Monday, March 12, 2018

Mini Novel 2018 : N&N (Part 13)

N & N

(Noh Daniel + Nur Nadia)


Part 13

Nadia siap menggosok baju Noh Daniel untuk seminggu. Tengah hari nanti Noh Daniel hendak bawa Nadia berjumpa dengan rakan baiknya, Megat Hariz. Nadia pulang ke rumah Noh Daniel sehelai sepinggang, jenuh mencari baju Noh Daniel yang sesuai untuk dipakai. Esok hari kuliah lagi pening Nadia memikirkan pakaian yang sesuai. Noh Daniel ada mengesyorkan sehelai kemeja lengan panjang tetapi Nadia laju sahaja tidak mahu. Baju itu kalau pelajar Noh Daniel tengok pun tahu itu baju Encik Noh. Gila! Mahu banyak gosip yang akan diterima nanti.

"Dah siap belum?" Noh Daniel menjengah Nadia di bilik baju.

"Dah siap dah." Ujar Nadia sambil menyangkut baju-baju dengan kemas. Noh Daniel memandang Nadia atas bawah.

"Siap apanya ni… tudung tak pakai lagi."

 "Ooo... saya nak pakai tudung je. Saya dah siap gosok baju kerja awak. Nak keluar dah ke?" Soal Nadia.

 "Keluar awal sikit, cari baju awak nak kuliah esok." Nadia berkerut.

 "Kolej saya bukan jauh pun. Sama jauh je dengan Mall yang kita nak pergi. Hantar saya balik kolej je la eh." Nadia cuba memujuk lagi. Noh Daniel menggeleng laju. Tidak bersetuju.

"Malam ni tidur rumah. Esok baru balik kolej." Tegas Noh Daniel.

 "Kalau singgah ambil baju je?" Cadang Nadia. Noh Daniel mengangkat telunjuk dan digoyangkan kiri kanan. Tetap tidak bersetuju.

 "Membazirlah awak, nak beli-beli pula."

 "Bukan duit awak. Duit saya." Balas Noh Daniel, Nadia mencebik.

"Tahu. Memang duit awak tapi…" Nadia tiada kata. Tidak tahu hendak menolak bagaimana lagi.

 "Tak ada tapi-tapi... pakai tudung cepat." Arah Noh Daniel. Nadia tidak cakap banyak, terus sahaja melangkah ke bilik mereka untuk bersiap. Sampai di bilik Nadia menepuk dahi sendiri. Noh Daniel yang berada di bawah di panggil dari atas tangga.

"Encik Noh..."

"Apa lagi? Laaa cepatlah siap." Noh Daniel mulai melenting. Nadia menggamit Noh Daniel untuk naik ke atas. Noh Daniel merengus mahu marah namun tetap melangkah naik ke atas. Nadia hanya tersengih-sengih.

"Apa Nadia?"

 "Tudung saya ada sehelai je. Basah lagi, sebab tadi baru basuh. Jadi, boleh ke keluar tak pakai tudung?" Laju sahaja Noh Daniel mengetuk perlahan kepala Nadia mendengar lawak bodoh yang keluar dari mulut isterinya. Minit akhir begini baru hendak beritahu. Noh Daniel memikirkan sesuatu.

 "Saya ada shawl. Boleh kut dengan t-shirt yang awak pakai ni. Dalam laci tali leher saya. Cuba tengok." Ujar Noh Daniel.

 "Saya tak pandai pakai shawl. Mesti buruk nanti." Nadia merengek.

"Okay. Pakai helmet nak? Dah lambat Nadia. Pakai je la." Noh Daniel sudah berubah nada. Nadia memuncung bibir. Dia melangkah lambat-lambat ke bilik sehinggalah...

"CEPAT!" Noh Daniel menempik. Terus Nadia berlari ke bilik dengan laju. Ringan terus kakinya. Mengada-ngadalah lagi! Noh Daniel tersengih sendiri.

            Nadia memandang tingkah laku Noh Daniel yang sedang memandu kereta. Sekejap memandang ke arah Nadia kemudian kembali memandang ke depan sambil tersenyum-senyum. Nadia hairan.

            “Buruk sangat eh saya pakai shawl? Bulat eh muka saya? Kenapa awak senyum-senyum macam tu?” Bertalu-talu Nadia menyoal. Noh Daniel tersenyum lagi. Dia menggeleng.

            “Habis tu. Dari rumah sampai sekarang asyik pandang lepas tu senyum. Pandang senyum. Apa ni?!” Nadia tidak puas hati.

            “Awak cantik.” Zuppp hati Nadia terasa bagai terhenti. Pertama kali Encik Noh memuji dirinya. Pipinya yang berisi a.k.a tembam mula memerah. Terus diam dan memandang ke luar tingkap kereta.

            “Sukalah tu.” Usik Noh Daniel. Nadia menjelir dengan wajah yang malu-malu.

            “Lepas ni jangan pakai shawl kalau saya tak ada dengan awak..” Tiba-tiba Encik Noh bersuara tegas. Nadia tersentak dan hairan.

            “Kenapa pula?”

            “Awak kena cantik depan saya je. Jenuh saya kalau ramai yang kejar isteri saya lepas ni. Ingat tau. Jangan pakai shawl kalau saya tak ada.” Noh Daniel begitu tegas. Nadia hanya mengangguk sahaja. Pujian ke tu? Nadia bersoal dalam hati. Noh Daniel memandang Nadia sekilas, memandang wajah Nadia yang sudah berkerut-kerut seperti berfikir sesuatu, kemudian Noh Daniel tersenyum meleret. Nadia tak faham la tu!

Megat Hariz mengetuk meja dengan jarinya beberapa kali. Debar. Walaupun perjumpaan itu dia yang aturkan sendiri. Selepas tiga minggu perkara itu berlalu, jenuh dia berfikir sendiri. Membiarkan atau selesaikan. Kakinya sedari tadi tidak berhenti bergerak. Matanya meliar mencari kelibat orang yang dinantikan. Dari jauh kelihatan pasangan itu bergerak ke arahnya. Lalu tangan diangkat dan menggamit pasangan itu.

“Assalamualaikum. Lama kau tunggu? Sorry, Nadia ni banyak cekadak pulak bila aku suruh pilih baju tadi.” Noh Daniel mengusik Nur Nadia yang sudah mencebik. Mahu tak banyak cekadak. Baju kurung apa harga sampai beratus ringgit? Membazir betul!

“Waalaikummusalam. Tak. Tak apa. Duduklah dulu. Order minum atau makan.” Megat Hariz bersuara. Gagap. Hatinya berdebar. Risau reaksi Noh Daniel.

“Okay. Awak nak makan apa-apa ke? Order nanti Megat bayar.” Noh Daniel sekadar bergurau. Tak mahu hangatkan suasana dengan emosi yang masih terbawa-bawa daripada malam terakhir dia berjumpa dengan Megat Hariz. Lagi pula, orang upahan yang menyiasat tentang hal dia dan Nur Nadia mengatakan Megat Hariz ada terlibat sama. Noh Daniel tidak mahu bertindak melulu dan terikut emosi marahnya. Disabarkan sahaja hati dia yang menggelegak panas.

“Ada apa kau nak jumpa kami berdua? Lagi satu... how do you know Nur Nadia?” Noh Daniel memulakan bicara apabila dia melihat Megat Hariz teragak-agak untuk bersuara. Nadia memandang kedua-dua lelaki itu apabila namanya disebut.

“Aku. Aku sebenarnya ada hal besar nak bagitahu dekat kau. Hal besar yang aku nak jelaskan. Aku tahu kau tahu dah hal ni. Apa-apa pun yang aku nak bagitahu, aku nak kau jangan marah dulu atau tumbuk aku dulu. Dengar sampai habis aku nak jelaskan. Aku tahu kau masih marah dengan aku hal malam tu. Aku minta maaf.” Senafas. Dalam satu nafas Megat Hariz menyampaikan. Nur Nadia yang masih membelek menu, memerhati kedua-dua lelaki di hadapannya bersilih ganti.

“Pasal malam tu, ya aku masih ada marah dengan kau tapi aku terima. Nurul Aulia mungkin jodoh kau. Aku dah lupakan semuanya.” Noh Daniel membalas. Megat Hariz menghela nafas lega. Nur Nadia mengerut dahi. Siapa pula Nurul Aulia ni?

“Aku sebenarnya tahu apa yang berlaku antara korang berdua. Sebab tu aku suruh kau bawa Nur Nadia sekali. Ni...” Megat Hariz menyerahkan kamera dan dua telefon bimbit kepada Noh Daniel dan Nur Nadia.

“Kad memori, telefon dan kamera masih ada dalam tu. Aku tak simpan apa-apa.” Ujar Megat Hariz apabila Noh Daniel dan Nur Nadia mula membuka kamera dan telefon yang diberikan. Nur Nadia menekup mulut yang sudah ternganga besar. Noh Daniel memejam mata seketika. Gigi diketap kuat. Rahang kelihatan bergerak-gerak.

“Kau punya angkara?” Suara Noh Daniel, agak tinggi nadanya.

“Bukan tapi aku nampak semua yang berlaku. Lepas kau tumbuk aku malam tu, aku terus keluar ke kereta. Aku tak balik lagi. Aku nak selesaikan semua masalah antara kita dengan baik. Masa aku nak masuk balik jumpa kau, aku nampak kau dah dipimpin oleh dua orang perempuan keluar dari restoran hotel tu terus masuk lif.” Laju Megat Hariz menerangkan, mahu mengelak salah faham.

“Kau ikut?”

“Ya aku ikut. Sampai ke bilik hotel. Aku tunggu diorang keluar.”

“Lepas tu?” Noh Daniel tidak sabar.

“Sejam lebih juga aku berdiri kat luar bilik hotel tu. Lepas diorang keluar, aku ambil gambar diorang berdua dan tanya apa yang diorang buat. Mula diorang nak lari juga tapi sebab diorang perempuan jadi mudah aku nak handle. Aku ugut nak bagi gambar diorang dekat polis. Sebab tu aku dapat kamera dan telefon diorang dan gambar-gambar yang ada dalam bilik hotel tu. ” Megat Hariz berjeda.

“Jadi, kau yang hantar mesej-mesej tu dekat kami?”

“Macam ni Noh, aku mengaku aku yang letak gambar-gambar tu dekat meja solek dan aku yang hantar gambar dekat telefon kau. Aku guna telefon ni.” Megat Hariz menunjuk kepada telefon berwarna kelabu yang ada di depan mereka.

“Tapi kenapa kau tak bawa aku keluar dari situ? Kenapa kau ugut aku macam tu?” Noh Daniel tidak berpuas hati.

“Aku mesej gambar tu sebagai balasan kau tumbuk aku malam tu. Ye aku tahu dengar macam tak logik, tak boleh terima dek akal tapi itu yang aku buat. Tapi sebab utama aku tak kejut atau keluarkan kau dari situ sebab Nur Nadia.”

“Kenapa dengan saya?” Nur Nadia menyoal.

“Apa perasan awak kalau awak bangun pagi tu seorang diri?” Megat Hariz menyoal. Nur Nadia diam. Noh Daniel mengangguk faham.

“Kau patutnya tunggu dekat situ. Tak pun kau patut cerita hal ni lebih awal. Kau main-main maruah kami tau tak. Dekat sebulan kami serabut hal ni.” Noh Daniel bengang. Megat Hariz mengangguk laju.

“Aku tahu sebab tu aku minta maaf. Aku fikir lama nak buat apa. Aku rupanya masih tak ikhlas minta maaf dekat kau. Aku baru sedar yang aku masih nak tengok kau jatuh. Kau sentiasa hebat di mata aku Noh. Bila benda ni jadi, sisi jahat aku gelak besar. Aku minta maaf.” Noh Daniel menyisip air di hadapannya, kasar. Mudah-mudahan tidak terus meletus lava amarahnya dengan kata-kata Megat Hariz yang ada antaranya tak masuk dek akal yang waras.

“Awak kata awak ambil gambar perempuan tu kan? Mana?” Nur Nadia mencelah.

“Ada. Ni diorang. Kenal?” Megat Hariz mengeluarkan telefon dan menunjukkan gambar yang telah di ambil. Nur Nadia mengucap panjang. Telefon diambil dan ditunjukkan kepada Noh Daniel. Mereka berdua saling berpandangan. Tak sangka!

“Korang kenal ke?”

“Allahuakbar!” Nur Nadia meraup wajah. Air mata sudah bergenang. Kenapa? Kenapa dia? Soalan itu terus menerus muncul di kepala.

“Suraya kawan kelab silat. Sorang lagi tu siapa Nadia?” Noh Daniel menyoal Nadia yang sudah basah wajah dengan air mata yang mengalir laju. Nadia menggeleng laju. Noh Daniel tidak boleh tahu. Bukan sekarang. Bukan!

 “Tapi kenapa Suraya buat semua ni?” Nadia menggeleng laju. Lengan Noh Daniel dipegang mohon kekuatan. Noh Daniel menggosok lembut lembut tangan Nadia. Jemari Nadia ditautkan ke dalam genggamannya. Megat Hariz memandang tingkah mereka, hairan. Penuh hairan. Noh Daniel orang yang menjaga tingkah perbuatan dan Nur Nadia pada pandangannya sangat sopan dengan tudung besarnya.

“Kenapa diorang perangkap korang berdua?” Megat Hariz menyoal. Nur Nadia dan Noh Daniel sama-sama menggeleng.

“Kami dah naik pening nak siasat dan cari siapa. Suraya memang antara suspek tapi sorang lagi ni. Who is she? And why?” Noh Daniel bersuara lagi. Makin pening dan pelik.

“Tak payah nak pening. Sekarang gambar semua ada dalam tangan korang berdua. Terpulang korang nak buat apa sahaja. Repot polis pun boleh. Aku boleh jadi saksi. Aku nak tebus kesalahan aku.” Ujar Megat Hariz, bersungguh-sungguh.

“Tak boleh. Kita tak perlu buat repot polis.” Nadia mencelah laju.

“Tapi kenapa? Kalau diorang buat lagi macam mana?” Noh Daniel menyoal.

“Kita selesaikan sendiri ya. Saya tak nak sampai ke pihak polis.” Pinta Nur Nadia. Kalau polis siasat semestinya terbongkar tentang ‘dia’. Ya Allah, kenapa dia buat semua ini dekat aku? Hati Nadia menyoal sendiri.

“Jangan baik sangat boleh tak Nadia. Okay tak apa kita tak perlu libatkan polis lagi buat masa ni. Tapi aku hairan... kau hantar mesej dengan telefon ni kan? Sekali je kan?” Noh Daniel kembali membelek telefonnya.

“Ya. Sekali ja. Pagi esoknya. Lepas tu aku off terus.”

“Nadia... awak tengok tak permainan diorang. Dah kantoi dengan Megat tapi diorang tetap kacau kita. Tu menunjukkan diorang tak takut dengan apa yang diorang buat.”

Wait... diorang ada ugut korang ke?” Megat Hariz menyoal. Nur Nadia mengangguk sahaja.

“Berani betul. Mungkin sebab diorang rasa aku tak dapat gambar diorang dan tak ada apa-apa yang berlaku pagi tu dekat diorang. Maksud aku tak ada polis atau korang yang datang jumpa diorang. Lagi pun malam tu diorang memang kelam kabut habislah. Semua barang ni pun diorang campak je.”

“Diorang fikir diorang terlepaslah eh....” Megat Hariz mengangguk. Noh Daniel berdecit dan mengetap bibirnya.

“Nadia, kita boleh teruskan rancangan kita tanpa rasa takut gambar kita tersebar. We safe. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk jalankan semua yang kita rancang.” Nadia memandang Noh Daniel dan mengangguk dengan wajah penuh kesungguhan. Masa untuk tebus maruah dan bongkar semuanya.

“Rancangan apa? Apa yang korang rancang?” Megat Hariz menyoal, ingin tahu. Tetapi Noh Daniel menggeleng laju. Megat Hariz kecewa.

“Megat. Terima kasih untuk semua ni. Aku maafkan kau untuk semua yang kau pernah buat dekat aku. Aku minta maaf juga sebab tak peka dengan perasaan kau. Pasal Nurul Aulia, aku redha dan terima. Aku dah ada Nur Nadia.” Noh Daniel tersenyum sambil memeluk bahu Nur Nadia, erat.

“Eh... wait... takkanlah korang....” Megat Hariz tak mampu berkata-kata. Terkejut besar.

“Mungkin itu cara kami bertemu. Mungkin tak semanis orang lain. Tapi inshaAllah selepas ni semua akan manis semanisnya. Tak gitu sayang.” Noh Daniel menambah lagi. Nur Nadia hanya tersenyum tawar. Hatinya masih berperang.

“Kira tindakan aku membantu jugaklah jodoh korang kan?”

No. It’s still tindakan tak berperikemanusiaan. Kalau selepas ini apa sahaja yang berlaku, tolonglah jangan nak simpan lama-lama. Apatah lagi berkaitan maruah seseorang.” Noh Daniel bersuara tegas. Megat Hariz termalu dengan lawak bodoh sendiri.

Sedang mereka menikmati hidangan makan tengah hari mereka sambil berborak kosong, Nadia teringatkan mesej terakhir yang diterima malam dia mula menyoal Suraya. Telefon terus dikeluarkan.

“Awak hantar gambar kami berdua dalam hotel guna telefon ni kan? Jadi Suraya ada gambar kita keluar hotel? Tengok ni...” Noh Daniel mengambil telefon Nadia, membelek seketika sebelum menunjukkan kepada Megat Hariz.

“Awak tak rasa yang kita tak selamat sangat dengan rancangan kita?” Soal Nadia sedikit gusar. Noh Daniel berfikir sejenak sebelum menggeleng.

“Tak. Tak payah risau. Dah sebulan selepas kejadian tu. We are married Nadia. Nothing to be scare anymore. Yang kita paling takut gambar seksi kita tu terlepas. Sekarang semua kita dah padam. Jadi takut apa?” Noh Daniel begitu yakin.

“Gambar dekat hotel tu? Kalau Suraya bagi dekat Anuar lepas tu Anuar masukkan dalam group?” Nadia menambah. Mencari jalan supaya Noh Daniel tidak meneruskan rancangan yang seterusnya dengan begitu cepat.

“Biarlah.” Nadia terkejut. Mudahnya?

“Biar je?” Soal Nadia.

“Nanti saya akan jumpa Dekan Fakulti awak beritahu tentang kita. Pasal kawan-kawan yang dengki dengan awak tu, awak relax je. Saya nak ajar diorang sikit. Berani kutuk isteri saya.”

“Awak nak buat apa?” Nadia berdebar. Noh Daniel bukan boleh percaya.

“Sesuatu yang diorang akan kenang sampai tua. Mungkinlah.” Noh Daniel ketawa. Nadia berkerut.

“Tak naklah. Karang saya yang kena tahan malu dengan diorang. Awak dahlah pensyarah pujaan diorang. Tak nak!” Nadia bersuara, menentang. Noh Daniel ketawa. Megat Hariz yang berada di hadapan mereka ketawa.

“Korang dahlah tak nak kongsi rancangan korang. Lepas tu boleh bermanja-manjaan depan aku pulak tu. Meluatnya.” Megat Hariz menyindir.

“Eleh, dengkilah tu.” Noh Daniel membalas.

“Tak dengki langsung. Cuma geli pula tengok Noh Daniel yang garang dan serius jadi romantik dan sweet macam ni.” Megat Hariz ketawa. Noh Daniel sudah menarik muka. Nur Nadia turut ketawa.

“Nur Nadia, apa awak buat dengan Noh sampai dia senyum ja dari awal tadi?” Megat Hariz menyoal. Nadia memandang Noh Daniel yang sudah pun tersenyum-senyum.

“Entah. Tapi Encik Noh sekarang memang suka senyum sorang-sorang.” Jawapan yang membuatkan Noh Daniel ketawa kecil.

“Megat, kau tanya Nadia soalan macam tu memang dia tak boleh jawab. Cuba tanya soalan akademik cepatlah dia jawab.” Noh Daniel menyindir. Nadia menampar perlahan paha Noh Daniel. Suka sangat mengusik!

“Eloklah korang dua. Sesuai sangat. Tahniah atas perkahwinan. Bila kenduri?” Soal Megat Hariz.

“InshaAllah secepatnya sebelum aku fly. Patutnya aku fly hujung bulan ni tapi masalah ni tak selesai sebab kau lambat nak bagitau aku jadi dalam dua bulan lagi. Kiranya kenduri mungkin sebulan lagi? Nanti aku jemput.” Kenyataan yang keluar dari mulut Noh Daniel mengejutkan Nadia. FLY? Kenapa dia tidak tahu? Kenapa Noh Daniel tidak beritahu? Hati Nadia terusik.

“Aku minta maaf Noh. Memang salah aku.” Megat Hariz kesal, kesal tidak bertindak lebih awal. Kesal kerana terlalu mengikut kata syaitan.

“Its okay. Apa-apa tentang kenduri kitorang nanti aku maklumkan.” Ujar Noh Daniel tidak mahu memanjangkan cerita.

“Kau fly nanti bawak Nadia?” Soal Megat Haris. Nadia menggeleng laju, Noh Daniel ketawa.

“Nadia belum habis degree. Ada satu semester lagi tahun depan. Aku tinggal dia kejap. Tapi tak tahulah kalau-kalau dia nak stop kejap and ikut aku.” Noh Daniel seakan meminta keputusan Nadia ketika itu. Sesuatu yang mereka tidak pernah berbincang panjang. Nadia juga tidak pernah fikir akan hal itu. Tidak fikir sebelum ada sesuatu dalam hati mereka antara mereka berdua.

“Tak naklah. Saya nak habiskan dulu.” Nadia memberi jawapan. Noh Daniel sekadar mengangguk begitu juga dengan Megat Hariz.

“Kena tinggallah kejap.” Ujar Megat Hariz. Nadia sekadar tersenyum. Dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu. Bergolak seperti ada ribut dan taufan. Kenapa waktu-waktu begini semua ini berlaku?

 Setelah menghabiskan hampir empat jam bersama-sama, mereka mula meminta diri. Megat Hariz masih meminta maaf akan kesilapannya sebelum mereka berpisah di situ. Noh Daniel dan Nadia berjalan beriringan ke kereta.

“Kenapa saya tak tahu pun pasal awak nak fly hujung bulan ni?” Nadia mula menyoal.

“Surat saya terima dua hari sebelum kita terperangkap dekat hotel. Saya balik bincang dengan mama dan papa. Papa suruh saya tangguh kejap tentang study dan selesai masalah antara kita.” Noh Daniel menerangkan.

“Teruskan seperti yang awak rancang. Jangan tangguh-tangguh.” Ujar Nadia. Noh Daniel memandang Nadia. Dalam suara Nadia ada rasa suram. Wajah Nadia menunjukkan kesuraman. Noh Daniel menghela nafasnya perlahan.

“Balik kita bincang panjang-panjang ya. Don’t blame yourself Nadia. Saya akan tetap teruskan pengajian saya seperti saya rancang. Jangan risau.” Ujar Noh Daniel. Tangan Nadia dicapai dan digenggam. Nadia membalas genggaman. Mereka berjalan berpegangan tangan ke kereta. Diam tanpa suara, hanya hati yang berkata-kata.

Tanpa mereka sedar ada beberapa mata yang memandang. Pandang dengan penuh kejutan dan amarah. “Tak guna kau Nadia!”

to be continued ...
much love readers!
leave some comments!

No comments:

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders