Friday, June 14, 2019

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR & BATIN


ALHAMDULILLAH

masih berpeluang menyambut SYAWAL yang mulia.
syukur!

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin buat sahabat blog abc.
Raya yang lebih baik setiap tahun, alhamdulillah.

macam mana raya korang?

abc kongsikan gambar Raya abc sekeluarga. ❤❤






bawah ni gambar tahun lepas 2018, berempat, boleh nampak perbezaan anak anak abc. abc dan suami maintainnnnn hahahaha



meh le kongsi raya korang!
#muchlovereaders

Sunday, May 26, 2019

SALAM RAMADHAN KAREEM & SALAM AIDIL FITRI

ASSALAMUALAIKUM!

dalam tak sedar sudah sekian lama tak bersiaran. 2019, ingatkan abc nak aktif dan ligat dalam penulisan akan tetapi masih ditakuk lama, masih mencari rentak masa.

ALHAMDULILLAH,

sudah menginjak ke malam malam akhir ramadhan. mencari sesuatu sebagai bekal di hari kemudian. insyaAllah semoga kita semua perolehi syafaat dan kebaikannya.

InsyaAllah, dalam beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut SYAWAL yang sinarnya kian tiba. semoga SYAWAL kali ini lebih bermakna buat kita semua.

Selamat Berpuasa & Selamat Hari Raya, MAAF ZAHIR & BATIN

maaf, abc belum dalam post sambungan cerita atau cerita baru. abc baru berpindah masuk ke rumah baru (dari rumah sewa ke rumah sendiri, Alhamdulillah). insyaAllah lepas raya kita bersiaran langsung ya. maaf, tidak aktif lagi di 2019.

salam 0 - 0 ya!

#muchlovereaders

Tuesday, February 19, 2019

Mini Novel 2019 : Muzikal Cinta 3

Part 3
            Nur Ayla membungkam. Mak dengan ayah sama juga macam orang lain, asyik menyalahkan diri dia. Kereta myVi sudah tersadai. Baru semangat mahu pulang ke Ipoh, alih-alih kereta sudah ditunda ke bengkel.

            “Hang tu, mak dah pesan banyak kali. Jangan loqlaq. Baca doa. Dah berapa kali hang repair reta hang tu? Reta orang dah beribu. Duit tu kalau simpan boleh pi haji dua kali dah tau.” Mak masih membebel. Nur Ayla setia di muka pintu.

            “Ni macam mana hang nak balik Ipoh ni? Dah senja pun ni. Hang nilah. Loqlaq sangat sampai putuih tunang.”

            “Leha... awat dok kata lagutu, dah tak dak jodoh depa.” Ayah menegur Mak yang sudah terlepas kata. Nur Ayla diam sahaja.

            “Betui pa Leha kata bang. Malik tu putuih dengan dia sebab apa? Sebab accident bila budak loqlaq ni bawa reta.” Nur Ayla menggenggam tanganya ketat-ketat. Mahu sahaja dia membongkarkan hal sebenar tetapi dia tahan. Biarlah dia simpan rahsia itu, biarlah dia sahaja yang tahu. Kini dia dan Malik sudah tiada apa-apa ikatan. Ah! Memang dia tak suka dengan Malik, Mak yang memaksa untuk terima. Lelaki miang!

            “Takpalah mak, tak ada orang nak dekat Ayla pun tak pa. Ayla tak kisah. Dok sorang-sorang lagi senang. Ayla bukan sengaja nak berlanggaq. Dah jadi, dah berhati-hati tapi jadi juga, Ayla nak buat lagu mana dah.” Nur Ayla membuka suara.

            “Itulah reja hang menjawab saja. Menjawab pandai. Bila dah kerepot baru hang menyesai tak kahwin. Biaq aku nak tengok hang, bila adik-adik hang dah kahwin sat ni, baru hang menggeletaq nak kahwin.” Mak membidas. Nur Ayla menghela nafas lemah.

            “Leha... cuba doa yang baik-baik dekat anak.” Ayah menegur lagi. Mak diam dan terus ke dapur.

            “Ni Ayla nak balik lagu mana? ayah hantaq pi stesen bas la kut noh?” Ayah menyoal.

            “ Ayla nak pi jumpa Suzanna dulu, dia kan balik dengan Suami dia. Reta dia, boleh Ayla bawakan ke Ipoh.”

            “Bagi ka dia Ayla bawak reta dia?” Ayah menyoal ragu-ragu. Nur Ayla tersenyum dalam terpaksa. Faham benar maksud ayah.

            “Tak apalah ayah, Ayla cuba. Kalau dia tak bagi, Ayla balik naik bas ya.”

            “Kalau macam tu tak apalah. Pi tanya dia lekaih. Lewat sangat dah ni.” Nur Ayla mengangguk. Terus sahaja selipar di pakai dan terus melangkah ke rumah Suzanna yang hanya selang 3 buah rumah sahaja.

            Rumah Suzanna masih meriah. Masih ramai tetamu dan sanak saudara. Segan pula Nur Ayla mahu melangkah masuk tetapi kerana terpaksa, Nur Ayla tebalkan muka.

            “Pasai pa ni? Bukan hang dah balik Ipoh?” Suzanna yang sudah menukar pakaian menyoal. Nur Ayla tersengih panjang.

            “Memang patutnya aku dah balik, tapi reta aku masuk workshop.”

            “Dah tu? Hang nak balik dengan aku ka esok?” Soal Suzanna membuatkan Nur Ayla teragak-agak.

            “Hang bukan nak balik dengan laki hang ka?”

            “Yalah, balik dengan Megat. Hang nak tumpang sekali pun boleh. Megat okay ja.”

            “Malas aku nak kacau hampa dua. Orang tengah hangat bercinta. Segan aku.”

            “Tak payah dok buat gatai naa.. dah tu hang nak bawak reta aku ka?”

            “Haaa itulah rancangannya.” Terus Ayla mencelah. Suzanna terus menggeleng laju.

            “No no no no no no no, never! Tak mau la reta aku yang kecik tu jadi haluih...”

            “Alah hang ni... aku berhati-hatilah bawak.”

            “Aku dah tengok sangat dah berhati-hati hang tu. Tidak boleh. Sorry!” Suzanna begitu tegas, membuatkan Nur Ayla sedikit terkilan.

            “Sampai hati hang Su. Tak apalah. Terima kasih banyak.” Nur Ayla terus sahaja melangkah pulang. Suzanna pula terdiam. Terasa bersalah pula. Tetapi, Nur Ayla loqlaq!

            “Kata dah balik Ipoh?” suara yang menegur membuatkan Nur Ayla yang laju melangkah terhenti. Nur Ayla kalih memandang ke arah suara yang menegurnya. Rashid.

            “Bukan awak pun dah balik ke?” Nur Ayla menyoal kembali. Rashid tersenyum lebar.

            “Rancangnya memang nak balik tapi lepas maghrib nanti kut. Nak rehat-rehat borak-borak dulu. Lama tak jumpa Megat.” Rashid membalas. Nur Ayla sekadar mengangguk sahaja.

            “Awak kenapa tak balik lagi?” Rashid kembali menyoal.

            “Kereta saya dah kena masuk hospital. Tak boleh nak start. Tu yang masih di sini.”

            “Nak balik macam mana ni?”

            “Itulah, ingat nak pinjam kereta Suzanna balik Ipoh sebab dia balik dengan Megat tapi tak bagi. Yalah, saya ni loqlaq, dia takut saya junam dalam gaung dengan reta kesayangan dia.” Nur Ayla lepas kata.

            “Uishhh apa cakap macam tu. Kalau nak balik, balik dengan saya ajelah. Satu jalan, satu destinasi.” Rashid menawarkan lagi. Nur Ayla menggeleng laju.

            “Rashid, awak ni mesti tak dengar cerita habis pasai saya kan? Cuba pi habaq dekat Megat yang awak nak balik dengan saya. Saya percaya, berkilo nasihat Megat dengan Suzanna akan bagi dekat awak. Saya balik dulu, nak kejar bas balik Ipoh.” Nur Ayla terus berlalu pulang. Rashid berkerut dahi, tidak faham apa yang dimaksudkan Nur Ayla dengan nasihat berkilo.

            “Megat, kau dah lama kenal Nur Ayla?” Suzanna yang berada di situ turut berminat ingin tahu setelah nama Ayla keluar dari bibir Rashid.

            “Lama la jugak, sejak aku kenal Suzanna. Kenapa?” Megat membalas.

            “Aku ajak dia balik sekali dengan aku kejap lagi, dia tolak. Dia kata kalau aku cakap dekat korang berdua mesti korang akan nasihatkan aku berkilo-kilo. Aku tak faham, kenapa eh?” Megat tersenyum nipis dengan saling berpandangan dengan Suzanna.

            “Orang kampung ni kata, Ayla tu loqlaq terok sangat. Bahaya kalau naik kereta dengan dia. Dulu bekas tunang dia, Malik accident sebab bawak Ayla naik kereta. Ayla ni pula, kerap sangat accident. Kalau boleh, tak payahlah.” Suzanna mengangguk laju mengiyakan kata-kata Megat. Rashid ketawa kecil.

            “Weh, korang ni... zaman maju macam ni fikiran... adeh... percaya qada dan qadar. Apa yang jadi sebab Allah kata jadi. Allahuakbar. Aku tak percaya korang ni ortodoks gila.” Rashid ketawa lagi.

            “Tak kena gelaklah Abang Shid. Su hampir accident banyak kali dengan dia. Dia loqlaq, cepat gelabah.” Suzanna menambah.

            “Cara korang ni sakitkan hati Ayla tau tak. Macam nak kata dia bawak malang. Apalah. Kira dia putus tunang sebab hal ni jugak?” rashid menyoal.

            “Bukan nak kata dia bawa malang ke apa, Cuma dia loqlaq. Malik kata sebab tu lah tapi Ayla lepas accident tu memang tak nak dengar langsung nama Malik. Marah sangat gaya dia.” Megat menerangkan sebaiknya.

            “Selama yang Su kata dia loqlaq tu, dia drive ke Su drive?” Rashid menyoal Suzanna.

            “Dua-dua, ada yang dia drive ada yang Su drive.” Ujar Suzanna.

            “Aku nak ajak dia balik dengan aku. Aku nak tengok sejauh mana loqlaq dia tu.” Rashid bingkas bangun. Megat dan Suzanna saling berpandangan.

            “Kau biar betul Shid?” Megat menyoal, kelam kabut. Suzanna sudah cuak. Sekarang sudah malam, gelap.

            “Allah, tak ada apalah. Korang ni percaya sangat sebab tu jadi yang bukan-bukan. mulut kita ni mesin doa, apa yang kita cakap semua doa. Terus sahaja Rashid mengemas barangannya dan masuk ke kereta. Mungkin sahaja kini Nur Ayla sudah di Shahab Perdana, mencari bas untuk pulang ke Ipoh. Harap bas Ipoh semua tak ada!

+++++

Sorry busy sikit!
komen dulu ya
much love readers!

Tuesday, February 12, 2019

Mini Novel 2019: Muzikal Cinta 2


BAB 2

            Rashid membelek bumper keretanya yang pecah dan kemek dilanggar Nur Ayla. Nur Ayla setia memerhati sejak dari tadi.

            “Teruk betul ni. Awak langgar dengan apa ni?” Rashid menyoal dengan senyuman. Hairan melihat kesan perlanggaran yang seakan dilanggar oleh lori pula!

            “Tu kereta saya.” Nur Ayla menunjuk ke arah kereta myVi miliknya. Bumper belakang sudah jatuh terus.

            “Macam mana boleh langgar ni?” Soal Rashid lagi.

            “Saya ni tak reti parking. Masuk pi masuk mai, terus bum!” Nur Ayla bercerita, sengihan masih setia di bibirnya. Rashid ketawa, teruk betul parking. Macam mana boleh dapat lesen?

            “Mahal ni kalau tengok keadaan, boleh ke bayar?” Rashid bersuara lagi. Nur Ayla tersenyum lebar.

            “InsyaAllah, saya cuba selesaikan sebaiknya. Encik bagi nombor telefon dekat saya. Ni semua details saya. Siap salinan ic saya bagi.” Nur Ayla menyerahkan beberapa helai kertas kepada Rashid. Berkerut kening Rashid menerima huluran kertas itu. Rashid membelek satu persatu kertas yang diberikan Nur Ayla.

            “Semua complete. Memang selalu langgar orang ke Cik Ayla?” Rashid berseloroh.

            “Agak selalu. Setiap bulan memang kena keluarkan peruntukkan untuk repair kereta orang dan saya.” Nur Ayla menjawab jujur.

            “Jenuh juga tu.”

            “Nak buat macam mana, saya kelam kabut. Tak boleh nak ubah.” Nur Ayla tersengih sendiri.

            “Mandi bunga tengok.”

            “Tu macam nak cari jodoh.”

            “Apa salahnya, sekali harung orang Kedah kata.”

            “Belum terfikir lagi. Lagi pun baru ja putuih, malas nak cari ganti. Orang tak suka saya ni loqlaq.”

            “Lah. Maaflah, saya tak tau.”

            “Tak apa, benda biasa ja. Saya nak balik Ipoh terus ni, apa-apa call saja. Saya tak lari.” Nur Ayla mahu menamatkan perbualan. Segan pula berbual lama-lama di tepi jalan.

            “Kerja dekat Ipoh?”

            “Ya, sebab tu lambat sampai dan kalut nak balik. Esok kerja pagi.”

            “Macam mana nak balik bumper jatuh tu?” Rashid terus menerus menyoal. Nur Ayla sudah penat menjawab.

            “Tak apa. Saya angkat masuk butt, pastu drive baliklah.”

            “Kalau nak, saya boleh tolong pasang balik.” Nur Ayla terus memandang ke arah keretanya yang sudah tampak togel dengan bumper yang terjatuh.

            “Tak ada tools.” Ujar Nur Ayla.

            “Saya ada, jom.” Rashid terus membuka butt keretanya dan mengeluarkan kotak peralatan yang ada.

            “Saya pasang ni tak adalah elok pun. Nanti sampai Ipoh cik Ayla kena pergi bengkel dan betulkan.” Ujar Rashid sambil memperbetulkan bumper myVi Nur Ayla yang terjatuh.

            “Pecah teruk juga ni. Ganas betul cik Ayla bawa kereta. Bahaya ni ulang-alik jauh-jauh. Dah ada insurans?”

            “Juai insurans ka? Patut pakai BMW. Dah saya dah ada insurans. Saya ni loqlaq kena ambik awai-awai. Kurang-kurang mak ayah saya ada habuan bila saya tak ada.”

            “Uishhh ke situ pulak. Dah siap. Nanti jumpa dekat Ipoh ajelah.”

            “Ipoh jugak?”

            “Iye. Meru. Cik Ayla.”

            “Panggil saja Ayla. Sama juga, Meru Permai.”

            “Owh, sama. Saya Haluan Meru Permai.”

            “Erm, okay dah ni kan? Nanti apa-apa terus call saja ya. Dah lewat ni, saya nak singgah rumah mak ayah kejap lepas tu nak terus drive balik Ipoh.” Nur Ayla teragak-agak untuk terus memberi lokasi rumahnya. Baru kenal kut setakat sudah beritahu yang sepatutnya pun rasanya dah cukup.

            “Tak nak konvoi balik ke? Saya boleh tunggu.” Rashid seakan mahu meneruskan perbualan. Nur Ayla menggaru kepala yang berlapik selendang.

            “Tak apa kut. Encik balik dulu, nanti saya balik sendiri. Terima kasih banyak no.” Nur Ayla menolak dengan berhemah. Melebih pula Rashid, baru kenal kut!

            “Panggil Rashid saja. Kalau macam tu tak apalah. Hati-hati. Nanti sampai Ipoh saya call Ayla ya.” Rashid tersenyum lagi dan lagi. Sejak dari awal tadi senyum sahaja, biarpun Ayla menyampai perkhabaran tentang keretanya yang teruk dilanggar. Rashid sudah kenapa?!

Friday, February 1, 2019

Mini Novel 2019 : Muzikal Cinta 1


BAB 1

            Nur Ayla terkocoh-kocoh masuk ke dalam dewan. Mencari tempat yang membolehkan semua tetamu yang hadir boleh mendengar suaranya. DJ tidak ternampak pula ketika itu, yang terlihat hanyalah mikrofon di pentas persembahan, yang dipegang oleh seorang lelaki.

            Laju sahaja Ayla menapak ke arah lelaki itu. Hadiah besar yang dipegang sejak dari tadi diberikan kepada lelaki yang langsung tidak dikenalinya. Tanpa meminta kebenaran, terus sahaja mikrofon di tangan lelaki itu di ambil dan diketuk-ketuk beberapa kali. Test mic!

            “Maaf, maaf... mintak perhatian semua.” Nur Ayla mula bersuara. Tetamu yang riuh rendah mula diam dan terus memberikan perhatian kepada Nur Ayla.

            “Saya ada terlanggaq reta BMW mengelit-ngelit kat depan dewan nu... siapa punya tak tau?”

            “Nombor Plat?” Lelaki yang memegang hadiah Nur Ayla menyoal. Nur Ayla memandang sekilas sebelum menjawab.

            “Nombor plat dia...” Nur Ayla mengeluarkan pula telefon bimbit dari tas tangan yang tergantung di bahu.

            “Haa... BMW 1989. Siapa punya reta?”

            “Teruk mana awak langgar?” Lelaki itu terus menyoal. Nur Ayla meletak mikrofon ke bawah.

            “Awat dok tanya banyak? Saya nak cari tuan punya reta.”

            “Kereta tu kereta saya. Teruk mana awak langgar?” Nur Ayla terdiam.

            “Amat teruk.” Nur Ayla tersengih-sengih seperti kerang busuk.

            “Nur Ayla, what have you done?!” Suzanna yang cantik dalam persalinan pengantin menghampiri dengan wajah serius.

            “Macam biasa, aku langgaq reta dia...” Nur Ayla terus tersengih panjang.

            “Haa! Ayla, boleh tak hang ni kalau sehari tak loqlaq? Sorry abang Shid, Ayla ni memang kalut, ni kali ke berapa ratus tak tau dia rosakkan kereta orang.” Suzanna mula bising-bising.

            “Bukan sengaja tau.” Nur Ayla mengambil hadiah dari tangan Rashid dan terus menyerahkan kepada Suzanna.

            “Jom la pi tengok. Senang nak buat quotation harga siap-siap.” Nur Ayla terus mengajak Rashid ke kereta bagi melihat kesan perlanggarannya.

            “Saya ada job ni, tunggu kejap lagilah. Awak pi makan dulu ka apa ka na...” Rashid menunjukkan kepada band yang sudah lama bersiap sedia untuk membuat persembahan. Nur Ayla terus tersengih sekali lagi. Suzanna sudah menggeleng-gelengkan kepala.

            “Opss... sorry.” Mikrofon terus bertukar tangan.

            “Boleh tak sebelum hang bangkit dari katil hang setiap pagi, hang baca bismillah 21 kali. Bagi elok hari hang sikit.”

            “Amboi hang... kalau bab nak mengata aku...”

            “Betuilah, sampai hari kahwin aku hang buat loqlaq. Sebab nilah aku tak mau hang jadi pengapit aku. Risau terbalik habih pelamin aku.” Nur Ayla berdecit.

            “Tak daklah sampai tera tu.”

            “Habih yang jadi kat Julia tu apa dia?” Nur Ayla menjeling dengan muka malas mendengar leteran Suzanna. Apa yang terjadi sewaktu persandinga Julia adalah sebuah kemalangan. Kemalangan yang membuatkan Julia sampai sekarang tidak bercakap dengan dia.

‘Bukan salah aku, orang yang buat pelamin tu yang tak buat betul-betul. Aku pijak terus roboh.’ Nur Ayla menjawab dalam hati. Matanya tertancap pada Rashid yang sedang menyampaikan lagu Surat Untuk Starla. Sedap juga suara dia.

- bersambung nanti -

sila beri komen anda. okay tak?





FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders