Friday, February 19, 2021

MINI NOVEL 2020 : MUZIKAL CINTA 13


BAB 13

Husna membantu Nur Ayla mengemas barangannya. Cukup 3 hari 2 malam di hospital. Nur Ayla kini tampak lebih segar. Cukup tidur. Cukup rehat.

“Kita pergi makan-makan nak Husna? Dah lama kita tak jalan-jalan Ipoh kan?” Suara Ayla sambil mengenakan pelembap bibir. Tudung bawal dibetulkan muncungnya.

“Husna ada aje jalan-jalan dengan mak. Akak tu suka sibukkan diri dengan kafe’. Tak pun berkurung aje dekat rumah.” Ujar Husna dengan cebikan. Nur Ayla tersenyum menampakkan giginya.

“Akak malas macam-macam.”

“Yelah tu, risau terserempak lagi kan?” Tempelak Husna. Nur Ayla ketawa kecil.

“Remuk tau. Dah lah kita ni berharap, last-last perasan sendiri.” Ujar Nur Ayla. Selepas sebulan berpisah dengan Rashid. Rashid hilang khabar. Tiada mesej, apatah lagi panggilan. Suatu hari, Nur Ayla ternampak Rashid dengan seorang perempuan yang cantik pada pandangnya. Bermesra disebuah restoran di Pekan Ipoh. Hatinya ketika itu yang sudah retak, terasa terus berderai. Sejak kejadian itu, Nur Ayla kian murung tetapi dia tetap berusaha bangkit untuk dirinya sendiri.

“Okay, lupakan kisah lama. Jom, habis dah kemas ni.”

“Jom… rindunya nak jalan-jalan Ipoh.”

“Ekeleh, macam nak pi London je. Ni kat Ipoh dah, kira macam stay hotelkan.” Usik Husna. Nur Ayla menjeling dengan cebikan.

“Assalamualaikum.” Suara itu mematikan Langkah Nur Ayla dan Husna yang baru hendak keluar dari bilik wad.

“Waalaikumussalam.” Kedua-dua mereka menjawab hampir serentak. Nur Ayla memandang Husna dan kembali memandang dua susuk tubuh yang tiba-tiba datang.

“Kak Ayla, Kak Husna… ni mama papa Ila.” Ruhaila yang baru tiba memperkenalkan pasangan pertengahan umur itu kepada Nur Ayla dan Husna.

“Oyeke… macam pernah nampak sebelum ni.” Ujar Nur Ayla. Husna hanya membatukan diri, kemudian mula menyalami Puan Ruhil yang tersenyum manis.

“Kak Ayla dah discharged ke?” Ruhaila laju menyoal.

“Alhamdulillah, dah. Ni kami dah siap-siap nak balik.” Balas Nur Ayla.

“Makcik dengan Pakcik nak jumpa Ayla sekejap boleh?” Suara Puan Ruhil yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, tidak lepas memandang Nur Ayla.

“Nak jumpa saya? Ada apa ya?” Soal Ayla, keningnya bercampur dua.

“Kita cakap dekat tempat lain, boleh sekali lunch. Pakcik belanja.” Ujar Puan Ruhil. Mereka hanya mengangguk bersetuju. Nur Ayla masih berfikir-fikir siapakah dan kenapa mama dan papa Ruhaila mahu bertemu dengannya.

Husna dan Nur Ayla bergerak ke lokasi yang diberikan Ruhaila. Nur Ayla resah sendiri. Husna hanya diam membatu diri sejak dari tadi.

“Akak rasa diorang tu macam family…” Nur Ayla tak habiskan kata-katanya. Takut dikatakan mengharap sahaja.

“Abang Rashid.” Sambung Husna dan membuatkan Nur Ayla mengangguk laju.

“Kan?”

“Iye… betul tu kak. Memang Ruhaila adik abang Rashid. Yang datang tadi kan mama papa Ila, so mama papa abang Rashid.”

“Hah?!” Nur Ayla terkejut besar, hanya mengandaikan tetapi benar belaka.

“Macam mana Husna tau? Ke memang selama ni Husna tau?” Nur Ayla membesarkan matanya memandang Husna yang sedang memandu.

“Nope. Tak tahu, tapi sejak akak masuk wad tu, baru Husna tahu. Abang Rashid teman akak sampai Husna sampai haritu.” Husna membalas dengan senyuman lebar. Nur Ayla ternganga. Jawapan yang langsung tak disangka!

“Dia teman akak? Why? Kenapa Husna tak bagitau akak? Ya Allah, ni kenapa mama papa dia nak jumpa akak ni?” Nur Ayla sudah semakin gelisah. Banyak persoalan muncul di ruang kepalanya. Tangannya sudah berpeluh resah.

“Jangan fikir sangat, kita jumpa dan tahulah apa sebabnya.” Husna yang telah memarkirkan kereta, mengambil beg tangannya dan keluar. Nur Ayla masih membeku ditempatnya. Husna mengetuk cermin tingkap kereta dan menggamit Ayla untuk keluar.

“Macam mana kalau…”

“Jangan cakap apa-apa kak… dengar dulu. Jom cepat.” Pintas Husna terus menarik lengan Nur Ayla dan melangkah ke arah restoran yang dimaklumkan Ruhaila tadi.

“Maaf lambat sikit, cari parking yang teduh sikit.” Ujar Husna sebaik menghampiri Ruhaila dan mama papanya.

“Duduklah Ayla, Husna…” Pelawa Encik Rahmat kepada Nur Ayla dan Husna yang baru tiba. Nur Ayla mengambil tempat di depan Encik Rahmat dan Puan Ruhil. Husna mengambil tempat selamat bersebelah Ruhaila di sisi meja. Kedudukan mereka seakan memberi ruang kepada Nur Ayla dan mama papa Rashid berbincang sesama mereka. Keadaan itu membuat Nur Ayla dilanda resah lebih banyak dari sebelumnya.

“Ila dengan kak Husna nak tengok buffet harini dulu ya.” Ruhaila dan Husna terus berdiri.

“Kak nak coffee for now?” Soal Husna kepada Nur Ayla yang sudah pucat lesu wajahnya.

“Boleh jugak.” Husna terus melangkah ke arah buffet yang terhidang untuk tengahari ini. Buffet di Hotel Casuarina, memang heaven!

“Maaflah kalau pakcik dengan makcik tiba-tiba aje nak jumpa Ayla. Dah la baru discharged.” Encik Rahmat memulakan perbualan.

“Tak apa, saya okay. Dapat rest dan tidur yang cukup, rasa lebih segar.”

“Alhamdulillah. Sebenarnya pak cik dengan mak cik memang dah lama nak jumpa Ayla tapi masa tak sesuai dan tak izinkan. Tapi itulah, makin dibiarkan makin parah.” Encik Rahmat berjeda. Memandang sekilas Puan Ruhil disebelahnya.

“Apa yang parah?”

“Rashid… dan mungkin juga Ayla?” Puan Ruhil membalas laju.

“Saya tak berapa nak faham sebenarnya pakcik makcik…” Ujar Nur Ayla. Benar, dia tidak dapat nak hadam tentang perkara yang hendak disampaikan.

“Sebenarnya, selepas Ayla dan Rashid tak jadi bertunang dan bernikah beberapa bulan lepas, Rashid dia banyak berubah. Kami nampak dia rindukan Ayla tetapi keadaan memaksa untuk dia jauhkan diri dari Ayla. Pak cik dengan mak cik pun salah juga sebab kami tak nak berlaku kekecohan dalam keluarga kami jadi kami minta Rashid untuk ikut apa yang mak Long dia tentukan.” Encik Rahmat berhenti dan menyisip kopi yang ada di depannya.

“Ruhaila tekad nak kenal Ayla, selama hampir 3 bulan dia kerja dengan Ayla, boleh kata setiap hari dia yakinkan pak cik dengan mak cik untuk jumpa Ayla dan bantu Rashid dan Ayla untuk kembali bersama. Sebab itu, pak cik bawa makcik jumpa Ayla hari ini. Kalau boleh pak cik nak Rashid dan Ayla kembali bersama macam dirancang.”

“Jadi, maksud pak cik?”

“Kalau kami pinang Ayla untuk Rashid Ayla terima?” Puan Ruhil mengeluarkan bekas baldu merah dan meletakkannya di hadapan Ayla. Ayla tergamam. Keningnya kembali bercantum.

“Tapi pakcik makcik, saya rasa ada salah faham. Saya dah lupakan Rashid. Saya dah boleh terima apa sahaja yang berlaku dulu. Mungkin, mungkin orang nampak saya lemah, saya macam tak move on. Percayalah, saya boleh terima semua tu, dan saya 100 peratus yakin yang Rashid pun ada pilihan hati dia sendiri sekarang ni.” Laju Nur Ayla meluahkan apa yang ada dalam fikiran dan hatinya ketika ini.

“Rashid tak ada siapa, kami yakin.” Encik Rahmat membalas. Nur Ayla cuba senyum dan menggeleng.

“Saya rasa ada salah faham ni.” Nur Ayla masih menolak.

“Jadi Ayla tak terima?” Puan Ruhil menyoal. Nur Ayla diam, matanya memandang tepat ke arah cincin yang diletakkan di depan sejak tadi. Tangannya mendekat  ke arah cincin itu dan terus menutup bekas yang terbuka.

“Saya mintak maaf, saya…”

“Your coffee…” Suara itu memintas laju kata-kata Ayla. Secawan kopi diletakkan di hadapan Nur Ayla. Tanpa dipelawa, Rashid terus melabuh duduk di sebelah Nur Ayla. Sekali lagi, Nur Ayla tergamam dan terdiam. Jantungnya berdegup laju pada kadar yang luar biasa.

“Papa dengan mama patutnya tanya dulu dengan Rashid sebelum jumpa Ayla. Rashid tak nak Ayla salah faham.” Rashid bersuara yang dengarnya agak tegas. Encik Rahmat dan Puan Ruhil hanya tersenyum sesama mereka.

“Papa dengan mama nak kenal Nur Ayla je. Kami tak pernah tengok apatah lagi bercakap dengan gadis yang berjaya curi hati kamu ni.” Encik Rahmat membalas. Rashid hanya diam sahaja tanpa riak. Nur Ayla pula hanya senyap menenangkan jantungnya yang masih tak reda berdegup kencang.

“Entahnya, kami nak jumpa dan cuba-cuba, mana tahu berjaya.” Puan Ruhil menambah. Rashid meraup wajahnya, nafas ditarik dalam-dalam.

“Mama Papa, Ayla baru keluar wad. Ni cincin bagai ni… mama papa, please. I want to do it on my owns. My way.”

“When?” Encik Rahmat pula bersuara, ada tegasnya di situ.

“Rashid tengah settlekan isu Diana… and mak Long.” Rashid menjeling sekilas memandang Ayla yang hanya membatukan dirinya saat nama Diana dituturkan. Jujur, dia takut Ayla salah faham.

“Okaylah. Mama papa balik dulu, Rashid selesaikan apa yang patut. Terima kasih Ayla sudi jumpa makcik dengan pakcik harini.” Puan Ruhil dan Encik Rahmat terus sahaja berlalu tanpa sempat Nur Ayla hendak bersalam atau membalas kata-kata. Husna dengan Ruhaila sudah lama hilang di pandangan Ayla. Entah ke mana.

Kini hanya ada Nur Ayla dan Rashid, bersebelahan. Diam tanpa kata-kata. Yang kedengaran hanya suara-suara tetamu Hotel menjamu selera dan berbual kosong. Rashid tidak tahu mahu memulakan dengan apa. Fikirannya tiba-tiba kosong tanpa idea.

“Saya letih, saya balik dulu.” Nur Ayla bangun dan melangkah ke luar dari cafeteria hotel. Rashid memandang beberapa saat sebelum bingkas mengambil bekas cincin dan mengikut langkah Ayla yang ketika itu sudah pun keluar dari lobi hotel.

“Husna, kat mana? Haah… sampai hati tinggal akak sini.” Nur Ayla menghubungi Husna, dan Husna ketika itu sedang ‘window shopping’ dengan Ruhaila. Nur Ayla berdiri di depan hotel dan sesaat kemudian terus membuka aplikasi Grab Car. Nur Ayla menyedari Rashid menghampirinya di situ membuatkan Nur Ayla melangkah laju keluar dari kawasan hotel. Terminal Amanjaya ada berdekatan, terus sahaja memberikan Ayla jalan untuk pulang ke Seri Iskandar.

“Saya hantar awak balik?” Rashid memintas jalan Nur Ayla membuatkan Nur Ayla berhenti melangkah.

“Tak apa, saya boleh balik sendiri.” Balas Nur Ayla dan terus melangkah lebih laju.

“Ayla, please. Can we talk?” Rashid berjalan menyaingi Nur Ayla.

“Please, sekejap.” Rashid mendepa sebelah tangannya, menghalang Nur Ayla terus melangkah. Nur Ayla menarik nafas dalam-dalam, memandang Rashid sekilas sebelum melarikan pandangan ke arah bertentangan.

“Kita masih ada perkara tak selesai ke? Seingat saya, tak ada apa-apa dah. So please, excuse me.” Nur Ayla cuba melangkah untuk pergi. Rashid memegang beg tangan Nur Ayla yang tergalas di bahu.

“Ikut saya dulu, kita bincang elok-elok. I know, dah hampir setahun tapi we need to discuss all over it. I’m not over with you Ayla.” Rashid terus menarik beg tangan Nur Ayla serta merta menarik Nur Ayla bersama-sama dengannya. Nur Ayla cuba menarik semula beg tangannya tetapi lagi kuat Rashid memegang dan menarik Nur Ayla dengannya.

“Jom?”

“Nak pergi mana?”

“Masuk dulu, kita bincang tempat yang tenang sikit.”

“Saya tak nak.”

“Please, kalau ini kali yang terakhir, saya nak selesaikan baik-baik.” Ujar Rashid. Kata-kata itu sedikit sebanyak membuatkan Nur Ayla setuju. Selesaikan. Selesai sehingga tiada apa lagi yang tersisa antara mereka berdua.

 

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders