Tuesday, September 11, 2012

Cerpen : Cik Abang BMW (part 2)









Nurin merenung barang-barangan projeknya. Aluminium yang menjadi punca permasalahan dia sekarang, di ambil dan direnung tajam. Tukul yang sedari digenggamnya, dihentak kuat ke atas aluminium itu. Bagai melepaskan segala amarah dan tekanannya. Azra yang baru masuk ke dalam bilik, terkejut dengan perlakuan Nurin yang tidak pernah sebegitu.
            “Woi, nak bagi rosak ke apa?” Nurin memberhentikan perlakuan setelah ditegur. Tukul dan aluminium dicampak ke lantai. Keluhan berat dilepaskan, kedua lututnya ditarik ke dada.
            “Stress!”
            “La… stress rupanya. Lepaskan dekat aluminium tu? Pelik pelik aje kau ni Nurin.” Azra meletakkan beg sandang ke atas meja. Nurin yang sedang bersila di lantai didekati dan turut melabuhkan duduk di sisi Nurin.
            “What happen? Lately kau asyik menung aje?” Nurin memandang Azra yang menyandar bahu ke bahunya. Keluhan dilepaskan sekian kalinya.
            “Mulai esok, aku kena diet, tak boleh nak boros-boros. Kena ikat perut.” Ujar Nurin sayu sambil memeluk perutnya.
            “Kenapa pulak?” Nurin menekup muka ke lututnya.
            “Esok aku kena bayar RM800 dekat mamat BMW tu…” rengek Nurin.
            “What? Lapan ratus? Mahalnya…”
            “Dia kata dia minta half daripada yang sepatutnya…” Nurin menjelaskan.
            “Memang la, dia naik BMW, jadi lapan ratus bukan satu jumlah yang besar bagi dia. Tapi kita?” Nurin mengangguk perlahan.
            “Aku tahu, tapi nak buat macam mana, dah dia minta banyak tu. Aku dah cuba minta cara lain untuk bayar tapi…”
            “Cara lain? Jangan kata kau?” Nurin menepuk kuat dahi Azra. Geram!
            “Kau ni jangan fikir kotor boleh? Aku waras lagi tau. Dia kan pensyarah, mana tau boleh jadi tea lady kat ofis dia ke, betul tak?” Azra hanya mengangguk dengan sengihan sambil menggosok dahinya.
            “Dia tak nak?”
            “Saya tak perlukan pekerja” Nurin meniru gaya Tareeq Sufean. Azra hanya ketawa. Nurin mencebik.
            “Kau ada duit tak nak bayar? Kalau tak, aku boleh pinjam daripada ayah aku dulu.” Nurin menggeleng laju dengan senyuman. Azra memang baik hati, tapi itu bukan bermakna Nurin akan cuba mengambil kesempatan atas kebaikan sahabatnya itu.
            “Aku ada duit. PTPTN kan dah masuk.” Azra mengecilkan matanya. Nurin ketawa kecil.
            “Don’t worry, kalau aku sesak nanti aku minta tolong kau okay?”
            “Betul? Jangan sampai tak makan tau… ingat aku ada untuk kau, susah senang aku akan ada untuk kau.” Nurin mengangguk faham. Azra dikenali semenjak semester pertama lagi. Umur yang sebaya dan kursus yang di ambil sama membuatkan hubungan mereka sangat akrab, sehinggakan rakan-rakan sekuliah mengatakan wajah mereka ada iras-iras.
+++++++++++
            Nurin menapak laju ke arah Perpustakaan Sultanah Zanariah. Jam ditangan dibelek beberapa kali. Dia sudah lewat lima minit! Bank CIMB sesak dengan pelajar-pelajar yang mahu mengeluarkan duit, terpaksalah Nurin beratur panjang untuk mengambil wang. Tinggal dua orang sahaja di hadapannya, mesin ATM kehabisan wang! Terpaksalah menunggu lebih kurang 20 minit untuk pihak bank mengisi semula wang ke dalam mesin ATM.
            Dari kejauhan Nurin sudah dapat melihat susuk tubuh Tareeq Sufean yang berdiri tegak betul-betul di tangga perpustakaan. Nurin mempercepatkan langkahnya, hampir sahaja dia berlari. Dek kerana memakai baju kurung, terpaksalah dia menjadi sedikit sopan. Takut juga tersungkur tengah jalan, malu!
            “Ingatkan dah tak jadi datang.”Sindir Tareeq sambil matanya tepat memandang ke arah jam ditangannya.
            “Maaf, hal yang tak dijangka.” Suara Nurin dalam cungap mencari udara untuk bernafas. Terasa bagai berlari pecut 200 meter sahaja.
            “I hate to wait. Kalau students saya, dah lama meraung sebab tak dapat masuk kelas.” Tareeq masih setia untuk mencari fasal. Nurin melepas lelah, sakit hati dengan sindiran Tareeq yang tidak habis-habis.
            “Syukur, saya bukan student Encik Sufean.” Jawab Nurin bersahaja. Tangannya pantas sahaja menyeluk ke dalam beg galasnya.
            “Nak jadi pendidik kena disiplin, baru berjanji dah tak tepati. Macam manalah nasib anak-anak saya nanti.” Tareeq bersuara lagi, entah kenapa bibirnya sengaja mencari jalan menyakiti hati Nurin Jannah.
            “Pendidik juga orang biasa. Maaf sebab saya lambat daripada masa yang saya janjikan. Saya hanya merancang Allah juga yang menentukan. Saya ada sebab kenapa saya lambat, jadi saya minta maaf. Ini…” Nurin menyerahkan satu sampul surat putih yang mengandungi wang RM800 seperti yang dipinta.
            “Mujur janji ini tidak dimungkiri…” Tareeq mengambil sampul surat itu, lalu menyimpannya terus ke dalam poket seluar.
            “Eh, tak kira dulu? Mana tahu tak cukup…” Ujar Nurin sekadar ingin menyindir.
            “Saya percaya Nurin Jannah orangnya jujur, bakal guru pastinya baik-baik orangnya. Assalamualaikum” Ujar Tareeq sambil mengenyitkan sebelah matanya, lalu terus berlalu ke arah keretanya. Nurin hanya mencebik bibir, ada-ada sahaja! Kakinya terus diayun melangkah masuk ke dalam perpustakaan, ada tugasan yang perlu diselesaikan. Inilah rutin harian Nurin jika tiada kelas yang perlu dihadiri. Kalau tidak ke perpustakaan, Nurin akan menghabiskan masanya di Masjid. Jika dulu, masanya lebih banyak dihabiskan bersama Azra, namun kini tidak lagi. Nurin menghormati kawannya yang kini sudah punya kekasih hati, mereka mungkin perlukan ‘privacy’.
+++++++++++
             Tareeq mengeluarkan sampul surat putih itu daripada poket seluarnya. Beg kerjanya diletakkan ke atas meja, lalu melangkah ke arah sofa yang berada di penjuru bilik. Tubuhnya dilabuhkan ke sofa. Tali leher yang sedari tadi menjerut dilonggarkan sedikit.
            “Rezeki hari ini…” Tuturnya Tareeq dengan senyuman. Not RM50 sebanyak 16 keping itu ditarik keluar dari sampulnya, satu keping kerta yang sudah berlipat dua terjatuh daripada sampul itu. Tareeq memandang sekilas, lalu tunduk mengambilnya.
            “Apa ni…?” Tangannya cepat sahaja membuka lipat kertas kecil itu, dia tergelak kecil dengan kerutan di dahi.
            “Aik, takkan slip bank pun nak bagi…” Tareeq bersuara sendiri sambil tersenyum besar. Namun tak lama, senyumannya mati. Hatinya dipagut rasa bersalah.
            “Salah ke apa aku buat ni?” Tareeq bersuara sendiri. Duit digenggamannya dipandang lama. Malas berfikir lagi, duit itu dimasukkan ke dalam sampul dan diletakkan di meja kecil di tepi sofa. Tareeq lantas bangun untuk membersihkan diri, tuala di ambil lalu terus memboloskan diri ke bilik air.
+++++++++
            Semua beg diselongkar. Buku-buku dan alat tulis semua dikeluarkan. Isi dompetnya sudah berselerakkan di atas katil. Nurin berdiri tegak, jari jemarinya bermain dibibir. Di mana? Sekali lagi semua beg itu diselongkarnya satu persatu. Buku-buku diselak setiap helaiannya.
            “Jumpa?” Azra yang sedang mengeringkan rambutnya dengan tuala kecil menegur Nurin yang masih berbaju kurung. Hanya tudung sahaja yang sudah tercabut daripada kepalanya.
            “Tak… Ish, aku tak tau kat mana aku letak.” Azra menggeleng.
            “Tak penting pun…” Nurin menggaru-garu kepalanya. Serabut jadinya rambut yang sedia serabut tidak dikemas.
            “Memang, tapi aku bukan jenis buang, kau tau kan? Setiap kali aku draw duit, mesti aku simpan. Tadi pun aku simpan macam selalu.” Nurin merungut lagi.
            “Dah tu, kau letak mana? Selalu kau letak mana?” Azra yang sudah duduk di kerusi meja belajarnya menyoal.
            “Selalunya, lepas ambil duit dan slip tu, aku lipat masuk dompet. Tadi… Alamak!” Nurin menekup mulutnya yang hampir menjerit kuat.
            “Ha… kenapa-kenapa?” Azra terkejut dengan reaksi Nurin yang tiba-tiba.
            “Entah-entah, aku terbagi sekali dekat mamat BMW tu, ala…” Azra menggeleng kepala.
            “Kau ni, buat aku terkejut je, ingatkan apa lah.” Nurin mengetap bibir. Keningnya bertaut.
            “Malunya… nampak sangat miskin.” Azra mengerut dahi.
            “Apa cakap macam tu? Syukur masih boleh belajar lagi, ada lagi orang yang susah tau.” Nurin berdecit, langkahnya dihentak kuat kea rah katil, lalu menghempaskan badannya. Bantal bulat kesayangannya di ambil lalu ditekup ke muka.
            “Dah settle kan problem kau ni? Aku nak study, jangan buat bising ye. Kemas balik beg-beg tu semua.” Azra menegur, malas melayan sikap Nurin yang kadang kala terlalu keanak-anakan. Azra akui, Nurin memang tidak pernah berkongsi masalah keluarganya apatah lagi masalah kewangan. Tetapi setelah lama bersama dengan Nurin, dia tahu Nurin sering sahaja menghadapi kesesakan wang, namun tidak pernah meminta pertolongannya.
            “Ra… Dulu Megat pernah kata, lecturer fakulti dia cari orang yang nak kerja housekeeping kan?” Nurin tiba-tiba bersuara dari balik bantalnya.
            “Yup… kenapa kau nak ke?”
            “Ada kosong lagi?”
            “Nanti aku tanyakan, tapi sempat ke Nurin? Kelas kita agak padatkan, dengan projek akhir lagi?” Nurin terdiam sekejap.
            “Terpaksalah, kalau tak jenuh aku nak ikat perut, kau tanya Megat nanti ye?” Azra hanya mengangguk perlahan lalu membalas senyum kepada Nurin yang nyata gembira apabila dia bersetuju untuk bertanyakan kepada Megat.
            “Nak mandi kejap…” Tutur Nurin kembali bersemangat, lalu terus keluar dan hilang dibalik pintu.
            “Kesian kau Nurin…” Azra mengeluh perlahan.
+++++++++
            Nurin mengurut-urut kakinya yang sudah lenguh berdiri. Sudah sejam dia menunggu Megat di depan Fakulti Alam Bina itu, namun kelibat bayangnya pun tidak menjengah tiba. Dek kerana pekerjaan sambilan yang diingininya, dia sabarkan juga menunggu.
            “Sorry Nurin, aku lupa yang aku dah janji dengan kau, mujur Azra call aku tadi.” Entah dari mana Megat tiba-tiba sudah tercegat ditepinya. Nurin sabarkan hatinya dengan sikap Megat itu. Ikutkan marah, sudah lama Megat ini diganyang-ganyangnya.
            “Takpe, kau dah datang pun.” Megat hanya mengangguk dengan wajah tiada riak bersalah sedikit pun.
            “Jom, aku bawa kau jumpa Prof. Azizi, dia yang cari orang untuk kemaskan bilik-bilik lecturer fakulti aku.” Nurin hanya mengangguk, lalu melangkah membuntuti langkah Megat di depannya.
            Setelah empat anak tangga dipanjat, akhir mereka tiba di bilik Profesor Azizi yang dikatakan oleh Megat sebentar tadi. Bilik Profesor Azizi diketuk perlahan, suara dari dalam yang menyuruh mereka masuk membuatkan Megat memutar tombol pintu dan melangkah masuk ke dalam, Nurin hanya mengikut tanpa membantah.
            “Prof, ni lah student yang nak kerja dengan Prof tu.” Ujar Megat setelah salam diberikan kepada Profesor Azizi.
            “Oh… iye-iye, saya dah lama suruh kamu cari, baru sekarang dapat?”
            “Biasalah Prof, bukan semua nak buat kerja sambilan.” Ujar Megat berbahasa. Pandai pula dia jaga bahasa dia depan Profesor, hati Nurin membentak.
            “Takpelah, nama siapa? Ambil kursus apa?” Profesor Azizi menyoal Nurin yang masih tidak bersuara.
            “Nama saya Nurin Jannah, saya Fakulti Pendidikan.”
            “Cikgu lah ni? Cikgu memang rajin, bukan macam bakal-bakal arkitek ni, minta tolong yang dapat upah pun payah.” Profesor Azizi cuba menyindir dalam gurauannya. Nurin hanya ketawa kecil, Megat terkulat-kulat dalam sengihannya.
            “Kamu boleh kerja malam Nurin? Kalau siang takut kamu ada kelas atau macam mana?” Profesor Azizi cuba berkompromi dengan Nurin. Megat sedari tadi sudah berlalu pergi setelah tugasnya selesai.
            “Malam saya susah sikit Prof, saya takde transport, tapi kalau setakat pukul 10 malam boleh la…” Profesor Azizi mengangguk perlahan.
            “Kalau macam tu, kamu mula pukul 6 petang sampai pukul 9 malam. Masjid dekat, kafe dekat, so taklah kamu terkejar-kejar kan? Saya kena selesaikan kerja ni sebelum Januari, sekarang dah tengah November, susah kamu je nanti.” Profesor Azizi menjelaskan semua dengan terperinci. Bila masuk tahun baru, pihak Audit 5S akan mula beroperasi.
            “Bolehlah, saya akan cuba siapkan sebelum Januari.” Nurin bersetuju walaupun agak berat juga untuk dia bekerja setiap hari dari pukul 6 petang sehingga malam. Kelasnya sahaja kadang kala habis selewat jam 7 petang.
            “Jangan terkejut pula nanti tengok bilik-bilik pensyarah dekat sini ye…” Profesor Azizi berseloroh. Nurin hanya tersenyum lebar, dia sendiri tahu bagaimana keadaan bilik pensyarah, yang kadang kala kelihatan seperti gua buku-buku dan kertas!
+++++++++
            Nurin mengelap peluh yang mengalir di pipinya. Tudung yang terasa serabut, dibetulkannya. Tangannya dikibas-kibas bagi membuang habuk yang melekat. Nurin berdiri bercekak pinggang, akhirnya! Setelah tiga hari berhempas pulas, bilik Profesor Azizi siap dibersih dan dikemaskan. Nurin tersenyum sendiri, esok bilik pensyarah lain pula, minta-minta tak seteruk ini. Kotak yang mengandungi barang-barang tidak digunakan lagi di angkat untuk dibawa ke bilik kosong di hujung bangunan. Barang-barang ini akan dikelaskan mengikuti barang boleh kitar semula dan tidak boleh dikitar semula.
            “Prof, saya….” Tareeq yang baru hendak memasuki bilik Professor Azizi, kini basah kuyup dengan air kopi ais.
            “Eh, saya minta maaf, saya tak nampak ada orang masuk.” Nurin mengibas kibas kain buruk itu ke arah tumpahan kopi itu, tanpa langsung mengangkat wajah.
            “Stop it…” Tareeq bersuara setelah melihat Nurin mengelap tumpahan air kopi yang mengenai baju kemeja putihnya dengan kain buruk. Nurin yang sudah kelam kabut dengan rasa serba salah, terus sahaja mengibaskan kain buruk itu ke arah kesan tumpahan kopi.
            “I said, stop it!” Tareeq bersuara kuat dan tegas. Profesor Azizi yang baru masuk juga terkejut dengan jerkahan itu. Nurin terkaku, keras tidak bergerak, mata terus sahaja melekap pada wajah Tareeq.
            “What happened?” Ujar Profesor Azizi.
            “She ruined my shirt!” Muka Tareeq mula memerah, marah. Nurin sebaliknya, dia menjadi kaku, tidak bersuara. Nurin sangat takut dimarahi apatah lagi jika dijerkah sebegitu.
            “Nurin, apa kamu buat ni?” Profesor Azizi menyoal dengan lembut, tidak mahu menambah tekanan kepada gadis itu.
            “Saya betul-betul tak sengaja. Saya minta maaf Prof, Encik Sufean…” Jawan Nurin terketar-ketar.
            “Nurin kenal Dr. Tareeq Sufean?” Soal Profesor Azizi. Nurin terkedu sebentar, tidak tahu lelaki itu sudah berpangkat Doktor di awal nama. Doktor pada usia muda? Lelaki ini terlalu hebat!
            “She always brought me no luck!” Tareeq masih dalam amarahnya, tangannya mengibas kemejanya yang telah tercemar dengan warna kopi susu. Nurin terguris, ayat itu sering sahaja dituju kepadanya. Kalau dulu Acik Emah, sekarang Dr. Sufean, benarkah dia memang pembawa malang?
            “Nurin, you can go now. Esok datang macam selalu ye.” Profesor Azizi bertindak mengawal keadaan. Kedua-duanya perlu dijaga hati dan perasaan, Nurin gadis yang baik untuk terus diberikan tekanan terutama daripada Dr.Tareeq Sufean!
+++++++++
            Nurin duduk menekur lantai, sudah setengah jam dia duduk tegak di tepi tandas lelaki itu. Pelajar yang lalu lalang, memandangnya pelik. Iyalah, berdiri tegak betul-betul disebelah tandas lelaki. Untuk apa?
            “Nah, hand-wash…” Tareeq menyerahkan bajunya yang telah dikotori tadi kepada Nurin. Mujur sahaja dia seorang yang well prepared, ada sehelai dua baju yang dibawa bersama di dalam kereta. Terkulat-kulat Nurin mengambilnya, kawasan yang kotor dibaju itu dibeleknya.
            “Ingat, cuci guna tangan, bukan mesin. Kalau rosak baju saya, jaga awak!” Tareeq seolah-olah mengugut.
            “Saya memang basuh baju-baju saya dengan tanganlah, saya faham baju Dr. Sufean mahal. Kalau takut sangat, nah bawa pergi dobi.” Nurin menghulur kembali baju kemeja itu kepada Tareeq, geram!
            “Orang bila dah buat salah, bertanggungjawab. Bukan melawan!”
            “Saya tak melawan, tapi Dr. Sufean yang takut sangat saya ni rosakkan baju Dr, jadi lebih baik Dr bawa pergi pakar aje. Betul tak?” Nurin menjawab tanpa bersalah. Geram dengan sikap Tareeq Sufean yang berlagak tu!
            “Nurin, boleh tak kalau awak tak menjawab. Buat aje apa saya suruh, dah awak boleh pergi. Jaga-jaga depan tu gelap, kalau nampak or dengar apa-apa buat tak tahu aje.” Tareeq cuba mengusik. Nurin mencebik bibir.
            “Allah ada, insyaAllah takde apa-apa.” Ujar Nurin bersahaja, Tareeq terkelu lidah, tiada modal untuk membalas. Padan! Bentak hati kecil Nurin. Baju itu dimasukkan ke dalam beg kertas yang ada, lalu terus melangkah ke arah hentian bas utama yang berada di hadapan bangunan Fakulti Alam Bina.
            “How much you pay her, untuk kerja-kerja tu semua?” Soal Tareeq sewaktu mengadakan perbincangan kerja dengan Profesor Azizi malam itu. Sesekali dia menyisip air kopi ais kegemarannya.
            “Looks like you’ve know her early than me.” Profesor Azizi cuba mengusik.
            “Ya, disebabkan satu insiden melibatkan kereta kesayangan I tu…” Ujar Tareeq dalam nada berseloroh.
            “Oh… I see. I paid her every week. Sehari lebih kurang tiga jam, satu jam RM3, so sehari I bagi RM10. For 7 days working, she got RM70. Berpatutankan?” Tareeq mengangguk kepala. Jumlah yang agak besar, tapi kerja-kerja house-keeping ni agak berat. RM70 pun boleh nampak kecil nilainya.
            “You tak patut marah dia macam tu. Dia perempuan, ada jugalah beberapa kali I nampak dia cakap telefon kemudian menangis. I malas nak tanya, mungkin hal peribadi dia. Dia sangat rajin dan yang paling bagus, dia tak pernah merungut sikit pun.” Profesor Azizi cuba menegur secara lembut.
            “Entahlah, marah saya meletus. Mungkin terkejut, lagi terkejut bila tengok muka dia, kali ketiga jumpa dia dan berlaku kemalangan. Malang tak berbaukan?” Mereka ketawa kecil.
            “Dia cantik juga orangnya, sopan pulak tu.” Tareeq mengerut dahi.
            “Prof nak tambah satu lagi ke?” Profesor Azizi gelak besar dengan soalan Tareeq.
            “You jangan buat tak faham, you dah sampai umur di mana seorang lelaki perlukan seorang peneman. Nurin Jannah, calon sesuai untuk dijadikan isteri. Peluang datang sekali aje tau.” Tareeq menelan liur, pulak? Akhirnya, perbualan mereka berakhir dengan begitu sahaja. Tareeq hanya mampu tersengih hujung bibir, tidak tahu untuk berkata apa. Jangan main-main dengan orang tua, kata-kata mereka selalunya menjadi!

8 comments:

ummi rahimi said...

best... cepat sambung!

asen said...

besnye...besnye.. tp .sian kat nurin ....

ainul said...

suka baca....awak student UTM ke???
senang nak bayangkan...sebab saya juga dari sana.

akubersamaCahya said...

ainul : semestinya ^^ tapi dh habes dh

Anonymous said...

excited nak baca bagi habis :3 hope novel akak abc akn meletop di pasaran suatu hari nnty :D -anak muridmu

akubersamaCahya said...

sila baca bg habis ye anak murid ku hehehe ameen ya rabb!

doakan ye :)

eiyla sengedd said...

haha mestila ! i will support n pray 4 u my teacher n my sister abc :3

akubersamaCahya said...

thank u my adik pelajar :)