Tuesday, February 20, 2018

Mini Novel 2018 : N&N (Part 2)


N & N
(Noh Daniel + Nur Nadia)

Part 2

Nur Nadia menghempas tubuh ke katil. Mashitah yang sedang ralit dengan telefon di tangan memandang Nadia sekilas.

“Mana kau pergi malam tadi? Tak balik bilik.” Soal Mashitah, kawan sebilik Nadia. Nadia mengeluh perlahan, mata dipejam erat sehingga air mata mengalir. Lekas-lekas dia meletakkan lengannya ke mata seolah-olah mahu berehat.

“Aku pergi latihan silat lepas tu terus sambung study dengan Suraya.” Ujar Nadia membuat alasan. Harap-harap tiada sesiapa yang tahu hal malam tadi, harap sangat!

“Betul ke ni? Suraya geng silat kau tu?” Mashitah seperti tidak mempercayai. Nadia jadi getar. Sudah tersebarkah?

“Betullah, kenapa?” Ujar Nadia. Diraup mukanya laju-laju, agar Mashitah tak nampak air matanya yang mengalir tak berhenti sejak tersedar pagi tadi.

“Ni, kau tengok ni...” Nadia tersentak, laju sahaja menarik telefon Mashitah, melihat apa yang ditunjukkan. Nadia memejam mata erat, Allah!

“Kau dating dengan Encik Noh Daniel? Kemain!” Mashitah ketawa, telefon miliknya di ambil kembali dan kembali melihat gambar yang diterima dalam group whatsapp kelas mereka. Gambar Noh Daniel membuka kereta untuk Nadia di depan kolej, gambar mereka berborak di depan kolej Nadia.

“Ish! Ada mamarazzi rupanya kolej ni. Aku tumpang kereta dia je. Bukan dating.” Nadia menidakkan. Lega, lega, lega! Zaman sekarang semua dihujung jari. Kalau dulu gosip akan tersebar dari mulut ke mulut, sekarang jari ke jari.

“Tumpang kereta? How? Kau dengan dia macam kucing dengan anjing, mana boleh jumpa, bercakar la jadinya.” Mashitah mengerut dahi, hairan sungguh.

“Dah dia nak bagi aku tumpang kereta dia aku naik je lah. Apa masalahnya? Bukan aku yang suka cari gaduh ya, dia yang tak suka aku.” Nadia sebolehnya mahu mencari alasan yang kukuh supaya hal ini tidak lagi berbangkit.

“Eleh! Rupa-rupanya selama ni Encik Noh tu suka dekat kau, sebab tu lah dia asyik cari salah kau. Encik Noh ni pun satu, suka cakap suka ini tidak, sampai menangis Nur Nadia kita ni.” Mashitah ketawa, banyak betul spekulasi yang dibuatnya. Bising sahaja mulut dan telefonnya. Bunyi mesej yang tak terhenti-henti.

“Mana ada. Mashitah, tolonglah stop buat spekulasi and kontroversi eh. Tu mesti banyak gosip dalam tu kan?” marah Nadia. Tuala di ambil. Bersiap-siap untuk mandi.

Hot issues kut, masak la kau Nadia. Setahun tak habis nih, esok pagi-pagi kelas Encik Noh. Mesti kecohkan!” Mashitah makin menjadi-jadi pula mengusik Nadia. Nadia sudah biru muka. Entah mana nak letak mukanya esok!

“Ada aku kisah?” Ujar Nadia, menyedapkan hati sendiri. Apa la nak jadi ni?! Malas nak dengar gosip dan segala benda yang sudah tersebar dengan rancaknya,Nadia berlalu ke bilik air. Dia perlu segarkan dirinya untuk fikirkan segala apa yang telah berlaku semalam. Apa yang ada dalam kepalanya sekarang hanya perkara-perkara negatif sahaja. Iyelah, apa yang positif dalam hal ni? Tak ada!

Pagi itu, Nadia sudah kelam kabut. Beg kuliahnya di selongkar. Puas dia mencari. Kali terakhir digunakan adalah malam semalam, sebelum dia terjaga dalam keadaan memalukan. Tak mungkin dia tertinggal di bilik hotel itu. Mustahil.

“Kau cari apa?” Soal Mashitah.

“Telefon aku.” Jawab Nadia sepatah.

“Ni ha...” Mashitah menghulurkan telefon Ienovo milik Nadia. Nadia mengambilnya namun kehairanan. Rasanya telefon telah dibawa bersama-sama ke latihan silat semalam, macam mana ada dengan Mashitah?

“Mana kau jumpa?” Soal Nadia hairan.

“Kau rasa?” Mashitah kembali menyoal.

“Aku tanya kau, kau tanya aku balik.” Emosi Nadia masih terganggu, tak mampu nak jawab soalan demi soalan. Banyak lagi hal lain yang perlu dan wajib dijawabnya. Nadia merengus perlahan.

“Marah? Suraya kasi kat aku semalam, lepas latihan silat dia kata kau tercicir. Jadi dia bagi dekat aku pagi tadi kat kafe. Kebetulan jumpa. Sebab tu aku tanya, betul ke malam tadi kau tidur bilik Suraya atau .......” Mashitah mengangkat keningnya berkali-kali. Raut wajahnya penuh tanda soal. Nadia terdiam. Adeh!

“Jangan fikir bukan-bukan. Dah, jom pergi kelas.” Nadia malas nak cakap panjang. Masih belum masanya untuk buka mulut. Mashitah kawan sebilik, sekuliah. Kawan yang selalu back-up dia bila dia kena buli dengan Encik Noh. Kawan yang akan kesat air mata dia kalau dia menangis tapi kisah malam tadi bukan semua boleh terima boleh percaya. Saudara pun boleh buang saudara apatah kawan.

“Nadia... apa-apa sahaja yang kau buat, aku harap kau jangan lupa Tuhan.” Ujar Mashitah penuh makna. Sebab itu aku tak cerita, ujar hati Nadia. Tiada bicara yang keluar dari bibirnya hanya kepala yang digerakkan tanda memahami.

Baru sahaja tiba di dewan kuliah, semua mata memandang ke arah Nadia. Mulut mereka semua terkumat-kamit. Nadia harap cuma satu, biarlah mereka semua itu bergosip tentang hal dia dan Noh Daniel ada hubungan cinta, bukan hal yang tidak senonoh itu. Kebisingan dewan kuliah itu menjadi-jadi apabila Noh Daniel mula melangkah masuk ke dewan. Pelajar lelaki bertepuk tangan, entah apa yang disorakkan. Nur Nadia mengeras. Diam tak berkutik. Mashitah mula menyondol bahunya beberapa kali. Namun tetap tidak berangkat kepalanya. Malu-malu-malu! Masih terbayang apa yang berlaku antara dia dan Noh Daniel, gambar-gambar yang telah direnyukkan Noh Daniel juga masih jelas dipandangan matanya. Allah! Malunya!

“Wah, semua bersemangat luar biasa harini?” Ujar Noh Daniel memulakan kuliah pagi itu.

“Semangat cinta Encik Noh!” Hadi menjawab, matanya mengerling ke arah Nadia yang memang langsung tak angkat muka. Noh Daniel mengerut kening. Semacam pula kuliah pagi itu. Seperti biasa matanya mencari Nur Nadia. Dari jauh dia melihat Nadia yang hanya tundukkan muka. Takkanlah hal itu dah tersebar? Hatinya resah.

“Okey, semangat cinta yang membantu untuk berjaya apa salahnya kan?” kata-kata itu mendapat sorakan kuat para pelajar. Noh Daniel tersengih.

“Apa-apapun kita mulakan dulu kuliah kita untuk harini.” Noh Daniel memulakan sesi kuliah. Tak ada usikan atau sindiran buat Nadia untuk hari itu. Gadis itu langsung tidak mengangkat muka memandangnya selama satu jam di dalam kuliah, bagai tunduk menyembah bumi. Mahu ditegurnya seperti selalu namun dia batalkan sahaja niat nakalnya itu memikirkan hal dia dan Nadia belum selesai.

“Okey semua. Balik siapkan 3 soalan. Next class akan ada wakil yang akan buat presentation jawapan. Be ready. Okey itu sahaja untuk hari ini.” Noh Daniel menamatkan kuliahnya. Semua pelajar sudah siap sedia mengemas buku dan barang-barang. Nadia kelam kabut mengemas barang dan baru sahaja hendak bangun, terdengar namanya di panggil. Dipanggung sahaja kepala, semua mata memandangnya.

“Nur Nadia Binti Abdul Wahab, boleh saya jumpa awak  sebentar?” Noh Daniel memanggilnya. Jantungnya berdegup lagi, bertambah laju dengan semua mata yang melihat dengan senyuman yang meleret.

“Wahhhh boyfie dia panggil tu...” Mashitah berbisik, mengusik Nadia yang sudah merah mukanya. Dia melangkah perlahan-lahan menurun tangga kuliah ke depan. Noh Daniel yang sedang mengemas barang memandang Nadia dan tersenyum. Killer’s smile. Itu gelaran bagi senyuman Noh Daniel yang diberikan oleh para pelajar Fakulti Eletrik mahupun Fakulti Pendidikan.

“Ada apa encik nak jumpa?” Soal Nadia cepat-cepat.

“Sekejap saya kemas barang.” Ujar Noh Daniel. Selesai mengemas barang, beg terus digalasnya. Lagak gaya Noh Daniel tak ubah seperti seorang pelajar. Noh Daniel masih muda baru 25 tahun. Hanya berbeza 2 tahun dengan Nadia yang kini berada di tahun akhir.

“Jom kita bincang di luar.” Nadia berkerut.

“Tak naklah, Encik tak nampak ke semua orang pandang kita semacam. Tak perasan ke betapa gamatnya kuliah hari ni? Semua orang bergosip pasal kita. Tak naklah tambah gosip!” Nadia menolak.

“Hal semalam tak tersebarkan?” Noh Daniel resah.

“Mujur bukan hal itu. Ada mamarazzi ambil gambar Encik semalam dekat kolej saya. Gambar kita dua.” Jelas Nadia ringkas. Noh Daniel menghela nafas lega.

“Saya nak bincang hal semalam. Awak juga yang merayu sakan semalam. Ada hal saya nak beritahu, kita bincang dekat luar, jauh sikit dari sini. Awak ada kelas?” ujar Noh Daniel sambil melangkah keluar dari dewan kuliah. Nadia hanya membontoti. Kepala digelengkan sebagai jawapan.

“Ada kelas tak?” Soal Noh Daniel sekali lagi, kali ini memandang tepat ke arah Nadia yang mencuka. Nadia menggeleng lagi.

“Geleng-geleng, dah macam burung purple yang pernah viral kat FB dulu. Mulut tu ada guna.” Nadia hanya mencebik, malas nak cakap. Lagi pula dia segan berdua-dua begini dia malu orang memandang mereka dengan senyuman pelik. Dia malu juga dengan Noh Daniel yang mungkin dah lihat semua yang dilindunginya selama ini.

“Diam juga?” Soal Noh Daniel sekali lagi setelah tiba di keretanya. Menggeleng kepala melihat wajah Nadia yang masam mencuka. But kereta dibuka, beg diletakkan dan kemudian membuka pintu bahagian penumpang di hadapan dibukanya untuk Nadia.

“Encik Noh ni, saya boleh buka sendiri. Malu orang tengok.” Mata dikerlingkan ke cafe yang berhampiran dengan dewan kuliah. Masih kelihatan rakan-rakan sekuliahnya di situ. Masih dengan pandangan dan senyuman tersirat. Noh Daniel boleh pula mengangkat tangan kepada mereka dengan senyuman melebar. Tak malu ke dia ni?!

“Nadia, awak tahu tak dalam fakulti awak sahaja ramai yang mengimpikan nak naik kereta dengan saya tau?” Noh Daniel mengangkat keningnya. Nadia mencebik.

“Perasan ke apa Encik ni?” Malas nak bertekak, Nadia terus meloloskan diri ke dalam kereta. Noh Daniel hanya tersengih sendiri. Nadia memang tak macam gadis yang lain. Gadis yang pantang nampak lelaki ada rupa pasti nak menggeletis! Tapi kenapa Nadia yang berada dengan dia malam semalam. Kerja siapalah semua ni?

to be continued ...
much love readers!
leave your comments ya. Thank You!

2 comments:

Kak Id said...

Menarik.... Sambung lg

abc said...

dah Ada sampai part 5. enjoy reading!