Thursday, February 22, 2018

Mini Novel 2018 : N & N (part 4)





Part 4

“Pak cik awak tak benarkan kita kahwin.” Ujar Noh Daniel dalam talian. Nadia sudah tahu, semalam lagi dia sudah terima caci maki dari pak ciknya. Nadia memejam mata, air mata mengalir laju.

“Kita tak perlu izin mereka, saya 22 tahun. Saya setuju berkahwin dengan Encik Noh.” Nadia memberikan kata putus. Noh Daniel dihujung talian terangguk sendiri.

“Kalau itu yang awak cakap dan putuskan. Saya terima. Nanti saya uruskan semuanya dengan mama dan papa. Nadia, awak jangan terlalu fikirkan. Jaga kesihatan awak.” Kedengaran terlalu halus, sehalusnya kata-kata itu sehingga menyusup lembut ke dalam hati Nur Nadia. Pertama kali, pertama kalinya ada insan yang bimbang akan dirinya.

“Terima kasih Encik Noh.” Nadia begitu menghargai kesudian Noh Daniel menerima dia dalam masa singkat dan sanggup bersusah payah untuk menyelamatkan maruah mereka berdua. Maruah Nur Nadia lebihnya.

“Untuk?” Noh Daniel menyoal.

“Apa sahaja yang telah Encik lakukan demi saya.”

“Untuk saya juga Nadia.” Noh Daniel membalas.

“Ya saya tahu.”

“Masih ada banyak yang awak belum tahu.”

“Apa?”

“Satu hari nanti awak akan tahu.” Balas Noh Daniel, sekadar meninggalkan tanda tanya. Nadia membiarkan sahaja. Lagi disoal nanti lagi banyak dalihnya. Encik Noh Daniel, tidak sinis seperti selalu tapi penuh misteri.

Nur Nadia tekad. Kali ini demi masa depannya, dia perlu bertegas. Biarlah digelar kacang lupakan kulit atau lupa daratan, maruah dirinya, nama baik ibu dan ayah perlu dijaga. Nombor pak cik di dail.

“Haa kau nak apa lagi?” Jerkah pak cik sebaik sahaja talian bersambung.

“Saya akan bernikah hujung minggu ni.” Ujar Nadia senafas, jemarinya digenggam erat.

“Kau memang tak guna. Tak kenang budi! kau nak nikah kau pergilah, aku tak halal satu pun yang kau telan selama aku kutip kau! Bodoh!” Talian terus diputus. Nadia memejam mata rapat-rapat, menelan semuanya biar kelak semua itu hanya menjadi satu igauan buruk semata.
Tiga hari selepas semuanya diuruskan. Tibalah hari yang dinantikan penuh debaran. Majlis pernikahan Noh Daniel dan Nur Nadia. Tiada seorang kawan pun yang diberitahu termasuklah Mashitah. Itu permintaan Noh Daniel. Katanya terlalu awal, ini adalah antara rancangan untuk menangkap pemerangkap mereka berdua. Nadia hanya turutkan, asalkan kelak maruahnya terselamat.

Nur Nadia membelek wajahnya yang telah siap disolek. Seakan tidak percaya dia boleh secantik itu. Kali pertama dia mengenakan solekan. Selama ini hanya menggunakan bedak bayi sahaja, bibir tak pernah dioleskan dengan apa-apa. Nur Nadia budak kampung yang tidak tahu apa-apa. Kalau tahu pun, dia tidak mampu membeli walaupun harga pelembap bibir tidak sampai sepuluh ringgit. Dia lebih rela membeli makanan yang lebih mengenyangkan!

“Aku terima nikahnya Nur Nadia Binti Abdul Wahab dengan mas kahwinnya RM22.50 tunai.” Dengan hanya sekali lafaz, Nur Nadia menjadi isteri yang sah kepada Noh Daniel, lelaki yang sering menyakitkan hati dia dan lelaki kedua selepas pak cik yang pernah membuatkan dia menitiskan air mata. Hari ini air matanya menitis lagi, entah air mata kesedihan atau pun gembira. Kalau gembira untuk apa? Walaupun Noh Daniel bersikap baik dengan dia belakangan ini tetapi itu bukan bermakna dia sudah jatuh cinta.

“Nadia dah makan?” Soal Datin Nurlia apabila melihat Nadia hanya tercegat di meja dapur dengan masih dalam persalinan nikah. Nadia menggeleng kepala. Datin Nurlia mengeluh perlahan dengan senyuman.

“Nadia kenapa tak makan? Danny mana?” Soal Datin Nurlia.

“Borak dengan saudara mara rasanya.” Ujar Nadia sambil tangan menunjuk ke arah taman di luar rumah.

“Ambil pinggan, isi nasi dan lauk. Makan dekat sini.” Arah Datin Nurlia. Nadia tidak membalas, hanya bergerak mengambil pinggan dan terus ke bahagian bufet. Mama hanya mampu tersenyum. Nadia, terlalu naif.

Baru beberapa suap, Noh Daniel menghampiri dia yang berada di dapur. Noh Daniel mengambil beberapa ketul isi ayam goreng dari pinggan Nadia terus ke mulutnya.

“Kenapa makan tak tunggu saya?” Soal Noh Daniel. Nur Nadia tersedak, mujur tidak tersembur. Air yang dihulurkan Noh Daniel terus diteguk. Datang tak bagi salam!

“Eh, saya tanya tu je dah tersedak?” Nadia hanya menggeleng dan terus menyuap makanan. Kepala masih berputar mencari topik untuk berbual. Terasa begitu janggal bila hanya berdua dengan Noh Daniel, lagi-lagi selepas sah menjadi isteri kepadanya.

“Nadia?” Panggil Noh Daniel, melihat Nur Nadia hanya membatu. Nadia memandang Noh Daniel di depannya.

“Ya?” Noh Daniel berkerut, kena sampuk ke bini aku ni?

“Saya tanya, kenapa tak tunggu saya makan sama?”

“Mama suruh saya makan dulu, Encik seronok sangat berborak tadi, malas nak kacau. Saya pun dah lapar sangat.” Nadia menjawab dengan jujur. Noh Daniel tersenyum.

“Encik? Dah jadi suami awak Encik ni Nadia.” Ujar Noh Daniel. Nadia memandang sekilas. Kunyahannya terhenti seketika.

“Tak boleh ke?” Jujur sahaja Nadia membalas.

“Boleh. Tapi masa di kuliah or depan kawan-kawan awak dan saya. Dekat rumah tak perlu saya rasa. Nanti mama dan papa kata apa pula.” Noh Daniel membalas.

“Okay.” Balas Nur Nadia dan kembali menyuap makanan. Noh Daniel menarik kerusi dan duduk menghadap Nadia. Pinggan Nadia ditarik sedikit ke arahnya, kemudian turut makan makanan yang sama. Nadia kaget.

“Sunnah.” Ujar Noh Daniel apabila perasan isterinya itu sedang memerhati tingkahnya penuh kehairanan dan terkejut.

“Saya tambahkan nasi dan lauk.” Nadia yang sudah merah muka, bangun menambah. Noh Daniel tersenyum, Nadia memang begitu sikapnya. Selagi dia boleh turutkan, dia hanya buat tanpa soal. Sekembali Nadia ke meja, mereka menyambung makan. Mama dan papa yang memerhati tersenyum lebar. Kiranya Noh Daniel sudah menemui pengganti, Nur Nadia sudah temui perisai yang akan sentiasa melindungi. Selepas ini, mereka hanya perlu mencari siapakah dalang yang memerangkap mereka dan mengembalikan semula maruah mereka yang kini hanya tergantung entah pada siapa.

“Lepas ni, saya akan duduk kolej macam biasakan?” Ujar Nadia, air dihulurkan kepada suaminya.

“Yup. Tapi weekend balik rumah kita.” Noh Daniel membalas. Nadia berkerut.

“Rumah kita?”

“Rumah saya, rumah dekat dengan Universiti. Sekarang rumah tu jadi rumah saya dengan Nadia la. Rumah kita.” Terang Noh Daniel. Nadia mengangguk faham.

“Rajin-rajinlah balik sini. Mama bosan sorang-sorang.” Datin Nurlia yang baru masuk ke dapur mencelah. Nadia hanya tersenyum.

“Mama suruhlah anak dara mama tu tinggal sini. Kenapa nak menyewa rumah lain? Bukan jauh sangat pun.” Ujar Noh Daniel. Datin Nurlia mencebik.

“Mama yang suruh Nuha sewa rumah asing. Tak lama lagi dia dah nak kahwin, mama nak train dia jadi isteri yang terbaik buat suami dia. Kalau dekat sini, malas!” Datin Nurlia bercerita penuh semangat. Nuha Dania, adik Noh Daniel. Kecil molek dan ramah. Baru semalam Nadia berkenalan dengannya.

“Mana ada Nuha malas? Mama yang halau Nuha.” Nuha yang berada di luar dapur menyampuk apabila namanya disebut-sebut. Datin Nurlia tersengih.

“Adik memang malas, bangun lambat. Manja. Cengeng.” Noh Daniel menambah-nambah. Nuha geram!

“Kak Nadia, tengok suami akak tu. Eii!” Nuha mengadu. Nadia hanya ketawa. Belum biasa dengan keluarga itu untuk dia mencelah apa-apa. Mereka tak pernah buat dirinya terasa asing dalam keluarga. Mereka terlalu baik sehinggakan Nadia sangat merasa diterima, disayangi. Perasaan yang tidak pernah dirasakan selepas ibu dan ayah tiada. Allah itu Maha Penyayang. Walaupun hubungan itu dihubungkan dengan satu peristiwa hitam, akan tetapi kini hatinya rasa berbunga. Rasa tenang dan bahagia. “Maka, nikmat Tuhanmu yang mana yang kau dustakan?”

to be continued ...
much love readers!
please leave some comments ya guys!

Wednesday, February 21, 2018

Mini Novel 2018 : N &N (Part 3)


N & N
(Noh Daniel + Nur Nadia)

Part 3

“Awak ada terima mesej or apa-apa?” Soal Noh setelah beberapa minit mereka di dalam kereta.

“Tak ada, kenapa?” Ujar Nadia tidak sabar.

“Lepas hantar awak, saya dapat mesej ni.” Telefonnya dihulurkan kepada Nadia. Nadia ambil tanpa membuang masa. Nadia mengucap panjang.

“Encik tahu siapa yang hantar?” Ada getar dalam suara Nadia. Mesej ugutan dan gambar mereka.

“Private number. Saya dah upah orang untuk siasat hal semalam. Sekarang saya nak awak cerita dekat saya apa yang berlaku sebelum awak sedar pagi semalam.” Nadia menggenggam erat jemarinya.

“Saya ada latihan silat. Habis dalam 11 malam. Saya nak balik kolej tapi kawan saya ajak minum dekat cafe kolej dia. Dia suruh saya pergi dulu. Saya lalu jalan belakang Fakulti Awam, ada orang tegur saya, lelaki macam pernah dengar suara tu. Tapi selepas tu saya dah tak tahu. Saya bangun pagi tu, kita dah macam tu.” Nadia menerangkan semuanya. Itu sahaja yang dia ingat, apa yang berlaku di situ dia tak dapat nak jelaskan. Noh Daniel yang mendengar terangguk-angguk.

“Encik Noh pula?” Soal Nadia.

“Saya makan malam dekat hotel tu. Saya ada meeting dengan client di situ. After that, kawan saya datang untuk dinner. Dia balik dulu kemudian saya sedar-sedar saya ditendang sampai nak jatuh katil.” Noh Daniel tersenyum hujung bibir.

“Saya minta maaf, if you are my husband takkan saya tendang. Kita tiada apa-apa ikatan. Itulah pertama kali saya berada dengan lelaki asing dalam bilik berdua-duaan. Tindakan tu lebih kepada melindungi diri saya.” Nadia membela diri.

“Saya faham. Kita akan selesaikan hal ni. Saya risau kita dah terlanjur malam semalam, saya risau ada kesannya kepada kita nanti. Awak fahamkan?” Nadia mengangguk perlahan, malu benar bila perkataan ‘terlanjur’ itu keluar daripada mulut lelaki itu.. Tak lama kemudian telefon Nadia berbunyi.

“Encik...” Nadia menunjukkan telefonnya. Noh Daniel memandang sekilas sebelum memandang ke depan.

“I’m driving Nadia, bacakan.” Arah Noh Daniel.

“Masih bergembira atau sudah jatuh cinta? Senyumlah sebelum semua gambar kau dengan dia tersebar.” Nadia membaca satu persatu aksara yang diterimanya. Seketika kemudian satu gambar diterimanya. Nadia terlopong. Gambar dia dan Noh Daniel di kereta sebentar tadi.
“Dia dekat dengan kita Encik Noh.” Ujar Nadia, gambar ditunjukkan kepada Noh Daniel. Noh Daniel bengang, tangan dikepalkan dan dihentak kuat ke stereng. Nadia terkejut  sehingga terjungkit bahunya.

“I’m sorry. Complicated. Kenapa awak? Saya boleh faham kenapa saya diperangkap. Mungkin musuh bisnes saya yang dengki dengan saya, tapi awak? Awak ada musuh?” Nadia menggeleng dan kemudian menjungkit bahu. Siapa? Dia tahu dia tiada kawan yang ramai tapi takkanlah sampai ada yang mahu dia terperangkap sebegitu. Ada?

“Kita akan jumpa mama dan papa saya, be ready.” Nadia terkejut, menelan air liur yang terasa kelat dan berpasir. Mama dan papa?

Kereta Noh Daniel memasuki kawasan perumahan. Hon dibunyikan dua kali dihadapan sebuah rumah banglo 3 tingkat dihujung kawasan itu. Pintu pagar terbuka dan terus sahaja Noh Daniel memasuki kawasan rumah.

“Jom.” Noh Daniel keluar dari perut kereta. Beg galasnya yang diletakkan di but diambil dan digalasnya. Nadia turut keluar. Debaran kian deras setelah kelibat wanita yang agak berusia namun masih bergaya tiba di muka pintu. Nadia membontoti langkah Noh Daniel mendekati wanita itu.

“Mama, ini Nur Nadia.” Ujar Noh Daniel setelah menyalami mamanya. Nadia tak tunggu lama, tangan wanita itu diraihnya.

“Assalamualaikum mak cik.” Ujar Nadia. Noh Daniel yang memandang dan mendengar menahan tawa. Mak cik? Seriously? Datin Nurlia tersenyum lebar. Gadis itu dipandang atas bawah kiri kanan. Baju kurung, tudung besar, stokin kaki tangan semua lengkap. Siapalah yang dengki dengan kamu nak? Datin Nurlia bermonolog sendiri.

“Waalaikumussalam. Cantik orangnya. Marilah masuk rumah mama.” Tangan Nadia digenggamnya dan terus ditarik masuk ke dalam rumah.

“Ini ke Nadia?” Suara lelaki menegur mereka yang baru sahaja melabuh duduk di ruang tamu. Noh Daniel bingkas bangun dan menyalami lelaki yang dipanggil papa.

“Saya Nadia, Pak Cik.” Nadia hanya menunduk sedikit tanda hormat. Datuk Nour Rahman juga berbuat yang sama. Sekali lagi Noh Daniel menahan tawa. Pak cik kau panggil papa Nadia? Datuk Nour Rahman tu. Bisik hati nakal Noh Daniel. Nadia mengerut dahi melihat telingkah Noh Daniel sedari tadi. Adalah tu nak mengata aku! Marah Nadia dalam hati.

“Danny dah cerita semuanya dekat Papa dan Mama semuanya yang berlaku. Sebab itulah, papa dan mama suruh Danny bawa Nadia datang rumah hari ni.” Datuk Nour Rahman memulakan bicara tengah hari itu.

“Mama dan papa nak Danny bertanggungjawab atas apa yang berlaku.” Ujar Datin Nurlia mencelah. Noh Daniel hanya mendiamkan diri namun matanya tetap memerhati Nadia.

“Bukan Encik Noh yang buat semua tu kan?” Ujar Nadia, keliru sebenarnya dengan apa yang cuba disampaikan papa dan mama Noh Daniel.

“Bukan. Tapi mama dan papa risau, kalau-kalau kamu berdua dah... Nadia faham kan apa mama nak sampaikan?” Nadia mengangguk perlahan, perkara yang sama dikatakan oleh Noh Daniel.

“So, mama dan papa suruh kita kahwin.” Celah Noh Daniel, tenang sahaja dia mengujarkan kata-kata itu. Nadia menelan liur. Kahwin? Dengan Encik Noh? Semua itu berlegar-legar dalam kepalanya.

            “Mama dan papa risau dengan semuanya. Danny dah setuju. Jadi, Nadia macam mana?” Soal Datin Nurlia. Semua mata memandang Nadia.

            “Encik Noh bukan ke tak suka saya?” Soal Nadia, dalam banyak-banyak persoalan hanya itu yang mampu diungkap ketika itu. Datuk Nour Rahman dan Datin Nurlia tersenyum. Datin Nurlia mahu bersuara namun Noh Daniel lebih cepat memotong.

            “Ya memang saya tak suka awak, tapi kalau esok-esok awak terbuncit macam mana?” Noh Daniel tidak berlapik langsung. Nadia menelan air liur, kesat! Datuk Nour Rahman dan Datin Nurlia hanya menggeleng kepala. Tahu sangat perangai Noh Daniel.

            “Hal nikah kamu berdua kena cepatkan. Kami cadang hujung minggu depan kamu nikah. Esok mama dan papa akan jumpa ibu ayah Nadia, boleh?” Nak jumpa ibu ayah? Nadia menunduk mencari kekuatan.

            “Saya anak yatim piatu. Pak cik dan Mak cik yang jaga saya sejak ibu dan ayah saya meninggal masa saya umur 10 tahun.” Ujar Nadia, cuba untuk mengukir senyum. Namun getar bibir melihatkan hatinya menangis. Sungguh pemergian ibu dan ayah amat perit nak di terima dengan sikap Pak cik dan Mak cik yang umpama ibu dan ayah tiri baginya. Bahagian tubuh mana yang tak pernah berbirat dek libasan objek kepadanya. Namun dia tak lupa, kerana pak cik dan mak cik dia masih boleh belajar sehingga ke Universiti.

            “Mama minta maaf, Danny tak beritahu mama pula tentang tu. It is okay, mama dan papa akan jumpa pak cik dan mak cik Nadia. Kiranya pak cik la akan jadi wali?” Soal Datin Nurlia. Nadia menggeleng lagi.

            “Bukan?” Soal Noh Daniel. Papa, mama dan Noh Daniel saling berpandangan. Dalam senyuman yang diukirkan dalam kelat, Nadia bersuara menjelaskan.

            “Pak cik cuma kawan baik ayah. Ayah dan ibu sebatang kara. Tiada saudara mara.” Nadia menjelas. Noh Daniel meraup wajah, kiranya selama ini dia menyeksa jiwa Nur Nadia tanpa dia tahu siapa sebenarnya gadis itu.

            “Tak apalah. Kira Pak cik dan mak cik penjaga Nadia. Kami akan berjumpa dengan mereka dan berbincang. inshaAllah semua dimudahkan.” Ujar Datuk Nour Rahman, tenang dan bersahaja. Nadia hanya mengangguk perlahan, ada gusar dalam hatinya. Bolehkah pak cik dan mak cik terima dengan baik?

            Seusai makan tengah hari dengan mama dan papa Noh Daniel, Nadia di hantar pulang ke kolej. Sepanjang perjalanan Nadia hanya mendiamkan diri. Fikirannya hanya berputar-putar tentang apa yang akan berlaku esok, mampukah pak cik dan mak cik terima dengan tenang? Boleh ke mereka benarkan aku berkahwin? Hanya itu persoalan yang timbul.

            “Saya tahu awak tak setuju, tapi ini sahaja caranya untuk bersihkan nama kita kalau orang yang buat semua ni mula sebarkan gambar kita. Masa tu, awak tak perlu risaukan apa-apa. I’ll always with you. Kita lawan bersama-sama.” Noh Daniel bersuara. Nadia hanya mendengar tanpa riak. Di telinga Nadia yang didengarinya hanya “ I’ll always with you”, kata-kata itu menggetarkan jantungnya. Kali pertama Nadia merasakan Noh Daniel yang dikenalinya itu umpama dewa yang menjaganya bukan seperti sebelumnya, tak ubah macam syaitonnirrojim!

            “Terima kasih.” Hanya itu sahaja yang mampu diungkapkan sebelum kereta Noh Daniel meluncur laju keluar daripada kawasan kolejnya. Derap langkahnya lemah longlai, Nadia perlu menghubungi pak cik dan mak ciknya sebelum papa dan mama Noh Daniel tiba esok ke rumah.



to be continued ...
much love readers!
jangan lupa! komen sikit!

Tuesday, February 20, 2018

Mini Novel 2018 : N&N (Part 2)


N & N
(Noh Daniel + Nur Nadia)

Part 2

Nur Nadia menghempas tubuh ke katil. Mashitah yang sedang ralit dengan telefon di tangan memandang Nadia sekilas.

“Mana kau pergi malam tadi? Tak balik bilik.” Soal Mashitah, kawan sebilik Nadia. Nadia mengeluh perlahan, mata dipejam erat sehingga air mata mengalir. Lekas-lekas dia meletakkan lengannya ke mata seolah-olah mahu berehat.

“Aku pergi latihan silat lepas tu terus sambung study dengan Suraya.” Ujar Nadia membuat alasan. Harap-harap tiada sesiapa yang tahu hal malam tadi, harap sangat!

“Betul ke ni? Suraya geng silat kau tu?” Mashitah seperti tidak mempercayai. Nadia jadi getar. Sudah tersebarkah?

“Betullah, kenapa?” Ujar Nadia. Diraup mukanya laju-laju, agar Mashitah tak nampak air matanya yang mengalir tak berhenti sejak tersedar pagi tadi.

“Ni, kau tengok ni...” Nadia tersentak, laju sahaja menarik telefon Mashitah, melihat apa yang ditunjukkan. Nadia memejam mata erat, Allah!

“Kau dating dengan Encik Noh Daniel? Kemain!” Mashitah ketawa, telefon miliknya di ambil kembali dan kembali melihat gambar yang diterima dalam group whatsapp kelas mereka. Gambar Noh Daniel membuka kereta untuk Nadia di depan kolej, gambar mereka berborak di depan kolej Nadia.

“Ish! Ada mamarazzi rupanya kolej ni. Aku tumpang kereta dia je. Bukan dating.” Nadia menidakkan. Lega, lega, lega! Zaman sekarang semua dihujung jari. Kalau dulu gosip akan tersebar dari mulut ke mulut, sekarang jari ke jari.

“Tumpang kereta? How? Kau dengan dia macam kucing dengan anjing, mana boleh jumpa, bercakar la jadinya.” Mashitah mengerut dahi, hairan sungguh.

“Dah dia nak bagi aku tumpang kereta dia aku naik je lah. Apa masalahnya? Bukan aku yang suka cari gaduh ya, dia yang tak suka aku.” Nadia sebolehnya mahu mencari alasan yang kukuh supaya hal ini tidak lagi berbangkit.

“Eleh! Rupa-rupanya selama ni Encik Noh tu suka dekat kau, sebab tu lah dia asyik cari salah kau. Encik Noh ni pun satu, suka cakap suka ini tidak, sampai menangis Nur Nadia kita ni.” Mashitah ketawa, banyak betul spekulasi yang dibuatnya. Bising sahaja mulut dan telefonnya. Bunyi mesej yang tak terhenti-henti.

“Mana ada. Mashitah, tolonglah stop buat spekulasi and kontroversi eh. Tu mesti banyak gosip dalam tu kan?” marah Nadia. Tuala di ambil. Bersiap-siap untuk mandi.

“Hot issues kut, masak la kau Nadia. Setahun tak habis nih, esok pagi-pagi kelas Encik Noh. Mesti kecohkan!” Mashitah makin menjadi-jadi pula mengusik Nadia. Nadia sudah biru muka. Entah mana nak letak mukanya esok!

“Ada aku kisah?” Ujar Nadia, menyedapkan hati sendiri. Apa la nak jadi ni?! Malas nak dengar gosip dan segala benda yang sudah tersebar dengan rancaknya,Nadia berlalu ke bilik air. Dia perlu segarkan dirinya untuk fikirkan segala apa yang telah berlaku semalam. Apa yang ada dalam kepalanya sekarang hanya perkara-perkara negatif sahaja. Iyelah, apa yang positif dalam hal ni? Tak ada!

Pagi itu, Nadia sudah kelam kabut. Beg kuliahnya di selongkar. Puas dia mencari. Kali terakhir digunakan adalah malam semalam, sebelum dia terjaga dalam keadaan memalukan. Tak mungkin dia tertinggal di bilik hotel itu. Mustahil.

“Kau cari apa?” Soal Mashitah.

“Telefon aku.” Jawab Nadia sepatah.

“Ni ha...” Mashitah menghulurkan telefon Ienovo milik Nadia. Nadia mengambilnya namun kehairanan. Rasanya telefon telah dibawa bersama-sama ke latihan silat semalam, macam mana ada dengan Mashitah?

“Mana kau jumpa?” Soal Nadia hairan.

“Kau rasa?” Mashitah kembali menyoal.

“Aku tanya kau, kau tanya aku balik.” Emosi Nadia masih terganggu, tak mampu nak jawab soalan demi soalan. Banyak lagi hal lain yang perlu dan wajib dijawabnya. Nadia merengus perlahan.

“Marah? Suraya kasi kat aku semalam, lepas latihan silat dia kata kau tercicir. Jadi dia bagi dekat aku pagi tadi kat kafe. Kebetulan jumpa. Sebab tu aku tanya, betul ke malam tadi kau tidur bilik Suraya atau .......” Mashitah mengangkat keningnya berkali-kali. Raut wajahnya penuh tanda soal. Nadia terdiam. Adeh!

“Jangan fikir bukan-bukan. Dah, jom pergi kelas.” Nadia malas nak cakap panjang. Masih belum masanya untuk buka mulut. Mashitah kawan sebilik, sekuliah. Kawan yang selalu back-up dia bila dia kena buli dengan Encik Noh. Kawan yang akan kesat air mata dia kalau dia menangis tapi kisah malam tadi bukan semua boleh terima boleh percaya. Saudara pun boleh buang saudara apatah kawan.

“Nadia... apa-apa sahaja yang kau buat, aku harap kau jangan lupa Tuhan.” Ujar Mashitah penuh makna. Sebab itu aku tak cerita, ujar hati Nadia. Tiada bicara yang keluar dari bibirnya hanya kepala yang digerakkan tanda memahami.

Baru sahaja tiba di dewan kuliah, semua mata memandang ke arah Nadia. Mulut mereka semua terkumat-kamit. Nadia harap cuma satu, biarlah mereka semua itu bergosip tentang hal dia dan Noh Daniel ada hubungan cinta, bukan hal yang tidak senonoh itu. Kebisingan dewan kuliah itu menjadi-jadi apabila Noh Daniel mula melangkah masuk ke dewan. Pelajar lelaki bertepuk tangan, entah apa yang disorakkan. Nur Nadia mengeras. Diam tak berkutik. Mashitah mula menyondol bahunya beberapa kali. Namun tetap tidak berangkat kepalanya. Malu-malu-malu! Masih terbayang apa yang berlaku antara dia dan Noh Daniel, gambar-gambar yang telah direnyukkan Noh Daniel juga masih jelas dipandangan matanya. Allah! Malunya!

“Wah, semua bersemangat luar biasa harini?” Ujar Noh Daniel memulakan kuliah pagi itu.

“Semangat cinta Encik Noh!” Hadi menjawab, matanya mengerling ke arah Nadia yang memang langsung tak angkat muka. Noh Daniel mengerut kening. Semacam pula kuliah pagi itu. Seperti biasa matanya mencari Nur Nadia. Dari jauh dia melihat Nadia yang hanya tundukkan muka. Takkanlah hal itu dah tersebar? Hatinya resah.

“Okey, semangat cinta yang membantu untuk berjaya apa salahnya kan?” kata-kata itu mendapat sorakan kuat para pelajar. Noh Daniel tersengih.

“Apa-apapun kita mulakan dulu kuliah kita untuk harini.” Noh Daniel memulakan sesi kuliah. Tak ada usikan atau sindiran buat Nadia untuk hari itu. Gadis itu langsung tidak mengangkat muka memandangnya selama satu jam di dalam kuliah, bagai tunduk menyembah bumi. Mahu ditegurnya seperti selalu namun dia batalkan sahaja niat nakalnya itu memikirkan hal dia dan Nadia belum selesai.

“Okey semua. Balik siapkan 3 soalan. Next class akan ada wakil yang akan buat presentation jawapan. Be ready. Okey itu sahaja untuk hari ini.” Noh Daniel menamatkan kuliahnya. Semua pelajar sudah siap sedia mengemas buku dan barang-barang. Nadia kelam kabut mengemas barang dan baru sahaja hendak bangun, terdengar namanya di panggil. Dipanggung sahaja kepala, semua mata memandangnya.

“Nur Nadia Binti Abdul Wahab, boleh saya jumpa awak  sebentar?” Noh Daniel memanggilnya. Jantungnya berdegup lagi, bertambah laju dengan semua mata yang melihat dengan senyuman yang meleret.

“Wahhhh boyfie dia panggil tu...” Mashitah berbisik, mengusik Nadia yang sudah merah mukanya. Dia melangkah perlahan-lahan menurun tangga kuliah ke depan. Noh Daniel yang sedang mengemas barang memandang Nadia dan tersenyum. Killer’s smile. Itu gelaran bagi senyuman Noh Daniel yang diberikan oleh para pelajar Fakulti Eletrik mahupun Fakulti Pendidikan.

“Ada apa encik nak jumpa?” Soal Nadia cepat-cepat.

“Sekejap saya kemas barang.” Ujar Noh Daniel. Selesai mengemas barang, beg terus digalasnya. Lagak gaya Noh Daniel tak ubah seperti seorang pelajar. Noh Daniel masih muda baru 25 tahun. Hanya berbeza 2 tahun dengan Nadia yang kini berada di tahun akhir.

“Jom kita bincang di luar.” Nadia berkerut.

“Tak naklah, Encik tak nampak ke semua orang pandang kita semacam. Tak perasan ke betapa gamatnya kuliah hari ni? Semua orang bergosip pasal kita. Tak naklah tambah gosip!” Nadia menolak.

“Hal semalam tak tersebarkan?” Noh Daniel resah.

“Mujur bukan hal itu. Ada mamarazzi ambil gambar Encik semalam dekat kolej saya. Gambar kita dua.” Jelas Nadia ringkas. Noh Daniel menghela nafas lega.

“Saya nak bincang hal semalam. Awak juga yang merayu sakan semalam. Ada hal saya nak beritahu, kita bincang dekat luar, jauh sikit dari sini. Awak ada kelas?” ujar Noh Daniel sambil melangkah keluar dari dewan kuliah. Nadia hanya membontoti. Kepala digelengkan sebagai jawapan.

“Ada kelas tak?” Soal Noh Daniel sekali lagi, kali ini memandang tepat ke arah Nadia yang mencuka. Nadia menggeleng lagi.

“Geleng-geleng, dah macam burung purple yang pernah viral kat FB dulu. Mulut tu ada guna.” Nadia hanya mencebik, malas nak cakap. Lagi pula dia segan berdua-dua begini dia malu orang memandang mereka dengan senyuman pelik. Dia malu juga dengan Noh Daniel yang mungkin dah lihat semua yang dilindunginya selama ini.

“Diam juga?” Soal Noh Daniel sekali lagi setelah tiba di keretanya. Menggeleng kepala melihat wajah Nadia yang masam mencuka. But kereta dibuka, beg diletakkan dan kemudian membuka pintu bahagian penumpang di hadapan dibukanya untuk Nadia.

“Encik Noh ni, saya boleh buka sendiri. Malu orang tengok.” Mata dikerlingkan ke cafe yang berhampiran dengan dewan kuliah. Masih kelihatan rakan-rakan sekuliahnya di situ. Masih dengan pandangan dan senyuman tersirat. Noh Daniel boleh pula mengangkat tangan kepada mereka dengan senyuman melebar. Tak malu ke dia ni?!

“Nadia, awak tahu tak dalam fakulti awak sahaja ramai yang mengimpikan nak naik kereta dengan saya tau?” Noh Daniel mengangkat keningnya. Nadia mencebik.

“Perasan ke apa Encik ni?” Malas nak bertekak, Nadia terus meloloskan diri ke dalam kereta. Noh Daniel hanya tersengih sendiri. Nadia memang tak macam gadis yang lain. Gadis yang pantang nampak lelaki ada rupa pasti nak menggeletis! Tapi kenapa Nadia yang berada dengan dia malam semalam. Kerja siapalah semua ni?

to be continued ...
much love readers!
leave your comments ya. Thank You!

Monday, February 19, 2018

Mini Novel 2018 : N & N



N & N
(Noh Daniel + Nur Nadia)


Part 1

Nadia memisat-misat matanya yang payah nak dibuka. Terasa pedih. Kepalanya pula terasa amat berat untuk di angkat. Namun beban yang terasa di atas badannya itu membuatkan dia memaksa diri untuk bangkit daripada pembaringan. Jantungnya seakan mahu terhenti. Apa yang berlaku? Tubuh lelaki sasa itu ditolak sekuat hati, lalu Nadia terus menjarakkan diri. Air mata mengalir laju, tubuhnya hanya berselimut, begitu juga lelaki yang berada sekatil dengan dia ketika ini.

“Siapa kau ni hah?! Bangun la woi!” marah Nadia dalam tangisan yang kian deras. Tubuh lelaki itu baru bergerak-gerak selepas disepak-sepak Nadia. Laju sahaja lelaki itu bangun dari katil dengan selimut ditekap ke tubuh. Dia memerhati tubuhnya dan memandang Nadia.

“Kau siapa?” Soal lelaki itu. Nadia yang mulanya mahu memaki terdiam, tangannya menekup mulut.

“Nadia?” Soal lelaki itu.

“Encik Noh? Kenapa, Kenapa saya boleh ada dekat sini?” Nadia menarik gebar menyelimuti kepala dan tubuhnya yang terdedah.

“Awak tu kenapa ada dekat sini? Ni bilik.....” Noh Daniel termati kata-kata. Bukan biliknya, bukan!

“Saya tak tahu, saya tak tahu.... Allah!!!!” Nadia sudah hilang akal. Entah apa yang berlaku, yang dia tahu, mereka berdua dalam keadaan tidak senonoh!

“No, no, no... nothing happen. Pakai baju awak, balik kolej.” Arah Noh Daniel kepada Nadia.

“Habis tu, selepas ni macam mana? Apa yang jadi ni?!” Nadia tidak puas hati.

“Saya pun tak tahu, saya tak ingat.” Noh Daniel memegang kepalanya kuat. Cuba memikirkan apa yang telah terjadi sehingga dia boleh berada di dalam bilik itu bersama-sama Nadia tanpa sehelai pakaian.

“Lepas ni macam mana?” Nadia sudah jauh berfikir. Risau apa yang difikirkan kala itu benar-benar terjadi.

“Boleh tak sekarang awak pakai baju!” Marah Noh Daniel dengan persoalan-persoalan Nadia dan tangisan Nadia tak berhenti-henti. Jarinya tepat menunjuk ke arah pakaian mereka yang berteraburan. Nadia tak tunggu lama, dikutip kembali semua pakaiannya dan terus ke tandas.

Noh Daniel turut berbuat yang sama, pakaian di ambil dan terus di sarungkan ke tubuh. Semua barangan miliknya di ambil, baru sahaja mahu menapak keluar, langkahnya terhenti. Beberapa keping gambar yang berteraburan di atas meja solek dibelek. Noh Daniel meraup wajah. Apa yang terjadi?!

Gambar-gambar itu di ambil dan mahu terus disimpan ke dalam kocek bajunya namun ada tangan yang merampas.

“Ya Allah!” Terduduk Nadia melihat gambar-gambar itu. Gambar dia dan Noh Daniel di atas katil. Tangisannya kembali berlagu.

“Kita lupakan semua ni.” Ujar Noh Daniel.

“Senang Encik Noh cakap, saya ni perempuan.” Bentak Nadia.

“Habis tu apa yang awak harap saya buat Nadia?”

“Gambar-gambar ni, siapa yang ambil?”

“I don’t know!” Noh Daniel bengang.

“kalau tersebar, saya yang malu, maruah saya, masa depan saya. Saya boleh kena buang Universiti!” Nadia membentak. Kepalanya masih tidak dapat menghadam apa yang berlaku, ada pula gambar begini, hatinya remuk!

“Saya akan pastikan ia tak akan tersebar. Saya pun ada maruah dan masa depan yang saya perlu jaga. Bukan awak seorang!” bidas Noh Daniel. Dia hanya mahu keluar dari situ dahulu, baru boleh otak memikirkan semua yang terjadi.

“How? Encik tahu apa yang terjadi? Siapa yang buat semua ni?” soal Nadia lagi dan lagi.

“I said I don’t know Nadia, I don’t know!” jerkah Noh Daniel. Nadia mengetap bibir.

“Entah-entah Encik punya rancangan, Encik memang benci dengan saya kan? Encik memang suka dengan apa yang jadi sekarangkan? Encik memang tak suka dengan perempuan kampung yang konon rajin belajar dalam kuliah kan?” Nadia mengungkit-ngungkit semuanya. Noh Daniel, pensyarah Elektrik sementara bagi kuliah Nadia tahun itu, menggantikan pensyarah fakulti yang cuti bersalin. Sejak hari pertama Noh Daniel masuk ke kuliah Nadia, ada sahaja yang tidak kena di mata Noh Daniel terhadap gadis yang bernama Nur Nadia. Sudah banyak kali hati Nadia terluka dengan sindiran-sindiran Noh Daniel di dalam kelas. Namun gadis itu cekalkan hati demi ilmu yang dicarinya.

“Gila! Aku memang tak suka kau Nadia, tapi aku masih bertuhankan Allah. Aku tahu halal haram dan aku tak bodoh untuk jerat diri dengan kau. Kalau aku nak hancurkan kau sekalipun, bodoh ke aku nak bagi kau nampak muka aku sekarang ni? Otak tu guna baik-baik. Aku nak balik, sebelum kita kena cekup baik kita keluar dari sini.” Noh Daniel bengang, bahasanya menjadi kasar. Nur Nadia sungguh menguji kesabarannya. Nadia mati kata.

“Encik, tolonglah. Tolonglah saya.” Belum sempat kaki Noh Daniel melangkah keluar, Nadia memegang erat kakinya.

“Eh! Lepaslah! Aku nak balik!” Noh Daniel menarik kakinya namun dipegang erat Nadia.

“Apa yang akan jadi dengan saya? Kita tak tahu apa yang kita buat malam tadi, saya takut kalau-kalau kita dah....” Nadia tidak meneruskan kata-kata, hanya tangisan yang menyambung kata-katanya. Noh Daniel merengus kasar.

“Saya takut orang tahu hal ni, kalau saya kena buang dari belajar macam mana? Kalau pak cik mak cik saya dekat kampung tahu macam mana? Encik, saya merayu, tolonglah saya. Noh Daniel meraup mukanya. Nafas di tarik dalam-dalam. Bukan dia tak mahu fikir, otaknya mati. Tidak tahu mahu fikir apa dan bagaimana.

“Kita balik dulu. Tenangkan fikiran. Saya akan bertanggungjawab kalau apa yang awak fikir tu betul-betul terjadi. Kita balik, nanti kita bincangkan hal ni.” Lengan Nadia ditariknya supaya gadis itu berdiri. Beg gadis itu diambil dan mereka berdua melangkah keluar bersama-sama. Biarlah mata-mata yang memerhati, hanya mata yang Satu itu yang Maha Mengetahui.


to be continued...

tinggalkan komen anda. much love readers!

Friday, February 2, 2018

2018 and heroes!

Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah kita dah berada di tahun 2018.

Harini 2nd of February!!!! Laju ja masa berjalankan? Abc dah banyak ketinggalan dalam menulis dan blog. How sad!!! Ia adalah pilihan dan jalan yang abc pilih, tak boleh fokus banyak dalam satu masa. Abc menyesuaikan diri dengan kerja, isteri dan anak-anak... anak-anak? Yes! I am a mother of two!! Alhamdulillah. Abc masih dalam pantang. Harini hari ke 12, hero kedua abc dilahirkan dengan selamat dan mudah. Syukur!

Siapa sangka abc yang salah seorang PCOS (dapat tahu masa umur 19tahun lepas 5bulan tak period) sekarang dah ada 2 hero! #ALLAHMAHABAIK next time abc share tips untuk korang yang masih menanti cahaya mata. Yang paling penting, banyakkan berdoa (nanti abc cerita kisah air mata abc masa nak boleh dapat hero pertama abc).

Harini abc senarai semua idea cerpen yang abc simpan selamat beberapa tahun tak menulis. Ada 21 semuanya. Harap dapat siapkan dan post by weekly. Amin3 moga Allah izin.

CAP dah dalam editing, 75% siap. Harap end of february dapat siapkan dan hantar kepada publisher untuk dinilai. 😌😉 berharap sangat kut!

For 2018: harapan abc untuk kembali aktif dalam dunia blog dan mencari kembali rakan2 blogger abc yang lama dan mencari kembali readers abc yang setia menanti kepulangan abc ke dunia penulisan. Hehe sorry abc banyak berjanji tapi capati pun tak bagi, adeh!

InshaAllah, kuasa 2 hero akan membolehkan ibu ini menulis dengan lebih baik. Amin amin amin!...

Kalau tak ada karya, abc akan bercerita okeh. About me myself and families. 😘 asal blog abc ni ceria kembali seperti dahulu kala. Amin.

Thank you.
Sincerely; nurwateeqa@abc

Muchlovereaders!

Sunday, August 6, 2017

1st in 2017

my 1st entry for 2017!
how busy i am. hahahaha (gelak kurang ikhlas)

sebenarnya amat rindu blog ni. banyak suka duka. tak sempat ke? erm... masa berlalu terlalu pantas, i'm gonna be a mom of two soon! hidup yang tak pernah abc sangka. Alhamdulillah.

abc ada update di FB. rajin follow okay. i miss u guys (readers) so much! i am really sorry, tak dedikasi dalam update blog. erm....

hari dah lewat. Ali dah lama tido sesorang, kesian baby ibu!

good nights u'ols.

much love readers!
abc_nurwateeqa

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders