Tuesday, April 24, 2018

Mini Novel 2018 : Tuan Haji Esmael (THE) Part 14


Part 14

            Walaupun dengan kejadian yang tiba-tiba sahaja berlaku semalamnya, hari ini majlis Nur Ameena dengan pasangannya, Abdul Fateh berjalan dengan lancar dan sempurna. Ada juga bisikan-bisikan yang didengari mereka sekeluarga berkenaan dengan Nur Ain tetapi dibiarkan sahaja. Nur Ain masih di hospital, keguguran. Kandungan sudah pun memasuki usia, empat bulan.

            “Hang seronokkan tengok aku macam ni? Aku jadi macam ni semua sebab hang. Hang punca semua ni.” Nur Ain masih menyalahkan Nur Annisa sebaik sahaja melihat Nur Annisa datang menziarahinya di hospital malam semalam. Dalam keadaan yang masih lemah, Nur Ain masih lagi tidak mahu mengaku kesalahan dan keburukan sendiri.

            “Bersyukurlah Nur Ain, Annisa sendiri beria-ria datang nak ziarah kamu sebab tak ada ahli keluarga kamu yang boleh datang melawat kamu malam ni. Bersyukurlah.” Tuan Haji Esmael menempelak.

            “Aku tak minta pun sesiapa datang. Dia sengaja datang sini nak gelakkan aku. Pi baliklah.” Nur Ain masih bongkak.

            “Ibu dengan abah dah tau semua yang kak Ain buat dekat Pekan. Nisa harap kak Ain bertaubat lepas ni. Kalau ibu halau kak Ain nanti, Nisa akan cuba pujukkan ibu untuk maafkan kak Ain.” Nur Annisa bersuara, tetapi Nur Ain terus ketawa dengan menjengkelkan.

            “Hang nak pujuk ibu? Piiirahhh… aku ni anak kesayangan ibu. Apa yang aku buat, ibu mesti maafkan, lagi pun ibu percaya ke semua tu. Hang jangan nak beranganlah.” Nur Ain masih tiada keinsafan.

            “Seingat Nisa, masa ibu tengok gambar-gambar kak Ain tu, itu macam terkejut besaq, tak taulah. Tak apalah kalau kak Ain dah cakap lagu tu. Takziah ya atas baby kak Ain yang masih baru tu. Nisa balik dulu.” Nur Annisa seakan menempelak Nur Ain secara halus. Nur Ain terdiam. Malu sendiri.  Nur Ain memandang Nur Annisa yang berlalu pergi dengan berpegangan tangan dengan Tuan Haji Esmael. Dalam hati dia terus berdendam untuk memusnahkan kebahagiaan Nur Annisa sekarang. ‘Kau tak boleh lebih dari aku!”

            “Kak Meena nak terus balik JB?” Soal Nur Annisa saat melihat Nur Ameena sudah siap mengemas pakaiannya. Nur Ameena mengangguk dengan senyuman.

            “Semalam akak dah mesej abang Fateh, terangkan semua, jadi dia faham. Akak tak boleh nak pandang ibu dengan abah sekarang ni. Hati akak rasa marah. Akak nak pi tenangkan diri dulu.” Ujar Nur Ameena. Nur Annisa mengeluh perlahan.

            “Baru tadi habis kenduri, tak letih ka?”

            “Kami singgah Taiping dulu, rumah abang Fateh. Esoknya kami bertolak ke JB.” Nur Annisa mengangguk perlahan.

            “Terima kasih buat semuanya untuk Nisa.” Nur Ameena memandang Nur Annisa sekilas.

            “Demi ibu dengan abah juga. Sampai bila nak berpemikiran macam tu. Syirik.”

            “Ibu dengan abah tetap ibu dengan abah Nisa. Walau macam mana pun depa.”

            “Dan tetap derhaka kepada anak namanya. Jangan ingat anak aje yang derhaka dengan ibu bapa tau, ibu bapa pun kadang kala tak tersedar yang depa derhaka dengan anak. Macam ibu dengan abah, dari Nisa baby lagi, langsung macam tak ada kasih atau sayang. Kak Meena nampak semua tu.”

            “Nisa tak pernah anggap depa buruk lagu tu. Ibu dengan abah tetap syurga Nisa.”

            “Nisa ni… baik sangat. Patut pun dapat Tuan Haji Esmael tu…” Nur Annisa tersenyum lebar.

            “Tak boleh sama baik macam abang Aji, dia baik sangat, cuma semalam, terkejut Nisa bila dia garang lagu tu. Tak pernah tengok lagi dia lagu tu.” Ujar Nur Annisa sambil membantu Nur Ameena meletakkan beg ke tepi bilik.

            “Kak Meena pernah tengok dah Tuan Haji mengamuk, sekali masa kita kecik dulu. Sebab bekas tunang dia tuduh dia curang kut, tapi sebenaqnya bekas tunang dia tu yang dok curang dengan banyak laki. Lepas tu memang orang kecut habislah.” Nur Ameena membuka cerita.

            “Awat Nisa tak tau pasal tu?”

            “Nisa kan dok asrama, mana nak tau. Hal lama. Ni kak Meena nak pesan, hang balik-balik jenguk ibu dengan abah selalu. Depa tak okay lagi tu. Kak Ain pun dalam pantang, esok baru keluar wad. Hang jangan jadi macam kak Meena tau, lantang sangat cakap semalam. Kak Meena tau dosa tapi kak Meena nak bagi reda dulu, nanti kak Meena balik sini untuk minta maaf dengan ibu dan abah.” Nur Ameena mengukir senyum nipis senyuman yang sekadar menyedapkan hati sendiri.

            “Nisa rasa ibu dengan abah tak marah pun dengan akak. Depa cuma serba salah. Yalah, selama ni tak pernah nak teguq kak Ain buat apa pun. Mungkin depa tak sangka sampai macam tu sekali kak Ain buat. Nisa pun mula-mula payah nak terima tapi nak buat macam mana, dah itu yang berlaku. Terima jalah.” Nur Annisa mengeluh perlahan.

            “Allah uji kita Nisa, sebab Allah sayang kita. Allah beri Tuan Haji dekat Nisa tanda kasih Dia. Jaga Tuan Haji elok-elok, jaga diri. Kak Meena sentiasa doakan yang terbaik untuk Nisa.” Tubuh Nur Annisa ditarik ke dalam pelukannya.

            “Terima kasih kak Meena, Nisa pun sayang kak sangat-sangat.”

            Nur Annisa dan adik-adiknya melambaikan tangan ke arah Nur Ameena dan Abdul Fateh yang sudah pun beransur pulang. Mereka melambai sehingga hilang kereta yang dinaiki pengantin baru itu dari pandangan.

            “Jom Annisa, dah lewat ni.” Tuan Haji Esmael menyarung siap sandalnya. Nur Annisa sekadar mengangguk kepala. Adik-adik menyalami Nur Annisa seorang demi seorang dan setiap seorang Nur Annisa berpesan supaya menjaga ibu dan abah dengan baik.

            “Alia, ingat ya, ada apa-apa terus telefon akak. Nombor akak dah tulis dalam buku telefon tu.” Nur Alia mengangguk laju.

            Nur Annisa kemudian naik ke beranda dan menyalami kedua orang tuanya yang masih berendam air mata.

            “Nak balik juga Nisa?” Hanem menyoal selepas Nur Annisa menyalami tangannya.

            “Abang ajak balik dah tu, esok dia kerja. Dah tiga hari dia tak pi tengok ladang dia.” Ujar Nur Annisa, mahu ibu dana bah memahami keadaannya. Hanem dan Sulaiman mengangguk sahaja. Tahu, Nur Ameena merajuk dengan mereka dan Nur Annisa takut dengan mereka berdua. Takut dihina dan dimaki oleh ibu abah kandung sendiri.

            “Esok ibu dengan abah nak bawa kak Ain balik, Nisa mai rumah naa, ada hal ibu nak cakap dekat Nisa dengan Ain.” Ujar Hanem sebaik sahaja Nur Annisa siap mahu ke kereta. Nur Annisa memandang ke arah Tuan Haji Esmael, memohon keizinan.

            “Esok kami datang, tapi lepas asar.” Tuan Haji Esmael membalas. Nur Annisa menguntum senyum.

            Tuan Haji Esmael mengeluh lagi dan lagi. Nur Annisa yang berada di sebelah hanya memandang tidak lepas.

            “Awat ni…?” Nur Annisa menyoal. Lengan Tuan Haji Esmael disentuh perlahan.

            “Geram tak habih.”

            “Istighfar… Astagfirullahal’azim…” Nur Annisa seakan memimpin Tuan Haji Esmael untuk istighfar beberapa kali.

            “Kenapalah Cik Man dengan Mak Cik Hanem boleh sayang lagi Nur Ain, cuba kalau Annisa yang jadi macam tu, rasanya dah lempaq jauh kut.” Nur Annisa tersenyum, perkara ini yang mengganggu emosi Tuan Haji Esmael ketika ini.

            “Ibu dengan abah…”

            “Tak biasa, lagi pun abang ni bukan beza banyak pun rasanya.”

            “Tetap ibu dengan abah… ada sebabnya. Anak, seburuk mana pun anak tetap anak. Salah siapa kalau anak tu buruk kalau bukan ibu bapa yang mendidik. Kalau pun di didik dengan baik, mungkin anak itu ujian Allah bagi untuk ibu bapa. Ujian kasih Allah.”

            “Abang tahu, cuma…”

            “Mana abang Aji Nisa yang penyabar, yang tak suka cakap tentang orang lain, yang sentiasa bersangka baik?” Nur Annisa seakan menempelak halus Tuan Haji Esmael. Tuan Haji Esmael mengeluh perlahan.

            “Maafkan abang. Terlalu terbawa-bawa dengan emosi. Tak bolehlah kalau orang kacau Nur Annisa abang ni.”

            “Jangan jadikan Nisa sebagai satu sebab yang buat abang menghimpun dosa. Nisa tak mau lagu tu. Jangan sebab Nisa abang jadi negatif.” Ujar Nur Annisa dengan nada penuh kerisauan.

            “inshaAllah… beremosi sangat abang belakangan ni. Cepat nak marah, cepat nak sedih. Entahlah.” Tuan Haji Esmael meluahkan rasa.

            “Bulan mengambang ka?” Gurau Nur Annisa. Tuan Haji Esmael memandang sekilas dengan renungan yang penuh tanda tanya.

            “Dah dekat empat bulan kita kahwin, abang tak pernah tau pun bila Annisa tak boleh solat? Tak pernah bulan mengambang?” Soalan yang membuatkan Nur Annisa terus terdiam dan berkira-kira.

            Last period, sebelum kita nikah… takkanlah?” Nur Annisa terdiam, tak mahu menerus kata, takut terlalu berharap. Tuan Haji Esmael terus menukar haluan jalan. Terus ke Pekan!

to be continue.
part 15 akan jadi part akhir.
apa yang Hanem nak bagitau dekat Annisa dan Ain?
Ain kata nak balas dendam, macam mana tu? Apa lagi Ain nak buat ni?
Tunggu Esok ya!

7 comments:

Anonymous said...

Tahniah abang aji bakal jadi ayah.
Dah jadi macam tu Ain masih tak insaf...hati hitam sungguh.

Kak min

aTie said...

Huh... Suspen nyerr... Harap Ain insaf n Nisa jadi ibu.. Nak happy ending please.... Hehe

MY WORLD said...

dah nak abis dah citer nie..best2

Syafiqa Hamid said...

Best!. 😍😍

Yasmin Syamimi said...

Ala....dah abes ke, abc buat pjg2 noh , bg puas baca...

Yasmin Syamimi said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Best