Tuesday, April 10, 2018

Mini Novel 2018: Tuan Haji Esmael (THE) - Part 6




Part 6

Nur Annisa mengikut Tuan Haji Esmael ke ladang milik lelaki itu. Mahu melihat tempat kerja suaminya. Selama ini dia hanya mendengar cerita dari abah dan orang - orang kampung berkenaan ladang milik Tuan Haji Esmael. Luas. Jumlah ternakan melebihi 400 ekor, baik kambing atau lembu. Jadi, pagi ini Nur Annisa mahu melihat sendiri dengan matanya.

"Tudia! Macam ladang lembu dekat New Zealand!" Nur Annisa begitu terpesona melihat ladang ternakan Tuan Haji Esmael yang luas dan sangat cantik pemandangannya.

"Aik pernah pi New Zealand ka?"

"Dak... tapi pernah tengok dalam tv ja la." Nur Annisa tersengih-sengih.

"Alhamdulillah. Bukan saya punya. Arwah mak dengan ayah saya punya. Saya cuma usahakan dan majukan ja. Alhamdulillah." Tuan Haji Esmael merendah diri.

"Saya nak kena buat apa harini? Nur Annisa menyoal semasa Tuan Haji Esmael sedang menukar sandal kepada kasut 'Phua Chu Kang'.

"Annisa tengok sajalah saya buat kerja. Busuk sat gi. Jenuh nak tonyoh." Tuan Haji Esmael seolah tidak membenarkan Nur Annisa menyusahkan diri di ladang.

"Lah. Saya mai bukan nak dok saja. Selfie bagai ka. Saya mai nak tolong pak cik reja. Nak kasut butt jugak." Nur Annisa sudah siap menanggal seliparnya. Tuan Haji Esmael menggeleng namun tetap memberikan sepasang butt kepada Nur Annisa.

"Buat reja yang ringan saja na. Bagi makan kambing dalam kandang sana nu... Aiman, hang mai tunjuk Annisa ni sat. Apa hat senang dia boleh buat." Tuan Haji Esmael memanggil seorang anak muda yang bekerja dengannya untuk membantu Nur Annisa.

"Pak cik buat macam saya budak pekan hat tak reti apa noh. Abah pernah bela lembu kambing la. Ayam pun dok banyak belakang rumah nu." Nur Annisa mencebik.

"Dak aih, Annisa pengantin baru. Mana boleh buat kerja berat-berat lagu ni."

"Pak cik kahwin dengan Nisa tau, sama-sama pengantin baru. Jangan dok buat alasan tak munasabah sangat aih." Terus melangkah ke arah Aiman yang sudah berjalan di depan dengan menjinjit tong berisi makanan. Tuan Haji Esmael hanya tersengih-sengih sahaja dengan tingkah Nur Annisa yang menyenangkan hatinya.

Nur Annisa membuat beberapa kerja yang diberikan Aiman kepadanya. Aiman pekerja Tuan Haji Esmael yang berpengalaman. Sejak dari umur 10 tahun dia sudah bekerja di situ. Tidak bersekolah kerana masalah keluarga dan dia juga seorang lembam. Jadi dia tidak disekolahkan oleh ibu bapanya.

"Tak pergi sekolah khas? Belajar kemahiran?" Nur Annisa menyoal.

"Tak. Kat kampung kita ni takdak sekolah khas. Kena pi pekan sana. Pak sakit takleh nak pi hantaq. Man reja sajalah kak Nisa." Aiman menjawab dengan gagap-gagap.

"Reti baca? Kira?"

"Sikit sikit."

"Habih lembu kambing ni sapa dok kira setiap hari, kut hilang ka orang curi ka?"

"Bukan reja Man. Man reja bagi makan dengan cuci kandang ja."

"Kak Nisa ajaq nak? Kena tau baca dengan kira, baru orang takleh muhong kita." Nur Annisa membuat tawaran. Aiman sekadar tersengih sahaja.

"Kalau nak, time Man dok reja ni Kak Nisa boleh ajaq. Tak kacau reja pun. Sambil reja sambil belajaq. Mau?"

"Nanti Tuan Haji kata apa pulak. Saya segan."

"Kira jadi ya. Pasai Tuan Haji, kak Nisa bagitau kat dia nanti. Kak Nisa nak tolong cuci sekali boleh?" Aiman kemudian menunjuk cara mencuci kandang seperti yang selalu dilakukan. Nur Annisa kemudian mengambil alih.

"Annisa..." Tuan Haji Esmael mula mencari Nur Annisa setelah dua jam berlalu. Nur Annisa yang sedang mencuci kandang kambing menjenguk dari atas kandang.

"Pak cik!" Nur Annisa bertempik dari atas sambil melambai tangannya. Beberapa pekerja Tuan Haji Esmael yang mendengar panggil Nur Annisa kepada Tuan Haji Esmael menahan ketawa. Tuan Haji Esmael yang perasan reaksi mereka, mula berdehem. Senyap semuanya, terus membuat kerja masing-masing tanpa mempedulikan mereka berdua.

"Jom rehat dulu. Banyak dah reja Annisa buat. Kita rehat dulu. Turun cepat." Laju sahaja Nur Annisa berlari turun.

"Jangan lari Annisa..." baru sahaja melarang, Nur Annisa sudah pun terduduk di tangga kandang.

"Aduh!" Nur Annisa mengaduh sakit sewaktu hendak bangun berdiri.

"Okay tak Annisa? Kan dah kata jangan lari. Dah tau licin kenapa nak lari? Boleh jalan elok-elok pi lari." Tuan Haji Esmael berleter.

"Pak cik nak tolong saya bangun ka tak? Dok bising lagu tu tak boleh buat saya bangun jalan pun." Nur Annisa yang sedang menahan sakit, sedikit berang mendengar leteran Tuan Haji Esmael.

"Dak... pi lari dah tau licin. Yalah-yalah." Tuan Haji Esmael terus membantu Nur Annisa untuk bangun berdiri.

"Orang patut risau tapi dok berletiaq." Nur Annisa menambah sewaktu dia berpaut di bahu Tuan Haji Esmael.

"Sebab risau jadi lagutu. Nak jatuh jantung tengok Annisa tergelincir tadi tau." Tuan Haji Esmael kemudian tersenyum saat Nur Annisa memeluk pinggangnya, erat.

"Senyuman pak cik ja pun dah buat saya rasa nak luruh jantung ni." Nur Annisa mengusik. Tuan Haji Esmael mengerling sahaja.

"Boleh jalan dak ni?"

"Kalau boleh, cheq tak peluk pak cik kat tengah cerah ni tau. Sakit. Terseliuh kut."

"Saya dukunglah." Nur Annisa menggeleng laju.

"Jangan dok macam-macam, saya boleh tahan lagi sakit ni."

"Saya pun tak larat Annisa. Awak macam berat ja saya tengok." Tuan Haji Esmael menguntum senyum. Nur Annisa melopong mulut.

"Saya ringan ja eh. Awat? Risau tulang rapuh eh." Tuan Haji Esmael mencuka. Nur Annisa diletakkan di sofa di dalam pejabatnya.

"Yalah. Saya dah tua." Ujar Tuan Haji Esmael berjauh hati.

"Ala... saya gurau ja. Sorry."

"Takpa, saya memang tua pun."

"Laaa...sorry. Tak tau pulak tak boleh melawak." Tuan Haji Esmael mendiamkan diri. Nur Annisa mengeluh perlahan.
"Saya minta maaf. Lepas ni saya jaga kata-kata saya."Ujar Nur Annisa setelah Tuan Haji Esmael hanya diam sahaja seperti berjauh hati dengan kata-kata Nur Annisa.

"Kat sini tak ada minyak panas. Lepas saya siapkan kerja sikit kita pergi klinik. Tunggu sat na." Ujar Tuan Haji Esmael sebelum keluar dari pejabat meninggalkan Nur Annisa bersendirian.

"Kut la nak tengok kaki aku ni dulu. Salah hang sendiri Nisa. Mentang-mentang dia layan hang baik, hang pakai cakap ja apa dalam kepala hang tu. Padan muka hang!" Nur Annisa bercakap sendiri.

Nur Annisa menahan sakit kaki yang semakin terasa. Menyucuk sehingga sakit satu badan. Terjenguk-jenguk dia melihat keluar pejabat kalau-kalau Tuan Haji Esmael sudah datang. Tiada. Cuba menelefon tetapi telefon Tuan Haji Esmael ada di meja pejabat. Tertinggal.

Nur Annisa menunggu lagi sambil menahan sakit yang semakin kuat terasa. Satu jam penantian penuh penyeksaan. Apabila merasakan Tuan Haji Esmael mengambil masa terlalu lama, Nur Annisa tekad untuk pulang ke rumah sendiri.

"Aiman. Tuan Haji mana ya?" Soal Nur Annisa sebaik terlihat Aiman melalui kaki lima pejabat.

"Tuan Haji pergi kawasan ragut. Ada lembu cedera. Kak Nisa okay ke tak ni?" Aiman menyoal setelah melihat wajah Nur Annisa yang kerap berkerut-kerut.

"Okay ja. Kaki ni sakit sikit. Akak nak balik rumah dulu. Nanti Aiman bagitau Tuan Haji akak balik dulu ya."

"Boleh ka nak balik? Macam tak boleh nak jalan betui ja ni. Saya nak pi kedai sat ni, saya boleh hantaq kalau Kak Nisa nak." Aiman mempelawa.
"Aiman naik motor kan? Tak apalah. Satgi orang nampak kesian Tuan Haji pulak."

"Aiman tau kak, mulut orang kampung kita ni bisa. Tapi kak Nisa terhenjut-henjut. Kaki pun dah biru sangat tu."

"Tak pa. Bukan jauh pun. Tadi pun mai jalan ja."

"Lagu ni. Kak Nisa dok ja atas motor. Aiman tolak." Nur Annisa yang tidak lagi mampu menahan sakit hanya menurut seperti yang dikatakan. Walaupun tidak secerdik manusia lain, tapi akalnya lebih bijak dan waras berbanding mereka yang lain. Masih boleh membezakan yang baik dan buruk.

Tuan Haji Esmael berlari-lari anak ke pejabat. Hampir sahaja dia terlupa akan Nur Annisa. Mak Wan, bidan urut tradisional telah pun dihubungi tetapi hanya boleh datang ke ladang waktu petang sedikit. Sibuk, ramai pelanggan.

“Tuan Haji, Kak Nisa dah balik tadi. Saya hantar.” Aiman menegur sebaik sahaja bertembung dengan Tuan Haji Esmael.
           
“Hang hantaq naik motor ka?” Soal Tuan Haji Esmael, tersirat nada cemburu.

“Ya tapi Tuan Haji jangan salah faham ya. Memang naik motor tapi Kak Nisa sorang saja. Saya tuntun motor. Saya kesian tengok Kak Nisa macam sakit sangat saja.” Aiman menjelaskan tidak mahu sebarang masalah dengan Tuan Haji Esmael. Orang yang menjaga dia dan keluarga sejak dari dulu.

“Tak apalah. Terima kasih banyak-banyak. Saya balik dulu. Nanti pastikan kunci pagar depan. Apa-apa terus telefon saya ya.” Tuan Haji Esmael masuk ke dalam pejabat mengambil telefonnya. Terlihat ada satu miscall dari Nur Annisa. Mungkin sahaja isterinya mencari-cari dia. Hati Tuan Haji Esmael diserbu rasa bersalah.

Sampai sahaja di rumah, Tuan Haji Esmael terus mencari Nur Annisa. Nama Nur Annisa dilaung beberapa kali. Tiada jawapan. Tiada di bilik tidur. Tuan Haji Esmael kemudian ke bilik tamu di bahagian bawah. Nur Annisa nyenyak tidur.

Tuan Haji Esmael mendekati Nur Annisa yang kelihatan pucat. Kaki Nur Annisa dipandang. Minyak panas yang sedia di tangan terus dibuka tudungnya dan dituang sedikit di telapak tangan. Perlahan-lahan disapu ke bahagian kaki Nur Annisa yang mula kelihatan membiru dan bengkak. Tuan Haji Esmael mengeluh perlahan, kenapalah boleh terlupa isterinya sakit? Hatinya berbisik sendiri.

“Aduh…” Nur Annisa mengaduh perlahan. Terjaga dari lenanya.

“Sakit ke, maaf-maaf. Saya sapu minyak panas sikit saja.” Tuan Haji Esmael bangkit dari duduknya. Membetulkan kedudukan Nur Annisa yang mula bangun dan menyandar di kepala katil.

“Sakit sangat. Dah bengkak.”

“Mak Wan tak boleh nak mai….”

“Tak apa, tak perlu. Esok okay.” Nur Annisa memotong kata. Tuan Haji Esmael memandang Nur Annisa yang masam wajahnya, langsung tiada baris senyuman di bibir seperti selalunya. Langsung tidak memandang atau mencuri pandang ke arahnya. Tuan Haji Esmael hairan. Kenapa?

“Mana boleh okay? Kena urut juga tu.” Tuan Haji Esmael bersuara lagi.

“Tak payah susah-susah. Elok la esok-esok. Tuan Haji tak payah nak risau.”

“Awat ni?”

“Tak ada apa.”

“Dah tu… aw…”

“Nak maghrib dah, tak nak pi surau? Saya nak mandi dan solat.” Nur Annisa memotong kata-kata sekali lagi. Tuan Haji Esmael terdiam. Sedikit, hatinya terusik. Tuan Haji Esmael keluar dari bilik tamu selepas Nur Annisa menolak dia daripada membantunya bangun dan ke tandas. Tuan Haji Esmael tahu Nur Annisa berjauh hati tapi sebab apa? Sebab dia merajuk di ladang? Atau terlupa Nur Annisa menunggu dia di pejabat dengan kaki yang sakit? Tuan Haji Esmael tiada jawapan, lelah terasa. Penat ya jaga hati orang?


to be continue...
komen ya!
much love readers!

2 comments:

Khairun Najwa said...

Amboi annisa.Dah pandai merajuk dah.haha

Siti said...

Haha...masing2 dah pandai merajuk & terasa hati

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders