N & N
(Noh
Daniel + Nur Nadia)
Part 9
“Nadia tunang aku. Aku nak bawak dia
balik harini juga.” Tuan Hassan yang membelakangi semua orang di ruang tamu itu
bersuara tegas. Noh Daniel yang kebetulan masuk ke ruang itu merengus marah.
“Nur Nadia isteri saya yang sah.
Tiada siapa yang ada hak ke atas dia melainkan diri dia, saya dan Allah.” Semua
yang ada terdiam. Tuan Hassan mengalih badannya laju memandang ke arah Noh
Daniel dengan pandangan yang menikam.
“Tapi dia tunang aku. Kau dah ambil
hak aku menjadi hak engkau.” Marah Tuan Hassan dengan bengis.
“Tunang tidak menjanjikan apa-apa.
Lagi pula, Nadia dah ceritakan semua dekat saya. Bagi saya itu bukan tunang
atau apa-apa. Cuma paksaan seorang lelaki yang teringin beristeri lebih dari
dua.” Sinis sekali Noh Daniel membalas. Tuan Hassan rasa ditampar kuat. Berang
jadinya.
“Danny.... Duduk dan bincang hal ini
elok-elok.” Datuk Nour Rahman mencelah di saat Tuan Hassan mahu membidas.
“Semua ni salah budak tak guna tu.
Semua jadi kacau bilau.” Salleh, pak cik yang menjaga Nur Nadia selepas
kematian ibu abah mencelah. Nadia dijeling penuh benci. Nadia sedari tadi sedia
memegang belakang baju Noh Daniel. Bersembunyi di balik suami.
“Baik-baik sikit ya pak cik. Nur
Nadia nama isteri saya, bukan budak tak guna.” Noh Daniel membela, berang
mendengar makian sebegitu kepada Nadia.
“Okay sekarang semua diam dan
bertenang. Kita bincang.” Datuk Nour Rahman cuba mengawal keadaan.
“Nur Nadia sudah menjadi isteri
kepada Noh Daniel anak lelaki saya... Kiranya Nadia dah jadi anak saya jugalah.
Ahli keluarga kami. Saya tak salahkan Nadia sebab sebelum saya kahwinkan mereka
berdua, saya dah telefon Encik Salleh. Ingat lagi tak? Encik Salleh tak ada
maklumkan yang Nadia ni dah bertunang. Kenapa tiba-tiba harini datang nak bawak
Nadia balik?” Datuk Nour Rahman bersuara tegas tetapi dalam tenang.
“Tapi kan aku tak setuju masa tu!”
Salleh membela diri. Tuan Hassan memandangnya tajam seperti mahu telan!
“Iya saya tahu. Encik Salleh cuma
kata Encik tak setuju Nadia kahwin aje. Encik tak nak apa-apa alasan daripada
saya. Encik cuma kata Encik tak bagi Nadia kahwin dengan Noh Daniel. Itu sahaja.
Tak ada pula nyatakan yang Nadia dah bertunang.” Datuk Nour Rahman mengulang
kembali apa yang telah dibincangkan sebelum Nadia dan Noh Daniel dikahwinkan.
“Sebab dia dah bertunanglah aku tak
bagi dia kahwin. Kau ni...” Salleh sudah tidak senang duduk. Gelabah!
“Nadia... tiba masa untuk Nadia
untuk jelaskan semuanya daripada pihak diri Nadia sendiri.” Datuk Nour Rahman
memanggil Nadia yang sedari tadi hanya berdiam diri.
“Nadia tak pernah bertunang...”
Nadia mula bersuara namun cepat sahaja dicelah.
“Apa yang kau cuba menipu ni?” Tuan
Hassan berang.
“Bila Nadia menipu? Tuan Hassan dan
Pak cik yang cuba menipu sekarang ni!” Nadia meninggi suara. Cuba melepas
segala yang tersimpan dalam hatinya. Tangan Nadia yang menggigil digenggam erat
oleh Noh Daniel, bagai menyampaikan kekuatan buat Nadia.
“Kau boleh belajar sampai sini pun
sebab aku yang izin. Kalau tidak kau dah lama jadi bini aku. Kau dah janji nak
kahwin dengan aku!” Tuan Hassan masih tak berpuas hati.
“Ya janji. Janji seorang budak
hingusan yang baru habis sekolah yang tiba-tiba kena paksa kahwin dengan lelaki
yang sama umur dengan ayah dia. Janji itu yang Tuan nak tuntut? Apa, tak cukup
lagi ke isteri-isteri Tuan dekat kampung tu?” Air mata Nadia mulai mengalir di
pipi. Pedih benar apabila janji sebegitu yang dipinta untuk ditemeterai. Janji bodoh!
“Aku tak kira! Kalau kau tak ikut
aku balik harini. Aku nak kau bayar semua hutang-hutang bapak kau ni!” Salleh
sudah gelabah. Hilang arah! Hutangnya sudah hampir berpuluh ribu. Mana nak
kaut?!
“Nadia... kau kena ikut aku balik. Kau
kena kahwin dengan Tuan Hassan.” Salleh sudah tidak tentu arah.
“Tak! Nadia dah janji pada diri
Nadia untuk takkan jejak lagi ke kampung. Nadia dah tekad sebaik sahaja Nadia
melangkah keluar dari rumah tu.” Tegas Nadia. Salleh bengang.
“Habis tu siapa nak bayar hutang
semua tu?”
“Arwah abah dengan ibu tak pernah
berhutang. Itu semua hutang pak cik. Pak cik selesaikan sendiri. Jangan gunakan
Nadia.”
“Kurang ajar!” Tangan Salleh laju
mahu mencecah muka Nadia, namun Noh Daniel lebih pantas. Tangan itu ditepis
sekuatnya.
“Nur Nadia isteri saya yang sah. Jangan
pernah bermimpi nak sentuh dia lagi.” Perlahan dan sinis menikam ke hati. Salleh
mengetap gigi menampakkan rahangnya bergerak-gerak. Mana terlawan kekuatan
orang muda.
“Aku bela kau dari kecik, hutang aku
semua sebab aku nak sekolahkan kau! Tak kenang budi!” Tempelak Salleh. Nadia
memejam matanya erat-erat. Menelan semua kepahitan itu.
“Berapa perlu dibayar supaya Tuan
Hassan dan Encik Salleh tak ganggu kami sekeluarga lagi?” Datuk Nour Rahman mencelah
dalam kekalutan itu. Mungkin itu yang mereka ini mahukan sebenarnya. Wang.
“Aku nak lima puluh ribu.” Tuan
Hassan membalas angkuh. Salleh menelan liur. Ya, jumlah itu yang diminta-minta
Tuan Hassan sejak Nadia tak lagi pulang ke kampung.
“Baiklah saya boleh beri. Lia...
ambilkan buku cek saya.” Datin Nurlia hanya menurut. Sedari tadi Datin Nurlia
hanya diam dan memerhati. Sesekali dia mengesat air matanya yang bergenang di
tubir mata.
“Tak perlu papa.” Nadia menghalang.
“Tapi kenapa?” Datuk Nour Rahman
menyoal.
“Nadia tak buat pak cik berhutang. Nadia
sekolah, Nadia belajar sampai sini semuanya duit arwah ibu dan abah.”
“Aish... budak ni. Kau tahu apa
hah?! Aku yang tanggung semua lepas mak bapak kau mati!” Salleh bengang. Nadia yang
dulu hanya menurut kata kini sudah pandai bersuara dan membalas kata-kata. Mahu
sahaja dia menginjak-injak tubuh itu seperti dahulu. Penumbuknya dikepal. Bengang!
“Saya bukan terlalu kecik sampai tak
boleh nak ingat dan faham. Setiap kali nak masuk sekolah, Nadia akan bayar guna
barang kemas arwah ibu. Cikgu sekolah Nadia boleh jadi saksi dan bukti. Bila Nadia
dah sekolah menengah, satu persatu harta dan barang kemas arwah ibu dan abah
pak cik paksa Nadia gadaikan atas alasan untuk Nadia sekolah. Nadia sambung
ijazah atas duit yang arwah abah carumkan untuk Nadia. Mana yang pak cik
katakan Nadia buat pak cik berhutang? Mana?” Satu persatu yang Nadia suarakan
dihadam. Salleh menelan liur yang terasa begitu kesat seperti segumpal batu
kasar.
“Habis makan minum kau?!”
“Tak cukup ke dengan harga rumah dan
kereta arwah ibu dan abah yang pak cik jual?” Salleh diam. Kaku. Mati kata.
Nadia yang disangka lurus bendul rupanya sangat bijak. Nadia yang disangka
lembik selama ini seorang yang amat tegas dan teliti.
“Saya rasa dah jelas semuanya. Tuan
Hassan dan Encik Salleh dah tak ada apa-apa urusan dengan keluarga saya.” Datuk
Nour Rahman bersuara. Tuan Hassan berderam. Tidak mampu bersuara apa. Kalau di
kampung, dia boleh berlagak hebat kerana ramai yang berhutang dengannya. Di sini
dia bukan sesiapa, bukan tempatnya.
“Aku tak kira. Aku mana ada duit nak
bayar hutang tu semua. Haaa... duit hantaran kahwin budak ni mana? Takkan aku
tak merasa satu sen pun?” Salleh meminta. Tidak tahu malu! Nadia menghela
nafas, kecewa. Malunya jika Salleh adalah saudara sedarah dengannya.
“Saya kira tidak perlu saya beri
kepada pak cik. Pak cik bukan sesiapa dengan Nadia. Bukan wali Nadia. Apatah
penjaga yang baik untuk Nadia.” Noh Daniel yang mengawal sabarnya menempelak.
“Habis aku jaga dia sampai hidup
sekarang ni?” Salleh berang. Mati kutu dibuatnya mencari jalan untuk bayar
hutang Tuan Hassan.
“Mujur panjang umur Nadia. Allah nak
bagi Nadia rasa bahagia. Nadia dah cerita semua pak cik. Dari dia kecik sampai
besar, bahagian badan mana yang pak cik yang libas? Bahagian tubuh dia yang
mana pak cik tak hentak? Cuba pak cik bagitahu saya?” Salleh sudah tidak tentu
arah. Tak lagi mampu berada di situ, malu mula menapak keluar. Terus sahaja dia
melangkah keluar dengan rengusan marah dan bengang. Tuan Hassan kemudian
mengikuti langkah Salleh. Tanpa meminta maaf atau berbahasa. Mereka keluar
begitu sahaja. Keluar dengan amarah!
“Nadia....” Datin Nurlia memanggil. Tangannya
mendepa luas menggamit Nadia kepelukkannya. Nadia terus sahaja meluru memeluk
erat Datin Nurlia. Melepas semua tangisannya. Datuk Nour Rahman dan Noh Daniel
saling berpandangan dan melepas lelah masing-masingnya.
“Macam mana kamu hidup selama ni
nak? Kasihan Nadia...” Ujar Datin Nurlia dalam tangisannya. Nadia tak menjawab
hanya mengeratkan pelukan. Dia perlukan kekuatan mama. Kekuatan untuk hadap
masa depannya selepas ini.
“Salleh pernah nak rogol Nadia tapi
mak cik Nadia halang. Atas alasan Tuan Hassan nak Nadia masih anak dara masa
kahwin dengan dia.” Noh Daniel membuka cerita, cerita yang Nadia ceritakan di
dalam kereta sepanjang perjalanan. Hal ini yang membuatkan Noh Daniel begitu
berang dan rasa mahu melepaskan tumbukan jantannya ke muka Salleh.
“Allahuakbar....” Datin Nurlia
menangis lagi. Tidak dapat dibayangkan kehidupan Nadia sebelum ini. Patutlah kaki
dan tangannya banyak parut kasar. Mahu ditanya namun teragak-agak. Hari ini
terbongkar semuanya. Kasihan sungguh Nadia.
“Bila kita tak tahu dosa pahala. Macam
itulah jadinya. Kenapa Salleh ni yang ambil dan jaga Nadia?” Datuk Nour Salleh
menyoal.
“Nadia tak ada sesiapa, ibu dan abah
anak yatim piatu. Kenal pun masa di rumah kebajikan. Kebetulan hari ibu dan abah
kemalangan, Nadia buat kerja sekolah dengan anak Pak cik Salleh, Irma dekat
rumah dia. Pak cik Salleh yang uruskan semua supaya Nadia duduk dengan dia
dengan alasan, amanah abah dan Nadia boleh berkawan dengan Irma.” Nur Nadia
mengesat air mata yang masih bersisa. Belakang badannya digosok lembut Datin
Nurlia.
“Janji berkahwin tu. Papa tak berapa
faham sebenarnya.” Nadia mengangguk faham, dia perlu jelaskan semua itu kepada
mertuanya.
“Habis SPM, Tuan Hassan datang minta
Nadia jadi isterinya. Kalau Nadia jadi isteri dia, hutang pak cik selama ni
kira langsai. Nadia dah tahu lama hal ini tapi Nadia diamkan Nadia nak boleh
buat apa lagi pun kan. Nadia tahu pun selepas beberapa kali Pak Cik cuba ambil
kesempatan atas Nadia. Mak cik yang bising-bising dekat pak cik buat Nadia
faham, satu hari nanti Nadia kena kahwin dengan Tuan Hassan.” Nadia berjeda,
mencari nafas dan ruang.
“Nadia cerita dekat cikgu Nadia yang
mana bantu Nadia lari daripada perkahwinan tu. Cikgu Nadia kata Nadia kena
belajar dan belajar. Jangan berhenti. Allah akan tolong Nadia nanti. Alhamdulillah,
Nadia berjaya keluar.”
“Kira memang tak bertunang?” Datin
Nurlia mencelah. Nadia menggeleng.
“Hari Tuan Hassan datang tu, Nadia
dah bersedia. Nadia kata Nadia akan berkahwin dengan dia tapi selepas Nadia
dapat Ijazah. Nadia tahu Nadia tak patut berjanji macam tu tapi itu aje cara
untuk Nadia lari dari berkahwin dan keluar dari rumah tu.” Datuk Nour Rahman
dan Datin Nurlia mengangguk perlahan, memahami situasi Nadia.
“Tapi yang hairan kenapa Tuan Hassan
dan Pak cik boleh setuju dengan keputusan Nadia?” Noh Daniel menyoal.
“Nadia ugut diorang.” Nadia
tersenyum sendiri. Masih teringat wajah mereka yang cuak ketika itu.
“Ugut?” Semua mata memandang ke arah
Nur Nadia.
“Nadia ugut pak cik nak lapor polis
semua yang dia buat dekat Nadia. Tuan Hassan pula Nadia ugut nak bagitau dekat
isteri-isteri dia yang dia selalu pergi rumah urut dekat pekan.
“Tahu pula Nadia?” Noh Daniel
menyoal lagi.
“Nadia kerja setiap hujung minggu. Pekan
tu tak besar mana, boleh aje tahu semua cerita. Cuma diorang tak berani dengan
Tuan Hassan sebab diorang banyak hutang duit dengan dia.” Nadia menjelaskan.
“Tak apalah. Semua dah selesai. Alhamdulillah.”
Datuk Nour Rahman bersuara. Semua di situ sama-sama mengucap syukur. Namun Nadia
masih gusar dalam hatinya.
“Kalau pak cik buat kacau lagi macam
mana?” soal Nadia.
“Nadia... Malaysia masih ada
undang-undang. Jangan kamu risau.” Datuk Nour Rahman membalas.
“Sudahlah. Mama dah tak nak sesiapa
ungkit hal-hal lama. Kita pandang ke depan. Nadia anak mama dan papa sekarang
ni. Tak perlu dah fikir yang lama-lama tu.” Datin Nurlia menambah.
“Malam ni tidur sini. Dah nak tengah
hari, mama belum masak lagi. Jom Nadia kita ke dapur?” Datin Nurlia sudah
bangun dan melangkah ke dapur. Nadia mahu menurut sahaja tapi terasa wajahnya
sembab kerana menangis.
“Mama, Nadia basuh muka dulu ya. Kejap
lagi Nadia tolong mama masak. Lima minit.” Nadia terus berlari anak ke bilik
Noh di tingkat atas.
“Eh... nak ke mana tu?” Noh Daniel
menyoal membuatkan Nadia yang sedang menaiki anak tangga berhenti melangkah. Nadia
tersengih sendiri.
“Alamak... sorry. Tumpang bilik ya
awak. Nak cuci muka.” Nadia terlupa yang dia baru kali kedua di sini. Penerimaan
yang baik dari Datuk Nour Rahman dan Datin Nurlia membuatkan dia begitu selesa.
“Apa pula tumpang-tumpang ni? Minta
izin kenapa pula, Danny? Bilik Danny bilik Nadia. Buat macam bilik sendiri
Nadia.” Datuk Nour Rahman mencelah membuatkan Noh Daniel tergaru-garu kepala
yang tidak gatal. Niat mahu mengusik Nadia, terlupa yang dia bersama papa.
“Nadia... tunggu saya.” Noh Daniel
melarikan diri. Malu dengan papa atas usikan sendiri. Nadia hanya ketawa dan
meneruskan langkah ke bilik diikuti Noh Daniel di belakang.
“Padan muka.” Ujar Nadia sebaik
sahaja selesai membasuh muka. Noh Daniel yang sedang membelek telefon hanya
mencebik.
“Tak ada apa-apa pun.” Noh Daniel
tak nak kalah.
“Saya turun tolong mama masak kejap
ya.” Nadia mengikat sanggul rambutnya. Terlihat parut panjang di belakang leher
yang selama ini disembunyikan.
“Sini kejap.” Noh Daniel memanggil
Nadia duduk di birai katil. Nadia menurut.
“Kenapa?” Nadia duduk di sisi Noh
Daniel yang tidak lepas memandangnya. Nadia yang sudah malu-malu, menyentuh
sesaat mata Noh Daniel agar mata itu tertutup dari terus memandangnya.
“Jangan pandang saya macam tu.”
Nadia bersuara. Tangan Nadia dicapai Noh Daniel dan digenggam erat.
“Saya nak minta maaf.”
“Untuk?”
“Saya mungkir janji saya untuk tak
buat awak menangis. Hari ini awak menangis banyak kali. Saya minta maaf untuk
kekasaran saya pagi tadi. Maafkan saya.” Kata-kata yang keluar dari hati yang
begitu ikhlas. Terpacar kata hati itu di balik mata. Nadia mengangguk dengan
senyuman.
“Saya maafkan. Tiada salah pun
sebenarnya. Saya pun nak minta maaf juga. Saya tak cerita semua ni awal-awal
dekat awak. Maafkan saya jugak.” Giliran Nadia mengutus kata hati.
“Macam mana awak nak cerita
awal-awal. Kita kenal sebab saya suka cari gaduh dengan awak dalam kuliah. Kita
kahwin sebab diperangkap. Saya maafkan segala apa yang awak rasa awak salah. Awak
tak ada salah. Kita kosong-kosong.” Ujar Noh Daniel. Mereka saling berpandangan
dan membalas senyuman. Lama. Nadia kemudian melarikan pandangan dan genggaman
tangan. Malu dan segan. Noh Daniel ketawa perlahan melihat Nur Nadia ketika
itu. Comel!
“Saya turun dululah. Dah lebih lima
minit ni, marah mama nanti.” Nadia lantas bangun mengambil tudung yang
disangkut di kepala kerusi dan terus menyarung ke kepalanya. Sedang membetulkan
tudung di cermin, terasa pinggangnya dipaut dari belakang sebelum dipeluk erat.
Pelukan yang tiba-tiba membuatkan tubuhnya kaku. Keras!
“Kenapa nak pakai tudung? Semua dalam
rumah ni mahram awak.” Soal Noh Daniel rapat di telinga Nadia sehingga terasa
hangat nafasnya. Nadia memandang Noh Daniel dari cermin di hadapannya. Apabila
mata Noh Daniel bertemu matanya, terus sahaja Nadia melarikan pandangan.
“Saya segan. Parut paling besar....”
Nadia meneruskan kata-kata dengan jarinya menyentuh parut di belakang lehernya.
Noh Daniel mengeratkan pelukannya.
“Tak mencacatkan Nur Nadia sedikit
pun. Tak perlu nak terus sembunyikan. Be you Nadia.” Kata-kata yang disuarakan
dekat di cuping telinga seolah-olah terus sahaja sampai ke hati Nadia. Nadia
terharu. Hatinya tersentuh. Hampir 12 tahun dia mencari kekuatan untuk kuatkan
diri dan mencari keyakinan. Hari ini dia sudah jumpa dan peroleh kekuatan itu. Tangan
Noh Daniel yang erat memeluk pinggangnya disentuh penuh kasih.
“Terima kasih. Untuk semuanya.”
to be continued ...
much love readers!
leave your comments ya!
2 comments:
Siannya Nadia...takpe dah ada abg Noah...
Sape ye yg dengki ngan Nadia...Masyitah? Suraya?
Tungguuuu... nak bongkar lagi sikit ja..
Post a Comment