Tuesday, September 11, 2012

Cerpen : Cik Abang BMW (part 1)






Nurin Jannah mengesat peluh yang merinik halus di dahinya. Panas terik hari ini seolah-olah membakar kulit wajahnya yang kuning langsat itu.  Barang-barang untuk projek rekaciptanya dipegang erat ditangan kiri. Kadangkala, barang-barang yang agak berat itu seakan mahu tercicir daripada pegangan tangannya. Langkah di atur perlahan melepasi deretan kereta yang berada di sekitar Perpustakaan.
            Nurin Jannah cuba menyelit di antara kereta, mahu mengambil pintas fikirnya. Belum sempat melangkah melintas, telefon bimbitnya berdering kuat. Dalam kalut mencari telefon bimbit yang masih berdering dan memegang barang projek rekaciptanya, tubuh Nurin ditempuh orang yang cuba mengambil jalan sama. Malang memang tiada bau, plat aluminium yang dibawanya terpelanting dan singgah ke atas salah sebuah kereta yang ada.
            “Korang ni langgar saya kenapa, tengok kan dah semua jatuh kena kereta orang.” Marah Nurin kepada dua orang pelajar lelaki yang merempuhnya.
            “Apa pulak kitorang, akak yang jalan tak tengok depan.” Belum sempat Nurin mahu membalas, dua orang lelaki tersebut terus sahaja melangkah laju meninggalkannya. Nurin berdecit, mahu bising-bising malu pula nanti jadi ‘free show’ depan perpustakaan yang sememangnya ramai orang. Mahu tak mahu, Nurin terpaksa mengutip semua barang-barangnya kembali termasuk plat aluminiumnya itu.
            “Ni awak punya?” Nurin yang sedang membongkok mengutip barang, hanya mengangkat kepala dan mengangguk. Tangannya terus sahaja mahu mencapai plat aluminium yang ditunjukkan oleh lelaki dihadapannya sekarang, tapi…
            “Saya punya, so bagi lah…” dari posisi membongkok, terus sahaja Nurin berdiri tegak setelah lelaki itu seakan bermain tarik tali dengan plat aluminiumnya. Lelaki itu mengangkat jari telunjuknya dan menggerakkan ke kiri dan kanan.
            “Awak tengok ni…” Lelaki itu menunjukkan ke arah sisi bonet keretanya. Nurin terlopong dengan tangannya menekup mulutnya yang terbuka.
            “Saya… saya tak sengaja, diorang yang langgar saya.” Nurin tergagap-gagap.
            “Diorang? Ini semua barang awak, jadi awak yang perlu bertanggungjawab. Calar ni dalam tau!” Nurin mendekatkan jarinya kepada kesan calar di kereta lelaki tersebut. Perlahan-lahan dia merasai kesan calar itu.
            “Betul tak? Kalau calar biasa saya tak kisah ye cik. Tapi ni dalam, kos nak hilangkan pun ‘dalam’ tau!” Lelaki itu sengaja menekankan perkataan dalam. Nurin sudah hilang arah, apa yang harus dia lakukan?
            “Jadi, awak nak saya buat apa? Bayar?” Lelaki itu senyum sinis mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Nurin.
            “Bayar? Kalau kereta MyVi, calar macam ni dah kena dua tiga ratus. Ini kereta BMW cik kak, mau dua tiga kali ganda. Boleh bayar?” Lelaki itu seolah-olah menyindir. Nurin tersentap.
            “Ye, memang mahal memandangkan kereta awak ni mahal, kalau saya tak mampu nak bayar awak nak suruh saya buat apa? Letak plaster ke?” Nurin bersuara tegas, kalau tadi dia cuak dengan apa yang berlaku, tapi bila lelaki itu cuba memperkotak-katikkan dirinya, dia tidak dapat mendiamkan diri.
            “Amboi, dah buat salah nak main sindir-sindirnya?”
            “Awak yang menyindir, jadi jangan salahkan saya. Cakap aje apa yang awak nak saya buat? Bayar or???” Nurin membidas.
            “Okay, bagi saya kad matrik awak dan telefon awak.” Lelaki itu menghulurkan tangannya. Mahu tidak mahu, Nurin terpaksa menyerahkan kedua-duanya. Setelah mengambil nombor kad matrik, nombor kad pengenalan dan nombor telefon Nurin, lelaki itu menyerahkan kembali kad matrik dan telefon kepada Nurin.
            “Nurin Jannah, nanti saya akan call dengan untuk bagitau apa yang awak boleh buat ye.” Ujar lelaki itu, lalu terus sahaja memasuki kereta dan berlalu dari situ. Nurin mengeluh berat. Belum hilang lelahnya berjalan daripada fakulti, tambah pula dengan lelah berhadapan dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Harap aje muka hensem, tapi kerek!
++++++++++++++
            “Kau pergi mana Nurin, lambat balik?” Azra yang sedang baring sambil membaca novel menyoal tanpa mengalih muka sedikit pun daripada novel yang dibacanya. Nurin meletakkan barangannya ke atas meja, dan menghempas tubuh ke atas katil. Jam di tangannya dibelek.
            “Dah pukul 6, tak solat lagi…” Rungut Nurin tanpa menjawab soalan Azra. Hanya keluhan demi keluhan dan rungutan demi rungutan yang keluar daripada mulut Nurin Jannah. Azra mengerut dahi, Nurin kedengaran sungguh tertekan.
            “Bulan mengambang ke cik kak? Mengeluh aje dari tadi?” Nurin mengalih tubuh menghadap Azra yang telah bangun daripada pembaringannya dan duduk bersila.
            “Ra… berapa ringgit eh kalau kita repair calar kereta?”
            “Kenapa? Selalu calar biasa dia akan polish aje, tak mahal sangat, tapi kalau dalam macam kereta aku kena dulu tu dalam RM250 jugak lah sebab dia kena cat semula whole part yang calar tu… kenapa? Kereta siapa kau calarkan?” Nurin mengembungkan pipinya, lalu nafas dilepas perlahan.
            “MyVi kau RM250, calar dalam kan? Tapi kecik aje… kau rasa kalau BMW berapa eh?” Azra ternganga dengan soalan Nurin, lantas dia terus menghampiri Nurin dan duduk disisinya.
            “Jangan kata kau calarkan BMW? Siapa punya kereta weh?” Nurin bangun daripada pembaringannya dan bersandar di dinding.
            “Entah, lecturer ke student aku pun tak tahu, tapi yang aku tahu dia sangat berlagak!”
            “Memang betullah kau calarkan BMW?” Nurin mengangguk perlahan, lalu menyembankan muka ke lutut yang telah dirapatkan ke tubuhnya.
            “Apa aku nak buat ni…?” Rengek Nurin seperti kanak-kanak kecil. Azra hanya boleh beristighfar panjang.
            “Dia mintak berapa?” Nurin menggeleng.
            “Dah tu?” Nurin mengangkat muka.
            “Aku rasa beribu la Ra… aku nak bayar dengan apa kalau dia mintak lebih daripada seribu?” Azra mengetap bibir.
            “Takkanlah… under seribu kut…”
            “Betul?” Azra tersengih. Nurin menyemban muka lagi dan terus merengek.
            “Habislah PTPTN aku sem ni…” Suara Nurin dengan suara yang main serak menahan tangis.
++++++++++++++++
            Kelas Psikologi Pendidikan hari ini habis lewat. Sekarang sudah jam 6.30 petang, lagi setengah jam pukul 7 malam. Bas akan berhenti beroperasi dan mula kembali jam 8.00 malam. Kalau terlepas bas, takkan nak tunggu dekat fakulti yang menyeramkan ni seorang diri? Nurin mula berkira-kira sendiri. Dia belum solat asar, jadi keputusan yang terbaik adalah untuk ke Masjid dan pulang ke bilik jam 8 nanti. Perut yang lapar boleh di tunggu, apalah sangat untuk dibandingkan waktu solat yang hampir habis. Pesan arwah abah sentiasa tersemat kukuh diingatannya.
            “Payah macam mana pun, solat fardhu jangan tinggal. Kalau tidak lagi payah kita di akhirat nanti.”
            Nurin melangkah dengan senyuman. Mengingati pesanan-pesanan abah membuatkan Nurin terasa senang, penat seakan hilang. Abah waktu hayatnya selalu memberikan Nurin semangat dan dorongan, tidak kira waktu susah atau senang.
            Langkah Nurin diatur pantas dan kemas, hujan rintik yang mula membasahi tudungnya, membuatkan dia mula berlari-lari anak. Setelah melintasi Fakulti Sains, hujan kian lebat. Langkahnya kian pantas, fail ditangan digunakan untuk melindungi kepala. Baru sahaja melintas jalan dan hendak menaiki anak tangga yang menghala ke arah Masjid, tubuhnya seakan melayang dilanggar oleh satu tubuh lain.
            “Aduh… Buta ke!” Suara itu menampar telinga Nurin yang terjelepuk jatuh ke tanah akibat perlanggaran itu.
            “Awak yang langgar saya.” Nurin bersuara perlahan, tangan dan kakinya terasa kebas dek kerana terlalu sakit. Nurin bangun perlahan-lahan, lalu membelek bajunya yang kotor akibat tanah yang basah.
            “Kau yang lari tak tengok kiri kanan, lepas tu tak nak mengaku pulak?” Lelaki itu masih bersuara tegas, tanpa sedikit rasa belas terhadap Nurin yang lebih menanggung akibat perlanggaran tersebut. Nurin mengangkat muka, ingin membalas kata. Namun, bicaranya mati. Baru sahaja mahu berasa tenang selepas kejadian seminggu lalu, kini jantungnya bagai terhenti sesaat. Terasa seperti hilang darah di mukanya, pucat!
            “Oh… awak rupanya. Tak habis-habis bawa malang dekat saya. Mujur tau tak buku-buku saya ni tak jatuh, kalau tidak habis basah semua.” Nurin hanya menelan liur. Lelaki itu hanya tersenyum sindir hujung bibirnya. Di pandang Nurin dari atas hingga ke bawah. Nurin menekap fail ke dada.
            “Kenapa pandang macam tu? Tak pernah tengok orang ke?” Lelaki itu menjeling kerana ditegur begitu oleh Nurin, mungkin termalu sendiri.
            “Tak pernah tengok panda ada dekat UTM ni…” Lelaki itu bersuara, sengaja menyindir Nurin yang berpakaian kurung kelabu hari ini. Nurin melihat dirinya sendiri, lalu memandang tajam lelaki di hadapannya.
            “Panda pun pandalah, asal cukup seperti yang disyariatkan. Saya pergi dulu, maaf sebab buta dan terlanggar encik ye.” Ujar Nurin pedas, lalu mula melangkah menjauhi.
            “Eh, Nurin Jannah, kau nak pergi mana?” Nurin terhenti daripada terus melangkah.
            “Ada apa?”
            “Amboi-amboi… lupa dah? Nak bagi resit, nak claim…” Nurin meneguk liur sekian kalinya. Ingat dah lepas, getus hati Nurin. Bibirnya diketap, lalu kembali melangkah mendekati lelaki itu yang mula berjalan ke arah keretanya. Kalau tadi, dia berlari untuk mengelak hujan, kini tidak lagi. Dibiarkan sahaja hujan membasahi tubuhnya yang sendiri sudah basah dek berpeluh memikirkan jumlah yang perlu dibayar.
            “Here you are… tak mahal pun. RM800 aje.” Lelaki itu menghulurkan resit ke arah Nurin yang berada di depannya.
            “Lapan…Ratus…?” Nurin mengambil resit tersebut lalu membeleknya beberapa kali. Biarpun lebih rendah daripada dijangka, tapi jumlah itu sememangnya akan mengambil separuh daripada duit pinjamannya semester ini.
            “Cash or check?”
            “Apa?” Nurin menyoal, lelaki itu merengus perlahan.
            “Awak nak bayar, cash or check?”
            “Erm… cash tapi…”
            “Tapi apa? Takde diskaun okay…” Cepat sahaja lelaki menjawab seolah-olah sudah dapat membaca fikiran Nurin. Nurin mengigit bibir. Duit pinjamannya cukup-cukup sehingga habis semester, kalau separuh dikeluarkan untuk dibayar kepada lelaki ini, pasti duitnya tidak cukup hingga ke hujung semester.
            “Saya bayar minggu depan boleh?” Nurin cuba berkompromi. Lelaki itu menjungkit keningnya sebelum mengangguk perlahan.
            “Okay, next week. Saya masih ada nombor telefon awak, Nurin Jannah. Jangan mengelat atau cuba-cuba nak lari.” Lelaki itu seolah-olah cuba mengugutnya. Nurin hanya mampu mengangguk.
            “Tak lari. Saya dah lewat ni, saya pergi dulu. Terima kasih ye bagi saya tempoh untuk bayar. Assalamualaikum.” Suara Nurin perlahan dan lemah sekali.
            “Waalaikummusalam. Dah lewat ni, ada bas lagi ke?” Baru Nurin hendak melangkah pergi, lelaki itu bersoal lagi.
            “Saya dah lewat nak solat asar, dah 6.50. Bas kolej saya dah lepas pun, saya tunggu bas malam pulak.” Ujar Nurin pantas.
            “Okay.”
            Nurin melangkah laju ke arah Masjid yang hanya beberapa meter di hadapan. Bajunya sudah basah ditimpa rintik hujan. Hendak pulang, mesti dia akan terlepas Asar. Nampaknya dia terpaksa solat dalam keadaan yang tidak berapa selesa.
            Dari depan masjid, Nurin memandang kereta BMW hitam metallic itu meluncur keluar daripada parkirnya sehingga hilang daripada pandangan. Mungkin rezeki RM800 semester ini bukan miliknya. Nurin redha.
+++++++
            Nurin melangkah perlahan ke arah bangunan SUB. Disebabkan hujan sudah berhenti, Nurin mengambil keputusan untuk menunggu bas di hadapan Fakulti Eletrik sahaja, lagi pula takut untuk dia melintasi bangunan Fakulti Alam Bina yang sunyi dan agak menyeramkan. Banyak cerita yang didengarnya sewaktu dia menetap di Kolej Tun Fatimah dulunya.
            Sebelum terus ke hentian bas, Nurin melangkah ke arah bank CIMB yang ada di bangunan SUB, niatnya untuk melihat baki wang yang ada. Seingatnya masih ada RM1600 lagi di dalam akaunnya. Kuliah baru sebulan lebih berjalan, duit hanya akan banyak digunakan ditengah-tengah semester yang mana lebih banyak projek dan tugasan akan dijalankan. Nurin mengeluh sendiri.
            “Seribu enam ratus… tolak lapan ratus…” Nurin mengeluh perlahan. Cukupkah RM800 untuk 3 bulan lebih dia di sini? Nurin berkira-kira sendiri. Hendak meminta kepada Acik Emah, pasti dia akan dileterinya. Mak tirinya itu sangat berkira apabila timbul soal wang. Kalau abah masih ada, tidak pula dia begitu. Nurin sedar, dia hanya anak tiri Acik Emah, penerimaan Acik Emah untuk menjaganya selama ini, dia sudah rasa lebih daripada syukur biarpun dia tahu Acik Emah tidak suka kepadanya kerana abah terlalu menunjukkan sayangnya kepada Nurin Jannah. Mungkin kerana itu, Acik Emah berasa cemburu. Setelah abah pergi Acik Emah lebih menunjukkan marahnya berbanding sewaktu abah masih bernafas. Nurin mengeluh lemah.
            Nurin mengatur langkah perlahan menuruni tangga dilereng bukit itu untuk ke Fakulti Elektrik. Dalam beberapa minit lagi bas untuk ke kolejnya akan tiba. Malam ini tidak sesunyi hari biasa, memandangkan hari ini adalah hari jumaat. Jadi para pelajar akan menghabiskannya di kafeteria bersama-sama rakan ataupun keluar menonton wayang, memandangkan esok adalah hari minggu.
            “Seorang aje?” Tegur Pengawal yang kebetulan lalu di situ.
            “Ye, Pak cik, saya seorang aje.” Jawab Nurin berbahasa.
            “Hati-hati, lain kali bawa kawan sekali. Bahaya malam-malam macam ni.” Pengawal itu menegur. Terpaksa. Selalunya kalau Nurin ke perpustakaan pada malam hari, pasti Azra yang akan menemani. Tetapi malam ini dia terpaksa pulang malam ke kolej kerana kesuntukkan masa. Dia bertawakal kepada Allah sepenuhnya untuk perlindungan.
            Pengawal itu berlalu, mungkin mahu mengawasi kawasan pentadbiran dan kawasan fakulti yang berhampiran. Nurin duduk di atas benteng jalan menunggu basnya datang. Dalam fikirannya berkira-kira wang perbelanjaannya semester ini. Jenuh berjimat sepanjang semester. Bagaimana kalau-kalau ada tugasan yang memerlukan jumlah wang yang besar?
            Telefon yang berdering mematikan lamunan Nurin Jannah.
            “Helo…”
            “Nurin, kau kat mana? Kenapa tak balik lagi ni?” Azra bersoal resah. Nurin tidak pernah selewat ini seorang diri.
            “Aku dekat fakulti tengah tunggu bas. Kelas lewat habis tadi.”
            “Oh… kau dekat mana? Aku nak keluar makan ni, aku boleh pergi ambik kau.” Azra bersuara lagi.
            “Takpe lah Ra, kau mesti nak keluar dengan Megat kan?” Nurin sudah lali dengan jadual hujung minggu Azra, pastinya dihabiskan bersama-sama teman lelakinya Megat. Nurin tidak berapa suka dengan Megat yang jelas hanya mengambil kesempatan atas kesenangan Azra. Selalu aje kereta Azra dipinjamnya tapi tidak pernah mengisi minyak, kalau rosak lagilah. Tidak pernah pula mahu menolong Azra membaiki  malah teman ke bengkel pun tidak pernah. Mahu bersuara, siapalah dia, takut pula digelar ‘busy body’!
            “Ala, aku ambil kau then hantar balik kolej. Kau sorang-sorangkan?” Baru hendak menjawab, sebuah kereta berhenti betul-betul dihadapan Nurin. Nurin lantas bangun dari duduk.
            “Ra, takpelah, nanti apa-apa aku call okay. Have fun!” Talian dimatikan. Tingkap kereta dihadapannya itu perlahan-lahan terbuka.
            “Jom, saya hantar awak balik kolej.” Lelaki BMW! Nurin tercengang seketika.
            “Takpelah, kejap lagi bas saya sampailah.” Ujar Nurin sambil melihat sekilas jam tangannya.
            “Serius? Tak takut ke dekat pengawal bangunan tu? He is not Malaysian I think…” Lelaki itu seakan mahu menakut-nakutkan Nurin. Nurin kalih memandang ke arah pengawal bangunan Fakulti Elektri itu, memang bukan orang Malaysia. Alamak! Kenapa tak perasan dari tadi?
            “Erm… takpe ke saya tumpang, jauh jugak kolej saya.” Nurin teragak-agak.
            “Takpe, saya caslah tambang minyak nanti.” Ujar lelaki bersahaja sambil membuka pintu dari dalam. Mahu tak mahu, Nurin melangkah masuk ke dalam kereta BMW lelaki itu.
            “Kolej awak?”
            “Kolej 9, dekat stadium.” Lelaki itu mengangguk perlahan.
            “Encik rumah dekat mana?” Nurin cuba berbasa basi. Takkan mahu berdiam diri sahaja, sudahlah orang bagi tumpang.
            “Encik? Awak tak tahu nama saya?” Nurin menggeleng. Lelaki itu hanya tersenyum menampakkan giginya yang putih bersih.
            “Nurin Jannah, saya Tareeq Sufean. Boleh panggil saya Tareeq or Sufean, mana-mana yang selesa.” Lelaki itu memperkenalkan diri.
            “Oh…Panjang nama Encik Sufean…” Tareeq tersenyum lagi apabila Nurin menggelarnya Encik dipangkal nama. Gadis ini terlalu jujur dan naïf, getus hati Tareeq.
            “Rumah saya dekat Pulai Perdana, kenapa? Nak datang rumah ke?” Nurin pantas menggeleng.
            “Saja tanya… Encik Sufean, boleh saya cakap sesuatu” Tareeq mengerut dahi.
            “No diskaun, fix price.” Tareeq seakan boleh meneka apa yang ada difikiran Nurin. Nurin mengetap bibir. Baru hendak membuka mulut, mereka telahpun sampai di hadapan Kolej Kediaman Nurin.
            “Okay… cas tambang kira sekali dalam ‘hutang’ ye?” Tareeq cuba berseloroh.
            “Erm… saya nak tanya satu aje soalan, boleh? Bukan pasal diskaun…” Tareeq mengangguk, melihatkan raut wajah Nurin yang serius, membuatkan dia tidak mahu mengusik gadis itu lagi.
            “Antara pilihan, cash or check yang Encik Sufean bagi petang tadi, ada tak pilihan lain, pilihan ketiga misalnya?” Tareeq mengerut dahi, keluhan terluah dari bibirnya.
            “Hanya antara dua, tunai atau cek. Takde ketiga dan tidak ada diskaun. Kenapa?”
            “Lapan ratus tu jumlah yang besar bagi saya… kalau ada yang ketiga mungkin saya boleh jelaskannya.” Tareeq yang tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Nurin hanya mengerut dahinya. Nurin menarik nafas.
            “Encik Sufean belajar atau bekerja di UTM ni?”
            “Lecturer sambilan.”
            “Kalau macam tu, boleh saya bayar dengan bekerja untuk Encik, boleh? Saya akan kerja sampai Encik Sufean rasa sudah cukup lapan ratus.” Entah bila idea ini muncul difikiran Nurin. Tareeq tersenyum hujung bibir.
            “Kenapa tidak awak bekerja sambilan dan bayar dekat saya. Saya tambah tempoh sampai sebulan or dua bulan. Saya tak perlukan pekerja.” Tareeq bersuara tegas.
            “Please…” Nurin cuba untuk meminta belas kasihan daripada Tareeq.
            “No, untuk makluman awak, Nurin Jannah, harga tu saya dah kurangkan separuh, sebab saya tahu awak adalah pelajar. I’ll give you a month untuk sediakan lapan ratus ringgit sahaja.” Tareeq bertegas, sengaja ditekankan jumlah wang tersebut. Nurin mengalah, dia tahu dia tidak dapat mengubah apa-apa lagi. Sekarang dia hanya perlu menyediakan RM800 untuk membayar kerosakan kereta yang sama sekali bukan dia yang melakukannya.
            “Terima kasih tumpangkan saya. Minggu depan hari Khamis saya bayar duit awak. Pukul 2 petang tunggu depan library. Assalamualaikum.” Kalau tunggu sehingga sebulan tentu-tentu sahaja duit dalam simpanannya akan susut. Adalah lebih baik dia memberikan wang itu dengan segera kepada lelaki yang bernama Muhammad Tareeq Sufean itu.
++++++++++++
            Tareeq meluncur laju pulang ke rumahnya. Bukan tidak kasihan, tapi tanggungjawab adalah tanggungjawab. Itu yang pegang selama ini. Baginya RM800 itu tidak terlalu besar, dan boleh dibayar oleh sesiapa sahaja.
            “Waalaikummussalam. Mama…” Dari hujung talian Ibunya pantas memberikan salam.
            “Lama Ean tak call mama?” Tareeq tersenyum, bukan sengaja tapi terlalu sibuk dengan tugasan barunya sebagai pensyarah sambilan. Pagi ke pejabat sebagai arkitek, tengah hari dia akan mengajar. Hanya dua kali dalam seminggu, sebab itu dia menerima jawatan tersebut. Bukan lama mana dia tidak menghubungi ibunya, baru tiga hari dia terlepas untuk mendengar khabar ibu.
            “Ean agak busy sekarang mama. As you wish mama, Ean sekarang pensyarah sambilan. Kira pendidik jugalah, betul tak?” Kedengaran tawa halus dihujung talian sana.
            “Alhamdulillah, sejuk perut mama… Eh, mama nak tanya pasal kes kereta Ean yang luka parah tu? Apa cerita?”
            “Cerita tak best pun ma… Ean tak boleh polish aje, sebab luka dalam. So kena jahit semula, whole part yang luka tu.”
            “Mahal la macam tu? Kesian budak tu nak bayar.”
            “Ean minta half aje ma…”
            “How much?”
            “Lapan ratus aje.”
            “Aje? Banyak tu Ean… she can pay it?”
            “Dia beralasan jugak, tapi ma… itu tanggungjawab diakan, lagi pun lapan ratus aje. Bukan lapan ribu.” Tareeq membela diri. Dia tahu ibu seorang yang sangat pemurah, tambah-tambah soal wang ringgit. Kata ibunya, ‘Papa tinggalkan wang banyak untuk kita buat kebajikan, untung-untung papa merasa pahala yang kita cuba cari untuk dia kat sana, betul?”
            “Kalau dia dapat JPA or apa-apa biasiswa, lapan ratus memang tak berapa besar. Tapi kalau PTPTN, jumlah tu macam dah half duit dia tau tak?” Ibu Tareeq mula bersuara. Kadang kala dia risau dengan sikap anaknya yang satu itu, tegas dan kurang timbang rasanya.
            “Mama nak kata Ean ni tak berperikemanusian?”
            “Tak, lebih kepada tidak prihatin. Berapalah sangat lapan ratus tu dengan gaji Ean? Tak kurang sikit pun kan?” Ibu Tareeq menyindir.
            “Tanggungjawab adalah tanggungjawab. Kalau kita baik sangat mama, orang akan pijak kepala.” Tareeq tetap dengan pendiriannya.
            “Apa-apalah Ean, tapi mama hanya nak pesan, pendirian yang kita pegang kadang-kadang perlu lihat kepada keadaan dan siapa yang kita berdepan. Siapa tahu, nasib dia tak sama macam kita? Faham sayang?” Tareeq hanya mendiamkan diri. Setelah memberi salam, talian dimatikan. Ibunya selalu sahaja membuatkan dia berfikir dua kali atas tindakannya tapi tidak pula dia mengubah tindakannya, menyesal? Jauh sekali.
            Dari kecil dia dibiasakan bertanggungjawab atas setiap sesuatu yang dilakukan. Kesalahan dan kesilapan kecil yang dilakukannya pasti akan dihukum oleh papa. Papa selalu berkata, jadi lelaki kena biasa dengan tanggungjawab, sebab lelaki adalah ketua dan pemutus keputusan dalam sesuatu hal serta seorang pengatur rancangan. Jadi perlu sentiasa bertanggungjawab sekiranya tersalah dalam membuat keputusan atau mengatur rancangan. Jadi dia tidak fikir apa yang dilakukan sekarang adalah salah. Salah ke?
+++++
abc terpaksa post part by part.
dari cerpen dah jadik cerpan ^^
much love readers!

5 comments:

Farra Joe said...

Best gila!!!

wida said...

suka2 sgt2

Anonymous said...

akan terus baca..mcm best!!

Unknown said...

best nape x jadikan novel...

Unknown said...

best nape x jadikan novel...

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders