nur Ayla yang menggenggam tangannya dielus dan dikucup perlahan. Nur Ayla akur, Rashid membantu Nur Ayla untuk bangun dan bersandar di kepala katil.

Rashid kemudian menghulurkan milo panas untuk Nur Ayla mengisi perutnya yang sudah kosong. Beberapa menyisip air milo, Nur Ayla kembali menghulurkan cawan airnya kepada Rashid. Rashid kemudian menyuap Nur Ayla dengan bubur ayam yang baru dimasak.

“Tak nak dah…”

“Kenyang ke, sikit aje.” Nur Ayla hanya mengangguk.

“Awak dah makan ke?” Nur Ayla menyoal.

“Manalah saya ada selera makan kalau cinta hati saya sakit macam ni…” Tangan Nur Ayla kembali diraih dan digenggam erat.

“Nanti jatuh sakit macam mana? Kita dua dua sakit, siapa nak jaga?” Balas Nur Ayla. Tangan yang digenggam, Rashid kucup penuh kasih.

“InsyaAllah, saya kuat untuk awak. Cepat sihat sayang, saya rasa bersalah. Saya minta maaf.”

“Kenapa awak cakap macam tu dekat saya?”

“Bila tak fikir, bila terikut sangat kerisauan yang ada and bila takut kehilangan. I’m so sorry.”

“Dimaafkan. Tapi saya pun salah, merajuk sampai ignore mesej awak. Lepas tu memang terus tak tahu dekat mana telefon saya letak. Sorry tau.” Rashid mengucup sekali lagi tangan Nur Ayla.

“Rasa bersalah ni tak hilang sayang, tambah-tambah keadaan awak macam ni. Luka ni, kecik di luarkan tapi hati awak mesti terluka lebih besar. Saya macam tak boleh nak fikir dengan betul. Saya sendiri tak sangka saya boleh cakap macam tu. Sorry. I am really sorry.” Rashid menghela nafas, resah dan bersalah. Nur Ayla membetulkan duduknya.

“Jangan cakap lagi. Kita dua-dua perlukan rehat sebenarnya. Terlalu banyak terlalu berat semua yang kita lalui. Tiba-tiba berkahwin, tiba-tiba ada gangguan macam tu. Too much for both of us.” Ujar Nur Ayla. Rashid mengangguk tanda setuju.

“We do need rest. Jadi, awak makanlah dulu, lepas tu tidur. Dah jam berapa pun ni. Esok lewat pulak kita bangun subuh.”

“Saya turun kejap. Nanti saya naik balik. Tidur dulu tau.” Rashid membantu Nur Ayla berbaring.

“Jangan lama sangat, nanti saya rindu.” Ujar Nur Ayla, malu-malu. Membuatkan hati Rashid seakan berbunga mekar. Mekar, sehingga melebar senyuman di bibir.


Wednesday, May 19, 2021

MINI NOVEL 2020 : MUZIKAL CINTA 22

 


BAB 22

Nur Ayla menutup mulut yang menguap besar. Terasa keletihan perjalanan yang jauh. Sudah lama benar dia tidak ke mana-mana sejak mula bekerja sendiri. Perjalanan kali ini amat memberi makna kepada Nur Ayla apabila bersama-sama dengan lelaki yang dicintainya, Rashid.

“Betul ni sayang, tak nak balik rumah mama papa dulu?” Ujar Rashid sebaik sahaja mengeluarkan beg dan barangan milik Nur Ayla dari kereta. Nur Ayla yang sedang membetulkan tudung di kepala mengangguk laju.

“Nanti saya balik sana, kan saya dah minta izin… ke awak nak tarik balik izin tu?” Nur Ayla menyoal, manja.

“Taklah. Saya risau awak tu. Baru seminggu tau dari apa yang berlaku haritu. Kalau tiba-tiba dia muncul macam mana.” Rashid membalas. Nur Ayla diam, memandang Rashid tak berkelip mata.

“Haa dah kenapa pandang saya macam tu?” Rashid menyoal dengan kening yang sudah bertaut dua.

“Saja nak takutkan saya kan. Saya nak set up kafe’ aje sebab tu kena duduk sini.” Ujar Nur Ayla seakan menjauh hati. Rashid menguntum senyum sebelum merapatkan jarak antara mereka dan menarik Nur Ayla ke dalam pelukannya.

“Saya faham sayang… sorry, saya bukan nak takutkan. Saya risaukan awak.”  

“Teman la saya dekat sini.” Balas Nur Ayla merenggangkan pelukan dan memandang Rashid yang masih menguntum senyum.

“Bukan tak nak. Memang kalau ikut hati, saya simpan awak dalam poket ni. Biar 24 jam awak depan mata saya. Tapi, ada masalah sikit dekat office. Papa kata urgent, jadi terpaksalah saya tahan diri saya dari ikut hati saya ni.” Bahu Nur Ayla dielus perlahan. Nur Ayla mengangguk tanda faham.

“InsyaAllah semua akan baik-baik saja. Semua masalah awak akan selesai dan saya dekat sini baik-baik sahaja.”

“Aamin. insyaAllah. Kalau awak rasa tak sedap hati atau rindu suami awak ni, terus call tau. Saya akan datang secepatnya.” Rashid mengangkat beg Nur Ayla sampai ke depan pintu kafe’. Nur Ayla membuntuti langkah Rashid.

“Kalau rindu eh.”

“Jangan kata tak rindu pulak.” Balas Rashid sambil berdiri tegak dengan kedua-dua tangannya di dalam poket seluar. Nur Ayla dipandang dengan riak wajah serius.

“Taklah, mestilah akan rindu suami saya, seminggu ni asyik berkepitkan.”

“Pandai pun. Saya kena cepat, papa dah tunggu di ofis. Jumpa nanti sayang, I’ll call you later.” Tangan dihulurkan. Nur Ayla cepat-cepat menyambut huluran itu dan mengucup tangan Rashid penuh kasih.

“Hati-hati awak. Jangan bawa laju-laju. Saya tunggu awak call nanti.” Rashid mengusap pipi Nur Ayla sebelum berlalu pergi.

Nur Ayla melambai Rashid sebelum masuk ke rumahnya di tingkat 2. Kerinduan mula menerpa, membuatkan Nur Ayla tersenyum sendiri.

Lima hari bersama-sama Rashid dengan hubungan yang halal, membuatkan mereka bagai tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya meluahkan semua rasa yang ada di dalam hati mereka, yang selama ini mereka simpan dan pendam.

Nur Ayla terutamanya, meluahkan semua rasa cintanya kepada Rashid tanpa berselindung. Segala marah dan kesal juga turut sama diluahkan. Masing-masing tidak lagi mahu saling menyalahkan sesama mereka. Mereka juga tidak lagi mahu menyimpan rahsia sendiri, mereka tahu dan sedar mereka perlu sama-sama mengharungi segala bahagia yang ada juga segala derita yang menerpa. Mereka perlu sentiasa berdua.

Nur Ayla menghempas duduk ke atas sofa. Dia mengambil rehat seketika sebelum perlu bekerja selepas ini. sudah lima hari kafe’ tutup kerana dia pergi bercuti tiba-tiba, jadi Nur Ayla perlu bermula semula. Nur Ayla menghela nafas kuat, malam ini dia perlu bekerja sepanjang malam untuk membuka semula kafe’ esok pagi. Tidak tunggu lama, Nur Ayla bingkas bangun dan terus pergi membersihkan diri. Kerja sudah menanti.

“Sayang, buat apa tu?” Tepat jam 10 malam Rashid menghubungi Nur Ayla.

“Baru lepas siapkan doh roti. Lepas ni nak siapkan doh tart pulak. Awak masih di ofis?” Talian dibuat dalam mode pembesar suara. Tangannya sibuk menyukat tepung.

“Aah, dekat ofis ni, sikit lagi lepas tu saya balik, saya balik sana ye sayang. Rindu.”

“Saya pun rindu awak tapi jauh lah awak. Lewat malam dah awak nak balik sini nanti tu.”

“Macam tak bagi saya balik sana aje.”

“Bukan macam tu, saya pun rindu dekat awak tapi jauhkan. Awak lagilah letih dari saya drive dari pagi sampai malam.”

“Yelah, faham. Banyak ke buat preparation esok tu?”

“Tak banyak seperti selalu, tapi cukup untuk esok pagi sampai tengahari. Saya plan petang esok prepare siap-siap untuk lusa.”

“Letih rehat sayang.”

“Dah biasa, awak pun sama. Letih rehat.”

“I miss you a lot.”

“I miss you too.”

“Ahhh, saya balik malam nanti, tak kira. Rindu teruk.” Nur Ayla ketawa, dia juga merasakan yang sama.

“Yelah-yelah tapi bawak elok-elok, ingat, kalau awak mengantuk balik rumah mama papa dulu tau.”

“Okay sayang, see you soon. Love you sayang.”

“Love you too.”

Talian dimatikan, dengan senyuman Nur Ayla meneruskan kerja-kerjanya. Semakin laju dan bersemangat. Bersemangat mahu menantikan suaminya pulang kerja. Mulut sahaja seakan menolak tetapi hati amat mengharapkan Rashid untuk pulang sesegera mungkin!

 Rashid menutup semua lampu yang terpasang. Setelah selesai kerja yang diminta papa, laju sahaja dia mengemas meja dan terus bersiap untuk pulang. Usai solat isyak tadi, hatinya terasa tidak enak. Berdebar-debar sehingga dia dihimpit kerisauan tentang Nur Ayla yang berseorangan di Seri Iskandar.

Kereta dihidupkan dan terus sahaja dia membelah kedinginan dan sunyi lewat malam itu. Mulutnya terkumat-kamit doa, doa perjalanan yang selamat dan doa isterinya dalam lindungan Yang Maha Memberi Rahmat.

Nur Ayla telah selesai membuat persiapan untuk pembukaan kafe’ esok pagi. Jam telah menunjukkan jam 3 pagi. Cepat-cepat Nur Ayla mengemas apa yang perlu sebelum naik ke tingkat 2. Baru hendak menyangkut apron yang pakai, dari cermin di depannya, Nur Ayla perasan tingkap dapurnya terbuka luas. Nur Ayla pasti dan telah pun memastikan awal tadi sewaktu sebelum memulakan kerja semua tingkap dan pintu ditutup rapat.

Dadanya dihimpit debaran kuat, namun masih berfikiran positif. Telefon di dalam poket seluar dipegang, nombor Rashid dicari dengan pantas dan terus dihubunginya.

“Yes sayang… belum tidur?” Soal Rashid di hujung talian.

“Belum. Awak dekat mana?” Nur Ayla kembali menyoal.

“Dalam perjalanan nak jumpa isteri saya.” Jawapan yang membuatkan Nur Ayla menghela nafas lega.

“Kalau macam tu, boleh tak awak cepat sikit. Saya tak sedap hati.” Ujar Nur Ayla tidak berselindung. Rashid di talian sudah berkerut dahi.

“Why sayang, are you okay?”

“Okay, tapi macam ada tak kenalah. Boleh cepat tak awak?” Nur Ayla ketika itu sudah merapati tingkap yang terbuka, dengan laju dia menutup tingkap itu dan menguncikannya semula. Pintu dapur dipastikan berkunci. Nur Ayla memeriksa seluruh dapur sebelum ke arah ruang kafe’. Lampu dipasang semuanya, terang benderang.

“I am speeding up. Sayang, naik bilik, lock all the doors, okay? Sampai karang I’ll call you.” Ujar Rashid.

“No, jangan hang up. Stay dengan saya boleh? Awak pakai hands-free kan?” Nur Ayla dihimpit rasa takut. Kafe’ telah diperiksa sebaiknya walaupun dalam keadaan takut-takut.

“Okay sayang. Jangan fikir sangat. Awak dah naik bilik ke?”

“Belum, saya check kafe’ dulu.”

“Lahhh sayang, naik bilik, kunci pintu.”

“Saya bukak semua lampu dulu, bagi terang.”

“Sekarang naik bilik.” Ujar Rashid tegas.

“Janganlah marah, okay saya naik sekarang.”

“Tak marah, saya risau sangat ni sayang.”

“Ya tahu, saya pun. Okay dah dekat atas.”

“Masuk bilik kunci pintu, saya sampai nanti baru keluar, okay?”

“Janganlah letak, teruskan cakap dengan saya boleh?” Pinta Nur Ayla, sambil mengunci pintu bilik setelah membuka semua lampu di tingkat atas. Biliknya juga telah diperiksa terlebih dahulu sebelum mengunci pintu. Biarpun Nur Ayla mahu kekal positif, dia tetap berasa amat risau. Risau kalau apa yang difikirkan ketika itu benar-benar berlaku.

“Boleh tapi sayang, I need to call my friend. Inspektor Ibrahim. Saya nak minta tolong dia tentang hal awak ni. Just a few minutes.”

“Okay, tapi lepas tu terus call saya tau.”

“I will sayang, jangan fikir banyak. Stay in your room.” Pesan Rashid sebelum mematikan talian. Nur Ayla memandang telefonnya sebelum menghela nafasnya kuat. Debaran ini membuatkan dia seakan sesak nafas.

Bunyi tingkap pecah membuatkan Nur Ayla terkejut besar hingga terangkat bahunya. Dengan sedikit keberanian, Nur Ayla menjengah ke tingkap dan memandang ke luar. Dari tingkap biliknya Nur Ayla dapat menangkap sosok tubuh seseorang sedang berbuat sesuatu di pintu belakang kafe’. Tingkah sosok itu seakan cuba memasuki kafe’, membuatkan jantung Nur Ayla seakan mahu berhenti. Laju dia berlari mendapatkan telefon dan terus menghubungi Rashid.

“Sayang, saya nak sampai dah ni.”

“Awak, ada orang nak masuk kafe’, dia ada dekat pintu belakang. Dia pecahkan tingkap yang terbuka tadi. Tadi saya kunci. Saya takut.” Nur Ayla terketar-ketar menerangkan keadaannya.

“Allah… stay in your room. Saya call polis.” Rashid mematikan taliannya dengan Nur Ayla dan kembali menghubungi Ibrahim.

“Ibrahim, my wife in danger. Aku rasa dia ada di kafe isteri aku. Boleh kau tolong aku?” Ujar Rashid laju sebaik sahaja Ibrahim menyambung talian.

“Okay baik, aku akan arah peronda terhampir untuk ke kafe isteri kau. Aku akan gerak ke sana secepatnya. Jumpa nanti.” Talian terus dimatikan. Tindakan segera yang pantas amat diperlukan ketika ini.

Rashid menekan minyak menambah kelajuan pemanduannya. Hanya beberapa kilometer sahaja lagi untuk sampai. Mulutnya berhenti dengan doa-doa untuk isterinya.

Nur Ayla semakin dihimpit ketakutan setelah melihat sosok tubuh itu sudah hilang dari pandangannya dan pintu dapur kafe telah terbuka. Nur Ayla menekap tangan ke dada. Jantungnya berdetak pada kadar luar biasa. Nama Allah meniti di bibirnya.

“Saya rasa dia dah masuk kafe’” Nur Ayla menangis di talian.

“Saya dah sampai sayang, jangan keluar. Stay in your room.” Ujar Rashid yang baru tiba. Ibrahim juga sampai pada masa yang sama. Rashid keluar dari kereta dan bersalaman dengan Inspektor Ibrahim, sahabat lamanya. Dua buah peronda polis telah pun sampai lebih awal. Inspektor Ibrahim kelihatan sedang berbincang dengan para anggotanya.

“Saya takut. Cepatlah datang sini. Saya boleh dengar dia naik tangga.” Nur Ayla sudah teresak-esak menangis. Pintu dipastikan lagi sekali berkunci dengan baik.

“I am here sayang, saya dengan Inspektor Ibrahim. Polis pun dah ada ramai ni.”

“Saya keluar sekarang ya.”

“No, no… stay. Sampai saya sendiri datang depan pintu bilik baru awak buka. Boleh sayang? Jangan menangis sayang.”

“Saya takut.”

“I know. Sekejap aje. Stay, okay?” Rashid mematikan talian sebaik selesai memujuk Nur Ayla. Ikutkan hati sememangnya dia mahu terus mendapatkan Nur Ayla ke dalam pelukannya. Jika Nur Ayla takut, dia seribu kali lebih takut. Jika Nur Ayla risau, dia seribu kali lebih risau.

“Kami akan masuk dulu, once dah clear, I call you in.” Ujar Inspektor Ibrahim kepada Rashid. Rashid mengangguk kepala tanda faham dengan arahan disampaikan.

Inspektor Ibrahim kemudian memberikan arahan kepada para anggotanya dengan penuh taktikal yang telah dirancang. Keadaan kafe’ yang terang benderang ketika itu, memudahkan pandangan mereka.

Beberapa orang anggota polis telah pun bersedia di bahagian belakang kafe’ menunggu arahan seterusnya daripada Inspektor Ibrahim. Inspektor Ibrahim sudah bersedia untuk masuk ke kafe melalui pintu depan yang telah pun dibuka kunci oleh salah seorang anggota sebentar tadi.

Kafe’ Nur Ayla tiada sistem kawalan, memudahkan penjenayah untuk masuk dan ketika ini membantu kerja polis yang datang secara diam-diam untuk memerangkap ‘dia’ yang memecah masuk ke kafe’.

“Ayla… hang ada mana sayang… aku dah sampai ni, aku rindu dekat hang…” Suara itu bergema kuat di tingkat 2 kafe’. Nur Ayla yang teresak menahan ketakutan, tergamam dan terkaku seketika mendengar suara yang amat dikenalinya. Malik!

“Hang ada mana haa, aku mai dah ni. Hang tak rindu aku ka, lama aku tunggu hang.” Suara Malik bergema kuat, kedengaran pintu-pintu cuba dibuka. Kemudian, derap kaki kedengaran kuat di depan pintu bilik Nur Ayla.  

Malik tersenyum lebar, dengan mata yang merah menyala. Tombol pintu dipulas, namun berkunci. Pintu diketuk beberapa kali, sengaja mahu menggetarkan hati Nur Ayla yang dia yakin berada di dalam bilik ini.

“Hang dalam ni kan sayang…. Mai la keluaq, aku rindu hang.” Terus sahaja pintu bilik diketuk sekuat-kuatnya, seperti mahu memecahkannya.

Nur Ayla menjerit ketakutan di dalam bilik itu apabila pintu biliknya bagai hendak pecah dihentak Malik diluarnya. Tetapi mengingat apa yang Rashid khabar sebentar tadi, membuatkan Nur Ayla mempunyai sedikit kekuatan. Dia tidak sendirian, suaminya ada di luar bersama-sama anggota polis yang sudah bersedia untuk menangkap Malik.

“Malik! Anda ditahan atas kesalahan menceroboh dengan niat khianat. Serah diri anda!” Tempikan kuat di belakangnya membuatkan Malik laju berpaling. Malik berang, dia bertempik kuat.

“Aku nak jumpa kekasih aku! Aku nak jumpa Ayla!!!” Malik bertempik makin kuat. Namun tidak lama, dengan kecekapan polis dalam hanya beberapa saat, Malik tewas dan telah digari.

Rashid ketika naik ke atas, setelah tidak lagi dapat menahan diri apabila mendengar jeritan Nur Ayla. Ketika itu, Rashid memandang Malik yang sudah dalam tahanan polis. Malik meronta kuat mahu melepaskan diri sebaik sahaja saling berpandangan dengan Rashid ketika itu.

“Ayla aku punya! Kalau aku tak dapat sesiapa pun tak akan dapat!” Tempik Malik. Rashid mengepal penumbuknya, mujur ada polis, jika tidak mahu dilepaskan penumbuk itu tepat pada muka Malik.

“Ayla milik aku, selama-lamanya akan jadi milik aku seorang. Kau hanya akan mampu berangan, hiduplah kau meringkuk dalam tembok sana!” Balas Rashid perlahan namun menusuk tajam. Kata-kata yang membuat Malik meronta lagi kuat sehingga dua anggota polis perlu memegang dia. Inspektor Ibrahim mengarahkan anggotanya membawa Malik pergi dari situ.

“Semua dah clear, bahagian bawah hanya tingkap aje pecah, dia guna batu. Pintu semua okay. Nanti kau bawak isteri kau pergi balai untuk buat full statement.” Inspektor Ibrahim kemudian bersalaman dengan Rashid sebelum kembali meneruskan tugasnya. Rashid pula tidak membuang masa, terus mendapatkan Nur Ayla yang masih berkurung di dalam bilik.

“Sayang, saya dekat luar ni, buka pintu sayang.” Suara Rashid dari luar pintu. Nur Ayla yang mendengar suara yang dinanti-nantikan terus bangkit membuka pintu. Sebaik sahaja melihat sosok tubuh Rashid berdiri tegak di depan pintu itu. Nur Ayla terus sahaja memeluk tubuh Rashid seeratnya, menghembur semua ketakutan di dada suaminya. Rashid mengeratkan pelukan, menggosok lembut belakang badan Nur Ayla sambil membisikkan kata-kata semangat.

“Jangan nangis lagi sayang, semua dah selamat.”

“Saya takut sangat.” Ujar Nur Ayla dalam tangisan. Rashid mengangguk perlahan.

“I know, semua dah selamat. Malik dah kena tangkap. InsyaAllah, lepas ni dia tak akan ganggu sayang lagi.” Ujar Rashid menenangkan Nur Ayla yang teresak-esak menangis.

“Awak, kita tengok kafe’ boleh?” Suara Nur Ayla setelah lama menangis. Rashid memegang wajah Nur Ayla dengan kedua-dua tangannya. Memandang lama dan kemudian menyapu air mata yang bersisa.

“Jom kita pergi tengok dan kemas apa yang patut.” Rashid menarik tangan Nur Ayla untuk beriringan turun ke bawah.

Nur Ayla memeriksa ruang depan kafe’, manakala Rashid memeriksa ruang dapur. Pintu dapur ditutup semula. Kunci yang dirosakkan segera dibaiki seadanya untuk lewat malam ini.

Nur Ayla kemudian menyapu semua kaca tingkap yang berteraburan di lantai. Tingkap yang berlubang, Rashid tutup sementara dengan plastik hitam.

“Esok saya panggil orang repair semua ni ya. Dah sayang, dekat subuh dah.” Ujar Rashid kepada Nur Ayla yang masih ligat membersihkan dapur kafe’nya.

“Tu la dah subuh, lepas subuh saya nak siap-siap untuk bukak kafe’ pulak. Jom lah, mandi, solat dulu. Nanti saya turun sini, buat breakfast untuk awak.” Rashid berkerut dahi. Tangan Nur Ayla dicapai, dielus perlahan.

“Sayang, are you alright?” Soal Rashid. Nur Ayla memandang Rashid dengan pandangan pelik.

“Okay dah. Kenapa awak? Pandangan tu semacam aje?” Nur Ayla kembali menyoal.

“Baru aje selesai semua perkara yang diluar jangkaan kita sayang. Kita pula baru balik dari honeymoon and kejap lagi tetap nak bukak kafe’?”

“Awak… saya dah siap tau semua. Rugilah saya kalau tak buka kafe’.”

“Saya bayar kerugian tu.”

“Awak… saya okay. Tadi memang takut, risau semua ada tapi dah okay. Awak pun dah depan mata saya pun. Please…” Nur Ayla menggenggam tangan Rashid erat. Rashid mengeluh menghela lelah.

“Degil.”

“Tak… saya bekerja sendiri awak. Ini sumber pendapatan saya. Penat, letih, sedih saya dah rasa. Saya dah siapkan semuanya tadi, esok nak habiskan sahaja. Saya faham apa yang awak cuba sampaikan. Tapi please…” Nur Ayla meluahkan rasa. Rashid masih tidak berubah riak.

“Okay boleh tapi lepas ni saya dah tak izin awak kerja. Saya mampu jaga awak and bagi seberapa banyak awak perlukan.” Kata-kata yang membuatkan Nur Ayla terus melepaskan genggaman tangannya. Mata Nur Ayla berkaca.

“Awak… sampai hati awak.” Nur Ayla terus berlari naik ke tingkat atas. Kecewa. Kecewa Rashid membuat keputusan tanpa langsung fikirkan dirinya. Rashid meraup wajahnya kemudian menghela kuat, menghela kekesalan dengan kata-kata yang dia keluarkan tanpa berfikir panjang.

Nur Ayla telah siap membakar beberapa jenis roti, pastry dan cheesetart. Disusun elok semua di tempatnya. Nur Ayla membetulkan apronnya sebelum membawa keluar papan menu untuk diletakkan di depan pintu kafe’.

Ketika itu Rashid yang sudah bersiap untuk ke pejabat turun dari tingkat atas. Nur Ayla hanya mengerling sesaat sebelum kembali menyibukkan diri. Masih terasa hati dengan kata-kata Rashid awal pagi tadi. Namun, sarapan untuk Rashid telah pun disiapkan di meja di dapur.

“Sayang, saya nak ke ofis dulu. Nanti orang yang nak repair pintu dengan tingkap akan datang. Dalam jam 10 nanti.” Nur Ayla hanya mengangguk. Rashid kemudian menghulurkan tangannya. Nur Ayla terus menyambut dan menyalami Rashid. Rashid mahu menarik Nur Ayla ke dalam pelukannya seperti selalu yang dilakukan, namun laju sahaja Nur Ayla melepaskan diri dan membawa diri ke dapur. Rashid hanya diam dan memandang sepi tingkah Nur Ayla. Salah diri sendiri, Rashid tahu dan sedar. Malas melayan rasa, Rashid terus sahaja membawa diri.

Dari jauh Nur Ayla memandang langkah Rashid yang hilang membolos diri ke dalam kereta. Nur Ayla kecewa, tiada langsung kata maaf atau penjelasan dari Rashid tentang hal awal pagi tadi. Nur Ayla memejam matanya rapat, mencari semangat yang kian hilang.


MINI NOVEL 2020 : MUZIKAL CINTA 23 (ROAD TO THE END)

  BAB 23 Nur Ayla menghempaskan dirinya ke atas sofa. Terasa lelah menghimpit tubuhnya. Semalaman tidak tidur, malahan tidak langsung tidu...