Monday, November 30, 2020

Mini Novel 2020: Muzikal Cinta 9

 



Bab 9

Nur Ayla menggerakkan perlahan-lahan buaian yang diduduknya. Hatinya tidak enak, tak sedap rasa. Berdebar. Semacam sahaja rasa ini. Semacam ada yang tidak kena. Sejak dia memaklumkan emak dan ayah tentang kedatangan Rashid petang ini untuk merisik dan bertunang, hatinya tak senang. Apatah lagi dengan kata-kata emak yang langsung tidak menyokong malah melemahkan semangat Nur Ayla.

“Orang tu tau dak pasai loqlaq hang tu?”

“Loqlaq hang tu dah macam sial hang jugak tau, habaq habih-habih sat lagi sekerat jalan macam si Malik haritu, buat malu aku ja.”

Kata-kata emak berpusing dalam kepalanya sentiasa. Loqlaq tu cuai, gopoh gapah, entahlah, entah kenapa orang yang terdekat dan yang paling disayanginya menganggap itu semua sebagai ‘sialan’ dirinya. Nur Ayla mengeluh lagi. Kekecohan di depan rumahnya membuatkan Ayla bangkit dari buaian dan mula mencari gerangan siapa yang bertempik-tempik di depan rumahnya.

“Mana Ayla makcik mana dia?

“Hang buat apa ni Malik?” Suara Ayah yang baru muncul dari tangga rumah. Emak sudah pun berada di hadapan Malik.

“Saya nak jumpa si Ayla dengan bakal tunang dia tu. Haa kata nak mai harini mana laki tu, aku nak habaq apa perempuan yang nama Ayla tu buat dekat aku.” Tempik Malik. Ayla yang memerhati dari belakang rumah tidak tunggu lama. Terus sahaja menghampiri Malik yang sudah macam orang gila!

“Aku kat sini. Awatnya?” Ayla mencekak pinggang. Ayah laju menuruni tangga dan menghampiri Ayla, risau Malik mengapa-apakan anak gadisnya.

“Haa ni Ayla awatnya?” Emak bersuara. Muka mak merah menahan marah. Mak memang tak suka kekecohan. Malu dengan orang kampung!

“Haaaa hang nak bertunang dengan orang Ipoh noh. Haha, awat orang sini tak mau kat hang dah ka?” Malik ketawa dan bercakap soalan entah apa-apa, sungguh macam orang tak waras.

“Lah, biaq pi la dekat aku nak bertunang ka kahwin ka dengan sesiapa pun. Asalkan bukan hang!” Ayla membalas, tegas dan tajam. Malik bengang. Tangannya sudah dihayun untuk menampar Ayla, namun ada tangan lain yang lebih kuat menahan.

“Eh, ada apa ni sedara. Perempuan kut tak kan nak pukul?” Entah bila, Rashid sudah terpacak di situ. Digenggam kuat tangan Malik. Akibat terasa sakit dengan genggaman Rashid, Malik menarik tangannya.

“Oooo hang la laki-laki hat nak mai bertunang dengan Ayla?” Malik menyoal, nadanya sinis, ada senyuman dihujung bibir. Senyuman penuh makna.

“Ya saya, Rashid.” Rashid menghulur tangan tanda berbahasa untuk berkenalan. Malik berdecit hanya menjeling huluran tangan itu.

“Hang ni dah pikiaq habih ka? Dah kenai habih si Ayla ni?” Ayla lantas mencelah, panas mendengar kata-kata Malik.

“Hang pi balik Malik, hal aku takdak kena mengena langsung dengan hang.”

“Awat takdak kena mengena, aku ni bekaih tunang hang. Aku nak dia ni tau sapa hang dan pasaipa kita putus.” Malik memandang Ayla tajam. Ayla mengerut dahi, tidak mengerti langsung apa yang Malik cuba sampaikan.

“Baru sekarang hang berani nak habaq kat orang pasaipa kita putus?” Tempelak Ayla, Malik hanya senyum penuh sinis.

“Aku nak bagitau dekat mak pak hang, dekat orang yang tak kenai hang ni, siapa Nur Ayla yang sebenaqnya.”

“Bagitau siapa aku atau siapa hang?” Ayla membalas. Rashid hanya diam tidak mencelah. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Hang ni Malik, pi balik, jangan dok buat kacau sini.” Ayah mencelah, tidak sedap hati.

“Sat saja. Kalau hampa semua nak tau, Ayla ni bukanlah perempuan baik. Tengok dia ni luaq memang elok tapi dah barai.” Ayla terbeliak mata memandang Malik, tidak sangka lelaki itu begitu jahat mulut!

“Pasaipa saya accident sebelum putus tunang dengan dia? Sebab dia kantoi dah main dengan laki lain, lepas kantoi dia bengang sebab aku kata nak putus tunang, terus dia tarik stereng kereta bagi kami accident, dia kata nak biaq aku mati!” Ayla berang. Laju sahaja dia menolak tubuh Malik sekuatnya. Malik ketawa.

“Hang memang jahat. Sejahat-jahat manusia yang aku kenai! Selama ni aku diam simpan aib hang, la ni hang fitnah aku?” Air mata Ayla sudah meramu keluar. Rashid dipandang mohon ruang untuk menjelas.

“Rashid saya bukan macam yang dia cakap. Dia tipu.” Ujar Ayla dalam tangisan. Rashid hanya diam.

“Takkanlah aku nak tipu, aku takut dia ni yang hang tipu!” Malik ketawa lagi dan terus berlalu pergi. Ayla cuba untuk menjelaskan tetapi terhalang dengan emak yang hendakkan penjelasan dan Ayah yang hanya beristighfar sedari tadi.

“Rashid…”

“Kita balik dulu Rashid, nanti kita bincang. Kalau semua baik-baik sahaja, kita datang, kalau tak…” Suara wanita pertengahan umur yang erat memegang lengan Rashid mematikan kata-kata Nur Ayla.

Nur Ayla memandang, memandang langkah Rashid yang menjauhi. Nur Ayla terasa jauh, begitu jauh dengan Rashid, dari jarak mereka kini dan juga dari hati. Nur Ayla terjelepuk ke tanah, menangisi nasib diri yang tak henti-henti diuji.

Suara emak yang memekik tak langsung kedengaran, telinganya seakan tuli. Air mata berhenti sendiri. Nur Ayla memandang ke depan, tiada lagi bayangan kereta Rashid dan keluarganya. Nur Ayla malu, malu tidak dapat menjelas kedudukannya sebenar-benarnya. Amarahnya memuncak, wajah Malik yang ketawa berulang tayang di depan mata. Nur Ayla terus bangkit dan terus memasuki keretanya. Kereta dipandu, namun tiada hala tuju. Ayah yang memanggil dibiarkan sahaja. Telinganya terasa berdesing kuat. Difikiran hanya ada wajah Malik yang ketawa dan wajah Rashid yang tiada riak. Nur Ayla tidak tahu, tidak tahu apa lagi yang ada untuk dia. Pedal minyak ditekan sekuatnya, mata dipejam rapat, Nur Ayla tekad, hilang dalam hakikat. Mungkin ini yang terbaik.

“ Kalau cinta kenapa pergi?”

“Bukan pergi selamanya…”

“Tapi bukan masa untuk pergi.”

“Terpaksa, kita terikat dengan orang tua.”

“Jadi, biarlah saya yang pergi, untuk selamanya.”

Mini Novel 2020 : Muzikal Cinta 8





 Bab 8

Ayla mengeleng. Sesekali matanya memandang ke arah Rashid yang ralit dengan gitarnya. Ayla sibuk menyiapkan tempahan dan produk untuk jualan. Sejak-sejak Ayla mengubahsuai kedainya menjadi mini kafe, makin kerap pula muka Rashid di situ.

“Kak dengan dia ada apa-apa ke?” Husna yang lalu dengan dulang di tangan menyoal. Mulutnya muncung menunjuk ke arah Rashid.

“Kawan.”

“Kawan untuk kahwin atau kawan tapi mesra?”

“Kawan ja.”

“Betul?”

“Lah... pasaipa dok tanya banyak ni? Cepat, tu ada customer.” Ayla tidak mahu melanjutkan perbualan. Tentu sahaja Husna naik hairan, hari-hari muka Rashid di kafe mereka.

“Ayla...” Rashid memanggil Ayla yang asyik mendeko kek yang ditempah. Ayla yang membongkok, membetulkan badan. Rashid dipandang tanpa ria.

“For you...” Ujar Rashid dengan senyuman. Tali gitar mula dipetik.

Jika 'ku radio dan engkau lagunya
Dan aku putarkan hingga semua terleka
Begitulah kita ditakdirkan untuk bersama

Jika 'ku air wudhuk mu
Menjadi seri mu
Dalam lima waktu

Jika kau kuat percaya
Akulah jodoh mu
Jaga mu selalu

Menarilah sayang di hari bahagia
Di bawah bulan bintang
Kasih kita berdua

Jangan bimbang sayang
Kita harungi bersama berdua selamanya
Sampai ke hari tua
Mencintaimu

 

Alunan lagu Aizat Amdan meniti telinga Ayla. Suara Rashid menenangkan. Ayla terleka seketika mendengar dan melihat Rashid mendengangkan lagu untuknya. Mungkinkah mereka akan sampai ke hari tua, bersama?

“Sedapkan suara dia. Akak dengan dia ada something ni... Husna dah boleh agak.” Husna menolak bahu Ayla perlahan. Ayla menjungkit bahu.

“Jangan jual mahal kak. Bila orang baik datang, beri peluang. Kalau memang bukan jodoh, tak apalah. Yang penting kita cuba, usaha.” Ujar Husna. Entah bagaimana, kata-kata itu membuka mata Ayla yang sengaja ditutup rapat dalam memandang keikhlasan Rashid yang bersungguh mahu mengenalinya.

“Kak takut, andai satu hari akak bagi dia peluang, sampai satu saat hati kak remuk. Akak tak sanggup nak lalui haritu. Kak nak cari bahagia yang selama ni kak tak rasa.” Ujar Ayla jujur. Husna memeluk bahu Ayla, digosok dan ditepuk lembut. Sejak mengenali Ayla, Husna tahu Ayla sangat kesunyian. Ayla menyembunyikan sunyi dengan sentiasa bekerja.

“Bila hari tu datang, kak kena redha. Maksudnya Allah tak izin untuk akak terus dalam suatu hubungan yang bukan milik akak. Kalau hari tu datang, akak ada Husna untuk Husna pinjamkan bahu ni, untuk akak sandar dan menangis. You have me, Kak Ayla.” Ayla memandang Husna. Seorang gadis belasan tahun, tetapi agak matang pemikirannya. Anak tunggal tetapi penuh kasih sayang.

“Terima kasih Husna.” Husna mengangguk kepala dengan senyuman. Sebelum dia menunjukkan ke arah Rashid yang menggamit Ayla. Ayla tidak tunggu lama, langkah terus sahaja diatur ke arah Rashid.

“Dah habis buat mini konsert Encik Rashid?” Soal Ayla, kerusi yang bertentangan ditarik dan terus dia melabuhkan duduk.

“Belum. Ayla...” Rashid bersuara, riaknya serius. Nada suaranya juga serius.

“Ya?” Soal Ayla, keningnya bertaut.

“Sampai ke hari tua dengan saya?” Ujar Rashid, sebentuk cincin diletakkan di atas meja. Ayla terkaku. Keras. Kepalanya juga, beku.

“Today is our last day, hari akhir berkawan. Jadi, kahwin jom?” Rashid bersuara lagi. Ayla masih diam. Cincin di atas meja dipandang tak berkelip. Lama. Kemudian, wajah Rashid yang sedia memandangnya di pandang.

“Saya belum ada jawapan.” Jujur Ayla. Cincin diambil dan dipegang dua jari.

“Saya tunggu.”

“Sampai berapa lama?” Soal Ayla.

“Berapa lama yang awak perlukan?” Rashid kembali memberi soalan. Ayla sekadar menjungkit bahu.

“Tak tahu,sebulan... setahun?” Ujar Ayla. Rashid menghela nafasnya perlahan, dia tunduk. Diam.

“Awak masih tiada rasa untuk saya Ayla?” Soal Rashid, nadanya lemah. Mungkin kecewa dengan Ayla.

“Saya perlukan masa.”

“Takkan sampai setahun, itu macam memang tak boleh terima saya.” Rashid meluah rasa. Ayla diam.

“Apa yang boleh saya buat untuk saya buat awak jatuh cinta dengan saya? Cuba bagitahu saya. Saya akan cuba buat apa yang boleh untuk awak tahu yang saya ikhlas dengan awak. Ayla, please?” Rashid mulai merayu. Hatinya risau, risau Ayla terus menolak dan akhirnya Ayla tidak menerima dia di dalam hatinya.

“Macam ni lah...”

“Saya tak nak dengar kata tak or no or apa yang membuat awak terus menolak tanpa beri saya peluang. Please, beri saya peluang, mencintai awak dan dicintai awak.” Rashid terus merayu akan peluang. Ayla menghela nafasnya, perlahan. Senyuman paling manis diukirkan.

“Macam ni...” Ayla bersuara, cincin yang dimain-main dijari, dipegang dan terus disarungkan di jari manisnya. Muat. Rashid memandang tak lepas.

“Awak bawak parents awak jumpa mak ayah saya di kampung. Kalau semua okay, kita kahwin.” Ujar Ayla senafas sebelum bangkit dan melangkah menjauhi Rashid yang diam dan masih tidak mengerti. Ayla tersenyum malu sendiri.

“Maksudnya okay? Yes? Ayla...” Rashid turut bangkit dari kerusi. Soalan demi soalan, Rashid tidak percaya. Ayla berjaya mengenakannya.

“Awak jangan tanya banyak-banyak satgi saya tukaq jawapan saya haa menyesai.” Balas Ayla yang masih tidak memandang Rashid.

“Okay-okay. Ayla, pandang la sini kejap.”

“Tak mau, saya malu.” Ayla ketawa kecil.

“Sekejap ja, Ayla...” Panggil Rashid. Ayla yang malu-malu, menarik nafas dalam-dalam dan terus memandang Rashid yang menanti.

“I love you...” Ayla ketawa dengan wajah memerah. Cuba, dia cuba membuka hati dan ruang yang ada untuk Rashid, yang bersungguh-sungguh mahukan dia. Cuba, Ayla cuba untuk mencari bahagianya.

“Euww apa ni....” Husna yang baru keluar dari belakang kedai membuat muka geli. Ayla ketawa, jari yang tersarung cincin diangkat tinggi. Husna terlopong.

“OMG!!!! Husna terlepas ke ni... wah....” Husna terlebih teruja, cincin di jari Ayla dibelek dengan penuh kegembiraan.

“Haa tapi, ingat eh encik, ni kakak kesayangan Husna, once you make her cry, ni... penumbuk ni boleh jadi senjata naa...” Husna memberi amaran. Rashid ketawa kecil, kepala dianggukkan sahaja.

“InsyaAllah, doakan kakak awak tak ubah jawapan dia. Risau dibuatnya.” Ayla mencebik bibir dengan jawapan Rashid.

“Boleh, tapi ni dah happy-happy ni tak ada lagu ka?” soal Husna. Rashid terus sahaja mengambil gitarnya. Tali gitar terus dipetik.

Usah bimbang tentang aku
Ku selalu di sisimu
Hapuskan rasa ragumu
Ku cuma ada kamu
Tenang rasa hati
Pabila engkau muncul lagi

Terima kasih cinta
Kau buat ku bahagia
Tanpa jemu dan lelah
Terima kasih cinta
Pintaku satu saja
Jangan pernah berubah

Hanya kamu satu saja
Tiada yang kedua
Di manapun engkau berada
Di sini masih cinta
Tenang rasa hati
Pabila engkau muncul lagi

Terima kasih cinta
Kau buat ku bahagia
Tanpa jemu dan lelah
Terima kasih cinta
Pintaku satu saja
Jangan pernah berubah

“Kenapa saya?” Ujar Ayla sewaktu Rashid menemani dia berjalan pulang. Walaupun sudah dilarang, lelaki itu mana pernah mahu mendengar.

“Sebab Ayla adalah Ayla.”

“Tak faham.”

“Ayla sentiasa menjadi Nur Ayla, tidak pernah sembunyi atau berpura-pura. Saya suka, senang saya nak tahu siapa awak.” Ayla mengangguk dengan jawapan diberikan.

“Kenapa saya?” Rashid menyoal Ayla dengan soalan yang sama. Ayla senyum.

“Sebab awak pilih saya.”

“Itu aje?”

“Kesungguhan dalam memilih saya untuk dicintai dan mencintai.”

“Terima kasih, terima saya.” Ujar Rashid. Mereka berdiri di hadapan rumah Ayla.

“Terima kasih kerana berusaha.” Jawab Ayla. Mereka saling berpandangan seketika sebelum melarikan pandangan masing-masing. Mereka ketawa, membelah sunyi antara mereka.

“Saya masuk dulu.” Ujar Ayla. Rashid mengangguk.

“Malam nanti saya call.”

“Malam ni lagu apa pulak eh?” Soal Ayla dari dalam pagar rumahnya. Setiap hari ada sahaja lagu yang dinyanyikan, sudah macam lagu untuk tidurkan Ayla.

“Nanti kan... lagu cinta dan gembira yang pastinya.” Balas Rashid sebelum melambai tangan dan melangkah pergi. Ayla tersenyum, senyum bahagia.

“Udah le tu, masuk rumah solat Asar pulak.” Husna menjelir lidah dari rumahnya. Ayla membalas. Cincin di jari diusap lembut, dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh membuat keputusan drastik begitu. Mungkin, dia juga mahukan apa yang dimahukan Rashid. Mungkin, mereka berkongsi rasa yang sama. Mungkin, mereka saling mencinta. Ayla tersenyum bahagia, moga bahagia ini selamanya. Selama-lamanya. 

Thursday, May 28, 2020

RAYA CARA KITA!


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2020!
RAYA CARA KITA, #COVeid #newnorm

Macam mana raya korang? Alhamdulillah Raya yang bermakna buat saya sekeluarga.
mula dari Ramadhan, terawih penuh 30 malam. puasa penuh 30 hari,beli luar boleh kira dengan jari.
akhir akhir ramadhan sahaja kami membeli. sebab dah taktau nak masak apa.

solat jemaah suami isteri, terawih yang paling istimewa dan membahagiakan.
mengeratkan cinta antara kami berdua dan anak anak.

solat sunat hari raya dan khutbah juga, suami berjaya imamkan. Alhamdulillah

Allah uji kita tapi kenikmatan dalam ujian yang berganda! Maka nikmat TuhanMu yang mana yang hendak kau dustakan???
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

rindu Ramadhan. sebab penuh kebaikan.
saya berjaya hampir 16 malam dengan tahajud, taubat dan hajat. harap Ramadhan seterusnya
akan lebih baik dan bermakna.

Hari Raya.
Malam raya, kami buat steamboat, bakar kambing dan satay.
Suami dah siapkan ketupat palas dan rendang ayam (my husband lagi hebat memasak)
saya diserang sakit kepala memang lemah habis, mampu siapkan cheesetart yang tak seberapa.
Alhamdulillah, lepas berbuka saya lebih baik. 

kami video call family yang jauh di Kedah, Kelantan.
riuh rendah di luar rumah. 

Jiran beri rendang daging dan ayam pencen, lemang sebatang.
haa baik jiran ni, jiran sementara sahaja. rumah mereka sedang dibina.
tak jauh dari sini.

nanti mereka pindah, tak adalah jiran yang suka bagi juadah. hehe

Raya pertama di rumah, ke rumah abang Ipar yang tak jauh. sebelum ni, sebelum COVID 19 melanda setiap kali Ramadhan pasti ada hari kami berbuka di rumah beramai-ramai. rindu pula. 

macam mana raya korang?

moga semua baik baik aje.

angka masih ada, moga kita diberikan kesihatan yang baik dan dijauhkan dari wabak yang menakutkan ini.

Raya Raya Jugak, jaga diri dan duduk rumah!

#stayhome #staysafe #togetherwefightagainstCOVID19

Wednesday, May 20, 2020

SIAL!

Salam 27 Ramadhan.
Road to Aidilfitri.

Sekejap sangat rasanya berpuasa tahun ini. selalunya keletihan ulang alik kerja, tahun ini istimewa walaupun dalam ujian, kerana saya dicuti dari pergi ke sekolah. akan tetapi, amatlah susah, bekerja/mengajar dari rumah. Hanya Allah juga Maha Mengetahui.

Berbalik kepada tajuk entri saya. Sial!

Apa itu sial? kenapa label orang sial? dan kenapa menulis cerita banyaknya berkaitan sial. kenapa eh?
Ada pembaca yang tanya, ada jumpa ke orang macam tu?

maksud sial


saya ada mencari maksud SIAL itu sendiri. orang yang selalu gagal, tak bernasib baik, tidak beruntung. itu antara yang dijelaskan tentang maksud SIAL. sebenarnya, tidak saya pernah berjumpa orang yang selalu mengungkap kata SIAL dekat orang akan tetapi secara tidak langsung, kadang kala di alam maya ada orang sebegitu. orang yang selalu menjatuhkan orang lain.

bagi watak Nur Ayla dalam Muzikal Cinta, tidaklah saya menekankan tentang SIAL tetapi saya cuba membuat wataknya seorang yang 'loqlaq' , kelam kabut atau clumsy. orang begini ramai dalam masyarakat kita, sama ada kita sedar atau pun tak.

sebelum ini watak lain pun tidaklah saya menekankan SIAL itu dalam cerita akan tetapi lebih kepada dibenci atau tidak disukai dan sebab sebabnya ada saya jelaskan dalam cerita itu sendiri.

orang suka melabelkan sesuatu keadaan yang tidak baik yang menimpa seseorang berulang kali dengan istilah SIAL. adalah tidak baik berkata begitu dan siapalah kita untuk melabel atau menentu nasib seseorang.

kalau dalam masyarakat Melayu, kalau selalu sangat 'malang' kena mandi bunga. mandi bunga bukan boleh buang 'sial' ya, ia lebih kepada menyegarkan badan dan minda kita. bau wangian bunga dapat memberikan ketenangan.

ada juga agama lain yang ada upacara buang SIAL, ikut kepercayaan masing-masing. siapa aje yang nak terus bernasib malang kan?

sebagai umat Islam, kita kena tahu, kegagalan atau kurang bernasib baik itu, bukanlah kerana kita ini SIAL. jangan pernah fikir macam tu! terima sebagai satu Ujian Allah yang nak kita terus dekat denganNya. siapa tahu, berkat usaha kita nak bangkit dari kegagalan tu, kita dikurniakan Syurga yang menjadi idaman.

Tak banyak nak kupas, benda ini adalah norma Masyarakat kita sahaja. ada sahaja tidak kena pada mata apabila kita tidak suka atau benci atau dengki dengan orang lain.



Tuesday, May 19, 2020

Mini Novel 2020: Muzikal Cinta 7


Bab 7

Seawal jam 5 pagi Ayla sudah pun bangun. Bersiap untuk solat dan menyiapkan tempahannya di rumah sahaja. 100 biji tart buah. 50 biji cheese tart telah pun disiapkan semalam sambil menunggu Rashid mengambil tempahan kek. Tidak disangka langsung, Rashid dan Ayla mungkin sering kali bertemu atau berselisih. Mereka tinggal di kawasan yang sama kerana tidak saling mengenali mereka tidak sedar, mereka telahpun berjumpa sebelum ini.

“Ya encik, boleh datang ambil jam 9.30 pagi. Saya dah siapkan semua. Okay. Jumpa nanti.” Ayla yang kelam kabut mahu ke kedainya, bersiap sambil menjawab panggilan pelanggan yang membuat tempahan. Jam di tangan dibelek sekilas. 8.00 pagi. Laju benar masa berlalu.

Ayla mengangkat semua barangan yang perlu dibawa ke kedai. Pintu rumah dibuka. Alangkah terkejutnya apabila mendapati Rashid sudah berada betul-betul di depan pagar.

“Hai, Assalamualaikum. Baru nak call, tengok-tengok dah keluar. Kuat jodoh ni.” Sapa Rashid dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya. Ayla menggeleng kepala. Parah!

“Buat apa pagi-pagi kat sini?” Ayla menyoal laju.

“Kut ye pun, jawablah salam dulu Cik Ayla.” Tegur Rashid sekadar bergurau.

“Waalaikummussalam. Ada apa kemari Encik Rashid? Awal pagi dah terpacak sini.” Ayla membalas, sambil sibuk memasukkan semua barangan ke dalam perut kereta.

“Saya tak nak bazirkan tempoh seminggu saya. Kebetulan, saya nak breakfast depan ni. Jom?” Ayla memandang ke arah Rashid sambil bercekak pinggang. Ayla pandang tidak lepas. Rashid mengangkat kening.

“What? Jom breakfast?” Rashid menyoal lagi. Ayla menggeleng laju, keluhan kecil dilepaskan.

“Saya dah breakfast. Saya nak cepat, nak bukak kedai, nak hantar kereta dan selesaikan order hari ni.” Ujar Ayla. Pagar dibuka, untuk mengeluarkan kereta dari garaj. Rashid mengangguk kepala, Ayla jual mahal!

“Saya tolong. Awak pergi bukak kedai, saya hantarkan kereta, lepas selesai customer awak ambik order tu, kita breakfast.” Rashid membuat rancangan.

“By that time, dah brunch Rashid. Awak pergi breakfast dulu, nanti kita jumpa di kedai saya. Boleh?” Ayla tahu, dengan Rashid dia tidak boleh terlalu menolak. Lelaki ini ada sahaja idea dan pusingan U turn yang tidak dijangka akan dilakukan. Macam pagi ini.

“Tak bestlah, saya nak makan dengan awak.” Rashid bersuara, lebih lembut dan perlahan. Ayla berdecit.

“Okay, saya pergi kedai, bukak kedai and settle a few things nanti saya join awak breakfast.” Ayla mengalah.

“No, nanti saya tunggu sampai berjanggut awak tak datang. Saya follow awak.” Rashid terus masuk ke dalam keretanya tanpa sempat Ayla membalas.

Ayla kemudian bergerak dengan keretanya ke kedai yang hanya beberapa meter dari rumahnya. Sebab itu, hari hari biasa dia hanya berjalan kaki ke kedai. Lebih cepat dan mudah.

“Dah berapa lama awak bukak kedai ni?” Ujar Rashid yang entah bila sudah berada di sisi Ayla yang sedang membuka kunci pintu kedai. Rashid membantu Ayla membawa barangan ke dalam kedai setelah pintu dibuka.

“Hujung tahun ni, Alhamdulillah 2 tahun.” Ayla tersenyum.

“Eh, pusing sini and senyum sekali lagi.” Ujar Rashid tiba-tiba membuatkan Ayla yang sibuk memasukkan semua tempahan ke dalam pendingin, berkerut seribu.

“No, jangan buat muka tu. Senyum macam tadi tu.”

“Mengarut apa ni. Lapar sangat la tu.” Ayla malas melayan. Rashid berdecit.

“Awak ada senyuman yang amat manis, lebih manis dari semua manisan yang awak buat tapi sayang... awak sembunyikan.” Ujar Rashid, dengan suara lelaki yang begitu romantis di telinga mana-mana wanita. Ayla menjungkit bahu.

“Kalau tak sembunyi nanti ramai semut ligan saya.” Ayla bergurau. Rashid ketawa nipis.

“Biar saya aje semut yang ligan awak ya, simpan senyum tu untuk saya aje, boleh?” Rashid bersuara lagi. Menguji hati Ayla. Ayla memandang dengan gelengan.

“Gelilah. Saya geli sweet-sweet ni. Ish... dah la, nak breakfast kan? Karang saya cancel naya ja awak lapaq.” Ayla mengambil tas tangannya dan bergerak keluar kedai. Rashid tersenyum lebar dan membuntuti langkah Ayla.

“Kaya ya awak ni?” Soal Ayla sewaktu mereka sedang menikmati makanan. Rashid menjungkit keningnya. Pandangannya beralih ke arah pandangan Ayla yang ralit memandang kereta yang diparkir di hadapan kedai Ayla.

“Ayah saya yang kaya, saya pinjam je kereta tu. Kan kereta saya dekat bengkel.” Ujar Rashid seakan memahami soalan Ayla tadi. Ayla mencebik bibir.

“Haa, berapa nak kena bayar kereta awak tu. Lama sangat nak bagitau. Awat, sampai 10k ka?” Sindir Ayla. Rashid ketawa.

“Amboi perli. Tak lah sampai 10k, kereta emas ke apa. Saya tengah fikirkan cara untuk awak bayar.” Rashid membalas.

“Bagi resit, nanti saya bayar. Nak cash atau tak bagitau ke.” Ayla menghulurkan tangan. Rashid yang nakal, cuba meletakkan tangannya di atas tangan Ayla. Ayla yang menyedari hal itu, laju sahaja menarik tangannya. Rashid ketawa lagi, Ayla pula cuak, berdebar hatinya.

“Saya nak awak belanja saya makan, sampailah selesai hutang awak tu dengan saya.” Ujar Rashid selepas Ayla mendiamkan diri kerana perbuatannya tadi. Keadaan menjadi janggal seketika.

“Berapa banyak? Macam mana saya nak tahu semua tu dah selesai atau belum. Boleh percaya ke awak ni?” Ayla mengecilkan matanya. Muka diseriuskan sehabisnya. Rashid tersenyum.

“Comel awak ni.” Ujar Rashid, membuatkan Ayla terus berpaling. Rashid suka usik hatinya!

“Saya tak akan tipu awak. Kalau saya bagitau jumlahnya nanti awak ....” Belum menghabiskan kata-kata, Ayla memberikan tanda supaya dia berhenti sebentar. Telefon Ayla yang berdering disambung panggilannya. Ayla menjawab telefon dan terus bangun dari kerusi dan bergerak ke kedainya. Ayla memberikan isyarat kepada Rashid bahawa dia ke kedai sebentar, Rashid hanya mengangguk kepalanya.

Setelah hampir 15 minit, Ayla kembali ke meja. Rashid waktu itu sedang membelek telefon bimbitnya.

“Alah.... dah sejuk.” Rungut Ayla selepas menghirup mee sup yang belum dihabiskan tadi. Rashid memandang.

“Order yang baru.” Ujarnya. Ayla menggeleng, sambil menikmati mee sup sejuknya.

“Membazir. Eh, ni untuk awak. Semalam kata nak makan.” Ayla menolak tart buah yang dibawa dari kedai. Rashid menguntum senyum yang kian melebar.

“Kata tak buat harini?” Soal Rashid sambil tangannya laju membuka bekas tart buah.

“Customer tadi order tart buah, saya buat lebih, special for you.” Ujar Ayla, sengaja mengusik rasa. Senyuman termanis diukirkan. Rashid terpana. Matanya tidak lepas memandang Ayla. Mata mereka bertentangan seketika. Lama kemudian masing-masing melarikan pandangan. Baik Rashid mahupun Ayla terdiam. Kejanggalan menguasai diri masing-masing.

“Jangan senyum macam tu dekat orang lain tau. Dekat saya je.” Ujar Rashid membelah kesunyian antara mereka. Ayla ketawa kecil.

“I am serious Ayla.” Rashid bersuara, tegas. Ayla mencebik.

“Kenapa pulak?”

“You freeze me, and saya tak nak ada lelaki lain yang jumpa atau tengok killer smile awak tu.” Ujar Rashid membuatkan Ayla tersenyum lagi dan lagi sehingga meletus ketawanya. Rashid bangkit dan menutup mulut Ayla dari tempatnya, tangannya terawang-awang di depan muka Ayla.

“Ish... orang tengoklah.” Ayla menepis tangan Rashid yang sedari tadi cuba menutup mulutnya.

“Dah kata jangan senyum, lagi dia senyum melebar. Senyuman awak hanya untuk saya. Ingat tu.”

“Sorry sikit eh, kan saya kata seminggu ni kita berkawan, bukan berkahwin. Bercinta pun tak. Saya milik mak ayah saya, milik Allah. Bukan milik lelaki bernama Rashid.” Ayla menepis.

“Not yet, soon...” Rashid membalas penuh yakin.

“Kun fa ya kun. Kalau Allah dah tentukan saya ni milik awak, masa tu barulah senyuman ni milik awak. Sekarang ia milik saya.” Ayla menjeling, tegas.

“Okay, soon to be mine.”

“We’ll see....” Ayla juga tidak mahu mengalah. Rashid tersenyum sahaja. Sengaja berbalah.

“Saya nak pergi hantar kereta, lepas tu nak urus kedai. Jom?” Ujar Ayla sambil membelek jam di tangan. Rashid terus sahaja membuat pembayaran.

“La kan kata saya kena belanja?” Ayla yang sudah mengeluarkan dompet, mengeluh besar.

“Takpa bukan sekarang.”

“Ini memang taktik awak ni, karang 100 kali keluar makan pun tak settle lagi la...” Rashid ketawa lagi, Ayla cepat menangkap gerak gerinya.

“Tau pulak ye. Tak apalah, kita mungkin akan keluar 100 kali lagi atau selalu dan kerap?”

“Haa tengok perangai dia, melampaulah awak ni. Saya serius tau nak bayar duit repair kereta awak tu. Jangan bagi saya berhutang. Please?”

“Jangan bagi saya harapan, please?”

“Laaa harapan pulak, siapa yang bagi harapan dekat siapa sekarang?” Ayla mencerlung marah.

“Jangan marah. Yelah saya aje yang beri harapan, awak tak...”

“Jangan ubah topik.” Tegas Ayla. Rashid menghentikan langkah, saat Ayla membatukan diri, tidak berganjak.

“Okay baik, saya akan bagi resit tu, tapi dengan syarat...”

“Apa syaratnya?”

“Jumpa mak ayah saya jom? Esok malam.” Ayla ternganga. Gila!

“Nonsense... biarlah berhutang. Bye.” Ayla melangkah laju ke arah keretanya, meninggalkan Rashid yang terkebil-kebil dengan jawapan Ayla. Ayla, seperti maksudnya. Indah dipandang, tetapi jauh untuk dicapai. Jadilah Rashid seperti pungguk rindukan bulan.

Selesai menguruskan hal kereta, Ayla kembali ke kedainya. Hari ini tidak banyak jualan. Hanya sekadar membuka kedai bagi membolehkan dia mengemas dan menyusun atur kembali kedai kesayangannya itu. Husna cuti hari ini, memenuhi kehendak Umi yang hendak ‘window shopping’.

“Ada pun hang!” Suara wanita itu menampar telinga Ayla yang asyik mengemop lantai. Hampir tersentak dibuatnya.

“Tak reti nak bagi salam dah ke?” Marah Ayla, Suzanna dan Megat mengambil tempat di meja kopi yang memang tersedia di situ. Ayla bercadang mahu ubah suai kedai menjadi sebuah kafe, tempat orang mengopi dalam gaya lebih moden. Urban kononnya.

“Assalamualaikum sahabat. Balik Ipoh takdak khabar berita.” Ucap Suzanna panjang.

“Waalaikumussalam. Ada apa tiba-tiba sampai sini, hang kan kata kek, pastri aku tak sedap, mai buat apa?” Ayla membalas. Kadang-kadang sakit hati dan amat terasa hati dengan kawan-kawan sendiri. Bergurau sampai tak jaga hati orang. Julia seorang lagi, selepas kes pelaminnya jatuh, dituduhnya Ayla sampai sekarang tak nampak muka. Putus kawan ke?

“Amboi perli. Aku mai sini nak tengok hang la. Balik dengan abang Rashid haritu senyap terus.” Ujar Suzanna. Ayla berdecit dengan senyuman sinis.

“Aku hidup lagi. Aku atau abang Rashid tak kemalangan, tak cedera. Tu yang hampa nak tau kan?” Ayla bersuara lagi. Suzanna dan Megat terdiam.

“Bukan macam tu Ayla, kami risaulah...” Megat cuba bersuara namun laju disekat Ayla.

“Tak payahlah berlapik Megat. Cakap terus depan-depan. Kalau kawan sendiri pun pikir aku ni sial, terus terang ja lah. Aku dah lali.” Ayla membidas.

“Hang ni, kami balik dari Kedah terus mai sini tau. Risau kat hang, mak hang pun kata hang diam ja lepas balik sini, tu ja.” Ujar Suzanna, serba salah.

“Aku sibuk. Bisnes baru nak bertapak kan.” Ayla menghabiskan kerjanya. Sedang mereka bertiga diam tanpa suara, Rashid masuk ke dalam kedai dengan 2 kopi di tangan.

“Hai, korang bila sampai?” sapa Rashid setelah melihat Suzanna dan Megat berada di situ. Megat dan Rashid saling bersalaman.

“Baru aje, terus datang sini jenguk Ayla. Mak dia bising dia tak call tak mesej. Risau apa-apa jadi.” Ujar Megat. Rashid mengangguk.

“Korang risau kami accident eh?” Rashid meneka. Ayla yang baru kembali dari belakang kedai tersengih hujung bibir. Sama tekaannya.

“Kan aku kata, tengok abang Rashid pun kata yang sama. Betul ke tak?” Ayla memeluk tubuh, Suzanna dipandang.

“You call me abang Rashid, awww sweet.” Rashid mengusik, dalam masa yang sama dia menghulurkan kopi kepada Ayla. Ayla berdecit perlahan.

“Diorang kan panggil awak abang Rashid. Bukan saya.” Kopi bertukar tangan. Rashid masih tersenyum lebar.

“Hampa dua ada apa-apa ka ni?” Suzanna mula meneka.

“Kami ...” Rashid mahu membalas tetapi Ayla lebih cepat memotong dan membalas.

“Tok sah ubah topik, betul ke tak hampa mai nak tengok apa jadi kat kami kan?” Ayla kembali memandang tajam ke arah Suzanna dan Megat. Suzanna mengeluh perlahan.

“Ye Ayla. Haa puas hati. Hang kan loqlaq. Risau la kami, dok senyap takdak berita.” Ujar Suzanna jujur.

“Awat tak call Rashid saja tanya.”

“Laa mana pi abang tu...” Rashid sempat mencelah dan mengusik.

“Ish.. mengada aih.”

“Hampa dua ni pasaipa? Aku rasa pelik.” Suzanna menyoal lagi.

“Tu lah, ada something between them...” Megat juga mengagak yang sama. Ayla dan Rashid saling berpandangan.

“Kami accident, tapi accident di sini.” Rashid laju membalas, tangannya menunjuk ke arah dada. Ayla terlopong, laju sahaja tangannya menampar kuat lengan Rashid. Geram! Suasana antara mereka menjadi kelam kabut, Ayla menafi dan Rashid pula beria mengiyakan hubungan mereka. Suzanna dan Megat hanya memerhati dan saling berpandangan dengan senyuman yang terukir di bibirnya.

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders