Saturday, January 19, 2013

Novel : Janji Terpateri 8

cover baru! ^^
Bab 8
Sebaik sahaja kereta itu berhenti di depan pagar rumah angah, aku terus sahaja melangkah keluar dari kereta selaju yang mungkin. Namun selaju mana langkah bagi seorang ibu mengandung seperti aku ini, Irham masih mampu mengejar.

“Mustika, dengar dulu.” Irham cuba menahan langkahku.

“Sepatah lagi awak cakap mengarut tentang Amzar, tentang janji bodoh tu. Awak jangan harap dapat jumpa saya lagi. Saya benar-benar maksudkannya!” Aku bersuara tegas. 

“Saya cakap kebetulannya ada di situ. Mungkin jodoh kita kuat.” Irham masih lagi berdegil dan terus mengatakan perkara paling mengarut yang pernah aku dengar.

“Stop it Irham! Jangan nak mengarut. Tolong faham satu perkara, awak dah lama mati dari hidup saya. Ingat itu!” Tanpa menunggu lebih lama, aku terus melangkah masuk ke dalam rumah. Angah yang berada di muka pintu mula melangkah keluar. Aku tidak pedulikan, tidak mahu mendengar kata-kata yang menghiris hati aku dari lelaki itu. Aku benci!

“Angah...” Irham menyalami tangan lelaki yang berdiri di hadapannya ketika itu. 

“Jangan ambil hati. Amzar baru aje meninggal lima bulan lepas. Semua ni masih lagi baru bagi dia. Sabar, kalau berjodoh tidak ke mana.” Angah menasihati sebaiknya. Irham tersenyum dan mengangguk.

“Saya minta maaf Ngah, saya kurang sabar bila terus ditolak.” Irham berterus terang, angah menepuk bahunya perlahan.

“Sabar, jadi lelaki kena banyak sabar. Macam Amzar, sangat sabar dengan Mustika sebab tu dia dapat Mustika.” Angah bersuara lagi. 

“Amzar macam mana orangnya?” Irham tertarik mahu mengenali lelaki bernama Mohd Amzar yang terlalu dicintai Mustika itu.

“Penyabar, tegas dalam perkara yang betul dan lemah lembut dalam segala perkara. Angah lelaki tapi angah sendiri admired lelaki macam dia. Dia macam satu dalam seribu. Mungkin sebab dia lelaki yang baik, jadi dia pergi lebih awal dari kita. Nak bercerita panjang tak boleh sekarang, insyaAllah ada masa angah cerita lebih lagi tentang arwah.” Irham mengangguk faham. Pujian angah kepada arwah Amzar sedikit membuatkan Irham Syakir cemburu. Sebaik itukah dia? Jadi benarlah jika sukar buat Mustika untuk melupakan suaminya itu. Irham mengeluh sendiri. ‘Aku terlalu mendesak.” Bentak hati kecilnya.

Aku melabuh duduk di birai katil. Air mata mengalir laju sahaja di pipi, aku kesat dengan tangan. Satu demi satu kata-kata yang diluahkan Irham Syakir masih terngiang-ngiang di telinga ketika ini. Dadaku menjadi sesak, hatiku kembali pedih. Air mata mula bertakung dengan banyaknya. Teresak-esak aku menangis sendiri.

“Abang, salah Mus ke abang pergi? Sebab janji bodoh Mus ke buat abang mati.” Aku bersuara lirih dalam esakan yang kian menjadi-jadi. Semua kenangan, semua memori kini menyerbu ke layar mataku. Dada kian terhimpit dengan pelbagai rasa. 

“Abah, Mus tak kuat abah... tolong Mus abah...” Aku merintih sedih. Kala ini, hatiku kembali mengingati akan pesan abah. Lapan tahun dahulu kata-kata abah juga yang menyebabkan aku kembali sedar  ke dunia nyata selepas terhanyut dalam indah kata cinta lelaki bernama Irham Syakir.

“Jangan percaya pada manusia, hati manusia boleh mati. Jangan percaya pada dunia, dunia ini hanya fana, mati bila sampai waktunya.” Kata-kata abah aku kenang seumur hidupku. Kata-kata terakhir abah sebelum aku melangkah ke alam dewasa. Abah sering sahaja memberi kata kiasan dan kini aku memahami setiap satu daripadanya. Abah, alangkah bagus jika abah berada di sini tika ini.

“Kasihankan anak tu Mustika.” Kak Idah mula menghampiriku. Dilabuhkan duduknya bersebelahan denganku. Tubuhku dirangkul ke dalam pelukannya. Aku masih bersisa tangisan yang seakan tidak mahu berhenti.

“Salah Mus ke Kak Idah abang Amzar mati? Salah Mus ke?” Aku mula mengadu mengenai bebanan yang menghimpit dadaku kini. Kak Idah mengeratkan rangkulannya.

“Ajal maut semua di tangan Allah, kenapa nak cakap macam ni Mus?” Kak Idah cuba menenangkan aku yang sudah teruk menangis. 

“Janji bodoh Mus kepada Irham yang bunuh abang Amzar kak Idah. Mus yang sebabkan abang Amzar mati. Mus yang sebabkan semua ni, semua salah Mus!” Aku sudah bagai dirasuk emosi sendiri. Rasa bersalah menyelubungi diriku ketika ini. 

“Astaghfirullah Mus, mengucap dik mengucap.” Berkali-kali Kak Idah menyuruh yang sama. Beberapa ketika aku berhenti daripada tangisan yang menggila. Aku kembali menenangkan diri dengan zikrullah. Bisikan zikir daripada Kak Idah juga memberikan kesedaran kepada diriku yang hilang dalam emosi sendiri. Allah, sekuat mana aku untuk menghadapi semua ini? Kehilangan Amzar sesuatu yang memeritkan untuk aku hadapi. Tangisan, aku paksa diriku untuk sembunyikannya. Aku menangis sebelum masanya. ketika Amzar pergi buat selamanya, aku sudah kering air mata. Orang kata aku kuat, tabah menghadapi semuanya. Mereka tak mengerti yang aku sudah lemah sebelum itu lagi.

            “Macam mana?” Angah menyoal kepada Kak Idah yang baru sahaja keluar dari bilik. Kak Idah mengeluh perlahan.

            “Kenapa dengan Irham tu? Tak pasal-pasal Mus meroyan macam tu, dah la dia mengandung tu.” Kak Idah mula merungut, dia kemudian menghampiri angah yang duduk di sofa.

            “Orang tengah angau, semua ikut hati.” Suara angah.

            “Apa yang jadi antara diorang dua tu? Macam masalah besar aje...” Kak Idah menyoal angah lagi. Angah menjungkit bahunya.

            “Abang sendiri tak pasti apa yang berlaku antara diorang berdua. Adalah tu zaman diorang bercinta dulu.” Ujar angah membuatkan Kak Idah mengerut dahinya.

            “Bercinta? Kira sebelum Amzar, Irham la, macam tu?” Angah mengangguk laju.

            “Sayang ingat tak, hari pertama Amzar datang jumpa kita dekat rumah mak? Mana Mus layan sangatkan?” Kak Idah mengangguk laju. Angah menyambung lagi.

            “Masa tu diorang baru kenal. Amzar dah jatuh hati dengan Mus tapi Mus tak suka langsung dekat Amzar.” Ujar angah.

            “Mus cakap, hati dia tak terbuka untuk sesiapa lagi.” Kak Idah mencelah, angah mengangguk laju.

            “Mus masih kecewa dengan Irham, tapi lima tahun lepas tu Mus sudah mula selesa dengan Amzar. Tup-tup tengah tahun lepas, Mus yang pergi meminang Amzar. Betapa hebatnya penangan Amzar.” Angah bercerita lagi, kini senyuman melebar di bibirnya, begitu dengan Kak Idah.

            “Mus sayang sangat dekat Amzar. Abang nak tahu tak, sebenarnya dah lama Mus suruh Amzar masuk meminang dia. Mus hairan, sebelum ni Amzar bersungguh sangat nakkan Mus, bila Mus dah bersedia nak jadi yang halal buat dia. Amzar menolak, sebab tu Mus terus masuk meminang. Itu pun lepas dia tahu sebab apa Amzar mula menolak dia.” Kak Idah membongkar rahsia.

            “Sebab sakit Amzar tu?” Angah menyoal, Kak Idah mengangguk perlahan.

            “Mus sangat tabah.” Angah bersuara lagi. Dirangkul isterinya dengan seeratnya. Mereka kemudian berlayar dalam lamunan sendiri. Hari ini hari yang panjang dan mencabar buat mereka dan Nur Mustika.

            Shamsul Hadi memandang tajam Irham Syakir di hadapannya. Irham Syakir sudah mengeluh untuk beberapa kali. Sekejap dia duduk di kerusi sekejap dia kembali berdiri di tepi tingkap pejabatnya itu.

            “Bertindak dengan akal, bukan hati.” Shamsul Hadi yang bosan melihat perlakuan Irham Syakir terus sahaja bersuara. Irham Syakir meraup wajahnya, matanya dipejam beberapa saat.

            “Aku silap besar kali ni. Apalah yang aku fikir, tak pasal aku buat Mustika lagi bencikan aku. Bodoh betul!” Irham membentak memarahi dirinya sendiri. Shamsul Hadi tersenyum sendiri.

            “Agak bodoh macam kau cakap sendiri. Aku pun tak tahu nak tolong macam mana lagi.” Shamsul Hadi sengaja menambah bara atas api yang sudah terbakar itu. Irham menjeling tajam.

            “Mizan mana? Mentang-mentang baru dapat baby.” Irham kemudian teringat rakan baiknya itu, Ahmad Hamizan. Shamsul Hadi sekadar menjungkit bahu, tanda tidak tahu.

            “Kenapa tak minta Misha tolong?” Shamsul Hadi kemudian muncul dengan idea barunya. Irham Syakir kemudian berfikir sendiri.

            “Tapi kau lupa yang diorang gaduh besar sebab aku? Tu namanya curah minyak atas api.” Irham Syakir menolak mentah-mentah idea tu.

            “Siapa tahu? Perempuan ni pelik sikit.” Shamsul Hadi tetap yakin dengan ideanya itu. Irham menggeleng laju.

            “Dari aku suruh Misha baik aku suruh Maya terus. Selesai kut masalah.” Irham Syakir kemudian ketawa, namun hambar.

            “Gila! Bukan makin teruk, tapi ICU!” Tawa mereka meletus seketika. Pengaruh Irham Syakir kepada Nurinnur Maya bukan hanya dulu tetapi sehingga kini. Irham sendiri sudah buntu dan bingung dengan sikap gadis itu yang seperti tidak pernah kenal erti putus asa!

            Aku mengemas baju-bajuku dan semua barangan yang akan aku bawa pulang ke Kedah malam ini. Aku akan pulang dengan bas sahaja, angah mempunyai beberapa hal yang menyebabkan dia tidak dapat menghantar aku pulang malam ini. Aku tidak kisah, aku sememang tidak mahu menyusahkan sesiapa selagi aku berupaya melakukannya sendiri. Belakangku yang terasa lenguh dan sedikit menyucuk membuatkan aku memberhentikan kerjaku itu dan terus melangkah ke almari. Minyak urut aku keluarkan, lalu terus aku sapu ke bahagian yang terasa sakit.

            “Eh, buat apa tu?” Kak Idah yang baru memasuki bilik menegur, wajahnya tampak serius sahaja. Aku menunjukkan botol minyak itu kepadanya.

            “Mana boleh guna minyak panas dik oi, kamu kan mengandung.” Terus sahaja botol minyak itu dirampasnya. 

            “Sakit sikit, lenguh. Kenapa tak boleh guna?” Jawapan dari aku itu membuatkan Kak Idah terus sahaja menyelak bajuku di bahagian belakang tubuh.

            “SubhanaAllah, lebam ni. Kenapa dengan kamu ni Mus?” Kak Idah mula kalut.

            “Kena langgar tengah hari tadi, sikit aje la kak.” Aku menepis lembut tangannya. Baju aku betulkan sedikit. Kak Idah sudah memandang tajam dengan mata yang sengaja dikecilkan.

            “Kamu ni Mus, jagalah diri. Tak sayang diri, sayang anak tu.” Kak Idah mula bersuara, aku mengangguk laju.

            “Perkara nak jadi kak. Akak ada bantal kecil tak?” Aku kembali mengemas baju-bajuku semula.

            “Ada, kenapa?” Jawab Kak Idah.

            “Mus nak pinjam boleh? Takut pinggang lenguh dalam bas malam nanti. Ni pun dah tak berapa selesa.” Ujarku, membuatkan Kak Idah kembali risau.

            “Akak suruh angah hantar eh? Risau akak dengan kamu, lebam kamu tu teruk juga tu.” Kak Idah sudah kebimbangan, aku hanya mampu tersenyum menyembunyi sakit yang aku rasa. 

            “Tak ada apa-apalah kak, jangan risau. Tak payahlah susahkan angah, dia banyak kerja nak siapkan tu. Kesian angah nanti letih ulang alik dari Kedah ke KL, Mus okay aje, jangan risau tau.” Aku menolak cadangan itu dengan baik. Betul, aku tidak mahu menyusahkan angah. Sakit ini akan berkurang nanti, aku yakin sendiri.

            “Betul?” Kak Idah menyoal lagi, mahukan kepastian daripadaku. Aku mengangguk kepala dengan senyuman aku ukirkan di bibir. Aku kembali mengemaskan baju-baju dan barangan yang masih belum aku selesai masukkan ke dalam beg. Tiga beg akan aku bawa pulang malam ini, beg bagasi, beg sandang dan beg barangan bayi. Irham punya kerja, beli ikut suka hati! 

            “Irham kerja esok?” Angah menyoal Irham sebaik sahaja salam dijawab lelaki itu. Kak Idah yang mengadu tentang Mustika membuatkan angah tidak senang duduk. Terus sahaja nombor Irham Syakir didailnya.

            “Kerja, saya ke Penang esok pagi. Kenapa ye?” Irham Syakir hairan dengan panggilan telefon itu. Baru sahaja mereka bertemu empat mata sewaktu dia menghantar Mustika tengah hari tadi.

            “Malam ni ke Kedah boleh?” Angah menyoal dengan nada yang sengaja ditegaskan. 

            “Kenapa? Mustika ada masalah ke?” Irham menyoal risau.

            “Badan dia sakit, katanya kena langgar tengah hari tadi.” Angah sengaja memerangkap lelaki itu. 

            “A’ah, maaf angah. Saya lupa nak bagitau tadi. Angah nak saya hantar Mustika balik ke Kedah ke?” Irham Syakir mula menangkap niat sebenar angah menelefonnya. Angah tersenyum di hujung talian.

            “Macam tu rancangnya, boleh?” Angah sengaja menyoal lagi, walaupun sudah tahu akan jawapannya.

            “Boleh aje, Mustika macam mana?” Irham Syakir menyoal, risau kalau-kalau Mustika menolak.

            “Angah uruskan.” Sebaik talian dimatikan, angah tersenyum lebar ke arah Kak Idah. Kak Idah menunjukkan tanda bagus kepada angah. ‘Mustika sayangkan aku, dia akan lebih susahkan Irham.’ Angah bersuara dalam hati.
+++
boleh la ye?
komen tau! ^^
 


No comments:

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders