Langkah di atur kemas namun perlahan
menuruni anak tangga Masjid. Dilabuhkan duduknya ke anak tangga. Stokin di
dalam kasut dicapai untuk dipakai, namun pandangannya entah hanyut ke mana.
Suara tangisan itu sekali lagi mengganggu fikirannya. Bukan sekali, namun hari
ini sudah masuk kali ke empat suara tangisan itu singgah ke telinganya sejak
semalam. Siapa? Manusia atau….? Ah! Ini masjid la Yusoff! Astagfirullah…
Mungkin bisikan syaitan yang menghembus di telingaku tika aku cuba khusyuk
menunaikan solat. Bisik hati kecil Yusoff, bagi menenangkan gundah di hati.
Sejak Yusoff menunaikan solat zuhur
semalam, esakan kecil itu menjengah ke cuping telinga. Perlahan sahaja, tapi
penuh hiba. Pada awalnya, Yusoff cuma membiarkan. Mungkin ada hamba Allah yang
sedang mencari ketenangan dengan menangis di depanNya, ujar hati Yusoff. Namun,
apabila Yusoff ke Masjid untuk solat asar, sekali lagi dia mendengar, dan
sehingga hari ini dia mendengar esak tangis itu. Lama, bukan seminit dua.
Hatinya tertarik-tarik untuk menjengah ke ruang solat wanita, tapi apa pula
kata orang yang melihat? Hati Yusoff benar-benar tertarik mahu tahu, siapa
pemilik tangisan itu? Kenapa berat sungguh dengarnya tangisan dia?
Yusoff menepuk perlahan seluarnya,
membuang habuk yang ada. Beg digalas ke bahu, jam di tangan dibelek. Ada lagi
15 minit sebelum pukul 2, kelas Dr Rozaimah batal pula hari ini, mahu ke mana?
Pulang ke bilik atau ke perpustakaan yang betul-betul di sebelah masjid?
Sebagai pelajar tahun akhir, Yusoff lebih banyak menghabiskan masanya di
perpustakaan bagi mencari bahan-bahan rujukan untuk menyiapkan penulisan projek
akhir. Belum sempat memulakan langkah, kelibat gadis berbaju biru itu mencuri
pandangannya. Pantas dia kalih memandang, dalam masa yang sama, si gadis turut
memandangnya melemparkan satu senyuman kecil. Senyuman sapaan, tiada maksud
lain. Mata Yusoff tetap memandang langkah si gadis yang kian hilang di balik
tiang-tiang di kaki lima. Hati Yusoff bagai menyatakan sesuatu namun masih
kabur, masih tidak pasti. Ah! Mainan hati sahaja!
+++++++++++++
“Assalamualaikum.” Pintu bilik
terkuak dari luar. Muazzam menggeleng melihat Yusoff yang sedang termenung di
meja belajarnya. Salamnya tidak dijawab, seperti ada sesuatu yang mustahak yang
sedang difikirkan oleh Yusoff. Beg yang digalas diletakkan di atas katil,
Yusoff di dekatinya. Bahu Yusoff ditepuk perlahan. Nyata, Yusoff sememangnya
tidak sedar, tersentak dek tepukan Muazzam.
“Eh abang Azam, bila balik? Tak dengar
pun bagi salam?” Muazzam hanya ketawa kecil dan menggeleng kepala dengan
tingkah Yusoff.
“Siapa insan bertuah yang berjaya
menakluk hati Ustaz Yusoff kita nih?” Muazzam berseloroh, dia melabuhkan duduk
di birai katil Yusoff. Yusoff hanya tersenyum dengan kata-kata Muazzam. Yusoff
membetulkan duduknya.
“Tiada siapa, masih dalam pencarian.
insyaAllah suatu hari nanti.” Muazzam hanya mencebik dan mengangguk, bukan dia
tidak kenal sikap Yusoff. Bukan memilih, namun berhati-hati. Isteri bagi Yusoff
adalah seorang bidadari. Biar tak cantik luaran namun indah dalamnya, pesonanya
dia kerana imannya.
“Sudah tu, kenapa yang termenung aje?
Nak tembus dinding tu rasanya, sampai abang bagi salam kau tak dengar. Kenapa
nih? Apa yang difikirkan tu?” Yusoff mengeluh perlahan. Ya, dia memang
memikirkan sesuatu. Memikirkan pemilik tangisan itu.
“Ishh Ustaz Yusoff ni, mengeluh
kenapa?” Muazzam makin pelik dengan sikap Yusoff. Jarang sekali, atau ayat yang
lebih tepat, Yusoff tidak pernah mengeluh sebelum ini.
“Erm… ada sesuatu yang buat Yusoff
pelik dan terfikir-fikir sampai sekarang.” Muazzam memperkemaskan duduknya mahu
mendengar dengan teliti cerita Yusoff.
“Dah dua hari Yusoff dengar suara
esakan orang menangis dalam Masjid. Tiap kali Yusoff solat zuhur dan asar. Masa
pertama kali dengar, Yusoff biarkan, tapi ini dah kali ke empat Yusoff dengar.
Siapa? Manusia ke apa ke….”
“La… ye ke… dalam Masjid, nak kata
iblis tu pelik la pulak... erm…” Mereka berdua terangguk-angguk, dalam fikiran
masing-masing memikirkan perkara tersebut.
“Dah tanya dengan Ustaz?”
“Belum, ingat isnin nanti, Yusoff ada
satu kelas aje isnin, lepas kelas Yusoff nak ke MSI jumpa Ustaz.” Muazzam
mengangguk lagi.
“Ha… itu yang terbaik, lagi cepat
lagi bagus. Macam misteri aje cerita Yusoff nih. Sekarang jangan termenung dah,
tunggu isnin nanti, insyaAllah dapat jawapan.” Yusoff tersenyum, mungkin,
mungkin akan terjawab segala persoalan yang ada di dalam kepala dia sekarang
ini.
“Memang tak sabar nak tunggu isnin,
dah serabut kepala Soff fikir bang.” Muazzam menggeleng.
“Yang dipikirkan sangat kenapa?”
Yusoff tersengih.
“Misteri kan… mesti la fikir. Yusoff
rasa macam ada sesuatu. Yelah setiap kali Yusoff solat mesti dengar, ada tanya
dekat orang dekat-dekat tempat Soff solat tu, diorang kata takde pun dengar.
Siap kata Soff buat diorang seram.” Yusoff ketawa kecil begitu juga Muazzam.
“Yelah, tetiba pergi tanya macam tu,
abang dengar tadi pun dah seram.”
“That’s why la Yusoff tak sabar ni.
Nak sangat tahu apa or siapa. Nak pergi esok tapi mungkin Ustaz takde. Lagipun
Yusoff nak ke Masjid lagi esok, nak siasat dulu, kalau tak dengar dah, confirm
manusia, sebab weekdays memang ramai orang solat kat Masjid kan.” Muazzam
mengangguk bersetuju dengan kata-kata Yusoff.
“Kalau macam tu, abang ikut Yusoff
esok ye, abang pun nak jadi Conan jugak.” Yusoff berkerut mendengar kata-kata
Muazzam.
“Conan bang?”
“Yelah, nak selesaikan misteri.”
Terkekek Muazzam dapat kenakan Yusoff. Yusoff hanya ketawa kecil, malu bila
diperli oleh Muazzam, abang yang 3 tahun lebih tua daripadanya. Dalam tempoh
empat tahun pengajian dia di UTM, selama itu juga Muazzam menjadi teman
biliknya. Serasi, dengan sikap Muazzam yang ceria dan sentiasa menjadi
penasihatnya. Muazzam keluaran daripada UTM KL, dengan diploma yang ada dia
menyambung pula pengajian di peringkat Ijazah. Manakala Yusoff keluaran ‘fresh’
daripada Matrikulasi. Muazzam mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal,
manakala Yusoff mengambil jurusan pendidikan. Biarpun berlainan jurusan, itu
bukan masalah buat mereka berdua untuk kekal serasi bersama.
++++++++
Pagi sabtu itu, Yusoff bangun seperti
biasa tetapi perancangannya berbeza. Jika sebelum ini, hari sabtu adalah hari
untuk dia keluar ‘outing’ bersama-sama kawan-kawan ataupun seorang diri. Sabtu
merupakan hari untuk merehatkan minda daripada semua kerja. Tapi hari ini, dia
merancang untuk ke MSI dan menunggu misteri tangisan itu. Yusoff sudah siap,
hanya menunggu Muazzam yang masih belum bersiap lagi. Entah kenapa, seusai
solat subuh awal pagi tadi, hati Yusoff getar dan berdebar lain macam.
Rentaknya terlalu asing. Moga semuanya baik-baik sahaja.
“Yusoff, kita singgah arked dulu
sebelum pergi masjid, isi perut.” Muazzam mencadangkan sebelum mereka bertolak
ke masjid dari kolej.
“Awal lagi, bolehlah…” Yusoff
menghidupkan enjin motorsikalnya. Beg galasnya diletakkan di dalam raga motor.
Hujung minggu sunyi sedikit keadaan di kolej, al maklum, semua pelajar nak
‘qadha’ tidur. Motorsikalnya dipandu berhati-hati menuju ke destinasi.
Arked meranti merupakan tempat makan
di UTM yang mempunyai beberapa buah café. Di sini lebih banyak pilihan
berbanding café yang ada di kolej. Jam baru mengenjak ke pukul 8.30 pagi. Masih
awal untuk mengambil makanan yang berat. Beberapa biji kuih menjadi pilihan,
air milo panas memang kegemaran Yusoff dan Muazzam. Sebagai pelajar, mereka berdua
sebolehnya mengelak daripada mengambil minuman bergas dan yang mengandungi
nilai kafein yang tinggi. Di sini sudah ramai pelajar, mungkin ada aktiviti
yang kolej-kolej anjurkan.
“Yusoff, cuba pandang kejap dekat
situ.” Muazzam memuncungkan bibirnya dan menghalakan pandangan ke arah café
minuman di hujung.
“Kenapa?” Soal Yusoff selepas
menghala pandangannya ke arah yang sama.
“Tu budak perempuan tu. Cuba tengok
dia.” Yusoff mengerutkan dahi. Kenapa dengan Muazzam ni, tak ingat isteri kat
rumah ke? Bisik hati Yusoff.
“Hai bang… Kak Sakinah seorang tak
cukup ke?” Pantas dahi Yusoff dijentiknya. Mengaduh Yusoff dengan kesan
jentikan Muazzam.
“Orang suruh tengok untuk dia. Bukan
macam tu ke pilihan Yusoff.” Yusoff menggeleng tetapi tetap memandang sekilas.
Seorang gadis berbaju kurung dan bertudung labuh. Cantik, tak dinafikan, cuma……
“Bukan jugak?” Muazzam menelah. Yusof
hanya mencebik dan mengangkat kedua-dua bahunya kemudian menyambung suapannya
yang terhenti sebentar tadi. Muazzam menyisip air yang masih berbaki.
“Yusoff bukan cari yang sempurna
abang Azam. Perempuan macam tu terlalu baik untuk Yusoff.”
“Jangan cakap macam tu, kita boleh
berusaha menjadi lebih baik kan? Abang tengok tiada yang kurang dalam diri
Yusoff. Sepadan aje.” Yusoff hanya tersenyum. Muazzam selalu aje mahu
menggandingkan dia dengan sesiapa yang berkenan di hatinya.
“Yelah-yelah… jom bang, dah dekat
9.15 nih… Yusoff ingat nak duduk kat Masjid awal sikit.” Muazzam mengangguk dan
meneguk airnya sehingga habis. Setelah itu, mereka bergandingan ke motor dan
terus bergerak ke Masjid Sultan Ismail yang hanya lima minit jika berjalan kaki
dari Arked Meranti.
Motor diparkir di bahagian belakang
Masjid, berdekatan perpustakaan. Redup sahaja pagi itu, jika tidak waktu-waktu
begini, matahari sudah terik memancar.
“Abang ke PSZ dulu ye Soff, nanti
abang join jadik conan okay.” Yusoff ketawa kecil.
“Orait. Yusoff nak solat dhuha sama,
abang awal sikit, boleh buat dhuha.” Yusoff sempat berpesan sebelum Muazzam
berlalu ke perpustakaan. Muazzam berlalu dengan anggukan kecil.
Lama dia berteleku disitu, memohon
petunjuk daripada Allah. Yusoff mahu misteri ini hilang daripada fikiran dia.
Entah mengapa, suara tangisan itu seolah-olah menarik dia ke sini lagi. Ada
perkara yang dia perlu tahukah tentang tangisan itu? Seringkali persoalan itu
bermain difikirannya. Tangan ditadah, wajahnya diangkat menghadap kiblat.
Hatinya kini berbicara, memohon pada DIA, perjelaskan segala-galanya. Jangan
biar misteri itu terus bermaharajalela.
Selepas seketika, dia mengaminkan
doa, dia meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan, baru hendak bangun dari
duduk, esakan kedengaran di cuping telinga. Sayup-sayup sahaja. Yusoff bingkas
bangkit daripada duduknya. Di paling badan ke belakang, ke arah tangisan itu
bersendu.
“Allah… Tunjukkanlah… Bongkarkanlah
rahsia yang menyelubungi hambaMu ini…” Doa itu terucap berulang kali dalam hati
Yusoff.
Saat itu, angin menghembus kuat
memasuki ruang solat masjid. Kuat menghembus sehingga melayangkan kopiah putih
yang elok terletak di atas kepala Yusoff. Zikrullah terus basah dibibirnya.
Tatkala Yusoff tunduk mahu mencapai kopiah putih yang terjatuh ke lantai, tirai
yang memisahkan kawasan solat lelaki dan perempuan terus sahaja mengerbang
ditiup angin, kuat sekali sehingga roda tirai tersorong dan terus membina ruang
yang meperlihatkan kepada Yusoff seorang gadis yang khusyuk berdoa dengan
linangan air mata. Bahunya terhenjut-henjut menahan tangisan yang menjadi-jadi.
Angin kuat yang seolah mahu menerbangkan deretan tirai itu seakan tidak memberi
kesan kepada si gadis itu. Yusof beristighfar sendiri. Diakah pemilik tangisan
itu, Yusoff terus menerus menyoal dirinya. Tak lama, seketika bagai dilayang
dengan satu tayangan yang membongkar persoalan-persoalan Yusoff, keadaan
kembali normal. Tiada lagi angin, dan tirai itu kembali tertutup seolah tiada
apa yang terjadi. Yusoff tersedar sendiri, dia bagai terpukau dalam angannya.
Allah… hanya itu yang terucap dibibirnya kala itu. Suara tangisan itu juga
ghaib bersama angin yang kuat menghembus.
“Yusoff, kenapa ni?” tepukan di bahu
itu menyentakkan Yusoff yang tetap berdiri berdepan dengan kawasan solat
perempuan yang elok ditutupi tirai. Yusoff memandang wajah Muazzam yang
berkerut, begitu juga dia.
“Hey, kenapa ni Soff?” Soal Muazzam
sekali.
“SubnaAllah…” Yusoff meraup wajahnya
dengan kedua telapak tangannya. Bibirnya tidak kering dengan zikrullah. Sungguh
dia terpana dengan kekuasaan Allah. Tiada doa yang mustahil jika kita
bersungguh meminta, tambahan pula dalam rumahNYA.
“Kenapa Yusoff macam terkejut aje ni.
Risau abang tengok.” Muazzam belum berpuas hati. Sejak dia masuk ke masjid
tadi, Yusoff sudah tegak berdiri di situ. Bila di soal hanya pandangan yang
penuh tanda soal yang dilemparkan Yusoff.
“Allah Maha Besar. Yusoff dah dapat
jawapannya bang.” Muazzam masih berkerut seribu.
“Dah dapat jawapan? Tangisan misteri
tu?” Yusoff hanya mengangguk laju. Langkah di atur kemas ke pintu Masjid di
sebelah kanan. Dilabuhkan duduk ke anak tangga. Pintu yang mengadap terus ke
kawasan lapang di sisi Masjid memang tenang dan indah pandangannya. Yusoff menarik nafas dan melepasnya panjang.
Muazzam turut mengambil tempat di sisinya.
“Gadis itu macam pernah nampak. Semua
berlaku pantas sangat, tapi Yusoff pernah lihat wajah gadis tu.” Yusoff
memulakan bicara. Hatinya masih belum puas walaupun dia sudah tahu pemilik
tangisan itu adalah manusia, bukan jin atau makhluk lain yang seangkatan
dengannya.
“Yusoff kenal?” Muazzam mencelah.
Yusoff menggeleng laju.
“Tak kenal. Tapi pernah tengok.”
Yusoff melepas keluhnya perlahan.
“Ish… kenapa mengeluh? Sepatutnya
lega, misteri selesai.” Tegur Muazzam tegas. Yusoff beristigfar, menyesali
kelemahan diri.
“Manusia, tak pernah puas dengan apa
yang dia dapat. Astagfirullah.” Yusoff menggeleng menyesali perbuatan sendiri.
“Sudahlah. Semenjak misteri ni,
Yusoff banyak sangat berfikir abang tengok. Sabar dik, perlahan-lahan dan
jangan terlalu fikirkan, nanti jadi lagho aje.” Muazzam menegur sikap Yusoff
yang agak pelik kebelakangan ini. Yusoff mengangguk menerima nasihat Muazzam.
“Alhamdulillah, Yusoff dah lega
sikit. Tapi…” Muazzam sudah berkerut wajah.
“Ada lagi?”
“Kenapa dia menangis sampai macam tu
sekali?” Muazzam hanya tersenyum kecil.
“Ini rumah Allah. Hamba-hambaNya
bebas berbuat apa sahaja Soff. Kenapa nak persoalkan kenapa dia menangis? Allah
adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu. Allah tempat memohon segala-galanya.”
Muazzam menjawab dengan penuh hikmah.
“Yusoff tahu. Tapi dalam sesaat yang
Yusoff nampak tadi, gadis tu macam menanggung satu bebanan berat. Macam satu
batu berat dihempap ke atas dia. Tangisan dia sahaja buat Yusoff terasa sama
beban yang dia pikul.” Kening Muazzam terjungkit memandang Yusoff.
“Are you feeling something in your
heart?” Muazzam cuba mempekenakan Yusoff.
“Yup. Tangisan dia buat Yusoff
kemari, buat Yusoff minta pada Allah supaya tunjukkan siapa pemilik tangisan
tu. Bila Yusoff dah nampak, buat Yusoff nak jumpa dia dan nak tahu kenapa dia
menangis sebegitu.” Jawab Yusoff panjang lebar. Muazzam sudah tersenyum
sumbing. Yusoff memandannya dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa bang?” Yusoff menyoal bila
melihat senyum Muazzam yang penuh makna.
“Mungkin jodoh Yusoff.” Yusoff ketawa
kecil dan menggeleng laju. Tak dia sangka, jauh sungguh fikiran Muazzam. Tak
pernah habis mempekenakan dia dalam soal ‘cinta’.
“Tak de lah sampai macam tu…”
kata-kata Yusof tak habis dek kelibat gadis berkurung hijau muda yang berjalan
melintasi mereka yang duduk ditepi tangga masjid. Dua-dua memandang langkah
gadis itu yang turut memandang mereka dan melemparkan senyuman sapaan. Dia?
Yusoff bersoal jawab sendiri. Yusoff bangun dari duduknya. Hatinya berdegup
laju. Pandangannya masih terarah kepada gadis itu.
Langkah di atur menuruni anak tangga.
Nak mengejar, seliparnya diletakkan di bahagian lain. Muazzam hanya memerhati
tingkah Yusoff dengan kerutan di dahi. Buang tabiat ke budak nih? Telah hati
Muazzam.
“Assalamualaikum, awak…” Yusoff
menegur gadis itu yang laju melangkah ke arah Perpustakaan. Gadis itu kalih
namun masih melangkah perlahan, mungkin tidak tahu dia yang ditegur Yusoff.
“Awak nanti kejap.” Ujar Yusoff
dengan menggamit gadis itu. Si gadis menghentikan langkahnya.
“Awak panggil saya?” Ujarnya. Yusoff
mengangguk perlahan. Muazzam hanya memerhati Yusoff yang sudah ke depan
beberapa anak tangga daripada dia.
“Saya minta maaf, mungkin tak manis
cara saya, tapi saya ada hal nak tanya awak.” Gadis itu yang sudah mendekati
Yusoff hanya mengangguk perlahan menandakan dia tak kisah.
“Ada apa ye? Ermm… Kita memang tak
kenal kan?” Soal gadis itu.
“Ye kita tak kenal, saya nak tanya
awak beberapa soalan, boleh?” gadis itu beriak cemas. Mungkin takut dengan
entah apa soalan yang bakal disoal Yusoff.
“InsyaAllah, kalau soalan tu saya
boleh jawab.” Yusoff mengangguk dan tersenyum kecil. Mungkin lega dengan
persetujuan gadis tersebut.
“Awak solat di sini tadi?” Si Gadis
mengangguk perlahan.
“Erm… ada orang lain yang solat
selain awak?”
“Er… saya solat dekat bawah tu,
bahagian perempuan tu takde siapa, kat atas tak tahu pulak ada ke tak orang
lain. Kenapa ye?” Yusoff mengangguk faham dan terus sahaja memandang si gadis
tadi. Pandangan yang tajam menikam. Gadis itu sudah tidak tentu arah dek
pandangan Yusoff. Beberapa ketika di biarkan, gadis itu mula menegur.
“Awak?” Ujar si gadis sambil
melambaikan tangannya di depan Yusoff. Yusoff yang tersedar, beristighfar dan
melarikan wajahnya ke arah lain.
“Maaf. Jadi, awaklah yang saya cari.”
Gadis itu mengerutkan dahinya.
“Saya? Kenapa?”
“Sudah hampir seminggu saya mencari
awak.”
“Tapi kenapa?” Soal gadis itu lagi,
pabila Yusoff tidak memberikan jawapan sebaliknya memberikan lebih kejutan.
“Pemilik tangisan itu…” Gadis itu
memandang Yusoff beberapa ketika.
“Tangisan… Allah…” ujar gadis itu perlahan,
seolah berbisik sendiri.
“Saya mencari awak, sejak beberapa
hari saya solat di sini, saya dengar tangisan awak… saya…”
“Saya minta maaf. saya mintak diri.”
Gadis itu mencelah kata-kata Yusoff. Lalu terus melangkah laju ke arah Fakulti
Alam Bina yang terletak di belakang Masjid dan Perpustakaan. Yusoff tidak
terkata apa-apa. Dia hanya memandang pemergian gadis itu.
“Saya belum tahu nama awak…” Ujar
Yusoff perlahan. Dia melepas lelah hatinya. Yusoff begitu bersungguh mahu
mengetahui kesedihan gadis itu.
“Terlalu pantas Yusoff.” Muazzam menepuk
perlahan bahu Yusoff. Dia yang sedari tadi memerhati, kini merapati Yusoff.
“Yusoff nak tahu, nak sangat tahu.”
“Tapi kenapa?” Muazzam makin pelik
dengan sikap Yusoff.
“Entah, tapi hati ni tarik-tarik
suruh Yusoff tahu.” Muazzam hanya menggeleng perlahan.
“Ingat Soff, ikut hati, mati.” Yusoff
kelu sendiri. Allah, ampunkan hamba yang terlalu rakus dalam mencari makna
sebuah rahsia. Yusoff menebar pandangan pada jalan yang dilalui gadis itu,
biarpun kelibat si gadis sudah tidak kelihatan. Pasti dapat jawapannya, Yusoff
begitu pasti!
+++++++++++++
“Awal
balik? Kata nak stay dekat library?” Huda menyoal Hawa yang duduk
di birai katil. Hawa memandang Huda dan hanya memberikan senyuman tipis.
“Kenapa
ni?” Huda menyoal lagi. Hawa hanya menggeleng. Tidak menjawab walau sepatah.
Huda menjungkit bahu dan meneruskan pembacaannya yang terhenti. Hawa banyak
berahsia kebelakangan ni, telah hati Huda.
Hawa membuka tudung yang menutup
kepalanya. Di sangkut kemas tudung itu dibelakang pintu. Begnya diletakkan di
katil. Dia kemudian baring merehat badannya yang letih dek peristiwa itu. Ah!
Kuat sangatkah? Hawa mengeluh perlahan. Matanya cuba dipejam rapat.
“Pemilik tangisan itu…”
Hawa
meraup wajahnya beberapa kali. Bagaimana dia boleh mendengarnya? Aku tidak menangis
kuat, apatah meraung. Hati Hawa bersoal jawab sendiri. Keluh kecil dilepaskan.
Huda yang sedang membaca mengalih tubuh, kembali memandang Hawa yang berbaring
di atas katil.
“Ada
masalah tak nak kongsi, lepas tu mengeluh sorang-sorang.” Huda bangkit dan
melabuhkan duduknya disebelah Hawa yang sedang berbaring. Hawa membuka matanya
perlahan dan memandang wajah Huda yang ada riak kerisauan. “Maaf Huda, belum
masanya” Hati Hawa berbisik sendiri. Senyuman tawar diberikan kepada Huda.
“Kenapa
ni Hawa? Sudah sebulan Huda tengok Hawa lain sangat. Kenapa? Taknak cerita
dekat Huda?” Huda memujuk Hawa. Hawa bangkit dari pembaringannya. Tangan Huda
dicapai dan digenggam erat.
“Maafkan
Hawa. Kali ini, Hawa perlu masa sebelum Hawa dapat ceritakan dekat Huda. Hawa
mintak maaf Huda.” Huda memandang anak mata Hawa. Jelas kelihatan kesedihan
dalam hatinya. Huda mengangguk perlahan.
“Huda
faham. Bila Hawa sudah rasa nak bercerita, Hawa tahukan Huda sentiasa ada untuk
Hawa, ingat tu.” Hawa menarik Huda ke dalam pelukannya.
“Terima
kasih Huda.” Huda tersenyum dan mengangguk perlahan serta membalas pelukan
Hawa. “Kalau Huda tahu, bagaimanakah
reaksinya?” Hawa berkias sendiri. Perkara itu dia sendiri berat untuk
menerima, masakan Huda dapat menerimanya dengan baik, Allah berikanku jalan
keluar!
+++++++++
Yusoff berlari ke tepi pagar
gelanggang futsal. Jauh benar bola itu bergolek, hingga keluar dari gelanggang.
Dalam tercari-cari bola itu, Yusoff terpandang bola tersebut bergolek mengena
kaki seorang gadis. Mujur tak kuat, kalau tidak bukan bergolek ke kaki tetapi
hinggap ke muka dia kut, Yusoff bermonolog hingga tersengih sendiri.
Sengihannya mati apabila gadis itu mula tunduk dan mengambil bola tersebut.
Yusoff kembali berlari-lari anak ke arah gadis tersebut.
“Maaf, bola saya.” Gadis itu
tersenyum dan menyerahkan bola itu kembali kepada Yusoff. Yusoff membalas
senyuman itu dan terus kembali berlari ke gelanggang futsal bagi menyambung
permainan yang terhenti.
“Eh, kenapa tersengih sorang-sorang
tepi jalan ni?” Hawa menyiku pinggang Huda yang tegak berdiri di seberang jalan
bertentang padang futsal. Huda mengaduh kecil namun tak lama kembali memandang
jauh ke arah padang futsal. Hawa turut memandang ke situ selepas melihat Huda
terlalu asyik memandang ke sana. Sah!
“Astagfirullah, jatuhkan pandangan ya
ukhti!” Suara Hawa, sekadar bergurau. Huda ni pantang melihat lelaki ‘macho’,
mesti cair! Huda ketawa kecil. Tahu
‘kegelojohan’nya mengusha lelaki tadi.
“He is so….so… so….”
“So what?!”
“So far so good.” Huda mengenakan
Hawa kembali. Terkekek Huda ketawa pabila Hawa mula bercekak pinggang dan
mengecilkan mata.
“Main-main! Usha budak laki sampai
nak terkeluar bijik mata.” Huda tersenyum kecil.
“Dia nampak ‘alim. Soleh. Muka dia
bersih aje.” Hawa berkerut dahi.
“Macam mana kita boleh tahu dia ‘alim
hanya tengok muka?” Huda kalih ke arah Hawa yang berada di sisinya.
“Bila hati berkata ia begitu.” Huda
cuba berkias ala-ala jiwang gitu!
“Bila hati mengundang kata ya,
manusia akan terikut kata nafsunya, kerna hati terlalu baik kadangkala menipu!”
Hawa membalas. Giliran Huda terpana. Hawa?
Hawa melangkah pergi. Kata-kata Huda
mengingatkan dirinya tentang kisah itu. Kisah mengundang luka dihatinya. Hawa
memegang dadanya yang terasa perit, luka bagai ditoreh lagi. Luka itu tak pernah
berparut, kerana ia tidak pernah sembuh walau sekali. Allah, mahu bagaimana
lagi harus hamba lakukan, hamba tidak mampu melupakan ia!
Huda berlari-lari anak mengejar Hawa
yang sudah menyeberangi jalan untuk kembali ke bilik mereka. Huda masih tidak
memahami tingkah laku Hawa kebelakangan ini yang nampak terlalu asing baginya.
Hawa dulunya gadis yang lincah, rajin tersenyum dan terlalu gemar mengusik.
Sekarang Hawa seolah-olah dalam dunianya sendiri. Kenapa?
“Hawa, kejap! Tengok tu.” Huda
menarik lengan Hawa tiba-tiba,kuat, menahan Hawa daripada terus berjalan masuk ke dalam Kolej mereka.
Huda pandang ke arah yang ditunjukkan. Huda tersenyum penuh ‘gatal’. Hawa, mati
tiada kata. Dia?
Daripada kejauhan Yusoff merasa ada
yang memandangnya. Yusoff mengangkat kepala, dua gadis dari seberang jalan,
dilihat asyik memandang ke arah dia. Eh, dia?
Hawa kembali meneruskan langkahnya,
setelah dia melihat Yusoff sudah bangkit dari duduk dan melangkah ke arah dia
dan Huda. Aku tak mahu bertemu dia! Jerit hati Hawa sendiri. Dari berjalan
pantas, Hawa kini berlari-lari anak. Jeritan Huda yang memanggilnya dibiarkan
sahaja.
+++++++
Hawa masih menatap komputer ribanya.
Membaca setiap bait ayat yang ditulisnya sendiri. Bagi Hawa, dengan menulis dia
dapat meluahkan setiap kesusahan hati yang dia rasai. Mahu bercerita pada
manusia, dia malu! Bagai mengoyak kulit muka sendiri. Malu!
“Yusoff, nama dia Yusoff.” Huda
bersuara tiba-tiba dan terus melabuh duduk di atas katil Hawa. Huda memandang
tepat pada wajah Hawa.
“Siapa Yusoff?” Soal Hawa.
Sememangnya dia tidak, langsung tidak kenal lelaki bernama Yusoff.
“Lelaki petang tadi.” Hawa mengeluh
kecil dan hanya mengangguk kecil.
“Siapa dia? Kenapa Hawa lari dari
dia?” Huda menyoal bertubi-tubi. Hawa masih diam tanpa kata. Huda kembali ingin
bersuara dan menyoal namun dipintas Hawa.
“Hawa tak kenal. Sekali aje jumpa, di
Masjid minggu lepas.” Hawa mengeluh lagi. Huda menggeleng perlahan.
“Bukan Ustazah Hawa pernah cakap ke,
mengeluh itu tak baik. Mengeluh hanya pada yang berputus asa.” Huda cuba
mengusik Hawa.
“Jangan panggil Hawa dengan panggil
Ustazah.”
“Kenapa? Hawa macam Ustazah apa.”
“Tak, Hawa bukan Ustazah. Tak layak!”
tegas Hawa. Suaranya sedikit kuat dan membuat Huda tersentak. Marahkah dia?
Soal hati Huda.
“Tak layak? Mana boleh, pakai tudung
labuh, banyak ilmu agama, bolehlah Huda panggil Ustazah, ye tak.” Huda bersuara
lagi, hanya sekadar membuat Hawa senang hati.
“Hawa kotor!” Kuat dan jelas. Hawa
terus mencapai tudung di birai katil dan keluar daripada bilik, pintu bilik
terhempas kuat. Huda tergamam sendiri.
“Apa maksud dia? Kotor? Takkan lah….”
Huda berbicara sendiri. Mindanya masih berputar memikir tiap bait kata-kata
Hawa sebentar tadi, namun tiada jawapan. Huda bingkas bangun daripada katil
Hawa untuk kembali ke meja belajarnya. Hal Hawa dia mahu biarkan sementara
waktu, biarpun dia masih tidak faham walaupun sedikit kenapa Hawa begitu. Belum
sempat dia melangkah, sesuatu dikomputer riba Hawa menariknya untuk membaca.
Huda lantas, menarik tetikus itu dan menyorot setiap tulisan yang tercatat
dilaman putih itu.
“Dalam diam, saya kadangkala
menangis. Dalam ketawa, saya kadangkala meraung. Kisah itu tidak terpadam,
malah kian melebar dan membiak bagai barah pada manusia. Saya tidak dapat
melupakan walaupun sedikit daripada kisah itu. Kisah itu bak kisah hitam dalam
diri saya. Harus bagaimana untuk saya melupakan? Dalam doa setiap kali nafas
saya hembuskan, saya mohon moga Allah membantu saya melupakan kisah itu. Saya
bagai hidup dalam bayang-bayang hitam, penuh ketakutan, penuh kebimbangan!”
Huda
termangu sendiri, apa yang menyelubungi Hawa belakangan ini. Apa yang
ditanggungnya yang membuat dia begitu tertekan. Kotor? Apa yang dimaksudkan
oleh Hawa tentang dirinya yang kotor? Huda berfikir sendiri. Hatinya resah
memikirkan tentang Hawa yang berubah sikap. Bagaimana harus aku membantu dia?
++++++++++
Yusoff
masih lagi menatap blog itu. Setiap bait tulisan itu bagai meminta Yusoff
membacanya. Sesekali Yusoff menggeleng, mengerut dahi dan mengurut lehernya.
Ada yang difahami ada juga yang tidak. Terlalu tersirat!
“Belum
habis lagi?” Muazzam menegur.
“Terlalu
dalam sangat bang. Payah saya nak faham.” Rungut Yusoff.
“Erm…
Jiwang?” Yusoff menggeleng.
“Jiwang
saya faham la jugak bang, ni macam ada yang dia sembunyikan aje.” Muazzam
mendekati Yusoff yang duduk dimeja belajar.
“Biarkan
aje tak boleh? Dalam beberapa bulan ni, Yusoff asyik sangat dengan ‘misteri’
Hawa ni. Penting ke?” Muaazam mula menegur. Iyelah, Yusoff terlalu asyik untuk
cuba menyelesaikan kisah Hawa. Selepas dapat kenal teman sebilik Hawa, si Huda,
lagilah dia asyik cuba merungkai kisah Hawa. Sampailah blog milik Hawa
digodeknya.
“Yusoff
dah cuba. Tapi asyik terfikir. Sampai terbawa dalam tidur. Yusoff pun tak tahu
kenapa.” Yusoff memaling tubuh menghadap Muazzam yang berdiri di sebelahnya.
“Terbawak
dalam tidur sebab terlalu fikir sebelum tidur. Yusoff sukakan Hawa?” Muazzam
menelah sekadar menjangkakan sesuatu setelah melihat begitu bersungguh
merungkai kisah hidup Hawa yang sengaja Hawa sembunyikan.
“Mungkin.”
Jawapan Yusoff mengejutkan Muazzam. Terbeliak mata Muazzam mendengar.
“Alhamdulillah,
patutlah beria sangat!” Muazzam seolah bergembira mendengar jawapan Yusoff
biarpun sangat terkejut pada mulanya.
“Abang
Muazzam ni, suka sangat ye bila Yusoff cakap Yusoff suka?” Muazzam menaikkan
keningnya sebelah macam gaya Ziana Zain pulak!
“Ha..
buat kening macam tu pulak..” Yusoff ketawa kecil.
“Yusoff
serius ke tak sukakan Hawa?” Yusoff memandang Muazzam dengan senyuman dan
mengangguk kecil.
“Yusoff
dah buat istikarah. Alhamdulillah, mungkin dia untuk Soff.” Muazzam meraup
mukanya mengucap syukur.
“Mau
abang risikkan?” Yusoff ketawa kecil.
“Tak
terlalu cepat atau awal?” Muazzam menggeleng dan Yusoff sekadar mengangguk
kecil. Muazzam yang sudah mendapat jawapan daripada Yusoff terus berlalu, mahu
mencari jalan untuk bagaimana mahu merisik diri Siti Hawa yang berjaya
menakluki hati Yusoff.
Yusoff
kembali menatap blog nukilan Hawa. Ada bait kata yang menarik hatinya.
“Saya terduduk diam dikerusi
komputer, sambil menyisir rambut yang masih basah. Allah seburuk itukah hamba?
Pabila soalan itu menerjah, saya sedar itulah petanda, betapa lemahnya diri
saya pada suara bisikan syaitan-syaitan yang direjam. Semudah itulah saya
tersasar daripada jalan kasihNya, terus melangkah ke jalan yang amat dimurka,
jalan penuh darah kekotoran zina!”
Apakah
misteri hidupnya Hawa itu? Bantulah hamba untuk membantu dia Ya Allah. Yusoff
berdoa di dalam hatinya. Lalu dia bingkas bangun untuk menunaikan solat sunat
dua rakaat, moga Allah memberikan dia jalan.
+++++
Hawa menilik wajah beberapa manusia
di depannya yang menunggu kata putus daripada dia.
“Kami hanya mewakili Yusoff untuk
merisik diri Siti Hawa ni, mana tau sudah ada yang punya.” Muazzam mengulang
kata-kata, setelah melihat Hawa begitu mencerut wajahnya.
“Hawa memang single kan Hawa.” Huda mencelah dalam kesepian yang Hawa bina. Hawa
sekadar mengangguk perlahan.
“Jadi, bolehlah Yusoff bawa
rombongan ke rumah keluarga Hawa?” Muazzam menyoal lagi, namun masih tidak
kedengaran suara Hawa sedari tadi. Huda mula mencuit-cuit pinggang Hawa yang
kaku tidak bersuara. Hawa hanya mampu menyepi diri.
“Hawa tidak terima? Sudah ada
pilihan?” Muazzam cuba berdiplomasi secara lembut, memandangkan Hawa hanya
membatu sedari tadi. Hawa mengangkat muka memandang wajah Muazzam sekilas dan
kemudian kembali menundukkan mukanya.
“Tiada pilihan, tapi… Maaf, Hawa
tidak dapat terima sesiapa buat masa sekarang.” Hawa menutur perlahan. Dua
orang lelaki yang bersama Muazzam mewakili Yusoff mengangguk perlahan tanda
faham begitu juga dengan Muazzam, walaupun agak kecewa dengan jawapan Hawa.
Huda tidak begitu, Huda kelihatan terlopong dengan penolakan Hawa, namun tidak
mampu berkata apa.
“Kenapa Hawa tolak?” Soal Huda
setelah wakil Yusoff beredar. Tinggal mereka berdua sahaja di meja batu itu.
Hawa hanya menggeleng. Huda tidak puas hati, dia menyoal lagi.
“Jodoh baik datang, dalam Fakulti
Pendidikan, siapa tidak kenal Yusoff? Jejaka idaman mahasiswi, kenapa Hawa
tolak?” Hawa mengangkat wajahnya memandang Huda. Huda terpaku setelah melihat
mata Hawa berkaca-kaca.
“Siapa Hawa ni untuk terima Ustaz
Yusoff?” Hawa bersuara, dengan senyuman nipis. Senyuman itu hanya sekadar senyuman,
bila air mata Hawa berlinang di pipinya.
“Hey, apa main air mata ni Hawa?”
Huda menarik Hawa ke dalam pelukannya setelah dia mengambil duduk di tepi Hawa.
“Hawa pernah terfikir hal ni, tak
sangka jadi betul-betul.” Huda mengerut dahinya.
“Hal? Hal apa?” Hawa meleraikan
pelukan dan mengalih tubuhnya memandang lepas ke depan.
“Hal peminangan seorang lelaki yang
memang menjadi idaman seorang wanita. Cukup agama dan kita yakin dia dapat
membimbing kita kepada Cinta Allah. Tapi layakkah dia untuk Hawa. Hawa…” Hawa
mati kata-kata, yang kedengaran esakan kecil.
“Boleh Hawa jelaskan, biar Huda
faham. Huda dah lama tunggu Hawa jelaskan masalah Hawa. Huda nampak perubahan
Hawa. Kenapa ni Hawa?” Huda menyoal penuh kelembutan sambil memeluk erat bahu
Hawa.
“Hawa rasa diri Hawa dah kotor.
Sangat kotor. Hawa sendiri malu nak sujud pada Allah. Dosa yang Hawa buat
terlalu berat, sangat berat. Mahukah Allah mengampuni Hawa?” Huda menggeleng
dan tersenyum.
“Ya Rahman Ya Rahim. Itu nama Allah.
Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang. Jangan lupa Allah itu Maha Pengampun!”
“Biarpun dosa kita selautan, tapi
ingat, keampunan Allah itu seluas langit! SubhaAllah!”
“Hawa tahu, tapi dosa yang Hawa buat
hanya boleh dicuci dengan api neraka!”
“La haula wala quwwata illa billah… apa yang Hawa dah buat?” Huda
mengeratkan pelukan. Hawa mengesat air mata yang setia mengalir dengan belakang
tangannya.
“Perangkap
diri sendiri dalam cinta nafsu remaja, Huda. Hawa terkandas sendiri dalam cinta
palsu Razif! Janji dia bagai angin lalu.” Huda menarik tubuh Hawa menghadapnya.
“Jangan
cakap Hawa dah…” Kata-kata Huda mati di situ, tak sanggup untuk dia meneruskan
kata.
“Astagfirullah,
mohon Allah jauhkan. Tak, Hawa tak pergi sejauh tu. Dengan cinta Allah, telah
sedarkan Hawa diseparuh jalan. Sungguh! Hawa seolah tidak sedar buat semua tu.”
Hawa menangis lagi.
“Hawa…
kenapa Huda tak kenal Razif?” Hawa mengesat air matanya lagi.
“Cinta
alam cyber. Huda kan tahu, Hawa suka main YM. Dari situ Hawa kenal Razif. Dalam
telefon dalam YM, dia baik sangat. Dia cakap dia nak berubah tapi… bila jumpa,
Hawa yang terikut cara dia.” Huda menggosok belakang Hawa bagi menenangkannya.
“Usah
di kenang, usah di ingat. Hawa dah sedarkan. Dekatkan diri dengan Allah,
insyaAllah, Allah sangat sayangkan hambaNya yang bertaubat!” Hawa mengangguk
lemah.
“Hawa
kerap terbayang kembali segala dosa yang Hawa dah buat dengan Razif. Mudahnya
Hawa biarkan dia pegang tangan Hawa yang selama hidup Hawa, Hawa jaga untuk
suami Hawa. Semua dah habis! Bagaimana Hawa mahu selayaknya bergandingan dengan
Ustaz Yusoff!”
“Hawa,
jangan cakap macam tu, Hawa layak, tiada yang membuatkan Hawa tidak layak.”
“Hawa
kotor Huda, kotor!”
“Hawa
lupa cerita yang kita tengok dekat TV9 dulu, Baju Kebaya Terakhir Bapak, anak
dia yang GRO berubah dan berjodoh dengan seorang Ustaz. See, bila kita menjadi
baik di sisi Allah, Allah hadiahkan yang terbaik buat kita, insyaAllah.” Huda
memujuk lagi.
“Huda,
itu drama! Fantasi. Hawa ini realiti!” Hawa menolak.
“Itu
kisah dunia, kisah realiti, kisah manusia, kalau tidak orang tak buat cerita
macam tu tau.” Huda membalas lagi.
“Hawa
ingat kisah Nabi Yusoff. Siapa isterinya? Bukan ke Zulaikha, yang digelar
wanita penggoda oleh penduduk masa itu. Bagaimana ya Zulaikha itu dapat
bersuamikan Nabi Yusoff, insan pilihan Allah?” Hawa memejam mata, bagai
mengisar kata-kata Huda.
“Jadi,
Ustaz Yusoff layaknya mencari Zulaikha, bukan Hawa.” Hawa bersuara dan kemudian
berdiri, angin yang berpuput lembut dibiar menampar lembut wajahnya yang basah
dek air matanya.
“Hawa
ni, jangan berdolak dalih. Jangan bermain kata.” Huda menegur, agak tegas.
“Dalam
beberapa bulan ni, Huda selalu cerita tentang Ustaz Yusoff, sampai Hawa sendiri
tertanya siapa Ustaz Yusoff yang tampak hebat di mata Huda. Jenuh Hawa mencari
dia, ternyata dia lelaki yang menegur tangisan Hawa di Masjid dulu. Daripada
kawan-kawan, Hawa dapat kenal Ustaz Yusoff, lelaki muda yang sangat hebat.
Bijak dalam belajar, bijak dalam berbicara, bijak dalam agama.”
“Tegur
Hawa, tangisan Hawa?” Huda mencelah dalam bicara Hawa yang panjang lebar.
“Dia
kata dia dengar tangisan di Masjid dan pemilik tangisan tu adalah Hawa. Entah
macam mana dia boleh dengar, Hawa bukan meraung.” Hawa kembali duduk di sisi
Huda.
“SubhanaAllah.
Mungkin dia jodoh Hawa, siapa tahu?” Huda sekadar mengusik hati Hawa tika itu.
“Tiada
mungkin dalam hidup ini. Yang ada hanyalah YA atau TIDAK. Dalam kekotoran dosa
yang Hawa lakukan, Hawa kembali menyucikan diri yang Hawa sedar, tidaklah dapat
menyucikan kotor itu melainkan dengan api neraka Allah. Jadi bagaimana Hawa
mahu berhadapan dengan Yusoff yang dirinya jelas suci?” Hawa menjelaskan
panjang lebar.
“Astagfirullah.
Hawa, istighfar. Allah Maha Pengampun. Mohon pada DIA insyaAllah.” Huda memujuk
lagi.
“Huda,
Hawa tahu… sebab itu Hawa kembali mendekati Allah. Hati ini takut hendak
menerima cinta lagi, biarlah terisi cinta Allah sahaja. Allah sudah lebih
daripada cukup untuk Hawa.”
“Siapa
tahu, Yusoff dihadirkan sebagai pembimbing Hawa untuk mengecapi cinta Allah?”
Huda mencuba lagi.
“Huda…”
Hawa bersuara, tangan Huda dicapai dan digenggam.
“Hawa
memang ada berdoa supaya dihadirkan insan yang mampu membimbing Hawa kembali
kepada cinta Allah, insan yang mencintai Allah melebihi segalanya tapi… bukan
Yusoff.” Huda tercengang.
“La…
kenapa pulak? Yusoff la lelaki yang Hawa cari.” Hawa menggeleng laju.
“Ustaz
Yusoff terlalu baik, sangat baik. Lebih ramai lagi gadis yang terbaik untuk
dia, bukan Hawa Huda, bukan Hawa. Hawa pasti akan temui lelaki lain, tetapi
bukan Yusoff.”
“Allahuakhbar…
Huda tersangat tak faham!” Huda mengeluh lelah, tidak mengerti apa yang Hawa
mahukan.
“Biarlah
Hawa mencari Adam untuk diri Siti Hawa ini. Yang pasti bukan Yusoff.” Huda
menggeleng perlahan dan hanya mendiamkan diri, kerana dia pasti, dia tidak akan
mampu memujuk Hawa yang kini tekad dalam apa yang dia lakukan.
++++++++
Yusoff
termangu ditangga Masjid. Kisah Hawa sudah sebulan dia biarkan. Misterinya
terungkai sedikit dengan penjelasan Huda biarpun tidak menyeluruh. Penolakan
Hawa dengan risikannya sedikitpun tidak mengecewakan. Keputusan Yusoff untuk
menjadi pendamping Siti Hawa adalah berdasarkan pilihan Allah dalam
istikharahnya, bukan nafsu semata. Jika Hawa menolak dengan kata tanpa petunjuk
Allah, dia redha. Mungkin suatu masa nanti, Siti Hawa tetap menjadi pemiliknya,
siapa tahu? Masih terngiang perbualannya dan Muazzam beberapa hari lalu;
“Hawa
masih mencari dirinya kembali. Biarkan dia beberapa waktu. insyaAllah, Allah
pasti membantu dia. Yusoff doakan, moga jalannya dipermudahkan. Dan jangan
lupa, doakan agar dia berada dijalan yang benar.” Muazzam memujuk hati Yusoff
yang masih diselubungi misteri Hawa tika itu.
“InsyaAllah,
Yusoff faham bang. Yusoff sentiasa akan mendoakan dia. cuma…” Muazzam mengerut
dahinya.
“Haa…
ada lagi cuma dia tu.” Yusoff ketawa kecil.
“Ada
la cuma…. Yusoff tak terasa bila risikan pun Hawa tolak. Seperti dia kata, dia
takde pilihan tapi masa belum sesuaikan. Yang terkilan, niat Yusoff nak bantu
dia, keluar dari masalah yang menyelubungi diri dia tu. Takut dia terlalu
mengikut emosi.”
“Rugilah
Hawa menolak Ustaz Yusoff, sayang sangat dah ni.” Muazzam cuba mengusik
Yusoff.Yusoff hanya tersenyum dan ketawa kecil. Muazzam tak sah kalau tak
mengusik dia, tambah-tambah bila berkaitan dengan Siti Hawa.
Yusoff
tersengih sendiri di tangga itu pabila mengenang perbualannya dengan Muazzam.
Kasut dipakai kemas dan kemudian dia menuruni anak tangga dengan berhati-hati.
Biar apa pun terjadi, dia mendoakan Siti Hawa sentiasa dilindungi Allah dan
dapat kembali kepada dirinya yang dia cari-cari.
Yusoff
melangkah perlahan ke tempat letak motosikalnya. Dalam perjalanan itu dia
sempat lagi mengimbas pertemuannya dengan Siti Hawa beberapa minggu yang lalu,
sebelum segalanya berakhir. Pertemuan yang ditemani Muazzam dan Huda
semestinya.
“Kenapa
perlu berjumpa bukan sudah dijelas semuanya?” Hawa terus sahaja bersuara setelah
Yusoff menghampirinya.
“Assalamualaikum
Cik Siti Hawa.” Yusoff bersuara kembali lebih sopan. Namun membuat Hawa termalu
sendiri. Nampak sangat Hawa tidak sudi bertemu empat mata dengan Yusoff. Hawa
menjawab perlahan dengan muka yang memerah.
“Maaflah,
andai saya menganggu masa-masa Hawa. Saya cuma hendak berjumpa empat mata
dengan Hawa.” Yusoff memulakan bicaranya dengan penuh hemah.
“Teruskan
kepada perkara yang penting.” Hawa mencelah.
“Hawa
seperti tidak suka dengan pertemuan ini. Kalau macam tu, kita gunakan orang
tengah aje lah.” Yusoff cuba berkompromi pabila Hawa seakan tidak senang dengan
pertemuan ini.
“Tidak,
bukan begitu. Maaf. Awak boleh teruskan apa yang awak nak sampaikan pada saya.”
Hawa mula berasa bersalah. Bukan dia tidak sudi, tapi…
“Boleh
saya tahu kenapa risikan saya ditolak?” Yusoff mula menyoal.
“Saya
berhak menolak bukan?” Hawa menjawab perlahan. Hatinya berdetak hebat tika itu,
malu juga bercampur aduk!
“Saya
tahu, saya merisik awak kerana awak pilihan Allah buat saya.” Hawa memandang
sekilas, agak terpana dengan kata-kata Yusoff itu.
“Istikharah?”
Hawa menyoal. Yusoff mengangguk perlahan.
“Hawa
istikharah semasa menolak?” Hawa terdiam tidak terkata. Huda yang berselang
beberapa langkah daripada tempatnya dipandang.
“Hawa?”
Lembut sahaja Yusoff memanggilnya.
“Maaf,
tidak. Saya tak istikharah.” Hawa menjawab gagap-gagap.
“Saya
bukan mendesak, istikharah saya juga tidak memaksa awak untuk menjadi milik
saya, mungkin awak adalah baik untuk saya mungkin ada yang lain yang juga baik.
Tetapi masa ini adalah Hawa.” Yusoff menerang panjang lebar, hanya ingin
membetulkan keadaan.
“Kenapa
Hawa tidak istikharah sebelum memberikan jawapan?”Yusoff menyoal Hawa yang
terdiam sedari tadi. Hawa menarik nafas dalam sekali. Soalan Yusoff bagai
menari-nari di matanya.
“Saya
takut untuk menerima awak sebagai suami saya.” Hawa menjawab setelah beberapa
lama dia menyepi sendiri.
“Takut?”
Hawa mengangguk.
“Takut
andai awaklah pilihan Allah buat saya. Saya takut.”
“Apa
yang awak takutkan?” Yusoff menyoal lagi.
“Takut
pada masa depan, takut pada penerimaan awak dan takut menghadapi hari-hari yang
penuh diselubungi dengan rasa bersalah.”
“Maaf,
Hawa saya tidak faham.” Hawa berdiri menghadap padang yang luas.
“Kenapa
awak memilih saya?” Hawa menyoal kembali kepada Yusoff.
“Saya
tiada jawapan untuk itu.”
“Kerana
tudung saya?” Yusoff menggeleng.
“Kerana
penampilan saya?” Yusoff menggeleng.
“Awak
terlalu baik untuk saya Yusoff. Terlalu baik.” Yusoff tersenyum kecil.
“Baik
buruk kita, siapa kita nak menilai? Di sisi Allah kita tidak tahu baik atau
buruknya kita ni Hawa.”
“Ye
saya tahu, tapi… kita punya kisah silam yang berbeza.” Yusoff tersenyum lagi.
“Sesiapa
pun Hawa, mesti punyai kisah yang berbeza kerana kita sememangnya berbeza.” Hawa
melepas nafas perlahan. Payah bila bercakap dengan orang yang bijak bercakap!
“Awak
pernah sentuh tangan orang bukan mahram awak?” Yusoff menggeleng.
“Pernah
awak peluk pinggang wanita bukan mahram awak?” Yusoff menggeleng lagi. Kali ini
Hawa tersenyum hambar.
“Itulah
baiknya awak dan itulah bezanya kita Yusoff.” Yusoff memandang Hawa beberapa
ketika dan kemudian melarikan pandangannya.
“Itu
semua perkara lama Hawa.” Hawa menggeleng laju.
“Perkara
itu yang membuatkan saya hidup dalam penyesalan Yusoff. Mana mungkin saya
menerima awak, sedangkan hari-hari saya terbayangkan dosa saya itu. Perkara itu
susah nak padam dalam ingatan saya. Payah!”
“Bukankah
awak mencari teman yang mampu memimpin awak, saya tidak layak?” Yusoff mencuba
lagi.
“Saya
yang tidak layak buat awak Yusoff.”
“Jika
macam tu, siapa yang layak buat awak?”
“Adam.”
Hawa menjawab penuh keyakinan. Huda yang duduk jauh sedikit itu juga terkejut
dengan jawapan Hawa.
“Siapa
Adam?” Yusoff menyoal, jiwanya dipagut kekeliruan, bukankah Hawa tiada yang
istimewa?
“Adam,
saya mencari Adam. Adam yang punyai kisah silam seperti saya. Adam yang mungkin
masalahnya persis saya. Dengan itu saya akan hidup dengan menerima kekurangan
dia yang sama dengan kekurangan saya. Kami segandingan!” Hawa mula bermain
kata.
“Awak
terlalu berfikir jauh dan negatif Hawa. Kenapa tidak memberikan saya peluang
untuk membantu awak?”
“Kenapa
awak terlalu mahu saya menerima awak?” Hawa mula bersuara tegas, dia takut
hatinya lembut dengan kata-kata Yusoff jika lebih lama dia bersemuka dengan
Yusoff.
“Bermula
saya mendengar tangisan awak di Masjid, saya sudah minta pada Allah, supaya DIA
memberikan saya peluang untuk membantu awak, biarpun waktu itu saya langsung
tidak tahu pemilik tangisan itu. Bila saya dapat tahu, saya tekad untuk
membantu awak.”
“Membantu?
Apa maksud awak?”
“Daripada
tangisan awak, saya tahu awak punyai masalah yang amat berat.” Yusoff meraup
wajahnya seketika.
“Maaf
Yusoff, saya benar-benar tidak dapat menerima awak.” Hawa memberikan
keputusannya. Sama dan muktamad!
“Hawa
tak mahu istikharah.” Hawa menggeleng.
“Kenapa?”
“Saya
sudah jelaskan. Yusoff patutnya mencari Zulaikha, bukan Hawa.” Hawa menolak
dengan baik.
“Siapa
tahu Hawa juga boleh menjadi Zulaikha untuk Yusoff? Dan mungkin Yusoff boleh
menjadi Adam untuk Hawa” Yusoff mencuba lagi.
“Mungkin.
Tapi bukan Siti Hawa ini, sebab Hawa ini tekad mencari Adamnya, dan Yusoff tak
boleh jadi Adam, Yusoff adalah Yusoff” Yusoff mengangguk tanda faham.
“Sekali
lagi, saya mintak maaf. Assalamualaikum.”Hawa terus berlalu bersama Huda. Tanpa
kalih walau sekali. Yusoff terima, terima dengan keputusan Hawa. Jauh disudut
hatinya, dia sentiasa berdoa, moga Adam yang dicari Siti Hawa wujud dalam dunia
ini dan menemani langkah si gadis itu.
Tepukan
dibahu Yusoff mengejutkan dia daripada lamunan panjang itu. Yusoff tersenyum
memandang Muazzam yang sedia tersengih di sisinya.
“Termenung
lagi Ustaz Yusoff?”
“Tak,
terkenang.” Muazzam mencebik.
“Sekali
lagi abang nak tanya, kenapa tak beritahu dia tentang Yusoff?”
“Bagitahu
apa?”
“Yang
awak ni Muhammad Adam Yusoff?”
“Jodoh
itu Allah yang tentukan, kalau dia Hawa untuk Adam ini, ke mana pun dia berlari
berkejar mencari Adamnya, pasti dia kembali menemui Adam ini. Janji Allah itu
pasti.” Muazzam mengangguk tanda mengerti. Muhammad Adam Yusoff hanya tersenyum
dan meneruskan langkahnya ke motosikal, Muazzam berlari-lari kecil
mendapatkannya.
Angin petang itu begitu dingin terasa, bagai
membawa kedinginan hati-hati hamba Allah yang tenang mencintaiNya. Benar kata
Yusoff, andai Allah sudah tetapkan dia adalah pemilik tulang rusuk itu,
pastinya Siti Hawa akan dimilikinya. Sekuat mana Hawa menolak, andai Yusoff
jodohnya, tiada lagi mungkin dalam hidup yang bisa membolehkan Hawa untuk
menolak. Dalam hidup cuma ada Ya atau Tidak iaitu terima atau tidak, tiada
mungkin menerima atau mungkin tidak menerima sebagai jawapan kepada suatu
persoalan. Jika ada, kehidupan kita
bagai tiada penghujungnya kerana persoalan perlu ada jawapan yang pasti!
Ya Muhaimin jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati
Seseorang yang hatinya tertaut padaMu,
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu.
7 comments:
xde sambungn ke? ana suka kisah cinta islamik cmni :D
Thumbs up writer..mmg best!!
ada. nanti keluar la.. ^^
thank u
bile nk kluar kak ?
otw ^^
bestnya nama Muhammad Adam Yusoff!
laaaa.. tergntung ker? nak sambungn boleh?
dh sambung la sayang.
cuba klik Dia Adam Itu :)
Post a Comment