Thursday, February 9, 2012

cerpen: Mencari Adam dalam Yusof


Langkah di atur kemas namun perlahan menuruni anak tangga Masjid. Dilabuhkan duduknya ke anak tangga. Stokin di dalam kasut dicapai untuk dipakai, namun pandangannya entah hanyut ke mana. Suara tangisan itu sekali lagi mengganggu fikirannya. Bukan sekali, namun hari ini sudah masuk kali ke empat suara tangisan itu singgah ke telinganya sejak semalam. Siapa? Manusia atau….? Ah! Ini masjid la Yusoff! Astagfirullah… Mungkin bisikan syaitan yang menghembus di telingaku tika aku cuba khusyuk menunaikan solat. Bisik hati kecil Yusoff, bagi menenangkan gundah di hati.

Sejak Yusoff menunaikan solat zuhur semalam, esakan kecil itu menjengah ke cuping telinga. Perlahan sahaja, tapi penuh hiba. Pada awalnya, Yusoff cuma membiarkan. Mungkin ada hamba Allah yang sedang mencari ketenangan dengan menangis di depanNya, ujar hati Yusoff. Namun, apabila Yusoff ke Masjid untuk solat asar, sekali lagi dia mendengar, dan sehingga hari ini dia mendengar esak tangis itu. Lama, bukan seminit dua. Hatinya tertarik-tarik untuk menjengah ke ruang solat wanita, tapi apa pula kata orang yang melihat? Hati Yusoff benar-benar tertarik mahu tahu, siapa pemilik tangisan itu? Kenapa berat sungguh dengarnya tangisan dia?

Yusoff menepuk perlahan seluarnya, membuang habuk yang ada. Beg digalas ke bahu, jam di tangan dibelek. Ada lagi 15 minit sebelum pukul 2, kelas Dr Rozaimah batal pula hari ini, mahu ke mana? Pulang ke bilik atau ke perpustakaan yang betul-betul di sebelah masjid? Sebagai pelajar tahun akhir, Yusoff lebih banyak menghabiskan masanya di perpustakaan bagi mencari bahan-bahan rujukan untuk menyiapkan penulisan projek akhir. Belum sempat memulakan langkah, kelibat gadis berbaju biru itu mencuri pandangannya. Pantas dia kalih memandang, dalam masa yang sama, si gadis turut memandangnya melemparkan satu senyuman kecil. Senyuman sapaan, tiada maksud lain. Mata Yusoff tetap memandang langkah si gadis yang kian hilang di balik tiang-tiang di kaki lima. Hati Yusoff bagai menyatakan sesuatu namun masih kabur, masih tidak pasti. Ah! Mainan hati sahaja!

+++++++++++++

“Assalamualaikum.” Pintu bilik terkuak dari luar. Muazzam menggeleng melihat Yusoff yang sedang termenung di meja belajarnya. Salamnya tidak dijawab, seperti ada sesuatu yang mustahak yang sedang difikirkan oleh Yusoff. Beg yang digalas diletakkan di atas katil, Yusoff di dekatinya. Bahu Yusoff ditepuk perlahan. Nyata, Yusoff sememangnya tidak sedar, tersentak dek tepukan Muazzam.

“Eh abang Azam, bila balik? Tak dengar pun bagi salam?” Muazzam hanya ketawa kecil dan menggeleng kepala dengan tingkah Yusoff.

“Siapa insan bertuah yang berjaya menakluk hati Ustaz Yusoff kita nih?” Muazzam berseloroh, dia melabuhkan duduk di birai katil Yusoff. Yusoff hanya tersenyum dengan kata-kata Muazzam. Yusoff membetulkan duduknya.

“Tiada siapa, masih dalam pencarian. insyaAllah suatu hari nanti.” Muazzam hanya mencebik dan mengangguk, bukan dia tidak kenal sikap Yusoff. Bukan memilih, namun berhati-hati. Isteri bagi Yusoff adalah seorang bidadari. Biar tak cantik luaran namun indah dalamnya, pesonanya dia kerana imannya.




“Sudah tu, kenapa yang termenung aje? Nak tembus dinding tu rasanya, sampai abang bagi salam kau tak dengar. Kenapa nih? Apa yang difikirkan tu?” Yusoff mengeluh perlahan. Ya, dia memang memikirkan sesuatu. Memikirkan pemilik tangisan itu.

“Ishh Ustaz Yusoff ni, mengeluh kenapa?” Muazzam makin pelik dengan sikap Yusoff. Jarang sekali, atau ayat yang lebih tepat, Yusoff tidak pernah mengeluh sebelum ini.

“Erm… ada sesuatu yang buat Yusoff pelik dan terfikir-fikir sampai sekarang.” Muazzam memperkemaskan duduknya mahu mendengar dengan teliti cerita Yusoff.

“Dah dua hari Yusoff dengar suara esakan orang menangis dalam Masjid. Tiap kali Yusoff solat zuhur dan asar. Masa pertama kali dengar, Yusoff biarkan, tapi ini dah kali ke empat Yusoff dengar. Siapa? Manusia ke apa ke….”

“La… ye ke… dalam Masjid, nak kata iblis tu pelik la pulak... erm…” Mereka berdua terangguk-angguk, dalam fikiran masing-masing memikirkan perkara tersebut.

“Dah tanya dengan Ustaz?”

“Belum, ingat isnin nanti, Yusoff ada satu kelas aje isnin, lepas kelas Yusoff nak ke MSI jumpa Ustaz.” Muazzam mengangguk lagi.
“Ha… itu yang terbaik, lagi cepat lagi bagus. Macam misteri aje cerita Yusoff nih. Sekarang jangan termenung dah, tunggu isnin nanti, insyaAllah dapat jawapan.” Yusoff tersenyum, mungkin, mungkin akan terjawab segala persoalan yang ada di dalam kepala dia sekarang ini.

“Memang tak sabar nak tunggu isnin, dah serabut kepala Soff fikir bang.” Muazzam menggeleng.

“Yang dipikirkan sangat kenapa?” Yusoff tersengih.

“Misteri kan… mesti la fikir. Yusoff rasa macam ada sesuatu. Yelah setiap kali Yusoff solat mesti dengar, ada tanya dekat orang dekat-dekat tempat Soff solat tu, diorang kata takde pun dengar. Siap kata Soff buat diorang seram.” Yusoff ketawa kecil begitu juga Muazzam.

“Yelah, tetiba pergi tanya macam tu, abang dengar tadi pun dah seram.”

“That’s why la Yusoff tak sabar ni. Nak sangat tahu apa or siapa. Nak pergi esok tapi mungkin Ustaz takde. Lagipun Yusoff nak ke Masjid lagi esok, nak siasat dulu, kalau tak dengar dah, confirm manusia, sebab weekdays memang ramai orang solat kat Masjid kan.” Muazzam mengangguk bersetuju dengan kata-kata Yusoff.

“Kalau macam tu, abang ikut Yusoff esok ye, abang pun nak jadi Conan jugak.” Yusoff berkerut mendengar kata-kata Muazzam.

“Conan bang?”

“Yelah, nak selesaikan misteri.” Terkekek Muazzam dapat kenakan Yusoff. Yusoff hanya ketawa kecil, malu bila diperli oleh Muazzam, abang yang 3 tahun lebih tua daripadanya. Dalam tempoh empat tahun pengajian dia di UTM, selama itu juga Muazzam menjadi teman biliknya. Serasi, dengan sikap Muazzam yang ceria dan sentiasa menjadi penasihatnya. Muazzam keluaran daripada UTM KL, dengan diploma yang ada dia menyambung pula pengajian di peringkat Ijazah. Manakala Yusoff keluaran ‘fresh’ daripada Matrikulasi. Muazzam mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal, manakala Yusoff mengambil jurusan pendidikan. Biarpun berlainan jurusan, itu bukan masalah buat mereka berdua untuk kekal serasi bersama.

++++++++

Pagi sabtu itu, Yusoff bangun seperti biasa tetapi perancangannya berbeza. Jika sebelum ini, hari sabtu adalah hari untuk dia keluar ‘outing’ bersama-sama kawan-kawan ataupun seorang diri. Sabtu merupakan hari untuk merehatkan minda daripada semua kerja. Tapi hari ini, dia merancang untuk ke MSI dan menunggu misteri tangisan itu. Yusoff sudah siap, hanya menunggu Muazzam yang masih belum bersiap lagi. Entah kenapa, seusai solat subuh awal pagi tadi, hati Yusoff getar dan berdebar lain macam. Rentaknya terlalu asing. Moga semuanya baik-baik sahaja.

“Yusoff, kita singgah arked dulu sebelum pergi masjid, isi perut.” Muazzam mencadangkan sebelum mereka bertolak ke masjid dari kolej.


“Awal lagi, bolehlah…” Yusoff menghidupkan enjin motorsikalnya. Beg galasnya diletakkan di dalam raga motor. Hujung minggu sunyi sedikit keadaan di kolej, al maklum, semua pelajar nak ‘qadha’ tidur. Motorsikalnya dipandu berhati-hati menuju ke destinasi.

Arked meranti merupakan tempat makan di UTM yang mempunyai beberapa buah café. Di sini lebih banyak pilihan berbanding café yang ada di kolej. Jam baru mengenjak ke pukul 8.30 pagi. Masih awal untuk mengambil makanan yang berat. Beberapa biji kuih menjadi pilihan, air milo panas memang kegemaran Yusoff dan Muazzam. Sebagai pelajar, mereka berdua sebolehnya mengelak daripada mengambil minuman bergas dan yang mengandungi nilai kafein yang tinggi. Di sini sudah ramai pelajar, mungkin ada aktiviti yang kolej-kolej anjurkan.

“Yusoff, cuba pandang kejap dekat situ.” Muazzam memuncungkan bibirnya dan menghalakan pandangan ke arah café minuman di hujung.

“Kenapa?” Soal Yusoff selepas menghala pandangannya ke arah yang sama.

“Tu budak perempuan tu. Cuba tengok dia.” Yusoff mengerutkan dahi. Kenapa dengan Muazzam ni, tak ingat isteri kat rumah ke? Bisik hati Yusoff.

“Hai bang… Kak Sakinah seorang tak cukup ke?” Pantas dahi Yusoff dijentiknya. Mengaduh Yusoff dengan kesan jentikan Muazzam.
“Orang suruh tengok untuk dia. Bukan macam tu ke pilihan Yusoff.” Yusoff menggeleng tetapi tetap memandang sekilas. Seorang gadis berbaju kurung dan bertudung labuh. Cantik, tak dinafikan, cuma……

“Bukan jugak?” Muazzam menelah. Yusof hanya mencebik dan mengangkat kedua-dua bahunya kemudian menyambung suapannya yang terhenti sebentar tadi. Muazzam menyisip air yang masih berbaki.

“Yusoff bukan cari yang sempurna abang Azam. Perempuan macam tu terlalu baik untuk Yusoff.”

“Jangan cakap macam tu, kita boleh berusaha menjadi lebih baik kan? Abang tengok tiada yang kurang dalam diri Yusoff. Sepadan aje.” Yusoff hanya tersenyum. Muazzam selalu aje mahu menggandingkan dia dengan sesiapa yang berkenan di hatinya.

“Yelah-yelah… jom bang, dah dekat 9.15 nih… Yusoff ingat nak duduk kat Masjid awal sikit.” Muazzam mengangguk dan meneguk airnya sehingga habis. Setelah itu, mereka bergandingan ke motor dan terus bergerak ke Masjid Sultan Ismail yang hanya lima minit jika berjalan kaki dari Arked Meranti.

Motor diparkir di bahagian belakang Masjid, berdekatan perpustakaan. Redup sahaja pagi itu, jika tidak waktu-waktu begini, matahari sudah terik memancar.

“Abang ke PSZ dulu ye Soff, nanti abang join jadik conan okay.” Yusoff ketawa kecil.

“Orait. Yusoff nak solat dhuha sama, abang awal sikit, boleh buat dhuha.” Yusoff sempat berpesan sebelum Muazzam berlalu ke perpustakaan. Muazzam berlalu dengan anggukan kecil.

Lama dia berteleku disitu, memohon petunjuk daripada Allah. Yusoff mahu misteri ini hilang daripada fikiran dia. Entah mengapa, suara tangisan itu seolah-olah menarik dia ke sini lagi. Ada perkara yang dia perlu tahukah tentang tangisan itu? Seringkali persoalan itu bermain difikirannya. Tangan ditadah, wajahnya diangkat menghadap kiblat. Hatinya kini berbicara, memohon pada DIA, perjelaskan segala-galanya. Jangan biar misteri itu terus bermaharajalela.

Selepas seketika, dia mengaminkan doa, dia meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan, baru hendak bangun dari duduk, esakan kedengaran di cuping telinga. Sayup-sayup sahaja. Yusoff bingkas bangkit daripada duduknya. Di paling badan ke belakang, ke arah tangisan itu bersendu.

“Allah… Tunjukkanlah… Bongkarkanlah rahsia yang menyelubungi hambaMu ini…” Doa itu terucap berulang kali dalam hati Yusoff.

Saat itu, angin menghembus kuat memasuki ruang solat masjid. Kuat menghembus sehingga melayangkan kopiah putih yang elok terletak di atas kepala Yusoff. Zikrullah terus basah dibibirnya. Tatkala Yusoff tunduk mahu mencapai kopiah putih yang terjatuh ke lantai, tirai yang memisahkan kawasan solat lelaki dan perempuan terus sahaja mengerbang ditiup angin, kuat sekali sehingga roda tirai tersorong dan terus membina ruang yang meperlihatkan kepada Yusoff seorang gadis yang khusyuk berdoa dengan linangan air mata. Bahunya terhenjut-henjut menahan tangisan yang menjadi-jadi. Angin kuat yang seolah mahu menerbangkan deretan tirai itu seakan tidak memberi kesan kepada si gadis itu. Yusof beristighfar sendiri. Diakah pemilik tangisan itu, Yusoff terus menerus menyoal dirinya. Tak lama, seketika bagai dilayang dengan satu tayangan yang membongkar persoalan-persoalan Yusoff, keadaan kembali normal. Tiada lagi angin, dan tirai itu kembali tertutup seolah tiada apa yang terjadi. Yusoff tersedar sendiri, dia bagai terpukau dalam angannya. Allah… hanya itu yang terucap dibibirnya kala itu. Suara tangisan itu juga ghaib bersama angin yang kuat menghembus.

“Yusoff, kenapa ni?” tepukan di bahu itu menyentakkan Yusoff yang tetap berdiri berdepan dengan kawasan solat perempuan yang elok ditutupi tirai. Yusoff memandang wajah Muazzam yang berkerut, begitu juga dia.

“Hey, kenapa ni Soff?” Soal Muazzam sekali.

“SubnaAllah…” Yusoff meraup wajahnya dengan kedua telapak tangannya. Bibirnya tidak kering dengan zikrullah. Sungguh dia terpana dengan kekuasaan Allah. Tiada doa yang mustahil jika kita bersungguh meminta, tambahan pula dalam rumahNYA.

“Kenapa Yusoff macam terkejut aje ni. Risau abang tengok.” Muazzam belum berpuas hati. Sejak dia masuk ke masjid tadi, Yusoff sudah tegak berdiri di situ. Bila di soal hanya pandangan yang penuh tanda soal yang dilemparkan Yusoff.

“Allah Maha Besar. Yusoff dah dapat jawapannya bang.” Muazzam masih berkerut seribu.

“Dah dapat jawapan? Tangisan misteri tu?” Yusoff hanya mengangguk laju. Langkah di atur kemas ke pintu Masjid di sebelah kanan. Dilabuhkan duduk ke anak tangga. Pintu yang mengadap terus ke kawasan lapang di sisi Masjid memang tenang dan indah pandangannya.  Yusoff menarik nafas dan melepasnya panjang. Muazzam turut mengambil tempat di sisinya.

“Gadis itu macam pernah nampak. Semua berlaku pantas sangat, tapi Yusoff pernah lihat wajah gadis tu.” Yusoff memulakan bicara. Hatinya masih belum puas walaupun dia sudah tahu pemilik tangisan itu adalah manusia, bukan jin atau makhluk lain yang seangkatan dengannya.

“Yusoff kenal?” Muazzam mencelah. Yusoff menggeleng laju.

“Tak kenal. Tapi pernah tengok.” Yusoff melepas keluhnya perlahan.

“Ish… kenapa mengeluh? Sepatutnya lega, misteri selesai.” Tegur Muazzam tegas. Yusoff beristigfar, menyesali kelemahan diri.

“Manusia, tak pernah puas dengan apa yang dia dapat. Astagfirullah.” Yusoff menggeleng menyesali perbuatan sendiri.

“Sudahlah. Semenjak misteri ni, Yusoff banyak sangat berfikir abang tengok. Sabar dik, perlahan-lahan dan jangan terlalu fikirkan, nanti jadi lagho aje.” Muazzam menegur sikap Yusoff yang agak pelik kebelakangan ini. Yusoff mengangguk menerima nasihat Muazzam.

“Alhamdulillah, Yusoff dah lega sikit. Tapi…” Muazzam sudah berkerut wajah.

“Ada lagi?”

“Kenapa dia menangis sampai macam tu sekali?” Muazzam hanya tersenyum kecil.

“Ini rumah Allah. Hamba-hambaNya bebas berbuat apa sahaja Soff. Kenapa nak persoalkan kenapa dia menangis? Allah adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu. Allah tempat memohon segala-galanya.” Muazzam menjawab dengan penuh hikmah.

“Yusoff tahu. Tapi dalam sesaat yang Yusoff nampak tadi, gadis tu macam menanggung satu bebanan berat. Macam satu batu berat dihempap ke atas dia. Tangisan dia sahaja buat Yusoff terasa sama beban yang dia pikul.” Kening Muazzam terjungkit memandang Yusoff.

“Are you feeling something in your heart?” Muazzam cuba mempekenakan Yusoff.
“Yup. Tangisan dia buat Yusoff kemari, buat Yusoff minta pada Allah supaya tunjukkan siapa pemilik tangisan tu. Bila Yusoff dah nampak, buat Yusoff nak jumpa dia dan nak tahu kenapa dia menangis sebegitu.” Jawab Yusoff panjang lebar. Muazzam sudah tersenyum sumbing. Yusoff memandannya dengan penuh tanda tanya.

“Kenapa bang?” Yusoff menyoal bila melihat senyum Muazzam yang penuh makna.

“Mungkin jodoh Yusoff.” Yusoff ketawa kecil dan menggeleng laju. Tak dia sangka, jauh sungguh fikiran Muazzam. Tak pernah habis mempekenakan dia dalam soal ‘cinta’.

“Tak de lah sampai macam tu…” kata-kata Yusof tak habis dek kelibat gadis berkurung hijau muda yang berjalan melintasi mereka yang duduk ditepi tangga masjid. Dua-dua memandang langkah gadis itu yang turut memandang mereka dan melemparkan senyuman sapaan. Dia? Yusoff bersoal jawab sendiri. Yusoff bangun dari duduknya. Hatinya berdegup laju. Pandangannya masih terarah kepada gadis itu.

Langkah di atur menuruni anak tangga. Nak mengejar, seliparnya diletakkan di bahagian lain. Muazzam hanya memerhati tingkah Yusoff dengan kerutan di dahi. Buang tabiat ke budak nih? Telah hati Muazzam.

“Assalamualaikum, awak…” Yusoff menegur gadis itu yang laju melangkah ke arah Perpustakaan. Gadis itu kalih namun masih melangkah perlahan, mungkin tidak tahu dia yang ditegur Yusoff.
“Awak nanti kejap.” Ujar Yusoff dengan menggamit gadis itu. Si gadis menghentikan langkahnya.

“Awak panggil saya?” Ujarnya. Yusoff mengangguk perlahan. Muazzam hanya memerhati Yusoff yang sudah ke depan beberapa anak tangga daripada dia.

“Saya minta maaf, mungkin tak manis cara saya, tapi saya ada hal nak tanya awak.” Gadis itu yang sudah mendekati Yusoff hanya mengangguk perlahan menandakan dia tak kisah.

“Ada apa ye? Ermm… Kita memang tak kenal kan?” Soal gadis itu.

“Ye kita tak kenal, saya nak tanya awak beberapa soalan, boleh?” gadis itu beriak cemas. Mungkin takut dengan entah apa soalan yang bakal disoal Yusoff.

“InsyaAllah, kalau soalan tu saya boleh jawab.” Yusoff mengangguk dan tersenyum kecil. Mungkin lega dengan persetujuan gadis tersebut.

“Awak solat di sini tadi?” Si Gadis mengangguk perlahan.

“Erm… ada orang lain yang solat selain awak?”


“Er… saya solat dekat bawah tu, bahagian perempuan tu takde siapa, kat atas tak tahu pulak ada ke tak orang lain. Kenapa ye?” Yusoff mengangguk faham dan terus sahaja memandang si gadis tadi. Pandangan yang tajam menikam. Gadis itu sudah tidak tentu arah dek pandangan Yusoff. Beberapa ketika di biarkan, gadis itu mula menegur.

“Awak?” Ujar si gadis sambil melambaikan tangannya di depan Yusoff. Yusoff yang tersedar, beristighfar dan melarikan wajahnya ke arah lain.

“Maaf. Jadi, awaklah yang saya cari.” Gadis itu mengerutkan dahinya.

“Saya? Kenapa?”

“Sudah hampir seminggu saya mencari awak.”

“Tapi kenapa?” Soal gadis itu lagi, pabila Yusoff tidak memberikan jawapan sebaliknya memberikan lebih kejutan.

“Pemilik tangisan itu…” Gadis itu memandang Yusoff beberapa ketika.

“Tangisan… Allah…” ujar gadis itu perlahan, seolah berbisik sendiri.

“Saya mencari awak, sejak beberapa hari saya solat di sini, saya dengar tangisan awak… saya…”
“Saya minta maaf. saya mintak diri.” Gadis itu mencelah kata-kata Yusoff. Lalu terus melangkah laju ke arah Fakulti Alam Bina yang terletak di belakang Masjid dan Perpustakaan. Yusoff tidak terkata apa-apa. Dia hanya memandang pemergian gadis itu.

“Saya belum tahu nama awak…” Ujar Yusoff perlahan. Dia melepas lelah hatinya. Yusoff begitu bersungguh mahu mengetahui kesedihan gadis itu.

“Terlalu pantas Yusoff.” Muazzam menepuk perlahan bahu Yusoff. Dia yang sedari tadi memerhati, kini merapati Yusoff.

“Yusoff nak tahu, nak sangat tahu.”

“Tapi kenapa?” Muazzam makin pelik dengan sikap Yusoff.

“Entah, tapi hati ni tarik-tarik suruh Yusoff tahu.” Muazzam hanya menggeleng perlahan.

“Ingat Soff, ikut hati, mati.” Yusoff kelu sendiri. Allah, ampunkan hamba yang terlalu rakus dalam mencari makna sebuah rahsia. Yusoff menebar pandangan pada jalan yang dilalui gadis itu, biarpun kelibat si gadis sudah tidak kelihatan. Pasti dapat jawapannya, Yusoff begitu pasti!

+++++++++++++

            “Awal balik? Kata nak stay dekat library?” Huda menyoal Hawa yang duduk di birai katil. Hawa memandang Huda dan hanya memberikan senyuman tipis.

            “Kenapa ni?” Huda menyoal lagi. Hawa hanya menggeleng. Tidak menjawab walau sepatah. Huda menjungkit bahu dan meneruskan pembacaannya yang terhenti. Hawa banyak berahsia kebelakangan ni, telah hati Huda.

Hawa membuka tudung yang menutup kepalanya. Di sangkut kemas tudung itu dibelakang pintu. Begnya diletakkan di katil. Dia kemudian baring merehat badannya yang letih dek peristiwa itu. Ah! Kuat sangatkah? Hawa mengeluh perlahan. Matanya cuba dipejam rapat.

“Pemilik tangisan itu…”

            Hawa meraup wajahnya beberapa kali. Bagaimana dia boleh mendengarnya? Aku tidak menangis kuat, apatah meraung. Hati Hawa bersoal jawab sendiri. Keluh kecil dilepaskan. Huda yang sedang membaca mengalih tubuh, kembali memandang Hawa yang berbaring di atas katil. 

            “Ada masalah tak nak kongsi, lepas tu mengeluh sorang-sorang.” Huda bangkit dan melabuhkan duduknya disebelah Hawa yang sedang berbaring. Hawa membuka matanya perlahan dan memandang wajah Huda yang ada riak kerisauan. “Maaf Huda, belum masanya” Hati Hawa berbisik sendiri. Senyuman tawar diberikan kepada Huda.

            “Kenapa ni Hawa? Sudah sebulan Huda tengok Hawa lain sangat. Kenapa? Taknak cerita dekat Huda?” Huda memujuk Hawa. Hawa bangkit dari pembaringannya. Tangan Huda dicapai dan digenggam erat.
            “Maafkan Hawa. Kali ini, Hawa perlu masa sebelum Hawa dapat ceritakan dekat Huda. Hawa mintak maaf Huda.” Huda memandang anak mata Hawa. Jelas kelihatan kesedihan dalam hatinya. Huda mengangguk perlahan.

            “Huda faham. Bila Hawa sudah rasa nak bercerita, Hawa tahukan Huda sentiasa ada untuk Hawa, ingat tu.” Hawa menarik Huda ke dalam pelukannya.

            “Terima kasih Huda.” Huda tersenyum dan mengangguk perlahan serta membalas pelukan Hawa. “Kalau Huda tahu, bagaimanakah reaksinya?” Hawa berkias sendiri. Perkara itu dia sendiri berat untuk menerima, masakan Huda dapat menerimanya dengan baik, Allah berikanku jalan keluar! 

+++++++++

Yusoff berlari ke tepi pagar gelanggang futsal. Jauh benar bola itu bergolek, hingga keluar dari gelanggang. Dalam tercari-cari bola itu, Yusoff terpandang bola tersebut bergolek mengena kaki seorang gadis. Mujur tak kuat, kalau tidak bukan bergolek ke kaki tetapi hinggap ke muka dia kut, Yusoff bermonolog hingga tersengih sendiri. Sengihannya mati apabila gadis itu mula tunduk dan mengambil bola tersebut. Yusoff kembali berlari-lari anak ke arah gadis tersebut. 

“Maaf, bola saya.” Gadis itu tersenyum dan menyerahkan bola itu kembali kepada Yusoff. Yusoff membalas senyuman itu dan terus kembali berlari ke gelanggang futsal bagi menyambung permainan yang terhenti. 

“Eh, kenapa tersengih sorang-sorang tepi jalan ni?” Hawa menyiku pinggang Huda yang tegak berdiri di seberang jalan bertentang padang futsal. Huda mengaduh kecil namun tak lama kembali memandang jauh ke arah padang futsal. Hawa turut memandang ke situ selepas melihat Huda terlalu asyik memandang ke sana. Sah!

“Astagfirullah, jatuhkan pandangan ya ukhti!” Suara Hawa, sekadar bergurau. Huda ni pantang melihat lelaki ‘macho’, mesti cair!  Huda ketawa kecil. Tahu ‘kegelojohan’nya mengusha lelaki tadi.

“He is so….so… so….”

“So what?!”

“So far so good.” Huda mengenakan Hawa kembali. Terkekek Huda ketawa pabila Hawa mula bercekak pinggang dan mengecilkan mata. 

“Main-main! Usha budak laki sampai nak terkeluar bijik mata.” Huda tersenyum kecil.

“Dia nampak ‘alim. Soleh. Muka dia bersih aje.” Hawa berkerut dahi. 

“Macam mana kita boleh tahu dia ‘alim hanya tengok muka?” Huda kalih ke arah Hawa yang berada di sisinya.

“Bila hati berkata ia begitu.” Huda cuba berkias ala-ala jiwang gitu!

“Bila hati mengundang kata ya, manusia akan terikut kata nafsunya, kerna hati terlalu baik kadangkala menipu!” Hawa membalas. Giliran Huda terpana. Hawa?

Hawa melangkah pergi. Kata-kata Huda mengingatkan dirinya tentang kisah itu. Kisah mengundang luka dihatinya. Hawa memegang dadanya yang terasa perit, luka bagai ditoreh lagi. Luka itu tak pernah berparut, kerana ia tidak pernah sembuh walau sekali. Allah, mahu bagaimana lagi harus hamba lakukan, hamba tidak mampu melupakan ia!

Huda berlari-lari anak mengejar Hawa yang sudah menyeberangi jalan untuk kembali ke bilik mereka. Huda masih tidak memahami tingkah laku Hawa kebelakangan ini yang nampak terlalu asing baginya. Hawa dulunya gadis yang lincah, rajin tersenyum dan terlalu gemar mengusik. Sekarang Hawa seolah-olah dalam dunianya sendiri. Kenapa?

“Hawa, kejap! Tengok tu.” Huda menarik lengan Hawa tiba-tiba,kuat, menahan Hawa daripada  terus berjalan masuk ke dalam Kolej mereka. Huda pandang ke arah yang ditunjukkan. Huda tersenyum penuh ‘gatal’. Hawa, mati tiada kata. Dia?

Daripada kejauhan Yusoff merasa ada yang memandangnya. Yusoff mengangkat kepala, dua gadis dari seberang jalan, dilihat asyik memandang ke arah dia. Eh, dia?

Hawa kembali meneruskan langkahnya, setelah dia melihat Yusoff sudah bangkit dari duduk dan melangkah ke arah dia dan Huda. Aku tak mahu bertemu dia! Jerit hati Hawa sendiri. Dari berjalan pantas, Hawa kini berlari-lari anak. Jeritan Huda yang memanggilnya dibiarkan sahaja. 

+++++++

Hawa masih menatap komputer ribanya. Membaca setiap bait ayat yang ditulisnya sendiri. Bagi Hawa, dengan menulis dia dapat meluahkan setiap kesusahan hati yang dia rasai. Mahu bercerita pada manusia, dia malu! Bagai mengoyak kulit muka sendiri. Malu!

“Yusoff, nama dia Yusoff.” Huda bersuara tiba-tiba dan terus melabuh duduk di atas katil Hawa. Huda memandang tepat pada wajah Hawa.

“Siapa Yusoff?” Soal Hawa. Sememangnya dia tidak, langsung tidak kenal lelaki bernama Yusoff.

“Lelaki petang tadi.” Hawa mengeluh kecil dan hanya mengangguk kecil.

“Siapa dia? Kenapa Hawa lari dari dia?” Huda menyoal bertubi-tubi. Hawa masih diam tanpa kata. Huda kembali ingin bersuara dan menyoal namun dipintas Hawa.

“Hawa tak kenal. Sekali aje jumpa, di Masjid minggu lepas.” Hawa mengeluh lagi. Huda menggeleng perlahan.

“Bukan Ustazah Hawa pernah cakap ke, mengeluh itu tak baik. Mengeluh hanya pada yang berputus asa.” Huda cuba mengusik Hawa.

“Jangan panggil Hawa dengan panggil Ustazah.”

“Kenapa? Hawa macam Ustazah apa.”

“Tak, Hawa bukan Ustazah. Tak layak!” tegas Hawa. Suaranya sedikit kuat dan membuat Huda tersentak. Marahkah dia? Soal hati Huda.

“Tak layak? Mana boleh, pakai tudung labuh, banyak ilmu agama, bolehlah Huda panggil Ustazah, ye tak.” Huda bersuara lagi, hanya sekadar membuat Hawa senang hati.

“Hawa kotor!” Kuat dan jelas. Hawa terus mencapai tudung di birai katil dan keluar daripada bilik, pintu bilik terhempas kuat. Huda tergamam sendiri.

“Apa maksud dia? Kotor? Takkan lah….” Huda berbicara sendiri. Mindanya masih berputar memikir tiap bait kata-kata Hawa sebentar tadi, namun tiada jawapan. Huda bingkas bangun daripada katil Hawa untuk kembali ke meja belajarnya. Hal Hawa dia mahu biarkan sementara waktu, biarpun dia masih tidak faham walaupun sedikit kenapa Hawa begitu. Belum sempat dia melangkah, sesuatu dikomputer riba Hawa menariknya untuk membaca. Huda lantas, menarik tetikus itu dan menyorot setiap tulisan yang tercatat dilaman putih itu. 

“Dalam diam, saya kadangkala menangis. Dalam ketawa, saya kadangkala meraung. Kisah itu tidak terpadam, malah kian melebar dan membiak bagai barah pada manusia. Saya tidak dapat melupakan walaupun sedikit daripada kisah itu. Kisah itu bak kisah hitam dalam diri saya. Harus bagaimana untuk saya melupakan? Dalam doa setiap kali nafas saya hembuskan, saya mohon moga Allah membantu saya melupakan kisah itu. Saya bagai hidup dalam bayang-bayang hitam, penuh ketakutan, penuh kebimbangan!”

Huda termangu sendiri, apa yang menyelubungi Hawa belakangan ini. Apa yang ditanggungnya yang membuat dia begitu tertekan. Kotor? Apa yang dimaksudkan oleh Hawa tentang dirinya yang kotor? Huda berfikir sendiri. Hatinya resah memikirkan tentang Hawa yang berubah sikap. Bagaimana harus aku membantu dia?

++++++++++



Yusoff masih lagi menatap blog itu. Setiap bait tulisan itu bagai meminta Yusoff membacanya. Sesekali Yusoff menggeleng, mengerut dahi dan mengurut lehernya. Ada yang difahami ada juga yang tidak. Terlalu tersirat!

“Belum habis lagi?” Muazzam menegur.

“Terlalu dalam sangat bang. Payah saya nak faham.” Rungut Yusoff. 

“Erm… Jiwang?” Yusoff menggeleng.

“Jiwang saya faham la jugak bang, ni macam ada yang dia sembunyikan aje.” Muazzam mendekati Yusoff yang duduk dimeja belajar.

“Biarkan aje tak boleh? Dalam beberapa bulan ni, Yusoff asyik sangat dengan ‘misteri’ Hawa ni. Penting ke?” Muaazam mula menegur. Iyelah, Yusoff terlalu asyik untuk cuba menyelesaikan kisah Hawa. Selepas dapat kenal teman sebilik Hawa, si Huda, lagilah dia asyik cuba merungkai kisah Hawa. Sampailah blog milik Hawa digodeknya.

“Yusoff dah cuba. Tapi asyik terfikir. Sampai terbawa dalam tidur. Yusoff pun tak tahu kenapa.” Yusoff memaling tubuh menghadap Muazzam yang berdiri di sebelahnya.

“Terbawak dalam tidur sebab terlalu fikir sebelum tidur. Yusoff sukakan Hawa?” Muazzam menelah sekadar menjangkakan sesuatu setelah melihat begitu bersungguh merungkai kisah hidup Hawa yang sengaja Hawa sembunyikan.

“Mungkin.” Jawapan Yusoff mengejutkan Muazzam. Terbeliak mata Muazzam mendengar. 

“Alhamdulillah, patutlah beria sangat!” Muazzam seolah bergembira mendengar jawapan Yusoff biarpun sangat terkejut pada mulanya.

“Abang Muazzam ni, suka sangat ye bila Yusoff cakap Yusoff suka?” Muazzam menaikkan keningnya sebelah macam gaya Ziana Zain pulak!

“Ha.. buat kening macam tu pulak..” Yusoff ketawa kecil.

“Yusoff serius ke tak sukakan Hawa?” Yusoff memandang Muazzam dengan senyuman dan mengangguk kecil.

“Yusoff dah buat istikarah. Alhamdulillah, mungkin dia untuk Soff.” Muazzam meraup mukanya mengucap syukur.

“Mau abang risikkan?” Yusoff ketawa kecil.

“Tak terlalu cepat atau awal?” Muazzam menggeleng dan Yusoff sekadar mengangguk kecil. Muazzam yang sudah mendapat jawapan daripada Yusoff terus berlalu, mahu mencari jalan untuk bagaimana mahu merisik diri Siti Hawa yang berjaya menakluki hati Yusoff.

Yusoff kembali menatap blog nukilan Hawa. Ada bait kata yang menarik hatinya. 

“Saya terduduk diam dikerusi komputer, sambil menyisir rambut yang masih basah. Allah seburuk itukah hamba? Pabila soalan itu menerjah, saya sedar itulah petanda, betapa lemahnya diri saya pada suara bisikan syaitan-syaitan yang direjam. Semudah itulah saya tersasar daripada jalan kasihNya, terus melangkah ke jalan yang amat dimurka, jalan penuh darah kekotoran zina!”

Apakah misteri hidupnya Hawa itu? Bantulah hamba untuk membantu dia Ya Allah. Yusoff berdoa di dalam hatinya. Lalu dia bingkas bangun untuk menunaikan solat sunat dua rakaat, moga Allah memberikan dia jalan.

+++++

            Hawa menilik wajah beberapa manusia di depannya yang menunggu kata putus daripada dia.

            “Kami hanya mewakili Yusoff untuk merisik diri Siti Hawa ni, mana tau sudah ada yang punya.” Muazzam mengulang kata-kata, setelah melihat Hawa begitu mencerut wajahnya. 

            “Hawa memang single kan Hawa.” Huda mencelah dalam kesepian yang Hawa bina. Hawa sekadar mengangguk perlahan.

            “Jadi, bolehlah Yusoff bawa rombongan ke rumah keluarga Hawa?” Muazzam menyoal lagi, namun masih tidak kedengaran suara Hawa sedari tadi. Huda mula mencuit-cuit pinggang Hawa yang kaku tidak bersuara. Hawa hanya mampu menyepi diri. 

            “Hawa tidak terima? Sudah ada pilihan?” Muazzam cuba berdiplomasi secara lembut, memandangkan Hawa hanya membatu sedari tadi. Hawa mengangkat muka memandang wajah Muazzam sekilas dan kemudian kembali menundukkan mukanya.

            “Tiada pilihan, tapi… Maaf, Hawa tidak dapat terima sesiapa buat masa sekarang.” Hawa menutur perlahan. Dua orang lelaki yang bersama Muazzam mewakili Yusoff mengangguk perlahan tanda faham begitu juga dengan Muazzam, walaupun agak kecewa dengan jawapan Hawa. Huda tidak begitu, Huda kelihatan terlopong dengan penolakan Hawa, namun tidak mampu berkata apa.

            “Kenapa Hawa tolak?” Soal Huda setelah wakil Yusoff beredar. Tinggal mereka berdua sahaja di meja batu itu. Hawa hanya menggeleng. Huda tidak puas hati, dia menyoal lagi.

            “Jodoh baik datang, dalam Fakulti Pendidikan, siapa tidak kenal Yusoff? Jejaka idaman mahasiswi, kenapa Hawa tolak?” Hawa mengangkat wajahnya memandang Huda. Huda terpaku setelah melihat mata Hawa berkaca-kaca. 

            “Siapa Hawa ni untuk terima Ustaz Yusoff?” Hawa bersuara, dengan senyuman nipis. Senyuman itu hanya sekadar senyuman, bila air mata Hawa berlinang di pipinya.

            “Hey, apa main air mata ni Hawa?” Huda menarik Hawa ke dalam pelukannya setelah dia mengambil duduk di tepi Hawa.

            “Hawa pernah terfikir hal ni, tak sangka jadi betul-betul.” Huda mengerut dahinya.

            “Hal? Hal apa?” Hawa meleraikan pelukan dan mengalih tubuhnya memandang lepas ke depan.

            “Hal peminangan seorang lelaki yang memang menjadi idaman seorang wanita. Cukup agama dan kita yakin dia dapat membimbing kita kepada Cinta Allah. Tapi layakkah dia untuk Hawa. Hawa…” Hawa mati kata-kata, yang kedengaran esakan kecil.

            “Boleh Hawa jelaskan, biar Huda faham. Huda dah lama tunggu Hawa jelaskan masalah Hawa. Huda nampak perubahan Hawa. Kenapa ni Hawa?” Huda menyoal penuh kelembutan sambil memeluk erat bahu Hawa.

            “Hawa rasa diri Hawa dah kotor. Sangat kotor. Hawa sendiri malu nak sujud pada Allah. Dosa yang Hawa buat terlalu berat, sangat berat. Mahukah Allah mengampuni Hawa?” Huda menggeleng dan tersenyum.

            “Ya Rahman Ya Rahim. Itu nama Allah. Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang. Jangan lupa Allah itu Maha Pengampun!” 

            “Biarpun dosa kita selautan, tapi ingat, keampunan Allah itu seluas langit! SubhaAllah!”  

            “Hawa tahu, tapi dosa yang Hawa buat hanya boleh dicuci dengan api neraka!”

            La haula wala quwwata illa billah… apa yang Hawa dah buat?” Huda mengeratkan pelukan. Hawa mengesat air mata yang setia mengalir dengan belakang tangannya.

            “Perangkap diri sendiri dalam cinta nafsu remaja, Huda. Hawa terkandas sendiri dalam cinta palsu Razif! Janji dia bagai angin lalu.” Huda menarik tubuh Hawa menghadapnya.

            “Jangan cakap Hawa dah…” Kata-kata Huda mati di situ, tak sanggup untuk dia meneruskan kata.

            “Astagfirullah, mohon Allah jauhkan. Tak, Hawa tak pergi sejauh tu. Dengan cinta Allah, telah sedarkan Hawa diseparuh jalan. Sungguh! Hawa seolah tidak sedar buat semua tu.” Hawa menangis lagi.

            “Hawa… kenapa Huda tak kenal Razif?” Hawa mengesat air matanya lagi.

            “Cinta alam cyber. Huda kan tahu, Hawa suka main YM. Dari situ Hawa kenal Razif. Dalam telefon dalam YM, dia baik sangat. Dia cakap dia nak berubah tapi… bila jumpa, Hawa yang terikut cara dia.” Huda menggosok belakang Hawa bagi menenangkannya. 

            “Usah di kenang, usah di ingat. Hawa dah sedarkan. Dekatkan diri dengan Allah, insyaAllah, Allah sangat sayangkan hambaNya yang bertaubat!” Hawa mengangguk lemah.

            “Hawa kerap terbayang kembali segala dosa yang Hawa dah buat dengan Razif. Mudahnya Hawa biarkan dia pegang tangan Hawa yang selama hidup Hawa, Hawa jaga untuk suami Hawa. Semua dah habis! Bagaimana Hawa mahu selayaknya bergandingan dengan Ustaz Yusoff!” 

            “Hawa, jangan cakap macam tu, Hawa layak, tiada yang membuatkan Hawa tidak layak.”

            “Hawa kotor Huda, kotor!”

            “Hawa lupa cerita yang kita tengok dekat TV9 dulu, Baju Kebaya Terakhir Bapak, anak dia yang GRO berubah dan berjodoh dengan seorang Ustaz. See, bila kita menjadi baik di sisi Allah, Allah hadiahkan yang terbaik buat kita, insyaAllah.” Huda memujuk lagi.

            “Huda, itu drama! Fantasi. Hawa ini realiti!” Hawa menolak.

            “Itu kisah dunia, kisah realiti, kisah manusia, kalau tidak orang tak buat cerita macam tu tau.” Huda membalas lagi. 

            “Hawa ingat kisah Nabi Yusoff. Siapa isterinya? Bukan ke Zulaikha, yang digelar wanita penggoda oleh penduduk masa itu. Bagaimana ya Zulaikha itu dapat bersuamikan Nabi Yusoff, insan pilihan Allah?” Hawa memejam mata, bagai mengisar kata-kata Huda.

            “Jadi, Ustaz Yusoff layaknya mencari Zulaikha, bukan Hawa.” Hawa bersuara dan kemudian berdiri, angin yang berpuput lembut dibiar menampar lembut wajahnya yang basah dek air matanya.

            “Hawa ni, jangan berdolak dalih. Jangan bermain kata.” Huda menegur, agak tegas.

            “Dalam beberapa bulan ni, Huda selalu cerita tentang Ustaz Yusoff, sampai Hawa sendiri tertanya siapa Ustaz Yusoff yang tampak hebat di mata Huda. Jenuh Hawa mencari dia, ternyata dia lelaki yang menegur tangisan Hawa di Masjid dulu. Daripada kawan-kawan, Hawa dapat kenal Ustaz Yusoff, lelaki muda yang sangat hebat. Bijak dalam belajar, bijak dalam berbicara, bijak dalam agama.”

            “Tegur Hawa, tangisan Hawa?” Huda mencelah dalam bicara Hawa yang panjang lebar.

            “Dia kata dia dengar tangisan di Masjid dan pemilik tangisan tu adalah Hawa. Entah macam mana dia boleh dengar, Hawa bukan meraung.” Hawa kembali duduk di sisi Huda.

            “SubhanaAllah. Mungkin dia jodoh Hawa, siapa tahu?” Huda sekadar mengusik hati Hawa tika itu.

            “Tiada mungkin dalam hidup ini. Yang ada hanyalah YA atau TIDAK. Dalam kekotoran dosa yang Hawa lakukan, Hawa kembali menyucikan diri yang Hawa sedar, tidaklah dapat menyucikan kotor itu melainkan dengan api neraka Allah. Jadi bagaimana Hawa mahu berhadapan dengan Yusoff yang dirinya jelas suci?” Hawa menjelaskan panjang lebar.

            “Astagfirullah. Hawa, istighfar. Allah Maha Pengampun. Mohon pada DIA insyaAllah.” Huda memujuk lagi.

            “Huda, Hawa tahu… sebab itu Hawa kembali mendekati Allah. Hati ini takut hendak menerima cinta lagi, biarlah terisi cinta Allah sahaja. Allah sudah lebih daripada cukup untuk Hawa.”

            “Siapa tahu, Yusoff dihadirkan sebagai pembimbing Hawa untuk mengecapi cinta Allah?” Huda mencuba lagi.

            “Huda…” Hawa bersuara, tangan Huda dicapai dan digenggam.

            “Hawa memang ada berdoa supaya dihadirkan insan yang mampu membimbing Hawa kembali kepada cinta Allah, insan yang mencintai Allah melebihi segalanya tapi… bukan Yusoff.” Huda tercengang.
            “La… kenapa pulak? Yusoff la lelaki yang Hawa cari.” Hawa menggeleng laju.

            “Ustaz Yusoff terlalu baik, sangat baik. Lebih ramai lagi gadis yang terbaik untuk dia, bukan Hawa Huda, bukan Hawa. Hawa pasti akan temui lelaki lain, tetapi bukan Yusoff.”

            “Allahuakhbar… Huda tersangat tak faham!” Huda mengeluh lelah, tidak mengerti apa yang Hawa mahukan.

            “Biarlah Hawa mencari Adam untuk diri Siti Hawa ini. Yang pasti bukan Yusoff.” Huda menggeleng perlahan dan hanya mendiamkan diri, kerana dia pasti, dia tidak akan mampu memujuk Hawa yang kini tekad dalam apa yang dia lakukan.

++++++++

            Yusoff termangu ditangga Masjid. Kisah Hawa sudah sebulan dia biarkan. Misterinya terungkai sedikit dengan penjelasan Huda biarpun tidak menyeluruh. Penolakan Hawa dengan risikannya sedikitpun tidak mengecewakan. Keputusan Yusoff untuk menjadi pendamping Siti Hawa adalah berdasarkan pilihan Allah dalam istikharahnya, bukan nafsu semata. Jika Hawa menolak dengan kata tanpa petunjuk Allah, dia redha. Mungkin suatu masa nanti, Siti Hawa tetap menjadi pemiliknya, siapa tahu? Masih terngiang perbualannya dan Muazzam beberapa hari lalu;

            “Hawa masih mencari dirinya kembali. Biarkan dia beberapa waktu. insyaAllah, Allah pasti membantu dia. Yusoff doakan, moga jalannya dipermudahkan. Dan jangan lupa, doakan agar dia berada dijalan yang benar.” Muazzam memujuk hati Yusoff yang masih diselubungi misteri Hawa tika itu.

            “InsyaAllah, Yusoff faham bang. Yusoff sentiasa akan mendoakan dia. cuma…” Muazzam mengerut dahinya.

            “Haa… ada lagi cuma dia tu.” Yusoff ketawa kecil.

            “Ada la cuma…. Yusoff tak terasa bila risikan pun Hawa tolak. Seperti dia kata, dia takde pilihan tapi masa belum sesuaikan. Yang terkilan, niat Yusoff nak bantu dia, keluar dari masalah yang menyelubungi diri dia tu. Takut dia terlalu mengikut emosi.”

            “Rugilah Hawa menolak Ustaz Yusoff, sayang sangat dah ni.” Muazzam cuba mengusik Yusoff.Yusoff hanya tersenyum dan ketawa kecil. Muazzam tak sah kalau tak mengusik dia, tambah-tambah bila berkaitan dengan Siti Hawa.

            Yusoff tersengih sendiri di tangga itu pabila mengenang perbualannya dengan Muazzam. Kasut dipakai kemas dan kemudian dia menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Biar apa pun terjadi, dia mendoakan Siti Hawa sentiasa dilindungi Allah dan dapat kembali kepada dirinya yang dia cari-cari.

            Yusoff melangkah perlahan ke tempat letak motosikalnya. Dalam perjalanan itu dia sempat lagi mengimbas pertemuannya dengan Siti Hawa beberapa minggu yang lalu, sebelum segalanya berakhir. Pertemuan yang ditemani Muazzam dan Huda semestinya.

            “Kenapa perlu berjumpa bukan sudah dijelas semuanya?” Hawa terus sahaja bersuara setelah Yusoff menghampirinya.

            “Assalamualaikum Cik Siti Hawa.” Yusoff bersuara kembali lebih sopan. Namun membuat Hawa termalu sendiri. Nampak sangat Hawa tidak sudi bertemu empat mata dengan Yusoff. Hawa menjawab perlahan dengan muka yang memerah. 

            “Maaflah, andai saya menganggu masa-masa Hawa. Saya cuma hendak berjumpa empat mata dengan Hawa.” Yusoff memulakan bicaranya dengan penuh hemah.

            “Teruskan kepada perkara yang penting.” Hawa mencelah. 

            “Hawa seperti tidak suka dengan pertemuan ini. Kalau macam tu, kita gunakan orang tengah aje lah.” Yusoff cuba berkompromi pabila Hawa seakan tidak senang dengan pertemuan ini.

            “Tidak, bukan begitu. Maaf. Awak boleh teruskan apa yang awak nak sampaikan pada saya.” Hawa mula berasa bersalah. Bukan dia tidak sudi, tapi…

            “Boleh saya tahu kenapa risikan saya ditolak?” Yusoff mula menyoal.

            “Saya berhak menolak bukan?” Hawa menjawab perlahan. Hatinya berdetak hebat tika itu, malu juga bercampur aduk!

            “Saya tahu, saya merisik awak kerana awak pilihan Allah buat saya.” Hawa memandang sekilas, agak terpana dengan kata-kata Yusoff itu. 

            “Istikharah?” Hawa menyoal. Yusoff mengangguk perlahan.

            “Hawa istikharah semasa menolak?” Hawa terdiam tidak terkata. Huda yang berselang beberapa langkah daripada tempatnya dipandang. 

            “Hawa?” Lembut sahaja Yusoff memanggilnya.

            “Maaf, tidak. Saya tak istikharah.” Hawa menjawab gagap-gagap.

            “Saya bukan mendesak, istikharah saya juga tidak memaksa awak untuk menjadi milik saya, mungkin awak adalah baik untuk saya mungkin ada yang lain yang juga baik. Tetapi masa ini adalah Hawa.” Yusoff menerang panjang lebar, hanya ingin membetulkan keadaan.

            “Kenapa Hawa tidak istikharah sebelum memberikan jawapan?”Yusoff menyoal Hawa yang terdiam sedari tadi. Hawa menarik nafas dalam sekali. Soalan Yusoff bagai menari-nari di matanya.

            “Saya takut untuk menerima awak sebagai suami saya.” Hawa menjawab setelah beberapa lama dia menyepi sendiri.

            “Takut?” Hawa mengangguk.

            “Takut andai awaklah pilihan Allah buat saya. Saya takut.” 

            “Apa yang awak takutkan?” Yusoff menyoal lagi.

            “Takut pada masa depan, takut pada penerimaan awak dan takut menghadapi hari-hari yang penuh diselubungi dengan rasa bersalah.”

            “Maaf, Hawa saya tidak faham.” Hawa berdiri menghadap padang yang luas.

            “Kenapa awak memilih saya?” Hawa menyoal kembali kepada Yusoff.

            “Saya tiada jawapan untuk itu.” 

            “Kerana tudung saya?” Yusoff menggeleng.

            “Kerana penampilan saya?” Yusoff menggeleng.

            “Awak terlalu baik untuk saya Yusoff. Terlalu baik.” Yusoff tersenyum kecil.

            “Baik buruk kita, siapa kita nak menilai? Di sisi Allah kita tidak tahu baik atau buruknya kita ni Hawa.” 

            “Ye saya tahu, tapi… kita punya kisah silam yang berbeza.” Yusoff tersenyum lagi.

            “Sesiapa pun Hawa, mesti punyai kisah yang berbeza kerana kita sememangnya berbeza.” Hawa melepas nafas perlahan. Payah bila bercakap dengan orang yang bijak bercakap!

            “Awak pernah sentuh tangan orang bukan mahram awak?” Yusoff menggeleng.

            “Pernah awak peluk pinggang wanita bukan mahram awak?” Yusoff menggeleng lagi. Kali ini Hawa tersenyum hambar.

            “Itulah baiknya awak dan itulah bezanya kita Yusoff.” Yusoff memandang Hawa beberapa ketika dan kemudian melarikan pandangannya.

            “Itu semua perkara lama Hawa.” Hawa menggeleng laju.

            “Perkara itu yang membuatkan saya hidup dalam penyesalan Yusoff. Mana mungkin saya menerima awak, sedangkan hari-hari saya terbayangkan dosa saya itu. Perkara itu susah nak padam dalam ingatan saya. Payah!” 

            “Bukankah awak mencari teman yang mampu memimpin awak, saya tidak layak?” Yusoff mencuba lagi.

            “Saya yang tidak layak buat awak Yusoff.”

            “Jika macam tu, siapa yang layak buat awak?”

            “Adam.” Hawa menjawab penuh keyakinan. Huda yang duduk jauh sedikit itu juga terkejut dengan jawapan Hawa.

            “Siapa Adam?” Yusoff menyoal, jiwanya dipagut kekeliruan, bukankah Hawa tiada yang istimewa?

            “Adam, saya mencari Adam. Adam yang punyai kisah silam seperti saya. Adam yang mungkin masalahnya persis saya. Dengan itu saya akan hidup dengan menerima kekurangan dia yang sama dengan kekurangan saya. Kami segandingan!” Hawa mula bermain kata.

            “Awak terlalu berfikir jauh dan negatif Hawa. Kenapa tidak memberikan saya peluang untuk membantu awak?”

            “Kenapa awak terlalu mahu saya menerima awak?” Hawa mula bersuara tegas, dia takut hatinya lembut dengan kata-kata Yusoff jika lebih lama dia bersemuka dengan Yusoff.

            “Bermula saya mendengar tangisan awak di Masjid, saya sudah minta pada Allah, supaya DIA memberikan saya peluang untuk membantu awak, biarpun waktu itu saya langsung tidak tahu pemilik tangisan itu. Bila saya dapat tahu, saya tekad untuk membantu awak.” 

            “Membantu? Apa maksud awak?”

            “Daripada tangisan awak, saya tahu awak punyai masalah yang amat berat.” Yusoff meraup wajahnya seketika.

            “Maaf Yusoff, saya benar-benar tidak dapat menerima awak.” Hawa memberikan keputusannya. Sama dan muktamad!

            “Hawa tak mahu istikharah.” Hawa menggeleng.

            “Kenapa?”

            “Saya sudah jelaskan. Yusoff patutnya mencari Zulaikha, bukan Hawa.” Hawa menolak dengan baik.

            “Siapa tahu Hawa juga boleh menjadi Zulaikha untuk Yusoff? Dan mungkin Yusoff boleh menjadi Adam untuk Hawa” Yusoff mencuba lagi.

            “Mungkin. Tapi bukan Siti Hawa ini, sebab Hawa ini tekad mencari Adamnya, dan Yusoff tak boleh jadi Adam, Yusoff adalah Yusoff” Yusoff mengangguk tanda faham.

            “Sekali lagi, saya mintak maaf. Assalamualaikum.”Hawa terus berlalu bersama Huda. Tanpa kalih walau sekali. Yusoff terima, terima dengan keputusan Hawa. Jauh disudut hatinya, dia sentiasa berdoa, moga Adam yang dicari Siti Hawa wujud dalam dunia ini dan menemani langkah si gadis itu. 

            Tepukan dibahu Yusoff mengejutkan dia daripada lamunan panjang itu. Yusoff tersenyum memandang Muazzam yang sedia tersengih di sisinya.

            “Termenung lagi Ustaz Yusoff?” 

            “Tak, terkenang.” Muazzam mencebik.

            “Sekali lagi abang nak tanya, kenapa tak beritahu dia tentang Yusoff?”

            “Bagitahu apa?”

            “Yang awak ni Muhammad Adam Yusoff?”

            “Jodoh itu Allah yang tentukan, kalau dia Hawa untuk Adam ini, ke mana pun dia berlari berkejar mencari Adamnya, pasti dia kembali menemui Adam ini. Janji Allah itu pasti.” Muazzam mengangguk tanda mengerti. Muhammad Adam Yusoff hanya tersenyum dan meneruskan langkahnya ke motosikal, Muazzam berlari-lari kecil mendapatkannya. 

Angin petang itu begitu dingin terasa, bagai membawa kedinginan hati-hati hamba Allah yang tenang mencintaiNya. Benar kata Yusoff, andai Allah sudah tetapkan dia adalah pemilik tulang rusuk itu, pastinya Siti Hawa akan dimilikinya. Sekuat mana Hawa menolak, andai Yusoff jodohnya, tiada lagi mungkin dalam hidup yang bisa membolehkan Hawa untuk menolak. Dalam hidup cuma ada Ya atau Tidak iaitu terima atau tidak, tiada mungkin menerima atau mungkin tidak menerima sebagai jawapan kepada suatu persoalan.  Jika ada, kehidupan kita bagai tiada penghujungnya kerana persoalan perlu ada jawapan yang pasti!

Ya Muhaimin jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati
Seseorang yang hatinya tertaut padaMu,
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu.


             

7 comments:

adilah said...

xde sambungn ke? ana suka kisah cinta islamik cmni :D
Thumbs up writer..mmg best!!

akubersamaCahya said...

ada. nanti keluar la.. ^^

thank u

Anonymous said...

bile nk kluar kak ?

akubersamaCahya said...

otw ^^

cik n.haliban said...

bestnya nama Muhammad Adam Yusoff!

nur farah amanina said...

laaaa.. tergntung ker? nak sambungn boleh?

akubersamaCahya said...

dh sambung la sayang.
cuba klik Dia Adam Itu :)