Friday, December 23, 2011

JANJI TERPATERI - BAB 4


BAB 4

                Perjalanan pulang ke rumah penuh dengan kesepian. Tiada lagi riak bahagia, atau rasa tidak sabar untuk tiba ke destinasi. Cukup berbeza dengan situasi sebelum ini, semua rasa ada, hati terlalu mahu bertemu dia, Mustika. 8 tahun berpisah tanpa berita langsung daripada Mustika, cukup membuat hidup Irham terseksa. Saban malam merenung gambar Mustika. Raut wajah Mustika tak pernah padam daripada hatinya. Irham mengakui, dia bersalah. Dia telah mengecewakan Mustika dahulu, tapi bukankah semuanya kehendak Mustika sendiri? Setelah 8 tahun mencari khabar daripada Mustika, kedatangan Shamsul Hadi hari itu benar-benar memberikan cahaya buat Irham. Tapi sayang, cahaya itu kian pudar. Mustika sudah menjadi milik orang! Masih terasa jantungnya tersentap kuat melihat Mustika yang berbadan dua. Allah, kuatkah aku menerima semua ini?

            “Kenapa tak di siasat dulu sebelum jauh kita pergi meminang?” Soal Puan Zahirah tiba-tiba, menyedarkan Irham yang tenggelam dalam arus perasaan kecewanya. Irham mengeluh lemah. Baru terfikir perkara yang sama. Biasalah, orang lama selalu cakap, ikut hati mati. Benar, sekarang dia sudah mati, mati akal.

            “Tak sangka jadi macam ni Mama.” Puan Zahirah menggeleng kepala, tak bentah melayani sikap anak sulungnya yang nampaknya belum cukup matang dalam kehidupan.

            “Lain kali siasat dulu. Ayah Chik bising jugak tadi, mujur dia tak marah lebih-lebih, kalau tak masak la kamu.” Ayah Chik merupakan saudara Irham yang memang tinggal di Kedah. Ayah Chik kononnya tadi mewakili pihak lelaki, tak tahu pula akan jadi macam ni. 

            “Tak masak dah mama, dah hangus.” Kata-kata itu mengundang ketawa Lisa di belakang. Irham hanya menjenggil matanya melalui cermin pandang belakang. Puan Zahirah turut ketawa bersama Lisa. 

            “Padan muka kamu. Erm…”

            “Is mintak maaf mama…” Irham tahu ibunya sedikit kecewa dan tebal muka dengan apa yang berlaku hari ini. 

            “Nak buat macam mana, hal dah jadi. Puan Salmah tu baik orangnya, takde lah mama malu sangat. Puan Salmah pulak yang beria-ria mintak maaf tadi.” Jelas Puan Zahirah. Hati anaknya perlu dijaga juga, takkan mahu ditambah tekanan dan kecewanya?

            “Abang, kira tak jadi ke ni, Kak Mustika jadi kakak Lisa?” Lisa mencelah. 

            “Tak la Lisa. Lisa pun tau kan apa yang jadi tadi.” Irham menjawab, garang. Kecewa dengan persoalan daripada Lisa. Memang sebolehnya dia mahu Mustika menjadi isterinya, tapi sekarang…

            “Ye tahu la. Tapi apa masalahnya? Abang kahwin aje la dengan kakak.” Irham mendengus kuat, Lisa seolah mencucuh api ke minyak petrol.

            “How? Lisa jangan mengarut lagi okay. Mana kakak nak letak suami dia, ayah baby dia tu?” Lisa mengerut dahi.

            “Hah… buat muka pulak.” Irham yang mengintai dari cermin belakang menegur Lisa yang membuat muka pelik. Takkan Lisa ni tak faham kut, getus hati Irham.

            “Abang yang mengarut,” ujar Lisa. Malas nak layan, Lisa nak tidur.” Lisa menjawab, dalam fikiran gadis kecil itu masih berpersoalan, bukankah perempuan yang kematian suami boleh berkahwin lagi? Akhirnya soalan itu tinggal soalan pabila dia sudah dibawa pergi oleh bahtera lenanya. Irham hanya menggeleng kecil. Payah nak bersoal jawab dengan adik kecilnya itu yang kini kian bijak dalam berkata-kata. Ada sahaja yang ingin disoal dan dijawabnya. Kadang kala hilang juga kesabaran dia dalam melayani Nuralisa.

            “Betul kata Lisa, kamu yang mengarut. Lain kali siasat habis-habisan. Erm…” Irham terpangu dek kata-kata ibunya. Siasat lagi? Apa lagi yang harus disiasat? Mustika sudah bahagia, biarkan dia. Aku harus memulakan hari yang baru. Mustika harusku biar pergi dari hati ini, tekad hatinya.

+++++++++

            Aku berdiri di jendela rumah. Angin malam ini terasa sungguh dingin, aku peluk tubuhku kejap. Perut yang kian membesar, memberikan aku semangat setiap hari, untuk aku buka mata dari lena. Inilah hadiah terakhir Amzar, suamiku. Jika dulu aku bangun pagi, aku takut untuk membuka mata, aku takut untuk menghadapi hari-hari tanpa Amzar. Takkan ada lagi bisikan cinta dari dia setiap pagi. Takkan ada lagi ciuman darinya setiap malam sebelum aku tidur. Takkan ada lagi waktu-waktu yang terhenti tatkala Amzar tersenyum penuh cinta dihadapanku. Takkan ada lagi segala detik indah bersama Amzar. Amzar telah pergi, kembali pada DIA yang memilikinya. Aku redha, dan aku bersyukur. Kami tahu waktu untuk kami berpisah, dan kami cuba jadikan waktu-waktu yang ada itu penuh dengan kenangan-kenangan yang membahagiakan. 

Cukup, hanya dengan menutur namanya, aku bisa tersenyum bahagia. Mohd Amzar, anugerah terindah untuk aku. “Mustika adalah hadiah terindah yang Allah berikan untuk abang. Abang sangat bersyukur. Kasih dan cinta Abang hanya untuk Mustika seorang” Masih terngiang-ngiang bicara Amzar tatkala nyawanya kian dipenghujung waktu.      

Mata aku pejam erat. Cuba menepis tangisan yang mahu terhambur, dan cuba mengukir senyuman bahagia. Amzar tenang di sana, dan aku telah berjanji dengan dia, aku takkan menangis lagi kerana sudah tiada dia untuk memberi bahu kepadaku, untukku lepaskan segala tangisan. 

“Jangan menangis Mustika.” Suara itu membuat aku tersedar daripada mainan perasaanku. Ibu berdiri disebelahku dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya. Tubuh ibu aku rangkul. Aku mahukan sedikit semangat. 

“Mustika rindukan Abang Amzar bu.” Ibu mengangguk, memahami gelodak hatiku.

“Amzar sudah tenang kat sana Mustika. Banyakkan berdoa dan sedekah al-fatihah buat dia.” Ibu memberikan nasihatnya. 

“Setiap kali solat ibu. Mustika sentiasa teringat waktu-waktu Mustika dan Abang Amzar solat berjemaah. Tenang rasanya. Sekarang pun sama, cuma kurangnya tiada imam. Tak salahkan ibu kita rindu dia.” Ibu menarik aku ke sofa. Kami duduk di situ, ibu menarik tanganku ke dalam genggamannya.

“Tak salah, tapi jangan terlalu ikut perasaan. Jangan seksa dia di sana dengan tangisan-tangisan kita. Ibu ingat lagi Amzar pesan dengan Mustika. Dia tak bagi Mustika menangis kan? Dia pesan, Mustika mesti jadi ibu terkuat kepada anaknya.” Aku tersenyum dan mengangguk. Amzar minta aku berjanji di depan keluargaku, dia takut aku mungkir janji aku kalau janji itu hanya dibuat depan dia sahaja. 

“InsyaAllah bu. Mustika ingat lagi.” Ibu menggenggam erat tanganku.

“Apa yang berlaku hari ini, anggap satu ujian. Allah sentiasa menguji hamba-hambaNya. Bukan menyeksa, tapi melihat sejauh mana kita yakin dengan Dia. Ingat tu.” Ibu, sejak pemergian Amzar empat bulan lalu, banyak kata semangat yang ibu berikan kepadaku. Tak nak bagi aku lemah, tak nak bagi aku rebah. Ibu masih macam dulu, dengan nasihat ibu, buat aku terkenang arwah abah. Abah, abang, Mustika rindu!

“Lusa ni jadi pergi KL?” soal ibu.

“InsyaAllah.. Angah kata lusa dia nak balik dah, so Mustika ingat nak ikut angah aje.”

“Baguslah, ibu pun tak risau Mustika nak jalan jauh.” Ujar ibu dan menarik aku ke dalam pelukannya. Siapa boleh menandingi kasih ibu kepada anaknya? Aku kini kian memahami erti kasih ibu dan naluri keibuan kian tertanam dalam hatiku, gerakan bayi dalam rahim membuat aku bahagia dan tidak sabar menanti kehadirannya. 

+++++++++



            Pintu pejabat ditolak lemah. Beberapa hari ini, Irham seakan hilang semangat. Sejak pertemuannya dengan Mustika beberapa hari lalu, mengubah cuaca hari-hari Irham. Entah kenapa, dia rasa tidak senang. Bagai ada sahaja tidak kena. Perlahan-lahan mata dipejam rapat, mencari semangatnya kembali. Baru beberapa saat memejam mata, pintu pejabatnya dikuak dengan kasar dari luar.

            “Hoi cik abang… diam-diam hang noh…” Shamsul Hadi terus sahaja menerjah tanpa salam.

            “Assalamualaikum Encik Shamsul Hadi.” Ujar Irham dengan nada menyindir. Shamsul Hadi hanya tersengih dan tergaru-garu janggutnya yang nipis itu.

            “Waalaikummussalam. Amboi macam tak suka aku datang sini je.” Shamsul Hadi menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Irham Syakir.

            “Aku penat sikit la.” Shamsul Hadi berkerut kening. Bukannya patut bahagia? Bisik hati Shamsul Hadi.

            “I thought you are happy right now?”

            “Happy? Why?” Irham menyoal kembali dengan mata masih terpejam dan tubuh tersandar ke kerusi.

            “Yelah, kau pergi meminang Mustika kan?” Irham terus sahaja membuka mata setelah nama itu disebut. Dia mengeluh berat.

            “Kenapa ni? Mustika tolak?” Shamsul Hadi meneka sendiri setelah melihat wajah Irham yang mencuka.

            “Tak tolak, tak terima.”

            “Then?”

            “Tak boleh la, she’s already married. Dah pregnant pulak tu!” Shamsul Hadi menjungkit kening.

            “Tunggu dia bersalin aje lah, so apa masalah?” Irham bangun dari kerusi dan melangkah ke tingkap pejabat. Kereta kian sesak di jalan raya, sama sesak dan semak seperti hatinya sekarang.

            “Gila ke apa kau ni, fikir dulu sebelum cakap!” Ujar Irham tegas. Shamsul mendekati Irham dan menepuk kuat bahu Irham sehingga tergerak sedikit tubuh Irham.

            “Aku dah fikir, sebab aku dah fikirlah aku datang minggu lepas, bagitau dekat kau pasal Mustika. Kalau tak fikir, ada mau aku nak bagitau?” Irham mengalih tubuh memandang Shamsul Hadi dengan pandangan menikam.

            “Bagitau, tapi tak cerita habis!” Marah Irham. Shamsul Hadi ketawa sinis.

            “Macam mana aku nak cerita habis, kalau dah kau terus laju balik rumah bila aku bagi alamat Mustika?” Irham kembali memandang keluar tingkap. Ya, memang dia sangat teruja apabila Shamsul Hadi menghulurkan alamat Mustika kepada minggu lepas, terus sahaja dia pulang ke rumah untuk menguruskan hal peminangan. Salah dia sendiri. Irham mengeluh berat.

            “Entah kenapa la aku over excited bila dengar pasal dia minggu lepas, lepas tu kau bagi pulak alamat dia, lagi la aku teruja. Aku dah lama cari dia. Lama sangat.” Shamsul Hadi menepuk bahu Irham memberi semangat kepada dia.

            “Kau tak dapat nak terima dia?”

            “Macam mana aku nak terima dia, dia milik orang Sham.” Lirih sahaja suara Irham.

            “Kalau dia janda kau boleh terima?” Irham memandang Shamsul.

            “Apa kau mengarut ni? Aku tak sejahat tu, aku redha. Aku nampak Mustika sekarang sangat bahagia.” Shamsul ketawa lagi.

            “Kau ni kenapa asyik gelak aje?” Marah Irham. Rimas dengan ketawa sinis Shamsul Hadi.

            “Nak kata kau ni bodoh or dungu, tak boleh. Engineer tu… tapi… entah la.” Shamsul ketawa lagi. Irham menolak tangan Shamsul yang masih dibahunya, tanda protes.

            “Sudah hampir 4 bulan Mustika kehilangan suami dia Irham. Kehilangan yang dia sendiri tahu dia akan hadapi.” Irham terpana. 

            “Hari tu aku nak cerita, tapi kau laju sangat. Terus aje blah…” 

            “Kau biar betul.” Shamsul Hadi hanya mengangguk dengan muka yang serius. Kisah Mustika bukan sesuatu yang bisa membuat orang tersenyum. Hanya Mustika, hanya dia yang tersenyum dengan kisahnya. Kehilangan Amzar yang sememangnya dia sudah jangka. Pemergian Amzar tanpa ada setitis pun air mata. Pemergian Amzar tatkala kandungan berusia 2 bulan. Anak penguat Mustika, penguat Mustika untuk terus menghadapi hari-hari tanpa suaminya yang tercinta.

5 comments:

Unknown said...

sayu klau kte kat tmpt mustika...seb baik iham paham..

akubersamaCahya said...

kehilangan insan tersayang. =.= takleh nak imagine. ermmm

Anonymous said...

Bila nak sambung lg nie...

Anonymous said...

Bila nak sambung lg nie...

akubersamaCahya said...

^^ maaf cik anon. huhuhu insyaAllah nanti abc post ye

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders