Sunday, January 6, 2013

Cerpen : Biarkan Ia Pergi




Assalamualaikum.
cerpen pertama Januari 2013 ^^
janji dua cerpen satu bulan kan?
insyaAllah.
cerpen ni mungkin kurang memuaskan. apa2pun komen ye lepas baca.
much love readers!
(lega dapat pos satu cerita ^^)
++++

 

Laila Safiya menghempaskan pintu biliknya, terus berdentum kuat. Tubuhnya kemudian dihempaskan ke atas katil. Tudung yang masih di kepala, dicabutnya kasar lalu terus dilempar tepat mengenai pintu yang telah terbuka dari luar.

“Dah tua-tua buat perangai!” Marah Puan Sofia dengan perlakuan anak gadisnya itu.

“25 tahun tu kira tua? Mengarutlah ibu.” Laila Safiya membantah. Puan Sofia kemudian menghampiri anaknya yang berbaring di atas katil sambil memeluk teddy bear kesayangan.

“Yes! Old enough to get married.” Puan Sofia menegaskan kata-katanya. Laila Safiya bingkas bangun daripada pembaringannya. Wajah Puan Sofia dipandangnya dengan pandangan tidak puas hati.

“Ibu kenapa buat semua ni tanpa pengetahuan Laila?” Laila bersuara lirih. Puan Sofia menggenggam tangannya erat, senyuman diukirkan buat anak gadisnya itu.

“Muaz Saq’if tu baik, insyaAllah suami yang baik untuk Laila. Abah dah lama kenal dia.” Puan Sofia menerangkan dengan lembut dan berhati-hati. Dia sedar, salahnya juga kerana tidak meminta persetujuan anaknya terlebih dahulu terus sahaja dilangsungkan majlis pertunangan antara Laila Safiya dan Muaz Saq’if.

“Ibu, baik atau tidak belakang kira. Sepatutnya ibu tanya Laila dulu, ni tak. Ibu gesa Laila balik hari ni tanpa bagitahu apa-apa. Balik-balik terus kena sarung cincin. Teruk sangat ke Laila ni sampai kena paksa bertunang bagai ni?” Laila meluahkan perasaannya. Tak tahukah ibunya betapa dia kerisauan sepanjang perjalanan memikirkan masalah apa yang berlaku di rumah sehingga dia yang sedang menghadiri seminar dipaksa pulang sesegera yang mungkin.

“Ibu minta maaf, ibu tahu ibu salah. Tapi ibu takut Laila tak setuju, sebab tu ibu buat semua ni.” Laila ternganga, tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Sekarang Laila lagi tak setuju. Ni cincin ni, rasa nak buang aje.” Laila terus menanggalkan cincin yang tersarung di jari manisnya, Puan Sofia secepatnya menyarungkan kembali cincin itu ke jari anaknya.

“Laila, ibu minta satu aje. Laila setuju ye dengan pilihan ibu dan abah?” Puan Sofia terus mengharap.

“Sepatutnya ibu tanya Laila sebelum majlis ni.” Laila bingkas bangun dan terus ke bilik air. Sedari pulang tengah hari tadi dia belum membersihkan diri. Ini juga salah satu cara untuk tidak terus berlawan kata dengan ibunya. Dia tahu berdosa, tetapi hatinya yang terluka dengan apa yang terjadi hari ini siapa yang tahu?

“Laila, esok Muaz nak jumpa Laila. Pukul 9 pagi dia datang ambil Laila. Boleh ye Laila?” Puan Sofia bersuara dari luar pintu bilik air. Laila yang berdiri di hadapan cermin mengeluh lemah. Pili air dibuka, tidak mahu mendengar apa-apa lagi.

++++++++++++++++

Laila Safiya mendiamkan diri sepanjang perjalanan itu. Muaz Saq’if di sebelahnya langsung tidak dipedulikan. Sesekali terdengar deheman Muaz namun tiada pula bicara yang keluar daripada bibir lelaki itu. 

“Saya tahu awak tak setuju dengan pertunangan kita.” Muaz bersuara sebaik sahaja melabuh duduk di kerusi berhadapan tasik. Laila yang membontoti langkahnya turut mengambil tempat di sebelahnya. Masih diam tanpa suara. Suasana yang tenang di Taman Tasik Bandar Darulaman tidak memberi kesan sedikit pun kepada ketegangan antara mereka berdua, malah lebih tegang!

“Majlis semalam awak langsung tak tahu kan? Mama saya cerita semalam, awak terpinga-pinga masa mak sarung cincin. Macam nak menangis pun ada.” Muaz bersuara lagi, bibirnya tersenyum lebar. Sesekali terlepas juga tawa kecilnya. Laila masih mencerot wajah, yang keluar hanyalah keluhan.

“Nak air? Saya belikan.” Suara Muaz selepas beberapa ketika mereka hanya berdiam diri. Kedinginan Laila Safiya membuatkan Muaz hilang kata, tidak tahu apa yang perlu dikatakannya walaupun sebelum bertemu Laila banyak soalan telah dirangka.

“Kenapa perlu formal macam ni? Dulu abang Qif tak macam ni pun?” Muaz Saq’if yang sudah berdiri terkaku dengan soalan yang keluar daripada mulut Laila. Abang Qif? Muaz kehairanan.

“Lima tahun, mungkin tempoh lima tahun tu buatkan abang Qif lupakan Laila. Tapi tidak bagi Laila. Hati Laila yang berdarah takkan pernah kering, tak tinggal parut tapi tinggal luka, luka yang sentiasa basah. Well done Muaz Saq’if, dalam lima tahun, nama Laila Safiya terus dilupakan, bukan hanya nama tapi orangnya juga.” Laila bersuara lagi, panjang lebar penuh dengan sindiran. Muaz Saq’if terpempan. Mata gadis itu yang berkaca membuatkan debaran hatinya kian rancak.

“Laila? Laila Safiya....” Muaz Saq’if bertutur perlahan, seolah-olah cuba mencari kembali nama itu di dalam kotak mindanya. Kenapa dia langsung tidak mengenali gadis itu? Siapa Laila Safiya yang sebenarnya?

“Laila, saya...” Muaz bersuara, Laila naik berang apabila lelaki itu masih bersikap formal dengannya.

“Stop it Muaz Saq’if! Jangan nak berlakon, tak payah buat drama. Untuk apa kau datang dalam hidup aku balik? Untuk apa?!” Tengking Laila penuh berang. Muaz Saq’if masih terpinga-pinga, seolah tidak memahami sepatah apa yang dikatakan oleh Laila kepadanya.

“Saya tak tahu Laila, saya tak kenal awak...” Laila semakin berang, beg tangannya dihempas kuat ke tubuh lelaki itu. Muaz Saq’if mengaduh kesakitan akibat pukulan itu.

“Aku benci kau dari dulu sampai sekarang sampai aku mati!” Pekik Laila seperti orang gila, air matanya sudah membasahi pipinya. Laila mula menjauhi meninggalkan Muaz Saq’if di situ dalam keadaan terpinga-pinga. 

“Siapa Laila? Siapa sebenarnya Laila Safiya?” Muaz berfikir sendiri, kepalanya yang sudah berdenyut-denyut kini semakin menyucuk sakit. Kedua-dua tanganya mencengkam kepalanya yang kian memberat, tidak lama kemudian dunianya menjadi gelap gelita.

“Cik...cik...” Panggil seorang lelaki yang berlari-lari anak ke arah Laila yang berdiri di tepi kereta. Sejak meninggalkan Muaz di tepi tasik, Laila berdiri di kereta menunggu lelaki itu. Kawasan ini payah nak dapatkan teksi, nak tak nak terpaksa menunggu lelaki yang amat dibencinya itu juga.

“Ya, kenapa?” Soal Laila setelah lelaki itu menghampirinya.

“Pakwe cik pengsan tepi tasik.” Ujar lelaki itu dengan termengah-mengah kerana berlari.

“Pakwe?” Soal Laila penuh kehairanan.

“Ala, lelaki yang bergaduh dengan cik tadi tu.” Lelaki itu menambah setelah Laila bermuka penuh hairan.

“Tunang sayalah.” Laila menutup malunya, nampak sangat drama swastanya diperhatikan orang. Malu!

“Apa-apalah, dia pengsan tu. Cepatlah!” Lelaki itu kembali berlari ke arah tasik. Laila Safiya terus sahaja mengekori dari belakang. Muaz Saq’if pengsan, sebab aku ke?

Setibanya di kerusi yang didudukinya tadi, sudah ada beberapa orang yang berkumpul di situ. Hati Laila resah, kenapa boleh pengsan?

“Muaz... Muaz...” Laila memanggil, tubuh Muaz digerakkannya sedikit. Orang ramai yang mengerumuni memandang.

“Cik bawa pergi hospitallah, bahaya ni.” Ujar seorang daripada lelaki di situ. Laila mengangguk, lalu meminta bantuan orang-orang di situ untuk mengangkat Muaz ke kereta. Laila terus sahaja memandu kereta itu ke hospital yang berhampiran, hatinya resah ditambah rasa bersalah. Ah! Lelaki itu yang lemah berdepan dengan kenyataan! Hati Laila terus membentak melindungi rasa bersalah dan risaunya.

++++++++++++

Laila Safiya memandang wajah orang tuanya yang kini berada di hadapannya. Laila Mundar mandir dari kiri ke kanan beberapa kali. Diari hijau itu terletak elok di atas meja di hadapan mereka. Laila menghela nafasnya, entah yang ke berapa.

“Kalau Abang Qif tak pengsan hari ni, sampai bila agaknya ibu dengan abah akan rahsia hal ni dari Laila?” Laila Safiya memulakan bicara, tangannya disilang memeluk tubuhnya.

“Abah pernah cuba nak cakap, tapi Laila selalu mengelak bila dengar abah sebut nama Qif.” Abah membalas penuh kelembutan, tahu anaknya itu sedang marah takkan perlu di tambah dengan amarah.

“Tapi kenapa tak cakap langsung dengan Laila, sampai terus tunangkan Laila dengan Abang Qif, sebulan lagi kami akan jadi suami isteri. Lepas dah nikah baru abah dan ibu dan beritahu semua?” Laila masih membentak hebat. Abah dan ibunya saling berpandangan.

“Memang macam tu kami fikirkan.” Ibu bersuara akhirnya.

“Ibu!” Laila terkejut, jangkaannya tepat.

“Kenapa abah dan ibu buat Laila macam ni? Sampai hati ibu dengan abah.” Laila akhirnya mengalirkan air mata yang sudah lama di tahannya.

“Qif perlukan Laila untuk kembali macam dulu. Dia lupa hampir keseluruhan masa silam dia. Abah yang tiga tahun jadi pensyarah dia pun dia lupa, mujur aje apa yang dia belajar dia tak lupa. Alhamdulillah, dalam waktu dia masih sakit dia dapat habiskan pengajian sarjana dia.” Abah mula bersuara, mahu menjelaskan keadaan sebenar kepada anaknya.

“Tapi apa kena mengena Laila dengan dia?” Laila masih dalam esak tangisnya. Puan Sofia hanya memandang kedua-dua insan yang disayanginya itu berbincang.

“He needs you. Dia ada jumpa abah dua bulan lepas, bertanya tentang seseorang yang bernama Laila. Abah mula tak tahu siapa Laila yang dimaksudkan Qif. Selepas abah bincang dengan ibu, abah dapat tahu Laila yang dimaksudkan Qif adalah anak abah, Laila Safiya.” Abah meneruskan penjelasannya.

“Ibu beri abah baca diari Laila yang ibu jumpa. Kenapa selama ni Laila tak bagitahu kami hubungan Laila dengan Qif?” Abah mula menyoal. Laila mengesat air mata yang masih mengalir di pipinya. Senyuman sinis terukir di bibirnya.

“Hubungan? Laila bertepuk sebelah tangan, Qif hanya seseorang yang Laila kenal secara singkat.” Laila bersuara dengan ketapan gigi menahan geram.

“Laila, abah baca semua dari awal sampai akhir. Sebab itu abah dan ibu aturkan majlis pertunangan ni. Abah nak Qif bertanggungjawab dengan apa dia dah buat pada Laila, dalam masa yang abah nak Laila kembalikan ingatan dia.” Abah bersuara, ada nada tegasnya.

“Abah... untuk apa dia ingat? Sekali dia ingat, Laila adalah orang pertama yang dia akan benci, benci macam mana Laila bencikan dia.” Laila bersuara lirih. Abah dan ibunya didekatinya lalu terus dipeluk kaki kedua-dua orang tuanya.

“Qif perlu tahu apa yang dia dah buat pada Laila, dia perlu bertanggungjawab. Sampai bila Laila nak simpan semua ni seorang diri?” Puan Sofia bersuara menambah sedu kepada Laila.

“Laila malu ibu, lima tahun Laila pendam seorang diri. Laila takut ibu dengan abah tak percaya macam mana Qif tak percayakan Laila.” Laila merintih sedih. Dr.Johan mengesat hujung matanya yang basah.

“Allahuakbar, salah Laila ataupun tidak. Abah dengan ibu perlu tahu Laila. Kalau abah tahu lebih awal, mungkin semua ni dah selesai.” Dr.Johan bersuara lagi. Laila Safiya menggenggam tangan kedua-dua orang tuanya, mencari kekuatan.

“Demi Allah, Laila tak bersalah. Laila mangsa waktu tu.” Laila bersuara bersama esakan. Ibunya menyapu air mata yang membasahi wajah anak gadisnya itu.

“Sekarang masa Laila betulkan apa yang salah, kembalikan ingatan Qif. InsyaAllah, semua akan kembali kepada yang lebih baik.” Ujar Puan Sofia, menasihati dan menunjukkan jalan terbaik untuk anaknya.

“Kalau sampai satu saat nanti, Qif menolak Laila. Laila harap abah dan ibu sentiasa di sisi Laila. Boleh ibu, abah?” Laila memohon sokongan. Tidak kuat untuk membongkar kembali masa silamnya, 5 tahun lalu. Dalam tempoh yang panjang itu, sedikit pun kisah hitam itu tidak pernah dilupakannya. Dipendam dan disimpan sebaiknya, tidak sangka akhirnya ia terbuka dan dia sendiri harus membongkarnya. Membuka rahsia hitam dirinya. ‘Ya Allah, berikan aku secebis kekuatanMu.’

+++++++++++

“Laila, hari ni abang balik awal sikit. Kita keluar ye.” Ujar Muaz Saq’if sambil menyarung sarung kakinya. Senyuman sentiasa terukir di bibir. Laila yang sedang menjinjit beg kerja Muaz sekadar mengangguk perlahan. 

“Lepas balik nak keluar terus ke?” Soal Laila, beg itu dihulurkan kepada Muaz Saq’if.

“Kita keluar teruslah ye, boleh?” Muaz masih dengan senyuman di bibir, terlalu murah dengan senyuman!

“Boleh aje, tapi make sure abang Qif call Laila dulu, boleh Laila siap terus nanti tak payah abang Qif tunggu lama.” Tangan Muaz Saq’if disalaminya penuh hormat. Muaz tidak lupa dengan kucupan hangat di dahi isteri yang dinikahinya dua bulan lalu.

“Abang macam dah kenal lama dengan Laila...” Ujar Muaz Saq’if perlahan, separuh berbisik. Laila Safiya hanya membalas dengan senyuman yang jelas, hambar.

“Abang pergi dulu, assalamualaikum.” Kereta Muaz kemudiannya dipandu keluar dari ruang garaj, terus hilang dari pandangan. Laila menghela nafasnya, penat. Penat untuk berpura-pura. Berpura-pura baik, berpura-pura ikhlas menerima. Hatinya masih terluka, hatinya masih berdendam, hatinya masih membenci lelaki itu. 

Laila Safiya meraup wajahnya beberapa kali. Entah alasan apa lagi yang harus diberikan kepada lelaki itu apabila soal tanggungjawab isteri ditimbulkan. Laila Safiya tidak mahu, tidak rela! Selagi Muaz Saq’if tidak mengenali siapa Laila Safiya sebenarnya, selagi itu Laila tidak akan mampu untuk menjadi isteri yang sebenar-benarnya kepada Muaz Saq’if. 

Kereta yang dipandu Muaz Saq’if menyusuri jalan raya yang agak sesak di awal pagi itu. Muaz Saq’if mengeluh beberapa kali. Dirinya sudah penat, penat untuk memikir cara memikat isterinya itu. Dia tahu, dia sedar isterinya itu masih menolak dirinya. Entah kenapa, sejak peristiwa dia pengsan di tasik Jitra tempoh hari, Laila Safiya terus sahaja menerima dia sebagai suami dan sentiasa berpura-pura gembira. Muaz Saq’if sedar akan itu, isterinya tidak pandai berlakon. Jauh di lubuk hatinya, dia seakan mengenali isterinya. Laila Safiya, nama yang sudah terbiasa di telinganya.

Kehadiran motor yang tiba-tiba melintas di hadapannya membuatkan Muaz yang mengelamun terus menekan brek dan memutar sterengnya ke kiri. Akibatnya dia melanggar tembok jalan, kepala terhantuk kuat ke stereng kereta. 

“Aduh...” Muaz Saq’if memegang dahinya yang terhantuk. Sakit, mujur tidak berdarah. Secara tiba-tiba, satu bayangan muncul di layar matanya, bayangan yang selalu mengganggu dirinya. Laila dan dirinya. Muaz memejam matanya beberapa saat, namun bayangan itu tetap muncul. Laila menangis, dia dengan wajah bengis. Tangan Laila yang mahu memegang tangannya ditepis kasar. Muaz memegang kepalanya yang kian berdenyut kuat. Bayangan itu tetap ada, suara tangisan Laila kuat di dengarinya.

“Encik...” ketukan di tingkap menyedarkan Muaz Saq’if yang masih terganggu dengan bayangan tangisan Laila Safiya. Muaz menurunkan tingkapnya sedikit.

“Encik tak apa-apa ke?” Soal lelaki itu kepada Muaz sekadar mengangguk, kepalanya masih terasa sakit. Lelaki itu kemudian memandang Muaz Saq’if lama.

“Muaz? Muaz Saq’if Bin Azhar?” Lelaki itu menyoal. Muaz terkesima, siapa lelaki ini? Bagaimana dia tahu nama penuh aku?

“Ya saya, siapa ye?” Muaz kembali menyoal.

“Long time no see! Muaz akulah ni, your best buddy Badrul!” 

Muaz Saq’if dan Badrul berbual lama di restoran itu. Kembali mengingati kisah mereka dahulu. Badrul mula bercerita panjang lebar selepas Muaz menjelaskan keadaannya yang telah kehilangan memori lamanya akibat kemalangan jalan raya lima tahun lalu.

“Aku fly pergi Perancis masa kita di tahun dua dekat U. Lagi pun aku pergi bawa hati, kaulah player sangat, aku nasihat kau buat dek aje.” Badrul masih bersisa ketawa. Muaz yang langsung tidak mengingati apa-apa yang mengangguk dan kadang kala mengerut dahinya.

“Kau bawa hati? Aku jahat sangat ke dulu?” Muaz Saq’if menyoal. Badrul terdiam.

“Kita gaduh besar. Pergaduhan pertama selepas dua tahun kita berkawan. Semua kerana Laila Safiya.” Ujar Badrul, mengenangkan kisah lima tahun dahulu.

“Laila Safiya?” Soal Muaz Saq’if kehairanan apabila nama isterinya disebut.

“A’ah, kau langsung tak ingat? Budak perempuan yang tergila-gilakan kau. Anak penasihat akademik kita, Dr. Johan. Setiap kali kelas ayah dia, mesti muka dia ada dalam kuliah. Rupa-rupanya dok intai kau.” Badrul ketawa mengenangkan angau Laila Safiya kepada kawannya yang terkenal dengan gelaran buaya kucing. Nampak baik, muka jambu tapi buaya!

“Maksud kau anak Profesor Johan?” Muaz Saq’if menyoal penuh curiga.

“Dah professor eh? Masa kita belajar dulu, dia baru dapat Dr.” Badrul mengangguk-angguk kepalanya. Sesekali airnya di sisip perlahan.

“Aku dah kahwin.” Ujar Muaz. Badrul tersenyum lebar.

“Mesti dengan Katherina, mat salleh celup tu.” Badrul meneka, dia mula ketawa besar.

“Katherina? Bukanlah, Laila Safiya isteri aku.” Muaz Saq’if bersuara, hampir membuatkan Badrul tersembur air.

“Laila Safiya isteri kau? Bukan dulu kau...” Badrul termati kata. Muaz Saq’if memandang Badrul dengan tajam.

“Aku nak kau ceritakan semuanya kepada aku. Semua cerita lima tahun dulu, sebelum kau fly ke Perancis. Aku nak tahu.” Muaz bersuara tegas membuatkan Badrul menelan liur, kesat.

++++++++++++++++

Laila Safiya kaget. Deruman kereta diluar membuatkan dia cepat-cepat berlari ke tingkap melihat siapa yang datang pagi-pagi ke rumahnya. Apabila melihat kereta Muaz, Laila Safiya kehairanan, awal sangat balik?

“Awal abang balik?” Soal Laila Safiya sebaik membuka pintu, tangannya dihulur seperti selalu namun ditepis kasar oleh Muaz. Laila Safiya terkedu. Pintu dihempas kasar oleh Muaz membuatkan Laila tersentak.

            “Kenapa ni?” Laila menyoal dalam ketar. Muaz Saq’if di hadapannya ini seperti Muaz Saq’if lima tahun dahulu, bengis dan kasar. Tidak menjawab persoalan itu, Muaz kemudiannya mencengkam lengan Laila kuat, lalu ditariknya kasar isterinya itu hingga terhumban ke sofa. Laila Safiya terketar.

            “Kenapa ni abang?” Laila Safiya menyoal lagi. Muaz Saq’if meraup kasar wajahnya, sesekali lelaki itu merengus kasar.

            “Kau dengan family kau dah tipu aku. Kenapa?!” Tempik Muaz, suaranya bergema seisi rumah.

            “Apa ni?” Laila menyoal, tidak faham dengan apa yang berlaku. 

            “Patutlah selama ni aku rasa aku kenal kau, patutlah kau tolak aku dua bulan ni. Rupanya kau perempuan yang dah kena tebuk. Perempuan kotor!” Tengking Muaz lagi, bergegar gegendang telinga Laila mendengarkan kata-kata itu. Laila bangkit berdiri tegak di hadapan lelaki itu.

            “Jaga kata-kata kau!” Laila Safiya memberi amaran. Muaz Saq’if tersenyum sinis.

            “Kenapa? Betulkan? Kau dah rosak! Patutlah ayah kau suruh sangat aku kahwin dengan kau, rupa-rupanya jadikan aku pak sanggup!” 

            “Cukup!” Tamparan itu kuat mengena muka Muaz Saq’if. Muaz tersentak. Laila memandangnya dengan pandangan yang berapi. Tubir mata gadis itu sudah berair.

            “Kau dah ingat semuanya? Dah ingat semua? Dah ingat? Kalau kau ingat, kau takkan salahkan abah dalam hal ni!” Tengking Laila Safiya. Muaz Saq’if terkesima.

            “Ye, aku tolak kau sebab aku ni dah tak suci. Ya aku dah kena tebuk. Tapi kau ingat tak siapa yang buat aku jadi macam ni, kau ingat?” Laila masih bersuara tinggi. Muaz Saq’if sudah terdiam dengan tangannya masih memegang pipinya.

            “Sekali pun kau kata aku takde maruah, kau ingat aku nak kahwin dengan kau? Aku rela hidup sendiri daripada hidup dengan orang yang dah rogol aku. Orang yang musnahkan zaman remaja aku. Aku bodoh sebab terlalu baik dengan kau, patutnya aku bunuh sahaja kau dari dulu, baru aman hidup aku!” Tempik Laila sepenuh hati. Laila mengambil kunci kereta di dalam laci kemudian terus melangkah keluar daripada rumah. Muaz ditinggalkannnya dalam keadaan terpinga-pinga. 

            “Hai abang Qif, baru nak balik ke?” Laila Safiya yang kebetulan melalui jalan itu untuk pulang ke rumahnya menegur Muaz Saq’if yang terduduk ditepi tembok. Muaz Saq’if tersenyum dan menggamit tangannya kepada Laila Safiya.

            “Laila... abang Qif lupa la jalan balik rumah abang Qif.” Laila Safiya terpinga, pelik dengan kelakuan Muaz yang tiba-tiba baik dengannya. Sebelum ini Laila langsung tidak dipandangnya.

            “Lupa? Abang Qif mabuk eh?” Muaz ketawa dengan mata yang kadang terbuka dan tertutup. Bau pelik yang terhidu membuatkan Laila Safiya berasa mual.

            “Abang Qif minum sikit aje...” Laila Safiya beristighfar.

            “Laila call Katherina ye, suruh dia hantar abang balik.” Laila mengajukan cadangan, namun membuatkan Muaz bertempik.

            “Jangan! Tu perempuan tak guna, dia dah tinggalkan abang.” Muaz Saq’if terus teresak menangis, kadang-kadang dia ketawa. Laila Safiya kecut. Telefon Muaz dicapainya, nombor Badrul cuba dihubungi, namun rakan baik Muaz itu kini di kampung. Laila tiada pilihan lain selain menghantar sendiri Muaz pulang ke rumah sewa lelaki itu.

            Laila Safiya memejam matanya erat. Mahu mengusir ingatannya kepada kejadian malam itu. Air mata yang sedari tadi sudah menunggu untuk jatuh kini mengalir perlahan di pipinya. Telefon bimbitnya di ambil, nombor abahnya di dailnya.

            “Abah, dia dah ingat. Macam Laila cakap dulu, dia akan bencikan Laila.” 

+++++++++++++++++

            Badrul memandang sahabatnya itu yang memundar mandir dari tadi. Sesekali Muaz mengeluh berat.

            “Aku tak ingat, tak dapat ingat.” Ujar Muaz Saq’if sebelum melabuh duduk di sofa.

            “Yang aku tahu, lepas kau kata bukan anak kau. Laila Safiya terus menghilangkan diri, kata Dr.Johan anak dia sambung belajar luar Negara.” Badrul menambah. Terkejut juga dia apabila menerima panggilan daripada Muaz yang menyuruh dia datang ke rumah dengan segera. Sudahlah di restoran pagi tadi dia ditinggalkan begitu sahaja, cerita pun belum habis.

            “Kenapa kau lari ke Perancis?” Muaz menyoal lagi. 

            “Kita gaduh besar pasal Laila...” Badrul terdiam, seperti mengingati sesuatu. Beberapa saat kemudian dia memetik jarinya kuat sehingga keluar bunyi.

            “Sebulan sebelum Laila cakap dia pregnant anak kau, kau baru putus dengan Katherina. Ada satu malam Laila call aku dengan telefon kau, dia kata kau mabuk. Tapi aku tak dapat nak tolong sebab aku balik kampung masa tu. Aku percayakan Laila masa tu, sebab aku yakin Laila bukan perempuan yang bukan-bukan. Masa tu mood kau kucar-kacir, kau tak mengaku dan tuduh aku macam-macam. Sebab sebal dengan kau, kebetulan dapat tawaran sambung belajar ke Perancis aku terus terima.” Ujar Badrul panjang lebar.

            “Aku mengandungkan Laila?” Badrul menjungkit bahu. Muaz Saq’if mengeluh kasar. Wajahnya diraup beberapa kali.

            “Kenapa aku tak ingat satu pun ni?!” Bentaknya, marah. Telefon bimbitnya kemudian berdering. Nama yang tertera membuatkan dia menarik nafas sedalamnya.

            “Abah.” Suaranya sebaik talian disambungkan.

            “Laila beritahu abah, Qif dah ingat. Alhamdulillah. Abah harap Qif selesaikan baik-baik dengan Laila. Kalau pun akhir nanti Qif bencikan Laila, abah harap Qif pulangkan Laila dengan baik kepada abah sebagaimana abah hantar dia kepada Qif.” Muaz diruntun bersalah mendengar kata-kata daripada mertuanya itu.

            “Bah, Qif sebenarnya....” 

            “Abah tak marah. Abah juga silap kerana tak berterus terang. Abah cuma harap Laila kembali kepada Laila lima tahun dulu, begitu juga dengan Qif. Itu aje yang abah minta. Abah minta maaf, Assalamualaikum.” Talian terus dimatikan, sebelum sempat Muaz Saq’if berkata apa-apa. Muaz dilanda rasa bersalah, dia terlalu ikutkan hatinya. Terlalu ikutkan ingatannya yang sedikit itu. Muaz mengeluh lemah.

            “Kau salahkan Laila atas perpisahan kau dengan Katherina. Sebab itu juga kau bencikan Laila Safiya.” Badrul menambah sebelum meminta diri untuk pulang. Muaz tersandar lemah. Kepalanya dipegang dengan kedua-dua tangannya. Sesekali kepalanya diketuk perlahan dengan penumbuknya sendiri. Dia mahu memorinya lima tahun dahulu kembali, mungkin dengan itu masalahnya ini akan selesai.

+++++++++++++++++++

            Sudah seminggu Laila langsung tidak pulang. Muaz mengerti, dia yang bersalah. Terlalu cepat membuat andaian, sehinggakan melukakan hati orang yang di sayanginya. Mahu atau tidak, Muaz perlu mencuba. Hari ini dia akan ke rumah mertuanya untuk bertemu empat mata dengan Laila Safiya. Hari ini juga, dia akan meminta isterinya itu menceritakan semuanya kepada dia. Cerita yang telah hilang daripada memorinya.

            “Anak abang Qif, percayalah. Laila tak tipu.” Laila Safiya sudah teresak menangis. Tangan gadis itu yang mahu memegangnya ditepis kasar.

            “Hey Laila! aku tahu kau sukakan aku. Tapi bukan cara ni, aku tak pernah sentuh kau, macam mana pula aku mengandungkan kau!” Muaz Saq’if menafikannya membuatkan Laila semakin lebat mengalirkan air mata.

            “Demi Allah, ini anak abang Qif. Tolonglah abang Qif, percayalah.” Laila Safiya terus menerus merayu. Katherina yang berada di situ, sudah panas telinga.

            “Hey Qif, just be responsible okay.” Ujar Katherina, kemudian terus melangkah pergi. Muaz Saq’if tidak dapat menahan Katherina daripada pergi dan itu menyebabkan dia begitu membenci gadis yang sedang menangis di hadapannya ini.

            “Kau dengar sini Laila, sampai mati pun aku takkan mengaku anak ni anak aku!” Tengking Muaz sebelum meninggalkan Laila yang berendam air mata. 

            Muaz meraup wajahnya. Mimpi itu sudah beberapa kali muncul dalam tidurnya, sejak sebelum menikahi Laila Safiya lagi. Mimpi yang sering mengganggu hari-harinya. Disebabkan mimpi ini juga, dia ditemu dengan Laila Safiya melalui Dr. Johan, ayah mertuanya.

            Dr.Johan dan Puan Sofia mempersilakan Muaz Saq’if untuk masuk ke rumah. Selepas berbual beberapa minit, Dr Johan menyuruh Muaz bertemu dan berbincang sebaiknya dengan Laila yang berada di ruang taman di belakang rumah.

            Laila Safiya yang berada di atas buaian besi, kelihatan merenung jauh. Kakinya dipeluk erat ke tubuh. Sesekali dia mengesat air matanya yang mengalir di pipi.  Perlahan-lahan Muaz melangkah menghampiri Laila Safiya. Sebaik sahaja kehadirannya disedari Laila, laju sahaja Laila cuba melarikan diri. Muaz lebih cekap menahan, lengan Laila di pegangnya erat.

            “Kita bincang.” Ujarnya pendek. Laila masih mendiamkan diri. Muaz menarik tangan Laila supaya kembali duduk di buaian itu. Laila Safiya hanya menurut tanpa langsung bersuara. Muaz Saq’if turut melabuh duduk di sebelah Laila.

            “Abang belum ingat semuanya. Abang minta maaf sebab berkasar dan kurang ajar semalam.” Muaz memulakan bicara, menyesali keterlanjuran kata-katanya. Laila masih bersikap dingin.

            “Hari ini abang harap kita dapat bincang dengan baik dan abang harap Laila boleh ingatkan kembali kepada abang kisah lima tahun dulu.” Muaz menambah lagi, dibiarkan Laila mengambil masa untuk bersuara. Namun setelah beberapa minit Laila masih berdiam diri.

            “Laila...”

            “Apa yang abang nak tahu?” Laila akhirnya bersuara. Muaz tersenyum.

            “Siapa Laila Safiya kepada Muaz Saq’if?” Muaz terus sahaja menyoal. Laila tersenyum sinis.

            “Perempuan yang tak tahu malu. Mengejar lelaki yang langsung tak pandang dia. Perempuan kotor yang terdesak mahukan cinta sehingga menjerat lelaki yang dikejarnya dengan kandungan yang entah anak siapa.” Laila bersuara penuh kasar. Muaz mengerut keningnya sehingga bertaut.

            “Laila!” Muaz Saq’if berang.

            “Itulah Laila pada mata abang. Kenapa, salah?” Laila masih bersuara dengan sindiran. Muaz mengeluh lemah.

            “I’ve lost my memory. Please, jangan macam ni.” Muaz Saq’if memohon sepenuh hati.

            “Untuk apa Laila ingatkan abang kepada perkara yang akan buat abang benci Laila?” Laila menjawab dengan persoalan. 

            “Habis tu Laila nak abang cari sendiri? Laila nak abang buat andaian sendiri yang boleh buat abang bencikan Laila, macam tu?” Muaz melawan dengan kata-kata.

            “Tiada bezanya, abang akan tetap bencikan Laila.” Laila Safiya bersuara lirih. Sedangkan dahulu, sewaktu ingatan lelaki itu normal, dirinya sudah terhina. Kini, dia harus memburukkan diri sendiri? Tidakkah itu hanya akan menambah kebencian lelaki itu kepadanya. Bagaimana dia mahu meyakinkan lelaki itu bahawa dia tidak berbohong, ingatkah lelaki itu kepada kejadian hitam malam lima tahun lalu? Laila memejam rapat matanya, ngeri. Terlalu pahit untuk dikenang! Laila Safiya bingkas bangun dan terus sahaja melangkah.

            “Mana anak kita?” Muaz menahan Laila daripada terus melarikan diri. Laila terpempan dengan soalan yang diluahkan oleh Muaz itu. Laila memejam rapat matanya, mencari kekuatan.

            “Kita? Kalau ayah dia tak boleh terima, apatah lagi ibu yang mengandungkannya.” Ujar Laila senafas, melangkahnya terus diatur memasuki rumah. Muaz Saq’if terkedu. Benarkah apa yang dikatakan itu?

+++++++++++++++++

            Laila menangis semahu-mahunya. Hatinya yang terluka kini teruk berdarah. Kisah hitam yang disimpannya lama, kini terpaksa dibongkarnya. Persoalan demi persoalan yang dikemukakan Muaz tidak dapat dijawabnya. Laila malu, malu untuk mendedahkan aib sendiri. Hamil sebelum nikah, itu bukan perkara mudah, apatah bermaruah. Untuk menyalahkan Muaz Saq’if seratus peratus memang tidak sepatutnya, salah dia yang terlalu baik dan terlalu percaya. 

            “Laila... kenapa tak jelaskan semuanya pada Muaz nak?” Suara ibu dari muka pintu. Laila mengesat air matanya dengan jari jemarinya. 

            “Laila rasa tak perlu.” Jawabnya pendek. Puan Sofia menghampiri Laila yang berada di atas katil.

            “Sampai bila nak pendamkan seorang diri?” Laila menggeleng kepalanya. Puan Sofia mengeluh lemah. Sudah sebulan Laila di rumahnya. Muaz langsung tidak mahu diketemunya.

            “Qif ada dekat depan tu, semalam dia datang Laila tak nak jumpa. Hari ni takkan tak nak jumpa lagi?” Puan Sofia menyoal Laila yang masih bersisa tangis.

            “Laila tak suruh dia datang pun. Biarkan dia.” Laila bersuara lagi, dia sebenarnya tidak kuat untuk berdepan dengan lelaki itu. Soalan-soalan yang keluar dari mulut lelaki itu membuatkan luka dihatinya merobek lebih besar. 

            “Abah suruh Laila kahwin dengan Muaz Saq’if bukan nak buat Laila terseksa macam ni. Abah dengan ibu nak Laila kembali kepada Laila lima tahun dulu.” Puan Sofia bersuara, kali ini lebih tegas. 

            “Laila dah cakap dari awal, Laila tak setuju. Laila tak mampu ibu, hati Laila sakit setiap kali pandang muka abang Qif. Laila jadi sakit bu, Laila menyesal. Menyesal sebab cintakan dia. Sampai sekarang, hati Laila jahat dan semakin jahat. Semakin benci Laila dekat dia semakin kuat cinta Laila. Laila benci diri Laila bu, benci!” Laila menjerit sekuat hatinya. Mahu bebanan yang tersimpan di dalam dirinya hilang dalam sebuah keajaiban. Puan Sofia menarik anaknya ke dalam pelukan. Dia cuba memujuk anaknya itu, memahami kesakitan yang dilalui Laila Safiya.

            Dari balik pintu, Muaz Saq’if mendengar segalanya. Hatinya diruntun rasa bersalah. Namun dia masih keliru tentang dirinya yang dahulu. Bagaimana dirinya lima tahun lalu? Jahatkah? Kejamkah dia kepada Laila Safiya sehinggakan gadis itu terseksa sebegitu rupa? Muaz Saq’if mengeluh perlahan, dia perlu mencari jawapan. Kalau bukan melalui Laila Safiya, tentu sahaja daripada rakan-rakan Laila dan kawan-kawannya lima tahun lalu.

            “Aku dah try contact kawan baik Laila dulu. Tapi semua tak kenal kau. Yelah Laila bukan study satu U dengan kita, dia kenal kau sebab Dr.Johan aje kut.” Jelas Badrul, tangannya masih ligat di telefon.

            “Kawan-kawan kita ada yang tahu pasal aku dengan Laila?” Muaz yang sudah serabut terus menerus menyoal Badrul sedari tadi.

            “None! Aku aje yang tahu. Yang lain semua tahu kau dengan Katherina aje.” Ujar Badrul. Kedua-dua mereka saling berpandangan.

            “Katherina!” Suara mereka serentak. Katherina ada sewaktu Laila bertemu empat mata dengan Muaz Saq’if untuk mengkhabarkan tentang kehamilannya. Badrul dan Muaz terus sahaja mencari cara untuk menghubungi Katherina.

            “I dah lupa. Cerita lama, mana I nak ingat.” Katherina akhirnya berjaya dijejaki dua sahabat itu. Mujur sahaja mat salleh celup itu tidak terbang ke luar negara, kalau tidak jenuh juga mahu mencarinya.
            “Please remember, I beg you Kat...” Muaz Saq’if merayu.

            “You masih tak berubah ye Muaz, suka merayu.” Katherina ketawa sinis. Muaz Saq’if menahan sabarnya. Kalau ikut hati mahu sahaja ditengkingnya gadis tidak cukup baju di hadapannya ini.

            “Laila Safiya... I jumpa dia sekali aje, itu pun waktu kita break up and that was the last day I met you before I fly to New York.” Ujar Katherina masih angkuh.

            “Okay, masa tu you dengar apa yang Laila beritahu I kan? Boleh you rewind balik? Ceritakan semua dekat I.” Muaz Saq’if semakin mendesak. Katherina berdecit kecil kurang senang dengan desakan Muaz Saq’if, air minumannya disisipnya sedikit. Jarinya digoyang-goyang, lagak seperti kembali mengingati kejadian lima tahun dahulu.

            “She’s just crying and kept telling you that she’s pregnant and it was your baby. Hal itu I jadikan alasan kuat untuk putus dengan you. I wonder whether if you really made her pregnant.” Katherina cuba menceritakan kembali apa yang terjadi mengikut apa yang diingatinya.

            “Jadi dia memang mengandung waktu tu?” Muaz menyoal seperti tidak percaya.

            “I don’t know, Laila yang cakap macam tu. You tak mengaku, you menafikan itu anak you. FYI Muaz, sepanjang kita bercinta dahulu, buat I percaya yang itu bukan anak you.” Katherina bersuara dengan senyuman sinis.

            “Why?” Muaz kembali menyoal.

            “You alim-alim kucing. I yang seksi ni you tak tergoda sikit pun, walhal I girlfriend you. Jenuh I goda you, tapi tak jalan. That’s why I naik boring, so I’ve left you.” Katherina bersuara angkuh tanpa rasa malu atau segan. 

            “So Laila menipu?” Muaz Saq’if kian berserabut.

            “Entahlah, kalau secara kasar ikut mata I. Mungkin la dia tipu. Tapi kalau tengok Laila tu, tak nampak macam perempuan jahat pun. But don’t judge a book by its cover right?” Ujar Katherina, sesekali kentang goreng yang terhidang dikunyahnya. Muaz Saq’if semakin berserabut. Namun mimpi yang sering mengganggu tidurnya itu sudah terjawab. Kiranya itu ingatan lamanya, bukan mimpi biasa.

            “Alah, apa susah, buat DNA test. Sedangkan baby dalam perut pun kita boleh buat testkan?” Katherina bersuara lagi sebelum mereka berpisah. Muaz Saq’if sekadar mengangguk, menerima baik cadangan gadis itu. Fikirannya semakin serabut, berbagai andaian telah mula bermain dalam kotak fikirannya. Siapa yang harus dia percaya? Siapa lagi harus disoalnya? Laila Safiya, hanya gadis itu punya jawapannya. Muaz Saq’if tertekan antara cinta dan kisah lama!

++++++++++++++

            Muaz Saq’if memandang wajah Laila Safiya di hadapannya. Pandangan seribu makna. Hanya ini caranya, larikan Laila Safiya jauh daripada manusia lain. Biar hanya dia dan Laila berdua, menyelesaikan kekusutan yang ada. Laila Safiya masih memberontak, masih tarik muka dan seperti sebelumnya, Laila Safiya masih berendam air mata.

            “Sekarang hanya ada abang dan Laila. Malam ni, abang harap sangat-sangat Laila beri kerjasama. Kita selesaikan masalah ni ya sayang....” Rayu Muaz Saq’if kepada Laila Safiya. Ayat akhir yang keluar dari bibir lelaki itu membuatkan Laila yang mulanya memaling wajah terpaling terus memandang ke arah Muaz.

            “Please sayang, demi hubungan kita. Demi masa depan Laila, masa depan abang dan masa depan kita berdua. Abang dah cuba cari jalan untuk kembali ingat apa yang terjadi, semuanya tidak membantu. Yang abang dapat hanya memburukkan nama sayang, semuanya menyalahkan sayang. Abang yakin, sepenuh hati abang, sepenuh cinta abang yang sayang tak bersalah. Abang, abang yang mulakan semua ini kan?.” Muaz Saq’if merayu lagi, tangan Laila dicapainya, lalu dikucup lembut penuh kecintaan.

            “Laila Safiya, abang mungkin tak ingat sayang lima tahun dahulu. Tapi sewaktu abah tunjukkan gambar sayang kepada abang tiga bulan lepas, abang sudah jatuh cinta. Sewaktu kita bertemu empat mata selepas bertunang, cinta abang kian bertambah, namun abang tahankan. Abang mahu cinta ini mekar selepas kita nikah. Alhamdulillah, Allah izinkan. Abang mencintai isteri abang, Laila Safiya sepenuh hati abang. Jika lima tahun dahulu abang pernah melukakan hati Laila, abang minta maaf. Jika lima tahun dahulu abang rosakkan hidup Laila, ampunkan abang, Jika abang membuatkan hidup remaja Laila musnah, hukumlah abang, abang rela asalkan Laila maafkan abang.” Muaz Saq’if memulakan bicaranya meluahkan cintanya kepada Laila Safiya. Laila Safiya yang mendengar kejujuran suaminya itu terhinjut bahu menahan tangisan. Air matanya terlalu murah. Hatinya berdetak sendiri, Allah inikah anugerahMu atas kesabaranku selama ini?

            “Kalau pun apa yang Laila bongkarkan tentang kita lima tahun dahulu. Cinta abang kepada Laila takkan berubah sedikit pun. Cinta abang kepada Laila kerana Allah, Laila anugerah Allah kepada abang.” Genggaman Muaz berbalas akhirnya. Laila memandang wajah Muaz Saq’if dengan mata yang bertakung berat air mata. Dalam sedu, Laila mula berbicara.

            “Laila yang bersalah, abang waktu tu dalam keadaan tak sedar. Abang mabuk. Laila cuba pertahan diri Laila, tapi sekuat mana mahu melawan abang yang dalam pengaruh air syaitan tu. Laila yang bersalah, sepatutnya Laila biarkan sahaja abang di tepi jalan tu. Tapi sebab buta kerana terlalu cintakan abang, buat Laila jatuh kasihan. Laila yang salahkan?” Laila bersuara dalam tangisannya. Muaz Saq’if mengeratkan lagi genggaman tangannya.

            “Laila yang salah, kerana cinta, Laila kejar abang. Jenuh abang larikan diri, tapi Laila tak tahu malu tetap melekat pada abang. Mana abang pergi Laila akan ada, dalam hati Laila, Laila hanya mahu abang nampak Laila. Laila sangka, kalau abang selalu nampak Laila dan kalau Laila tak putus asa kejar abang, mungkin abang akan jadi milik Laila. Laila salahkan?” Laila Safiya terus menerus menyalahkan dirinya. Muaz Saq’if menggeleng laju, tidak mahu isterinya itu terus menyalahkan dirinya.

            “Abang yang salah, sebab tak kenal dengan Laila dari dulu. Semua ini bermula dari abang, tapi sekarang satu pun abang tak ingat.” Muaz Saq’if bersuara lirih.

            “Laila harap abang tak ingat apa yang apa abang hilangkan dari ingatan abang.” Kata-kata Laila itu membuatkan Muaz tersentak.

            “Tapi kenapa?” Muaz menyoal, hairan. Tidakkah isterinya itu mahu dia kembali seperti sedia kala.

            “Untuk apa abang ingat? Untuk kembali membenci Laila? Apa yang abang hilang itu yang sebabkan abang ada di depan Laila. Kalau ingatan abang tak hilang, abang rasa abang akan cintakan Laila sebagaimana yang abang luahkan tadi?” Muaz terdiam, bicara Laila itu ada benarnya. Muaz mengeluh perlahan.

            “Laila pada mata abang dulunya seperti lalat yang tiba-tiba menghurung. Datang tidak berjemput, berapa kali dihalau tetap menghurung. Akhirnya perlu dibunuh, bila mati baru tidak terseksa dengan gangguannya. Untuk apa Laila kembalikan ingatan abang, kalau kelak ia membunuh diri Laila?” Muaz terkesima, Laila berbicara sejujur hatinya. Mungkin benar, Muaz sendiri lupa siapa dirinya yang dulu, bagaimana dia yang dahulu.

            “Jadi Laila mahu abang yang sekarang?” Muaz menyoal. Laila menarik nafas sedalamnya.

            “Laila dah ceritakan apa yang berlaku antara kita, sama ada abang mahu percaya atau tidak, terpulang. Mungkin suatu hari nanti abang akan kembali mengingati semuanya, saat itu mungkin abang akan ada jawapan yang pasti samada terus membenci atau mencintai.”

            “Maksud Laila?”

            “Kalau diberi pilihan, Laila akan terus simpan apa yang Laila sembunyikan selama ni. Ini apa yang Laila inginkan, cinta Laila jadi milik Laila. Mungkin seperti penting diri tapi jujurnya, ini yang Laila inginkan.” Laila terus bersuara.

            “Kalau betul Laila mengandung waktu itu, mana anak kita sekarang ni, tentu sudah besarkan?” Muaz menyoal lagi penuh mengharap, membuatkan Laila yang bersisa air mata kini kembali lebat berendam air mata. 

            “Kebencian abang pada Laila buat Laila tertekan. Penafian abang buat Laila semakin terseksa. Umur Laila baru 19 waktu itu, Laila tak tahu nak buat apa....” Laila tersedu, bicaranya mati.

            “Laila gugurkan?” Muaz mencelah, kurang sabar.

            “Laila tak sebodoh tu, bayi tu langsung tak bersalah. Laila sendiri tak bersalah. Laila sayangkan bayi Laila.” Laila pantas membidas.

            “Jadi, mana anak kita?” Muaz menyoal, tidak sabar.

            “Masa Laila jumpa abang, Laila mengandung dua minggu. Tubuh Laila tak kuat. Seminggu selepas Laila fly ke UK, Laila keguguran. Perubahan keadaan cuaca buat tubuh Laila semakin lemah, bayi tu tak dapat diselamatkan.” Muaz terduduk, rasa bersalah kian menghimpit dirinya.

            “Sejak hari itu, Laila bangun kuatkan diri. Laila anggap itu ujian terbesar Allah berikan pada Laila. Tipu kalau kata Laila kuat dan tabah, Allah yang kuatkan Laila sampai hari ini. Laila terima semuanya dengan redha dan pasrah. Laila ingat kisah hitam ni akan tersimpan dan takkan terbongkar sampai bila-bila tapi tak.” Laila menangis lagi, air matanya dikesat lembut Muaz Saq’if.

            “Maafkan abang.” Suara Muaz lirih. Laila tersenyum dalam tangisannya.

            “Cerita lama, Laila dah lama maafkan. Even masa abang nafikan bayi yang Laila kandung itu anak abang. Laila dah maafkan.” Muaz Saq’if menarik Laila ke dalam pelukannya. 

            “Maafkan abang, kerana mengambil masa yang panjang untuk mencintai Laila. Maafkan abang kerana membiarkan Laila terseksa sendiri.” Bisik Muaz perlahan di telinga Laila Safiya.

            “Laila jangan bencikan abang lagi.” Muaz berbisik lagi. Laila Safiya melonggarkan pelukannya.

            “Luka yang berdarah adalah kerana cinta tidak berbalas. Benci yang ada hanyalah kerana Laila terus mencintai walaupun ditolak beberapa kali. Tangisan Laila adalah kemarahan Laila kepada diri, kerana terus menyayangi Muaz Saq’if selepas apa yang berlaku.” Laila cuba menguntum senyuman dalam sisa tangisannya. Muaz Saq’if memegang muka isterinya lembut.

            “Kemalangan yang menghilangkan memori abang mungkin kerana kesilapan abang dahulu. Abang bersyukur pada Allah kerana hilangkan memori abang yang jadikan abang seorang yang kejam. Kalau memori abang itu ada, mungkin kita tak bersama, mungkin Laila masih terseksa. Terima kasih sayang, kerana terus mencintai abang walaupun selepas segala yang telah abang lakukan. Terima kasih.” Dahi Laila Safiya dikucupnya penuh kasih sayang.

            “Kalau memori itu kembali, akan abang pohon pada Ilahi agar tidak mengubah rasa sayang abang ini walaupun seinci. Malah akan abang pohon pada DIA agar terus menyemaikan kasih antara kita. Abang tak berani berjanji, tetapi abang akan cuba sebaiknya dengan izinNya.” Muaz Saq’if bersuara lagi, memohon keyakinan isterinya agar tidak ragu dengan cinta yang diluahkannya. Laila mengeratkan genggaman tangannya. Kepalanya diangguk perlahan menandakan dia juga mahukan yang sama. 

            “Kalau memori itu kembali, Laila akan sentiasa ada di sisi abang. Untuk pastikan abang yakin dengan apa yang abang ada sekarang tidak sama seperti yang abang ada dahulunya. Kebencian abang itu hanyalah kerugian berbanding apa yang kita ada sekarang, Laila janji dengan izinNya. InshaAllah.” Ujar Laila menambah dengan keyakinan yang tinggi. Sisa air matanya dikesat perlahan dan lembut Muaz Saq’if dengan jemari kasarnya. Senyuman dibibir mereka mula menguntum bahagia. Malam ini mereka menyemai cinta yang telah lama ada dalam hati. Malam ini mereka meninggalkan memori pahit yang memisahkan diri mereka selama ini. Malam ini mereka berjanji, cinta mereka sampai mati, sampai ke syurga nanti. Memori yang hilang itu, mereka putuskan untuk membiarkan ia pergi. 

Untuk apa kembalikan memori andai ia pahit dan memeritkan? Untuk apa kembalikan memori itu andai ia bisa memisahkan kasih yang telah terjalin? Untuk apa kembalikan memori itu andai ia membuat kita menangis tidak berhenti? Biarkanlah, biarkan memori itu pergi...
nurwateeqa@abc


17 comments:

Anonymous said...

sebak ~~~~~

Anonymous said...

good job! lama x nmpak =)

akubersamaCahya said...

tq.. bz siapkan novel ^^

Unknown said...

best n sedeh...segala nyer adelah pengorbanan.kekadang berkorban n terkorban dua2 wat kite terluka...itu lh harga cinta sanggup merendah diri demi memiliki nyer..so muhasabah lh diri..

Anonymous said...

Terbaek.....

Anonymous said...

Terbaek.....

mahanum abu bakar said...

best ...biarkn ai pergi....

nae nematoda said...

lain dari yg lain ... n mmg terbaik la :)

anis said...

suka...karya semakin matang...ayat y digunakan improve banyak..(^_^)

akubersamaCahya said...

terima kasih. usia semakin tua, so kena matang hehehe

terima kasih anis :) akan terus matang dr masa ke masa, insyaAllah akan terus tingkatkan diri n penulisan ^^

misza said...

suka baca karya² ABC...

asfiedaimpiana said...

nice, tp mcm ada plot2 yg longgar juga...hurmmm tp x tau celah mn..maaf yer ;)

akubersamaCahya said...

memang. abc sendiri dah ckp awal2 sebelum pos, mmg kena edit semula bagi mantap! hehehe ni cerpen satu malam n takde byk idea. tq for ur concern. really appreciated that! ^^v

ada said...

Best..

Anonymous said...

best gak bro....-iezahtakuya

Siti said...

Wow....
Bila nak ada cerpen baru

Siti said...

Wow....
Bila nak ada cerpen baru

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders