Wednesday, December 23, 2015

Blind Date Akhir : Maafkan Abang!

BLIND DATE AKHIR: MAAFKAN ABANG.

            Nour Zaed sudah puas mencari. Sarah turut dihubungi mana tahu Nur Dhia ada mencarinya. Nour Zaed diselubungi rasa bersalah. Kalau dulu dia memaksa Nur Dhia menerimanya dia rasa bahagia bukan bersalah kerana memaksa. Kerna Nour Zaed tahu walaupun  Nur Dhia adalah cara melepaskan diri daripada Nina Neraka, isterinya itu sangat menyejukkan hatinya walau hanya dengan memandang sahaja. Tenang rasanya bila Nur Dhia ada di sisinya. Oleh sebab itulah dia memilih Nur Dhia sebagai isterinya. Cinta? Ya memang sudah lama mencinta tetapi Nina mencuri perhatiannya untuk seketika. Seketika itu membuat dia terseksa. Nour Zaed sudah buntu, betullah kata peribahasa terlajak perahu boleh lagi diundur terlajak kata, selamat tinggal!

            “Dhia cuma nak tahu siapa Hainina, tak sangka abang Zaed boleh hina Dhia.” Nur Dhia mengongoi menangis di riba Tok Mak. Mummy menggosok belakang Nur Dhia memujuk menantunya itu supaya bersabar.

            “Tok Mak rasa Zaed tak bermaksud pun macam tu. Cuma dia marah Dhia sebab tengok gambar Nina tu.” Tok Mak memujuk.

            “Mummy pun rasa macam tu. Dhia bincanglah elok-elok. Mummy tau Dhia kecil hati dengan Zaed, tapi tak baik isteri keluar rumah macam ni.” Pujuk Mummy. Nur Dhia menggeleng laju.

            “Dhia nak tahu siapa Hainina, Tok Mak dengan Mummy mesti kenal sebab dia kan bekas tunang abang Zaed.” Ujar Nur Dhia dalam esak tangisnya. Mummy dan Tok Mak saling berpandangan.

            “Nanti tanya Zaed sendiri. Dia yang layak cerita semua.” Ujar Tok Mak.

            “Kenapa susah sangat nak cerita? Kalau abang Zaed, mesti dia akan tipu Dhia lagi.” Dhia seakan memaksa. Mummy mengeluh perlahan. Tok Mak hanya memandang.

            “Hainina memang pernah bertunang dengan Zaed. Mereka berdua kenal masa Zaed pergi kursus di Perlis. Kawan dalam dua tahun, kemudian Hainina desak untuk bertunang. Zaed yang memang sayangkan Hainina setuju. Lepas bertunang, family Hainina desak supaya cepatkan perkahwinan. Mummy dan Tok Mak hairanlah, kenapa macam kelam kabut. Rupa-rupanya Hainina mengandung. Zaed marah. Mummy kenal Zaed, walaupun dia bukan ‘alim tapi Mummy dan Tok Mak bagi sepenuh didikan agama dekat dia, dia bukan lelaki yang suka mengambil kesempatan apatah lagi kepada seorang wanita yang dia sayang.” Mummy menjelaskan, panjang lebar. Dhia menyandarkan kepalanya ke bahu Tok Mak.

            “Tok Mak tahu Zaed kecewa dengan Hainina tapi dia tak adalah pula stress atau murung. Dia macam biasa. Sampailah Hainina ganggu dia. Tok Mak yang suruh dia cari isteri kalau tak nak Hainina ganggu dia lagi. Tak lama lepas tu dia bawa Nur Dhia Adzara ni jumpa Tok Mak dengan Mummy.” Tok Mak tersenyum semasa bercerita.

            “Masa mula-mula pandang Dhia, hati Tok Mak ni rasa tenang aje. Syukur sangat dengan pilihan Zaed walaupun dalam masa singkat.”

            “Mummy pun rasa yang sama. Zaed ada pesan, jangan tanya mana dia jumpa Dhia.” Tambah Mummy sebelum Mummy dan Tok Mak sama-sama ketawa.

            “Masa Mummy dan Tok Mak jumpa Mak Cik Soraya dan tahu asal usul Dhia, Mummy dan Tok Mak tak rasa menyesal dengan pilihan Zaed?” Ujar Nur Dhia membuat ketawa kedua-dua orang tuanya itu terhenti.

            “Kenapa tanya macam tu?” Ujar Mummy.

            “Dhia sendiri malu dengan diri Dhia. Entah halal atau haram asal usul Dhia.” Tok Mak menampar perlahan pipi Nur Dhia. Nur Dhia tersentak. Kemudian Tok Mak ketawa.

            “Tu bagi tak cakap yang bukan-bukan. Mana ada asal usul yang halal atau haram. Zaed dah cerita, ayah Dhia dah cakapkan Dhia anak dia yang sah. Kenapa nak ragu-ragu? Percayakan keluarga sendiri bukan orang lain.” Pesan Tok Mak. Nur Dhia diam.

            “Mak Cik Soraya pun family Dhia, isteri ayah tapi dia tak mengaku pun Dhia ni anak ayah?” Nur Dhia menyoal bodoh-bodoh. Tok Mak menarik muka. Nur Dhia ni macam-macam! Mummy sudah ketawa.

            “Mak Cik Soraya tu jealous kat mak Dhia kut, sebab kongsi suami. Sudahlah, kita makan. Pastu Dhia masuk bilik tidur. Esok balik rumah tau.” Ujar Mummy tak mahu panjangkan cerita. Nur Dhia pun sudah tenang dari menangis.

            “Mummy tak suka Dhia tinggal sini?” Ujar Nur Dhia. Tok Mak angkat tangan lagi, cepat sahaja Nur Dhia menekup pipinya.

            “Mummy dan Tok Mak tak suka isteri tinggal suami macam tu. Ada masalah bincang, bukan lari. Jangan tidur jauh dari suami tau!” Pesan Tok Mak, garang!

            “Tok Mak ni dulu guru besar eh?”
            “Kenapa?” Soal Tok Mak kehairanan.
            “Garang sangat!” Nur Dhia ketawa kemudian terus meluru lari ke arah Mummy yang sudah di dapur. Tok Mak tersengih.
           
            Nour Zaed terasa lega. Lewat malam itu, Mummy menghubunginya mengenai kedudukan Nur Dhia. Tak terfikir Nur Dhia akan ke rumah Mummy! Beribu kesyukuran dipanjatkan. Terus sahaja Nour Zaed memecut ke rumah Mummy.

            “Abang minta maaf sayang. Entah kenapa tegar abang cakap macam tu dekat sayang. Demi Allah, abang langsung tak niat nak cakap macam tu. Abang minta maaf.” Dahi isterinya yang sedang tidur dikucup penuh kasih sayang. Dibelai perlahan rambut isterinya sebelum turut sama-sama melabuhkan tidur di sisi isterinya. Tak terasa penat beberapa jam mencari Nur Dhia setelah ditemui cinta hatinya sekarang. Terima kasih Allah.

            “Dah berbaik ke belum ni? Senyap ja?” Soal Tok Mak ketika di meja makan pagi itu. Nur Dhia sekadar mengangguk. Nour Zaed hanya tersenyum.

            “Subuh jemaah?” Soal Mummy.

            “Jemaah Mummy.” Jawab Nour Zaed.

            “Dah tu kenapa senyap aje Nur Dhia Adzara pagi ini?” Soal Tok Mak. Nur Dhia sekadar mencebik manja.

            “Dhia merajuk Zaed tak cerita macam mana dia jadi pilihan Zaed.” Nour Zaed masih tersenyum. Nur Dhia kini terlihat sangat manja!

            “Lah kata dah berbaik.” Mummy bersuara.

            “Zaed nak cerita depan Mummy dan Tok Mak. Tapi menantu mummy ni tak sabar-sabar.” Nur Dhia mencebik, sementara itu dia menyendukkan nasi ke pinggan suaminya.

            “Zaed cari calon isteri selepas Nina ganggu Zaed dan paksa-paksa Zaed kahwin dengan dia. Nina ada ugut kata dia anak tu anak Zaed. Zaed cari dengan pertolongan Sarah, Zaed jumpa Dhia dan kebetulan she is my first love.” Zaed tersenyum. Tangannya menggenggam erat tangan Nur Dhia. Nur Dhia yang sedang makan sambil dengar kisah Nour Zaed tersentak kecil sebelum membalas genggaman itu. Siapa pun tak mencelah cerita Nour Zaed.

            “Mummy mesti ingatkan dulu Zaed ada cerita pasal seorang student yang berlagak tak layan Zaed.” Mummy berkerut dahi, cuba berfikir.

            “Oh, masa Zaed kerja kat Johor?” Soal Mummy. Zaed mengangguk.

            “Nur Dhia Adzara lah orangnya. Selepas Sarah tunjuk gambar Dhia, Zaed terus suruh Sarah temukan Zaed dengan Dhia. Tapi Dhia macam biasalah, garang. Garang Dhia tak boleh kawan Nour Zaed.” Zaed sengaja, berlagak.

            “Eleh, sebab suka paksa aje. Kalau tak, pigi dah!” Nur Dhia mencelah. Tok Mak dan Mummy ketawa. Lega melihat mereka berdua kembali berbaik begitu.

            “Nina tu kisah lama walaupun baru jadi awal tahun ni. Tapi bagi Zaed Nina sekadar alasan untuk Zaed menemui Dhia yang dah lama ada dalam hati Zaed. Dan… abang nak sayang tahu, abang menyesal dengan apa yang abang cakap semalam. Abang minta maaf. Abang terkejut sayang dapat gambar-gambar tu. Abang memang nak cerita semua ni tapi abang takut sayang lari dari abang.” Nour Zaed sekali lagi memohon kemaafan isterinya.

            “Dhia pun minta maaf. Lari tanpa izin.” Nur Dhia tersengih.

            “Jangan buat lagi tau.” Nour Zaed mencuit manja hidung Nur Dhia.

            “Nak lari mana, Mummy dengan Tok Mak aje Dhia ada selain abang. Mak Cik Soraya? Baik lari kat abang dari lari kat dia.” Semua ketawa dengan mimik muka Nur Dhia yang buat-buat takut.

            “Bagus macam ni. Jangan bila gaduh tidur asing-asing. Sebab tu Mummy call Zaed. Besar macam mana pun masalah, biar antara suami dan isteri sahaja. Bukan Mummy tak nak tolong Dhia tapi untuk dapatkan nasihat Mummy dan Tok Mak sentiasa ada sebagai orang tua kamu berdua.” Ujar Mummy. Nur Dhia dan Nour Zaed mengangguk faham. Malu pula rasanya. Tapi semalam memang tak ada tempat lain, lagi pula nak dapatkan kisah sebenar, Nur Dhia berbisik sendiri.

            “Takpe Mummy, itu tandanya Dhia ni sayang Zaed. Cemburu kan tanda sayang.” Nour Zaed tersenyum. Nur Dhia hanya menjungkit bahu. Tok Mak dan Mummy hanya saling memandang sesama mereka dan tersenyum.

            Nur Dhia berlari laju menuruni tangga, menerpa terus ke arah Nour Zaed yang sedang berbual dengan Mummy dan Tok Mak. Semua yang ada terkejut dengan kehadiran Nur Dhia yang kelam kabut.

            “Kita kena balik kampung sekarang!” Ujar Nur Dhia senafas walaupun tercungap kepenatan.

            “Kenapa ni Dhia?” Soal Tok Mak.

            “Kenapa sayang?”

            “Mak Cik Soraya nazak.” Jawab Nur Dhia tidak berteka teki. Semua yang ada mengucap panjang. Terus sahaja mereka bersiap-siap untuk pulang ke kampung.

            Sepanjang perjalanan semua hanya mendiamkan diri dan berdoa agar semuanya baik-baik sahaja. Nur Dhia menyepi diri. Air mata tetap mengalir. Mak Cik Soraya satu-satunya saudara yang dia ada.

            “Abang ada dapat sikit maklumat pasal sayang.” Nour Zaed memecahkan kesunyian di dalam kereta. Nur Dhia hanya memandang suaminya, tidak menyoal apa-apa.

            “Selepas 15 tahun kahwin dengan Mak Cik Soraya, ayah kahwin dengan ibu sayang. Tapi perkahwinan tu tanpa pengetahuan Mak Cik Soraya dan di luar Malaysia. Ibu sayang bukan orang Malaysia. Sebaik sahaja sayang lahir, ibu sayang jatuh sakit dan meninggal. Ayah tak ada masa tu. Selepas sayang umur 7 tahun ayah ambil sayang dan bawa balik ke Malaysia. Sayang ingat?” Nur Dhia hanya mengangguk. Masih ingat kali pertama memandang wajah ayah secara bersemuka, sebelum itu hanya ada gambar sebagai peneman.

            “Mak Cik Soraya yang tak ada anak terus menggila bila ayah bawa balik sayang dan kata sayang adalah anak ayah yang sah dengan ibu sayang. Mungkin sebab terkejut ayah kahwin lain dan ada anak sedangkan dia masih tiada zuriat ketika itu, jadi dia jadikan sayang tempat dia melepaskan amarah dia. Itu yang abang dapat dari mata-mata yang abang upah dekat kampung sayang.” Nour Zaed tersenyum nipis apabila Nur Dhia tetap menatap wajahnya sepanjang dia bercerita.

            “Kecewa hati seorang wanita apabila suaminya berkahwin lain. Cemburu seorang wanita apabila dia tak mampu nak ada zuriat sedangkan madunya sudah memberi zuriat kepada suaminya. Dhia tak marahkan Mak Cik Soraya atas apa yang dia pernah buat sebab Dhia tahu mesti ada perkara yang dia cuba sembunyikan dan cuba nak lepaskan. Kasihan dia.” Ujar Nur Dhia perlahan kemudian terus menyepi diri. Suasana dalam kereta begitu hening sehinggalah sampai ke laman rumah Mak Cik Soraya.

            Masih segar diingatan apa yang telah Mak Cik Soraya lakukan ketika Nour Zaed dan keluarga tiba di situ tempoh hari. Masih segar suara lantang Mak Cik Soraya memaki hamunnya. Sungguh baru sahaja semua itu berlaku.

            “Dia jatuh kat dapur, doktor kata strok. Orang kampung semua dah sedia. Pak imam suruh Johan panggil akak balik. Mak Cik Soraya nak sangat jumpa akak, Nampak susah dia nak pi.” Ujar Johan setelah Nur Dhia menapak masuk ke rumah. Kelihatan Mak Cik Soraya sudah terbaring lemah, tercungap-cungap mencari nafas. Nur Dhia menghampiri Mak Cik Soraya, dicapainya tangan emaknya itu. Mak Cik Soraya mengalih pandang apabila menyedari kedatangan Nur Dhia.

            “Dhia…” suara Mak Cik Soraya tapi terlalu perlahan, hanya Nur Dhia yang mendengar.

            “Dhia ada ni Mak Cik, Mak Cik mengucap ye…” Ujar Nur Dhia membisik di telinga Mak Cik Soraya.

            “Minta maaf untuk semuanya…” Nur Dhia mengangguk laju.

            “Dhia anak ayah yang baik…” Perkataan akhir yang Mak Cik Soraya katakana sebelum dia pergi untuk selama-lamanya. Nur Dhia menangis tangisnya. Tak baik menangis nanti sakit orang yang pergi. Masih ingat pesan ayah di hujung nafasnya.

            “Alhamdulillah semua sudah selesai. Terima kasih Johan tolong urus semua ni.” Ujar Nour Zaed setelah selesai bacaan yassin malam itu. Semuanya mudah. Allah Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Keampunannya seluas lautan.

            “Akak banyak terhutang budi dekat Johan.” Ujar Nur Dhia.

            “Terhutang budi apa kak, ayah Mat banyak tolong keluarga Johan. Lepas ayah Mat tak ada akak pula banyak tolong kami. Apa saya buat ni tak terbalas kak dengan apa yang akak dengan ayah Mat dah bagi.” Johan malu-malu. Ayah memang banyak tolong orang. Sangat banyak.

            “Lepas ni akak balik Ipoh, rumah ni macam mana?” Soal Johan sebelum pulang ke rumahnya.

            “Haa, akak dah bincang dengan abang Zaed. Akak dengar Johan nak kahwin hujung bulan ni. Jadi rumah ni akak hadiahkan untuk Johan dan isteri. Lagi pun akak mesti jarang-jarang balik. Rumah ayah dekat sungai petani dah ada untuk akak.” Johan terlopong. Rumah ni bukan sekadar rumah kampung biasa. Cukup mewah. Al maklum rumah orang kaya kampung.

            “Akak, besaq sangat hadiah akak ni. Tak mampu nak terima.” Johan menolak baik.

            “Akak tetap nak bagi, nanti akak urus geran semua. Tak dak sapa nak jaga dah selain Johan. Dari akak susahkan Johan mai cuci, bukak lampu baik akak bagi Johan duduk dan jagalah macam mana pun. Boleh ye Johan?” Nur Dhia tekad. Keputusannya telah sepakat dengan Nour Zaed. Johan dah banyak membantunya selama ini. Inilah hadiah buat Johan.

            “Johan tak tau nak kata apa, terima kasih banyak kak. Nanti kenduri boleh buat kat sini la noh. Laman besaq rumah besaq senang ramai-ramai.” Ujar Johan walaupun malu-malu.

            “Haa baguih tu! Nanti kami mai tolong apa patut.” Nour Zaed mencelah, cakap utara? Erk! Nur Dhia dan Johan hanya ketawa mendengarnya. Pelik!

            Selepas tiga hari di kampung dan menyelesaikan semuanya. Nur Dhia, Nour Zaed, Mummy dan Tok Mak bersiap pulang. Kunci rumah dan geran telah siap diberikan kepada Johan. Hanya tinggal kebun ayah sahaja. Nour Zaed sudah berbincang dengan Johan untuk mengusahakannya. Nur Dhia hanya mengikut sahaja, selagi baik untuk semua pihak.

            Kisah keluarga Nur Dhia Adzara Binti Ahmad sekali lagi menjadi bualan orang kampung. Berbagai cerita didengarinya. Kalau dulu yang pahit tentang dirinya, kini yang manis-manis. Kisah manusia lain memang enak disebar-sebarkan tanpa tahu betul atau salahnya. Manusia. Kini Nur Dhia menapak lagi, untuk kisah cinta antara dia dan Blind Date yang tidak disangka-sangka. Kalau boleh diundur masa mahu sahaja diukir kisah pertemuan pertama mereka. Kisah Nour Zaed jatuh cinta pandang pertama kepada gadis hingusan yang bongkak, Nur Dhia Adzara. Tapi untuk apa membuka kisah lama, apa yang menjadi utama adalah kisah masa hadapannya bersama-sama suami tercinta Nour Zaed, yang kadang-kadang angkuh kadang-kadang manis macam gula-gula kapas cap pelangi, kadang-kadang garang macam Lion King! Apa-apa pun, Nur Dhia sayang suami Nur Dhia.


~Tamat~

Tuesday, December 22, 2015

Blind Date 5: Kenapa Perlu Menipu?

BLIND DATE 5 : KENAPA PERLU MENIPU?

            Seminggu selepas pulang dari Langkawi. Sarah datang mengadap. Nur Dhia bermasam muka tetapi Nour Zaed hanya ketawa. Tahu benar isterinya itu masih marah akan teman serumahnya.

            “Kenapa tak datang tahun depan aje?” Soal Nur Dhia sinis. Sarah ketawa.

            “Aku buat dapat upah okey. Kau pulak dapat Encik Nour Zaed yang sangat digilai wanita.” Sarah bergurau.

            “Oh! Pasal dia bagi kau duit kau pekena aku eh? Berapa dia bayar kau? Meh aku bayar balik.” Marah betul Nur Dhia.

            “Tak banyak pun 2k aje.” Sarah tersengih dengan muka tak bersalah. Nur Dhia terdiam. Banyak tu!

            “Haaa, cepatlah bayar balik.” Nour Zaed masuk campur. Nur Dhia berdecit.

            “Bayar buat apa, bukan boleh patah balik. Dah kahwin.” Nur Dhia menjawab perlahan. Dilabuhkan duduk disebelah Nour Zaed. Nour Zaed laju sahaja memeluk bahu isterinya.

            “Alololo sayang ni, sekarang kuat merajuk.” Hidung Nur Dhia dipicitnya. Nur Dhia cepat sahaja menepis.

            “Weh! Please, korang ada tetamu. Aku geli kut tengok adegan cinta selepas kahwin ni. Euwww!” Sarah menutup mata dengan tangan. Nour Zaed ketawa.

            “Thank you Sarah. Akhirnya aku dapat juga lepas dari Nina Si Neraka.” Dalam ketawa Nour Zaed menutur kata. Sarah sudah telan air liur. Kata hal itu rahsia, takkan Dhia dah tahu?

            “Dhia dah tahu ke?” Sarah berhenti menyuap kuih ke dalam mulut. Nour Zaed berhenti ketawa. Nur Dhia kebingungan.

            “Siapa Nina? Neraka?” Soal Nur Dhia. Rahsia apa antara mereka yang masih belum diketahuinya.

            “Nina my ex girlfriend. Lama dulu. Before kita kahwin haritu, dia kembali kacau abang. Sebab tu abang suruh Sarah cepat-cepat jalankan plan untuk blind date kita tu.” Nour Zaed laju sahaja menjelaskan. Sarah urut dada. Nur Dhia Adzara boleh tahan gunung berapi dia. Kalau hal itu terbongkar, naya!

            “Betul ni… tak tipu?” Soal Nur Dhia, mata sengaja dikecilkan melihat suaminya. Nour Zaed mengangguk dan hanya tersenyum.

            “Betul sayang, takkan abang nak tipu.” Nour Zaed menyisip air sedikit, senyuman maish terukir di bibirnya. Namun resah dalam hati berombak jua. Kenapa boleh terlepas kata?

            “Okaylah korang, aku balik dulu. Dhia bila kau nak ambil barang-barang dekat rumah sewa tu?” Ujar Sarah ketika sudah siap menggalas beg tangannya.

            “Laju nak halau?” Nur Dhia menjelir lidah. Sarah membalas.

            “Esok lusa kami pergi ambil boleh terus masuk rumah abang kan sayang?” Suara Nour Zaed. Nur Dhia hanya mengikut. Lagi pula ke mana arah dia selepas ini hanyalah mengikut suaminya. Kerja? Sudah berhenti sebelum bernikah lagi. Kerja kerani biasa di sebuah kedai insurans sahaja. Ijazahnya belum lagi dapat digunakan sepenuhnya.

            “Untung kau Dhia, dapat suami hensem, kerja hebat lepas tu ada kondo. Wow sangat!” Sarah sengaja, dengarnya seperti mengejek sangat!

            “Kenapa eh kau tak kahwin aje dengan Nour Zaed?” Entah kenapa soalan itu yang keluar dari bibir Nur Dhia.

            “Kalau dia suka aku, dah lama kut kitorang kahwin. Masalahnya Nour Zaed ni suka engkau. Ada faham? Dah la aku balik dulu.” Sarah terus sahaja memecut keretanya. Nur Dhia melambai perlahan.

            “Kenapa tanya macam tu?” Nour Zaed menyoal nadanya tegas. Nur Dhia menjungkit bahunya.

            “Saya tak nak dengar soalan macam tu, tak redha namanya.”Nour Zaed bersuara tegas. Nur Dhia yang sedang mengemas meja menghentikan perbuatannya.

            “Dhia minta maaf. Dhia pun tak sangka akan tanya macam tu. Dhia minta maaf eh.” Nour Zaed merengus perlahan.

            “Dhia masih tak dapat terima abang?” Soalnya.

            “Dhia dah terima. Dah seminggu lebih kita jadi suami isteri, Dhia cuba nak sesuaikan diri. Tapi entahlah, hati dhia macam ada rasa sesuatu. Rasa macam awak sembunyi sesuatu.”

            “Awak…awak… abang.”

            “Bagi la masa, Dhia tengah cuba la ni abang oi… Dhia masuk dulu, nak cuci ni semua.” Nur Dhia membentak manja. Nour Zaed akur dan turut membantu membawa pinggan mangkuk ke dalam rumah. Banyak, terlalu banyak yang perlu diceritakan. Tapi mampukah Nur Dhia menerima satu persatu cerita itu dengan baik? Nour Zaed menunggu saat Nur Dhia menerima dia sepenuh hati sebagai suami barulah dia akan ceritakan segala-galanya tanpa ada satu pun yang tertinggal.
           
            Selesai mengangkut barang-barang di rumah sewanya. Tidak banyak mana, hanya baju dan buku sahaja. Bilik itu sudah siap berperabot jadi dia hanya cuci kaki semasa masuk menyewa.

            “Buku-buku boleh letak dalam bilik hujung sana, pejabat abang dan juga our mini library. Baju masuk bilik tengah, bilik kita.” Nour Zaed tersenyum meleret apabila menyebut bilik kita. Nur Dhia berdecit manja, suaminya itu suka sangat menggatal!

            “Abang kerja pukul berapa, balik pukul berapa?”

            “Aduhhh sejuk hati ni dengar sayang panggil abang, abang.” Nour Zaed main-main. Nur Dhia cepat sahaja mengetam lengan sasa suaminya.

            “Ish… tak panggil bising, dah panggil buat Dhia malu je.” Nour Zaed ketawa.

            “Abang nak pergi dah ni, abang balik dalam pukul 5 macam tu. Kenapa?”

            “Nak makan apa petang ni?”

            “Kalau abang kata nak makan apa-apa pun, sayang tak boleh tunaikan.”

            “Ingat Dhia tak pandai masak ke?” Nur Dhia buat-buat merajuk. Nour Zaed mencuit manja hidung isterinya.

            “Bukan. Abang tahu sayang pandai masak, tapi… kat rumah ni tak ada apa-apa nak di masak. Dah dekat 3 minggu abang tak balik, jadi peti sejuk kosong. Nothing.” Ujar Nour Zaed.

            “Alaaa…. Dah tu tengah hari ni Dhia nak makan apa?” Jam telah menunjukkan hampir pukul 12 tengah hari.

            “Takkanlah abang nak biar sayang berlapar. Abang beli kejap lagi, lepas tu terus pergi kerja. Boleh?” Nur Dhia sekadar mengangguk.

            “Kalau sayang rajin, kemas rumah eh, berhabuk la…” pinta Nour Zaed.

            “Upah?”

            “Malam ni abang bagi upah eh.” Muka gatal Nour Zaed kembali. Nur Dhia mencebik. Meremang bulu roma!

            “Tak jadi minta upah. Pergi kerja cepat.” Halau Nur Dhia, malas melayan bila Nour Zaed sudah masuk jiwa jiwang menggatal dia.

            “Otak biru sangat. Upah makan dekat luar la sayang. Okey abang pergi dulu.” Nur Dhia tersengih meleret. Malu sendiri!

            Usai solat zohor, Nur Dhia tercari-cari kerja apa yang patut dilakukan dahulu. Dari mana dan habis di mana. Kondominium suaminya ini boleh tahan besar. Teringat akan buku-buku yang belum dikemaskan, Nur Dhia membuat keputusan untuk membersihkan bilik itu dahulu.

            Dalam sibuk mengemas buku-bukunya ke rak yang sedia ada. Nur Dhia terlihat satu kotak cantik di atas meja kerja Nour Zaed. Jiwa hendak tahunya membuak-buak. Tak salah kalau nak tengok saja kan? Hati Nur Dhia membuat jawapan sendiri. Nur Dhia bangun dari duduk dan terus menghampiri meja kerja Nour Zaed. Kotak itu amat menarik hatinya untuk membuka, lantas terus sahaja dibuka. Gambar? Bukan majlis tunangnya atau perkahwinan mereka berdua tempoh hari. Nour Zaed ada di dalam gambar dan bukan Nur Dhia di sebelahnya. Hati Nur Dhia berdetak laju. Mukanya terasa panas sehingga matanya mula menakung air. Gambar-gambar itu dibelek satu persatu. Hainina Zakaria? Inikah Nina Neraka? Tak habis di situ. Nur Dhia terus mencari-cari apa lagi yang disembunyinya oleh suaminya dan Sarah. Habis semua laci dan rak di selongkar. Komputer pula menjadi sasaran setelah apa yang dicarinya tidak ditemui. Mujur sahaja tiada kata laluan yang ditetapkan memudahkan pencarian Nur Dhia. Semua fail dibuka disemak namun tiada satu pun yang memenuhi pencariannya. Hati Nur Dhia membuak rasa marah dan kecewa. Kenapa Nour Zaed menyembunyikan hal ini? Adakah Nur Dhia isteri kedua? Nur Dhia menangis lagi dan lagi. Apa yang berlaku dalam keluarganya membuatkan dia menjadi takut, takut andai itu yang terjadi kepada dirinya kini. Tak kali kedua dia akan dihina?

            “Kenapa tipu Dhia?” Soalnya sebaik sahaja Nour Zaed melabuh duduk di sofa. Kotak itu diberikan kepada Nour Zaed. Nour Zaed menghela nafas kasar.

            “Kenapa buka barang abang?”

            “Kenapa tak boleh? Just explain to me, apa semua ni? Siapa Hainina? Mana dia?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Nur dhia.

            “Bekas tunang. Jadi, tak perlu lagi nak bincangkan.” Senang sahaja Nour Zaed menjawab, membuatkan Nur Dhia panas hati.

            “Mudahnya Nour Zaed? Semudah awak paksa saya jadi isteri awak?” Nour Zaed meraup wajahnya.

            “Sayang, Nina kisah lama. Abang rasa tak perlu nak besarkan lagi.”

            “Lama? Awal tahun ni awak kata lama? Beberapa bulan sebelum kita bertunang dan berkahwin awak kata lama?” Nur Dhia mula naik suara. Sakit hati dengan sambil lewa Nour Zaed.

            “Yes. Lama, saya tak nak bincang hal ni sekarang. Saya baru balik kerja, saya nak mandi solat dan makan.” Nour Zaed bangkit mencapai beg bimbit dan telefonnya.

            “Kiranya kisah yang awak cerita dekat saya tempoh hari tentang saya yang kononnya awak jatuh cinta, awak cari semua tu tipu la kan? Kalau betul takkanlah awak bertunang dengan orang lain dan mencari orang lain?” Ujar Nur Dhia. Nour Zaed memberhentikan langkah.

            “Boleh kita bincang nanti?” Soal Nour Zaed.

            “Tak, jawab sekarang atau saya keluar dari sini.” Nur Dhia mengugut. Nour Zaed ketawa sinis.
            “Nak pergi mana? Merempat tepi jalan? Awak jangan lupa Nur Dhia, awak hanya ada saya sekarang, family awak pun buang awak. Sarah? Dia di Johor. You have no one and no where to go.” Nur Dhia terkedu. Sampai hati Nour Zaed menutur begitu.

            “Terima kasih. Awak sedarkan saya yang lupa asal usul saya. Sebab inilah saya tak pernah mahu berkongsi hidup saya dengan sesiapa. Terima kasih.” Nur Dhia berlari terus ke bilik, air mata menjadi penemannya kala ini. Nour Zaed merengus kasar, terlepas kata-kata yang membuatkan Nur Dhia tidak akan lagi mempercayainya. Kenapalah dia boleh membiarkan kotak itu terdedah begitu? Tak jangka hal ini berlaku sepantas ini. Apa lagi selepas ini?


            Selepas maghrib, Nour Zaed yang diselubungi rasa bersalah mula mencari isterinya. Pintu bilik tamu diketuknya. Namun tiada balasan. Pintu tidak berkunci itu dibuka, namun kosong tiada sesiapa. Nour Zaed cuak, mana Nur Dhia!

Blind Date 3 : Siapa Nur Dhia?

BLIND DATE 3 (SIAPA NUR DHIA?)

            Hari yang dinanti dalam kegusaran telah tiba. Beberapa minit sahaja lagi rombongan Nour Zaed akan tiba, tetapi Mak Cik Soraya masih belum diberitahu akan hal itu. Sudah difikirkan pelbagai cara dan kaedah untuk memberitahu akan hal ini namun Nur Dhia masih teragak-agak. Masih kekal dalam ingatan, masih terasa sakit sengatan yang hinggap ke tubuhnya saat Hafiz rakan sekelasnya datang menghantar buku latihan yang tertinggal di sekolah. Mak Cik Soraya memukulnya tanpa belas. Mak Cik Soraya menuduh Nur Dhia sudah pandai menganyam cinta ketika di bangku sekolah, tidak menjaga maruah. Mulalah asal usulnya diungkit. Kadang kala Nur Dhia terfikir, apakah benar dia bukan anak ayahnya? Ayah, disaat habis hayatnya masih bertegas dia adalah anaknya. Kenapa Mak Cik Soraya sebaliknya?

            “Kak Dhia, Mak Cik Soraya tengah mengamuk!” Kelam kabut Johan memanggilnya di buaian yang berada di dapur. Nur Dhia sudah resah. Mampus! Segera seliparnya disarung ke kaki. Langkah diatur laju di belakang Johan.

            “Kahwin? Apa betina tu buat dekat KL nu? Tak guna punya budak! Dari kecik dok malukan aku! Johan! Mana Dhia? Hang panggil betina tu cepat!” Jelas dan nyaring suara Mak Cik Soraya kedengaran. Nur Dhia tergamam. Semua hantaran sudah bertaburan di tanah. Kelihatan Tok Mak dan Mummy beriak terkejut dengan kerutan di dahi. Mungkin tidak menyangka hajat yang baik dibalas sebegitu rupa. Nour Zaed sudah berketap gigi. Jelas rahangnya bergerak-gerak. Nur Dhia mengucap dalam hati dan bertawakal.

            “Mak cik, saya tak buat apa-apa. Saya sepatutnya bagitau dekat mak cik tentang rombongan ni tapi saya lupa.” Nur Dhia tak berani menyatakan ketakutannya. Lupa? Mana mungkin lupa. Sudah seminggu dia sukar untuk melelap mata kerana hal ini. Apa yang ditakutkan telah terjadi, apa yang harus dia lakukan sekarang? Mata Mak Cik Soraya menyala-nyala. Seram!

            “Hang memang sengaja nak malukan akukan? Hang nak kahwin? Siapa nak hang? Hang tu anak tak sah taraf, anak haram! Sapa yang nak ambik hang jadi bini? Ni aku tau, hang mengandungkan? Dasar anak haram, perangai macam haram!” jerkah Mak Cik Soraya, laju sahaja tangannya menampar kuat pipi Nur Dhia sehingga gadis itu terjelepok jatuh ke tanah. Kaki mak cik Soraya terus sahaja memijak dan menendang perut Nur Dhia.

            “Biaq aku pijak hang bagi hang dengan anak hang mampus!” Mak Cik Soraya bagaikan orang gila yang sudah hilang warasnya. Nour Zaed yang mulanya hanya berdiri dan memerhati, tidak betah lagi. Ditolaknya Mak Cik Soraya sehingga terdorong ke belakang orang tua itu. Nur Dhia dilindunginya.

            “Aku hormat kau sebagai orang tua, orang perempuan tua. Kalau kau lelaki, dah lama aku kerjakan. Kau tak ada langsung belas kasihan? Kalau pun betul Nur Dhia ini bukan anak kau, siapa kau nak menghina dia? Di sisi Tuhan Nur Dhia ini lebih mulia dari kau!” bagai halilintar suara Nour Zaed bergema di situ. Tok Mak dan Mummy menghampiri Nur Dhia dan membantu Nur Dhia untuk bangun. Kaki Nur Dhia seakan lembik akibat kesakitan yang ditanggungnya.

            “Hoi! Hang datang rumah aku tak berjemput hang nak maki aku? Kalau hang rasa Nur Dhia ni mulia, hang ambik la dia. Aku dah lama nak buang dia dari hidup aku. Dari kecik sampai sekarang bawak malang dekat aku!” Mak Cik Soraya mula melangkah menaiki tangga mahu masuk ke rumah. Nur Dhia mula bersuara, merintih sedikit kasih dari Mak Cik Soraya.

            “Mak cik, Dhia minta maaf. Dhia tak malukan mak cik, Dhia tak buat apa-apa. Dhia nak kahwin elok-elok. Mak cik jangan buang Dhia. Dhia nak pergi mana kalau mak cik buang Dhia?” Nur Dhia masih bertutur dengan baik walaupun mak cik Soraya sedari tadi memakinya.

            “Aku kisah apa hang nak dok kat mana. Selama ni aku memang harap hang takdak dalam hidup aku. Aku benci hang sampai mati!” Terus sahaja pintu rumah di tutup rapat. Nur Dhia merintih, menangis.

            “Kau ni apa hal? Dia tu jahat, pukul kau macam nak mati, kau masih nak duduk dengan dia? Gila ke?” Nour Zaed sudah hilang sabar. Nur Dhia terlalu berlembut!

            “Mak Cik Soraya satu-satunya saudara yang saya ada. Saya dah tak ada sesiapa lagi awak.” Nur Dhia menangis lagi. Mummy dan Tok Mak memandang penuh simpati.

            “Sekarang ni, kita balik rumah kita dulu. Rehat dan rawat luka-luka Dhia ni. Kemudian baru kita bincang hal yang jadi hari ini.” Mummy memberi cadangan. Tudung Nur Dhia dibetulkan letaknya. Jatuh kasihan kepada gadis ini. Anak haram? Mana ada anak yang haram. Anak yang lahir semuanya suci. Allahuakbar, mudahnya manusia melabel manusia lain sedangkan diri sendiri ada celanya.

            Baru melangkah beberapa tapak ke kereta. Hentakkan di belakang kepala membuatkan Nur Dhia mengaduh sakit. Semua yang ada turut tersentak. Beberapa beg pakaian yang menghempas tanah mengejutkan mereka. Tok Mak mengucap panjang. Belakang kepala Nur Dhia dipegangnya. Mujur sahaja bingkai kaca itu tidak melukakan kepala Nur Dhia, mujur sahaja Nur Dhia memakai tudung. Kalau tidak, sudah tentu habis berdarah kepala gadis itu. Sungguh perempuan tua itu sudah gila!

            “Astagfirullah, Soraya… awak ni memang tak beradab.” Tok Mak bersuara, hilang sabar. Mak Cik Soraya tak membalas, hanya menjeling tajam. Daun pintu dihempasnya. Nur Dhia mengalirkan air matanya sekali lagi. Malunya dia kepada keluarga Nour Zaed dengan apa yang berlaku. Johan dan Nour Zaed mengambil ke semua beg yang dibuang oleh Mak Cik Soraya dan di masukkan ke dalam kereta. Johan yang baru sampai sudah termengah-mengah. Nur Dhia mendekati Johan.

            “Johan hang tolong kak Dhia.” Nur Dhia bersuara dengan suara yang menahan sakit dan sengal-sengal.

            “Tolong apa kak? Macam tak biasa pulak kak Dhia. Hat Johan boleh tolong, Johan tolong. Haa apa dia?”Johan yang termengah-mengah mula mengambil nafas yang lebih teratur.

            “Hang jaga Mak Cik Soraya naa, tengok-tengok dia. Kalau ada apa-apa terus bagitau kak.” Johan sudah tergaru-garu kepalanya.

            “Jenuh tu kak. Tapi tak apalah. Johan cuba. Kalau ada apa-apa nanti Johan cari kak Dhia. Kak Dhia jangan risau.” Nur Dhia mengangguk, mengukir senyuman dalam payah. Hancur hatinya dengan tindakan Mak Cik Soraya. Mungkin inilah jawapan resah hatinya selama seminggu ini. Allah, kuatkanlah diriku.

            “Orang tu pijak dia, maki dia, boleh dia suruh budak tu jaga lagi. Awak ni Malaikat dari langit ke Dhia?” Tak habis lagi leteran Nour Zaed walaupun mereka semua sudah hampir sampai ke rumah. Mak Tok dan Mummy hanya menggelengkan kepala. Kurang senang dengan sikap Nour Zaed yang satu ini. Bila hatinya risau, marah, mulut takkan berhenti membebel.

            “Sudahlah Zaed, kesiankan Dhia. Dahlah sedih pasal tadi, kamu tambah lagi. Kamu nak buat dia menangis sampai esok ke?” Tajam sahaja Mak Tok menyindir. Dia sendiri tertekan mendengar leteran cucu kesayangannya itu. Nour Zaed sudah terdiam, namun masih menjeling Dhia yang berada di sebelahnya. Nur Dhia masih teresak nangis, sekali sekala di sapu air matanya.

            “Zaed nak kahwin dengan Dhia hujung bulan ni.” Nour Zaed bersuara lagi, membuatkan Nur Dhia berpaling memandang ke arah Nour Zaed yang memandu. Mak Tok dan Mummy hanya mengangguk perlahan. Faham benar perangai Nour Zaed, A katanya A sampai bila-bila.

            “Awak masih nak kahwin dengan saya?” Perlahan sahaja Nur Dhia menyoal, masih dalam esak tangisnya. Kurang percaya, sejak beberapa tahun dahulu Dhia cuba mencari satu tempat yang membolehkan dia menyorok dari manusia-manusia yang mengenalinya. Yang tahu asal usul dirinya yang dia sendiri tidak pasti. Kini muncul lelaki yang masih tidak jelas siapa sebenarnya menerima dia yang tidak pasti asal usulnya.

            “Kan saya pernah kata, apa pun yang berlaku awak tetap akan jadi isteri saya dan saya akan jadi suami awak. Faham? Kalau faham, kesat air mata, air hidung. Esok kita bertunang.” Mudah sangat Nour Zaed membuat keputusan. Nur Dhia sendiri dalam keadaan keliru. Malu. Masakan tak malu bila begitu kelakuan dan tindakan Mak Cik Soraya terhadap Mak Tok dan Mummy. Malu! Maruahnya dipijak-pijak dan dihina.

            “Saya sendiri tak pasti saya ini lahir secara sah atau tidak, kenapa awak pasti untuk memperisterikan saya?” Soal Nur Dhia, sebaik sahaja Mak Tok dan Mummy beransur masuk ke dalam rumah. Nour Zaed menutup pintu kereta dan menekan alarm. Nur Dhia dihampirinya. Nour Zaed memandang Nur Dhia tanpa kelip. Keluhan berat dilepaskan.

            “Awak ni suka makan semut? Cepat sangat lupa. Bukan saya dah jelaskan ke? Takkan tak faham lagi?” Nour Zaed menjawab dengan nada mendatar dan kurang senang. Tidak marah cuma rimas. Rimas dengan Nur Dhia yang payah untuk faham.

            “Ya saya faham. Apa pun jadi, apa pun yang halang, kita berdua tetap akan jadi suami isteri. Tapi yang saya tak faham, mudah benar awak terima saya. Sedangkan seminggu ini saya risau dan resah. Kalau awak tahu siapa saya yang sebenarnya. Sekarang awak tahu siapa saya, tapi awak macam tak terkejut.” Nur Dhia menjelaskan, panjang lebar. Hatinya kurang senang dengan penerimaan Nour Zaed dan keluarganya yang teramat mudah!

            “Apa masalah dengan asal usul awak? Lagi mudah untuk uruskan perkahwinan kita. Tak perlu cari wali sebab jelas awak tiada wali. Saudara awak Mak Cik Sihir tu aje kan. Awak sebatang kara. Jadi, apa masalahnya?” Nour Zaed menjawab lagi, Nur Dhia hilang sabar.

            “Awak ni faham atau hanya buat-buat faham? Saya sendiri tak pasti saya ni anak sah atau tidak!” Nour Zaed merengus. Bahu Nur Dhia dicengkam kuat. Dipaksa Nur Dhia memandang tepat ke matanya.

            “Siapa pun awak, saya akan tetap dengan keputusan saya. Saya dah kenal awak lama Nur Dhia Adzara Binti Ahmad, tetapi awak sahaja yang membutakan mata awak untuk kenal saya.” Nur Dhia sudah keliru dan kusut. Apa lagi yang tidak diketahuinya? Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Nour Zaed? Kenal lama? Buta mata? Arghhh! Nur Dhia serabut.

            “Apa pun awak cakap, saya perlukan masa. Saya tak boleh bertunang dengan awak, apatah lagi berkahwin!” Bentak Nur Dhia. Baru sahaja Nour Zaed mahu membantah, Mummy menjengah keluar.


            “Apa lagi kamu berdua ni? Dhia cepat masuk rumah, Mummy nak letak ubat dekat muka kamu dan badan kamu, esok nak bertunang kena la berseri. Cepat masuk.” Nour Zaed hanya tersenyum lebar. Senyuman mengejek Nur Dhia. Nur Dhia takkan mampu menolak lagi. Kurang 30 hari Nur Dhia akan menjadi milik Nour Zaed. Amin!

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders