Sunday, April 18, 2021

Mini Novel 2020 : Muzikal Cinta 20

 


BAB 20

Tepat jam 7.00 pagi, Rashid sudah terpacak di depan Kafe’ Nur Ayla. Rashid keluar dari kereta dan bersandar di tepi keretanya. Nur Ayla telah dimaklumkan yang dia telah pun sampai. Rashid tersenyum sendiri apabila mengingat kembali hal malam tadi. Nur Ayla merajuk apabila dia acuh tak acuh dengan perkara yang ingin dikatakan. Sengaja dia membiarkan Nur Ayla merajuk sendiri.

Ya, dia mengejar Nur Ayla tetapi untuk terus menangkap hati gadis itu, dia tidak boleh terus memberi muka. Kadang kala, perlu ada kerasnya. Biar gadis itu rasa, apa yang dia rasa. Rashid tahu dan sangat yakin, cintanya sentiasa berbalas. Namun dek kerana Malik dan apa yang telah berlaku membuatkan Nur Ayla membina tembok antara mereka.

“Sorry, lambat.” Ujar Nur Ayla sebaik muncul dari tepi kafe’. Tumbler berwarna silver dihulurkan kepada Rashid.

“Kopi Kedah.”

“Thank you. Kenapa macam panda?” Soal Rashid, tangannya mengambil beg baju dari tangan Nur Ayla. Melihat bawah mata Ayla yang gelap dari biasa dan raut wajah yang kelihatan begitu penat.

“Subuh tadi baru boleh lelap mata.” Balas Nur Ayla, kemudian dia menutup mulutnya yang menguap besar. Matanya seakan digam, terasa payah nak buka.

“Boleh tak saya nak tidur dalam kereta kejap lagi? Saya rasa mengantuk sangat.”

“Okay. Masuk dulu, saya letak beg dekat belakang.” Rashid membuka pintu kereta untuk Nur Ayla sebelum meletakkan beg Nur Ayla di boot kereta.

Nur Ayla yang lena dibuai mimpi dipandang sekilas. Rashid tersenyum sendiri. Dalam tempoh setahun ini, berada berdua dengan Nur Ayla seperti sekarang adalah diluar jangkaan. Mungkin seperti Nur Ayla, dia berharap ditemukan tetapi jauh disudut hati, dia redha jika mereka mungkin benar-benar tiada jodoh.

“Dah sampai mana?” Suara Nur Ayla yang serak-serak mematikan lamunan Rashid.

“Belum sampai Penang lagi pun. Kalau mengantuk tidurlah dulu.” Ujar Rashid. Nur Ayla membetulkan duduk dan tudung di kepala.

“Rasa lama sangat saya terlena, masuk kereta terus hilang dari radar. Sorry tau.” Nur Ayla bersandar namun kepalanya terarah kepada Rashid yang sedang memandu.

“It’s okay. Mengantuk sangat awak, fikir apa sampai tak boleh tidur?”

“Fikir pasal awak dan tunggu awak call saya.” Balas Nur Ayla, Rashid seakan terkejut dengan jawapan itu.

“Why? Bukan merajuk ke semalam.”

“Tak adalah. Saya tak boleh tidur lepas saya pergi check kafe’ semalam, saya rasa macam ada tak kena, terus rasa seram and terus tak boleh tidur.” Nur Ayla cuba menjelaskan.

“Kenapa? Semalam awak nak cakap pasal gambar tu, apa yang tak kena dengan gambar tu?” Soal Rashid. Nur Ayla membetulkan duduk, mencari selesa untuk dia terangkan apa yang dia rasa tidak kena.

“Gambar tu kan, saya jadi peliklah, siapa yang ambil? Macam mana dia boleh ambil gambar kita tu. Waktu petang semalam tu, memang sure tak ada orang dah dekat kafe’. Jadi saya belek gambar tu dan tengok dari arah mana orang tu ambil gambar kita.”

“Aah saya ada jugak fikir, siapa yang ambil gambar tu dan bagi pada Malik. Dari arah mana?” Soal Rashid dengan kerutan kening.

“Tingkap belakang kafe’. Sebab tu semalam saya turun and pergi tengok. Tingkap tu terbukak besar kut, sedangkan saya memang tak pernah buka tingkap belakang kafe’. Sekali sekala ya tapi selalunya memang tutup.”

“Jadi, orang tu, Malik lah kan. Dia ambil dari tingkap tu?” Nur Ayla mengangguk.

“Saya tak pasti orang tu Malik or kawan or kenalan Malik ke siapa, tapi memang dari tingkap tu. Yang buat saya seram, ingat tak saya warded dulu tu. Yang saya pengsan and ada hero selamatkan saya tu.” Nur Ayla sempat menyelit usikan dalam ceritanya. Rashid senyum melebar mendengarnya.

“Eeii suka eh…” Nur Ayla mengusik Rashid yang tersenyum lebar.

“Mestilah suka, orang yang saya memang menanti cinta dia panggil saya hero. What a day!” Rashid membalas. Nur Ayla mencebik.

“Okay sambung, sebenarnya saya setiap malam tak tidur lena. Macam ada orang yang cuba nak masuk kafe’. Nak buat report tapi lupa, tapi after keluar wad dah macam tak ada.” Jelas Nur Ayla.

“Kenapa tak bagitahu saya? Bahaya tu Ayla, what if apa yang awak rasa or fikir tu betul?” Rashid sudah berubah riak.

“Saya lupa nak report polis pun awak, apa tah lagi nak bagitau awak. Lagi pun dengan awak ni asyik nak cakap pasal cinta, sayang, get back… macam mana nak bagitau. Semalam nak cerita pun acuh tak acuh.” Suara Nur Ayla, jujur. Rashid tergelak sendiri.

“Oh my, awak merajuk tak habis lagi rupanya.” Nur Ayla mencebik sendiri.

“Betullah. Bukan merajuk, terasa sikit aje.” Luah Nur Ayla.

“Tu lah saya rasa bila selalu awak tak jawab soalan saya, mengelak soalan saya. Tak bestkan.” Rashid membalas.

“Oh, kira balas dendam eh. Tak ikhlaslah apa yang cakap dekat saya selama ni?”

“Eh, apa kaitan?”

“Tak ikhlas la bila awak mengharap yang sama dengan saya. Betul tak?”

“I love you Ayla. Just once I pretend to ignore you, is it count as tak ikhlas?” Ujar Rashid kemudiannya. Nur Ayla diam sahaja.

“Tau la, yelah salah saya. Tak boleh merajuk sikit pun.”

“Haa tengok tu, awak bukan merajuk sikit tau sayang. Awak ni tengah merajuk dengan saya dah setahun. Sedar tak?” Nur Ayla mengerut keningnya.

“Mana ada?”

“Dah tu awak buat apa selama setahun ni?”

“Saya buat apa? Kita yang masing-masing bawak haluan masing-masingkan.”

“Nope, awak lari dari saya.”

“Itu ya sebab awak ada Diana.”

“Haa jangan nak mula up nama dia eh, dia dah tak ada dalam episode cerita ni.”

“Haa tak boleh pulak, jadi semua salah saya?”

“Bukanlah. Can we stop this?”

“Awak yang mula.”

“Awak yang merajuk.”

“Kata saya merajuk dah setahun, awak lah yang mula.”

“Nur Ayla…”

“Apa?”

“Do you love me?” Nur Ayla terus diam.

“Diam pun. Kalau sayang kata sayang, kalau cinta cakap cinta, semua ni akan stop sendiri. Okay, back to our real discussion…”

“Okay, pasal gangguan di kafe’… mungkin ada kaitan dengan gambar yang Malik ada tu. Mungkin ke Malik orangnya?”

“Mungkin, sebab last year bila saya ke rumah mak awak, Malik memang dah tak ada di kampung. Mungkin, dia follow awak.”

“Ishhhh seram pulak.” Nur Ayla menggosok lengannya yang meremang mendengar jangkaan itu.

“Tak apa, kita balik, jumpa mak ayah awak dan kita jelaskan kedudukan kita. Whatever happens next, saya nak awak terima segala keputusan masa tu.”

“Keputusan? Contohnya?”

“Saya akan kahwin dengan awak.”

“Mesti ke situ… haa kalau mak kata malam ni juga kena kahwin macam mana?” Nur Ayla sengaja menguji.

“Ohhh… bagai mengantuk disorongkan bantal! Yes!” Rashid bersorak. Nur Ayla ternganga dengan reaksi Rashid.

“Bahaya ni, semua memihak kepada awak.” Nur Ayla tidak berpuas hati.

“Why, tak nak ke?”

“Kenapa mesti mak akan suruh kahwin?”

“Maruah awak, saya dan family kita. Gambar tu dah tersebarkan?”

“Kita tak buat apa-apa, kalau kita setuju, macam kita mengiyakan.”

“Kalau biar macam tu aje, kan lagi tak manis. Awak tu, orang akan mengiyakan semua apa yang Malik cakap sebelum ni. Tak ingat?” Nur Ayla mengeluh perlahan.

“Fitnah. Biarkan aje lah.”

“Macam nilah Ayla, kita dengar apa mak awak nak cakap dan seperti saya cakap tadi, apa sahaja keputusan saya bagitahu mak awak nanti, saya nak awak diam dan terima. insyaAllah, saya akan buat keputusan yang terbaik untuk awak bukan untuk saya. Boleh?” Rashid ingin menamatkan perbincangan mereka yang meleret dan tiada kesudahan. Nur Ayla masih berkeras. Mahu tapi malu dan egois!

“Okay, saya pegang kata-kata awak tu.” Balas Nur Ayla tanpa memandang Rashid. Mereka kemudian diam membatu. Masing-masing berfikir macam-macam dalam kepala sendiri. Nur Ayla melepas pandang keluar kereta, Rashid pula fokus kepada pemanduannya.

Jam 10 pagi mereka berdua tiba di rumah keluarga Nur Ayla. Kelibat Angah dan Achik kelihatan di tangga rumah. Usu pula bermain buaian di tepi rumah. Nur Ayla mula rasa berdebar.

Nur Ayla laju keluar dari kereta meninggalkan Rashid, terus memberi salam dan adik-adik terus menghampiri dan menyalaminya.

“Mak dengan ayah ada dekat ataih, dengan imam dan tok ketua.” Ujar Angah. Achik mengangguk sahaja.

“La kenapa imam dengan tok ketua ada sekali?” Soal Nur Ayla dengan kerutan dahi.

“Angah habaq kak nak balik dengan laki tu, mak teruih suruh ayah panggey imam dengan tok ketua. Mak Uda pun nak mai satgi, bawak Malik.” Nur Ayla menggeleng kepalanya. Apa agenda mak? Hatinya berbisik.

“Mak habaq nak kak pilih Malik ka laki hat dalam gambaq tu, lepaih tu mak nak suruh kak nikah teruih.” Achik menyampuk.

“Ya Allah, mengarut betui. Kak naik dulu. Angah pi tolong abang Rashid bawak beg akak.” Nur Ayla menunjuk ke arah Rashid yang baru menapak keluar kereta. Nur Ayla terus melangkah naik ke atas rumah.

Rashid menghulur tangan menyalami adik-adik Nur Ayla. Ini kali kedua dia bertemu empat mata dengan adik-adik Nur Ayla tetapi masih belum tahu atau kenal nama mereka.

“Usu ja yang dok sekolah lagi, darjah 5. Saya dengan Achik la dok belajaq dekat Polimas.” Angah menyantuni Rashid. Memperkenal dirinya dan adik-adik Nur Ayla yang lain.

“Abang nak naik atas, nak bincang apa patut dengan mak ayah.” Ujar Rashid meminta diri apabila mendengar suara emak Nur Ayla yang sudah semakin kuat. Suara Nur Ayla selang seli dengan suara Ayahnya.

“Ya Allah mak, Ayla dengan Rashid tak buat apa-apa. Ni semua fitnah. Siapa yang bagi mak gambaq tu?”

“Malik yang mai tunjuk dekat mak, dia nak buktikan dekat mak yang hang memang sama macam dia dok habaq. Aku tak paham dengan hang Ayla, lain aku ajaq lain hang buat.”

“Mak dari dulu dok percaya cakap Malik, semua dia buat mak dok percaya. Ayla dok sana reja, cari duit untuk mak ayah adik-adik. Ayla ni cukup dah mak ayah ajaq agama, Ayla tak buat semua tu.”

“Aku tak mau aih duit hang. Aku tak mau nak dengaq apa dah. La ni hang pilih, hang nak nikah dengan Malik atau laki tu?” Nur Ayla menekup wajahnya, menahan marah. Kemudian Rashid muncul di muka pintu.

“Assalamualaikum.” Rashid memberi salam dan semua yang ada di situ menyambut salam itu. Nur Ayla memandang Rashid dan menggeleng kepalanya. Rashid mengangguk tanda memahami keadaan Nur Ayla yang sudah tidak boleh menentang apa yang mak mahukan.

“Maaflah saya datang sini dalam keadaan macam ni. Maaf mak cik pak cik… saya lelaki yang ada dalam gambar tu.”

“Baguihlah nak datang sini, pak cik ni dah rimas dengan mak cik hang ni. Pak cik tak mau percaya sebelah pihak ja.” Emak mahu bersuara namun cepat-cepat ayah menahan.

“Macam yang Ayla cakap, memang tak ada apa yang berlaku. Apa yang orang sangka dari gambar tu, memang tak berlaku. Saya mengaku saya melampaui batas saya tapi demi Allah, saya dan Ayla memang tak buat apa-apa. Memang tak berlaku apa-apa.” Emak kelihatan tak berpuas hati dengan penjelasan Rashid.

“Aku dah tak kisah apa hampa semua nak cakap, la ni, aku nak Ayla ni nikah. Kalau hang nak dia, hang nikah dengan dia sekarang. Imam pun dah ada, tok saya nak sekarang juga depa ni nikah.” Emak tetap dengan keputusannya. Nur Ayla sudah habis kata-kata. Ayah juga menggeleng kepala.

“Cik Nor macam nilah, apa kata kita tunggu si Malik mai sini, kita selesai dulu hal ni elok-elok. Nak nikah bila pun tak kisah, kalau Ayla suka, Rashid pun suka, habih cerita. La ni, kami dua ni mai, nak bagi dengaq cerita betui dari Ayla. Kita tak mau esok-esok orang kampung dok cerita bukan-bukan. Tak gitu Man?” Ujar Tok Ketua kepada emak dan Ayah.

Beberapa minit kemudian Mak Uda datang bersama keluarganya dan Malik. Entah kenapa, mereka datang seperti rombongan, membawa bersama tepak sirih dan cincin. Nur Ayla tergamam, laju memandang ke arah Rashid yang kelihatan tenang sedari tadi.

“Kami datang ni dengan hajat, nak sambung yang terputus dulunya. Harap kali ni sambung dengan baiklah.” Pak Uda mula bersuara sebaik sahaja duduk bersama-sama mereka yang lain. Nur Ayla sudah berubah tempat, dia duduk di hujung betul-betul belakang Rashid dan Ayahnya.

“Maaflah, bukan kami ni nak masuk campuq ka apa tapi la ni kami rasa pihak Uda ni salah faham. Kami mintak Malik mai pagi ni sebab nak selesaikan isu gambaq Ayla hat dia boh dalam mesej kampung malam tadi ni.” Tok Ketua bersuara, dia sendiri naik pening dengan hal ini.

“Kami tau, kami mai ni nak bagi peluang dekat keluarga Cik Nor dan Cik Man. Malik kata dia ikhlas terima Ayla katanya. Kesian Ayla orang dok kata. Saya ni pun mula berat tapi dah dia kata memang dia sayang dekat Ayla dari dulu sampai la, jadi saya pun ikut sajalah.” Pak Uda menambah lagi.

“Maaflah Uda, aku pun bukan nak menolak tapi hari ni Ayla balik sini dengan bakal suami dia ni, Rashid.  Tak manis pulak tiba-tiba ada rombongan mai macam ni.” Ayah bersuara kemudiannya, sambil menepuk bahu Rashid di sebelahnya.

Malik yang berada di tangga mendengar dan terus panas hati. Tidak tunggu lama, Malik terus masuk ke ruang rumah.

“Takkan nak bagi Ayla kahwin dengan lelaki hat buat tak senonoh dengan dia. Bukti saya dah bagi. Dia bukan laki baik nak bagi dekat Ayla. Tera sebelum kahwin dah buat bukan-bukan, lepas kahwin tak tau macam mana.” Malik menyergah semua yang ada. Nur Ayla mengepal tangannya menahan marah.

“Cik Nor dah janji dengan saya, kalau saya boleh buktikan apa yang saya cakap betui pasai Ayla, cik Nor nak kahwinkan saya dengan Ayla. Sekarang apa cerita?” Malik makin berang dan mula menyerang Emak yang sudah tidak senang duduk.

“Mak rancang semua ni?” Nur Ayla bingkas bangun dan bersuara. Emak diam sahaja namun wajahnya masih tiada riak bersalah. Masih tegang, garang seperti hendak menyerang.

“Mak dah tahu semua yang jadi, Ayla dah cerita semua dekat mak. Tapi mak pilih nak percayakan Malik dari Ayla anak mak?” Ayla mula bersuara, meluah segala rasa. Dia tahu mak memang kurang menyebelahi dirinya dalam apa sahaja hal tetapi dalam perkara ini Nur Ayla benar-benar kecewa.

“Malik nak bertanggungjawab dengan semua yang dia dah buat, bagusla tu. Mana mak nak tau hang nak cari laki lain. Dia tu sanggup ka nak terima hang lepas apa jadi antara hang dengan Malik?” Mak masih berpihak kepada Malik. Nur Ayla bertambah kecewa. Deraian air mata mula membasahi pipinya.

“Mak sanggup nak terima Malik yang cuba rosakkan anak mak sendiri? Mak nak Ayla kahwin dengan lelaki yang cuba rogol Ayla? Lelaki yang pijak maruah Ayla? Lelaki macam ni mak nak Ayla kahwin?” Kenyataan yang dikeluarkan Nur Ayla mengejutkan semua yang ada. Rashid terpempan, dia tidak menyangka sejauh itu jahatnya Malik. Rashid baru faham kenapa Ayla tidak mahu menceritakan hal yang telah berlaku antara dia dan Malik. Tangan dikepal kuat.

“Hang nak fitnah anak aku pulak ka Ayla? Kami mai nak tolong hampa sekeluarga boleh pulak hang nak burukkan anak aku!” Mak Uda berang. Nur Ayla tersenyum sinis.

“Mak Uda tanya sendiri dengan Malik. Laporan polis tentang kejadian tu masih saya simpan. Sebab kenangkan dia anak Mak Uda dan Pak Uda, saya diamkan. Selama ni saya fikir maruah keluarga sendiri tapi keluarga sendiri sanggup nak pijak dan salahkan saya.” Malik sendiri terdiam, dia tidak tahu langsung Ayla ada membuat laporan polis.

“Betui ka Malik?! Nor?!” Ayah menyergah. Emak terdiam.

“Kalau hang rasa hang tak salah, tak apa. Aku akan buka balik laporan tu, aku nak tengok hang atau aku yang cakap betul. Semua bukti kejadian tu aku simpan lagi. Kalau berani hang teruskan perancangan hang dengan mak.” Nur Ayla memberi amaran dengan tegas. Malik menumbuk dinding rumah sebelum terus menghilangkan diri. Ahli keluarganya berbisik sesama sendiri sebelum semua turut mengundur diri tanpa meminta izin. Seakan malu sendiri.

Nur Ayla terjelepok duduk. Menarik lututnya ke dada dan menghembur semua tangisannya. Rashid yang sedari tadi hanya menjadi pendengar mengalih tubuh memandang Nur Ayla yang teresak menangis.

“What ever happen, I will always choose you.” Bisik Rashid kepada Nur Ayla. Nur Ayla masih teresak menangis, seakan meluah rasa kecewa, marah dan geram.

“Nor, abang tak sangka seburuk tu Nor. Selama ni abang biaq Nor nak marah Ayla, sebab abang pikiaq Nor mak dia, Nor nak bagi Ayla jadi baik saja. Abang betui-betui kecewa.” Ayah meluahkan rasa. Emak hanya diam tanpa riak bersalah.

“La ni lagu mana Cik Man? Kira kita dah ada jawapannyalah?” Tok Ketua bersuara setelah masing-masing membatukan diri.

“Kira selesailah tok. Saya minta jasa baik tok dengan Imam untuk jelaskan dekat orang kampung semua pasai Ayla dengan bakal suami dia ni. Pasai Malik nantilah kita bincang tengok lagu mana.” Ujar Ayah menjawab persoalan.

“Pasai depa dua ni macam mana? Walaupun depa kata tak ada apa, kalau dah sama-sama suka, baik kita nikahkan saja. Dok jauh-jauh, kita pun tak risau kalau depa dah nikah.” Imam mencelah. Mereka memandang ke arah Rashid.

“Saya datang harini pun memang dengan niat yang sama. Saya memang berhajat nak jadikan Nur Ayla isteri saya yang sah.” Rashid bersuara, menyatakan hajatnya.

“Baguih la macam tu, bincang baik-baik sesama keluarga. Orang kata lagi cepat lagi baguih.” Tambah Imam. Ayah dan Tok Ketua mengangguk sahaja.

“Kalau dah nak nikah, biaq cepat. Risau gambaq tak tentu hala pulak yang dapat esok ni.” Mak seakan menyindir. Nur Ayla yang sudah reda tangisannya, mengangkat muka. Air mata yang tersisa disapu kasar.

“Saya nak imam nikahkan saya dengan Rashid malam ni jugak, saya pun risau entah apa pulak rancangan mak dengan Malik lepas ni.” Nur Ayla terus melangkah ke biliknya selepas memberikan kata putus.

Emak menjeling tajam, geram dengan Nur Ayla yang menyindirnya. Ayah, Tok Ketua dan Imam sudah saling berpandangan. Rashid tergamam, tak sangka Nur Ayla akan membuat keputusan sendiri.

“Haa sudah, macam mana ni Rashid? Boleh ka?” Tok Ketua menyoal.

“Sebenarnya, saya memang dah ready kalau kena nikah hari ni, mak ayah saya dalam perjalanan dengan rombongan. Kira kami ni dah bincang habislah. insyaAllah, kalau diizinkan, bila-bila pun boleh dah.” Jawapan Rashid yang membuatkan semua berlapang dada.

“Bila keluarga nak mai tu?” Baru Ayah menyoal, kedengaran suara ramai orang di luar rumah. Rashid tersenyum sahaja. Perancangan mama papa malam tadi kiranya berguna, mereka telah bersedia lebih awal dari dijangka.

Majlis akad nikah akan berlangsung selepas maghrib. Nur Ayla tidak sangka dia sendiri yang membuat kata putus begitu. Melihat diri dalam cermin dengan persalinan putih yang dibawa oleh Puan Ruhil untuk dirinya, dia seakan tidak percaya. Ruhaila sendiri yang menyolek wajahnya malam itu.

“Saya minta maaf mak cik, saya macam paksa Rashid, macam tergesa-gesa. Saya…”

“InsyaAllah, semua yang jadi dengan izin Allah. Jangan risau, Rashid okay.” Puan Ruhil menarik Nur Ayla dalam pelukannya.

“Kak Ayla, abang Rashid dah lama tunggu saat ni. Dia okay, nanti akak dah sah jadi milik dia, insyaAllah abang memang setujulah dengan keputusan akak nak nikah malam ni jugak.” Ruhaila menambah.

Nur Ayla cuba menguntum senyuman. Sejak pagi tadi, Rashid terus sahaja tidak menampakkan dirinya. Selesai sahaja kedua-dua keluarga berbincang dan membuat kata sepakat. Semua ahli keluarga Rashid yang hadir bergerak ke homestay yang disediakan Tok Ketua. Sejak saat itu, Rashid langsung tidak bertemu empat mata dengan Nur Ayla. Telefon juga tiada panggilan atau mesej ditinggalkan. Hanya ada pesanan dari ayah untuk  bersedia selepas maghrib. Lewat petang, Puan Ruhil dan Ruhaila datang dan menyerahkan sepersalinan putih untuk majlis nanti. Ruhaila juga menawarkan diri untuk menyolek Nur Ayla.

“Boleh sedia dah, depa dah sampai.” Emak memasuki bilik Nur Ayla dan menyampai pesan sebelum terus keluar. Sejak pagi tadi, emak langsung tidak bercakap dengan Nur Ayla. Mujur juga emak mahu berbual, berbahasa dengan Puan Ruhil, jika tidak malu juga Nur Ayla.

Nur Ayla membuntuti langkah Puan Ruhil yang memimpinnya ke ruang depan. Ruang itu dihias sebaiknya oleh Butik Pengantin yang ditempah oleh Rashid. Memang cekap dan cepat, Nur Ayla sendiri tidak tahu menahu.

Nur Ayla memandang sekilas ke arah Rashid yang turut sama memakai persalinan putih. Rashid turut memandang ke arah Nur Ayla. Mata mereka saling bertaut, Rashid menghadiahkan sebuah senyuman buat Nur Ayla. Nur Ayla turut menguntum senyuman, hatinya lega. Lega melihat Rashid yang berada di depan Imam ketika itu. Lega lelaki itu masih bisa tersenyum selepas apa yang berlaku. Lega kerana merasakan semuanya telah hampir selesai. Lega, kini dia bakal disatukan dengan cinta hatinya.


FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders