Tuesday, December 22, 2015

Blind Date 3 : Siapa Nur Dhia?

BLIND DATE 3 (SIAPA NUR DHIA?)

            Hari yang dinanti dalam kegusaran telah tiba. Beberapa minit sahaja lagi rombongan Nour Zaed akan tiba, tetapi Mak Cik Soraya masih belum diberitahu akan hal itu. Sudah difikirkan pelbagai cara dan kaedah untuk memberitahu akan hal ini namun Nur Dhia masih teragak-agak. Masih kekal dalam ingatan, masih terasa sakit sengatan yang hinggap ke tubuhnya saat Hafiz rakan sekelasnya datang menghantar buku latihan yang tertinggal di sekolah. Mak Cik Soraya memukulnya tanpa belas. Mak Cik Soraya menuduh Nur Dhia sudah pandai menganyam cinta ketika di bangku sekolah, tidak menjaga maruah. Mulalah asal usulnya diungkit. Kadang kala Nur Dhia terfikir, apakah benar dia bukan anak ayahnya? Ayah, disaat habis hayatnya masih bertegas dia adalah anaknya. Kenapa Mak Cik Soraya sebaliknya?

            “Kak Dhia, Mak Cik Soraya tengah mengamuk!” Kelam kabut Johan memanggilnya di buaian yang berada di dapur. Nur Dhia sudah resah. Mampus! Segera seliparnya disarung ke kaki. Langkah diatur laju di belakang Johan.

            “Kahwin? Apa betina tu buat dekat KL nu? Tak guna punya budak! Dari kecik dok malukan aku! Johan! Mana Dhia? Hang panggil betina tu cepat!” Jelas dan nyaring suara Mak Cik Soraya kedengaran. Nur Dhia tergamam. Semua hantaran sudah bertaburan di tanah. Kelihatan Tok Mak dan Mummy beriak terkejut dengan kerutan di dahi. Mungkin tidak menyangka hajat yang baik dibalas sebegitu rupa. Nour Zaed sudah berketap gigi. Jelas rahangnya bergerak-gerak. Nur Dhia mengucap dalam hati dan bertawakal.

            “Mak cik, saya tak buat apa-apa. Saya sepatutnya bagitau dekat mak cik tentang rombongan ni tapi saya lupa.” Nur Dhia tak berani menyatakan ketakutannya. Lupa? Mana mungkin lupa. Sudah seminggu dia sukar untuk melelap mata kerana hal ini. Apa yang ditakutkan telah terjadi, apa yang harus dia lakukan sekarang? Mata Mak Cik Soraya menyala-nyala. Seram!

            “Hang memang sengaja nak malukan akukan? Hang nak kahwin? Siapa nak hang? Hang tu anak tak sah taraf, anak haram! Sapa yang nak ambik hang jadi bini? Ni aku tau, hang mengandungkan? Dasar anak haram, perangai macam haram!” jerkah Mak Cik Soraya, laju sahaja tangannya menampar kuat pipi Nur Dhia sehingga gadis itu terjelepok jatuh ke tanah. Kaki mak cik Soraya terus sahaja memijak dan menendang perut Nur Dhia.

            “Biaq aku pijak hang bagi hang dengan anak hang mampus!” Mak Cik Soraya bagaikan orang gila yang sudah hilang warasnya. Nour Zaed yang mulanya hanya berdiri dan memerhati, tidak betah lagi. Ditolaknya Mak Cik Soraya sehingga terdorong ke belakang orang tua itu. Nur Dhia dilindunginya.

            “Aku hormat kau sebagai orang tua, orang perempuan tua. Kalau kau lelaki, dah lama aku kerjakan. Kau tak ada langsung belas kasihan? Kalau pun betul Nur Dhia ini bukan anak kau, siapa kau nak menghina dia? Di sisi Tuhan Nur Dhia ini lebih mulia dari kau!” bagai halilintar suara Nour Zaed bergema di situ. Tok Mak dan Mummy menghampiri Nur Dhia dan membantu Nur Dhia untuk bangun. Kaki Nur Dhia seakan lembik akibat kesakitan yang ditanggungnya.

            “Hoi! Hang datang rumah aku tak berjemput hang nak maki aku? Kalau hang rasa Nur Dhia ni mulia, hang ambik la dia. Aku dah lama nak buang dia dari hidup aku. Dari kecik sampai sekarang bawak malang dekat aku!” Mak Cik Soraya mula melangkah menaiki tangga mahu masuk ke rumah. Nur Dhia mula bersuara, merintih sedikit kasih dari Mak Cik Soraya.

            “Mak cik, Dhia minta maaf. Dhia tak malukan mak cik, Dhia tak buat apa-apa. Dhia nak kahwin elok-elok. Mak cik jangan buang Dhia. Dhia nak pergi mana kalau mak cik buang Dhia?” Nur Dhia masih bertutur dengan baik walaupun mak cik Soraya sedari tadi memakinya.

            “Aku kisah apa hang nak dok kat mana. Selama ni aku memang harap hang takdak dalam hidup aku. Aku benci hang sampai mati!” Terus sahaja pintu rumah di tutup rapat. Nur Dhia merintih, menangis.

            “Kau ni apa hal? Dia tu jahat, pukul kau macam nak mati, kau masih nak duduk dengan dia? Gila ke?” Nour Zaed sudah hilang sabar. Nur Dhia terlalu berlembut!

            “Mak Cik Soraya satu-satunya saudara yang saya ada. Saya dah tak ada sesiapa lagi awak.” Nur Dhia menangis lagi. Mummy dan Tok Mak memandang penuh simpati.

            “Sekarang ni, kita balik rumah kita dulu. Rehat dan rawat luka-luka Dhia ni. Kemudian baru kita bincang hal yang jadi hari ini.” Mummy memberi cadangan. Tudung Nur Dhia dibetulkan letaknya. Jatuh kasihan kepada gadis ini. Anak haram? Mana ada anak yang haram. Anak yang lahir semuanya suci. Allahuakbar, mudahnya manusia melabel manusia lain sedangkan diri sendiri ada celanya.

            Baru melangkah beberapa tapak ke kereta. Hentakkan di belakang kepala membuatkan Nur Dhia mengaduh sakit. Semua yang ada turut tersentak. Beberapa beg pakaian yang menghempas tanah mengejutkan mereka. Tok Mak mengucap panjang. Belakang kepala Nur Dhia dipegangnya. Mujur sahaja bingkai kaca itu tidak melukakan kepala Nur Dhia, mujur sahaja Nur Dhia memakai tudung. Kalau tidak, sudah tentu habis berdarah kepala gadis itu. Sungguh perempuan tua itu sudah gila!

            “Astagfirullah, Soraya… awak ni memang tak beradab.” Tok Mak bersuara, hilang sabar. Mak Cik Soraya tak membalas, hanya menjeling tajam. Daun pintu dihempasnya. Nur Dhia mengalirkan air matanya sekali lagi. Malunya dia kepada keluarga Nour Zaed dengan apa yang berlaku. Johan dan Nour Zaed mengambil ke semua beg yang dibuang oleh Mak Cik Soraya dan di masukkan ke dalam kereta. Johan yang baru sampai sudah termengah-mengah. Nur Dhia mendekati Johan.

            “Johan hang tolong kak Dhia.” Nur Dhia bersuara dengan suara yang menahan sakit dan sengal-sengal.

            “Tolong apa kak? Macam tak biasa pulak kak Dhia. Hat Johan boleh tolong, Johan tolong. Haa apa dia?”Johan yang termengah-mengah mula mengambil nafas yang lebih teratur.

            “Hang jaga Mak Cik Soraya naa, tengok-tengok dia. Kalau ada apa-apa terus bagitau kak.” Johan sudah tergaru-garu kepalanya.

            “Jenuh tu kak. Tapi tak apalah. Johan cuba. Kalau ada apa-apa nanti Johan cari kak Dhia. Kak Dhia jangan risau.” Nur Dhia mengangguk, mengukir senyuman dalam payah. Hancur hatinya dengan tindakan Mak Cik Soraya. Mungkin inilah jawapan resah hatinya selama seminggu ini. Allah, kuatkanlah diriku.

            “Orang tu pijak dia, maki dia, boleh dia suruh budak tu jaga lagi. Awak ni Malaikat dari langit ke Dhia?” Tak habis lagi leteran Nour Zaed walaupun mereka semua sudah hampir sampai ke rumah. Mak Tok dan Mummy hanya menggelengkan kepala. Kurang senang dengan sikap Nour Zaed yang satu ini. Bila hatinya risau, marah, mulut takkan berhenti membebel.

            “Sudahlah Zaed, kesiankan Dhia. Dahlah sedih pasal tadi, kamu tambah lagi. Kamu nak buat dia menangis sampai esok ke?” Tajam sahaja Mak Tok menyindir. Dia sendiri tertekan mendengar leteran cucu kesayangannya itu. Nour Zaed sudah terdiam, namun masih menjeling Dhia yang berada di sebelahnya. Nur Dhia masih teresak nangis, sekali sekala di sapu air matanya.

            “Zaed nak kahwin dengan Dhia hujung bulan ni.” Nour Zaed bersuara lagi, membuatkan Nur Dhia berpaling memandang ke arah Nour Zaed yang memandu. Mak Tok dan Mummy hanya mengangguk perlahan. Faham benar perangai Nour Zaed, A katanya A sampai bila-bila.

            “Awak masih nak kahwin dengan saya?” Perlahan sahaja Nur Dhia menyoal, masih dalam esak tangisnya. Kurang percaya, sejak beberapa tahun dahulu Dhia cuba mencari satu tempat yang membolehkan dia menyorok dari manusia-manusia yang mengenalinya. Yang tahu asal usul dirinya yang dia sendiri tidak pasti. Kini muncul lelaki yang masih tidak jelas siapa sebenarnya menerima dia yang tidak pasti asal usulnya.

            “Kan saya pernah kata, apa pun yang berlaku awak tetap akan jadi isteri saya dan saya akan jadi suami awak. Faham? Kalau faham, kesat air mata, air hidung. Esok kita bertunang.” Mudah sangat Nour Zaed membuat keputusan. Nur Dhia sendiri dalam keadaan keliru. Malu. Masakan tak malu bila begitu kelakuan dan tindakan Mak Cik Soraya terhadap Mak Tok dan Mummy. Malu! Maruahnya dipijak-pijak dan dihina.

            “Saya sendiri tak pasti saya ini lahir secara sah atau tidak, kenapa awak pasti untuk memperisterikan saya?” Soal Nur Dhia, sebaik sahaja Mak Tok dan Mummy beransur masuk ke dalam rumah. Nour Zaed menutup pintu kereta dan menekan alarm. Nur Dhia dihampirinya. Nour Zaed memandang Nur Dhia tanpa kelip. Keluhan berat dilepaskan.

            “Awak ni suka makan semut? Cepat sangat lupa. Bukan saya dah jelaskan ke? Takkan tak faham lagi?” Nour Zaed menjawab dengan nada mendatar dan kurang senang. Tidak marah cuma rimas. Rimas dengan Nur Dhia yang payah untuk faham.

            “Ya saya faham. Apa pun jadi, apa pun yang halang, kita berdua tetap akan jadi suami isteri. Tapi yang saya tak faham, mudah benar awak terima saya. Sedangkan seminggu ini saya risau dan resah. Kalau awak tahu siapa saya yang sebenarnya. Sekarang awak tahu siapa saya, tapi awak macam tak terkejut.” Nur Dhia menjelaskan, panjang lebar. Hatinya kurang senang dengan penerimaan Nour Zaed dan keluarganya yang teramat mudah!

            “Apa masalah dengan asal usul awak? Lagi mudah untuk uruskan perkahwinan kita. Tak perlu cari wali sebab jelas awak tiada wali. Saudara awak Mak Cik Sihir tu aje kan. Awak sebatang kara. Jadi, apa masalahnya?” Nour Zaed menjawab lagi, Nur Dhia hilang sabar.

            “Awak ni faham atau hanya buat-buat faham? Saya sendiri tak pasti saya ni anak sah atau tidak!” Nour Zaed merengus. Bahu Nur Dhia dicengkam kuat. Dipaksa Nur Dhia memandang tepat ke matanya.

            “Siapa pun awak, saya akan tetap dengan keputusan saya. Saya dah kenal awak lama Nur Dhia Adzara Binti Ahmad, tetapi awak sahaja yang membutakan mata awak untuk kenal saya.” Nur Dhia sudah keliru dan kusut. Apa lagi yang tidak diketahuinya? Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Nour Zaed? Kenal lama? Buta mata? Arghhh! Nur Dhia serabut.

            “Apa pun awak cakap, saya perlukan masa. Saya tak boleh bertunang dengan awak, apatah lagi berkahwin!” Bentak Nur Dhia. Baru sahaja Nour Zaed mahu membantah, Mummy menjengah keluar.


            “Apa lagi kamu berdua ni? Dhia cepat masuk rumah, Mummy nak letak ubat dekat muka kamu dan badan kamu, esok nak bertunang kena la berseri. Cepat masuk.” Nour Zaed hanya tersenyum lebar. Senyuman mengejek Nur Dhia. Nur Dhia takkan mampu menolak lagi. Kurang 30 hari Nur Dhia akan menjadi milik Nour Zaed. Amin!

No comments:

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders