Hawa membetulkan tudungnya yang
senget ditiup angin laut. Sesekali angin terasa lembut menyapa, namun sesekali
terasa bagai kasar ia menampar muka. Hawa merenung jauh, luas seluas lautan
dihadapannya. Perlahan-lahan, tangan diangkat dan diletakkan ke dadanya. Nafas
dilepas perlahan, bukan mengeluh, bukan juga menghilang lelah, ia bagai
meluahkan tekanan yang ada di dadanya.
“Kenapa
ibu terima?” Kerapkali persoalan itu dibisikkan bibirnya yang kering sekering
mindanya yang diperah mencari jawapan. Matanya dipejam rapat.
“Terimalah,
ini mungkin Qada dan QadarNya. Hawa terima dengan redha.” Setiap kali dia
mencari jawapan, bisikan itulah yang akan menyapa. Mungkinkah ia jawapan kepada
istikharahnya setiap malam? Hawa sendiri tidak pasti, takut jua bisikan syaitan
laknatullah.
“Masih
cuba menolak ‘Adam’ yang hadir wahai Hawa pujaan mata-mata si Adam dunia?”
Suara Huda yang menyapa cuping telinga membuatkan Hawa pantas sahaja membuka
matanya. Hawa kalih memandang Huda yang memeluk tubuh di sisinya.
“Bukan
cuba menolak, itu seolah menuduh Hawa mencari helah.” Hawa menepis telahan
Huda. Huda mencebik dan kemudian mengambil tempat di sisi Hawa yang masih dalam
senyuman hambar.
“Hawa
ini Huda dah terlebih kenal, empat tahun di UTM, dua tahun satu tempat kerja,
cukup rasanya bagi Huda nak kenal diri Siti Hawa.” Hawa meletus ketawanya
kecil. Huda menyaingi kemudiannya. Mereka kemudian senyap tanpa kata, ombak
yang menderu terus sahaja menyapa telinga. Nyaman dan tenang.
“Hawa
masih dalam ragu menerima sesiapa dalam hidup Hawa.” Huda memusing kepalanya
memandang Hawa yang berubah riak, tiada lagi tawa atau senyuman terukir.
Kerutan di dahi melihatkan beban yang terkandung di mindanya.
“Kenapa?
Masih dihantui silap lama?” Hawa melepas keluh perlahan. Tangan disilang ke
tubuhnya.
“Sentiasa.
Bukan masih, sentiasa menghantui Hawa.” Huda menarik tangan Hawa, dan
digenggamnya erat.
“Hawa
terlalu memikirkannya. Tidak cuba melupakan?” Hawa mengangguk lemah.
“Sedaya
upaya. Malah telah lama, sejak perjumpaan terakhir Ustaz Yusoff dulu.” Ujar
Hawa dalam senyuman yang cuba diukir, nampak terlalu rekah senyuman itu.
“Ustaz
Yusoff…” Huda ketawa kecil.
“Ustaz
Yusoff cakap dulu, Hawa terlalu negatif. Hawa telek diri setiap hari, luar
dalam. Alhamdulillah, tekanan itu berkurang dari hari ke hari. Syukur sangat,
Hawa terasa lebih tenang.” Ujar Hawa dalam senyuman, Huda pula mengerut dahi
kurang pengertian.
“Kalau
macam tu, kenapa Hawa teragak-agak lagi dengan keputusan muktamad ibu?” Hawa
kembali menunduk, senyuman itu sekali lagi hilang.
“Hawa
kembali terfikir, si bakal tunangan dan suami Hawa itu menganggap Hawa ini
terlalu baik. Sebab itu ibu bapanya merisik dan meminang Hawa, kononnya Hawa
ini gadis baik-baik. Mereka tidak tahu….” Huda mencelah Hawa yang beralasan
panjang.
“Tiada
kononnya, benar apa yang mereka katakan. Kenapa sangsi?” Hawa mengeluh lagi,
Huda hanya mampu menggeleng.
“Bukan
sangsi. Hawa rasa bagai menipu mereka, sedangkan sebelum ini Hawa terhanyut
dalam dunia remaja Hawa. Bagaimana kalau terbongkar?” Huda mengeratkan lagi
genggamannya.
“Perkara
yang lama, jika mengaibkan dan mendatangkan mudarat tidak perlu dikorek lagi.
Yang lepas, biarkan berlalu Hawa. Hawa terhanyut terlalu kejap, sedangkan ramai
lagi yang terhanyut dan hancur ditimpa badai dunia.” Hawa memandang Huda, lama.
“Hawa
terasa malu hendak bertemu dengan bakal tunangan dan suami Hawa minggu depan.
Bagaimana kalau dia menyoal?” Huda membalas dengan senyuman penuh makna.
“Perlu
berjumpa? Tak takut jatuh cinta sebelum masanya?” Hawa perasan riak ‘nakal’
Huda.
“Huda
ni, bukannya berjumpa berdua, keluarga dia akan datang dan terus adakan majlis
pertunangan. Sebulan kemudian kami akan dinikahkan, itu yang ibu cakap tempoh
hari. Sebulan itulah masa kami untuk kenal diri masing-masing. Hawa takut…”
Huda mengangguk tanda mengerti.
“Serahkan
semua pada Allah. Serahkan semua, jangan ragu dengan apa yang telah
ditentukanNya. Apa yang penting, Hawa sentiasa ingat DIA dan berdoa,
insyaAllah.” Hawa menguntum senyum.
“SubhanaAllah…
Hawa terlalu beruntung ada sahabat sebaik Huda. Kenapa Hawa tidak terfikir
tentang itu. Astagfirullah…. Jawapannya terlalu mudahkan, Allah. Itu
jawapannya. Terima kasih Huda.” Hawa menarik Huda ke dalam pelukannya.
“Alhamdulillah,
semua ini dari Allah dan disampaikan melalui Huda.” Hawa mengangguk dalam
senyuman. Tenanglah hai hati, Allah sudah merencanakan semuanya, tenanglah.
“Jom…”
ajak Huda.
“Ke
mana?” Hawa mengerut dahi.
“Beli
baju untuk majlis pertunanganlah…” Hawa tersengih sendiri, terlupa niat sebenar
dia menghubungi Huda sebentar tadi. Lantas mereka terus berdiri dan melangkah
ke arah kereta yang diparkir di hujung jalan sana.
Andai
sudah berdoa, bermohon pada Dia, mana mungkin Dia mengecewakan. Kalaupun ada
terasa lukanya. Itulah kifarah dosa, juga ujian Dia, sekadar menguji keimananan
kita kepadaNya. InsyaAllah…
………………………………………
“Ibu
mintak maaf Hawa, tak sangka seburuk itu pandangan Danial terhadap kamu.” Ibu
menghampiri Hawa yang masih tersimpuh cantik di atas kusyen nipis berwarna
putih itu. Hawa masih menunduk wajah. Wajah tiada riak sedih mahupun marah.
Senyuman Hawa yang terukir seawal pagi tadi hilang setelah panggilan telefon
itu disambutnya.
“Saya
benci pada manusia hipokrit. Menutup dosa dengan hijab. Menyembunyi kotor
dengan labuhan kainnya. Maaf, saya putuskan pertunangan kita.” Hawa terpempan.
Tatkala menunggu sang pengantin lelaki hadir menjemputnya ke syurga cinta, dia
ditinggalkan dengan penuh duka kecewa. Adakah ini balasan dosa-dosa silamnya?
Cuma
sebulan pertunangan Hawa dan Danial. Disangka Danial dapat menerimanya seadanya
dia. Kiranya jangkaan dia seawal risikan keluarga Danial dulu benar belaka,
menerima Hawa kerana fikirkan Hawa ini sebaik-baik Hawa. Allah, adakah hamba
merosakkan pandangan manusia lain terhadap gadis berhijab dengan tingkah hamba?
Hawa mengeluh sendiri.
“Sudahlah
Hawa, jangan diam macam ni. Jom kita tukar baju, dan cari Danial. Dia tak boleh
buat Hawa macam ni.” Huda yang baru tiba entah dari mana, terus sahaja menarik
tangan Hawa menyuruhnya bangun daripada duduk.
“Huda,
buat apa nak cari dia? Bukan salah dia, ini semua salah Hawa sendiri. Dosa lama
Hawa, inilah balasannya. Hawa redha.” Rintih Hawa. Air mata mula bergenang
dikelopak matanya. Huda menggeleng lemah.
“Sampai
bila mahu menyeksa hati, menyeksa diri Hawa. Lupa? Allah itu Maha Pengampun
Lagi Maha Mengasihani. DIA tidak akan menyeksa jiwa hamba-hambaNya yang
merintih memohon ampun. Hawa lupa?” Hawa mengangguk.
“Hawa
tahu. Kerana itu Hawa terima ini sebagai qada dan qadar Hawa. Janji Allah itu
pasti Huda. Danial bukan jodoh Hawa, Hawa redha.” Huda melutut mendekatkan
duduknya dengan Hawa yang masih tersimpuh. Hawa masih memandangnya, pandangan
Hawa tampak ada luka kecewa namun dipendam jauh di dasar hati.
“Kenapa
sampai macam ini Hawa?”
“Hawa
tahu Allah sayang dengan Hawa, dugaan ini mungkin kecil. Hawa boleh melaluinya.
InsyaAllah.” Huda memeluk erat Hawa yang mula tersedu-sedu menahan tangis. Ibu
yang melihat dari jauh, kelihatan mengesat air mata dengan hujung jari. Hati
Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya diduga sebegini rupa. Namun pada
siapa dia patut memarahi? Bukankah ujian Allah itu tandanya cinta DIA?
“Allah, tuhan yang ku sembah, tuhan
yang sentiasa daku pinta pertolongan. Andai ini balasan kecil, dosa yang ku
lakukan dalam warasku, aku redha Ya tuhan. Aku benar-benar redha” Hawa
mengaminkan doa lalu meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan yang masih
berbalut telekung. Hawa duduk sejenak di atas sejadah. Di sini, waktu ini
hatinya terasa tenang, biarpun matanya perit dek kerana menangis.
“Danial ada dapat gambar Hawa dengan
Hafiz. Sabarlah nak, ini ujian buat Hawa. Semakin kita mahu mendekatinya, makin
kuat ujian yang diberikan. Allah takkan menguji kalau DIA tahu Hawa tak mampu.
Sabar ya sayang.” Masih terngiang-ngiang kata-kata ibu usai solat isyak tadi. Hawa
meraup wajahnya ke sekian kalinya. Mindanya jauh mengingati kisah hidupnya yang
dirasakan telah dicalit warna hitam oleh Hafiz, lelaki pertama yang mencuri
hatinya.
“Awak ni semua tak boleh. Kan saya
dah janji kita akan kahwin, bagilah saya pegang tangan awak. Tangan je kut
bukan apa pun.” Kasar suara Hafiz, bengang dengan Hawa yang sering mengelak
daripada membenarkan dia daripada menyentuhnya. Hawa menggeleng perlahan.
“Saya tak biasa.” Hawa menjawab
sepatah. Hafiz mendekat lagi, Hawa membatu diri.
“Sebab tu kena biasakan…” Hafiz
menutur perlahan ditelinga Hawa. Hawa masih membatukan diri, biarpun kala itu
Hafiz sudah menggenggam erat jemari Hawa yang halus lalu menyambung langkah.
Hati Hawa berdetak laju, antara menyerah dan melawan, namun kerana sayang dia
membiarkan sahaja. Hafiz tersenyum besar, bangga kerana terasa dia berjaya
melembutkan Hawa yang sebelum ini keras melindungi diri. Hafiz lelaki dan
sayang akan Hawa, lalu dialah yang perlu melindungi Hawa, kenapa perlu Hawa
takut dan melindungi dirinya daripada Hafiz kekasihnya sendiri?
“Masih kenangkan kisah lama?” Ibu
menegur, air mata yang mengalir di pipi Hawa disapunya dengan jemari. Hawa yang
tersedar, cuba tersenyum namun hambar. Air mata yang tersisa disapu dengan
belakang tangan.
“Hawa tak boleh lupa pun ibu.” Ibu
mengangguk tanda memahami. Hawa mencantum tangannya dan menggenggam erat. Ibu
menepuk perlahan bahu Hawa lalu menariknya ke dalam pelukan.
“Bagus mengingati dosa dan kesilapan,
tapi jangan sampai menyeksa diri sayang. Sabar, semua sudah selesai.
InsyaAllah, yang lebih baik menanti.” Hawa memejam mata, menghadam kata-kata
ibu sebaiknya.
“InsyaAllah… Hawa minta maaf ya Ibu…”
“Kenapa nak minta maaf?”
“Pasti ibu malu dengan apa yang jadi
hari ni kan?” Ibu ketawa kecil, lalu meleraikan pelukan. Wajah Hawa diangkat
supaya memandang wajahnya.
“Untuk apa ibu malu? Ujian Allah itu
nikmat yang perlu kita syukuri. Pasti ada hikmahnya semua ini berlaku, insyaAllah.
Yang penting adalah sabar dan redha.” Hawa mengangguk perlahan.
“Terima kasih ibu, untuk
segala-galanya.”
“Demi kasih ibu buat anak ibu, ibu
sanggup buat apa saja. Dah la, Hawa tak turun makan lagi, dah pukul berapa ni?”
Ibu menegur.
“Hawa turun kejap lagi, semua dah
balik ye bu?” Ibu mengangguk perlahan dengan sebuah senyuman. Senyuman supaya
Hawa kuat dan tabah menghadapi hari yang sukar.
“Hawa siap-siap, turun bawah makan.
Jangan tidur dengan perut kosong. Perjalanan Hawa masih panjang, masih jauh. Lalui
dengan tabah nak…” Pesan ibu sebelum melangkah keluar dari bilik. Hawa memejam
mata beberapa ketika. Setelah itu, telekung ditanggalkan dan diletakkan
ditempatnya. “Ujian untuk aku masih banyak, aku perlu kuat. Bukan mudah untuk
berubah.” Bisik hati kecil Hawa. Setelah bersiap seadanya, Hawa melangkah
keluar, nasihat ibu perlu dituruti. Hawa yakin, segalanya pasti ada hikmah.
Allah tidak menguji dengan sengaja, pasti ada ganjaran besar yang menanti.
Ujian bagai pertandingan, yang menang ada hadiahnya, yang kalah ada juga habuan
baginya. Allah, pinjamkanlah kekuatan rasulMu Muhammad kepadaku, agar aku
sekuat baginda.
Alunan
lagu Sekadar Lelaki Biasa nyanyian Feelhoney mengiringi kerja-kerja mengemas
kelas Hawa pagi itu. Hari ini cuti peristiwa bagi tadika yang dikendalikan Hawa
dan Huda yang sudah masuk lapan bulan. Tadika Al-Abbasy. Sudah lama Hawa
memendam impian untuk mempunyai tadika sendiri. Sejak belajar di Universiti
lagi. Kecintaan Hawa kepada si kecil membuatkan impian ini semakin ingin
dicapai, siapa tahu rezeki Allah dibalik ujian yang mendatang.
“Aisha,
ni lah bekas tunang I yang beberapa bulan je tu…” Suara garau itu membuatkan
Hawa yang sedang asyik menikmati mee rebus, terus mendongak kepala. Kebetulan
pula Huda baru sahaja ke tandas. Hati Hawa merasa tidak enak, seperti ada yang
buruk bakal berlaku, namun disangkalnya. Tidak mahu berburuk sangka.
“Tunang
you? Biar betul? Taste you memang ustazah ke Danial?” Gadis yang berskirt
singkat dan berbaju sendat itu ketawa sinis, seolah memerli Hawa yang masuk
duduk dikerusinya. Danial tersenyum nipis, kerusi di hadapan Hawa ditariknya
lalu melabuhkan duduk.
“Ustazah
la sangat. Ustazah dah kena tebuk kut…” Hawa tersentak. Hatinya berdetak laju.
“Astagfirullah.
Danial, saya boleh biarkan awak menghina diri saya tapi bukan maruah saya. Awak
jangan buat fitnah.” Hawa bersuara tegas, namun masih dijaga supaya tidak
menarik perhatian orang lain yang ada di restoran itu. Ramai rakan sekerjanya
yang turut berada di situ, malulah jika ada yang mendengar atau melihat.
“Apa
salah yang aku cakap? Kau sembunyikan kotor-kotor kat badan kau tu dengan
tudung kau yang labuh ni!” Danial bersuara tinggi, tangannya yang cuba mencengkam
tudung Hawa ditepis laju oleh Huda.
“Encik
Danial. Maaf ya, awak dengan Hawa sudah tiada apa-apa lagi. Saya rasa lebih
baik encik beredar sekarang dari sini.” Huda berdiri tegak di sisi Danial
dengan renungan mata yang tajam.
“Kenapa?
Takut orang lain tahu rahsia gadis bertudung litup ala-ala ustazah kat depan
ni.” Danial masih lagi menyindir Hawa yang sudah menunduk ke lantai. Hawa malu.
Pandangan orang-orang di sekeliling sudah bertambah. Huda menggenggam kedua-dua
belah tangannya, menahan sabar yang sudah dipenghujung.
“Saya
cakap dengan baik…” Huda masih berkompromi.
Gadis yang berbaju seksi di sisi Danial sudah ketawa besar. Mungkin
sekadar menyindir Hawa yang sudah diam kelu tidak berkata.
“Aku
ni, buruk-buruk aku, aku mengaku yang aku buruk, tapi dia menipu…. Dah rosak tu
buat la cara rosak tapi tak, konon alim, tudung segala…” Danial yang sudah pun
bangun dari duduknya masih lagi menyindir Hawa. Hawa turut bangun dari
duduknya, dan terus sahaja menarik tangan Huda supaya beredar daripada situ.
Belum sempat Hawa melangkah jauh, Danial cuba menarik tudung yang dipakai Hawa.
Hawa terkejut besar, hampir sahaja tudung yang menutupi mahkota yang dijaga
selama ini terlucut.
“SubhanaAllah,
encik…. Sekalipun dia isteri encik, salah untuk encik memalukan dia di tempat
awam macam ni.” Tegur lelaki yang menepis tangan Danial daripada terus merentap
tudung Hawa. Huda kalut cuba membantu Hawa membetulkan tudungnya. Danial
merengus kasar.
“Ustaz
mana pulak datang ni….” Sindir Danial kepada lelaki yang membantu Hawa. Lelaki
itu cuma tersenyum.
“Bukan
ustaz, tapi sebagai saudara sesama islam. Walau apa pun masalah encik dengan
saudari ni, salah apa yang encik cuba lakukan tadi….” Perlahan sahaja lelaki
itu menegur.
“Sudahlah…
korang semua ni sama aje. Alim konon. Jom Aisha…” Terus sahaja Danial beredar
dari situ, mungkin panas dengan teguran daripada lelaki tersebut. Huda masih
erat memeluk bahu Hawa yang sudah tidak mampu menahan air mata.
“Saudari
berdua tak apa-apa?” Huda mengangguk perlahan.
“Terima
kasih.” Huda berbasa basi. Hawa menyapu air matanya dengan hujung jari.
Wajahnya di angkat menghadap lelaki yang membantunya sebentar tadi.
“SubhanaAllah…
Hawa?” Lelaki itu menegur, riak wajahnya yang tadi tenang berubah kepada riak
wajah terkejut.
“Encik
kenal saya?” Hawa bersuara, Huda memandang lelaki itu lama seolah-olah cuba
mengamati wajah itu. Hawa memandang Huda, meminta jawapan.
“Sudah
hampir tiga tahun selepas kita berjumpa di masjid dulu.” Lelaki itu bersuara
lagi, kali ini seolah-olah memberikan jawapan kepada siapa dirinya. Hawa
mengerut dahi, tak lama…
“Ustaz
Yusoff?” Lelaki itu ketawa kecil.
“Belum
layak bergelar ustaz…”
“SubhanaAllah,
lain Yusoff sekarang, sampai kami berdua tak boleh nak cam.” Huda mencelah.
Hawa sekadar tersenyum.
“Takde
yang lain, Huda dan Hawa aje yang tak kenal saya.” Yusoff bersuara, sengaja
membuat seolah hatinya menjauh.
“Kami
tak pernah lupa dengan Ustaz Yusoff, yang membuka kembali mata dan hati Hawa
untuk yakin bahwa Adam yang dicarinya ada.” Huda bersuara lagi, pandangannya
berarah pada Hawa yang tersenyum hambar.
“Adam
itu ada, tapi jauh untuk Hawa ini capai. Apatah lagi untuk mengejar, Hawa ini
tak terdaya.” Hawa bersuara perlahan. Yusoff tidak mecelah sekadar mengangguk
perlahan. Tidak mahu pertemuan mereka selepas hampir tiga tahun dimulakan
dengan sesuatu yang pedih dan sedih.
“Merenung
apa pada bola kaca? Hajat takkan tertunai hanya dengan merenung dan membuat
hajat.” Suara itu mengejutkan Hawa, hampir sahaja bola kaca yang dipegang
terlepas. Hawa kalih memandang ke arah suara itu.
“Masih
waras untuk tahu kepada siapa harus saya nyatakan hajat saya.” Hawa membalas
dengan senyuman. Bola kaca itu diletakkan kembali ke tempatnya. Berus yang
digunakan untuk membuang habuk diletakkan di meja kecil, kemudian Hawa
melangkah terus ke muka pintu.
“Sorang
aje? Mana Huda?” Yusof menyoal, takut juga menimbul fitnah kalau hanya Hawa
seorang di situ.
“Huda
ada di belakang dengan Suriati. Ada apa Ustaz datang, mahu hantar anak ke
tadika kami ke?” Hawa mengacah.
“Alhamdulillah,
niatnya begitulah. Walaupun baru 8 bulan, tadika Al-Abbasy sudah jadi bualan
orang ramai. Kurikulum yang bagus, guru-guru yang baik dan bijak, anak-anak
yang datang semua pulang dengan senyuman walaupun paginya datang dengan
tangisan.” Yusoff memuji, panjang lebar.
“Alhamdulillah,
Abbasy, rajin berusaha… kita terapkan perkara tu dalam diri kita dan anak-anak.
Betul ni nak hantar anak? Marilah masuk dulu, kita bincang di dalam, saya
panggilkan Huda sekejap.” Hawa dalam kejut gurauannya nyata benar. Di tepuk
perlahan hatinya, tidak mahu ada ombak rasa lain di situ. Ustaz Yusoff bukan gandingannya.
“Assalamualaikum
Yusoff… Hawa kata awak nak hantar anak awak?” suara Huda yang baru tiba dari
belakang, berdua dengan Suriati, salah seorang pembantu di tadika mereka.
“Waalaikummussalam.
A’ah, anak saudara saya. Kebetulan kakak saya tu tinggal berdekatan sini,
daripada dia hantar kepada pengasuh lebih baik ke sini, boleh juga diterap ilmu
agama dalam diri si kecil tu nanti.” Huda mengangguk dengan senyuman melebar.
“InsyaAllah.
Anak saudara? Ingatkan anak Ustaz Yusoff tadi…” Yusoff hanya berkerut dahi.
“Kahwin
pun belum mana pula datang anaknya…” Yusoff ketawa kecil.
“Mujurlah…
kalau tak kecewalah si Hawa tu…”
“Huda…”
Hawa menepis gurauan Huda dengan pantas. Air yang ditatangnya diletakkan di hadapan
Yusoff dan Huda. Suriati yang sedang menyusun buku-buku hanya tersenyum melihat
Huda yang sering sahaja mengusik Hawa. Suriati faham benar keakraban dua
sahabat itu. Huda senantiasa mengukir senyuman di bibir Hawa yang seringkali
hanyut dalam anganan dukanya. Suriati lihat semua dan faham semuanya. Dalam
hatinya, dia sentiasa berdoa agar dua gadis itu bahagia dan sentiasa tabah
dalam menghadapi liku-liku kehidupan.
“Tak
perlu kecewa, Adamnya akan hadir suatu hari nanti. Istikharah dan tunggu janji
Allah…” Yusoff menutur perlahan dalam tunduk wajahnya. Hawa yang mendengar
hanya diam tiada kata. Huda tersenyum-senyum mengusik.
“Ameen.”
Ucap Huda dan Suriati serentak, sampai tangan mereka meraup wajah. Hawa
menjeling tajam. Sengaja! Huda, Suriati dan Yusoff ketawa kecil dengan jelingan
Hawa.
Hawa
merenung jauh keluar jendela. Jika dahulu Danial kini Haikal. Kali kedua dia
dipinang, belum sempat memberikan jawapan, pinangannya itu dibatalkan. Perkara
dan sebab yang sama. Hawa bukan perempuan yang baik. Hawa memejam erat matanya.
Ujian ini amat berat, namun Hawa yakin dengan janji Allah. Tidak akan
diletakkan bebanan yang tidak tertanggung oleh dirinya. Allah tidak zalim. Ini
hanyalah ujian tatkala hatinya berusaha mendekati cintaNYA Yang Agung.
“Jangan
dititiskan air mata untuk Adam yang buta dengan fitnah.” Suara tegas Huda
menyapa telinganya. Hawa kalih memandang Huda yang sudahpun duduk dibirai
katilnya.
“Tiada
air mata untuk ujian ini. Air mata hanya untuk membasuh dosa-dosa Hawa dulunya.
InsyaAllah, hati Hawa akan kuat menghadapi ujian Allah ini. Ujian ni tandanya
Allah sayangkan Hawa. DIA mahu menguji setakat mana Hawa bersungguh untuk
mendekatiNya.” Ujar Hawa dalam senyuman.
“Alhamdulillah…
Bukan jodoh Hawa. Adam untuk Siti Hawa ini belum hadir. InsyaAllah Huda
sentiasa doakan yang terbaik buat Hawa.” Ujar Huda, kemudian dia melangkah
perlahan ke arah Hawa yang masih berdiri di jendela. Dikeluarkan sesuatu
daripada beg tangannya.
“Siapa
ini?” Ujar Hawa tatkala memandang seraut wajah dalam gambar yang dihulurkan
Huda.
“Ahmad
Hariez. InsyaAllah dua bulan lagi dia bakal menjadi suami kepada Nurul Huda.”
Ujar Huda dalam senyuman yang mekar. Hawa terlopong.
“Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah.” Tubuh Huda erat dipeluknya. Huda hanya ketawa kecil
dan membalas pelukan Hawa. Tak lama, Hawa merenggangkan pelukannya.
“Tak
pernah bagitahu apa-apa dekat Hawa pun?” Hawa mengecilkan mata, sekadar
mengancam Huda.
“Minggu
lepas, pinangan daripada keluarga Hariez. Huda tak pernah kenal, tapi selepas
istikharah Huda putuskan untuk menerima Hariez. InsyaAllah, Allah lebih tahu
semuanyakan…” Hawa mengangguk perlahan, sekali lagi tubuh Huda dirangkulnya.
“Alhamdulillah…
InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja…” Kedua-dua mereka hanyut dalam
perasaan masing-masing.
“Sampai
bila Hafiz akan buat perkara macam tu?” Soal Huda sewaktu mereka sedang asyik
menikmati minum petang di rumah Hawa.
“Hawa
tak tahu. Hawa nak jumpa dia, nak sangat berdepan dengan dia.” Ibu yang lalu di
dapur menyampuk.
“Tak
payah la… nanti jadi macam-macam pula.” Huda mengangguk bersetuju dengan Ibu.
“Selagi
tak berdepan, makin banyak pula gambar-gambar Hawa dengan dia disebarkan bu…
buruk nama Hawa tak apa tapi bila sudah berkait nama ibu dan abah, Hawa geram
bu…” Ibu menggeleng perlahan.
“Biarkan,
insyaAllah… tak lama nanti berhenti la dia buat kerja macam tu.” Ujar Ibu
perlahan. Hawa mengeluh perlahan, Huda sekadar memandang dua beranak itu.
“Cakap
ibu ada betulnya. Hafiz tu entah kat mana, buatnya bila jumpa dia buat
macam-macam dengan Hawa macam mana? Nauzubillah…” Huda menggeleng laju bila dia
sudah terfikirkan bukan-bukan.
“Hawa
tak pergi seorang la, Hawa boleh ajak Ustaz Yusoff…” Huda hampir tersembur dek
mahu ketawa. Hawa tercenggang, salahkah?
“Bukan
muhrim. Mau pergi berdua, nikah dulu dengan Yusoff, kemudian baru pergi berdua
ye Cik Hawa.” Hawa menggigit bibir. Ibu yang sedang membersihkan dapur turut
ketawa kecil.
“Huda
ni, Huda mestilah ada sekali. Suka cakap bukan-bukan.” Hawa menjeling, tidak
suka Huda mengusiknya dengan Yusoff.
“Hawa
ni, tak suka ke dengan Yusoff. Dia tu hampir sempurna untuk dijadikan SUAMI.”
Sengaja ditekankan perkataan suami. Hawa menyisip perlahan air teh yang masih
berbaki.
“Ibu
pun berkenan…” sampuk ibu sebelum berlalu ke depan. Hawa tercenggang sendiri
dengan kata-kata ibu. Huda ketawa kecil.
“Kan…
ibu pun suka… Hawa tak suka?” Huda cuba menyakat Hawa.
“Kalau
Hawa suka sekalipun, Huda rasa Ustaz Yusoff boleh terima Hawa ni?”
“Boleh,
lupa dengan pinangan Yusoff masa kita dekat UTM dulu?” Hawa menggigit bibir,
bagaimana dia boleh lupa dengan hari itu. Hari di mana hatinya berdegup tidak
berhenti. Dek kerana malu dan terasa dirinya terlalu jauh berbeza dengan
Yusoff, pinangan itu ditolak terus tanpa berfikir ataupun istikharah.
“Dia
tak tahu Hawa ini macam mana, sebab itu dia pinang. Sekarang dia dah tahu,
tambah pula kalau dia dapat gambar-gambar Hawa dengan Hafiz. Lagi lah… mungkin
dia menyesal sebab pernah meminang Hawa.” Huda menepuk perlahan tangan Hawa.
Hawa terkejut dengan perbuatan Huda.
“Berhenti
mengutuk diri dan terlalu merendah diri. Hawa perlu yakin dengan diri sendiri.
Yakin dengan Allah. Kalau Allah kata Yusoff itu Adam yang Hawa cari selama ini,
siapa Hawa untuk menolak? Dan Siapa Yusoff untuk lari daripada menerima? Huda
yakin, Yusoff masih lagi mahukan Hawa ini menjadi surinya… percayalah.”
“Terima
kasih Huda. Tapi… tak nak percaya, nanti Hawa jadi syok sendiri pula dengan
Ustaz Yusoff.” Hawa cuba bergurau, Huda pula mencebik dengan kata-kata Hawa.
Degup itu ada setiap kali Yusoff di depannya. Namun takut hatinya sekadar
bermain dengan nafsu dunia, Hawa cuba menepisnya. Tak mahu sungkur tanpa ada
halalnya bagi dia dan Yusoff. Tak mahu jatuh pada yang salah. Tak mahu membazir
pada yang bukan dijanji Allah. Lalu degup hati itu dibiarkan henti dengan
sendirinya.
…………………………………………………………………….
“Hawa
boleh jelaskan tentang gambar tu… Hawa mintak maaf, jangan buat Hawa macam ni…
Hawa sayangkan abang…” Hawa masih duduk berteleku dihujung kaki suaminya.
Yusoff hanya diam tanpa kata. Diraup wajahnya berkali-kali. Sudah seminggu dia
menerima gambar itu dan seminggu juga dia cuba menjauh daripada Hawa. Sepanjang
minggu itu Hawa bersoal kepadanya tentang tingkahnya yang berbeza. Malam ini,
dia memberikan kesemua gambar-gambar yang diterimanya itu kepada Hawa. Nyata,
apa yang dijangka berlaku. Hawa memang sangat terkejut sebaik menerima
gambar-gambar tersebut, sebagaimana reaksinya sewaktu menerima gambar tersebut
di pejabat minggu lepas.
“Hawa
mengaku itu memang gambar Hawa tapi waktu itu Hawa tersilap langkah. Masa Hawa
hanyut dalam keseronokan dunia. Hawa minta maaf, Hawa betul-betul minta maaf.
Hawa tak tahu nak jelaskan macam mana, tapi Hawa berani janji yang Hawa sudah
berubah. Hawa minta maaf.” Kaki suaminya dipegang erat. Yusoff hanya memandang
tanpa reaksi.
“Berikan
abang masa… Hawa keluar dulu. Nanti kita bincangkan.” Hawa terkedu dengan
permintaan Yusoff. Adakah Yusoff juga seperti Danial dan Haikal yang tidak
dapat menerimanya apabila gambar dia dan Hafiz yang sedang berpelukan itu
diterima mereka? Perlahan-lahan Hawa melepaskan pelukannya pada kaki Yusoff,
lalu bangun perlahan-lahan dan terus melangkah perlahan keluar daripada bilik.
Air mata dibiar mengalir laju dipipi.
Pintu
bilik ditutupnya perlahan. Sungguh, Hawa takut dengan kemungkinan-kemungkinan
yang bakal terjadi. Jika dahulu putus tunang, tidaklah dia terlalu sedih. Namun
kini jika terpisah kasih antara dia dan suami yang amat dicintainya, perit itu
pasti dirasainya. Laju sahaja langkah diatur ke bilik tamu, dia perlu mengadu,
dia perlu luahkan tangisannya yang penuh di dada kini.
“Hawa
masih lagi dalam bayangan kisah lama…” Yusoff bersuara perlahan. Tubuh Hawa
yang berlalu dibalik pintu hanya dipandang sepi. Bukan mahu menyeksa isteri
yang dicintainya itu, tetapi sekadar menguji kasih Hawa padanya. Juga sebagai
denda kerana Hawa menyembunyikan tentang kehamilannya daripada Yusoff.
Dari
luar bilik lagi sudah terdengar suara tangisan Hawa. Hati Yusoff terkesan.
“Kejamnya aku membuatkan isteri aku menangis begitu…” Perlahan-lahan Yusoff
membuka pintu bilik tamu itu. Kelihatan Hawa yang sedang menangis dalam
solatnya. Yusof sesal sendiri. Gurauannya terlalu kasar buat si isteri.
“Ya
Rabbul Izzati, kukuhkan cinta kami suami isteri. Jangan Kau pisahkan kasih
kami. Sungguh daku sudah menyesali tiap dosaku dahulu. Hadirnya suamiku
membuatkan daku lebih mencintaimu Ya Rahman. Ampunilah dosaku, lembutkanlah
hati suamiku untuk memaafkan kesilapan laluku… Allah…” Sebaik sahaja Hawa
mengaminkan doanya, Yusoff memeluk tubuh Hawa daripada belakang.
“Allah
memakbulkan doamu wahai permaisuri hatiku…” Yusoff berbisik lembut ditelinga
Hawa. Hawa yang masih terkejut dengan pelukan itu terus sahaja memandang wajah
Yusoff di sisinya.
“Abang…”
tutur Hawa dalam ketar tangis.
“Maafkan
abang kerana membuat Hawa menangis macam ni.” Hawa menggeleng laju.
“Hawa
minta maaf.” Yusoff mengeratkan pelukannya.
“Abang
tak marah. Gambar itu memang buat abang cemburu tapi tidak terkesan pada cinta
abang untuk Hawa dan semestinya cinta Hawa pada abang.” Hawa mengucap syukur.
“Tapi
kenapa seminggu ni abang macam menjauh daripada Hawa?” Yusoff menarik bahu Hawa
supaya menghadapnya. Lalu dia duduk bersila dia hadapan Hawa. Sekeping gambar
kecil diberikan kepada Hawa. Hawa terlopong.
“Sampai
hati Hawa sembunyikan daripada abang. Kalau abang tak jumpa gambar ni, entah
bila abang akan tahu. Kenapa?”
“Hawa
minta maaf. Hawa bukan sengaja nak diamkan tapi…” Suara Hawa teragak-agak.
“Tapi
apa?”
“Hawa
nak buat kejutan lusa nanti…”
“Kenapa
lusa pulak?”
“Erm…
hari lahir abang, ni hadiah Hawa untuk hari lahir abang lusa nanti.” Suara Hawa
sambil menunduk wajah. Yusoff tersenyum mendengar kata-kata Hawa. Sungguh
isterinya sangat menyenangi hatinya. Tiap apa yang dilakukan Hawa pasti atas sebab
yang kukuh dan sekadar untuk menyenangi hati suami. Syukur Yusoff atas
pemberian Allah ini kepadanya.
Yusoff
memegang dagu Hawa dan menolaknya ke atas agar matanya bertemu dengan mata
isterinya. Lalu dia menghadiahkan kucupan yang hangat ke dahi isterinya.
“Terima
kasih sayang….” Hawa yang malu-malu hanya tersenyum dan kembali menunduk wajah.
Yusoff ketawa kecil. Sifat malu isterinya ini yang sering membuat Yusoff
semakin rasa cinta dan bertuah memiliki Hawa.
“Betul
abang tak terasa apa-apa dengan gambar-gambar Hawa tu…?” Soal Hawa lagi seusai
mereka solat isyak malam itu. Yusoff yang sedang meletakkan sejadah di
tempatnya hanya mengangguk.
“Betul?”
Soal Hawa lagi. Yusoff mengerut dahi, langkahnya diatur menghampiri Hawa. Lalu
di tarik perlahan tangan Hawa dan mereka berdua duduk dibirai katil.
“Kita
dah bincang hal ni kan sayang… kenapa tanya lagi?” jari jemari Hawa digenggam
erat.
“Hawa
takut abang marah dengan Hawa.” Hawa bersuara perlahan.
“Jangan
takut. Pernah abang marah Hawa tanpa sebab?” Hawa menggeleng.
“Abang
marah bila Hawa malas bangun subuh aje.” Hawa mencebik.
“Mana
ada Hawa malas, Hawa lambat sikit aje bangun…” Yusoff ketawa kecil.
“Sama
la tu…” Yusoff bersuara lagi. Malu bila suaminya mula membuka cerita yang membuatkan
dia malu sendiri.
“Mana
ada… abang ni…” Hawa menidakkan lagi. Yusoff mencuit hidung isterinya,
membuatkan Hawa makin malu-malu. Yusoff sudah kenal Hawa yang pemalu dan senang
memerah wajahnya bila diusik manja begitu.
“Sayang
jangan risau. Kisah lama sayang abang tak akan ungkit atau jadikan sebagai satu
perkara yang membuatkan kita bergaduh. InsyaAllah, kisah masa depan kita abang
akan ukir sebaiknya. Semua ini ujian Allah kepada kita dalam kehidupan berumah
tangga. Abang akan cuba menjadi ketua keluarga yang baik, untuk sayang dan
bakal anak-anak kita nanti. Sayang tegur salah abang dan abang tegur salah
sayang. InsyaAllah… semuanya akan baik-baik sahaja.” Hawa lega mendengar
penjelasan Yusoff.
“Hawa
bersyukur pada Allah. Setiap hari Hawa berdoa moga Allah hadirkan Adam yang
boleh membimbing Hawa ke arah cintaNYA Yang Agung. Hawa tunggu dalam sabar,
ujianNya datang satu persatu. Namun keyakinan pada janjiNya membuat Hawa kuat
menghadapi setiap ujian tu. Dalam Hawa tak sedar, Adam yang Hawa cari selama
ini sebenarnya ada dihadapan Hawa. Muhammad Adam Yusoff… sedari dulu Adam ini
dihadirkan pada Hawa tapi khilaf Hawa menutup pandangan dan hati Hawa untuk
menerima. Terima kasih kerana menerima Hawa seadanya Hawa.” Yusoff memandang
wajah isterinya dengan penuh kecintaan dan mengangguk perlahan.
“Adam
mu ini sudah lama menunggu hati Hawanya ini terbuka untuk menerimanya. Cinta
kerana DIA menjadikan Adam mu ini sabar menunggu. Cinta yang terlahir dalam
rumahNya menjadikan Adam mu ini kuat dalam menongkah nafsu dunia. Terima kasih
kerana membuka hatimu untuk menerimaku duhai Hawaku. Moga cinta kita ini
diberkahi Allah dan di dalam rahmat kasih sayangNya. InsyaAllah….”
++++++
Ya
Allah Ya Latif Ya Rahman Ya Rahim
Ya
Allah, engkau mengetahui bahawa hati-hati
ini
telah bersatu kerana mengasihimu,
bertemu
untuk mematuhimu,
bersatu
memikul amanahmu,
hati-hati
ini telah mengikat janji setia
untuk
mendaulat dan menyokong syariatmu,
maka
eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
kekalkan
kemesraan antara hati-hati ini
akan
jalannya yang sebenar. Penuhkan hati ini
dengan
cahaya Rabbanimu yang tidak kunjung malap.
Lapangkan
hati-hati ini dengan limpahan
keimanan
dan keyakinan,
Jadikan
kami suami/isteri yang soleh/solehah
dan
berikan kebahagiaan yang berkekalan
buat
kami di dunia dan di akhirat.
Amin
Ya Rabbal Alamin.