Nurin Jannah
mengesat peluh yang merinik halus di dahinya. Panas terik hari ini seolah-olah
membakar kulit wajahnya yang kuning langsat itu. Barang-barang untuk projek rekaciptanya
dipegang erat ditangan kiri. Kadangkala, barang-barang yang agak berat itu
seakan mahu tercicir daripada pegangan tangannya. Langkah di atur perlahan
melepasi deretan kereta yang berada di sekitar Perpustakaan.
Nurin Jannah cuba menyelit di antara
kereta, mahu mengambil pintas fikirnya. Belum sempat melangkah melintas, telefon
bimbitnya berdering kuat. Dalam kalut mencari telefon bimbit yang masih
berdering dan memegang barang projek rekaciptanya, tubuh Nurin ditempuh orang
yang cuba mengambil jalan sama. Malang memang tiada bau, plat aluminium yang
dibawanya terpelanting dan singgah ke atas salah sebuah kereta yang ada.
“Korang ni langgar saya kenapa,
tengok kan dah semua jatuh kena kereta orang.” Marah Nurin kepada dua orang
pelajar lelaki yang merempuhnya.
“Apa pulak kitorang, akak yang jalan
tak tengok depan.” Belum sempat Nurin mahu membalas, dua orang lelaki tersebut
terus sahaja melangkah laju meninggalkannya. Nurin berdecit, mahu bising-bising
malu pula nanti jadi ‘free show’ depan perpustakaan yang sememangnya ramai
orang. Mahu tak mahu, Nurin terpaksa mengutip semua barang-barangnya kembali
termasuk plat aluminiumnya itu.
“Ni awak punya?” Nurin yang sedang
membongkok mengutip barang, hanya mengangkat kepala dan mengangguk. Tangannya
terus sahaja mahu mencapai plat aluminium yang ditunjukkan oleh lelaki
dihadapannya sekarang, tapi…
“Saya punya, so bagi lah…” dari
posisi membongkok, terus sahaja Nurin berdiri tegak setelah lelaki itu seakan
bermain tarik tali dengan plat aluminiumnya. Lelaki itu mengangkat jari
telunjuknya dan menggerakkan ke kiri dan kanan.
“Awak tengok ni…” Lelaki itu
menunjukkan ke arah sisi bonet keretanya. Nurin terlopong dengan tangannya
menekup mulutnya yang terbuka.
“Saya… saya tak sengaja, diorang
yang langgar saya.” Nurin tergagap-gagap.
“Diorang? Ini semua barang awak,
jadi awak yang perlu bertanggungjawab. Calar ni dalam tau!” Nurin mendekatkan
jarinya kepada kesan calar di kereta lelaki tersebut. Perlahan-lahan dia
merasai kesan calar itu.
“Betul tak? Kalau calar biasa saya
tak kisah ye cik. Tapi ni dalam, kos nak hilangkan pun ‘dalam’ tau!” Lelaki itu
sengaja menekankan perkataan dalam. Nurin sudah hilang arah, apa yang harus dia
lakukan?
“Jadi, awak nak saya buat apa?
Bayar?” Lelaki itu senyum sinis mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut
Nurin.
“Bayar? Kalau kereta MyVi, calar
macam ni dah kena dua tiga ratus. Ini kereta BMW cik kak, mau dua tiga kali
ganda. Boleh bayar?” Lelaki itu seolah-olah menyindir. Nurin tersentap.
“Ye, memang mahal memandangkan
kereta awak ni mahal, kalau saya tak mampu nak bayar awak nak suruh saya buat
apa? Letak plaster ke?” Nurin bersuara tegas, kalau tadi dia cuak dengan apa
yang berlaku, tapi bila lelaki itu cuba memperkotak-katikkan dirinya, dia tidak
dapat mendiamkan diri.
“Amboi, dah buat salah nak main
sindir-sindirnya?”
“Awak yang menyindir, jadi jangan
salahkan saya. Cakap aje apa yang awak nak saya buat? Bayar or???” Nurin
membidas.
“Okay, bagi saya kad matrik awak dan
telefon awak.” Lelaki itu menghulurkan tangannya. Mahu tidak mahu, Nurin
terpaksa menyerahkan kedua-duanya. Setelah mengambil nombor kad matrik, nombor
kad pengenalan dan nombor telefon Nurin, lelaki itu menyerahkan kembali kad
matrik dan telefon kepada Nurin.
“Nurin Jannah, nanti saya akan call
dengan untuk bagitau apa yang awak boleh buat ye.” Ujar lelaki itu, lalu terus
sahaja memasuki kereta dan berlalu dari situ. Nurin mengeluh berat. Belum
hilang lelahnya berjalan daripada fakulti, tambah pula dengan lelah berhadapan
dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Harap aje muka hensem, tapi kerek!
++++++++++++++
“Kau pergi mana Nurin, lambat
balik?” Azra yang sedang baring sambil membaca novel menyoal tanpa mengalih
muka sedikit pun daripada novel yang dibacanya. Nurin meletakkan barangannya ke
atas meja, dan menghempas tubuh ke atas katil. Jam di tangannya dibelek.
“Dah pukul 6, tak solat lagi…”
Rungut Nurin tanpa menjawab soalan Azra. Hanya keluhan demi keluhan dan
rungutan demi rungutan yang keluar daripada mulut Nurin Jannah. Azra mengerut
dahi, Nurin kedengaran sungguh tertekan.
“Bulan mengambang ke cik kak? Mengeluh
aje dari tadi?” Nurin mengalih tubuh menghadap Azra yang telah bangun daripada
pembaringannya dan duduk bersila.
“Ra… berapa ringgit eh kalau kita
repair calar kereta?”
“Kenapa? Selalu calar biasa dia akan
polish aje, tak mahal sangat, tapi kalau dalam macam kereta aku kena dulu tu
dalam RM250 jugak lah sebab dia kena cat semula whole part yang calar tu…
kenapa? Kereta siapa kau calarkan?” Nurin mengembungkan pipinya, lalu nafas
dilepas perlahan.
“MyVi kau RM250, calar dalam kan?
Tapi kecik aje… kau rasa kalau BMW berapa eh?” Azra ternganga dengan soalan
Nurin, lantas dia terus menghampiri Nurin dan duduk disisinya.
“Jangan kata kau calarkan BMW? Siapa
punya kereta weh?” Nurin bangun daripada pembaringannya dan bersandar di
dinding.
“Entah, lecturer ke student aku pun
tak tahu, tapi yang aku tahu dia sangat berlagak!”
“Memang betullah kau calarkan BMW?”
Nurin mengangguk perlahan, lalu menyembankan muka ke lutut yang telah
dirapatkan ke tubuhnya.
“Apa aku nak buat ni…?” Rengek Nurin
seperti kanak-kanak kecil. Azra hanya boleh beristighfar panjang.
“Dia mintak berapa?” Nurin
menggeleng.
“Dah tu?” Nurin mengangkat muka.
“Aku rasa beribu la Ra… aku nak
bayar dengan apa kalau dia mintak lebih daripada seribu?” Azra mengetap bibir.
“Takkanlah… under seribu kut…”
“Betul?” Azra tersengih. Nurin menyemban
muka lagi dan terus merengek.
“Habislah PTPTN aku sem ni…” Suara
Nurin dengan suara yang main serak menahan tangis.
++++++++++++++++
Kelas Psikologi Pendidikan hari ini
habis lewat. Sekarang sudah jam 6.30 petang, lagi setengah jam pukul 7 malam. Bas
akan berhenti beroperasi dan mula kembali jam 8.00 malam. Kalau terlepas bas,
takkan nak tunggu dekat fakulti yang menyeramkan ni seorang diri? Nurin mula
berkira-kira sendiri. Dia belum solat asar, jadi keputusan yang terbaik adalah
untuk ke Masjid dan pulang ke bilik jam 8 nanti. Perut yang lapar boleh di
tunggu, apalah sangat untuk dibandingkan waktu solat yang hampir habis. Pesan
arwah abah sentiasa tersemat kukuh diingatannya.
“Payah macam mana pun, solat fardhu
jangan tinggal. Kalau tidak lagi payah kita di akhirat nanti.”
Nurin melangkah dengan senyuman.
Mengingati pesanan-pesanan abah membuatkan Nurin terasa senang, penat seakan
hilang. Abah waktu hayatnya selalu memberikan Nurin semangat dan dorongan,
tidak kira waktu susah atau senang.
Langkah Nurin diatur pantas dan
kemas, hujan rintik yang mula membasahi tudungnya, membuatkan dia mula
berlari-lari anak. Setelah melintasi Fakulti Sains, hujan kian lebat.
Langkahnya kian pantas, fail ditangan digunakan untuk melindungi kepala. Baru sahaja
melintas jalan dan hendak menaiki anak tangga yang menghala ke arah Masjid,
tubuhnya seakan melayang dilanggar oleh satu tubuh lain.
“Aduh… Buta ke!” Suara itu menampar
telinga Nurin yang terjelepuk jatuh ke tanah akibat perlanggaran itu.
“Awak yang langgar saya.” Nurin
bersuara perlahan, tangan dan kakinya terasa kebas dek kerana terlalu sakit. Nurin
bangun perlahan-lahan, lalu membelek bajunya yang kotor akibat tanah yang
basah.
“Kau yang lari tak tengok kiri
kanan, lepas tu tak nak mengaku pulak?” Lelaki itu masih bersuara tegas, tanpa
sedikit rasa belas terhadap Nurin yang lebih menanggung akibat perlanggaran
tersebut. Nurin mengangkat muka, ingin membalas kata. Namun, bicaranya mati.
Baru sahaja mahu berasa tenang selepas kejadian seminggu lalu, kini jantungnya
bagai terhenti sesaat. Terasa seperti hilang darah di mukanya, pucat!
“Oh… awak rupanya. Tak habis-habis
bawa malang dekat saya. Mujur tau tak buku-buku saya ni tak jatuh, kalau tidak
habis basah semua.” Nurin hanya menelan liur. Lelaki itu hanya tersenyum sindir
hujung bibirnya. Di pandang Nurin dari atas hingga ke bawah. Nurin menekap fail
ke dada.
“Kenapa pandang macam tu? Tak pernah
tengok orang ke?” Lelaki itu menjeling kerana ditegur begitu oleh Nurin,
mungkin termalu sendiri.
“Tak pernah tengok panda ada dekat
UTM ni…” Lelaki itu bersuara, sengaja menyindir Nurin yang berpakaian kurung
kelabu hari ini. Nurin melihat dirinya sendiri, lalu memandang tajam lelaki di
hadapannya.
“Panda pun pandalah, asal cukup
seperti yang disyariatkan. Saya pergi dulu, maaf sebab buta dan terlanggar
encik ye.” Ujar Nurin pedas, lalu mula melangkah menjauhi.
“Eh, Nurin Jannah, kau nak pergi
mana?” Nurin terhenti daripada terus melangkah.
“Ada apa?”
“Amboi-amboi… lupa dah? Nak bagi
resit, nak claim…” Nurin meneguk liur sekian kalinya. Ingat dah lepas, getus
hati Nurin. Bibirnya diketap, lalu kembali melangkah mendekati lelaki itu yang
mula berjalan ke arah keretanya. Kalau tadi, dia berlari untuk mengelak hujan,
kini tidak lagi. Dibiarkan sahaja hujan membasahi tubuhnya yang sendiri sudah
basah dek berpeluh memikirkan jumlah yang perlu dibayar.
“Here you are… tak mahal pun. RM800
aje.” Lelaki itu menghulurkan resit ke arah Nurin yang berada di depannya.
“Lapan…Ratus…?” Nurin mengambil
resit tersebut lalu membeleknya beberapa kali. Biarpun lebih rendah daripada
dijangka, tapi jumlah itu sememangnya akan mengambil separuh daripada duit
pinjamannya semester ini.
“Cash or check?”
“Apa?” Nurin menyoal, lelaki itu
merengus perlahan.
“Awak nak bayar, cash or check?”
“Erm… cash tapi…”
“Tapi apa? Takde diskaun okay…”
Cepat sahaja lelaki menjawab seolah-olah sudah dapat membaca fikiran Nurin.
Nurin mengigit bibir. Duit pinjamannya cukup-cukup sehingga habis semester,
kalau separuh dikeluarkan untuk dibayar kepada lelaki ini, pasti duitnya tidak
cukup hingga ke hujung semester.
“Saya bayar minggu depan boleh?”
Nurin cuba berkompromi. Lelaki itu menjungkit keningnya sebelum mengangguk
perlahan.
“Okay, next week. Saya masih ada
nombor telefon awak, Nurin Jannah. Jangan mengelat atau cuba-cuba nak lari.”
Lelaki itu seolah-olah cuba mengugutnya. Nurin hanya mampu mengangguk.
“Tak lari. Saya dah lewat ni, saya
pergi dulu. Terima kasih ye bagi saya tempoh untuk bayar. Assalamualaikum.”
Suara Nurin perlahan dan lemah sekali.
“Waalaikummusalam. Dah lewat ni, ada
bas lagi ke?” Baru Nurin hendak melangkah pergi, lelaki itu bersoal lagi.
“Saya dah lewat nak solat asar, dah
6.50. Bas kolej saya dah lepas pun, saya tunggu bas malam pulak.” Ujar Nurin
pantas.
“Okay.”
Nurin melangkah laju ke arah Masjid
yang hanya beberapa meter di hadapan. Bajunya sudah basah ditimpa rintik hujan.
Hendak pulang, mesti dia akan terlepas Asar. Nampaknya dia terpaksa solat dalam
keadaan yang tidak berapa selesa.
Dari depan masjid, Nurin memandang
kereta BMW hitam metallic itu meluncur keluar daripada parkirnya sehingga
hilang daripada pandangan. Mungkin rezeki RM800 semester ini bukan miliknya.
Nurin redha.
+++++++
Nurin melangkah perlahan ke arah
bangunan SUB. Disebabkan hujan sudah berhenti, Nurin mengambil keputusan untuk
menunggu bas di hadapan Fakulti Eletrik sahaja, lagi pula takut untuk dia
melintasi bangunan Fakulti Alam Bina yang sunyi dan agak menyeramkan. Banyak
cerita yang didengarnya sewaktu dia menetap di Kolej Tun Fatimah dulunya.
Sebelum terus ke hentian bas, Nurin
melangkah ke arah bank CIMB yang ada di bangunan SUB, niatnya untuk melihat
baki wang yang ada. Seingatnya masih ada RM1600 lagi di dalam akaunnya. Kuliah
baru sebulan lebih berjalan, duit hanya akan banyak digunakan ditengah-tengah
semester yang mana lebih banyak projek dan tugasan akan dijalankan. Nurin
mengeluh sendiri.
“Seribu enam ratus… tolak lapan
ratus…” Nurin mengeluh perlahan. Cukupkah RM800 untuk 3 bulan lebih dia di
sini? Nurin berkira-kira sendiri. Hendak meminta kepada Acik Emah, pasti dia
akan dileterinya. Mak tirinya itu sangat berkira apabila timbul soal wang.
Kalau abah masih ada, tidak pula dia begitu. Nurin sedar, dia hanya anak tiri
Acik Emah, penerimaan Acik Emah untuk menjaganya selama ini, dia sudah rasa
lebih daripada syukur biarpun dia tahu Acik Emah tidak suka kepadanya kerana
abah terlalu menunjukkan sayangnya kepada Nurin Jannah. Mungkin kerana itu,
Acik Emah berasa cemburu. Setelah abah pergi Acik Emah lebih menunjukkan
marahnya berbanding sewaktu abah masih bernafas. Nurin mengeluh lemah.
Nurin mengatur langkah perlahan
menuruni tangga dilereng bukit itu untuk ke Fakulti Elektrik. Dalam beberapa
minit lagi bas untuk ke kolejnya akan tiba. Malam ini tidak sesunyi hari biasa,
memandangkan hari ini adalah hari jumaat. Jadi para pelajar akan
menghabiskannya di kafeteria bersama-sama rakan ataupun keluar menonton wayang,
memandangkan esok adalah hari minggu.
“Seorang aje?” Tegur Pengawal yang
kebetulan lalu di situ.
“Ye, Pak cik, saya seorang aje.”
Jawab Nurin berbahasa.
“Hati-hati, lain kali bawa kawan
sekali. Bahaya malam-malam macam ni.” Pengawal itu menegur. Terpaksa. Selalunya
kalau Nurin ke perpustakaan pada malam hari, pasti Azra yang akan menemani.
Tetapi malam ini dia terpaksa pulang malam ke kolej kerana kesuntukkan masa.
Dia bertawakal kepada Allah sepenuhnya untuk perlindungan.
Pengawal itu berlalu, mungkin mahu
mengawasi kawasan pentadbiran dan kawasan fakulti yang berhampiran. Nurin duduk
di atas benteng jalan menunggu basnya datang. Dalam fikirannya berkira-kira
wang perbelanjaannya semester ini. Jenuh berjimat sepanjang semester. Bagaimana
kalau-kalau ada tugasan yang memerlukan jumlah wang yang besar?
Telefon yang berdering mematikan
lamunan Nurin Jannah.
“Helo…”
“Nurin, kau kat mana? Kenapa tak
balik lagi ni?” Azra bersoal resah. Nurin tidak pernah selewat ini seorang
diri.
“Aku dekat fakulti tengah tunggu
bas. Kelas lewat habis tadi.”
“Oh… kau dekat mana? Aku nak keluar
makan ni, aku boleh pergi ambik kau.” Azra bersuara lagi.
“Takpe lah Ra, kau mesti nak keluar
dengan Megat kan?” Nurin sudah lali dengan jadual hujung minggu Azra, pastinya
dihabiskan bersama-sama teman lelakinya Megat. Nurin tidak berapa suka dengan
Megat yang jelas hanya mengambil kesempatan atas kesenangan Azra. Selalu aje
kereta Azra dipinjamnya tapi tidak pernah mengisi minyak, kalau rosak lagilah.
Tidak pernah pula mahu menolong Azra membaiki
malah teman ke bengkel pun tidak pernah. Mahu bersuara, siapalah dia,
takut pula digelar ‘busy body’!
“Ala, aku ambil kau then hantar
balik kolej. Kau sorang-sorangkan?” Baru hendak menjawab, sebuah kereta
berhenti betul-betul dihadapan Nurin. Nurin lantas bangun dari duduk.
“Ra, takpelah, nanti apa-apa aku
call okay. Have fun!” Talian dimatikan. Tingkap kereta dihadapannya itu
perlahan-lahan terbuka.
“Jom, saya hantar awak balik kolej.”
Lelaki BMW! Nurin tercengang seketika.
“Takpelah, kejap lagi bas saya
sampailah.” Ujar Nurin sambil melihat sekilas jam tangannya.
“Serius? Tak takut ke dekat pengawal
bangunan tu? He is not Malaysian I think…” Lelaki itu seakan mahu
menakut-nakutkan Nurin. Nurin kalih memandang ke arah pengawal bangunan Fakulti
Elektri itu, memang bukan orang Malaysia. Alamak! Kenapa tak perasan dari tadi?
“Erm… takpe ke saya tumpang, jauh
jugak kolej saya.” Nurin teragak-agak.
“Takpe, saya caslah tambang minyak
nanti.” Ujar lelaki bersahaja sambil membuka pintu dari dalam. Mahu tak mahu,
Nurin melangkah masuk ke dalam kereta BMW lelaki itu.
“Kolej awak?”
“Kolej 9, dekat stadium.” Lelaki itu
mengangguk perlahan.
“Encik rumah dekat mana?” Nurin cuba
berbasa basi. Takkan mahu berdiam diri sahaja, sudahlah orang bagi tumpang.
“Encik? Awak tak tahu nama saya?”
Nurin menggeleng. Lelaki itu hanya tersenyum menampakkan giginya yang putih
bersih.
“Nurin Jannah, saya Tareeq Sufean.
Boleh panggil saya Tareeq or Sufean, mana-mana yang selesa.” Lelaki itu
memperkenalkan diri.
“Oh…Panjang nama Encik Sufean…”
Tareeq tersenyum lagi apabila Nurin menggelarnya Encik dipangkal nama. Gadis
ini terlalu jujur dan naïf, getus hati Tareeq.
“Rumah saya dekat Pulai Perdana,
kenapa? Nak datang rumah ke?” Nurin pantas menggeleng.
“Saja tanya… Encik Sufean, boleh
saya cakap sesuatu” Tareeq mengerut dahi.
“No diskaun, fix price.” Tareeq
seakan boleh meneka apa yang ada difikiran Nurin. Nurin mengetap bibir. Baru
hendak membuka mulut, mereka telahpun sampai di hadapan Kolej Kediaman Nurin.
“Okay… cas tambang kira sekali dalam
‘hutang’ ye?” Tareeq cuba berseloroh.
“Erm… saya nak tanya satu aje
soalan, boleh? Bukan pasal diskaun…” Tareeq mengangguk, melihatkan raut wajah
Nurin yang serius, membuatkan dia tidak mahu mengusik gadis itu lagi.
“Antara pilihan, cash or check yang
Encik Sufean bagi petang tadi, ada tak pilihan lain, pilihan ketiga misalnya?”
Tareeq mengerut dahi, keluhan terluah dari bibirnya.
“Hanya antara dua, tunai atau cek.
Takde ketiga dan tidak ada diskaun. Kenapa?”
“Lapan ratus tu jumlah yang besar
bagi saya… kalau ada yang ketiga mungkin saya boleh jelaskannya.” Tareeq yang
tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Nurin hanya mengerut dahinya.
Nurin menarik nafas.
“Encik Sufean belajar atau bekerja
di UTM ni?”
“Lecturer sambilan.”
“Kalau macam tu, boleh saya bayar
dengan bekerja untuk Encik, boleh? Saya akan kerja sampai Encik Sufean rasa
sudah cukup lapan ratus.” Entah bila idea ini muncul difikiran Nurin. Tareeq
tersenyum hujung bibir.
“Kenapa tidak awak bekerja sambilan
dan bayar dekat saya. Saya tambah tempoh sampai sebulan or dua bulan. Saya tak
perlukan pekerja.” Tareeq bersuara tegas.
“Please…” Nurin cuba untuk meminta
belas kasihan daripada Tareeq.
“No, untuk makluman awak, Nurin
Jannah, harga tu saya dah kurangkan separuh, sebab saya tahu awak adalah
pelajar. I’ll give you a month untuk sediakan lapan ratus ringgit sahaja.”
Tareeq bertegas, sengaja ditekankan jumlah wang tersebut. Nurin mengalah, dia
tahu dia tidak dapat mengubah apa-apa lagi. Sekarang dia hanya perlu
menyediakan RM800 untuk membayar kerosakan kereta yang sama sekali bukan dia
yang melakukannya.
“Terima kasih tumpangkan saya.
Minggu depan hari Khamis saya bayar duit awak. Pukul 2 petang tunggu depan
library. Assalamualaikum.” Kalau tunggu sehingga sebulan tentu-tentu sahaja
duit dalam simpanannya akan susut. Adalah lebih baik dia memberikan wang itu
dengan segera kepada lelaki yang bernama Muhammad Tareeq Sufean itu.
++++++++++++
Tareeq meluncur laju pulang ke
rumahnya. Bukan tidak kasihan, tapi tanggungjawab adalah tanggungjawab. Itu
yang pegang selama ini. Baginya RM800 itu tidak terlalu besar, dan boleh
dibayar oleh sesiapa sahaja.
“Waalaikummussalam. Mama…” Dari
hujung talian Ibunya pantas memberikan salam.
“Lama Ean tak call mama?” Tareeq
tersenyum, bukan sengaja tapi terlalu sibuk dengan tugasan barunya sebagai
pensyarah sambilan. Pagi ke pejabat sebagai arkitek, tengah hari dia akan
mengajar. Hanya dua kali dalam seminggu, sebab itu dia menerima jawatan
tersebut. Bukan lama mana dia tidak menghubungi ibunya, baru tiga hari dia
terlepas untuk mendengar khabar ibu.
“Ean agak busy sekarang mama. As you
wish mama, Ean sekarang pensyarah sambilan. Kira pendidik jugalah, betul tak?”
Kedengaran tawa halus dihujung talian sana.
“Alhamdulillah, sejuk perut mama…
Eh, mama nak tanya pasal kes kereta Ean yang luka parah tu? Apa cerita?”
“Cerita tak best pun ma… Ean tak
boleh polish aje, sebab luka dalam. So kena jahit semula, whole part yang luka
tu.”
“Mahal la macam tu? Kesian budak tu
nak bayar.”
“Ean minta half aje ma…”
“How much?”
“Lapan ratus aje.”
“Aje? Banyak tu Ean… she can pay
it?”
“Dia beralasan jugak, tapi ma… itu
tanggungjawab diakan, lagi pun lapan ratus aje. Bukan lapan ribu.” Tareeq
membela diri. Dia tahu ibu seorang yang sangat pemurah, tambah-tambah soal wang
ringgit. Kata ibunya, ‘Papa tinggalkan wang banyak untuk kita buat kebajikan,
untung-untung papa merasa pahala yang kita cuba cari untuk dia kat sana,
betul?”
“Kalau dia dapat JPA or apa-apa
biasiswa, lapan ratus memang tak berapa besar. Tapi kalau PTPTN, jumlah tu
macam dah half duit dia tau tak?” Ibu Tareeq mula bersuara. Kadang kala dia
risau dengan sikap anaknya yang satu itu, tegas dan kurang timbang rasanya.
“Mama nak kata Ean ni tak
berperikemanusian?”
“Tak, lebih kepada tidak prihatin.
Berapalah sangat lapan ratus tu dengan gaji Ean? Tak kurang sikit pun kan?” Ibu
Tareeq menyindir.
“Tanggungjawab adalah tanggungjawab.
Kalau kita baik sangat mama, orang akan pijak kepala.” Tareeq tetap dengan
pendiriannya.
“Apa-apalah Ean, tapi mama hanya nak
pesan, pendirian yang kita pegang kadang-kadang perlu lihat kepada keadaan dan
siapa yang kita berdepan. Siapa tahu, nasib dia tak sama macam kita? Faham
sayang?” Tareeq hanya mendiamkan diri. Setelah memberi salam, talian dimatikan.
Ibunya selalu sahaja membuatkan dia berfikir dua kali atas tindakannya tapi
tidak pula dia mengubah tindakannya, menyesal? Jauh sekali.
Dari kecil dia dibiasakan
bertanggungjawab atas setiap sesuatu yang dilakukan. Kesalahan dan kesilapan
kecil yang dilakukannya pasti akan dihukum oleh papa. Papa selalu berkata, jadi
lelaki kena biasa dengan tanggungjawab, sebab lelaki adalah ketua dan pemutus
keputusan dalam sesuatu hal serta seorang pengatur rancangan. Jadi perlu
sentiasa bertanggungjawab sekiranya tersalah dalam membuat keputusan atau
mengatur rancangan. Jadi dia tidak fikir apa yang dilakukan sekarang adalah
salah. Salah ke?
+++++
abc terpaksa post part by part.
dari cerpen dah jadik cerpan ^^
much love readers!
5 comments:
Best gila!!!
suka2 sgt2
akan terus baca..mcm best!!
best nape x jadikan novel...
best nape x jadikan novel...
Post a Comment