Friday, February 1, 2013

Melodi Cinta : Dosa




Pelita menyala
Bukan tiba-tiba
Ada yang mencucuhnya
Terang menerangi malam gelita

Salam Jumaat 20 Rabiulawal 1434. Sentiasa, sentiasa dalam doa solat fardhu saya meminta semoga hari depan lebih baik daripada hari yang saya tinggalkan semalamnya. Untuk apa? Untuk kehidupan yang lebih baik dari hari ke hari. Untuk hari ini yang muncul seperti biasa, laju dalam masa yang berlari jauh dari saya, saya tetap meminta yang sama. Meminta semoga saya lebih baik daripada sebelum-sebelumnya. Saya mahu menjadi lebih baik dalam payah yang saya lalui belakangan ini. Datanglah segala apa yang menguji, dengan adanya Allah dalam hati, di sisi. Saya mampu menempuh apa sahaja. Alhamdulillah. Yakinlah kepada Allah, segalanya pasti mudah. Yang payah menjadi terlalu mudah, yang sukar pasti takkan melelahkan. Percaya dan yakin. Usahalah sebaik-baiknya. Allahuma Ameen, Allah sebaik-baik penolong.



Semalam saya masih dalam belengu dosa yang payah untuk saya atasi. Allah, lemahnya hambaMu ini. Saya pernah beberapa kali berjanji tidak akan melakukannya, namun terus terusan melakukannya. Hati saya cuba menghalang, namun lincah sahaja nafsu mengatasi. Allah Allah Allah. Tidak guna air mata saya menangisi, kerna ada masanya dosa itu tetap saya lakukan. Tidak guna saya meraung, salah diri sendiri. Saya tertanya sendiri, sampai bila dosa itu akan terus saya lakukan? Keampunan Allah itu seluas langit walaupun dosa selautan. Namun sampai bila? Sampai bila saya akan terus mengulangi yang sama? Kerana Allah Maha Pengasih, jadi saya tidak getar? Allah! Ampunkan hamba...

“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi” (Surah an-Nisaa: Ayat 106)

Ada satu masa, saya malu untuk sujud kepada Allah. Malu, Allah memberikan apa sahaja yang saya mahu. Lambat atau cepat, pasti saya akan miliknya. Saya mahu DSLR, hati saya hari-hari mahukannya. Tahun lepas saya memilikinya. Saya mahu telefon yang lebih baik, sebaik habis konvokesyen saya perolehinya. Saya mahu kelas pertama dalam pengajian, Allah berikannya kepada saya. Saya diberikan apa sahaja yang saya mahukan, walaupun saya pernah memarahi Allah kerana menguji saya. Namun saya tetap diberikan apa yang saya pinta dariNya. Allahuakbar!

Wajar bukan saya berdoa saya mahu menjadi lebih baik daripada sebelumnya? Saya pernah mendengar, ada yang mengatakan, Orang yang mudah memperolehi apa yang dimahukannya adalah orang yang kurang dipandang Allah. Oleh sebab itu Allah terus sahaja memberikan apa sahaja yang diingininya. Saya takut, saya mahu Allah memandang saya, melihat saya, mencintai saya. Rindu akan rintih tangis saya. Allah Allah Allah.



Tidak ada manusia tanpa dosa. Bedanya besar kecil, sedikit atau banyak. Hasilnya terlihat di akhirat sana. Allah hamba takut, hamba tidak mahu ke neraka MU. Azabnya tidak tergambar oleh hamba, pedih perit sakit. Hamba tidak mahu. Jika di dunia ini hamba berjaya, mampukah hamba berjaya di akhirat sana? Mana yang akan hamba diami? Syurga atau neraka? 

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus) kepada kamu.” (Surah Hud: Ayat 3)

Saya masih mencuba, menerangi diri dengan kebaikan bukan lagi keburukan. Saya masih mencuba kembali mendekatkan diri dengan amalan-amalan wajib dan sunnah. Saya masih cuba berubah. Saya masih dalam usaha. Sesuatu yang terjadi dalam diri, bukan secara tiba-tiba atau tidak sengaja. Pasti ada yang memulakannya. Samada diri atau memang Allah sedang menguji. Saya masih lemah dalam menguatkan diri mencari Ilahi. Saya masih lemah dalam mencari keimanan agar lebih tebal, lebih cekal menghadapi hari mendatang. Hayat saya entah sampai bila, kerana itu saya harus berubah, berubah kepada yang lebih baik. Allah itu ada, sentiasa melindungi hamba-hamba. Allah tidak pernah lupa, tidak pernah tidur. Sentiasa ingat akan Allah, selama itu DIA akan memberikan kebahagiaan dan ketenangan kepada kita.

Saya mencari sumber kekuatan, dalam meneruskan kehidupan. Kekuatan itu datangnya dari Allah, yang saya tagih cintaNya. Hari ini saya menetapkan satu titik, mencuba untuk berubah. Untuk tidak mahu lagi mengulangi dosa itu. Saya mahu lebih tekad dan nekad. Allah itu ada, Dia melihat. Saya pasti mampu melaluinya. InshaAllah.

“Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Surah Ali Imran: 135-136).

Saya tinggalkan warkah Melodi Cinta kali ini dengan satu potongan ayat 41 surah Ibrahim;

“Wahai Tuhan kami berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”



No comments: