Friday, March 2, 2018

Mini Novel 2018 : N&N (Part 10)



N & N

(Noh Daniel + Nur Nadia)


Part 10

Pagi Isnin. Noh Daniel dan Nadia kelam kabut dari rumah mama dan papa balik ke rumah mereka dan bersiap untuk kuliah awal pagi. Kuliah Encik Noh Daniel. Kalau lewat nanti ramai pula akan nampak mereka berdua naik satu kereta.

“Kenapa perlahan sangat awak bawak kereta?” Nadia sudah berdebar. Risau.

“Lah... perlahan apa. Okay la ni. Bukan lewat pun. Baru 7.30.”

“Kalau bawa macam ni, penuh la gambar kita berdua dalam whatsapp kejap lagi.” Nadia sudah membentak marah.

“Haa... pagi-pagi dah nak marah-marah. Negative vibe betul.” Noh Daniel membalas sedikit tegas. Nadia mencebik.

“Patah jari baru tau.” Noh Daniel memerli setelah melihat Nadia asyik mematah-matahkan jarinya sejak tadi. Nadia mencuka. Jantungnya berdegup laju, berdebar betul!

“Kita berhenti beli kuih dulu. Laparlah. Kuliah 2 jam.” Noh Daniel terus sahaja memelok ke Arked Meranti.

“Awak..... apa ni... dah lewat ni. Awak...” Nadia sudah hampir nak menangis. Noh Daniel hanya buat tak tahu. Nadia habis kata. Nampak sengaja tapi betul juga, tadi pagi tak sempat nak makan. Terlewat bangun dan kelam kabut nak balik rumah, bersiap ke kuliah. Noh Daniel keluar dari kereta tanpa sepatah kata, meninggalkan Nadia yang sudah cuak separuh mati.

“Nah... ni awak punya. Makan dalam kuliah pun boleh. Encik Noh Daniel tak kisah.” Noh Daniel yang baru masuk menyerahkan satu plastik kuih-muih kepada Nadia. Nadia ambil dan simpan dalam beg kuliahnya. Nadia diam tanpa sepatah kata, langsung tidak memandang Noh Daniel. Sakit hati.

“Janganlah diam macam ni. Pagi-pagi kena ceria. Cuba senyum sikit.” Noh Daniel bersuara, mata masih fokus memandu.”

“Saya tahu awak lapar. Tapi tepi dewan kuliah pun ada kafe. Kenapa nak singgah Arked Meranti juga? Sengaja!” Nadia membentak perlahan.

“Kuih yang sedap ada dekat Meranti. Tak lewat lagi. Pukul 7.55 kita akan masuk kuliah.” Noh Daniel membalas, sengaja mengusik isterinya.

“Awak sengajakan. Sengaja nak bisingkan kuliah tu tengok kita.” Nadia bersuara, serak menahan tangis. Marah sangat sampai rasa nak menangis!

“Memang sengaja pu tapi balik karang saya bagitahu kenapa. Kita dah sampai. Habis kuliah nanti tunggu kejap. Saya jelaskan.” Noh Daniel selesai memarkir kereta. Nadia sudah sedia menggalas beg kuliah. Tudung dibetulkan sebelum sedia untuk keluar. Pintu kereta dibuka namun ada tangan menahan.

“Marah saya pun, salamlah dulu. Ambil berkat nak belajar.” Tangan sudah siap Noh Daniel hulurkan. Nadia memandang Noh Daniel dengan wajah yang mencuka. Laju sahaja Nadia mencapai tangan Noh Daniel, salam dan terus keluar daripada kereta. Noh Daniel tersenyum. Noh Daniel parkir di belakang dewan, jadi mungkin tiada yang perasan. Laju Nadia melangkah supaya tidak dilihat bersama-sama dengan Noh Daniel.

“Woi Nadia! Datang dari mana?” Nadia yang sudah berlari-lari anak dari anak tangga ke arah kuliah mereka terhenti. Mashitah! Baru hendak buka mulut, suara Noh Daniel kedengaran menyapa. Alamak!

“Hai Mashitah, Nadia. Cepat masuk kuliah.” Sapa Noh Daniel. Mashitah dan Nadia sekadar mengangguk dan menunduk mengiyakan juga tanda hormat. Lajunya dia jalan! Bisik hati Nadia. Noh Daniel sempat mengenyit mata kepada Nadia sebelum melintasi Nadia dan Mashitah. Nadia mengetap bibir. Sengajalah tu!

“Hah! Kau datang dengan Encik Noh eh?” Mashitah sekadar serkap jarang membuatkan Nadia yang sudah sedia gelabah terlepas kata.

“Kau nampak ke? Siapa lagi nampak?” Nadia memandang sekeliling. Mashitah ternganga.

“Seriuslah weh! Kau memang datang dengan Encik Noh?” Nadia menekup mulutnya. Sendiri buka rahsia sendiri!

“Jom masuk kuliah jom. Nanti kena perli pula dengan Encik Noh.” Nadia cepat-cepat melarikan diri walaupun dia tahu dia tak akan dapat lari daripada soalan-soalan Mashitah!

“Kau hutang aku jawapan ya. Jangan ingat boleh lepas!” Tegas Mashitah walaupun dalam nada bergurau. Mereka berdua mengambil tempat yang biasa mereka duduk tanpa membuang masa. Encik Noh Daniel telah pun siap sedia dengan kuliahnya pagi itu.

Satu jam kuliah berlalu pantas. Sekarang para pelajar diberikan dua soalan untuk diselesaikan dalam tempoh 20 minit. Nadia mengambil kesempatan itu untuk menjamah kuih yang Noh Daniel belikan tadi. Popia goreng pedas dijamah sambil tangannya ligat menyelesaikan soalan. Telefon di dalam beg berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Telefon diambil, mesej dibaca.

ENCIK NOH: comotnya makan. J

Nadia tersedak membaca mesej itu. Terus sahaja dia memandang ke arah Noh Daniel yang bersandar di meja di depan sana. Nadia terbatuk-batuk kecil. Pedih hidungnya.

“Kenapa Nadia? Pedas ke soalan saya tu?” Noh Daniel bersuara dengan mikrofon dari depan. Semua mata memandang ke arah Nadia yang masih mengunyah dan terbatuk-batuk kerana tersedak. Laju sahaja jarinya membalas mesej kepada Noh Daniel.

NADIA: Sengaja! Bencinya!

ENCIK NOH: Benci nanti sayang.

NADIA: Dahlah awak. Dari pagi cari pasal je. Tak sukalah.

ENCIK NOH: Saya suka.

NADIA: TAK SUKA!!!!!!!!!!!

Mesej terakhir sudah tak berbalas. Nadia memandang ke arah Noh Daniel yang juga memandang ke arahnya. Noh Daniel tersenyum penuh makna, dari pandangan Nadia, Noh Daniel mesti ada merangka sesuatu untuk mengena dia.

“Saya suka.” Noh Daniel menggunakan mikrofon dan membalas mesej akhir Nadia secara terus. Nadia mengetap gigi dan mengerut dahinya, geram! Satu kuliah kehairanan. Apa yang Encik Noh Daniel suka? Semua pelajar terpinga-pinga.

“Saya suka mengatakan yang masa sudah pun tamat.” Pandai pula Noh Daniel menutup kenakalannya mengenakan Nadia tanpa ada yang sedar. Nadia geram tapi Noh Daniel seronok. Seronok tengok Nur Nadia gelabah dan tak tentu arah. Wajah kelam kabut Nadia buat Noh Daniel rasa gembira dan seronok untuk mengusik.

NADIA: Bencinya!!!!!!

ENCIK NOH: Sukanya!!!!!!

Nadia memandang tajam dengan muka tidak puas hati kepada Noh Daniel yang tersengih-sengih di depan. Nadia langsung tak dapat fokus kepada penerangan rakan-rakannya yang membentangkan jalan penyelesaian bagi soalan-soalan yang diberi. Nadia asyik berlawan pandang dengan Noh Daniel yang sentiasa senyum sepanjang pagi ini. Apalah rancangan dia sampai seronok benar pagi ni? Soal hati Nadia, marah!

Nadia masih sebal. Disebabkan itu, dia terlupa pesanan Noh Daniel untuk tunggu selepas selesai kuliah. Nadia terus sahaja mengikut Mashitah makan di kafe tepi dewan. Sedang Nadia khusyuk berborak dan makan dengan Mashitah, Noh Daniel datang menghampiri tanpa Nadia sedar. Kerusi di sebelah Nadia terus ditarik dan terus sahaja dia duduk dan mengambil air minuman Nadia dan diminum. Mashitah tercengang. Nadia terkejut sehingga terasa jantungnya terhenti sesaat.

“Awak!” Nadia menahan suara, mengelak beberapa rakan kuliah yang turut makan di situ sedar. Noh Daniel yang sedang asyik membasah tekak dengan air minuman Nadia hanya mengangkat kening. Isyarat Nadia ke arah Mashitah membuatkan Noh Daniel tersenyum sebaris sebelum terus menghirup air tanpa rasa bersalah.

“Apa awak buat ni?!” Suara Nadia perlahan. Mashitah masih terdiam dan hanya memerhati mereka berdua yang seperti ada sesuatu.

“Saya dahaga sangat-sangat. Dapat minum teh o ais ni rasa, lega!” Selamba Noh Daniel membalas. Nadia sudah mengetap gigi dan menggenggam tangannya, geram!

“Encik Noh minum air Nadia.” Mashitah bersuara, teragak-agak.

“Oh air Nadia eh. Tak apalah. Sharing is caring.” Noh Daniel menjawab dengan senyuman yang tak lekang. Mashitah mengerut kening, tak faham!

“Awak ni kenapa?” Soal Nadia dengan suara menekan.

“Lain kali bila saya kata tunggu, tunggu. Ni sedap aje makan. Saya pun lapar.” Noh Daniel bersuara dengan muka tegas. Nadia mencuka.

“Saya terlupa. Awak pergi dulu, kejap lagi saya datang.” Nadia cuba menolak supaya Noh Daniel bangun dan bergerak pergi. Sudah ada beberapa mata yang memerhati. Telefon Mashitah sudah berbunyi banyak kali. Bunyi yang sama. Mungkin berita sudah tersiar dalam Whatsapp group mereka.

“Tak naklah. Saya lapar, saya nak makan. Ambilkan. Nasi separuh, ayam goreng, sayur campur dan kuah sikit. Teh o ais.” Noh Daniel memesan kepada Nadia. Nadia geram. Dia menggeleng laju.

“Pahala tau. Buat ikhlas banyak pahala. Tak ikhlas dan kutuk-kutuk dalam hati akan dapat dosa je.” Pandai pula Noh Daniel menambah. Nadia memandang Noh Daniel dengan rasa geram. Lagi geram bila Noh Daniel hanya membuat muka selamba. Nak tak nak, Nadia tetap bangun dan mengambil makanan untuk Noh Daniel seperti yang dipesan. Mashitah sedari tadi memandang tak berkedip. Dia tercengang!

“Encik Noh dengan Nadia ada apa-apa ke?” Soal Mashitah. Hairan dengan perlakuan mereka berdua yang jelas ada sesuatu.

“Nadia isteri saya.” Ujar Noh Daniel tanpa berselindung. Makin terkejut Mashitah dibuatnya.

“Tapi... tapi...” Mashitah yang kepoh boleh jadi gagap dengan pernyataan yang yang tidak dijangka dan begitu mengejutkan.

“Rahsiakan dahulu daripada sesiapa. Nadia ada sebab tak bagitahu awak.” Mashitah terangguk-angguk dengan pesanan Noh Daniel. Kepalanya masih memproses semua maklumat yang diterima.

“Kenapa mulut kau ternganga macam tu?” Nadia yang siap mengambil makanan menegur Mashitah yang ternganga dengan muka blur. Mashitah memerhati gerak geri Nadia.

“Thank you.” Ujar Noh Daniel dengan senyuman tak lekang di bibir.

“Puas hati?” Soal Nadia sebelum menyambung menghabiskan makanannya. Noh Daniel mengoyakkan sedikit ayam goreng dan meletakkannya di pinggan Nadia. Nadia memandang Noh Daniel dengan kerutan di dahi. Laju kepalanya digelengkan. Jarinya mengisyaratkan ke arah Mashitah yang sudah tersenyum-senyum sendiri.

I’ve told her about us.” Ujar Noh Daniel tanpa memandang langsung ke arah Nadia. Mashitah mengangkat-angkat keningnya, bibir menguntum senyuman senget yang sinis sekali.

“Hah! Awak....” Nadia begitu geram dengan Noh Daniel hari ini.

“Apa? Dari pagi tadi asyik, awak-awak-awak. Apa, saya ni burung wak-wak ke?” Noh Daniel menjawab, sarkastik sangat!

“Sorry Mashitah.” Ujar Nadia dengan muka serba salah. Bukan cara ini dia nak ceritakan tentang perkahwinannya dengan Noh Daniel kepada Mashitah. Tak mahu rakan baiknya itu terasa hati.

“Kau hutang aku banyakkkkk sangat Nadia.”

“Aku akan explain. Tak sangka dia ni boleh senang hati je bukak rahsia. Geram betul!” Noh Daniel yang mendengar sekadar menjungkit bahu. Lagi bengang Nadia dibuatnya!

“Patutlah semacam aje kau dengan Encik Noh. Rahsia besar rupanya.” Mashitah mencuka. Terkejut adalah perasaan pertama dirasainya selepas Noh Daniel memberitahu yang dia dan Nadia sudah berkahwin. Kecil hati perasaan kedua. Nadia rakan baik yang dijaganya sepanjang mereka berkawan. Hal besar itu sepatutnya dia tahu sebelum mereka berkahwin.

“Aku akan jelaskan semuanya Mashitah, promise! Awak ni, bincang dengan saya dulu boleh tak? Selamba je buat macam ni.” Nadia membentak kecil, rasa begitu bersalah dengan Mashitah.

“Inilah antara rancangan saya yang saya nak bagitahu awak. Tapi siapa yang tinggal saya dalam kuliah? 20 minit tau saya duduk dalam kuliah sejuk tu.” Noh Daniel membalas. Nadia mencebik.

“Antara rancangan? Yang lain apa?”

“Kejap lagi saya bagitahu. Ada kelas tak lepas ni?” Noh Daniel menyoal.

“Lepas ni tak ada. Kelas petang, penuh.”

“Ikut saya, pergi ofis saya. Kita bincang kat sana.”

“FKE? Tak naklah. Lagilah banyak mata yang pandang pelik. Ni pun, tengok kiri kanan kita. Mujur ada Mashitah tak adalah gosip sangat.” Terus sahaja Noh Daniel memandang sekeliling. Beberapa pelajar perempuan memandang dan berbisik. Terus sahaja Noh Daniel memberikan senyuman kepada mereka.

“Perasanlah tu.” Nadia mencebik.

Killer smile tau. Awak je tak suka.”

“Nadia ni hati dia beku sikit Encik Noh, ambil masa nak cair. Rasanya macam ice berg dekat kutub utara. Orang bagi surat cinta, depan-depan orang tu dia koyak-koyak lepas tu pijak-pijak. Nampak aje macam sopan santun lemah gemalai tapi hampeh.” Mashitah menokok tambah. Noh Daniel ketawa besar.

“Saya setuju. Ingat ayu tapi kayu.” Mashitah pula ketawa besar. Nadia menjeling tajam kedua-dua mereka.

“Amboi... sedap mulut aje.” Marah Nadia.

“Tapi Encik Noh, Nadia ni kebluran dan kelurusan dia tahap dewa. Jadi, sabar jelah ye.” Nadia bengang. Mashitah bukan main mengenakan dia di hadapan Noh Daniel. Noh Daniel pun melayan.

“Tu saya tahu. Memang jenuh.”

“Ish... sudahlah. Mengata orang depan-depan. Sakit hati betul.”

“Sakit hatilah sangat. Ni hukuman untuk kau sebab tak bagitahu aku yang korang dah ....” Mashitah membuat isyarat tangan. Nadia mencebik, manja.

“Sorry...” ujar Nadia.Noh Daniel ketawa. Patutlah kawan baik, Mashitah seperti kakak dan Nadia seperti adik yang sangat manja. Dimanjakan!

“Mashitah, rahsiakan ya. Nanti Nadia jelaskan kenapa. Saya nak bawa Nadia ikut saya. Kami ada hal sikit. Terima kasih sebab jaga Nadia selama ni.” Mashitah mengangguk perlahan dalam senyuman. Entah kenapa, mulanya Mashitah berang juga kerana Nadia berkahwin tanpa memberitahu kepadanya. Tapi apabila melihat Noh Daniel dan Nadia seperti sangat mesra walaupun cuba disembunyikan dan jelas di mata Nadia yang dia bahagia di sisi Noh Daniel, membuatkan hati Mashitah menjadi sejuk sahaja. Nadia sudah bertemu kesastria yang bakal melindungi diri dia!

“Nak kena ikut juga ke?” Nadia berat hati.

“Iye kena ikut. Cepat.” Noh Daniel sudah bangun dari kerusinya. Nadia masih berat hati dan kaki.

“Aku pergi kejap eh. Kalau aku tak balik bilik maksudnya aku terus pergi kelas tau. Jangan tunggu. Thanks Mashitah.” Ujar Nadia sebelum membontoti langkah Noh Daniel yang sudah jauh di depan. Sengaja dibiar berjarak. Masih risau orang memandang dan bergosip. Biarpun hubungan itu halal namun masih perlu dirahsiakan. Masalah belum selesai!

to be continued ...
much love readers!
leave your comments ya!

5 comments:

Siti said...

Sweet je en. Noh...

Maya Dhira said...

lajuuu je baca xsangka xabiss lg aduiii cpt sambung heheh =)

akubersamaCahya said...

Kan... hahaha 👍

akubersamaCahya said...

Hehe sorry my bad. Mmg target awal nak habis part 10 tapi termeleret. Tapi abc dah set kat tepi blog ni sampai part 12.

Anonymous said...

its okay kita tunggu jelaa hahahha

- maya dhira-

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders