Wednesday, March 14, 2018

Mini Novel 2018 : N&N (Part 16)

N & N

(Noh Daniel + Nur Nadia)


Part 16

Noh Daniel termenung di depan kolam. Malam ini dia tidur di rumah mama dan papa kerana esok awal pagi dia akan berangkat ke U.K untuk menyambung pengajiannya di peringkat lebih tinggi. Perancangan untuk sambung belajar diteruskan tanpa bertangguh.

“Kenapa tak bawak Nadia balik sekali?” Soal Datin Nurlia, menghampiri Noh Daniel yang berdiri berpeluk tubuh di depan kolam.

“Danny nak tetapkan hati. Betul-betul tetapkan hati. Takut nanti Danny berubah hati bila Nadia dekat dengan Danny.” Ujar Noh Daniel.

“Nadia tahu Danny nak fly esok pagi?” Datin Nurlia menyoal lagi. Noh Daniel menggeleng perlahan.

“Kasihan dia Danny... jangan sisihkan dia macam ni.” Datin Nurlia cuba menasihatkan. Datin Nurlia telah mengagak sesuatu berlaku antara mereka berdua kerana Noh Daniel kelihatan begitu muram.

“Bukan sisihlah mama. Danny nak tetapkan hati Danny. Nadia tak kisah pun Danny pergi, sebab banyak kali dia pesan supaya Danny tak tangguhkan pengajian ni.” Noh Daniel seakan jauh hati.

“Memang dia tak kisah. Nadia pun ada cakap dengan mama yang dia tak kisah kalau Danny nak sambung bila-bila. Dia tak nak jadi penghalang. Cuma jangan pergi tanpa bagitahu. Hati perempuan ni rapuh Danny.” Datin Nurlia menasihatkan. Noh Daniel menghela nafas perlahan.

“Sebulan. Danny nak hilang dari dia sebulan. Selepas Danny dapat jawapan hati Danny, Danny akan terus terang dengan Nadia.” Noh Daniel membuat permintaan. Datin Nurlia mengeluh perlahan.

“Kalau Danny rasa itu yang terbaik, mama ikut sahaja. Apa-apa yang berlaku mama harap Nadia tak terluka. Dia anak yatim piatu, tak pernah tahu apa itu bahagia. Mama harap Danny tahu apa yang Danny buat. Mama doakan yang terbaik untuk Danny dan Nadia.” ujar Datin Nurlia sebelum melangkah masuk ke rumah. Noh Daniel memandang langkah Datin Nurlia masuk ke rumah sebelum kembali merenung langit kelam.

Bukan marah, bukan kecewa. Noh Daniel hanya perlukan ruang dan masa. Menetapkan hatinya kembali pada paras cinta. Agar selepas ini hatinya kembali berbunga dan Nadia akan sentiasa bahagia bila bersamanya.

Nadia memerhatikan telefonnya, tidak berkelip. Sesekali dia mengubah kedudukan pembaringan. Resah. Sudah empat hari Noh Daniel tidak menghubunginya. Puas Nadia menghantar mesej dan membuat panggilan tetapi tiada balasan. Noh Daniel seperti hilang dari radar. Sepatutnya malam ini dia sudah berada di rumah mereka seperti selalunya. Paling mengejutkan Nadia, kuliah pagi tadi. Hatinya begitu mengharap dapat bertemu empat mata dengan lelaki itu tetapi hanya kecewa. Kelas dibatalkan. Hari Isnin juga kelas dibatalkan. Nadia kecewa. Nadia resah. Dia sedar, Noh Daniel mula berubah sikap sejak dia menghubungi Irma Hanani. Jauh dalam hatinya mengatakan Noh Daniel tahu dia berbohong, namun laju dia menafikan. Takut, kebenaran itu menyakitkan.

Telefon yang tiba-tiba menyala dan berdering membuatkan Nadia bingkas bangun dari pembaringan dan terus menjawab panggilan.

"Assalamualaikum awak! Awak pergi mana?" Laju sahaja Nadia menyoal.

 "Waalaikummussalam. Kak Nadia... Nuha ni." Suara yang menjawab di hujung talian bukanlah insan yang diharapkan. Nadia terkesima. Hatinya hampa.

"Nuha... maaflah akak ingat abang Danny tadi. Ada apa Nuha?" Nadia mengawal suara agar kekecewaan yang dirasakan tidak begitu ketara.

 "Kak Nadia nak balik rumah mama papa tak? Kalau nak balik Nuha ambil akak esok, awal pagi."

 "Rumah mama papa? Ada apa ye?" Nadia hairan, kenapa mesti Nuha yang ambil, Kenapa tidak Noh Daniel sahaja?

 "Tak ada apa-apa pun. Nuha terlupa sebenarnya. Abang Danny dah pesan suruh ambil akak bawak balik rumah mama papa petang ni. Sorry kak." Ujar Nuha serba salah.

"Abang Danny pesan? Kenapa dia tak bawak akak sendiri je pergi rumah mama papa? Kenapa suruh Nuha pulak?" Soal Nadia bertubi-tubi. Nuha ketawa di hujung talian.

"Kak Nadia ni confirm lupa. Abang Danny kan dah fly? Lupa eh kak?" Ujar Nuha dalam sisa ketawa namun tidak lama, ketawanya terhenti. Kebisuan Nadia di hujung talian membuat dia mula syak sesuatu.

"Oh my god... akak tak tahu abang Danny dah fly pagi tadi? Ya Allah..." Nuha menekup mulutnya. Dia rasa bersalah. Noh Daniel tidak memberitahu apa-apa melainkan pesanan supaya setiap minggu bawa Nadia pulang ke rumah orang tua mereka.

 "Abang Danny dah fly pagi tadi? Berapa lama dia pergi?" Soal Nadia, gagap-gagap. Hatinya berkecamuk dan remuk. Sebegitu sekali marah Noh Daniel kepada dirinya?

 "Kalau tak silap abang Danny kata dua tahun. Maaflah Nuha tanya, akak dengan abang ada masalah eh? Kenapa akak macam tak tahu abang nak fly?" Nuha hairan. Air mata Nadia menitik satu persatu ke pipi.

 "Mungkin dia dah bagitahu tapi akak yang lupa kut. Tak apalah, nanti akak contact dia." Nadia berpura-pura, tidak mahu Nuha menghidu yang bukan-bukan antara dia dan Noh Danial.

 "Okaylah kalau macam tu, so nak balik tak?" Nuha kembali menyoal.

"Tak dapatlah Nuha. Akak ada discussion." Nadia menolak. Dalam talian dia dapat mengelak dan mengawal diri. Jika berdepan dengan keluarga Noh Daniel, dia risau dirinya tidak kuat.

"Okay akak. If akak nak balik, bila-bila je, call aje Nuha ya. Bye akak, Assalamualaikum." Sebaik sahaja talian dimatikan, Nadia menangis semahu-mahunya. Mashitah yang kebetulan baru masuk bilik kehairanan.

 "Kenapa ni Nadia?" Soal Mashitah. Nadia terus merangkul Mashitah dan memeluknya erat.

 "Dia tinggal aku." Nadia menjawab pendek. Tangisannya menjadi-jadi.

 "Encik Noh? Kira betul dia dah ke U.K?" Mashitah kembali menyoal. Nadia mengangguk.

"Kau tahu? Kenapa aku aje yang tak tahu? Kena dia pergi macam tu je?" Nadia menyoal, lagi dan lagi.

 "Aku ada dengar hal ni dari Hadi. Kan kelas kita dah dua kali batal. Hadi kata Encik Noh nak fly oversea. Aku tak berani nak bagitau kau, takut salah." Terang Mashitah. Belakang Nadia ditepuk-tepuk perlahan.

"Aku mungkin salah, tapi kenapa dia buat aku macam ni? Siapa aku bagi dia?" Nadia menyoal, Mashitah tiada jawapan. Jawapan itu hanya ada pada Noh Daniel. Hanya dia yang dapat menjawabnya.

Enam Minggu kemudian ...

Nadia mengemas pakaiannya. Cukup untuk dua hari. Hari ini hari pertunangan Nuha Dania. Datin Nurlia sudah menelefon Nadia minggu lepas lagi, mengingatkan dia supaya pulang ke rumahnya. Nadia berat hati, Noh Daniel adakah nanti? Sudah sebulan lebih Noh Daniel di U.K tanpa sekali pun menghubungi Nadia. Nadia sudah puas menangis sehingga hatinya rasa tawar. Mungkin, mungkin dia memang tak boleh rasa bahagia di dunia. Nadia redha.

"Kau pergi dengan apa ni? Nuha datang?" Mashitah menyoal setelah melihat Nadia telah siap untuk keluar.

 "Aku balik sendiri. Naik bas dulu, kejap lagi naik teksi kut." Ujar Nadia.

"Semalam bukan Nuha ada call ke?" Soal Mashitah.

"Ada tapi kesian dia, harini kan majlis dia, mesti sibuk. Tak apalah. Bukan jauh pun." Ujar Nadia, dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Mashitah cuma menggeleng. Kasihan. Kasihan Nadia, baru hendak rasa bahagia ada sahaja halangannya.

"Kes Irma macam mana?" Soal Mashitah membuatkan Nadia yang sedang memakai kasut terhenti.

"Selesai. Itu yang Megat Hariz bagitahu aku minggu lepas. Aku dah malas nak fikir hal tu. Bila Megat sampaikan pesan dari Encik Noh yang hal tu dah selesai. Aku terima, Alhamdulillah, tak payah nak risau apa dah." Nadia cuba tersenyum dalam payah. Matanya bengkak. Banyak menangis.

 "Macam tu je?” Soal Mashitah, hairan. Hal itu bukannya hal kecil dan biasa-biasa, takkan semudah itu sahaja. Nur Nadia sekadar mengangkat bahu.

“Kalau Encik Noh ada macam mana?" Soal Mashitah lagi, Nadia menghela nafasnya. Bahu dijungkit sedikit.

"Entah. Aku tak boleh nak fikir dah. Biarlah. Aku terima semuanya Mashitah. Biarlah dunia ni menghukum aku, kalau syurga Allah akan jadi milik aku." Nadia tersenyum lagi. Ya, itu apa yang diputuskan. Redha. Dunia ini hanya sementara.

"Kuatkan hati. Aku sayang kau. Allah sayang kau." Nadia mengangguk. Allah sayang semua hamba-hambaNya.

Nadia melangkah masuk ke rumah banglo 3 tingkat itu. Meriah. Sudah ramai saudara mara yang hadir ketika itu walaupun majlisnya selepas Asar nanti. Nadia terus masuk namun tidak menggunakan pintu depan, terlalu ramai orang. Jadi, dia terus melangkah ke pintu dapur.

"SubhanaAllah... Nadia, kenapa masuk ikut dapur?" Datin Nurlia yang ada di dapur dengan beberapa orang saudara mara menegur. Terkejut melihat Nadia yang tersembul di pintu dapur.

"Assalamualaikum… depan ramai sangat mama. Segan." Nadia memberi salam dan menyalami Datin Nurlia dan saudara mara yang lain. Mereka semua menyambut salam Nur Nadia.

“Nadia datang dengan siapa? Danny ambil ke?” Datin Nurlia terjengah-jengah keluar melihat bagaimana Nadia datang ke rumahnya. Nadia sekadar tersenyum dalam ketar apabila nama Danny disebut.

“Nadia datang sendiri. Harini kan Majlis, semua orang mesti sibuk.” Datin Nurlia menggeleng laju. Nadia memang begitu sikapnya, langsung tak nak susahkan sesiapa.

"Nadia pergi letak beg dulu. Rehat. Nak makan pun boleh ni." ujar Datin Nurlia.

"Tak apalah mama... Nadia nak tolong apa ni?" Nadia meletakkan beg di penjuru dapur. Lengan baju kurung di sinsing, siap untuk membantu. Nampak banyak yang perlu disiapkan untuk makanan petang ini. Kehebatan Datin Nurlia, suka buat kerja sendiri. Lebih baik dari menempah katanya.

"Nadia, rehatlah dulu. Baru sangat sampai. Tak pun pergi tengok Nuha. Kemas bilik katanya tapi awal pagi tadi mama tengok tak kemas-kemas lagi." Datin Nurlia tidak mahu Nadia menekan diri. Lagi pula sudah ramai yang membantu ketika ini. Masih dalam kawalan.

"Kalau macam tu Nadia naik atas kejap, tolong Nuha. Nanti Nadia turun balik ya." Ujar Nadia sebelum melangkah naik ke atas. Pintu bilik Nuha diketuk perlahan, sebelum suara di balik pintu menjerit menyuruh masuk.

"Assalamualaikum Nuha..." Nadia memberi salam sebaik pintu dibuka. Nuha di balik pintu tersenyum lebar.

"Wa'alaikummussalam. Yeahhh kak Nadia dah sampai." Laju sahaja tangan Nadia di tarik masuk dan didudukkan di katil.

 "Akak... minta tolong boleh?" Nuha merengek manja.

"Memang akak datang nak tolong Nuha. Bagitahu akak apa kita nak kemas dulu? Akak tengok takda perubahan pun bilik ni?" Mata Nadia meliar melihat sekeliling bilik. Nuha tersengih-sengih.

"Nuha tak kemas lagi. Nervous lebih." Nadia ketawa.

 "Nuha relax je, biar akak yang buat." Nadia mula mengemas bilik itu. Tidak berselerak atau tidak kemas, cuma perlu menukar cadar, tukar langsir dan sapu-sapu sedikit sahaja.

"Thank you akak. Nuha lapar, Nuha turun makan kejap ya." Nadia sekadar mengangguk dalam senyuman. Tangannya lincah membuka sarung bantal dan cadar. Nuha cepat sahaja keluar dari bilik dan turun ke bawah. Bukan malas, debaran buat dia susah tidur malam dan jadi tidak tahu mahu mula dari mana. Sudah diajak Nadia sejak semalam untuk menemani dia tetapi kakak iparnya menolak. Tambah-tambah bila di beritahu yang Noh Daniel telah pulang untuk meraikan majlis ini. Faham situasi dan apa yang dirasai kakak iparnya beberapa minggu ini membuatkan dia tidak memaksa.

 15 minit. Nadia telah siap menukar cadar. Langsir telah dibuka namun tidak jumpa langsir baru yang hendak dipasang.

"Nuha, langsir mana nak ganti? Akak cari tak jumpa." Ujar Nadia sebaik sahaja ke dapur.

"Elok sangat kamu Nuha, patutlah senang lenang aje makan kat sini, kak Nadia kamu yang kemaskan bilik?" Datin Nurlia sudah melenting. Nuha tersengih, menunjuk riak tidak bersalah. Nadia cuma tersenyum.

 "Takpa mama. Langsir baru ada mama? Nadia nak ganti langsir bilik Nuha."

 "Rasanya dalam bilik Danny. Mama pesan dekat Danny beli yang baru. Semalam rasanya dia terus bawak masuk bilik. Cuba kamu tengok dalam bilik." Senyuman Nadia termati sebaik sahaja nama itu disebut. Riak wajah dikawal sebaiknya supaya tidak dikesan mak mertuanya. Nuha yang sedang menyuap makanan memandang Nadia. Nuha jadi serba salah. Nuha dapat rasakan ketidakselesaan yang dirasai Nadia sebaik sahaja nama Noh Daniel disebut mama.

 "Takpalah, Nuha ambilkan. Nuha tahu kat mana abang Danny letak langsir tu. Semalam dia suruh ambil tapi Nuha lupa." Nuha meletakkan pinggan kotornya di dalam sinki dan terus naik ke atas.

"Bertuah punya budak, macam ni perangai nak kahwin?" Datin Nurlia membebel melihat Nuha membiarkan pinggan tidak berbasuh.

 "Kejap lagi Nuha turun basuh. Mama ni..." Nuha membalas sewaktu ditangga. Datin Nurlia menggeleng laju. Nadia cuma tersenyum dan membasuh pinggan yang ditinggalkan sebelum melangkah naik ke atas.

"Rajin menantu kau Lia. Susah nak cari sekarang." Saudara mara mulai memuji. Datin Nurlia tersenyum, bangga.

"Ringan tulang. Kalau boleh semua dia nak buat. Samalah macam mak mertua dia ni." Saudara yang lain menambah.

"Bila nak kenduri diorang tu? Dah dekat tiga bulan kahwinnya kan?" Soal saudara yang lain.
"Sepatutnya kenduri sekali harini tapi Danny kan sambung belajar lagi. Tak tahulah bila dia nak kenduri. Saya ikut aje." Ujar Datin Nurlia.

"Bukan apanya... aku nengok dia macam udah berisi. Tak tahulah betul ke tidak lagi mata tua aku ni. Kalau boleh elok le cepat kendurinya. Takut tak nyempat, anak berderet." mereka semua ketawa mendengar kata-kata  Mak Itam, Datin Nurlia sebaliknya. Dia terdiam. Berisi? Mak Itam sudah hampir 40 tahun menjadi bidan kampung, matanya cekap sahaja memandang hal-hal begitu. Mungkinkah?

Datin Nurlia bingkas melangkah keluar dari ruang dapur. Baru hendak mendaki tangga, dia bertembung dengan Noh Daniel yang sedang membawa periuk besar. Datin Nurlia segera menahan.

“Kamu dengan Nadia bila last bersama?” Datin Nurlia menyoal, tidak berlapik. Noh Daniel berkerut muka.

“Dah kenapa mama tanya soalan dalam kelambu ni?” Balas Noh Daniel.

“Sebelum fly?” Datin Nurlia menyoal lagi. Noh Daniel sudah memerah muka.

“Mama, apa ni? Tak senonoh betul.” Noh Daniel membentak kecil. Mukanya memerah. Terus sahaja dia berlalu ke dapur, tidak mahu melayan soalan pelik mama. Datin Nurlia berdecit. Dia meneruskan langkah ke atas.

Pintu bilik Nuha terus di buka. Ketika itu, Nadia sedang berada di atas kerusi memasang langsir.

“Ya Allah, Nadia... turun-turun... kalau jatuh nanti macam mana?” Datin Nurlia menarik tangan Nadia menyuruhnya turun dari kerusi. Nadia hairan. Nuha yang sedang memasukkan cangkuk langsir juga memandang pelik.

“Eh, tak apalah mama. Bukan tinggi mana pun. Dah nak siap dah ni.” Nadia bersuara.

“Tak payah, kejap lagi mama panggil Danny suruh dia yang panjat.”Ujar Datin Nurlia. Nadia ditarik dan disuruh duduk di katil.

“Mama nak tanya sesuatu ni... Nadia jujur dengan mama ya.” Nadia memandang Datin Nurlia pelik.

“Ya... okay Nadia akan jujur. Apa dia mama?”

“Nadia pregnant?” Nadia terkejut dengan soalan itu. Datin Nurlia dipandang lama.

Pregnant? Taklah. Kenapa tiba-tiba mama tanya?” Nadia kembali menyoal. Nuha juga menghampiri.

“Siapa kata kak Nadia mengandung?” Nuha mencelah.

“Mak Itam.” Jawab Datin Nurlia. Dia mengambil tempat di sebelah Nadia.

“Bila last period?” Soal Datin Nurlia. Nadia berfikir beberapa ketika.

“Kalau ikut memang dah lewat seminggu tapi Nadia tak rasa...”

“Mama rasa positif, esok pagi-pagi pergi klinik. Check.” Datin Nurlia mencelah sebelum sempat Nadia menghabis kata.

“Tapi mama, Nadia tak rasalah Nadia mengandung. Lewat period itu mungkin sebab Nadia stress kebelakangan ni.” Nadia menafikan. Datin Nurlia seperti berharap sangat.

“Tak apa... mama akan bagitau Danny suruh dia bawa Nadia pergi klinik esok.” Datin Nurlia bersuara lagi. Nadia sudah resah dan gelisah. Mengandung? Biar betul?

“Nuha jangan bagi kak Nadia panjat kerusi. Nadia, rehat. Jangan buat kerja berat-berat.” Pesan Datin Nurlia sebelum keluar dari bilik. Wajahnya ceria sahaja. Janganlah berharap mama, hati Nadia menjerit.

“Mak Itam tu bidan kampung. Selalunya telahan dia betul.” Nuha bersuara setelah Nadia dilihat termenung seketika.

“Mama macam mengharap aje. Akak tak nak mama kecewa, akak tak rasa macam mengandung pun.” Nadia meluahkan rasa. Nuha tersenyum.

“Macam mana nak rasa, anak pertama kak. Tak reti lagi. inshaAllah, kalau betul, seronoknya!” Nuha pula yang teruja. Nadia dihambat rasa resah. Nadia menghela nafasnya seketika. Ketika itu, Noh Daniel menjengah masuk ke bilik.

“Mana langsir yang nak dipasang?” Noh Daniel masuk dengan selamba. Langsung tiada riak di wajahnya. Serius sahaja. Nadia pula yang gelisah dan resah. Nadia menghulurkan langsir yang berbaki kepada Noh Daniel. Sepatah pun mereka berdua tidak bersuara. Nuha yang memerhatikan, diam-diam melangkah keluar dari bilik, meninggalkan Noh Daniel dan Nur Nadia berdua di dalam bilik itu.

“Mama kata saya mengandung.” Suara Nadia. Noh Daniel yang ketika itu sedang cuba memasang langsir terus terlepas langsir dari tangannya. Nadia dipandang tidak berkelip. Mata mereka bersatu. Lama.

“Awak mengandung?” Soal Noh Daniel. Barulah dia faham soalan pelik mamanya tadi. Nadia sekadar menjungkit bahu.

“Entah.” Jawab Nadia sepatah. Noh Daniel membelek jam ditangan. Ketika itu jam menunjukkan hampir 12 tengah hari. Terus sahaja tangan Nadia dicengkam dan ditariknya. Nadia yang tidak tahu apa-apa, dia menurut sahaja langkah Noh Daniel yang sudah turun ke ruang bawah.

“Danny nak ke mana tu?” Soal Datin Nurlia sedikit menjerit, setelah melihat Noh Daniel menarik Nadia masuk ke kereta.

“Keluar kejap mama. After solat jumaat kami balik.” Jawab Noh Daniel.

“Jangan kasar-kasar dengan Nadia, jaga dia elok-elok.” Pesan Datin Nurlia penuh makna tersirat. Noh Daniel mengangguk dan terus masuk ke perut kereta. Nadia masih tercengang.

“Nak ke mana?” Soal Nadia.

“Klinik.” Noh Daniel jawab sepatah.

“Mama kata esok.” Ujar Nadia.

“Lagi awal lagi bagus.” Nadia tidak membalas, mujur sahaja sempat dia menyambar begnya bersama. Di dalam kereta mereka masih berdiam tidak bersuara. Seperti kedua-duanya takut hendak menutur bicara.

Noh Daniel sesekali menjeling Nadia yang diam seribu bahasa di sebelah. Cool je? Desir hati lelakinya. Pada mula dia melangkah masuk ke bilik Nuha perasan juga air muka Nadia berubah, namun selepas itu isterinya kelihatan bersahaja namun ada riak bersalah dan kini isterinya hanya diam tiada kata. Wajahnya biasa, bersahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka.

Nadia memandang ke luar tingkap kereta. Dikawal sebaiknya riak wajahnya. Tak mahu Noh Daniel rasa dia tidak selesa dan resah. Dikawal riak mukanya supaya kelihatan bersahaja. Kepala dikosongkan supaya tidak memikirkan apa-apa yang boleh membuat dia beremosi dan menganggu riak wajah yang dikawal sedari tadi. Kalau dipasang pembesar suara, mahu bingit satu dunia dengan degup jantungnya yang tidak sekata. Terasa mahu luruh dari tangkai, getar berada di sisi Noh Daniel ketika ini selepas beberapa minggu yang menyakitkan dirinya.

20 minit kemudian mereka sampai ke klinik ibu dan anak. Nadia menarik nafas sedalam-dalamnya. Tidak mahu berharap apa-apa. Kalau ya, dia terima. Kalau tidak, juga dia terima. Anak? Tidak pernah terlintas lagi difikirannya. Hubungan dengan Noh Daniel masih baru dan masih tidak utuh. Andai anak adalah pengikat kasih mereka, kenapa tidak dia gembira?

to be continue ....
much love readers!
leave some comments ya!

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders