Wednesday, May 23, 2018

Mini Novel 2018 : Bukan Kerna Terpaksa (BKT) - Part 3

PART 3

PART 3
            Fatimah mundar mandir di hadapan pintu itu. Nusaybah telah di bawa ke bilik pembedahan. Darah banyak sekali mengalir keluar dari tubuh Nusaybah. Nusaybah pula sudah hilang dalam dunianya, tidak sedarkan diri.

            “Sudah berapa lama Nusaybah dekat kampung ni abang Mail?” Fitri menyoal.

            “Lebih kurang masa kamu datang sini juga. Lebih kurang tiga bulan. Kasihan Nusaybah, tak habis-habis dihina orang kampung. Bukan salah dia. Ini ujian Allah buat dia, kenapalah manusia kejam sangat.” Abang Ismail mengeluh perlahan.

            “Kalau anak Nusaybah mati, saya akan buat laporan polis. Saya akan pastikan siapa yang pukul Nusaybah malam tadi kena tindakan undang-undang. Baru diorang sedar, Allah tu tak pernah tidur!” Fatimah begitu tekad. Hatinya penuh marah. Setegar ini mereka sanggup perlakukan kepada Nusaybah. Nusaybah sebaik-baik manusia, langsung tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan mereka suami isteri. Langsung tidak pernah bercakap buruk tentang orang-orang kampung yang menghina dirinya.

            “Sabar Fatimah. Sabar. Ujian buat kita juga ni. Sabar. Doakan Nusaybah dan anak dia selamat.” Abang Ismail menasihati Fatimah yang sudah hilang kesabaran. Fitri sekadar mengangguk tanda setuju.

            “Nusaybah mengandungkan anak siapa?” Fitri menyoal lagi. Mahu tahu. Sepanjang dia di kampung ini, mencari diri kembali, hanya dua kali dia terperasan akan kehadiran Nusaybah. Orangnya manis dan sering menunduk wajah.

            “Orang aniaya Nusaybah sampai dia mengandung. Kita anggap sahaja Ujian Allah buat dia. Sebab selebihnya kita tidak pasti, kita serah sahaja kepada Allah. insyaAllah semua baik-baik sahaja.” Abang Ismail laju menjawab dan mematikan segala persoalan lain.

            “Keluarga Nusaybah?” Seorang jururawat muncul kemudiannya mencari ahli keluarga Nusaybah. Laju Fatimah dan Abang Ismail melangkah ke arah jururawat itu dan diikuti Fitri di belakang.

            “Macam mana dengan Nusaybah? Anak dia?”

            “Alhamdulillah, dua-dua selamat. insyaAllah, kejap lagi kami akan bawa Nusaybah dan bayinya sekali ke wad.” Perkhabaran yang melegakan hati mereka yang mendengar.

            Tiga hari Nusaybah di wad dalam pantauan doktor. Nusaybah melahirkan ketika kandungan berusia 35 minggu. Anak yang dilahirkan, lelaki. Sihat dan sempurna. Ketika jururawat menyerahkan untuk diazan, laju sahaja Fitri menawar untuk mengazankan bayi Nusaybah.

            “Comel. Mujur Umminya Nusaybah, kalau orang lain tak pasti di mana anak ini sekarang.” Fatimah yang kemudian mengambil bayi itu dari kendongan Fitri sebaik sahaja habis diazankan mula mengomel sendirian. Abang Ismail menggeleng kepala dengan senyuman. Allah sungguh menguji mereka dalam soal anak. Belum diberi anugerah terindah itu. Mungkin akan ada suatu hari nanti. Allah adalah perancang yang terbaik.

            “Kalau saya mahu nikahi Nusaybah, abang rasa dia terima?” Fitri kemudian bersuara, soalan yang membuatkan Fatimah dan Abang Ismail tercengang dan saling berpandangan. Soalan yang payahnya untuk memberi jawapan.

            “Sabar. Biarkan Nusaybah sihat dahulu barulah kamu suarakan sendiri kepada dia. Abang dengan kak Fatimah tiada jawapan untuk itu.” Abang Ismail memberikan jawapan, selamat. Tapi benar, dia tiada jawapan untuk itu.

            “Kak... mana anak saya?” Suara Nusaybah yang lemah mematikan perbualan mereka bertiga. Nusaybah tertidur selepas selamat melahirkan. Baru kini dia sedar dari lena.

            “Alhamdulillah, ini dia... comel. Lelaki.” Fatimah laju sahaja mendekatkan bayi itu kepada Nusaybah yang sudah sedia menanti cahaya matanya. Nusaybah tersenyum dengan linangan air mata mengambil bayi itu dan memeluknya dalam pangkuan.

            “Allah... subhanaAllah...” Bibir kering Nusaybah tidak lepas memuji Yang Maha Esa. Sungguh, anak itu sungguh indah. Fatimah juga menjadi sebak melihat reaksi Nusaybah ketika itu. Abang Ismail dan Fitri Cuma memerhati dengan senyuman.

            “Nusaybah nak letak nama apa?” Abang Ismail menyoal kemudiannya.

            “Muhammad Basim Bin Abdullah.”

            “Basim?” Fitri seakan tidak memahami kenapa nama itu menjadi pilihan.

            “Basim yang membawa maksud gembira, selalu tersenyum. Moga anak ini tidak akan langsung merasa sedih dengan dunia yang ditakdirkan kepada dia. Bin Abdullah, bukan indah, jadi moga nama ini menjadi panggilan dalam masa yang sama menjadi doa buat dia. Amin.” Dalam, niat yang sangat mendalam buat anak ini. Dengan hanya sepotong nama, menjadi suatu doa dari ibu buat anak yang tercinta. Semoga kamu akan sentiasa tersenyum Muhammad Basim Bin Abdullah. Moga senyuman kamu membuahkan senyuman di wajah Ummimu Nusaybah. Moga, moga kamu berdua bahagia senantiasa.

+++++

CUKUPLAH UNTUK UBAT RINDU.
ESOK KALAU DIIZINKAN SAYA SAMBUNG YA.
KOMEN TAU!

Tuesday, May 22, 2018

SALAM RAMADHAM KAREEM!

SALAM RAMADHAN KAREEM!

walaupun sudah jejak hari ke lima, tapi tak terlewat kan? semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari yang sebelumnya. yukkk! jadikan Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita! insyaAllah!!!


maaf kan abc ya. abc senyap almost 3 weeks. tetiba bertukar sesi sekolah ke sesi pagi. ambil alih tugas berat untuk bimbing pelajar PT 3. amanah dan tanggungjawab kena lah laksana sebaik-baiknya. semakin busy bila masuk bulan puasa. masakkkk aje kerja dia. anak-anak makin besar dan nak kan perhatian, so habis kerja sekolah kerja rumah, anak-anak minta masa dengan ibu. sorry I choose 'amanah Allah' dari segala-galanya. my sons.

ada karya. cuma belum post sahaja. ini pun curi-curi sambil nak key in markah PAJSK. tahu apa tu? tak yah tau lah hahaha. sibukkk beneran. :P

CAP: dalam penilaian penerbit.

Mini Novel BKT : terlalu berat sampai tak larat nak pikior (puasakan) sambungan demi sambungan.

Mini Novel LoqLaq: Habis baru abc post.

Novel Janji Terpateri : Nak mula balik, suami dah geleng hahahaha insyaAllah sebab 2013 pernah berjanji dengan seorang pembaca (penerbit jugak) untuk siapkan dan beri kepada dia untuk penilaian. sayangkan tak berusaha sungguh-sungguh huhuhu

lain-lain hal: dah macam tulis minit meeting (kejap lagi meeting lagi, udah le puaseee kome) harap semua paham...

Too YASMIN, THANK YOU FOR THE WISHES FOR HARI GURU!!

Monday, May 7, 2018

Mini Novel 2018: Bukan Kerna Terpaksa BKT P2

PART 2
            “Apalah kamu berdua buat ni? Bela perempuan tak elok dekat kampung. Habis anak-anak dara kampung ni nanti jadi macam dia!” Marah sungguh wanita tua itu dengan kehadiran Nusaybah yang sudah hampir masuk 3 bulan di kampung itu.

            “Jadi apa kak Nah oi? Elok tak elok, di mata Allah tu semua sama. Yang penting amalan dan ibadah kita.” Abang Ismail yang sibuk mengira di kaunter pembayaran bersuara bersahaja. Kak Nah terus sahaja menghampiri Nusaybah yang berdiri tidak jauh darinya.

            “Ni perempuan ni, ramai orang kampung tak suka kau bawak perempuan ni tinggal dekat kampung ni. Anak takda bapa!” Kepala Nusaybah ditunjalnya beberapa kali. Nusaybah hanya berdiri kaku dan menekur lantai.

            “Kak Nah!” Jerkah Abang Ismail setelah melihat Nusaybah diperlakukan begitu.

            “Perempuan macam ni, kalau bunuh pun tak dosa!” Marah benar Kak Nah dengan Nusaybah yang langsung tidak mengenalinya.

            “Mana akak belajar? Cakap biar dengan ilmu dan iman. Islam tak sekejam tu!” Kak Fatimah yang baru sahaja tiba di kedai mula bersuara tegas. Geram benar mendengar kata-kata Kak Nah yang langsung tak masuk akal.

            “Bela, bela la perempuan macam ni. Dia ni bukan Mariam!” Suara kak Nah lantang, dan terus melangkah pergi. Nusaybah membetulkan kembali tudungnya. Air mata masih bertahan di dalam kelopak matanya. Kak Fatimah menghampiri Nusaybah.

            “Sabar dik. Manusia memang mulutnya mengalahkan Tuhan.” Pujuk Kak Fatimah, Nusaybah sekadar tersenyum.

            “Apa yang dia cakap ada betulnya, saya tak sesuci Mariam. Saya memang mengandung anak yang bapanya langsung saya tak kenal.” Suara Nusaybah, membuka pekung yang di simpannya.

            “Maksud adik?” Soal Fatimah. Nusaybah memandang tepat ke wajah Fatimah, mencari kekuatan.

            “Sudah, balik rumah nanti kita bincang.” Abang Ismail memotong sebaik sahaja Nusaybah cuba membuka mulut. Fatimah mengangguk perlahan, memahami maksud suaminya. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Manusia, telinganya lebih laju dari kelajuan cahaya, sehebat mulutnya menyampai cerita.

            “Semua berlaku tanpa saya sedar, luar kawalan akal waras saya. Saya sedar semua sudah berlaku. Saya tak tahu siapa, saya tak tahu macam mana.” Nusaybah membuka cerita malam itu, setelah selesai mereka bertiga menjamu makan malam. Abang Ismail mengangguk perlahan sementara Kak Fatimah menggenggam erat tangan Nusaybah. Langsung tidak dilepaskannya.

            “Nusaybah langsung tak nampak siapa?” Abang Ismail menyoal. Nusaybah terdiam beberapa saat.

            “Samar-samar.” Ujar Nusaybah.

            “Boleh cam muka dia?” Soal Abang Ismail lagi namun hanya mengangguk perlahan setelah menerima gelengan daripada Nusaybah.

            “Sudahlah, anggap sahaja ini Ujian. Ujian yang paling besar dari Allah. Allah menguji kerana cinta kepada kita. Abang dengan Kak Fatimah pun redha bila doktor kata kami berdua mungkin langsung tak boleh ada anak. Kami anggap ini ujian cinta antara kami dan cinta kami dengan Allah. Abang harap Nusaybah kuatkan diri, sayangkan anak dalam rahim tu. Anak itu suci, sucinya seperti kain putih. Apa yang berlaku pada masa akan datang, kita serah kepada Allah, yang penting sekarang ni kita usaha yang terbaik untuk anak ni.” Abang Ismail menasihati Nusaybah. Fatimah yang setuju dengan kata-kata suaminya itu, mengangguk laju.

            “Kerana anak ini, saya kuat abang Ismail, kak Fatimah. InshaAllah. Saya akan terus kuat untuk masa depan dia.” Ujar Nusaybah membuah senyuman di bibir Ismail dan Fatimah.

            “Eloklah tu, akak dan abang Ismail balik rumah dulu. Dah dekat maghrib. Nusaybah nak jemaah malam ni dekat masjid? Kalau nak kejap lagi abang dan akak datang ambil.” Fatimah mula bersiap mahu pulang ke rumah. Nusaybah berfikir beberapa saat.

            “Takpelah, malam ni saya nak kemas rumah ni lagi. Mungkin esok-esok saya ikut sekali, lagi pun rumah tak jauh dengan masjid kak, saya boleh jalan kaki.” Ujar Nusaybah menolak dengan baik. Bukan tidak mahu, cuma rumah yang baru di diaminya semalam, masih perlu dikemaskan segera untuk keselesaannya sendiri.

            “Kalau macam tu akak balik dulu. Jaga diri, kunci pintu.” Nasihat Fatimah. Nusaybah mengangguk faham.

            Sebaik sahaja Fatimah dan Ismail pulang, Nusaybah segera menutup dan mengunci pintu dan tingkap rumah. Walaupun rumah itu tidak jauh dari rumah orang kampung yang lain, namun Nusaybah sedar yang kehadirannya ke kampung itu tidak diterima baik oleh orang-orang kampung.

            Hentakan berkali-kali di pintu membuatkan Nusaybah tergesa-gesa menyudahkan bacaan Qurannya. Hentakan bertalu-talu bagai mahu roboh pintu yang sudah uzur itu.

            “Sabar, sabar, saya datang.” Ujar Nusaybah sedikit menjerit memandangkan yang menghentak pintu itu seakan tidak mahu berhenti. Kunci dibuka selaju yang boleh. Suara-suara ramai di luar meresahkan hati Nusaybah. Sebaik sahaja dibuka, tidak sempat berkata apa-apa, tangannya terus ditarik sehingga dia jatuh tersungkur ke tanah.

            “Hey perempuan! Lebih baik sekarang kau pergi dari kampung ni. Membusukkan nama kampung kami je!” Suara itu nyaring di telinga Nusaybah. Kepalanya ditolak-tolak. Tubuhnya dihentak. Tidak mampu berbuat apa, apatah berkata apa-apa. Nusaybah hanya berusaha melindungi kandungannya.

            “Nanti sebab kau, habis semua anak-anak dara kampung ni rosak sebab bala kau bawa dalam perut kau tu!” Suara lain menambah. Berselang-seli mereka menyumpah seranah dan memaki hamun Nusaybah. Nusaybah menahan, menahan segala-galanya. Makian dan sumpahan ini kecil, kecil berbanding apa yang telah dirasai dari ibu yang melahirkan. Nusaybah mengesat air mata yang mengalir. Dia cuba untuk bangun. Namun malang, mereka lebih tekad membunuh anaknya. Perutnya di sepak terajang.

            “Ya Allah! Gila ke korang semua ni!” Tempikkan itu bergema, meredakan sepakan bertalu-talu. Kesakitan itu hanya Allah yang tahu. Bagai nyawa sudah dihujung nafasnya.

            “Kau orang luar, kau jangan sibuk!”

            “Ya, memang aku orang luar. Tapi aku manusia, kau orang manusia dan dia ni pun manusia! Dia mengandung, kau orang buta ke?!” Suara yang bertempik tadi, masih cuba meredakan hati manusia yang panas dibakar penggoda manusia.

            “Eleh macam kau baik sangat. Sebab orang-orang luar macam kau orang ni la yang akan rosakkan kampung kami!” Bidas mereka.

            “MashaAllah, Nusaybah!” Suara Kak Fatimah mula kedengaran. Nusaybah yang terbaring di tanah cuba membuka mata yang sedari tadi dipejam. Kesakitan itu mula menjalar ke serata tubuhnya.

            “Selamatkan anak saya kak. Tolong kak....” Rintih Nusaybah dalam payah dan sakit yang ditanggungnya.

            “Kamu semua tak berhati perut! Kalau mati anak dia, kamu semua pembunuh!” Pekik Fatimah sekuat hati. Diam, semua yang berada di situ terdiam. Melihat tubuh Nusaybah yang kaku dalam pangkuan Fatimah.


+++++

komen ya readers! 

Sunday, May 6, 2018

Mini Novel 2018 : Bukan Kerna Terpaksa (BKT) P1


Assalamualaikum. cerita lama, baru up semula. cerita berat sikit. enjoy dulu ya. 

PART 1
Siapa yang menyangka, nasibnya sepahit hempedu yang pecah dalam hati-hati kita memunggah. Siapa yang meminta, dirinya dipalit dosa yang tidak pernah mungkin terbilas dalam kaca kehidupan mahu melaluinya. Siapa? Mungkin ada tetapi tatkala jiwa meronta luar keimanan. Allah Yang Maha Besar, berat sungguh ujianMu kali ini. Begitu kuatkah hamba ini yang mana Kau lemparkan kepadaku ujian yang tak mampu akalku ini memutar memikirkannya. Allah Yang Maha Kasih Maha Sayang kepada setiap hambaNya walaupun berdebu tebal dosa terpalit pada jiwa, tunjukkan hambaMu ini yang Kau duga ini jalan sebaik-baiknya, jalan yang benar yang Kau izinkan hamba ini melangkah dalam dunia yang payah. Sinarkan hamba Mu ini, agar tersuluh jalan buat melangkah dalam gelita yang tiada percikan cahaya.

            Nusaybah menekup wajahnya, lalu teresak menangisi nasib diri yang terbeban dengan dugaan yang hebat. Hanya Allah peneman dirinya dan bayi yang mulai terbentuk rupanya di dalam rahim seorang gadis yang belum dinikahi oleh sang suami. Nusaybah  menangis dan terus menangis sehinggalah dia terlelap di atas sejadah. Salah siapa semua ini harus ditanggunginya sendiri? Dia adalah mangsa, namun terus menjadi mangsa tohmahan keluarga yang tidak mahu menerima. Dulu dia punya segalanya, namun kini tinggal sebatang kara.

            “Dik... bangun dik...” Suara itu menjengah telinganya. Masih hanyut dalam letih berendam air mata.

            “Dik... Bangun dik...” Suara itu terus menjengah. Dalam lemah, Nusaybah membuka matanya. Kelihatan seraut wajah wanita yang bertelekung di kabur mata. Nusaybah lantas bangkit dari pembaringan.

            “Kenapa tidur dekat sini?” Soal wanita itu.

            “Saya... saya...” Nusaybah yang masih dalam kabur lena, tergagap mencari jawapan yang terbaik untuk diberikan.

            “Dah subuh dik, bangun, wuduk dan sama-sama kita jemaah.” Wanita itu terus bersuara dengan secalit senyum di bibirnya. Nusaybah mengangguk perlahan, lantas bangkit dan bergerak ke arah tempat wuduk. Allahuakbar, hari yang seterusnya dalam hidupku, moga Kau temaniku, menjalani kepayahan ini. Ameen.

            Kuliah pagi itu menyedarkan. Tiada apa yang mudah dalam hidup ini. Ujian bukanlah hukuman Allah, malah ia adalah kasih sayang Allah kepada setiap hamba-hambaNya yang dikasihi. Ujian menguji kita sebagai hambaNya, makin berimankah kita kepadaNya atau terus menyalahkan DIA atas ujian yang tidak seberapa. Syurga Allah itu mahal harganya, tidak semudah untuk menempah nama untuk tinggal di sana. Ujian ini salah satu tiket ke syurga Allah.

            “Adik, kenapa tidur di sini malam tadi?” Wanita awal pagi tadi kembali menegur. Nusaybah cuba menguntum senyum dalam payah. Sudah seminggu dia bermusafir ke sana ke mari. Bersama tangis dan kecewa.

            “Saya mencari tempat tinggal dan kerja kak.” Jawab Nusaybah perlahan. Wanita itu mengangguk faham.

            “Nama akak, Fatimah. Kalau adik tak keberatan, bolehlah ke rumah akak. Mandi dan salin pakaian, lebih selesa.” Pelawa Fatimah, melihatkan keadaan Nusaybah yang agak tidak terurus.

            “Saya tidak apa-apa, saya boleh tumpang tandas masjid ini saja.” Nusaybah menolak dengan baik. Segan dan malu. Kalau wanita ini tahu tentang dirinya, bagaimanakah reaksinya?

            “Tadi adik kata, nak cari tempat tinggal dan kerja kan? Akak kebetulan mencari pembantu kedai. Tempat tinggal akak boleh tolong.” Fatimah terus mempelawa dengan pakej yang sememangnya sudah seminggu Nusaybah mencuba mencari.

            “Betul ke ni akak? Terima kasih kak, tapi...” Nusaybah gembira dengan rezeki itu, namun bolehkah dia diterima di kawasan ini?

            “Tapi apa?” Fatimah menyoal.

            “Takde apa-apa, bila saya boleh mula kerja kak?” Nusaybah mengelak untuk cerita lebih lanjut. Biarlah masa yang menentukan semua ini. Jika Allah izinkan dia lebih lama di sini, dia akan terus berada di sini.

            “Esok? Hari ni akak akan cari tempat tinggal untuk adik....” Fatimah menyoal panjang.

            “Nusaybah, nama saya Nusaybah.” Ujar Nusaybah. Fatimah tersenyum.

            “SubhanaAllah, hebat nama adik. Moga sehebat pemilik sebenarnya. Ameen, inshaAllah.” Nusaybah hanya mampu tersenyum. Mampukah aku sehebat Nusaybah?

            Rumah Fatimah tidak jauh dari masjid yang ditumpanginya semalam. Semalam yang gelap, menyekat pandangan Nusaybah. Rupanya dia telah memasuki sebuah perkampungan melayu. Tidak terlalu ‘kampung’ apabila melihat kemajuan yang telah ada di kawasan itu. Namun keindahan dan ketenangan sebuah ‘kampung’ masih ada, masih kuat terasa. Nusaybah rindukan keluarganya.

            “Kau malukan aku! Aku bagi kau belajar sampai universiti, ijazah kau tak bagi, tapi kau bagi najis dekat aku!” Rambut Nusaybah ditarik-tarik sekuat hati. Mengenangkan betapa sakitnya hati mendengarkan khabar anak gadisnya sudah tidak suci malah mengandungkan seorang bayi yang tidak berbapa!

            “Demi Allah abah, Nusaybah mangsa. Nusaybah tak buat benda tak elok. Nusaybah mangsa...” Nusaybah merintih dalam sakit. Namun lebih sakit apabila, ibu sendiri hanya berdiam diri tanpa membela dirinya yang tidak bersalah. Kakak yang dulunya selalu menjadi teman terbaik, kini memandangnya jijik.

            “Kau keluar Nusaybah, kau bukan anak aku lagi! Aku haramkan setiap titis susu yang aku berikan kepada kau!” Suasana yang kecoh sebentar tadi, menjadi hening dengan sumpahan seorang ibu yang terlalu kecewa. Nusaybah terjelepok di depan pintu rumah setelah ditarik keluar kakaknya.

            “Ibu, ampunkan adik bu... halalkan susu ibu untuk adik.” Nusaybah merintih memohon keampunan.

            “Kau pergi Nusaybah, jangan pernah datang sini lagi.” Kata-kata yang terakhir yang keluar dari mulut ibu sebelum pintu rumah dikunci dari dalam. Nusaybah terpaksa akur, akur dengan ketentuan hidupnya. Bukan aku yang mencari anak ini, dan dia tidak pula datang dengan sendiri. Anak ini tiada salahnya, yang salah adalah manusia, manusia yang hilang iman dalam rakus dunia fana.

            “Nusaybah boleh guna bilik belakang ni buat sementara. Kejap lagi akak minta suami akak carikan rumah sewa untuk Nusaybah ye.” Suara kak Fatimah menyedarkan Nusaybah dari lamunannya. Cepat-cepat dia mengangguk kepala.

            “Bilik air tepi situ je. Jangan segan-segan.” Kak Fatimah, meneruskan langkah ke dapur yang tidak jauh dari bilik itu. Rumahnya sederhana besar, tampak selesa dan tenang. Nusaybah bersiap secepatnya, biar pun hadirnya berjemput tetapi dia tetap merasa segan untuk berada lebih lama di rumah orang yang terlalu baru dikenalinya. Nusaybah yakin, di sinilah tempatnya mencari redha Allah dan jauh dari kejian manusia. Allahuakbar!

            “Sudah berapa bulan?” Suara Abang Ismail mencecah telinga, suami kepada Kak Fatimah. Nusaybah mengetap giginya rapat.

            “Sudah masuk 5 bulan.” Nusaybah bersuara perlahan.

            “Kenapa ke kampung ni?” Abang Ismail menyoal lagi.

            “Kaki saya melangkah tanpa hala tuju.” Nusaybah menjawab, takut terus disoal tentang itu.

            “Dari mana?” Abang Ismail terus menyoal biarpun Kak Fatimah sudah beberapa kali menyikunya, menghalang dari terus menyoal.

            “Ipoh.” Nusaybah tetap menjawab biarpun pandangannya masih menekur lantai.

            “Jauh jugak tu. Tak apalah dik. Mungkin di sini adik boleh mula hidup baru. Abang akan tolong mana yang mampu. Pasal tempat tinggal, abang dah dapat sebuah rumah dekat dengan masjid. Pasal kerja, esok kak Fatimah boleh bawak adik pergi kedai dan bagi kerja-kerja yang kamu boleh buat.” Abang Ismail bersuara, panjang dan menggembirakan Nusaybah. Kak Fatimah di sebelahnya sekadar mengangguk dan tersenyum. Mungkin lega Nusaybah tidak lagi disoal jawab.

            “Terima kasih abang kakak.” Nusaybah menguntum senyum.

            “Sesama islam. Semua orang pernah buat silap, yang penting nak berubah.” Abang Ismail bersuara, kali ini menikam hati Nusaybah biarpun dia tahu perkara itu tetap akan sentiasa bersamanya. Hatinya melonjak mahu bersuara, dia mangsa bukan rela!

            “Petang ni kita pergi kemas rumah Nusaybah. Boleh tengok apa-apa yang takda kita adakan. Nusaybah kena jaga diri, tidur kena selesa.” Kak Fatimah menambah apabila keadaan menjadi hening. Nusaybah sekadar mengangguk perlahan.

            “Kakak kamu ni, dah lama nak ada anak. Abang pun, cuma Allah tak izinkan lagi. Mana-mana perempuan dekat kampung ni yang dia dengar mengandung, semua dia jaga. Orang kata nanti kena tempias. Moga-moga anak kamu ni bagi tempias banyak sikit ye.” Seloroh abang Ismail, membuatkan kak Fatimah terus mencubit pinggangnya. Nusaybah tersenyum, bahagia. Biarpun ada sedihnya, namun mereka berdua bahagia. Allah, mampukah aku merasa bahagia itu?

+++++
komen ya!