Showing posts with label N&N. Show all posts
Showing posts with label N&N. Show all posts

Tuesday, March 20, 2018

Mini Novel 2018 : N&N - AKHIR


PART AKHIR KISAH NOH DANIEL DAN NUR NADIA.
TINGGALKAN NOTA ANDA BUAT NOH DANIEL DAN NUR NADIA DI KOTAK KOMEN DI BAWAH.

TERIMA KASIH DAN ENJOY READING!



Part 20

Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 10 jam akhirnya tiba di destinasi. Nadia membetulkan duduknya. Sedikit resah sebaik sahaja tiba di Tol Utara, Alor Setar. Nafas ditarik dalam-dalam. Tiga tahun setengah tidak pulang ke sini, beberapa perubahan kelihatan dari pandangan Nadia.

10 minit dari Tol Utara ke rumah Pak cik Salleh. Rumah kelihatan sunyi sepi seperti tiada sesiapa. Rumah juga kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan. Salam diberikan beberapa kali namun tiada jawapan.

“Macam dah tak tinggal sini je.” Suara Noh Daniel.

“Itulah. Nadia pun dah lama tak balik, lama tak call pak cik mak cik...” Nadia membalas dengan keluhan. Walaupun hatinya berdebar seribu rasa, namun jauh dalam hati dia mahu bertemu empat mata dengan mereka.

“Assalamualaikum.” Satu suara menyapa mereka. Noh Daniel dan Nadia kalih memandang sambil menjawab salam.

“Mak Yah!” Nadia meluru memeluk perempuan yang agak berusia itu.

“Ya Allah Nadia, aku ingat aku dah tak boleh jumpa hang lagi dah. Hang pi mana nak oi?” Mak Yah sudah meramu air mata. Nadia dipeluk erat.

“Nadia sambung belajar la Mak Yah, bukan pi mana-mana pun.” Nadia menjawab dengan senyuman.

“Ni sapa?” Mak Yah menyoal, menunjuk kepada Noh Daniel.

“Suami Nadia. Noh Daniel.” Noh Daniel menunduk sedikit tanda hormat.

“Allahuakbar! Bila kahwin? Patutlah meroyan Tuan Hassan tu...” Mak Yah ketawa kemudiannya. Nadia tersenyum.

“Dekat 5 bulan dah. Alhamdulillah.”

“Hang cari Salleh dengan Leha ka?” Ujar Mak Yah lagi.

“Aah Mak Yah. Mana pak cik dengan mak cik? Macam tak ada dekat rumah je...”

“Hang tak tau ka Nadia? pak cik hang dah tak dak, bulan lepas. Leha dekat penjara. Leha tikam Salleh.” Nadia menekup mulutnya. Kaki terasa lembik mendengar perkhabaran itu. Mujur sahaja Noh Salleh setia di sisi, menahan Nadia yang hampir terjatuh.

“Tikam? Kenapa Mak Yah?” Noh Daniel menyoal.

“Pasai juai Irma dekat Tuan Hassan. Lepas tu nak juai Leha dekat Ah Long pulak. Leha marah sangat. Salleh balik mabuk-mabuk malam tu, terus cakap yang satgi ada orang nak ambik Leha sebab dia dah juai. Apa lagi Leha yang dok marah lagi pasai Irma terus ambik gunting tikam Salleh.” Mak Yah menceritakan hal yang berlaku.

“Astagfirullahal’azim.”

“Irma macam mana? Saya nak jumpa dia.” Nadia kemudian menyoal. Mak Yah berwajah kelat.

“Tak payahlah jumpa dia. Hang pun tau kan macam mana keadaan bila dah jadi isteri Tuan Hassan?” Mak Yah melarang.

“Tapi kami datang nak bawa Irma keluar dari sini.” Noh Daniel menambah.

“Jangan buat kerja gila. Irma dah sah jadi bini dia. Hampa dah elok berdua, tak payahlah cari bala.” Mak Yah melarang. Nadia yang memahami sekadar diam. Noh Daniel berkerut dahi, tidak faham.

“Kalau didera boleh buat laporan polis. Kita guna undang-undang negara.” Noh Daniel masih mencuba. Niat dia cuma mahu membantu Irma, sebagaimana kehendak Nadia.

“Memang ada undang-undang tapi bagi Mak Yah biarlah. Habuan dia. Satu kampung tau dah perangai depa satu keluarga ni. Hampa anggap ja lah ini hukuman Allah buat depa satu keluarga atas apa yang depa buat selama ni.” Mak Yah menasihatkan.

“Irma dok rumah mana Mak Yah?” Nadia menyoal, tetap mahu bertemu Irma Hanani.

“Rumah Iklima. Hang ingat dak?” Nadia mengangguk. Mak cik Iklima, bekas isteri Tuan Hassan yang berjaya keluar dari genggaman Tuan Hassan. Sebelum Nadia keluar dari kampung, rumah itu masih kosong. Kiranya jika dia tidak lari dahulu, mungkin rumah itu menjadi penjara buat dirinya. Nadia mengucap syukur di dalam hati.

“Siapa Iklima? Kenapa Mak Yah cakap macam tu?” Noh Daniel menyoal dalam perjalanan mereka ke rumah yang didiami Irma Hanani.

“Iklima bekas isteri nombor satu Tuan Hassan. Iklima ni isteri yang paling disayangi tapi akhirnya paling dibenci sebab lari tinggalkan dia.” Ujar Nadia.

“Kenapa dia lari?”

“Sebab Tuan Hassan macam gila perempuan dan gila talak. Ramai yang dia paksa kahwin dan cerai macam tu je. Tak tahan dengan perangai Tuan Hassan yang makin pelik tu, dia lari dan minta cerai.”

“Kat mana Iklima sekarang?”

“Balik kampung dia, dekat Melaka.”

“Sayang tak jawab soalan abang lagi. Kenapa Mak Yah cakap macam tu tentang keadaan lepas jadi isteri Tuan Hassan?” Noh Daniel menyoal banyak, ingin tahu.

“Mak Yah ni yang suruh Nadia lari selagi boleh dari Tuan Hassan. Mak Yah bagitau yang isteri-isteri Tuan Hassan ni tak pernah bahagia sehari pun walaupun duduk rumah besar. Kena dera dari segi fizikal, mental dan seksual. Nak lari? Jangan harap boleh lepas, mata-mata Tuan Hassan ni ramai, sampai ke Pekan sana. Polis? Bukan tak ada yang buat laporan tapi isteri-isteri Tuan Hassan ni macam setia sangat dengan dia. Ada yang kata diorang kena ugut, kalau buka mulut, family akan terima akibat. Tapi tak tahulah betul ke tak. Tuan Hassan orang berduit, semua boleh settle dengan duit kan.” Nadia bertutur panjang. Noh Daniel mengangguk perlahan.

“Lepas pula Iklima tu?”

“Masa tu Tuan Hassan kurang pengaruh lagi.”

“Jadi macam mana dengan Irma?” Nadia mengjungkit bahu, tidak tahu jawapan untuk soalan itu.

“Kalau dia nak keluar dari sini, kita bawa. Kalau tak kita nak buat macam mana.” Nadia bersuara perlahan. Dari jauh kelihatan rumah banglo setingkat yang tersergam indah namun jelas kesuramannya. Salam diberikan beberapa kali sebelum bunyi kunci pintu dibuka.

“Kau nak apa?” Suara Irma dari balik pintu yang hanya dibuka sedikit.

“Irma, aku datang nak jumpa kau.” Nadia melangkah menghampiri pintu.

“Jangan datang dekat!” Larang Irma Hanani membuatkan langkah Nadia terhenti. Noh Daniel hanya memerhati dari kereta.

“Aku nak jumpa kau kejap aje Irma.”

“Kau pergi jelah Nadia. Aku tak nak jumpa kau. Kau pergi balik.” Irma membentak. Ada serak dalam suaranya.

“Aku akan balik tapi lepas jumpa kau.” Nadia tetap memaksa.

“Kau akan buat aku terseksa kalau Tuan Hassan nampak kau dekat sini.”

“Jom ikut aku, kita keluar dari kampung ni.” Irma diam setelah mendengar kata-kata Nadia. Pintu di buka penuh. Irma melangkah keluar, perlahan-lahan. Nadia menekup mulutnya, air mata berjujuran mengalir melihat keadaan Irma yang lebam penuh di mukanya.

“Kenapa sampai macam ni?” Nadia mengongoi.

“Kau pun tahu Tuan Hassan kan? Tak bagi apa dia nak, inilah hasilnya.” Irma mengukir senyuman nipis namun sinis.

“Aku minta maaf.” Nadia sedikit merintih. Terasa seakan dia yang menjadi penyebab semua ini.

“Bukan salah kau. Ni balasan untuk aku atas apa yang aku buat dekat kau selama ni. Tapi sekarang kau bahagiakan?” Irma memandang ke arah Noh Daniel. Nadia mengangguk.

“Aku bahagia. Sangat bahagia.” Ujar Nadia. Irma tersenyum.

“Alhamdulillah. Dalam jahat yang aku buat, Allah bagi yang terbaik dekat kau. Aku minta maaf.” Irma mengesat hujung matanya. Nadia menggenggam erat tangan Irma.

“Aku maafkan semuanya. Aku tak simpan sikit pun. Semua tu perkara yang bawa aku kepada siapa aku hari ni. Terima kasih Irma, kau selalu ada untuk aku selama aku duduk dengan family kau.”

“Aku tak pernah ikhlas pun dengan kau Nadia. Apa yang aku buat tu semuanya untuk kebaikan aku sendiri. Sikit pun aku tak fikir nak tolong kau. Aku benci kau sebab kau masuk dalam keluarga aku dan ambil perhatian mak dengan ayah, walaupun perhatian itu lebih kepada kejahatan aku tetap cemburu. Aku bertambah benci dekat kau bila kau yang dapat sambung belajar bukan aku. Sebab tu aku perangkap engkau dengan Noh Daniel. Lelaki yang paling bencikan kau sama macam aku.” Irma meluahkan satu persatu kejahatan yang disembunyikan.

“Dia tak pernah benci aku Irma.”

“Aku tahu. Kalau tak masakan korang boleh kahwin dan bahagia macam ni. Allah sayang kau Nadia.”

“Allah sayang kita semua Irma. Allah tak pilih kasih.” Irma mengangguk laju.

“Sebab tu Allah basuh dosa aku dengan ujian ni. Aku terima.”

“Aku dengan Noh nak bawa kau keluar dari sini. Kau ikut aku ya?” Nadia cuba memujuk namun Irma menggeleng laju.

“Aku rela macam ni. Aku mungkin akan kembali kepada aku yang lama kalau aku tak lalui sakit ni. Aku rela. Kau pergilah. Tuan Hassan tak suka sesiapa datang sini.” Irma bingkas bangun dan mahu masuk ke rumah.

“Takziah atas pemergian Pak Cik dan atas apa yang berlaku kepada Mak Cik.” Ujar Nadia sebelum Irma menutup pintu.

“Balasan Nadia. Balasan untuk kami semua. Aku terima. Terima kasih Nadia maafkan kami sekeluarga.” Pintu ditutup rapat. Nadia menghela nafas lemah. Langkah diatur perlahan ke arah Noh Daniel.

“Dia tak nak ikut?” Soal Noh Daniel sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

“Tak, dia dah terima semua ni sebagai kafarah dosa dia.” Tutur Nadia perlahan.

“Kita dah cuba kalau dia yang tak nak, kita tak boleh buat apa. Kita doakan sahaja semua akan baik-baik sahaja.” Ujar Noh Daniel, cuba menenangkan Nur Nadia.

“Kasihan Irma. Seksanya dia. Bibir pecah, mata lebam. Rasa nak aje report polis.”

“Macam sayang kata, isteri-isteri Tuan Hassan yang tak nak buka mulut. Irma pula memang tak nak keluar dari sini. Kalau nak, dia dah ikut kita sekarang.”

“Itulah. Sayang pun tak tahu nak cakap apa. Rasa bersalah pun ada.”

“Bukan salah sayang. Kita yang mencorak hidup kita sendiri. Baik kita corakkan baiklah hasilnya. Allah Maha Adil, tak pernah nak pilih sesiapa. Sudahlah sayang, jangan salahkan diri sendiri.”

“Macam mana sekarang?” Nadia menyoal Noh Daniel, kepala berserabut.

“Macam mana? Lupakan semuanya. Irma dah pilih jalan hidup dia. Sayang pun dah pilih jalan hidup sayang. Pandang ke depan. Cari bahagia yang sayang nak dari dulu. Abang akan sentiasa ada di sisi sayang untuk sokong semua yang sayang buat selagi dalam redha Allah.” Ujar Noh Daniel. Nadia kemudian memeluk lengan Noh Daniel dan merebahkan kepalanya.

“Terima kasih abang untuk segala-galanya.”

“Terima kasih juga sayang untuk segala-galanya.”

Kereta yang dinaiki kian jauh dari kampung yang pernah di diami Nadia suatu ketika dahulu. Mungkin, mungkin ini adalah kali yang terakhir dia kembali ke sini. Nur Nadia mahu mencari kedamaian hati dan kebahagiaan buat dirinya. Jika semalam dia setia mengalirkan air mata kerana sakit yang dirasa, hari ini dan esoknya dia cuma berharap air mata yang mengalir adalah air mata yang terlalu gembira dan bahagia. Moga indah hari ini akan kekal untuk selama-lamanya. Moga bahagia milik mereka berdua, Noh Daniel dan Nur Nadia.

Tamat.



Monday, March 19, 2018

Mini Novel 2018: N&N (Part 19)


Part 19

Nur Nadia dan Mashitah duduk di meja kafe. Sambil makan tengah hari mereka membincangkan soalan-soalan tahun sebelumnya. Persediaan untuk peperiksaan jam 2.15 petang nanti.

“Hah... sini pun kau Nadia. Penat aku cari kau merata.” Hadi yang tercungap-cungap melabuh duduk di hadapan Nadia.

“Kenapa cari aku?” Soal Nadia.

“Ni haa... soalan ni diorang kata keluar kejap lagi. Aku tak dapat buat, tu nak tanya kau.” Ujar Hadi. Nadia mengambil soalan dari Hadi dan mula membaca.

“Aku dah buat ni. Kejap aku cari... ni ha...” Nadia mula menerangkan jawapan yang diperolehnya. Mashitah turut sama mendengar, sebelum beberapa orang rakan lain menghampiri. Penuh meja mereka dengan beberapa orang rakan sekelas yang turut bertanya beberapa soalan yang dijangka akan keluar.

“Apasal aku tengok Nasuha macam nak datang sini je? Apahal muka dia macam tu?” Ujar Hadi yang sedang mengemas buku-buku dan notanya. Nadia kalih sebentar sebelum menjungkit bahu, malas hendak ambil tahu.

“Nadia, aku rasa...” Belum habis kata-kata Mashitah, Nadia sudah bermandi air teh ais dan kuah kari ayam. Nadia terkejut besar sehingga terdiri dia di situ. Nasuha ketawa besar.

“Ni makanannya untuk perempuan yang gatal dan tak ada maruah!”

“Nasuha, apa ni?” Nadia menyoal dalam ketar, menahan marah dan tangisan.

“Woi! Kau gila ke?!” Mashitah membentak, mahu sahaja dia menghentak Nasuha ketika itu namun Nadia menghalang. Mashitah merengus marah.

“Kau jangan nak sembunyi sangat dibalik tudung besar kau, konon sopan santun, baik, alim tapi kau ni tak lebih macam perempuan murah!” Pekik Nasuha penuh amarah. Tangannya mahu naik menampar Nadia sebelum ditahan dengan tempikan yang lebih kuat.

“Nasuha!” Noh Daniel sudah berdiri di belakang dengan renungan mata yang tajam. Tangannya dikepal erat-erat. Kalau Nasuha lelaki tentu sahaja bersepai gigi dibuatnya. Nadia mengalih tubuh dan pandangan ke arah Noh Daniel.

“Sayang...” Noh Daniel melangkah laju ke arah Nadia yang sudah bermandi air mata sekarang.

“Abang...” Nadia memanggil Noh Daniel dalam tangisan. Nasuha mencebik penuh benci dan meluat melihat Noh Daniel mengelap wajah Nadia dengan tisu yang ada. Hadi kemudian di arah oleh Noh Daniel untuk mencari lebih banyak tisu.

“Well, well... semua orang mari tengok, merpati dua sejoli. Tak tahu malu. Tunjuk sangat yang korang ni buat maksiat. Tak cukup dekat luar,sampai dalam kampus pun nak buat maksiat?” Nasuha memerli. Ketika itu sudah ramai pelajar berkumpul di kafe dan melihat adegan itu.

“Maksiat? What do you mean by maksiat? Nur Nadia is my wife. So, is there any problems with it? It is still call maksiat?” Noh Daniel memegang erat tangan Nadia. Nadia masih dalam sendu. Mashitah sudah tersenyum lebar. Sweet sangat! Rata-rata pelajar yang melihat terkejut besar dengan kenyataan yang diluahkan oleh Noh Daniel. Nasuha yang paling terkejut.

“Wife? Nadia... isteri... kahwin?” Nasuha sudah tergagap-gagap.

“Yes. Nur Nadia yang awak mandikan dia sekarang ni adalah isteri saya. Ada masalah? Kalau awak ni lelaki Nasuha, memang esok dah pakai gigi palsu. Saya bagi amaran yang terakhir, jangan pernah awak berani maki isteri saya lagi atau ada hati nak angkat tangan sentuh isteri saya. Sekali lagi awak buat macam ni, saya tak akan teragak-agak untuk ambil tindakan.” Noh Daniel memberi amaran dengan tegas. Nasuha sudah cuak.

“Saya... saya...” Nasuha masih tidak dapat bersuara.

“No more excuses. Saya tak nak dengar apa-apa. Bear in your mind, I won’t let it go again next time.” Noh Daniel kemudian terus menarik tangan Nadia keluar dari kafe dan melangkah ke kereta.

“Sayang ada exam, macam mana ni?” Nadia sudah merengek dengan tangisan. Tudung dan bajunya sudah basah lencun dengan kari ayam dan air teh ais.

“Exam pukul berapa?”

“2.15 kejap lagi.”

“Sempat. Sekarang baru 1.30. Kita balik. Jom cepat.” Noh Daniel terus sahaja menghidupkan enjin kereta. Meluncur laju pulang ke rumah. Mujur sahaja dia cepat ke situ, niatnya hanya mahu makan bersama-sama Nadia tetapi lain pula yang jadi. Mujur sahaja dia sempat menahan Nasuha dari naik tangan ke muka Nadia. Nadia memang tegas tetapi dia lemah bila kejadian sebegitu berlaku di luar jangkaannya.

Mujur sahaja sempat Nadia sampai ke dewan peperiksaan walaupun lewat sepuluh minit. Nadia membaca doa sebelum mula menjawab soalan. Nasuha yang duduk jauh di tepi dewan hanya memerhati dengan ekor mata. Masih terkejut dengan kenyataan Encik Noh Daniel pujaan hatinya adalah suami kepada Nur Nadia.

“Bukan Encik Noh benci Nadia ke?” Soalan yang penuh di dalam whatsapp group mereka. Senang sahaja Mashitah membidas mereka yang masih tidak berpuas hati kenapa Nadia menjadi pilihan; ‘Nadia tak busuk hati macam korang, dari benci jadi sayang. Korang semua jealous gilakan? Nadia dah la cantik, pandai, dapat pulak Encik Noh kegilaan ramai. Gigit kukulah korang.’ Seorang demi seorang mulai ‘left group’ selepas dibidas tajam oleh Mashitah. Bagi Mashitah pula; ‘Ada aku kisah?’

Peperiksaan berlangsung selama satu jam setengah sahaja. Noh Daniel sudah pun menunggu Nadia di luar dewan kuliah. Beberapa orang pelajar yang keluar dewan, memberi salam hormat kepada Noh Daniel.

“Sayang.” Noh Daniel memanggil Nadia yang baru menjengah keluar dewan. Tangan sudah pun dihulurkan. Dalam segan, Nadia tetap menyambut huluran itu.

“Kenapa tunggu sini?” Nadia menyoal.

“Saja nak tunjuk kita buat maksiat.” Noh Daniel masih mengusik. Kalau Nasuha dengar mesti bengang! Nadia tersenyum dengan matanya dikecilkan.

“Nakal Encik Noh ni.” Mereka melangkah ke kereta. Beberapa orang rakan sekelas Nadia memandang dan tersenyum-senyum kepada Nadia. Naik segan Nadia dibuatnya.

“Amboi... sweet-sweet pula dua orang ni.” Mashitah menegur. Nadia menekup muka dengan sebelah tangan. Noh Daniel tidak lepas genggaman tangannya malah dieratkan lagi.

“Mashitah, aku balik rumah terus tau. Habis paper last nanti baru aku balik bilik. Next semester aku dipaksa duduk rumah.” Nadia mengerling ke arah Noh Daniel.

“Tempat isteri di sisi suami. Suami pun kena pastikan isteri di sisi naa...” Ada bidasan halus di situ dari Mashitah kepada Noh Daniel.

“InshaAllah Mashitah. Nanti kenduri saya nak minta tolong awak jemput pelajar-pelajar yang saya ajar boleh? Kad dah siap nanti saya bagi.” Ujar Noh Daniel. Faham sangat Mashitah sayangkan Nadia.

“Boleh je Encik Noh, tak ada hal. Tapi satu syarat, kalau bersanding saya nak jadi pengapit, boleh?” Mashitah mengangkat-angkat kening.

“Mungkin tak ada sanding kut, saya risau Nadia penat sangat nanti. Masjlis lebih kepada majlis kesyukuran je.” Mashitah memandang Nadia pelik.

“Nadia sakit ke?” Soal Mashitah risau. Nadia memandang Noh Daniel dengan senyuman lebar. Mashitah ditarik sebelum Nadia berbisik di telinganya.

“Allahukbar. Alhamdulillah.” Mashitah menekup mulut dengan kedua-dua belah tangannya.

“Rahsia tau. Baru lagi. Doakan ya Mashitah, semua selamat.” Ujar Nadia. Mashitah mengangguk perlahan.

“Eh jomlah, kami hantar awak balik kolej. Boleh borak panjang dalam kereta.” Mereka bertiga bergerak ke kereta yang diparkir di bawah pokok. Mashitah lega. Lega melihat Nadia tidak lekang dengan senyuman di bibirnya. Noh Daniel sentiasa membuat Nadia ketawa. Sesekali Mashitah mencelah dan menambah, semakin gamat keadaan dalam kereta jadinya.

Kertas terakhir telah pun berjaya dihabiskan. Lega. Semua kertas telah berjaya dibuat sehabis baik. Alhamdulillah. Nadia telah pun selesai mengemas semua barangannya. Malam ini dia akan tidur di kolej untuk terakhir kalinya. Semester depan akan jadi semester yang mencabar buat Nadia. Semester terakhir untuk menamatkan Ijazah Sarjana Muda. Dalam masa yang sama membawa anak dalam perut.

“Kalau kau tak kahwin, kau nak buat apa ye habis semester tahun depan?” Mashitah yang sedang berbaring sambil membaca novel menyoal Nadia yang baru melabuh duduk di katilnya.

“Aku kan kerja dekat kedai buku. Aku rancang untuk kerja situ sampai aku konvo dan mungkin sampai aku posting.” Ujar Nadia. Mashitah mengangguk.

“Boss tu dah tau ke kau tak kerja cuti semester ni?” Soal Mashitah.

“Tahu. Aku dah call dia awal haritu. Nanti nak jumpa bagi kad kahwin.”

“Baik eh dia?”

“Dia janda anak tiga. Suami lari sebab hutang Ah Long. Bukan terus naik berjaya macam tu ja. Macam-macam dia lalui sampai berjaya sekarang. Dia nak tolong aku, sebab dia kata Allah tolong dia untuk dia tolong orang lain.” Nadia menjelaskan. Puan Nurbaya. Orang yang sangat rendah diri dan sentiasa positif. Bagaimana boleh kenal? Semua atas aturan Allah. Waktu itu Nur Nadia sudah hampir putus asa dalam mencari kerja sehinggalah dia ternampak Puan Nurbaya terkial-kial mahu mengangkat stok buku masuk ke kedainya, terus sahaja dia menghulurkan bantuan. Dari situ Nadia diterima bekerja dengannya untuk setiap cuti semester.

“Alhamdulillah. Dalam susah payah kau lalui hidup kau, ramai orang baik yang kau jumpa. Salah seorangnya, aku.” Mashitah ketawa. Nadia juga.

“Perasan eh. Tapi betul, kau salah seorangnya. Terima kasih.”

“Sama-sama. Dah eh, jangan nak sentimental. I don’t like it.” Mashitah memberi amaran awal-awal. Mashitah si cengeng!


ONE MORE PART TO GO!
much love readers! 


Friday, March 16, 2018

Mini Novel 2018: N&N (Part 18)



Part 18

Solat Maghrib malam itu diimamkan oleh Datuk Nour Rahman selaku tuan rumah. Rasa seronok dan bahagia dapat berkumpul ramai-ramai dengan sanak saudara begitu. Bagi Nadia yang tidak pernah rasa semua ini, dia bahagia. Sebenar-benar bahagia. Kira berbaloilah semua air mata yang ditangiskan sebelum ini jika ia adalah permulaan bagi bahagia yang akan dirasainya buat selama-lamanya.

“Alhamdulillah, kita semua telah selesai solat maghrib berjemaah. Dah lama kita semua tak berkumpul ramai-ramai macam ni. Alhamdulillah, Majlis Pertunangan Nuha Dania sudah pun selesai. Yang tinggal nikah dan kenduri sahajalah. Daniel minta kenduri dia yang tertangguh dicepatkan atas sebab apa, kita dengar sendiri dari tuan badan.” Datuk Nour Rahman memanggil Daniel ke depan jemaah untuk menjelaskan.

“Assalamualaikum. Alhamdulillah. Terima kasih semua atas sumbangan tenaga dan lain-lain harini. Untuk saudara mara yang belum pernah tengok isteri saya, sebelah mama tu isteri saya, Nur Nadia Abdul Wahab.” Noh Daniel menunjukkan ke arah Nadia yang berada ditengah-tengah antara Datin Nurlia dan Nuha Dania. Nadia menguntum senyuman buat saudara mara yang memandang ke arahnya.

“Sepatutnya kenduri kami harini juga tapi disebabkan saya terpaksa ke U.K selama beberapa minggu, jadi saya tangguhkan. Saya cadang untuk adakan majlis perkahwinan kami sebulan dari sekarang, inshaAllah jika diizinkan.” Semua sudah memandang antara satu sama lain. Terlalu cepat. Datin Nurlia juga kelihatan terkejut, begitu juga dengan Nadia.

“Iya, saya tahu cepat sangat. inshaAllah semua akan dimudahkan. Saya bukan apa, kalau lewat-lewat sangat nanti kasihan isteri saya, semua baju tak muat.” Nadia sudah membuat muka marah. Noh Daniel sempat lagi menyakat.

“Untuk pengetahuan Papa, Mama dan semua... Alhamdulillah isteri saya hamil empat minggu. Masih terlalu awal jadi saya mohon semua doakan semuanya selamat. inshaAllah.” Lebar senyuman Noh Daniel sewaktu mengumumkan kehamilan Nadia. Semua sanak saudara menyambut dengan ucap kesyukuran. Datin Nurlia terus sahaja memeluk erat Nadia. Mulutnya tidak putus-putus mengucap syukur. Mak Itam pula tidak habis berkata... “Kan aku dah kata!” kiranya mata tuanya masih berbisa. Melihat sahaja boleh meneka. Nadia memandang Noh Daniel yang melebar senyuman, jika pagi tadi sehingga saat sebelum ini dia merasakan Noh Daniel tidak suka dengan berita itu, kiranya dia salah. Salah 100%. Pandai Noh Daniel menyembunyikan kegembiraannya. Sangat suka sembunyi!

Sebelum solat Isyak, mereka semua membuat bacaan Yassin, Tahlil dan doa selamat. Semua mendoakan kebahagiaan mereka satu keluarga. Semoga hubungan yang erat itu terus utuh hingga ke akhirnya. Bukan mudah menjaga satu keluarga yang besar, pasti ada pertelingkahannya. Bagi keluarga besar Datuk Nour Rahman, perbincangan adalah rahsia hubungan baik antara mereka. Alhamdulillah.

Noh Daniel melabuh duduk di sebelah Nadia yang sedang asyik berborak dengan sepupu-sepupu perempuan Noh Daniel sambil menjamu selera.

“Sayang... abang lapar.” Bisik Noh Daniel. Nadia kalih memandang Noh Daniel di sebelahnya. Tidak tunggu lama, Nadia menyua makanan, laju sahaja Noh Daniel membuka mulut.

“Amboi, manjanya abang Daniel.” Sepupu Noh Daniel menegur. Mereka tersipu-sipu malu sambil ketawa kecil melihat Nadia menyuap makanan kepada Noh Daniel. Nadia cuma tersenyum malu.

“Jangan jealous tau. Nanti suruh Pak Cik dengan Pak Lang kahwinkan korang cepat-cepat, boleh bermanja-manjaan macam ni.” Tutur Noh Daniel penuh lagak. Mencebik sepupu-sepupunya mendengar. Nadia hanya ketawa kecil, Noh Daniel memang suka menyakat.

“Sayang ada kelas ke lusa?” Soal Noh Daniel. Nadia yang sedang mengunyah makanan hanya menggeleng.

“Dah mula study week.” Ujar Nadia, menambah seketika kemudian.

“Duduk rumah eh study week ni.” Nadia menggeleng laju.

“Tak nak?” Noh Daniel terkejut dengan jawapan Nadia.

“Mana sayang tahu abang nak balik. Sayang bawak balik baju cukup-cukup je sampai esok pagi.” Nadia bersuara, membetulkan salah faham Noh Daniel.

“Esok pagi kita pergi kolej ambil semua barang-barang sayang.” Nadia berkerut dahi.

“Kenapa semua?”

“Semester depan duduk rumah, tak payah duduk kolej.”

“Susahlah nanti, jadual kita bukan sama. Abang fakulti lain, sayang fakulti lain.” Nadia tidak bersetuju.

“Tak susahlah. Abang hantar dan ambil.”

“Jadual pelajar dengan lecturer lain. Susah nanti.”

“Cuba dulu. Kalau rasa susah, tak apa. Cuti ni ambil lesen, nanti abang belikan kereta untuk sayang.” Noh Daniel tetap dengan keputusannya.

“Lagi tak setuju. Jangan membazir boleh tak?”

“Apa pula membazir? Sayang dengar cakap abang boleh?” Noh Daniel sudah mahu menggunakan kuasa vetonya. Nadia mencebik, terus sahaja disuap mulut Noh Daniel dengan nasi sebelum suaminya itu mahu meneruskan kata-kata.

“Yelah suamiku. Ikutlah. Asal kita bahagia.” Nadia malas berbalas kata lagi. Noh Daniel tersenyum dengan mulut penuh makanan. Tangan diangkat membuat tanda bagus.

Awal pagi itu, selepas bersarapan Nadia dan Noh Daniel telah bersiap untuk ke kolej kediaman Nadia dan pulang ke rumah mereka. Banyak juga pesanan penaja dari Datin Nurlia kepada mereka berdua semasa bersarapan tadi. Kebanyakkannya berkaitan dengan kandungan Nadia. Datuk Nour Rahman masih galak mengusik Noh Daniel namun ada terselit nasihat untuk mereka berdua.

“Abang pergi pejabat abang kejap. Kalau sayang dah siap kemas barang, call abang. I will come right away here for you.” Sempat lagi Noh Daniel mencuit hidung Nadia.

“Okay. Kejap je kut, Mashitah balik kampung. Jadi tak ada mak cik reporter yang akan sekat jalan keluar sayang.” Mashitah pulang ke kampung beberapa hari. Bila tiba ‘study week’ semua pelajar seakan mendapat cuti panjang yang menenangkan. Tiada tugasan yang perlu disiapkan. Tiada kelas. Tiada tekanan!

“Ke sayang nak abang tunggu sini je?” Nadia menggeleng.

“Abang pun kejap je kan? Abang pergi pejabat abang dulu. Dah settle terus datang sini.” Tangan Noh Daniel dicapai. Disalam penuh kasih dan dicium penuh hormat. Nadia terus melangkah naik ke biliknya selepas kereta Noh Daniel meluncur keluar pagar kolej.

Nadia mengemaskan pakaian dan beberapa buah buku dan nota untuk ulangkaji. Sempat juga Mashitah diberitahu berkenaan ketiadaan dirinya sepanjang minggu itu dan perancangan Noh Daniel supaya Nadia terus tinggal di rumah. Banyak yang mula disoal Mashitah berkaitan Noh Daniel namun Nadia memutuskan untuk menceritakan semuanya apabila mereka bertemu empat mata.

“Sayang. Abang dekat bawah dah ni. Dah siap kemas?” Soal Noh Daniel selepas talian bersambut.

“Dah siap. Kejap sayang turun.”

“Banyak tak? Nak abang naik tolong ke?” Noh Daniel mula risau.

“Janganlah Encik Noh. Menjerit satu kolej tengok Encik Noh masuk kolej perempuan.” Nadia sudah ketawa di hujung talian.

“Sayang ni... betul-betullah. Sayang tak boleh angkat berat-berat tau.”

“Tak banyak pun. Tunggu kejap ya, nak turun dah ni.” Terus Nadia memutuskan talian. Beg baju dijinjit dan beg yang mengandungi buku-buku dan nota digalas di bahu.

“Sikitnya?” Noh Daniel laju sahaja menyoal melihat hanya dua beg yang dibawa Nadia. Nadia yang telah melangkah masuk ke dalam kereta hanya tersengih-sengih.

“Malas nak kemas semua lagi. Sayang bawa balik yang penting je. Baju dan buku. Yang lain-lain semua lepas habis exam nantilah. Banyak masa lagi.” Nadia menjelaskan. Noh Daniel hanya mengangguk.

“Jom kita pergi Balai Cerap kejap. Ambil angin.” Kereta Noh Daniel sudah bergerak keluar dari kolej kediaman.

“Okay. Seronok juga naik bukit pagi-pagi macam ni.” Nadia terus sahaja bersetuju. Sepanjang perjalanan ke Balai Cerap mereka yang berbual kosong. Sesekali Noh Daniel mengusik Nadia dan Nadia juga membalas. Perjalanan itu penuh dengan gelak tawa mereka berdua.

Keadaan di Balai Cerap sunyi. Hanya ada beberapa orang pelajar yang bersenam dan terus turun semula. Ramai pelajar pulang ke rumah masing-masing, mengambil peluang cuti seminggu sebelum berperang dengan peperiksaan. Noh Daniel meletakkan tikar yang dibawa keluar dari kereta dan terus membentangkan di atas rumput menghadap ke arah kawasan Universiti. Luas. Tenang. Nadia melabuh duduk di sebelah Noh Daniel, lutut dipeluk. Mata dilepas pandang ke depan.

“Sayang ingat tak abang pernah kata banyak yang sayang tak tahu tentang abang?” Noh Daniel bersuara, Nadia dipandang.

“Ingat dan masih ingat juga yang abang pernah kata abang benci Nadia dan masih bencikan Nadia. I hate you dan still hate you. Kenapa?” Nadia menyoal ingin tahu.

“I fall in love with you from the first day I met you in the lecture hall. I can’t take my eyes over you. I hate you because I fall in love with you sayang without knowing who you really are. Until now, I still hate you because I fall in love with you each time I see you.” Ujar Noh Daniel dengan senyuman yang melebar. Nadia diam. Sukar untuk dia percaya betapa cintanya Noh Daniel buat diri dia.

“Kiranya setiap hari jatuh cinta?” Hati Nadia kembang kucup apabila Noh Daniel mengangguk laju.

“Mama orang pertama yang tahu, sejak hari tu Papa asyik perli aje.” Noh Daniel ketawa kecil.

“Dah tu kenapa asyik nak buat sayang marah je dulu? Asyik perli-perli, bagi sakit hati?” Nadia menyoal.

“Satu sebab yang abang pernah kata, sayang ingatkan abang kepada Nurul Aulia. Keduanya, sebab abang nak tutup rasa hati abang. Abang cari keburukan yang ada pada sayang. Tapi Allah Maha Kaya, lagi cari yang buruk lagi jatuh cinta. Parah sangat!” Ujar Noh Daniel sambil memegang dadanya. Nadia tersengih.

“Over sangat.” Nadia menolak Noh Daniel dengan bahunya. Noh Daniel ketawa. Kemudian mereka berdua kembali melepas pandang ke depan. Diam dalam sepoi-sepoi angin yang menyapa.

“Kenapa sayang tipu abang tentang Irma?” Noh Daniel menyoal, serius. Nadia menghela nafas perlahan. Wajah Noh Daniel dipandang.

“Atas banyak sebab.” Ujar Nadia. Noh Daniel membalas pandangan.

“Explain.”

“Ingat tak awal-awal kita kena perangkap dulu, abang betul-betul rasa musuh bisnes abang dengan papa yang plan semua tu dan abang jadi hairan kenapa sayang terlibat. Sayang sendiri pun hairan, dalam hati sayang dah agak ada benda yang pelik masa tu.” Ujar Nadia berjeda. Noh Daniel tidak menyampuk hanya menunggu Nadia menjelaskan.

“Bila sayang buat garis masa tu dan kita dapat suspek-suspek yang mungkin terlibat semuanya menjurus kepada diri sayang. Sayang dah tak sedap hati tapi sayang diam aje. Sayang takut abang benci sayang. Cukuplah sayang hilang ibu abah, sayang tak nak hilang suami.” Air mata Nadia yang mula menyapa di pipi, pantas diseka oleh Noh Daniel.

“ Ada tiga sebab kenapa sayang tak bagitahu siapa Irma dekat abang. Sebab yang pertama, sayang malu. Pak cik dan Tuan Hassan dah cukup malukan sayang depan abang, depan mama papa. Malu sangat ada keluarga macam tu. Bila Irma yang rancang semua ni, hati sayang mati. Sayang malu. Sayang fikir masa tu, kalaulah abang tahu Irma anak pak cik mesti abang benci sayang. Sayang malu.” Air mata Nadia makin lebat, Noh Daniel menarik Nadia ke dalam pelukannya. Beberapa minit kemudian Nadia melonggar pelukan. Kembali meluahkan.

“Keduanya, sayang takut bila abang tahu siapa Irma, abang mungkin akan terfikir yang sayang rancang semua ni. Atas alasan Tuan Hassan. Betulkan? Berkemungkinan. Sayang sendiri pun akan syak macam ni. Yang ketiga, sebab sayang sayangkan Irma. Sayang dah anggap Irma macam kakak sayang sendiri. Irma orang yang sentiasa dengan sayang waktu-waktu sayang memerlukan seseorang. Dia yang pujuk sayang. Dia yang akan curi-curi bagi makan dekat sayang kalau sayang kena kurung. Dia yang akan ubatkan sayang kalau sayang sakit kena pukul dengan pak cik dengan mak cik. Sayang tak nak Irma kena tangkap, sayang tahu Irma marah sayang sebab tu dia buat semua ni.” Nadia menjelaskan dalam sedu tangisan. Noh Daniel menggosok belakang Nadia memujuk isterinya.

“Dan sebab-sebab tu juga buat abang hilangkan diri dari sayang.”Noh Daniel kemudian mencelah. Nadia memandang Noh Daniel dengan mata yang kabur dek air mata.

“Sayang tak percayakan abang. Ya abang memang terfikir sayang yang rancang semua tu tapi kalau sayang tak tipu abang mungkin abang tak fikir langsung macam tu. Bila sayang mula tipu dan berahsia, abang pula dapat tahu Irma anak pak cik, memang terlintas dalam kepala abang, mungkin sayang yang mahukan semua tu. Tapi abang tak terus tuduh, abang masih percayakan sayang. Abang siasat satu persatu. End up abang tahu sayang memang tak terlibat. Sebab tu abang pesan dari awal lagi, jangan berahsia apa-apa dengan abang. Rahsia memburukkan hubungan suami isteri.”Noh Daniel bersuara, panjang lebar.

“Sayang minta maaf.” Luluhan sahaja suara Nadia.

“Abang maafkan. Abang pun minta maaf. Kita sama-sama khilaf.”

“Megat ada bagitahu sayang yang kes kita tu dah selesai. Macam mana abang siasat? P.I yang abang tu eh?” Nadia menyoal ingin tahu.

“P.I pun ye. Abang dengan Megat jumpa Suraya dan Anuar. Terus settle semua.” Nadia menekup mulutnya yang ternganga sebab tak percaya.

“Patut lama tak nampak Anuar. Suraya pun tak ada masa hari last perjumpaan Kelab Silat.”

“Sebab syarat yang abang kenakan untuk diorang kalau tak nak hal ni sampai ke polis.” Noh Daniel menguntum senyum penuh makna.

“Syarat?”

“Ya, syarat. Syaratnya, diorang berdua tak boleh muncul depan sayang atau abang lagi dan jangan pernah terfikir nak ganggu lagi kita berdua.” Ujar Noh Daniel penuh bangga.

“Sampai macam tu abang buat? Jadi, diorang extend study?”

“Maybe, itu lebih baik dari masuk lokapkan?”

“Habis tu Irma?” Nadia menyoal lagi. Wajahnya ada riak risau.

“Sayang tak tahu apa-apa tentang Irma?”

“Tak. Sayang ada cuba call tapi nombor dah tak aktif. Sayang memang dah lama tak jejak kaki dekat kampung. Sayang memang tak nak balik sana.” Nadia bersuara, tekad.

“Irma dah kahwin dengan Tuan Hassan. Suraya kata memang dia takkan boleh keluar lagi dari rumah apatah lagi kampung.” Nadia memejam mata sesaat. Berat. Sangat berat hukuman itu. Tuan Hassan bukan Malaikat, bukan juga adiwira, jauh sekali kesatria. Tuan Hassan adalah iblis yang bertopengkan manusia. Sudah ramai yang menjadi mangsanya. Memang dinikahi dengan penuh adat tetapi semuanya atas dasar bayar hutang.

“Semua sebab sayang kan? Kasihan Irma.” Luah Nadia.

“Mungkin. Tapi semua sudah tertulis sayang. Allah dah lukis hidup kita dari awal lagi. Dari kita dalam rahim ibu kita. Allah dah lukis semuanya. Kita boleh rancang apa sahaja tapi Allah yang tentukan semuanya. Kalau sayang tak tekad lari dari kampung, duduk belajar sini. Sayang rasa sekarang abang ada ke dekat sebelah sayang?” Noh Daniel memujuk hati Nadia.

“Mungkin tak ada.” Nadia membalas.

“Kalau kita tak kena perangkap Irma, mungkin ke baby kita ada dengan kita sekarang?” Nadia menggeleng laju, bibirnya mula terukir senyuman.

“Hidup kita ni sayang, semua dah tertulis. Kalau kita rasa hidup kita ni kurang baik, usahakan. Allah akan bantu dan letakkan kita di tempat yang lebih baik. Mungkin tak seperti yang kita nak tapi lebih baik dari yang sedia ada.” Noh Daniel menambah. Sejuk hati Nadia dengan setiap butir bicara yang Noh Daniel tuturkan.

“Sayang hairanlah kenapa abang yang jadi mangsa perangkap Irma?” Nadia menyoal kemudiannya.

“Sebab Irma nak orang yang benci Nur Nadia sama macam dia.”

“Silap besarlah kan? Sebab Encik Noh benci Nur Nadia sebab dia dah jatuh cinta. Alamak!” Nadia ketawa. Noh Daniel juga ketawa dengan anggukan.

“Kenapa abang pergi U.K lama? Mama kata kejap aje.”

“Dua tahun tau abang kena study sana.” Noh Daniel membetulkan.

“Mama kata abang bagitahu nak pergi sebulan je. Sayang tunggu tau, hari-hari. Pergi tak bagitahu, tak call, tak mesej, tak emel. Tak ada apa-apa.”

“Abang pergi betulkan hati abang. Kan dah bagitahu.” Noh Daniel ketawa kecil.

“Tak lawak tau. Sayang hari-hari menangis. Sayang sampai fikir yang sayang ni tak layak rasa bahagia. Sampai dah redhalah kalau tak bahagia pun.”

“Amboi sampai macam tu? Alololo kesiannya isteri abang. Kalau sayang mengaku yang hari-hari sayang menangis, abang pun nak mengakulah.”

“Mengaku apa?”

“Abang pergi tak cakap apa-apa dekat sayang sebab abang merajuk. Abang terasa hati dengan sayang.”

“Merajuk? Ooo... tu yang sampai lebih sebulan dekat sana?”

“Taklah. Merajuk awal-awal tu je. Abang uruskan pengajian abang supaya boleh buat dari sini je. Kerja sambil belajar, okay kan?” Nadia terkejut dengan kenyataan itu. Noh Daniel sudah menguntum senyum.

“Kiranya abang balik teruslah ni? Tak payah balik U.K?” Nadia menyoal banyak.

“Iye. Abang akan study dari sini je tapi adalah kena ke sana juga kalau ada masalah or anything yang memerlukan abang ke sana.” Terang Noh Daniel. Nadia gembira.

“Sayang minta maaf banyak-banyak ya abang. Minta maaf tentang semuanya. Banyak yang sayang salah faham dengan abang.” Nadia memeluk erat Noh Daniel.

“Tulah lain kali kalau sayang kata sayang. Tak bagi abang pergi cakaplah tak bagi. Ini tak, asyik ulang benda sama. Jangan fikirkan apa-apa, teruskan apa yang dirancang. Pirahhh” Noh Daniel membidas. Nadia mencebik dengan muka manja.

“Sayang tak nak jadi penghalang ja. Sayang tak nak abang rasa sayang ni ganggu rancangan hidup abang. Tu ja.” Terus sahaja Noh Daniel mengetuk perlahan kepada Nadia beberapa kali.

“Ni kepala ni, suka sangat fikir bukan-bukan.” Nadia mengaduh sakit, cepat-cepat ditepis tangan Noh Daniel.

“Okaylah okaylah, lepas ni semua dalam kepada sayang, sayang bagitahu abang eh. Jangan nak stress pula lepas ni.” Nadia mengecilkan matanya membuat amaran.

“Bagus. Macam tulah. Abang kalau stress, tengok muka sayang ni hilang stress abang.” Noh Daniel memegang wajah Nadia, erat. Nadia tersenyum, bahagia.

“No more secrets, no more run away, no more tears. inshaAllah.” Ujar Noh Daniel, kembali merangkul erat Nadia ke dalam pelukannya. Nadia mengangguk, dalam hati dia mengaminkan. Doa. Itu doa mereka untuk bahagia buat selamanya.

“Habis exam nanti, jom. Kita balik kampung sayang, kita tolong Irma.” Ujar Noh Daniel sebaik memasuki perut kereta. Nadia diam beberapa ketika sebelum mengangguk bersetuju. Untuk apa dia takut lagi, dia sudah ada kesatria yang akan sentiasa melindungi dirinya. Yang akan memastikan dia sentiasa selamat dan yang akan sentiasa memastikan dia bahagia. Sentiasa. Kesatria yang bernama Noh Daniel.


to be continue...
sikit ja lagi nak habis.
kalau rajin, cuba teka orang yang asyik usha depa dua ni dari jauh. dalam part 14 and part 17.
teka tau dalam komen!

MIMPI ABC TAK MALAM TADI? YANG BACA TAPI TAK KOMEN. KALAU STILL TAK KOMEN MALAM NI ABC MAI CEKIK PULAKKKK!!!

MUCH LOVE READERS!

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders