Monday, April 9, 2018

Mini Novel 2018: Tuan Haji Esmael (THE) - Part 5



TUAN HAJI ESMAEL

Part 5

            Lena terasa terlalu lama. Tilam yang empuk menyedapkan lagi pembaringan. Nur Annisa memisat-misat matanya. Saat mata terbuka, lampu yang suram itu menyenangkan dia membuka mata. Sungguh, seperti baru terjun ke dalam syurga dunia. Rumah Tuan Haji Esmael terlalu mewah buat Nur Annisa. Terasa dirinya begitu kerdil. Patutlah orang kampung semua mahukan dia sebagai suami atau menantu. Orang ada-ada.

            “Awat tak kejut Nisa solat sekali?” Nur Annisa menyoal Tuan Haji Esmael yang baru pulang dari surau. Tuan Haji Esmael yang baru menyimpan songkoknya terkejut dengan sapaan itu. Nur Annisa baru keluar dari bilik air, masih bertuala di atas kepala.

            “Lah… awat terkejut? Serupa nampak hantu.” Nur Annisa ketawa kecil. Tuan Haji Esmael termalu sendiri.

            “Lupa saya dah ada isteri. Adeh.” Tuan Haji Esmael tergaru-garu kepala.

            “Biaq betui?” Nur Annisa melabuhkan duduk di kerusi meja solek bertentangan dengan Tuan Haji Esmael yang duduk di birai katil.

            “Itu yang saya keluar ke surau terus.”

            Seriously?” Nur Annisa berkerut kening, namun senyuman terukir di bibirnya. Lawak sungguh pak cik ni.

            “Ya. Maaflah baru nak biasa. 20 tahun saya dok sorang dalam rumah ni Annisa. Sebelum tu ada mak ayah saya. 20 tahun membujang. Mana nak biasa. Tak dan nak ready, tup-tup semalam boleh isteri. Mana nak ingat pagi ni.” Tuan Haji Esmael juga ketawa.

            “Tidur sebilik. Sekatil. Sebelah bantai ja. Boleh tak perasan? Kalau bilik asing, esok apa baru ingat noh.” Nur Annisa masih mengusik, masih ketawa. Masih seronok melihat Tuan Haji Esmael memerah muka menahan malu.

            “Tapi kalau isteri kita tu peluk kita, kurang-kurang peluk macam dalam kereta tu, inshaAllah tak lupa dah kahwin.” Giliran Tuan Haji Esmael mengusik. Terdiam terus Nur Annisa seolah-olah tertelan semua ketawanya. Nur Annisa menggigit bibirnya. Menahan senyuman malu yang mahu terukir. Terus dia kalih pandangan ke cermin. Rambut di sikat. Tuan Haji Esmael masih dengan senyuman.

            “Dah habih gelak? Syok kata kat orang noh.” Tuan Haji Esmael menghampiri Nur Annisa. Nur Annisa memandang Tuan Haji Esmael dari biasan cermin. Nur Annisa hanya tersenyum nakal.

            “Gurau ja. Bagi hilang hat sedih-sedih semalam tu.” Ujar Nur Annisa, jujur.

            “Alhamdulillah. Kita mula hari baru noh. Biaq orang nak kata kita, jangan kita kata orang. Ingat pesan saya tu. inshaAllah. Hati akan rasa tenang ja.” Tuan Haji Esmael menasihatkan Nur Annisa, membuatkan Nur Annisa terangguk-angguk kepala.

            “InshaAllah. Tapi, orang kampung ni mesti tunggu.” Nur Annisa tidak menghabis ayat.

            “Tunggu apa?” Tuan Haji Esmael menyoal.

            “Tunggu perut saya kembung.” Tuan Haji Esmael mengerut kening, tidak faham.

            “Kan depa kata saya ni mengandung. Mesti depa tunggu nak pastikan betui atau tak apa depa dok canang tu. Risau pulak.”

            “Jauh sangat pikir. Sudahlah. Jom kita sarapan. Dok pikir bukan-bukan. Haishhh.” Nur Annisa mencebik bibirnya. Tuan Haji Esmael sudah melangkah ke pintu bilik. Nur Annisa bingkas bangun dan menyangkut tuala. Terus sahaja dia melangkah laju menyaingi langkah Tuan Haji Esmael. Lengan suaminya it uterus dipeluk erat.

            “Pak cik masak apa pagi ni?” Soal Nur Annisa sewaktu mereka melangkah ke dapur.

            “Beli ja. Nasi lemak mak cik Husna.”

            “Baru nak rasa pak cik masak.”

            “Tengah hari nanti naa… pagi ni kita makan nasi lemak mak cik Husna masak dulu. Sedap nasi lemak dia. Saya selalu juga beli sebelum pergi kerja.” Tuan Haji Esmael menarik kerusi untuk Nur Annisa namun Nur Annisa menolak Tuan Haji Esmael untuk duduk.

            “Sedap eh? Tak pernah rasa sebab ibu selalu masak dekat rumah. Kami jarang makan dekat luaq.” Nur Annisa mengambil pinggan dan sudu. Terus menghidangkan sarapan pagi itu untuk Tuan Haji Esmael. Tuan Haji Esmael memerhatikan tingkah Nur Annisa. Nur Annisa mengambil teko dan membancuh air kopi.            

            “Kopi? Mesti minum sebab ada kopi ja kat dapuq ni.” Nur Annisa menuangkan air sebelum duduk bersebelahan Tuan Haji Esmael.

            “Kata tak reti urus rumah?” Tuan Haji Esmael menyoal. Nur Annisa tersedak kecil. Lupa pula tentang penipuannya semalam. Alamak!

            “Alah… setakat buat ayaq kopi o ja. Reti la. Hat lain tak reti.” Nur Annisa menafikan. Tuan Haji Esmael cuma tersenyum. Mereka kemudian menjamu selera pagi itu dengan nasi lemak mak cik Husna.

            “Bila pak cik ingat yang pak cik dah kahwin?” Nur Annisa yang sudah selesai makan kembali menyoal.

            “Habis solat orang dok ucap tahniah. Baru ingat. Saya pi lewat sikit tadi, ralit lena. Sebab tu bangun kalut-kalut tak sedaq Annisa dok lena tepi.” Jawab Tuan Haji Esmael, kopi yang dibancuh Nur Annisa disisip perlahan. ‘Tipu tak pandai, sedap sangat ni.’ Hati Tuan Haji Esmael menebak.

            “Jangan lupa saya lagi tau. Kecik hati saya. Saya ada pak cik ja sekarang.”

            “Lah awat pulak. Ibu dengan abah dok ada lagi kan? Saya lain la anak yatim piatu.”

            “Memang ada tapi macam tak ada. Sejak saya mula masuk asrama. Lima tahun di sekolah asrama sekali pun ibu dengan abah tak datang jenguk. Harap saya naik bas lompat-lompat setiap bulan balik. Masa tahun pertama saya pikir ibu dengan abah tak dak duit nak mai tengok. Sampai sekali tu saya balik, depa semua dok sambut birthday kak Ain. Meriah. Saya balik depa buat tak kisah pun. Harap adik-adik dok pujuk. Saya pikir positif ja. Bila saya PMR dan SPM saya paling terasa. Tak kisah langsung saya dapat apa.” Nur Annisa meluahkan rasa.

            “Sebab tu Annisa terus tak lekat di kampung? Saya jarang-jarang nampak Annisa dekat kampung ni. Pernah nampak di pecan sekali dua.” Tuan Haji Esmael mencelah.

            “Ya. Saya rasa ibu dengan abah kurang kisahkan saya. Saya balik sehari dua ja. Saya kerja dekat bandar, dekat pekan. Asal tak ada dekat rumah. Tapi kali ni hati saya suruh sangat saya dok rumah lama sikit. Saya kata dekat diri saya, saya akan duduk tak lebih setahun. Tak sangka terus kahwin.

            “Annisa tak tanya abah kenapa?” Nur Annisa menggeleng.

            “Saya tak nak lukakan hati saya dengan apa sahaja jawapan yang abah bagi. Salah saya juga, saya paksa abah untuk masuk asrama walaupun masa tu abah tak berapa ada duit. Saya terima semuanya sebagai satu ujian untuk saya. Saya tak marah, saya sedih sikit ja.” Nur Annisa membuat gurauan, tidak mahu bermain air mata.

            “Tak apalah. Semua tu buat Annisa jadi Annisa yang sekarang ni. Ada hikmah semua tu.”

            “InshaAllah. Salah satu hikmah dia, saya dapat kahwin dengan Tuan Haji Esmael. Bangga woo!” Nur Annisa mula mengusik. Pipi Tuan Haji Esmael dicuit dengan jarinya.

            “Apa yang bangga sangat tu?”

            “Eleh… buat tak tau konon. Pak cik kan lelaki terhangat di pasaran. Sebab tu semua orang kampung meroyan bila pak cik kahwin dengan saya.” Nur Annisa mencebik wajah. Tuan Haji Esmael hanya ketawa kecil.

            “Harta saya. Depa nampak harta saya ja tu. Kalau saya ni lelaki terhangat, awat saya bertunang lima kali tak jadi-jadi. Asyik putus tengah jalan.” Tuan Haji Esmael malu digelar sebegitu oleh Nur Annisa.

            “Saya ada dengaq pasai pak cik putus tunang. Hat masa pak cik zaman muda saya tak tau lah. Hat latest, 5 tahun lepas kut noh dengan Zulaikha kut nama dia.” Tuan Haji Esmael hanya mengangguk kepala.

            “Masa tu saya kerja dekat restoran nasi ayam kat pekan. Zulaikha tu kata pak cik baran. Suka marah tak tentu hala. Sebab tu dia minta putus. Betul ka?” Nur Annisa membuka cerita.

            “Tak baik burukkan orang. Biaqlah dia kata saya lagutu. Saya terima. Saya dah kahwin la ni. Biaq isteri saya ja tau saya macam mana. boleh?” Tuan Haji Esmael menjawab dengan selamat. Prinsip dirinya, jangan mengata orang, biaq orang kata kita.

            “Alah… sekali ni ja nak tau. Habaq la habaq la…”

            “Dia minta putus sebab saya bau kambing.” Jawapan yang membuatkan Nur Annisa terus sahaja mendekat hidungnya dengan badan Tuan Haji Esmael.

            “Tipu! Mana ada. Wangi ja.” Nur Annisa mengecilkan matanya. Tuan Haji Esmael ketawa.

            “Ni awai pagi cheq. Tunggu tengah hari sat lagi. Jomlah, saya dah lewat nak pi reja. Kesian kambing lembu saya, lapaq dah tu.” Tuan Haji Esmael mula mengangkat pinggan dan  cawan ke sinki. Nur Annisa pantas menahan Tuan Haji Esmael dari membasuh semua pinggan dan cawan itu.

            “Saya nak ikut boleh?” Nur Annisa menyoal.

            “Boleh, tapi busuklah sikit.”

            “Mengadanya. Saya bukan budak bandar yang masuk shopping mall dengan minyak wangi sekilo ya. Saya tetap budak kampung hat suka terjun bendang. Saya ikut ya. Saya pakai tudung sat.” Nur Annisa terus berlari ke bilik. Tuan Haji Esmael tersenyum lagi.

            ‘Allah… aku sudah jatuh cinta kepada insan yang kau izinkan menjadi isteriku. Kau berkatilah hubungan kami, jauhkan kami dari dengki manusia-manusia di sekeliling kami. Amin.’


to be continue...

hampa rindu THE kan? cer komen sikit!

6 comments:

Khairun Najwa said...

Rindu sangat!Haha.Tasabarnya bab seterusnya.

Siti said...

Boleh lupa plak THE ye...haha

Unknown said...

rinduuu!
lawaklah pakcik sorg nih.hehe

akubersamaCahya said...

Laju nya komen! hahaha

MY WORLD said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Yeahhhh...finally..tqvm ABC..

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders