Showing posts with label Melodi CINTA. Show all posts
Showing posts with label Melodi CINTA. Show all posts

Friday, February 1, 2013

Melodi Cinta : Dosa




Pelita menyala
Bukan tiba-tiba
Ada yang mencucuhnya
Terang menerangi malam gelita

Salam Jumaat 20 Rabiulawal 1434. Sentiasa, sentiasa dalam doa solat fardhu saya meminta semoga hari depan lebih baik daripada hari yang saya tinggalkan semalamnya. Untuk apa? Untuk kehidupan yang lebih baik dari hari ke hari. Untuk hari ini yang muncul seperti biasa, laju dalam masa yang berlari jauh dari saya, saya tetap meminta yang sama. Meminta semoga saya lebih baik daripada sebelum-sebelumnya. Saya mahu menjadi lebih baik dalam payah yang saya lalui belakangan ini. Datanglah segala apa yang menguji, dengan adanya Allah dalam hati, di sisi. Saya mampu menempuh apa sahaja. Alhamdulillah. Yakinlah kepada Allah, segalanya pasti mudah. Yang payah menjadi terlalu mudah, yang sukar pasti takkan melelahkan. Percaya dan yakin. Usahalah sebaik-baiknya. Allahuma Ameen, Allah sebaik-baik penolong.



Semalam saya masih dalam belengu dosa yang payah untuk saya atasi. Allah, lemahnya hambaMu ini. Saya pernah beberapa kali berjanji tidak akan melakukannya, namun terus terusan melakukannya. Hati saya cuba menghalang, namun lincah sahaja nafsu mengatasi. Allah Allah Allah. Tidak guna air mata saya menangisi, kerna ada masanya dosa itu tetap saya lakukan. Tidak guna saya meraung, salah diri sendiri. Saya tertanya sendiri, sampai bila dosa itu akan terus saya lakukan? Keampunan Allah itu seluas langit walaupun dosa selautan. Namun sampai bila? Sampai bila saya akan terus mengulangi yang sama? Kerana Allah Maha Pengasih, jadi saya tidak getar? Allah! Ampunkan hamba...

“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi” (Surah an-Nisaa: Ayat 106)

Ada satu masa, saya malu untuk sujud kepada Allah. Malu, Allah memberikan apa sahaja yang saya mahu. Lambat atau cepat, pasti saya akan miliknya. Saya mahu DSLR, hati saya hari-hari mahukannya. Tahun lepas saya memilikinya. Saya mahu telefon yang lebih baik, sebaik habis konvokesyen saya perolehinya. Saya mahu kelas pertama dalam pengajian, Allah berikannya kepada saya. Saya diberikan apa sahaja yang saya mahukan, walaupun saya pernah memarahi Allah kerana menguji saya. Namun saya tetap diberikan apa yang saya pinta dariNya. Allahuakbar!

Wajar bukan saya berdoa saya mahu menjadi lebih baik daripada sebelumnya? Saya pernah mendengar, ada yang mengatakan, Orang yang mudah memperolehi apa yang dimahukannya adalah orang yang kurang dipandang Allah. Oleh sebab itu Allah terus sahaja memberikan apa sahaja yang diingininya. Saya takut, saya mahu Allah memandang saya, melihat saya, mencintai saya. Rindu akan rintih tangis saya. Allah Allah Allah.



Tidak ada manusia tanpa dosa. Bedanya besar kecil, sedikit atau banyak. Hasilnya terlihat di akhirat sana. Allah hamba takut, hamba tidak mahu ke neraka MU. Azabnya tidak tergambar oleh hamba, pedih perit sakit. Hamba tidak mahu. Jika di dunia ini hamba berjaya, mampukah hamba berjaya di akhirat sana? Mana yang akan hamba diami? Syurga atau neraka? 

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus) kepada kamu.” (Surah Hud: Ayat 3)

Saya masih mencuba, menerangi diri dengan kebaikan bukan lagi keburukan. Saya masih mencuba kembali mendekatkan diri dengan amalan-amalan wajib dan sunnah. Saya masih cuba berubah. Saya masih dalam usaha. Sesuatu yang terjadi dalam diri, bukan secara tiba-tiba atau tidak sengaja. Pasti ada yang memulakannya. Samada diri atau memang Allah sedang menguji. Saya masih lemah dalam menguatkan diri mencari Ilahi. Saya masih lemah dalam mencari keimanan agar lebih tebal, lebih cekal menghadapi hari mendatang. Hayat saya entah sampai bila, kerana itu saya harus berubah, berubah kepada yang lebih baik. Allah itu ada, sentiasa melindungi hamba-hamba. Allah tidak pernah lupa, tidak pernah tidur. Sentiasa ingat akan Allah, selama itu DIA akan memberikan kebahagiaan dan ketenangan kepada kita.

Saya mencari sumber kekuatan, dalam meneruskan kehidupan. Kekuatan itu datangnya dari Allah, yang saya tagih cintaNya. Hari ini saya menetapkan satu titik, mencuba untuk berubah. Untuk tidak mahu lagi mengulangi dosa itu. Saya mahu lebih tekad dan nekad. Allah itu ada, Dia melihat. Saya pasti mampu melaluinya. InshaAllah.

“Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Surah Ali Imran: 135-136).

Saya tinggalkan warkah Melodi Cinta kali ini dengan satu potongan ayat 41 surah Ibrahim;

“Wahai Tuhan kami berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”



Friday, January 18, 2013

Melodi Cinta : lupa atau melupakan?









Manusia masih lupa
Bahagia itu sementara
Rezeki itu dariNya
Manusia tetap lupa

Percaya atau tidak, dalam hidup saya selama 24 tahun ini, segala apa yang saya mahukan Allah pasti memberi. Tidak pernah tidak, antara cepat dan lambat. Tetapi percaya atau tidak, saya selalu memaksa Allah memberikan sesuatu yang mustahil. Kadang kala kedengarannya seperti saya memarahi pada Maha Pencipta Maha Pemberi rezeki apabila saya lambat menerima apa yang saya pinta dariNya. Saya kadang kala hilang rasa syukur, tiada sifat sabar. Setelah menerima, saya mengambil masa yang panjang untuk terus sujud bersyukur atas pemberiannya. Sombong bukan? Sayalah manusia yang masih lupa masih alpa dengan dunia. 

“Wahai Tuhanku, kayakan daku dengan ilmu pengetahuan dan hiaskan daku dengan sifat sabar; dan muliakan daku dengan sifat taqwa dan perelokkan daku dengan kesejahteraan.” (Doa memohon ilmu, kesabaran, ketaqwaan dan kesejahteraan)

Saya percaya bahagia saya yang sementara itu anugerah paling besar Allah kurniakan. Mungkin bahagia itu bukan milik saya, jadi saya lepaskan. Namun saya ini manusia yang senang lupa, kadang kala saya kembali merungut selepas redha yang saya lafazkan. Saya lupa, permata hati saya lebih merana lebih terasa akan pinjaman bahagia yang sementara itu, tetapi mereka lebih tabah daripada saya. Saya memang seorang pelupa bukan? Kadang kita berfikir diri kita paling hebat di uji, namun pernahkah kita sedar ada yang lebih hebat ujiannya? Allah tidakkan pernah membebani hamba-hambaNya! Lalu kenapa saya masih merungut itu dan ini? Jelas saya manusia yang masih lupa.

Masa terluang seminit dua di parkir kereta tempoh hari, saya luahkan rasa hati yang tersimpan lalu saya rakamkan. Saya malu untuk mendengar semula, kerana luah itu ikhlas dari lubuk hati. Saya tidak mempunyai teman, hanya ada saya, Allah dan iman yang berganda nipisnya dari kulit bawang yang tersiat. Kenapa saya malu? Kerana saya luahkan dosa saya yang akan pasti dibangkitkan di akhirat kelak. Di mana tangan saya akan bersuara, mata saya akan bersuara malah semua anggota saya akan bersuara menyatakan dosa-dosa saya. Mengenangkan itu, saya jadi takut dan malu. Allah ampunkan hamba! Percaya atau tidak, esok lusa saya akan lupa, lalu saya akan ulangi semula. Saya manusia yang terlalu mudah untuk lupa. 

Saya lupa masa tidak akan kembali berganjak ke belakang, malah terus memecut laju ke hadapan. Saya lupa peluang hanya datang sekali, kali kedua itu anugerah dan mungkin kali ketiga adalah hidayah. Namun tak mudah untuk ia datang berganda. Saya ini manusia lupa, kerap juga saya ulangi, jika jika jika, kalau kalau kalau. Tidak! Tidak akan berlaku seperti yang saya minta, sungguh saya sering lupa! Bayangan dosa terus akan melayar dalam ingatan, kadang kala bagai melayar di mata. Bagaimana untuk saya melupakan ia, kerana saya sendiri seorang manusia yang mudah lupa dan masih dan tetap lupa.

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaf : ayat 16)

Friday, January 11, 2013

Melodi Cinta : Seorang Pelupa




Resah mendamba cinta
Kasih dari Yang Esa
Malu sembah hamba tak laksana
Suruhan mudah terus dipersia

Mahu menjadi yang terbaik, siapa akan menolak? Mahu menjadi terbaik, siapa mengelak? Tiap titisan doa hamba, mahu menjadi pencinta setia, mendamba kasih dari Yang Maha Esa. Saya khilaf. Banyak contengan dosa dan noda. Tetapi saya tak putus asa. Kisah lama menguatkan diri saya yang serba lemah, serba tak berdaya. Allah itu ada, Allah sentiada ada bersama saya. Saat susah saya menangis menggila, saat saya gembira bersorak bahagia. Allah sentiasa ada. Mahu rasa memelukNya, lalu tersujud dahi ke atas hamparan lukisan Kaabah. Mensyukuri kurniaanNya. Kadang saya terlupa, lusa baru tersedar salah alpa saya. Ampun Ya Allah, hamba sungguh seorang pelupa.


Hari ini saya menconteng satu dosa lagi. Tidur bermimpi tanpa ingat mati! Kerana itu terjaganya saya menyesali, namun tak terus memohon taubat Ilahi, saya terus mendorong diri ke arah duniawi. Allah, betapa lemahnya hamba ini. Betapa dunia saya lebihkan dari akhirat yang kekal abadi.

“Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang apabila mereka melakukan amalan yang baik, mereka bergembira dan apabila mereka melakukan perbuatan yang buruk mereka memohon ampun kepadaMu.” (Doa Memohon Rasa Sukacita dengan Kebaikkan)

Saya mahu menjadi wanita yang lebih baik dari kisah semalamnya. Setiap masa, saya memperelokkan cara kehidupan saya. Pernah saya persoalkan, kenapa dulunya aku tidak sedar? Sungguhkan saya pelupa orangnya. Takkan mudah saya mencapai sesuatu sebelum saya menghadapi sesuatu. Saya mahu menjadi seseorang yang tebal imannya. Iman saya? Mungkin senipis dari nipisnya kulit bawang itu. Jika tidak, mungkin mudah saya menepis godaan syaitan yang sering sahaja membisikkan kelalaian ditelinga dan hati saya. Mujur sahaja kotak hati ini milik Allah, jika tidak hanyut sudah dengan kata mati dari iblis laknatullah! 

Tidak mahu terus lancang membicarakan, saya undur diri untuk hari ini. Jumaat hari yang mulia, mulakan dengan Kahfi dan habisi juga dengan Kahfi. insyaAllah, semuanya milik Ilahi teruskan meminta kepadaNya yang memberi tanpa meminta balasan. Allahuma Ameen, Allah sebaik-baik penolong.

“Tiga perkara yang barang siapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperoleh kemanisan iman, (iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api.” (Bukhari dan Muslim)

Sunday, September 16, 2012

Anak Cucu baru ^^


pagi hari, selepas tidur lepas solat subuh (tak tidur satu malam hari tu)
dalam ngantuk-ngantuk
mak telah kejutkan kami sekeluarga, dengan membawa pulang seekor anak kucing!

sebelum ni, kami nak ambik kucing mak tak bagi.
sebenarnya boleh, tapi bersyarat, syarat yang sangat berat =='

kalau kucing buang 'najis' dia merata-rata
orang yang ambik kena bersihkan.

hahahaha
berat sungguh!

tapi mak memang selalu bersihkan kucing2 ni yang tak berapa
kenal 'toilet'!
so, mak memang boleh bela banyak mana pun.
 
kami namakan dia : KATIE (hari tu, Kate dan William datang Malaysia)
 
nama awal2, ket sebab mak ambik dekat Market. hehehe
tapi nak bagi best, jadik Katie! ^^
 
Mama Chilo tak suka, same goes to Derlo
but okay, for Bello and Olelo.
kamu assume, Mama Chilo dan Derlo betina
so jeles dengan kecomelan Katie. :p
 
+++
 
syarat nak masuk rumah (untuk kucing)
kena mandi setiap minggu dan mem'buang' dalam toilet!
 
kalau tidak.... jejak kasihlah diorang ^^
 
okeis. cukup mengarut takat ini.
much love Readers <3 br="br">
 



Tuesday, September 11, 2012

Melodi CINTA : Cahya untuk dia



Mimpi bukannya realiti
Realiti terkadangnya menjadi ilusi
Pingin diri menakluki hati
Mencintai dan terus merindui

Dalam diam langkah saya menuju jalan Ilahi. Makin kuat saya diuji. Kadang rasa lemah dan menyerah, tapi hati tetap cekal dan tabah. Mengingatkan keluarga yang saya sayangi, saya terus gagah melangkah. Sisip ais mata yang mahu mengalir, saya simpan di balik tubir mata. Biarlah dia bergenang, bagai ada nakalnya habuk yang merencananya. 



Dalam diam saya menahan hati daripada mencari lelaki. Kerna saya sendiri tidak pasti, mana antara mereka yang benar untuk saya? Saya berjaya, dalam senyap memandang antara mereka, saya menjadi lemas dalam desakan yang dibina. Tetapi dia muncul secara tiba-tiba. Dia yang saya pasti tidak akan pernah menjadi realiti. Terjarak kami antara dua negara, jauhnya sejauh Malaysia dan Korea. Masakan saya mampu menukar mimpi saya kepada satu kenyataan hidup saya, mampukah? 

Tidak menolak, jodoh itu ditangan Allah. DIA yang Maha Kuasa, tiada mustahil bagiNya. Akan tetapi, kisah mimpi yang saya alami membuatkan saya meminta kepadaNya sesuatu diluar jangkaan hati dan diri saya. Bagaikan akal keluar daripada lingkaran warasnya. Dia saya doakan seperti saya. Hadir dalam hidup mencari cahya. 

Dua tiga kali kadang lebih daripadanya saya katakan pada hati yang mencari penegak dulunya, yang saya mampu menegakkan. Saya mampu menarik cahya itu kepadanya. Benarkah? Pipi ini kerap kali saya peritkan dengan jemari yang menampar. Cuma mahu menyedarkan. Namun sukar untuk terus saya keluar, kerana saya seolah-olah membenarkan. 

Rasulullah bersabda:
“Cintailah kekasihmu dengan biasa-biasa saja, kerana boleh jadi suatu hari nanti dia akan menjadi sesuatu yang kamu benci,dan bencilah sesuatu yang tidak kamu sukai dengan biasa-biasa saja, karena boleh jadi suatu hari nanti dia akan menjadi sesuatu yang kamu sukai.”

Akur saya, biarlah mimpi ini mengiringi jalan saya sehari-hari. Mana tahu ia bisa mengeringkan air mata yang sentiasa bergenang. Mana tahu ia bisa menguatkan hati saya untuk terus menuju jalan mencari cinta abadi. Kerana akhirnya, cinta itu milik Allah semuanya.

Firman Allah :
“Wahai hambaKu, AKU adalah kekasihmu yang pertama, kau cintai AKU di hari perjanjian,dan tatkala semua pecinta telah pergi meninggalkanmu, sedang AKU menghubungkanmu, maka kembalilah kepadaKU, nanti akan AKU muliakan engkau dengan kemulian pecinta.”

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders