Monday, November 30, 2020

Mini Novel 2020: Muzikal Cinta 9

 



Bab 9

Nur Ayla menggerakkan perlahan-lahan buaian yang diduduknya. Hatinya tidak enak, tak sedap rasa. Berdebar. Semacam sahaja rasa ini. Semacam ada yang tidak kena. Sejak dia memaklumkan emak dan ayah tentang kedatangan Rashid petang ini untuk merisik dan bertunang, hatinya tak senang. Apatah lagi dengan kata-kata emak yang langsung tidak menyokong malah melemahkan semangat Nur Ayla.

“Orang tu tau dak pasai loqlaq hang tu?”

“Loqlaq hang tu dah macam sial hang jugak tau, habaq habih-habih sat lagi sekerat jalan macam si Malik haritu, buat malu aku ja.”

Kata-kata emak berpusing dalam kepalanya sentiasa. Loqlaq tu cuai, gopoh gapah, entahlah, entah kenapa orang yang terdekat dan yang paling disayanginya menganggap itu semua sebagai ‘sialan’ dirinya. Nur Ayla mengeluh lagi. Kekecohan di depan rumahnya membuatkan Ayla bangkit dari buaian dan mula mencari gerangan siapa yang bertempik-tempik di depan rumahnya.

“Mana Ayla makcik mana dia?

“Hang buat apa ni Malik?” Suara Ayah yang baru muncul dari tangga rumah. Emak sudah pun berada di hadapan Malik.

“Saya nak jumpa si Ayla dengan bakal tunang dia tu. Haa kata nak mai harini mana laki tu, aku nak habaq apa perempuan yang nama Ayla tu buat dekat aku.” Tempik Malik. Ayla yang memerhati dari belakang rumah tidak tunggu lama. Terus sahaja menghampiri Malik yang sudah macam orang gila!

“Aku kat sini. Awatnya?” Ayla mencekak pinggang. Ayah laju menuruni tangga dan menghampiri Ayla, risau Malik mengapa-apakan anak gadisnya.

“Haa ni Ayla awatnya?” Emak bersuara. Muka mak merah menahan marah. Mak memang tak suka kekecohan. Malu dengan orang kampung!

“Haaaa hang nak bertunang dengan orang Ipoh noh. Haha, awat orang sini tak mau kat hang dah ka?” Malik ketawa dan bercakap soalan entah apa-apa, sungguh macam orang tak waras.

“Lah, biaq pi la dekat aku nak bertunang ka kahwin ka dengan sesiapa pun. Asalkan bukan hang!” Ayla membalas, tegas dan tajam. Malik bengang. Tangannya sudah dihayun untuk menampar Ayla, namun ada tangan lain yang lebih kuat menahan.

“Eh, ada apa ni sedara. Perempuan kut tak kan nak pukul?” Entah bila, Rashid sudah terpacak di situ. Digenggam kuat tangan Malik. Akibat terasa sakit dengan genggaman Rashid, Malik menarik tangannya.

“Oooo hang la laki-laki hat nak mai bertunang dengan Ayla?” Malik menyoal, nadanya sinis, ada senyuman dihujung bibir. Senyuman penuh makna.

“Ya saya, Rashid.” Rashid menghulur tangan tanda berbahasa untuk berkenalan. Malik berdecit hanya menjeling huluran tangan itu.

“Hang ni dah pikiaq habih ka? Dah kenai habih si Ayla ni?” Ayla lantas mencelah, panas mendengar kata-kata Malik.

“Hang pi balik Malik, hal aku takdak kena mengena langsung dengan hang.”

“Awat takdak kena mengena, aku ni bekaih tunang hang. Aku nak dia ni tau sapa hang dan pasaipa kita putus.” Malik memandang Ayla tajam. Ayla mengerut dahi, tidak mengerti langsung apa yang Malik cuba sampaikan.

“Baru sekarang hang berani nak habaq kat orang pasaipa kita putus?” Tempelak Ayla, Malik hanya senyum penuh sinis.

“Aku nak bagitau dekat mak pak hang, dekat orang yang tak kenai hang ni, siapa Nur Ayla yang sebenaqnya.”

“Bagitau siapa aku atau siapa hang?” Ayla membalas. Rashid hanya diam tidak mencelah. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Hang ni Malik, pi balik, jangan dok buat kacau sini.” Ayah mencelah, tidak sedap hati.

“Sat saja. Kalau hampa semua nak tau, Ayla ni bukanlah perempuan baik. Tengok dia ni luaq memang elok tapi dah barai.” Ayla terbeliak mata memandang Malik, tidak sangka lelaki itu begitu jahat mulut!

“Pasaipa saya accident sebelum putus tunang dengan dia? Sebab dia kantoi dah main dengan laki lain, lepas kantoi dia bengang sebab aku kata nak putus tunang, terus dia tarik stereng kereta bagi kami accident, dia kata nak biaq aku mati!” Ayla berang. Laju sahaja dia menolak tubuh Malik sekuatnya. Malik ketawa.

“Hang memang jahat. Sejahat-jahat manusia yang aku kenai! Selama ni aku diam simpan aib hang, la ni hang fitnah aku?” Air mata Ayla sudah meramu keluar. Rashid dipandang mohon ruang untuk menjelas.

“Rashid saya bukan macam yang dia cakap. Dia tipu.” Ujar Ayla dalam tangisan. Rashid hanya diam.

“Takkanlah aku nak tipu, aku takut dia ni yang hang tipu!” Malik ketawa lagi dan terus berlalu pergi. Ayla cuba untuk menjelaskan tetapi terhalang dengan emak yang hendakkan penjelasan dan Ayah yang hanya beristighfar sedari tadi.

“Rashid…”

“Kita balik dulu Rashid, nanti kita bincang. Kalau semua baik-baik sahaja, kita datang, kalau tak…” Suara wanita pertengahan umur yang erat memegang lengan Rashid mematikan kata-kata Nur Ayla.

Nur Ayla memandang, memandang langkah Rashid yang menjauhi. Nur Ayla terasa jauh, begitu jauh dengan Rashid, dari jarak mereka kini dan juga dari hati. Nur Ayla terjelepuk ke tanah, menangisi nasib diri yang tak henti-henti diuji.

Suara emak yang memekik tak langsung kedengaran, telinganya seakan tuli. Air mata berhenti sendiri. Nur Ayla memandang ke depan, tiada lagi bayangan kereta Rashid dan keluarganya. Nur Ayla malu, malu tidak dapat menjelas kedudukannya sebenar-benarnya. Amarahnya memuncak, wajah Malik yang ketawa berulang tayang di depan mata. Nur Ayla terus bangkit dan terus memasuki keretanya. Kereta dipandu, namun tiada hala tuju. Ayah yang memanggil dibiarkan sahaja. Telinganya terasa berdesing kuat. Difikiran hanya ada wajah Malik yang ketawa dan wajah Rashid yang tiada riak. Nur Ayla tidak tahu, tidak tahu apa lagi yang ada untuk dia. Pedal minyak ditekan sekuatnya, mata dipejam rapat, Nur Ayla tekad, hilang dalam hakikat. Mungkin ini yang terbaik.

“ Kalau cinta kenapa pergi?”

“Bukan pergi selamanya…”

“Tapi bukan masa untuk pergi.”

“Terpaksa, kita terikat dengan orang tua.”

“Jadi, biarlah saya yang pergi, untuk selamanya.”

2 comments:

Siti said...

ala...baru nak happy..

Anonymous said...

Alaaaa......ase tergantung je sbb episod 10 xde lagi ni.....plissshhhh xsabar nk tau

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders