Friday, July 6, 2012

Cerpen : Dia Adam Itu


Hawa membetulkan tudungnya yang senget ditiup angin laut. Sesekali angin terasa lembut menyapa, namun sesekali terasa bagai kasar ia menampar muka. Hawa merenung jauh, luas seluas lautan dihadapannya. Perlahan-lahan, tangan diangkat dan diletakkan ke dadanya. Nafas dilepas perlahan, bukan mengeluh, bukan juga menghilang lelah, ia bagai meluahkan tekanan yang ada di dadanya. 

            “Kenapa ibu terima?” Kerapkali persoalan itu dibisikkan bibirnya yang kering sekering mindanya yang diperah mencari jawapan. Matanya dipejam rapat.


            “Terimalah, ini mungkin Qada dan QadarNya. Hawa terima dengan redha.” Setiap kali dia mencari jawapan, bisikan itulah yang akan menyapa. Mungkinkah ia jawapan kepada istikharahnya setiap malam? Hawa sendiri tidak pasti, takut jua bisikan syaitan laknatullah. 

            “Masih cuba menolak ‘Adam’ yang hadir wahai Hawa pujaan mata-mata si Adam dunia?” Suara Huda yang menyapa cuping telinga membuatkan Hawa pantas sahaja membuka matanya. Hawa kalih memandang Huda yang memeluk tubuh di sisinya.


            “Bukan cuba menolak, itu seolah menuduh Hawa mencari helah.” Hawa menepis telahan Huda. Huda mencebik dan kemudian mengambil tempat di sisi Hawa yang masih dalam senyuman hambar.

            “Hawa ini Huda dah terlebih kenal, empat tahun di UTM, dua tahun satu tempat kerja, cukup rasanya bagi Huda nak kenal diri Siti Hawa.” Hawa meletus ketawanya kecil. Huda menyaingi kemudiannya. Mereka kemudian senyap tanpa kata, ombak yang menderu terus sahaja menyapa telinga. Nyaman dan tenang.


            “Hawa masih dalam ragu menerima sesiapa dalam hidup Hawa.” Huda memusing kepalanya memandang Hawa yang berubah riak, tiada lagi tawa atau senyuman terukir. Kerutan di dahi melihatkan beban yang terkandung di mindanya.

            “Kenapa? Masih dihantui silap lama?” Hawa melepas keluh perlahan. Tangan disilang ke tubuhnya.

            “Sentiasa. Bukan masih, sentiasa menghantui Hawa.” Huda menarik tangan Hawa, dan digenggamnya erat. 

            “Hawa terlalu memikirkannya. Tidak cuba melupakan?” Hawa mengangguk lemah.

            “Sedaya upaya. Malah telah lama, sejak perjumpaan terakhir Ustaz Yusoff dulu.” Ujar Hawa dalam senyuman yang cuba diukir, nampak terlalu rekah senyuman itu.

            “Ustaz Yusoff…” Huda ketawa kecil. 

            “Ustaz Yusoff cakap dulu, Hawa terlalu negatif. Hawa telek diri setiap hari, luar dalam. Alhamdulillah, tekanan itu berkurang dari hari ke hari. Syukur sangat, Hawa terasa lebih tenang.” Ujar Hawa dalam senyuman, Huda pula mengerut dahi kurang pengertian.

            “Kalau macam tu, kenapa Hawa teragak-agak lagi dengan keputusan muktamad ibu?” Hawa kembali menunduk, senyuman itu sekali lagi hilang.

            “Hawa kembali terfikir, si bakal tunangan dan suami Hawa itu menganggap Hawa ini terlalu baik. Sebab itu ibu bapanya merisik dan meminang Hawa, kononnya Hawa ini gadis baik-baik. Mereka tidak tahu….” Huda mencelah Hawa yang beralasan panjang.

            “Tiada kononnya, benar apa yang mereka katakan. Kenapa sangsi?” Hawa mengeluh lagi, Huda hanya mampu menggeleng.

            “Bukan sangsi. Hawa rasa bagai menipu mereka, sedangkan sebelum ini Hawa terhanyut dalam dunia remaja Hawa. Bagaimana kalau terbongkar?” Huda mengeratkan lagi genggamannya.

            “Perkara yang lama, jika mengaibkan dan mendatangkan mudarat tidak perlu dikorek lagi. Yang lepas, biarkan berlalu Hawa. Hawa terhanyut terlalu kejap, sedangkan ramai lagi yang terhanyut dan hancur ditimpa badai dunia.” Hawa memandang Huda, lama.

            “Hawa terasa malu hendak bertemu dengan bakal tunangan dan suami Hawa minggu depan. Bagaimana kalau dia menyoal?” Huda membalas dengan senyuman penuh makna.

            “Perlu berjumpa? Tak takut jatuh cinta sebelum masanya?” Hawa perasan riak ‘nakal’ Huda.

            “Huda ni, bukannya berjumpa berdua, keluarga dia akan datang dan terus adakan majlis pertunangan. Sebulan kemudian kami akan dinikahkan, itu yang ibu cakap tempoh hari. Sebulan itulah masa kami untuk kenal diri masing-masing. Hawa takut…” Huda mengangguk tanda mengerti.

            “Serahkan semua pada Allah. Serahkan semua, jangan ragu dengan apa yang telah ditentukanNya. Apa yang penting, Hawa sentiasa ingat DIA dan berdoa, insyaAllah.” Hawa menguntum senyum.

            “SubhanaAllah… Hawa terlalu beruntung ada sahabat sebaik Huda. Kenapa Hawa tidak terfikir tentang itu. Astagfirullah…. Jawapannya terlalu mudahkan, Allah. Itu jawapannya. Terima kasih Huda.” Hawa menarik Huda ke dalam pelukannya.

            “Alhamdulillah, semua ini dari Allah dan disampaikan melalui Huda.” Hawa mengangguk dalam senyuman. Tenanglah hai hati, Allah sudah merencanakan semuanya, tenanglah.

            “Jom…” ajak Huda.

            “Ke mana?” Hawa mengerut dahi.

            “Beli baju untuk majlis pertunanganlah…” Hawa tersengih sendiri, terlupa niat sebenar dia menghubungi Huda sebentar tadi. Lantas mereka terus berdiri dan melangkah ke arah kereta yang diparkir di hujung jalan sana.

            Andai sudah berdoa, bermohon pada Dia, mana mungkin Dia mengecewakan. Kalaupun ada terasa lukanya. Itulah kifarah dosa, juga ujian Dia, sekadar menguji keimananan kita kepadaNya. InsyaAllah…

………………………………………

            “Ibu mintak maaf Hawa, tak sangka seburuk itu pandangan Danial terhadap kamu.” Ibu menghampiri Hawa yang masih tersimpuh cantik di atas kusyen nipis berwarna putih itu. Hawa masih menunduk wajah. Wajah tiada riak sedih mahupun marah. Senyuman Hawa yang terukir seawal pagi tadi hilang setelah panggilan telefon itu disambutnya.

            “Saya benci pada manusia hipokrit. Menutup dosa dengan hijab. Menyembunyi kotor dengan labuhan kainnya. Maaf, saya putuskan pertunangan kita.” Hawa terpempan. Tatkala menunggu sang pengantin lelaki hadir menjemputnya ke syurga cinta, dia ditinggalkan dengan penuh duka kecewa. Adakah ini balasan dosa-dosa silamnya?

            Cuma sebulan pertunangan Hawa dan Danial. Disangka Danial dapat menerimanya seadanya dia. Kiranya jangkaan dia seawal risikan keluarga Danial dulu benar belaka, menerima Hawa kerana fikirkan Hawa ini sebaik-baik Hawa. Allah, adakah hamba merosakkan pandangan manusia lain terhadap gadis berhijab dengan tingkah hamba? Hawa mengeluh sendiri.

            “Sudahlah Hawa, jangan diam macam ni. Jom kita tukar baju, dan cari Danial. Dia tak boleh buat Hawa macam ni.” Huda yang baru tiba entah dari mana, terus sahaja menarik tangan Hawa menyuruhnya bangun daripada duduk.

            “Huda, buat apa nak cari dia? Bukan salah dia, ini semua salah Hawa sendiri. Dosa lama Hawa, inilah balasannya. Hawa redha.” Rintih Hawa. Air mata mula bergenang dikelopak matanya. Huda menggeleng lemah.

            “Sampai bila mahu menyeksa hati, menyeksa diri Hawa. Lupa? Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani. DIA tidak akan menyeksa jiwa hamba-hambaNya yang merintih memohon ampun. Hawa lupa?” Hawa mengangguk.

            “Hawa tahu. Kerana itu Hawa terima ini sebagai qada dan qadar Hawa. Janji Allah itu pasti Huda. Danial bukan jodoh Hawa, Hawa redha.” Huda melutut mendekatkan duduknya dengan Hawa yang masih tersimpuh. Hawa masih memandangnya, pandangan Hawa tampak ada luka kecewa namun dipendam jauh di dasar hati.

            “Kenapa sampai macam ini Hawa?”

            “Hawa tahu Allah sayang dengan Hawa, dugaan ini mungkin kecil. Hawa boleh melaluinya. InsyaAllah.” Huda memeluk erat Hawa yang mula tersedu-sedu menahan tangis. Ibu yang melihat dari jauh, kelihatan mengesat air mata dengan hujung jari. Hati Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya diduga sebegini rupa. Namun pada siapa dia patut memarahi? Bukankah ujian Allah itu tandanya cinta DIA?

…………………………………………..

“Allah, tuhan yang ku sembah, tuhan yang sentiasa daku pinta pertolongan. Andai ini balasan kecil, dosa yang ku lakukan dalam warasku, aku redha Ya tuhan. Aku benar-benar redha” Hawa mengaminkan doa lalu meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan yang masih berbalut telekung. Hawa duduk sejenak di atas sejadah. Di sini, waktu ini hatinya terasa tenang, biarpun matanya perit dek kerana menangis.

“Danial ada dapat gambar Hawa dengan Hafiz. Sabarlah nak, ini ujian buat Hawa. Semakin kita mahu mendekatinya, makin kuat ujian yang diberikan. Allah takkan menguji kalau DIA tahu Hawa tak mampu. Sabar ya sayang.” Masih terngiang-ngiang kata-kata ibu usai solat isyak tadi. Hawa meraup wajahnya ke sekian kalinya. Mindanya jauh mengingati kisah hidupnya yang dirasakan telah dicalit warna hitam oleh Hafiz, lelaki pertama yang mencuri hatinya.

“Awak ni semua tak boleh. Kan saya dah janji kita akan kahwin, bagilah saya pegang tangan awak. Tangan je kut bukan apa pun.” Kasar suara Hafiz, bengang dengan Hawa yang sering mengelak daripada membenarkan dia daripada menyentuhnya. Hawa menggeleng perlahan.

“Saya tak biasa.” Hawa menjawab sepatah. Hafiz mendekat lagi, Hawa membatu diri.

“Sebab tu kena biasakan…” Hafiz menutur perlahan ditelinga Hawa. Hawa masih membatukan diri, biarpun kala itu Hafiz sudah menggenggam erat jemari Hawa yang halus lalu menyambung langkah. Hati Hawa berdetak laju, antara menyerah dan melawan, namun kerana sayang dia membiarkan sahaja. Hafiz tersenyum besar, bangga kerana terasa dia berjaya melembutkan Hawa yang sebelum ini keras melindungi diri. Hafiz lelaki dan sayang akan Hawa, lalu dialah yang perlu melindungi Hawa, kenapa perlu Hawa takut dan melindungi dirinya daripada Hafiz kekasihnya sendiri?

“Masih kenangkan kisah lama?” Ibu menegur, air mata yang mengalir di pipi Hawa disapunya dengan jemari. Hawa yang tersedar, cuba tersenyum namun hambar. Air mata yang tersisa disapu dengan belakang tangan.

“Hawa tak boleh lupa pun ibu.” Ibu mengangguk tanda memahami. Hawa mencantum tangannya dan menggenggam erat. Ibu menepuk perlahan bahu Hawa lalu menariknya ke dalam pelukan.

“Bagus mengingati dosa dan kesilapan, tapi jangan sampai menyeksa diri sayang. Sabar, semua sudah selesai. InsyaAllah, yang lebih baik menanti.” Hawa memejam mata, menghadam kata-kata ibu sebaiknya.

“InsyaAllah… Hawa minta maaf ya Ibu…”

“Kenapa nak minta maaf?”

“Pasti ibu malu dengan apa yang jadi hari ni kan?” Ibu ketawa kecil, lalu meleraikan pelukan. Wajah Hawa diangkat supaya memandang wajahnya.

“Untuk apa ibu malu? Ujian Allah itu nikmat yang perlu kita syukuri. Pasti ada hikmahnya semua ini berlaku, insyaAllah. Yang penting adalah sabar dan redha.” Hawa mengangguk perlahan.

“Terima kasih ibu, untuk segala-galanya.”

“Demi kasih ibu buat anak ibu, ibu sanggup buat apa saja. Dah la, Hawa tak turun makan lagi, dah pukul berapa ni?” Ibu menegur.

“Hawa turun kejap lagi, semua dah balik ye bu?” Ibu mengangguk perlahan dengan sebuah senyuman. Senyuman supaya Hawa kuat dan tabah menghadapi hari yang sukar.

“Hawa siap-siap, turun bawah makan. Jangan tidur dengan perut kosong. Perjalanan Hawa masih panjang, masih jauh. Lalui dengan tabah nak…” Pesan ibu sebelum melangkah keluar dari bilik. Hawa memejam mata beberapa ketika. Setelah itu, telekung ditanggalkan dan diletakkan ditempatnya. “Ujian untuk aku masih banyak, aku perlu kuat. Bukan mudah untuk berubah.” Bisik hati kecil Hawa. Setelah bersiap seadanya, Hawa melangkah keluar, nasihat ibu perlu dituruti. Hawa yakin, segalanya pasti ada hikmah. Allah tidak menguji dengan sengaja, pasti ada ganjaran besar yang menanti. Ujian bagai pertandingan, yang menang ada hadiahnya, yang kalah ada juga habuan baginya. Allah, pinjamkanlah kekuatan rasulMu Muhammad kepadaku, agar aku sekuat baginda.


……………………………………………………..

            Alunan lagu Sekadar Lelaki Biasa nyanyian Feelhoney mengiringi kerja-kerja mengemas kelas Hawa pagi itu. Hari ini cuti peristiwa bagi tadika yang dikendalikan Hawa dan Huda yang sudah masuk lapan bulan. Tadika Al-Abbasy. Sudah lama Hawa memendam impian untuk mempunyai tadika sendiri. Sejak belajar di Universiti lagi. Kecintaan Hawa kepada si kecil membuatkan impian ini semakin ingin dicapai, siapa tahu rezeki Allah dibalik ujian yang mendatang.

            “Aisha, ni lah bekas tunang I yang beberapa bulan je tu…” Suara garau itu membuatkan Hawa yang sedang asyik menikmati mee rebus, terus mendongak kepala. Kebetulan pula Huda baru sahaja ke tandas. Hati Hawa merasa tidak enak, seperti ada yang buruk bakal berlaku, namun disangkalnya. Tidak mahu berburuk sangka.

            “Tunang you? Biar betul? Taste you memang ustazah ke Danial?” Gadis yang berskirt singkat dan berbaju sendat itu ketawa sinis, seolah memerli Hawa yang masuk duduk dikerusinya. Danial tersenyum nipis, kerusi di hadapan Hawa ditariknya lalu melabuhkan duduk.

            “Ustazah la sangat. Ustazah dah kena tebuk kut…” Hawa tersentak. Hatinya berdetak laju.

            “Astagfirullah. Danial, saya boleh biarkan awak menghina diri saya tapi bukan maruah saya. Awak jangan buat fitnah.” Hawa bersuara tegas, namun masih dijaga supaya tidak menarik perhatian orang lain yang ada di restoran itu. Ramai rakan sekerjanya yang turut berada di situ, malulah jika ada yang mendengar atau melihat.

            “Apa salah yang aku cakap? Kau sembunyikan kotor-kotor kat badan kau tu dengan tudung kau yang labuh ni!” Danial bersuara tinggi, tangannya yang cuba mencengkam tudung Hawa ditepis laju oleh Huda.

            “Encik Danial. Maaf ya, awak dengan Hawa sudah tiada apa-apa lagi. Saya rasa lebih baik encik beredar sekarang dari sini.” Huda berdiri tegak di sisi Danial dengan renungan mata yang tajam.

            “Kenapa? Takut orang lain tahu rahsia gadis bertudung litup ala-ala ustazah kat depan ni.” Danial masih lagi menyindir Hawa yang sudah menunduk ke lantai. Hawa malu. Pandangan orang-orang di sekeliling sudah bertambah. Huda menggenggam kedua-dua belah tangannya, menahan sabar yang sudah dipenghujung.

            “Saya cakap dengan baik…” Huda masih berkompromi.  Gadis yang berbaju seksi di sisi Danial sudah ketawa besar. Mungkin sekadar menyindir Hawa yang sudah diam kelu tidak berkata.

            “Aku ni, buruk-buruk aku, aku mengaku yang aku buruk, tapi dia menipu…. Dah rosak tu buat la cara rosak tapi tak, konon alim, tudung segala…” Danial yang sudah pun bangun dari duduknya masih lagi menyindir Hawa. Hawa turut bangun dari duduknya, dan terus sahaja menarik tangan Huda supaya beredar daripada situ. Belum sempat Hawa melangkah jauh, Danial cuba menarik tudung yang dipakai Hawa. Hawa terkejut besar, hampir sahaja tudung yang menutupi mahkota yang dijaga selama ini terlucut.

            “SubhanaAllah, encik…. Sekalipun dia isteri encik, salah untuk encik memalukan dia di tempat awam macam ni.” Tegur lelaki yang menepis tangan Danial daripada terus merentap tudung Hawa. Huda kalut cuba membantu Hawa membetulkan tudungnya. Danial merengus kasar.

            “Ustaz mana pulak datang ni….” Sindir Danial kepada lelaki yang membantu Hawa. Lelaki itu cuma tersenyum.

            “Bukan ustaz, tapi sebagai saudara sesama islam. Walau apa pun masalah encik dengan saudari ni, salah apa yang encik cuba lakukan tadi….” Perlahan sahaja lelaki itu menegur.

            “Sudahlah… korang semua ni sama aje. Alim konon. Jom Aisha…” Terus sahaja Danial beredar dari situ, mungkin panas dengan teguran daripada lelaki tersebut. Huda masih erat memeluk bahu Hawa yang sudah tidak mampu menahan air mata.

            “Saudari berdua tak apa-apa?” Huda mengangguk perlahan.

            “Terima kasih.” Huda berbasa basi. Hawa menyapu air matanya dengan hujung jari. Wajahnya di angkat menghadap lelaki yang membantunya sebentar tadi.

            “SubhanaAllah… Hawa?” Lelaki itu menegur, riak wajahnya yang tadi tenang berubah kepada riak wajah terkejut.

            “Encik kenal saya?” Hawa bersuara, Huda memandang lelaki itu lama seolah-olah cuba mengamati wajah itu. Hawa memandang Huda, meminta jawapan.

            “Sudah hampir tiga tahun selepas kita berjumpa di masjid dulu.” Lelaki itu bersuara lagi, kali ini seolah-olah memberikan jawapan kepada siapa dirinya. Hawa mengerut dahi, tak lama…

            “Ustaz Yusoff?” Lelaki itu ketawa kecil.

            “Belum layak bergelar ustaz…”

            “SubhanaAllah, lain Yusoff sekarang, sampai kami berdua tak boleh nak cam.” Huda mencelah. Hawa sekadar tersenyum.

            “Takde yang lain, Huda dan Hawa aje yang tak kenal saya.” Yusoff bersuara, sengaja membuat seolah hatinya menjauh.

            “Kami tak pernah lupa dengan Ustaz Yusoff, yang membuka kembali mata dan hati Hawa untuk yakin bahwa Adam yang dicarinya ada.” Huda bersuara lagi, pandangannya berarah pada Hawa yang tersenyum hambar.

            “Adam itu ada, tapi jauh untuk Hawa ini capai. Apatah lagi untuk mengejar, Hawa ini tak terdaya.” Hawa bersuara perlahan. Yusoff tidak mecelah sekadar mengangguk perlahan. Tidak mahu pertemuan mereka selepas hampir tiga tahun dimulakan dengan sesuatu yang pedih dan sedih.

            “Merenung apa pada bola kaca? Hajat takkan tertunai hanya dengan merenung dan membuat hajat.” Suara itu mengejutkan Hawa, hampir sahaja bola kaca yang dipegang terlepas. Hawa kalih memandang ke arah suara itu.

            “Masih waras untuk tahu kepada siapa harus saya nyatakan hajat saya.” Hawa membalas dengan senyuman. Bola kaca itu diletakkan kembali ke tempatnya. Berus yang digunakan untuk membuang habuk diletakkan di meja kecil, kemudian Hawa melangkah terus ke muka pintu.

            “Sorang aje? Mana Huda?” Yusof menyoal, takut juga menimbul fitnah kalau hanya Hawa seorang di situ.

            “Huda ada di belakang dengan Suriati. Ada apa Ustaz datang, mahu hantar anak ke tadika kami ke?” Hawa mengacah.

            “Alhamdulillah, niatnya begitulah. Walaupun baru 8 bulan, tadika Al-Abbasy sudah jadi bualan orang ramai. Kurikulum yang bagus, guru-guru yang baik dan bijak, anak-anak yang datang semua pulang dengan senyuman walaupun paginya datang dengan tangisan.” Yusoff memuji, panjang lebar.

            “Alhamdulillah, Abbasy, rajin berusaha… kita terapkan perkara tu dalam diri kita dan anak-anak. Betul ni nak hantar anak? Marilah masuk dulu, kita bincang di dalam, saya panggilkan Huda sekejap.” Hawa dalam kejut gurauannya nyata benar. Di tepuk perlahan hatinya, tidak mahu ada ombak rasa lain di situ. Ustaz Yusoff bukan gandingannya.

            “Assalamualaikum Yusoff… Hawa kata awak nak hantar anak awak?” suara Huda yang baru tiba dari belakang, berdua dengan Suriati, salah seorang pembantu di tadika mereka.

            “Waalaikummussalam. A’ah, anak saudara saya. Kebetulan kakak saya tu tinggal berdekatan sini, daripada dia hantar kepada pengasuh lebih baik ke sini, boleh juga diterap ilmu agama dalam diri si kecil tu nanti.” Huda mengangguk dengan senyuman melebar.

            “InsyaAllah. Anak saudara? Ingatkan anak Ustaz Yusoff tadi…” Yusoff hanya berkerut dahi.

            “Kahwin pun belum mana pula datang anaknya…” Yusoff ketawa kecil.

            “Mujurlah… kalau tak kecewalah si Hawa tu…”

            “Huda…” Hawa menepis gurauan Huda dengan pantas. Air yang ditatangnya diletakkan di hadapan Yusoff dan Huda. Suriati yang sedang menyusun buku-buku hanya tersenyum melihat Huda yang sering sahaja mengusik Hawa. Suriati faham benar keakraban dua sahabat itu. Huda senantiasa mengukir senyuman di bibir Hawa yang seringkali hanyut dalam anganan dukanya. Suriati lihat semua dan faham semuanya. Dalam hatinya, dia sentiasa berdoa agar dua gadis itu bahagia dan sentiasa tabah dalam menghadapi liku-liku kehidupan.

            “Tak perlu kecewa, Adamnya akan hadir suatu hari nanti. Istikharah dan tunggu janji Allah…” Yusoff menutur perlahan dalam tunduk wajahnya. Hawa yang mendengar hanya diam tiada kata. Huda tersenyum-senyum mengusik.

            “Ameen.” Ucap Huda dan Suriati serentak, sampai tangan mereka meraup wajah. Hawa menjeling tajam. Sengaja! Huda, Suriati dan Yusoff ketawa kecil dengan jelingan Hawa.

…………………………………………………………

            Hawa merenung jauh keluar jendela. Jika dahulu Danial kini Haikal. Kali kedua dia dipinang, belum sempat memberikan jawapan, pinangannya itu dibatalkan. Perkara dan sebab yang sama. Hawa bukan perempuan yang baik. Hawa memejam erat matanya. Ujian ini amat berat, namun Hawa yakin dengan janji Allah. Tidak akan diletakkan bebanan yang tidak tertanggung oleh dirinya. Allah tidak zalim. Ini hanyalah ujian tatkala hatinya berusaha mendekati cintaNYA Yang Agung.

            “Jangan dititiskan air mata untuk Adam yang buta dengan fitnah.” Suara tegas Huda menyapa telinganya. Hawa kalih memandang Huda yang sudahpun duduk dibirai katilnya.

            “Tiada air mata untuk ujian ini. Air mata hanya untuk membasuh dosa-dosa Hawa dulunya. InsyaAllah, hati Hawa akan kuat menghadapi ujian Allah ini. Ujian ni tandanya Allah sayangkan Hawa. DIA mahu menguji setakat mana Hawa bersungguh untuk mendekatiNya.” Ujar Hawa dalam senyuman.

            “Alhamdulillah… Bukan jodoh Hawa. Adam untuk Siti Hawa ini belum hadir. InsyaAllah Huda sentiasa doakan yang terbaik buat Hawa.” Ujar Huda, kemudian dia melangkah perlahan ke arah Hawa yang masih berdiri di jendela. Dikeluarkan sesuatu daripada beg tangannya.

            “Siapa ini?” Ujar Hawa tatkala memandang seraut wajah dalam gambar yang dihulurkan Huda.
            “Ahmad Hariez. InsyaAllah dua bulan lagi dia bakal menjadi suami kepada Nurul Huda.” Ujar Huda dalam senyuman yang mekar. Hawa terlopong.

            “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.” Tubuh Huda erat dipeluknya. Huda hanya ketawa kecil dan membalas pelukan Hawa. Tak lama, Hawa merenggangkan pelukannya.

            “Tak pernah bagitahu apa-apa dekat Hawa pun?” Hawa mengecilkan mata, sekadar mengancam Huda.

            “Minggu lepas, pinangan daripada keluarga Hariez. Huda tak pernah kenal, tapi selepas istikharah Huda putuskan untuk menerima Hariez. InsyaAllah, Allah lebih tahu semuanyakan…” Hawa mengangguk perlahan, sekali lagi tubuh Huda dirangkulnya.

            “Alhamdulillah… InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja…” Kedua-dua mereka hanyut dalam perasaan masing-masing.

            “Sampai bila Hafiz akan buat perkara macam tu?” Soal Huda sewaktu mereka sedang asyik menikmati minum petang di rumah Hawa.

            “Hawa tak tahu. Hawa nak jumpa dia, nak sangat berdepan dengan dia.” Ibu yang lalu di dapur menyampuk.

            “Tak payah la… nanti jadi macam-macam pula.” Huda mengangguk bersetuju dengan Ibu.

            “Selagi tak berdepan, makin banyak pula gambar-gambar Hawa dengan dia disebarkan bu… buruk nama Hawa tak apa tapi bila sudah berkait nama ibu dan abah, Hawa geram bu…” Ibu menggeleng perlahan.

            “Biarkan, insyaAllah… tak lama nanti berhenti la dia buat kerja macam tu.” Ujar Ibu perlahan. Hawa mengeluh perlahan, Huda sekadar memandang dua beranak itu.

            “Cakap ibu ada betulnya. Hafiz tu entah kat mana, buatnya bila jumpa dia buat macam-macam dengan Hawa macam mana? Nauzubillah…” Huda menggeleng laju bila dia sudah terfikirkan bukan-bukan.

            “Hawa tak pergi seorang la, Hawa boleh ajak Ustaz Yusoff…” Huda hampir tersembur dek mahu ketawa. Hawa tercenggang, salahkah?

            “Bukan muhrim. Mau pergi berdua, nikah dulu dengan Yusoff, kemudian baru pergi berdua ye Cik Hawa.” Hawa menggigit bibir. Ibu yang sedang membersihkan dapur turut ketawa kecil.

            “Huda ni, Huda mestilah ada sekali. Suka cakap bukan-bukan.” Hawa menjeling, tidak suka Huda mengusiknya dengan Yusoff.

            “Hawa ni, tak suka ke dengan Yusoff. Dia tu hampir sempurna untuk dijadikan SUAMI.” Sengaja ditekankan perkataan suami. Hawa menyisip perlahan air teh yang masih berbaki.

            “Ibu pun berkenan…” sampuk ibu sebelum berlalu ke depan. Hawa tercenggang sendiri dengan kata-kata ibu. Huda ketawa kecil.

            “Kan… ibu pun suka… Hawa tak suka?” Huda cuba menyakat Hawa.

            “Kalau Hawa suka sekalipun, Huda rasa Ustaz Yusoff boleh terima Hawa ni?”

            “Boleh, lupa dengan pinangan Yusoff masa kita dekat UTM dulu?” Hawa menggigit bibir, bagaimana dia boleh lupa dengan hari itu. Hari di mana hatinya berdegup tidak berhenti. Dek kerana malu dan terasa dirinya terlalu jauh berbeza dengan Yusoff, pinangan itu ditolak terus tanpa berfikir ataupun istikharah.

            “Dia tak tahu Hawa ini macam mana, sebab itu dia pinang. Sekarang dia dah tahu, tambah pula kalau dia dapat gambar-gambar Hawa dengan Hafiz. Lagi lah… mungkin dia menyesal sebab pernah meminang Hawa.” Huda menepuk perlahan tangan Hawa. Hawa terkejut dengan perbuatan Huda.

            “Berhenti mengutuk diri dan terlalu merendah diri. Hawa perlu yakin dengan diri sendiri. Yakin dengan Allah. Kalau Allah kata Yusoff itu Adam yang Hawa cari selama ini, siapa Hawa untuk menolak? Dan Siapa Yusoff untuk lari daripada menerima? Huda yakin, Yusoff masih lagi mahukan Hawa ini menjadi surinya… percayalah.”

            “Terima kasih Huda. Tapi… tak nak percaya, nanti Hawa jadi syok sendiri pula dengan Ustaz Yusoff.” Hawa cuba bergurau, Huda pula mencebik dengan kata-kata Hawa. Degup itu ada setiap kali Yusoff di depannya. Namun takut hatinya sekadar bermain dengan nafsu dunia, Hawa cuba menepisnya. Tak mahu sungkur tanpa ada halalnya bagi dia dan Yusoff. Tak mahu jatuh pada yang salah. Tak mahu membazir pada yang bukan dijanji Allah. Lalu degup hati itu dibiarkan henti dengan sendirinya.

…………………………………………………………………….

            “Hawa boleh jelaskan tentang gambar tu… Hawa mintak maaf, jangan buat Hawa macam ni… Hawa sayangkan abang…” Hawa masih duduk berteleku dihujung kaki suaminya. Yusoff hanya diam tanpa kata. Diraup wajahnya berkali-kali. Sudah seminggu dia menerima gambar itu dan seminggu juga dia cuba menjauh daripada Hawa. Sepanjang minggu itu Hawa bersoal kepadanya tentang tingkahnya yang berbeza. Malam ini, dia memberikan kesemua gambar-gambar yang diterimanya itu kepada Hawa. Nyata, apa yang dijangka berlaku. Hawa memang sangat terkejut sebaik menerima gambar-gambar tersebut, sebagaimana reaksinya sewaktu menerima gambar tersebut di pejabat minggu lepas.

            “Hawa mengaku itu memang gambar Hawa tapi waktu itu Hawa tersilap langkah. Masa Hawa hanyut dalam keseronokan dunia. Hawa minta maaf, Hawa betul-betul minta maaf. Hawa tak tahu nak jelaskan macam mana, tapi Hawa berani janji yang Hawa sudah berubah. Hawa minta maaf.” Kaki suaminya dipegang erat. Yusoff hanya memandang tanpa reaksi.

            “Berikan abang masa… Hawa keluar dulu. Nanti kita bincangkan.” Hawa terkedu dengan permintaan Yusoff. Adakah Yusoff juga seperti Danial dan Haikal yang tidak dapat menerimanya apabila gambar dia dan Hafiz yang sedang berpelukan itu diterima mereka? Perlahan-lahan Hawa melepaskan pelukannya pada kaki Yusoff, lalu bangun perlahan-lahan dan terus melangkah perlahan keluar daripada bilik. Air mata dibiar mengalir laju dipipi.

            Pintu bilik ditutupnya perlahan. Sungguh, Hawa takut dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi. Jika dahulu putus tunang, tidaklah dia terlalu sedih. Namun kini jika terpisah kasih antara dia dan suami yang amat dicintainya, perit itu pasti dirasainya. Laju sahaja langkah diatur ke bilik tamu, dia perlu mengadu, dia perlu luahkan tangisannya yang penuh di dada kini.

            “Hawa masih lagi dalam bayangan kisah lama…” Yusoff bersuara perlahan. Tubuh Hawa yang berlalu dibalik pintu hanya dipandang sepi. Bukan mahu menyeksa isteri yang dicintainya itu, tetapi sekadar menguji kasih Hawa padanya. Juga sebagai denda kerana Hawa menyembunyikan tentang kehamilannya daripada Yusoff.

            Dari luar bilik lagi sudah terdengar suara tangisan Hawa. Hati Yusoff terkesan. “Kejamnya aku membuatkan isteri aku menangis begitu…” Perlahan-lahan Yusoff membuka pintu bilik tamu itu. Kelihatan Hawa yang sedang menangis dalam solatnya. Yusof sesal sendiri. Gurauannya terlalu kasar buat si isteri.

            “Ya Rabbul Izzati, kukuhkan cinta kami suami isteri. Jangan Kau pisahkan kasih kami. Sungguh daku sudah menyesali tiap dosaku dahulu. Hadirnya suamiku membuatkan daku lebih mencintaimu Ya Rahman. Ampunilah dosaku, lembutkanlah hati suamiku untuk memaafkan kesilapan laluku… Allah…” Sebaik sahaja Hawa mengaminkan doanya, Yusoff memeluk tubuh Hawa daripada belakang.

            “Allah memakbulkan doamu wahai permaisuri hatiku…” Yusoff berbisik lembut ditelinga Hawa. Hawa yang masih terkejut dengan pelukan itu terus sahaja memandang wajah Yusoff di sisinya.

            “Abang…” tutur Hawa dalam ketar tangis.

            “Maafkan abang kerana membuat Hawa menangis macam ni.” Hawa menggeleng laju.

            “Hawa minta maaf.” Yusoff mengeratkan pelukannya.

            “Abang tak marah. Gambar itu memang buat abang cemburu tapi tidak terkesan pada cinta abang untuk Hawa dan semestinya cinta Hawa pada abang.” Hawa mengucap syukur.

            “Tapi kenapa seminggu ni abang macam menjauh daripada Hawa?” Yusoff menarik bahu Hawa supaya menghadapnya. Lalu dia duduk bersila dia hadapan Hawa. Sekeping gambar kecil diberikan kepada Hawa. Hawa terlopong.

            “Sampai hati Hawa sembunyikan daripada abang. Kalau abang tak jumpa gambar ni, entah bila abang akan tahu. Kenapa?”

            “Hawa minta maaf. Hawa bukan sengaja nak diamkan tapi…” Suara Hawa teragak-agak.

            “Tapi apa?”

            “Hawa nak buat kejutan lusa nanti…”

            “Kenapa lusa pulak?”

            “Erm… hari lahir abang, ni hadiah Hawa untuk hari lahir abang lusa nanti.” Suara Hawa sambil menunduk wajah. Yusoff tersenyum mendengar kata-kata Hawa. Sungguh isterinya sangat menyenangi hatinya. Tiap apa yang dilakukan Hawa pasti atas sebab yang kukuh dan sekadar untuk menyenangi hati suami. Syukur Yusoff atas pemberian Allah ini kepadanya.

            Yusoff memegang dagu Hawa dan menolaknya ke atas agar matanya bertemu dengan mata isterinya. Lalu dia menghadiahkan kucupan yang hangat ke dahi isterinya.

            “Terima kasih sayang….” Hawa yang malu-malu hanya tersenyum dan kembali menunduk wajah. Yusoff ketawa kecil. Sifat malu isterinya ini yang sering membuat Yusoff semakin rasa cinta dan bertuah memiliki Hawa.

            “Betul abang tak terasa apa-apa dengan gambar-gambar Hawa tu…?” Soal Hawa lagi seusai mereka solat isyak malam itu. Yusoff yang sedang meletakkan sejadah di tempatnya hanya mengangguk.

            “Betul?” Soal Hawa lagi. Yusoff mengerut dahi, langkahnya diatur menghampiri Hawa. Lalu di tarik perlahan tangan Hawa dan mereka berdua duduk dibirai katil.

            “Kita dah bincang hal ni kan sayang… kenapa tanya lagi?” jari jemari Hawa digenggam erat.

            “Hawa takut abang marah dengan Hawa.” Hawa bersuara perlahan.

            “Jangan takut. Pernah abang marah Hawa tanpa sebab?” Hawa menggeleng.

            “Abang marah bila Hawa malas bangun subuh aje.” Hawa mencebik.

            “Mana ada Hawa malas, Hawa lambat sikit aje bangun…” Yusoff ketawa kecil.

            “Sama la tu…” Yusoff bersuara lagi. Malu bila suaminya mula membuka cerita yang membuatkan dia malu sendiri.

            “Mana ada… abang ni…” Hawa menidakkan lagi. Yusoff mencuit hidung isterinya, membuatkan Hawa makin malu-malu. Yusoff sudah kenal Hawa yang pemalu dan senang memerah wajahnya bila diusik manja begitu.

            “Sayang jangan risau. Kisah lama sayang abang tak akan ungkit atau jadikan sebagai satu perkara yang membuatkan kita bergaduh. InsyaAllah, kisah masa depan kita abang akan ukir sebaiknya. Semua ini ujian Allah kepada kita dalam kehidupan berumah tangga. Abang akan cuba menjadi ketua keluarga yang baik, untuk sayang dan bakal anak-anak kita nanti. Sayang tegur salah abang dan abang tegur salah sayang. InsyaAllah… semuanya akan baik-baik sahaja.” Hawa lega mendengar penjelasan Yusoff.

            “Hawa bersyukur pada Allah. Setiap hari Hawa berdoa moga Allah hadirkan Adam yang boleh membimbing Hawa ke arah cintaNYA Yang Agung. Hawa tunggu dalam sabar, ujianNya datang satu persatu. Namun keyakinan pada janjiNya membuat Hawa kuat menghadapi setiap ujian tu. Dalam Hawa tak sedar, Adam yang Hawa cari selama ini sebenarnya ada dihadapan Hawa. Muhammad Adam Yusoff… sedari dulu Adam ini dihadirkan pada Hawa tapi khilaf Hawa menutup pandangan dan hati Hawa untuk menerima. Terima kasih kerana menerima Hawa seadanya Hawa.” Yusoff memandang wajah isterinya dengan penuh kecintaan dan mengangguk perlahan.

            “Adam mu ini sudah lama menunggu hati Hawanya ini terbuka untuk menerimanya. Cinta kerana DIA menjadikan Adam mu ini sabar menunggu. Cinta yang terlahir dalam rumahNya menjadikan Adam mu ini kuat dalam menongkah nafsu dunia. Terima kasih kerana membuka hatimu untuk menerimaku duhai Hawaku. Moga cinta kita ini diberkahi Allah dan di dalam rahmat kasih sayangNya. InsyaAllah….”

++++++ 

Ya Allah Ya Latif Ya Rahman Ya Rahim

Ya Allah, engkau mengetahui bahawa hati-hati
ini telah bersatu kerana mengasihimu,
bertemu untuk mematuhimu,
bersatu memikul amanahmu,
hati-hati ini telah mengikat janji setia
untuk mendaulat dan menyokong syariatmu,
maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
akan jalannya yang sebenar. Penuhkan hati ini
dengan cahaya Rabbanimu yang tidak kunjung malap.
Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan
keimanan dan keyakinan,
Jadikan kami suami/isteri yang soleh/solehah
dan berikan kebahagiaan yang berkekalan
buat kami di dunia dan di akhirat.
Amin Ya Rabbal Alamin.

10 comments:

Sumayyah Nadhirah said...

jika itu jodoh ALLAH lari ke mana pn pasti bertemu juga...ptt la rase mcm pernh bc rupenye smbungan...yg lama

NANG NOR AZIMAH LONG NADZRI said...

adam dh habis :)
terbaik..:)

o-ReN said...

akhirnya mereka bersama jugak..janji allah tiada siapa yang boleh mungkiri...^_^

akubersamaCahya said...

thanks! :)

ciknie said...

akhirnya dpat jmpa jdoh adam dia

Cahayatt said...

Akhirnya...
hawa bertemu Adamnya...

asfiedaimpiana said...

salam wateeqa, puas ana cari kesudahan ceta ini di penulisan2u, kerana cerpen mencari adam dalam yusuff buat saya ketemu blog wateeqa, saya dah jatuh suka dgn cerpen2 islami anta..keep the ggod work ya ;)
salam ukhwah..

akubersamaCahya said...

wsalam :)
salam ukhwahfillah.

masih belajar menulis cerpen2 islamik.. er belum cukup islamiknya. huhuhu insyaAllah, seiring dengan pembaikan diri akan abc tingkatkan penulisan abc inshaAllah.

Cahaya Princess said...

Assalamualaikum abc... Bukan ke pada awalnya watak lelaki cinta pertama hawa ’razif’ tapi kenapa jdi ’hafiz’ ???
Alhamdulillah .. Jalan cerita islamik yang baik.. :)

Cahaya Princess said...

Assalamualaikum abc... Bukan ke pada awalnya watak lelaki cinta pertama hawa ’razif’ tapi kenapa jdi ’hafiz’ ???
Alhamdulillah .. Jalan cerita islamik yang baik.. :)