Sunday, December 18, 2011

JANJI TERPATERI - BAB 3







BAB 3

Aku menghayun kuat raket di tangan, bola terus melantun laju ke sebelah kiri, baru hendak berlari ke arah kiri, bola sudahpun dipukul. Aku tergamam seketika. Apa dia buat kat sini? Aku pusing tubuh ke belakang mencari Misha. Kelihatan Misha dalam wajah yang takut-takut dan Mizan asyik tersenyum sama juga dengan mamat kambing sebelah aku ni. Bola aku biarkan sahaja tidak disambut, mamat kambing sudah berubah wajah. Dari tersenyum, kini tiada riak.

“Tak sudi nak bermain dengan saya?” Irham bersuara. Aku hanya mengeluh kecil dan mengelap peluh di dahi dengan belakang tangan. Malas melayan dia, aku terus melangkah keluar.

“Mustika…” Irham memanggil. Aku berhenti dari terus melangkah keluar dari gelanggang. 

“Saya tak tahu apa salah saya yang buat awak seolah-olah membenci saya. Apa yang saya dah buat?” Aku menarik nafas perlahan. 

“Soalan tu tak sesuai.” Masuk kali ini, baru kali kedua aku bertemu dengan dia. Macam mana dia boleh kata aku benci dia.

“Tak sesuai?”

“Saya tak kenal awak. “ Aku terus sahaja melangkah keluar dari gelanggang. Entah apa yang dimahukan Irham dari aku. Aku tak faham!

“Aku balik dulu Misha.” Ujarku setelah barang-barangku, aku ambil. Misha tidak sempat berkata-kata atau mungkin juga dia takut untuk cakap apa-apa. Aku terus melangkah keluar dari situ. Langkah aku atur cepat, aku sedar Irham sedang mengejar. Ada-ada saja dia tu.

“Mustika, kejap.” Laung Irham. Aku tetap melangkah laju. Biarkan dia memanggil. Malas. Malas nak melayan.

“Mustika kejap!.” Hampir sahaja aku melanggar dia yang berlari dan berhenti tepat di depanku. Jarak antara kami yang terlalu hampir aku jarakkan. Terkejut! Riak wajah Irham agak berlainan. Serius.

“Saya nak cakap kejap aje, boleh? Five minute will be enough.” Ujar Irham begitu serius. Aku mendengus kasar. Jawab tidak, lari pun tidak.

“Saya mintak maaf kalau buat awak tak senang, tapi saya nak kenal dengan awak Mustika.” Aku menggeleng kepala mendengar pengakuan Irham. Ketawa sinis aku berikan sebagai balasan jawapan.

“Saya serius.” Ujar Irham lagi.

“Maaf. Saya tak berminat.” Aku cuba melangkah pergi dari situ, tapi Irham masih menghalang.

“Apa lagi?!” Ujarku sedikit keras, bagi menandakan aku tidak suka.

“Belum cukup 5 minit lagi.” Irham cuba bergurau. Aku hanya mengeluh berat.

“Saya tak masa nak dengar awak mengarut lagi.” 

“Mengarut?” Irham ketawa kecil, ada nada kecewa di situ. Aku pandang wajahnya, namun tak lama. Takut memandang lama-lama. Takut nanti… ah! Mengarut.

“Saya nak balik bilik. Assalamualaikum.” Cepat-cepat aku berlari dari situ. Bila aku rasa, Irham tak lagi mengejar, aku mula berjalan seperti biasa. Nafas aku atur perlahan. Letih. Letih dengan macam-macam hal. Dari hal Maya, kini datang si mamat kambing pulak. Dalam langkah yang aku atur, tiba-tiba tubuh itu membuat aku berdiri tak bergerak. Kaku seketika. Wajahnya yang serius membuat aku jadi serba salah. 

“Maya, kau buat apa kat sini?” Soalku kepada Maya yang tercegat di tepi padang dengan baju kurung yang tidak bertukar dan buku-bukunya. Maya memandangku tidak berkedip. Wajahnya tampak seperti orang yang sedang marah. Maya terus melangkah pergi tanpa menjawab apa-apa.

“Maya…” aku menyaingi langkah Maya dan menyekat jalannya. Maya mendengus kasar. Matanya menjeling tajam melihatku.

“Cuba cakap dengan aku apa salah aku sebenarnya?” Aku mula menyoal Maya. Biarlah apa pun yang berlaku, aku hanya mahu tahu. Maya ketawa sinis, membuat hatiku terasa pedih.

“What else to say?” Maya cuba melangkah pergi. Kenapa dia mesti bersikap macam ni? Aku cuba menghalangi langkahnya, namun ditepis, dan ‘mungkin’ tanpa dia sengaja, dia tertolak aku hingga terjatuh.

“MAYA!!” jerit satu suara. Maya dan aku berpaling kepada suara tersebut. Irham?

“Saya…” Maya tergagap-gagap pabila dijerkah sebegitu. Wajah Irham kelihatan bengis sekali, tangannya digenggam seolah menahan marah.

“Aku dah jelas semua dekat kau, tak faham lagi?” Irham memarahi Maya, aku hanya memerhati. Aku tak faham sebenarnya, kalau diikutkan cerita Maya dulu, Irham tak kenal dia. Sekarang ni macam kenal rapat aje. Tak faham betul!

“Kenapa dia? Kenapa mesti dia?!” Maya menjerit melawan kemarahan Irham kepadanya. Aku begitu terkejut dengan reaksi Maya yang tiba-tiba menggila. Aku bangun dari jatuhan tadi. Tanganku yang terkena tar jalan mengalami luka-luka kecil. Maya yang sudah berlinang air mata dengan wajah yang penuh amarah, dia melangkah pergi dan melanggar kuat aku yang baru cuba untuk bangun. Sekali lagi, aku terjatuh!

“Mustika…” Kelam kabut Irham menghampiri aku dan cuba untuk menahan aku dari terjatuh. Tak sempat, aku terus terduduk sekali lagi. Aku hanya mampu mengaduh kecil. Kenapa sampai macam ini sekali? Apa sebenarnya yang terjadi? Allah, permudahkanlah. Irham beriak risau bercampur marah. Mungkin marahnya pada Maya belum reda. Tapi kenapa? 

“Jangan!” Tegas aku pabila Irham cuba memegang tanganku ketika aku bangun dari kejatuhan. Irham mengangkat tangannya tinggi ke atas dan meminta maaf. 

“Drastic reflect. Sorry.” Aku bangun dan menepuk seluarku yang kotor berpasir. Irham masih berdiri dan memerhati. Aku pandang Irham sekilas.

“Tunggu apa lagi?” Soalku.

“Tunggu awaklah.” Aku mencebik. Meluat pulak tengok muka mamat kambing yang asyik tersengih. Tadi bukan main garang, getus hatiku.

“Saya mintak diri.” Terus sahaja aku melangkah pergi. Irham hanya memerhati, tidak menghalang dan tidak berkata apa-apa. Setelah jauh aku kembali berpaling memandang Irham, dia masih berdiri tegak di tepi padang. Berdiri dan meraup wajahnya. Tiada senyuman namun penuh riak kerisauan dan kecewa. Tapi kenapa? Kenapa beria nak berkenalan dengan aku? Siapa dia? Dan kenapa dia dan Maya seperti musuh? Bukan ke Maya peminat setia Irham Syakir? Berfikir seberapa ketika, dan aku mula melangkah. Melangkah mendekati dia yang kini sudah mengambil tempat di kerusi batu tepi padang itu.

            “Awak kenal Maya” Aku menyoal Irham yang tika itu sedang mengikat tali kasut sukannya. Tak sangka, aku memeranjatkan dia.

            “Astagfirullah.” Irham beristighfar, sambil mengurut dada. 

           “Maaf-maaf… lupa bagi salam, Assalamualaikum.” Aku tak sengaja, mana nak tahu dia nak terkejut. Irham hanya mengangguk-angguk. Lemah semangat betul mamat kambing ni, hatiku mengutuk.

            “Mujur saya ni masih muda dan sihat. Belum ada lemah jantung. Fuh, semangat!” Irham seolah-olah berseloroh. Aku nak gelak tapi, ehem… jual mahal sikit.

            “Awak tak jawab soalan saya lagi.” Aku tak mahu melayan Irham ni lama-lama. Dari segi gaya, dia ni otak macam ‘ting-tong’. Nanti tak pasal asyik aku terkena dengan dia. Jadi lebih baik aku buat-buat serius.

            “Apa ye awak tanya tadi?” Irham kembali menyoal. Aku mengeluh perlahan, melangkah menghampiri dia, dan melabuhkan punggung ke bangku batu bertentangan. Boleh selesai ke semua persoalan? Tapi Irham seakan mengetahui segala-galanya dan seakan ia berkaitan dengan dirinya. Tapi aku? Disabitkan kesalahan tanpa tahu jenayah apa yang telah aku lakukan. Allah, Ujian!

++++++

            “Apa yang awak nak lagi?” Irham kelihatan sungguh keliru. Wajahnya agak pucat dan kelihatan riak tidak mengerti, binggung dan buntu. Aku memeluk tubuh. Keluarganya masih di dalam rumah, ada juga yang sudah pulang dahulu. Yang tinggal, hanya Ibu dan adik perempuannya.

            “Saya datang menuntut janji!” Irham bersuara tegas dan penuh amarah. Untuk apa marahnya itu? Untuk apa? Cerita zaman remaja, kenapa harus percaya sampai setia untuk 8 tahun lamanya?

            “Janji? Janji apa? Cerita lama. Saya sendiri dah lupakan awak!” aku menjawab dengan bersahaja. Aku tahu jawapan itu bisa mengundangkan kemarahannya lebih lagi. Tapi apa yang mampu aku soalkan? Aku sendiri sudah tidak ingat janji apa yang dia maksudkan sedari tadi.

            “Janji untuk kita bernikah. Janji untuk menyatukan cinta kita secara halal. Awak dah lupa?” irham meraup wajahnya lagi, dan terus sahaja memandang aku yang masih berdiri di tepi pokok mempelam itu.

            “Pernah wujud ke janji tu? Kalau pernah, masakan saya lupa, atau janji itu hanya mainan mulut awak?” Irham mendengus kasar.

            “You are the one who made that promise Mustika!” 

            “Kalau saya buat, kenapa saya lupa?!”

            “Sebab awak dari dulu tak pernah percaya pada saya.” Aku mengukir senyuman sinis di bibir. Aku kalih tubuhku menghadap dia.

            “Percaya? Well Mr. Irham Syakir. Saya percaya. Percaya yang awak ni memang lelaki tak guna!”. Jerkahku. Tak menunggu lama. Aku terus melangkah masuk ke rumah. Irham aku biar dengan wajahnya terkejut. Ya aku lupa siapa dia pada awalnya. Aku lupa kerana aku perlu melupakan. Jika tidak, Amzar tidak akan berjaya menakluki hati ini dan terus memadamkan memori-memori luka yang ditoreh insan sekejam Irham Syakir!

            Siapa mahu percaya pada kekasih, andai kekasih itu dilihatnya sendiri bermesraan dengan gadis lain. Percaya yang ada, juga boleh hilang sekelip mata, dengan hanya satu kecurangan. Percaya juga boleh hilang, andai setiap malam, air mata membasuh ia sebersih-bersihnya. Janji dalam sebuah cinta. Ikhlas atau sekadar pura-pura, pemanis mulut tatkala dilamun cinta? 

            “Mustika…” Panggil ibu sebaik aku melangkah ke dalam rumah. Ibu menggamit aku supaya mendekati dia dan Ibu serta adik perempuan Irham. aku mengawal riak emosi marah dan sedih aku tadi, dan mula menghampiri mereka. 

            “Sudah bincang elok-elok?” Ibu mula menyoal. Ibu Irham memerhatikanku dengan wajah yang tenang.

            “Belum ibu. Mustika mintak maaf. Mustika tak boleh. Berbincang dengan dia macam menoreh luka lama. Mustika tak boleh.” Aku menjawab dengan air mata yang mulai berlinang di pipi.

            “Mustika, ibu mengandung ni tak boleh stress tau. Sudahlah. insyaAllah semua akan selesai dengan baik.” Ibu Irham menghampiri dan menggosok belakangku memberikan semangat. Aku ingat Ibu dia akan marah sakan sebab, peminangan mereka kepada seorang wanita mengandung, kelihatan agak memalukan. Ialah, seolah macam tertipu dan dimainkan.

            “Kak Salmah, saya mintak maaflah ye. Irham memang macam tu, garang tak bertempat.” Ibu hanya mengangguk-angguk dengan senyuman, tanda tidak kisah.

            “Mama, akak ni akan jadik akak ipar Lisa kan?” Adik perempuan Irham mula bersuara. Ibu berpandangan dengan aku kemudian saling berpandangan dengan Ibu Irham. Kami semua senyap seketika.

            “Tak, Ma, jum kita balik.” Irham yang tiba-tiba muncul di situ dengan wajah bengis, memecah keheningan yang terbina sebentar tadi. Lisa mencerut dengan jawapan Irham.

            “Irham…”Ibu Irham bersuara, lembut tapi tegas. Pandangan wajah ibunya juga menandakan dia sedang memberikan amaran.

            “Kak Salmah, saya mintak diri dulu ye. Nak balik jauh pulak ni.” Puan Zahirah meminta diri. Ibu mengangguk.

            “Nak balik Selangor terus la ni?” Ibu bersoal. 

            “Macam tu gayanya. Irham, lusa dah kerja.” Ibu hanya mengangguk dengan jawapan yang diberikan. Aku menyalami Ibu Irham dan adiknya. Lisa, comel, manis bertudung. 

            “Akak, Lisa nak facebook akak boleh?” Lisa yang menarik aku ke belakang sedikit daripada mereka semua, mula berbisik. Aku mengerutkan dahi, tiba-tiba?

            “Kenapa?”

            “Nak add la. Boleh ye kak?” Ujar Lisa sambil memberi telefonnya untuk aku menulis emel facebookku. Aku ambil dan mula mencatat alamat emel.

            “Nama akak dalam facebook, CahayaAmzar.” Lisa tersenyum dan mengangguk-angguk. 

            “Terima kasih akak, nanti boleh kita chatting.” Aku hanya tersenyum dengan tingkahnya.

            “Awalnya ada facebook. Umur berapa ni?” Lisa yang sedang asyik dengan telefonnya, memandang aku dengan sengihan. Ah! Dah serupa dengan Irham a.k.a Mamat Kambing.

            “Dah 11 tahun dah, abang bagi. Dulu dia kata Lisa umur 11 tahun baru boleh. Sebab tu Lisa baru dapat telefon ni.” Lisa menayang telefonnya di mataku. Aku mencubit pipinya yang gebu itu. Irham Syakir, bijak mendidik adiknya. 

            “Lisa, jom.” Puan Zahirah menjerit memanggil Nuralisa. Lisa terus sahaja menarikku, memelukku, dan mencium pipiku.

            “Lisa suka dengan akak, Lisa doa akak akan jadik kakak Lisa satu hari nanti.” Lisa berbisik lagi dan kemudian terus berlari memasuki kereta. Dari dalam kereta, dia melambai-lambai dengan senyuman yang tak lekang. Aduhai, beratnya doa dia. Andai benar, andai Allah makbulkan, bagaimana? Mampukah aku menerima kembali dia, bukan sebagai luka namun penawar jiwa yang lara, mampukah?