Wednesday, December 11, 2013

Sibuk dengan Majlis :)

Maaf.
Blog tergendala.
abc sibuk dengan Majlis.
Majlis Tahlil dan Kesyukuran serta cukur jambul baby boy and girl yang dah masuk 3 bulan.

Tak besar majlisnya, tapi disebabkan di campur dengan kehadiran 'VVIP' untuk berjumpa famili abc.
jadi majlis jadi besar :)

Nervous tapi bahagia.

abc akan uploadkan gambar-gambarnya nanti :)

kalau sudi follow instagram abc @nurwateeqa

dekat situ banyak gambar-gambar terkini hiburan sensasi abc semasa ke semasa :)

okay, bye!

Thursday, November 21, 2013

Kembali seperti sebelumnya :)

Assalamualaikum.
Selamat Malam.

Alhamdulillah, keadaan masih sama. cuma kadang2 rasa terkilan itu datang dengan sendirinya. Kenangan, pasti menggamit rasa. Doakan dan jangan lupa :)

abc belum dapat post Pengganti 5 dan CAP. Tunggu sekejap lagi ye. hehehe Masih banyak nak diperbetulkan. CAP tu kalau betulkan, dah kena betulkan bab yang belakang-belakang, jadi nak bagi kesenimambungan yang sesuai agak susah. sabar ye. InshaAllah janji akan ditepati.

rindu sangat nak keluarkan cerpen baru, cuti ni sangat 'free'. asyik mengadap laptop aje. tambah-tambah hujung bulan. 'cash' dah 'kredit' kekekeke jadi memerap ajelah di rumah.

abc nak kembali ke zaman 'gila menulis'. menulis dalam satu malam dah dapat satu cerpen. seminggu dapat 22 bab. hebat! sekarang ni lain, sebab mood 'swing to the moon' huh!

orang kata nak berjaya dalam sesuatu bidang tu kena rajin dan usaha. abc usaha tapi kurang rajin hehehe. menulis ni sebahagian (suku) diri abc, yang utama adalah yang 'utama'. :) sebagai guru dalam era sekarang, terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan. (sampai cuti sekolah pun pikir PBS ;'( ) tapi, selagi minat tak terkubur, selagi itu abc akan menulis.

yang risau, penulisan jadi macam budak baru pandai mengarang huhu!

doakan abc ye, doakan semua baik-baik aje :)

Sunday, November 3, 2013

Doakan Ayah abc.

Maaf abc lama tidak update.
Mungkin abc akan berhenti menulis hingga habis sesi persekolahan.

banyak yang abc lalui minggu ini.
kesibukan di sekolah
dan pemergian ayah yang mengejut.
sesungguhnya ajal itu tidak lambat sesaat dan cepat sesaat pun.
bila mana Allah sudah menetapkan saat dan waktunya, kita sebagai hamba perlu menerima sebaiknya.
mohon ketabahan Ya Allah.

abc mohon doakan ayah abc, moga Allah mengurniakan kebahagian di syurgaNya buat ayah.
abc tahu dan yakin, ayah sedang bergembira di syurga Allah.

Al-Fatihah.

note: ayah meninggalkan dunia sementara ini pada jam 7.45petang 30 oktober 2013. sebab kematian: hanya Allah yang tahu, sudah tiba masanya ayah kembali kepadaNya.


Sunday, October 27, 2013

CAP 5 - raw-

ABC pun tak tahu kenapa guna perkataan 'raw' tu.
tapi pahamkan maksudnya?
hehe
ini yang belum di edit semula
kalau ada yang tak puas hati.
silakan komen.
CAP masih dalam 'renovation'
jadi sebarang idea diterima pakai.
terima kasih :)

selamat membaca dan memberi kritikan! <3 p="">
+++++

Part 5
Adra Malaeka membontoti langkah Daffa Jawhar yang laju di hadapan. Nabil sudah menunggu di kereta di tempat parkir hotel. Adra Malaeka memakai baju yang sama dipakai waktu dia ‘diculik’ tempoh hari.
“Are you ready Mr Daffa?”Ujar Nabil sebaik Daffa menghampirinya.
“Always ready. Jom” Mereka masuk ke dalam perut kereta yang dipandu Nabil. Adra Malaeka diam seribu bahasa. Hatinya resah. Bagaimana penerimaan keluarganya dengan berita ini? Apa reaksi emak? Semua persoalan itu bermain dibenaknya sehingga membuatkan dia kadangkala berada di dalam dunianya sendiri.
“Cik Adra tak gembira ke nak jumpa keluarga Cik Adra?” Soal Nabil memecahkan lamunan Adra Malaeka. Wajah Adra dipandangnya melalui cermin pandang belakang. Adra tersenyum tawar.
“Bukan tak gembira. Cuma terfikirkan reaksi emak, reaksi adik beradik saya bila dapat tahu yang saya dah kahwin.” Ujar Adra penuh berhati-hati. Daffa tersenyum hujung bibir penuh sinis.
“Reaksi terkejut family awak yang saya dah jumpa awak semua?”Daffa bersuara sinis. Nabil menggeleng perlahan, tidak suka bila Daffa terus bersuara tanpa berfikir panjang.
“Entah macam mana saya nak cakap dekat awak yang saya tak bersalah.”Adra membentak perlahan, sakit hatinya mendengar kata-kata Daffa Jawhar yang masih tidak mempercayainya.
“Tak payah cakap apa-apa, selagi tiada bukti yang boleh awak bagi pada saya menyatakan awak tak bersalah, selagi tu di mata saya awak dan family awak bersalah. Faham?”Daffa bersuara tegas, jelas dan sinis. Nabil merengus perlahan, kepalanya digelengkan. Tidak faham dan tidak dapat faham perangai sahabat baiknya itu.
“Apa-apa pun saya minta maaf, kalau benar semua ni perbuatan ayah saya. Saya benar-benar minta maaf”. Ujar Adra Malaeka, perlahan namun jelas menampar telinga Daffa Jawhar yang berada di depannya kini. Setelah itu, ketiga-tiga mereka diam melayani perasaan sendiri, sambil ditemani muzik dari radio kereta yang dipasang sedari tadi.
Adra Malaeka melangkah keluar dari perut kereta, langkah yang diatur dengan lafaz basmallah. Hati yang patutnya tenang dan lapang, kini berdebar. Jantungnya berdegup hilang rentak normal. Jemarinya sejuk bagai mahu membeku. “Kenapa aku berdebar semacam aje?” Adra bermonolog sendiri.
“Family Cik Adra semua ada di bilik depan sana, bolehlah kita ke sana. Apa sahaja yang hendak dibincangkan kita akan bincang di sana. Mari ikut saya.” Suara Inspektor Zali selaku pegawai polis yang mengendalikan kes Adra Malaeka. Daffa dan Nabil sekadar mengangguk kecil sebelum terus membontoti langkah Inspektor Zali.
“Tunggu apa lagi, bukan kau nak sangat balik Kedah ke?”Suara Daffa membuatkan Adra yang terkaku kakinya kini melangkah laju agar seiring dengan Daffa dan Nabil yang sudah beberapa langkah di depannya. Adra Malaeka berserah, menyerahkan segala apa yang akan berlaku kelak kepada Allah, kerana Allah sebaik-baik penolong.
“Adra....” Adra yang menunduk wajah kini memanggung wajah tepat kepada suara lirih yang memanggil namanya. Emak.... Air mata Adra kini bergenang di kelopak mata, wajah ibunya yang sayu memanggut hati yang menahan debar merasa pilu.
“Mak....” Tak tertahan dek kerinduan dan kesedihan yang dirasainya selama dua minggu. Adra Malaeka terus sahaja meluru ke arah ibunya. Memeluk tubuh ibu seerat-eratnya. Rehan yang memerhati turut menyertai saat pertemuan yang pilu itu. Qaliff kelihatan mengesat tubir mata dengan hujung jari. Anuar dan Azhar sekadar memerhati dari tempat duduk mereka.
“Saya minta maaf, bagi mempercepatkan kes ni, saya harap kita boleh mulakan perbincangan. Semua boleh ambil tempat dulu ye.” Inspektor Zali yang mengambil tempat di kepala meja, mula membuka suara.
“Boleh kita mulakan?” Soal Inspektor Zali kepada semua yang ada. Beliau terus memulakan perbincangan setelah tiada bantahan dibangkitkan.
“Keluarga Adra Malaeka telah membuat laporan kehilangan Adra Malaeka pada 25 Jun 2012. Saya sebagai pegawai yang mengendalikan kes ini, tidak dapat untuk mengatakan sama ada Adra Malaeka diculik ataupun melarikan diri dengan rela hatinya. Pada 7 Julai 2012, Encik Daffa Jawhar Bin Jauhari membuat laporan yang Adra Malaeka tidak diculik tetapi bersama dengannya. Daripada maklumat yang diberikan kepada pihak kami, Adra Malaeka adalah isteri kepada Encik Daffa Jawhar. Maka oleh itu, selama dua minggu kehilangan Adra Malaeka, beliau berada bersama Daffa Jawhar, suami beliau.” Pernyataan akhir yang keluar dari mulut Inspektor Zali membuatkan seluruh ahli keluarga Adra yang hadir di situ mengucap panjang. Adra Malaeka yang berada sebelah ibunya menunduk wajah. Anuar Malik dan Azhar Malik saling berbalas pandangan, kening mereka berkerut. Berita itu begitu menggemparkan bagi mereka.
“Encik Daffa Jawhar hadir hari ini untuk membincangkan hal pernikahannya dan Cik Adra Malaeka dengan ahli keluarga Adra Malaeka sendiri, sebelum beliau mahu meneruskan laporan penipuan yang telah dilakukan oleh Encik Ahmad Maliki Bin Mahmood, iaitu ayah kepada Cik Adra Malaeka terhadap beliau dan ayah beliau, Dato’ Jauhari Daud pada 25 November 2011. Pihak kami akan hanya menjadi orang tengah dalam hal ini, Encik Daffa boleh teruskan apa yang Encik mahu bincangkan.” Inspektor Zali mempersilakan Daffa Jawhar untuk meneruskan perbincangan.
“Assalamualaikum, seperti yang dinyatakan Inspektor Zali sebentar tadi, saya Daffa Jawhar suami kepada Adra Malaeka Binti Ahmad Maliki.” Daffa memulakan perbincangan yang seterusnya.
“Ayah saya Dato’ Jauhari Daud sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah mengahwinkan saya dengan anak kepada sahabat baiknya, Encik Ahmad Maliki Bin Mahmood pada 25 November 2011. Namun begitu, harga perkahwinan saya dengan Adra Malaeka adalah berharga RM200 ribu. Ayah saya yang terlalu mahukan Adra menjadi menantu dan sangat beringinkan Encik Maliki menjadi besannya, telahpun membayar wang tersebut. Namun selepas majlis akad nikah, Encik Maliki dan isteri saya Adra Malaeka telahpun menghilangkan diri bersama-sama wang tersebut. Setelah beberapa bulan mencari, akhirnya saya menjumpai alamat rumah Adra Malaeka sekeluarga. Saya mengakui saya membawa pulang Adra Malaeka secara paksa tanpa keinginannya, saya melakukan dalam keadaan marah dan dendam. Oleh itu hanya mohon maaf kepada semua ahli keluarga Adra Malaeka. Sebelum saya meneruskan laporan polis mengenai penipuan yang dilakukan oleh Encik Ahmad Maliki dan sesiapa yang terlibat, saya mahukan kesahihan serta pengakuan daripada pihak Adra Malaeka sekeluarga.” Daffa menamatkan penjelasannya yang panjang lebar. Nabil tersenyum dengan sikap Daffa hari ini yang menyerlahkan sikap profesionalnya dalam menyelesaikan masalah tersebut.
“Adra, boleh angah tanya? Adra ada jumpa Ayah ke waktu tarikh tu?” Azhar menyoal Adra Malaeka yang tunduk mendiamkan diri.
“Tak. Lepas Ayah tinggalkan kita dulu, Adra dah tak pernah jumpa Ayah. Telefon pun tak pernah. Tarikh tu Adra dekat Johor lagi, semester 7.” Adra menjawab dengan jelas.
“Maaf Encik Daffa, saya sebagai abang kepada Adra saya sangat yakin yang Adra Malaeka tidak terlibat dalam isu pernikahan tu. Ya, Ayah kami memang bernama Ahmad Maliki tapi mungkin kebetulan namanya sama.” Azhar Malik bersuara lagi, Anuar Malik mengangguk menandakan dia bersetuju dengan pernyataan Azhar itu.
“Saya ada salinan kad pengenalan Encik Ahmad Maliki dan Adra Malaeka. Berbekalkan kad pengenalan ini saya dapat menjejaki kedudukan Adra di Kedah.” Daffa menyerahkan salinan tersebut kepada Azhar dan Anuar.
“Saya hanya boleh katakan, yang adik saya Adra tidak terlibat. Saya yakin itu. Kalau boleh saya tahu, di mana majlis nikah itu dijalankan?” Anuar Malik pula bersuara.
“Melaka. Alor Gajah. Ini semua dokumen pernikahan saya dan Adra.” Daffa kelihatan sedikit berkompromi, tidak pula meroyan seperti selalu. Mungkin dia mula rasa bersalah menuduh Adra Malaeka macam-macam, setelah merasakan Adra Malaeka sebenarnya telah berkata benar.
“Boleh kami berbincang sesama keluarga dahulu?” Azhar Malik meminta izin, setelah itu mereka sekeluarga berbincang. Ibu Adra sesekali mengesat air matanya yang berlinang, Adra memeluk erat ibunya. Beberapa minit kemudian, mereka semua kelihatan buntu tanpa jawapan dan Anuar sebagai ketua keluarga membuat kesimpulan bagi hal tersebut.
“Kami sekeluarga minta maaf dengan Encik Daffa. Kami sejujurnya tidak tahu menahu hal pernikahan Adra Malaeka, apatah lagi duit 200 ribu tu. Kami rasa mungkin ini dirancang oleh ayah kami yang hampir 10 tahun kami berpisah. Itu kami tidak pasti, yang pasti kami memang tak tahu langsung soal ni. Isu nikah kahwin bukan hal main-main, tak mungkin kami sanggup perdagangkan adik sendiri. Menurut dokumen nikah ini, saksi-saksi nikah kami langsung tidak kenal. Jadi, terpulang kepada Encik Daffa untuk tindakan seterusnya.” Anuar Malik bersuara dengan jelas. Daffa meraupkan wajahnya beberapa kali.
“Saya akan teruskan dakwaan terhadap Encik Ahmad Maliki. Ayah saya meninggal seminggu selepas hari pernikahan tersebut kerana terlalu kecewa. Kepercayaannya dikhianati sahabat baiknya sendiri. Saya sendiri tidak dapat memastikan bahawa Adra Malaeka atau bukan yang menjadi pengantin perempuan pada hari tersebut, oleh itu saya mahu pihak keluarga Adra Malaeka mengeluarkan alibi yang ada yang membuktikan Adra Malaeka tidak terlibat dalam kes penipuan ini.” Daffa yang mempunyai ijazah undang-undang mula bersuara bak peguam pendakwa.
“InsyaAllah, kami akan berikan bukti yang Adra Malaeka tidak terlibat.” Ujar Azhar Maliki.
“Saya minta maaf sekali lagi kerana melarikan Adra Malaeka dengan paksa.” Daffa Jawhar bersuara sejujurnya.
“Kami akan menarik kembali laporan tersebut dan hal ni selesai di sini sahaja. Kami pun rasa bersalah dengan Encik Daffa, jadi kami akan membantu dengan cuba menjejaki ayah kami melalui saudara mara dan kawan-kawan ayah, InsyaAllah.” Anuar Malik bersuara lagi sebelum mengakhiri perbincangan mereka selama tiga jam itu.
Nabil menepuk bahu Daffa beberapa kali, memberikan semangat kepada rakan baiknya itu. Daffa Jawhar sekarang tersenyum hambar, sesekali dia mengeluh berat.
“Nampaknya kena terus mencari...”Daffa bersuara penuh lirih, hatinya kecewa. Lagi kecewa apabila terpaksa menyerahkan kembali ‘isteri’ yang dicarinya beberapa bulan ini kembali kepada keluarganya.
“Aku akan sentiasa membantu kau, jangan sedih!” Ujar Nabil sambil menepuk bahu Daffa kuat. Daffa tersenyum kecil. Baru hendak memasuki kereta, suara Adra Malaeka menyapa telinganya.
“Encik Daffa, Mak saya suruh singgah rumah dulu. Jom?” Ujar Adra Malaeka. Daffa yang kelihatan terkejut, menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal, serba salah dengan jemputan itu. Nabil yang memandang sedari tadi hanya tersenyum.
“Jom doktor Nabil, singgah rumah dulu ye.” Adra Malaeka berbahasa, kemudian membuka pintu belakang kereta dan terus sahaja masuk ke dalamnya.
“Eh, kau naik kereta ni jugak ke?” Soal Daffa.
“Mak saya suruh, boleh la ye... Jom?” Daffa merengus perlahan, belum lagi membuat keputusan tetapi terpaksa sahaja bersetuju. Daffa kemudian memandu terus ke kediaman keluarga Adra Malaeka. Perjalanan yang memakan 15 minit itu sunyi sepi, yang kedengaran hanyalah suara Adra Malaeka yang menunjukkan arah ke rumahnya.
++++++
 ada beberapa bahagian yang longgar.
abc dah baca banyak kali
tapi tak ubah.
sebab?
susah woo nak buat rasa kena culik dan ketakutan
huhuhu
abc sedang edit.
sebarang komen dan cadangan di alukan.
much love readers!

Thursday, October 10, 2013

berhenti seketika ~~ CAP

Assalamualaikum.
Selamat hari khamis!

Alhamdulillah, sokongan anda tidak pernah putus.
tapi tajuk entri macam MENGECEWAKAN betul tak?

terpaksa berhenti sekejap.
sebelum kembali pos part 5 CAP.
bukan lama, sekejap aje.

abc nak mengolah sedikit.
sebab dari komen 'happy mind' buat abc kembali berfikir laju.
hanya satu kata aje masa baca komen tu " kan dah kata!"
yes, adra macam syok kena culik. hahaha
actually, abc nak buat dia macam confius, stress atas semua benda
yang berlaku secara tiba-tiba. so kiranya, mesej tak sampai.
sekejap ye, I edit sikit, nanti u'olss akan lebih 'syiok' baca hehehe

hari ni abc busy, busy nak kemas baju nak balik raya!
lama woo tak balik Kedah! :)
happy sangat u!

abc sedang edit semua cerpen.
bagi cukup 20 cerpen.
abc nak buat hardcopy, dan berikan kepada LIKE ke 789 dan FOLLOWER yang ke 987
kiranya sempatlah proses editing printing dan binding :)

much love readers. teruskan menyokong saya!

Wednesday, October 9, 2013

Novel : Cinta Atas Paksa (CAP) 4





Part 4
            Nabil melangkah laju ke dalam rumah, selepas keretanya diparkir di depan pagar. Loceng rumah dibunyikan, sebelum dibuka oleh Mak Wan, pembantu rumah Daffa Jawhar. 

            “Daff... polis dah mula cari isteri kau tu. Family dia dah mula edar gambar. Lebih baik kau jumpa family dia, jelaskan semua.” Nabil menyerahkan surat khabar dan beberapa helai kertas yang mempamerkan wajah Adra Malaeka. Daff mengambil dan membeleknya seketika.

            “Semalam pun Mak Wan dah bagitau. Aku pun terfikir juga. Budak tu pun hari-hari menangis. Tension aku!” Keluh Daffa. Dia dan Nabil kemudiannya melabuh duduk di sofa. Mak Wan datang menatang air untuk Nabil dan Daffa.

            “So, tunggu apa lagi? Kita pergi sekaranglah, bawa isteri kau tu sekali.” Nabil bersuara. Daffa menggeleng membuatkan Nabil berkerut dahi.

            “No... kau gila? Buat dia report aku dera dia, pukul dia. Mampus aku!” Ujar Daffa.

            “Hah! Baru kau takut, masa buat tak fikir. Buat dia call talian Nur, memang mampus la kau Daff!” Nabil menyindir tajam. Daff berdecit, mungkin terasa dengan sindiran itu.

            “Kau kalau tak mengata aku memang tak sah!”Daffa membalas, rajuk!

            “Aku check Adra kejap lagi, tengok bila kita boleh serah diri.” Ujar Nabil. Daffa membuntang matanya.

            “Bukan serah diri okay, aku tak bersalah. Kira okay aku tak saman dia, aku ambil hak aku aje. Kalau aku saman juta-juta?” Nabil menjuih bibir, meluat mendengar ‘riak’ kawan baiknya itu.

            Adra memberi salam, menyudahi solat zuhurnya. Tangannya menadah, memohon doa daripada Yang Maha Esa. Dia memohon semoga Allah memberikan dia jalan keluar daripada kemelut yang melanda dirinya. Pintu bilik yang dibuka dari luar, membuatkan Adra cepat-cepat menyudahkan doanya.

            “Maaf kami menganggu.”Nabil bersuara, sopan. Daffa masih dengan wajah bengis dan egoisnya.

            “Takpe, saya dah siap solat pun.” Adra menjawab lembut. Sejadah dilipat, telekung dibiar melekap pada tubuh.

            “Saya datang nak periksa Cik Adra.” Ujar Nabil, beg peralatannya ditunjukkan. Adra sekadar mengangguk faham. 

            “Saya pakai tudung kejap.” Adra melangkah ke bilik air selepas mengambil tudung yang disangkut di kerusi. Nabil sekadar mengangguk.

            “Jangan layan baik sangatlah.”Daffa baru bersuara. Nabil sekadar tersenyum.

            “Dia isteri kawan baik aku.”Ujar Nabil ringkas membuatkan Daffa menjuih bibir.

Seketika kemudian Adra Malaeka melangkah keluar, siap bertudung. Nabil kemudian memulakan tugasnya sebagai doktor kepada Adra Malaeka. Beberapa minit kemudian, Nabil siap menjalankan tugasnya.

            “Semua okay. Cik Adra pun takde rasa sakitkan?” Adra mengangguk perlahan.

            “Tinggal lebam dibibir dan luka di dahi yang dah kering. Minggu depan bolehlah kita pergi.” Ujar Nabil kepada Daffa yang setia berdiri di sisi Nabil sepanjang Nabil memeriksa Adra Malaeka. Nabil sedar ada aura cemburu di sisinya.

            “Okay. Lagi cepat lagi bagus. Aku tak nak nanti nama baik family and business aku habis hancur sebab dia ni.” Daffa menunding jari ke arah Adra. Adra hanya mendiamkan diri.

            “Kau yang mulakan semuanya.”Nabil membalas.

            “Dia dan bapak dia.” Daffa membetulkan, suaranya tegas. Nabil sekadar menjungkit bahu, dia mengemaskan peralatannya masuk ke dalam beg. 

            “Bila saya boleh keluar dari sini?” Soal Adra, mematikan langkah Daffa dan Nabil yang mahu keluar dari bilik itu. Daffa tersenyum sinis.

            “Selagi aku tak ceraikan kau, selagi tulah kau dekat sini.”Ujar Daffa, wajahnya penuh kebencian.

            “Kenapa kurung saya kalau awak kata saya isteri encik?” Adra menyoal lagi. Nabil sekadar memandang.

            “Sebab kau licik. Macam mana kau boleh lari masa hari nikah, tak mustahil kau boleh lari dengan mudah dekat sini.” Daffa membidas lagi.

            “Saya dah cakap, itu bukan saya. Mak saya, abang-abang saya akan jadi saksi yang saya tidak pernah dinikahkan atau bernikah dengan sesiapa.” Entah dari mana Adra mendapat keberanian untuk bersuara. Daffa melangkah menghampiri Adra Malaeka yang sudah berdiri di depan katil.

            “Kau tunggu aje minggu depan. Aku pun tak sabar nak jumpa family kau.” Ujar Daffa yang berdiri betul-betul di hadapan Adra Malaeka. Jarak mereka hanya semeter sahaja.

            “Kenapa tidak harini?” Ujar Adra Malaeka, dia sudah tidak sanggup dikurung lagi.

            “Ni... ni... kau ingat aku bodoh?” Jari Daffa pantas sahaja menunding ke arah lebam di hujung bibir dan dahi Adra. Adra mengeluh lemah.

            “Saya tak akan buat report pasal ni.” Ujar Adra bersungguh.

            “Kau tu licik dan aku tak bodoh.”

            “Kan saya dah kata tu bukan saya.”

            “Minggu depan.” Ujar Daffa, terus mahu melangkah keluar.

            “Saya tak nak dikurung macam ni, boleh jadi gila tau tak.” Adra Malaeka membentak. Daffa tersentak. Nabil hanya tersenyum.

            “Eh, kau dah berani ye?!” Daffa bersuara kuat. Adra Malaeka menelan liur, hatinya memaki hamun mulutnya yang celupar!

            “Saya minta maaf, tapi saya harap saya tak dikurung.” Adra bersuara lemah. Daffa merenungnya tajam.

            “Daff, kau biarlah dia keluar dari bilik ni. Dah seminggu lebih kau kurung dia dalam bilik ni.” Nabil mencelah, setelah lama memerhati ‘suami isteri’ itu berbincang sesama mereka.

            “Aku tak percaya dia ni.”Daffa bersuara, ringkas. Nabil sekadar menggeleng. Adra Malaeka mengeluh perlahan.

            “Kau kurung dia dalam rumah, bukan bilik.” Ujar Nabil. Daffa memandang Nabil lama, mungkin berfikir. Tiada kata putus, Daffa terus melangkah keluar dari bilik, Nabil menjungkit bahu apabila Adra Malaeka memandangnya sayu. Adra Malaeka mengeluh lemah. Nampaknya dia akan terus berkurung di dalam bilik itu.

            “Buka kunci ditingkap dan pintu. Awasi dia 24 jam.” Arah Daffa kepada dua lelaki berbadan sasa yang sedari minggu lalu mengawasi bilik Adra Malaeka. Nabil tersenyum sendiri. Dia kenal benar sahabat baiknya ini, dalam baran ada baiknya.

            “Keep out your smile.”Nabil terus ketawa dengan amaran Daffa Jawhar. Mungkin terasa sinis dengan senyumannya sebentar tadi.

            Adra Malaeka melangkah perlahan menuruni anak tangga. Matanya melilau, berkeliaran ke segenap pelusuk rumah. ‘Besarnya...”Getus hati Adra melihatkan rumah yang menjadi tempat kurungannya. Adra memberanikan diri keluar dari bilik setelah mengetahui dirinya tidak lagi dikurung di dalam bilik itu. Semua kunci di tingkap bilik dan pintu telah ditanggalkan oleh dua lelaki sasa yang mengawasinya.

            “Nak ke mana?”Suara garau yang amat dikenali itu memeranjatkan Adra Malaeka yang sedang terhendap-hendap dari tangga. Adra berdiri tegak memandang ke arah Daffa Jawhar yang berpeluk tubuh di belakangnya.

            “Nak lari?”Soal Daffa lagi, serius!

            “Eh... tak... saya cuma tengok-tengok rumah awak ni, besar...cantik..”Ujar Adra laju, senafas. Daffa tersenyum hujung bibir, sinis sekali.

            “Jangan sekalipun fikir nak lari dari sini!” Tegas sahaja amaran dari Daffa, Adra terangguk-angguk seperti belatuk yang mematuk pokok.

            “Saya tak lari.”Suara Adra Malaeka perlahan. Daffa memandang sekali kemudian melangkah pergi.
            “Awak...”Panggil Adra mematikan langkah Daffa. Daffa kalih sekilas.

            “Kita kat mana?” Soal Adra.

            “Shah Alam.”Jawab Daffa ringkas, kemudian terus menghilangkan diri di balik pintu biliknya. Adra terlopong. 

            “Jauhnya!”Getus bibir mungil itu, keluhan dilepaskan berat.

            Puan Halimah meraup wajah tuanya. Air matanya sudah kering, menangisi kehilangan anak perempuannya. Rehan sedari tadi menghadap komputer ribanya, mencari maklumat dan mengedar maklumat sebanyak mengenai kehilangan kakaknya di dalam Facebook dan blog miliknya. Beberapa mesej takziah serta sokongan daripada rakan-rakan kakaknya itu dibaca. Sesekali dia mengesat air mata yang mengalir dihujung tubir mata.

            “Ada Along dengan Angah kirim apa-apa berita?” Soal Puan Halimah sebaik sahaja susuk tubuh Qaliff kelihatan memasuki ruang tamu itu. Rehan turut kalih memandang Qaliff yang berwajah muram. Kepalanya digeleng perlahan, gelengan yang membuatkan Puan Halimah mengeluh perlahan.

            “Malam nanti mak dah suruh orang surau buatkan solat hajat dan bacaan yassin. Jangan lupa mesej dekat Along dengan Angah, kita semua pergi surau malam nanti.”Ujar Puan Halimah, lalu terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Setiap hari, itulah yang akan disoal oleh Puan Halimah selama seminggu ini. Rehan memandang Qaliff yang turut memandang ke arahnya, mereka sekadar tersenyum tawar sesama mereka sebelum kembali dengan hal sendiri. 

            “Angah dah telefon Inspektor Zali siang tadi... macam semalam juga, masih dalam siasatan dan proses mencari. Kita berserah pada Allah aje sekarang Long...” Azhar Malik bersuara sebaik mereka berdua melabuh duduk di kerusi batu di depan rumah. Anuar menyisip perlahan kopi yang dihidangkan isterinya sebentar tadi. Azhar sekadar bermain-main jarinya di bibir cawan.

            “Seminggu lebih Ngah... Along sendiri tak tahu nak buat apa lagi. Berserah? Tak mungkin, kita kena berusaha... Along rasa bersalah, kalau la...”

            “Ish... Along jangan salahkan diri Along. Polis sendiri cakap mereka belum dapat tahu motif kehilangan Adra. Diculik atau lari, kita sendiri pun tak boleh nak jawab.” Azhar memintas kata-kata Anuar yang sedari hari kehilangan Adra Malaeka menyalahkan dirinya atas kehilangan adik perempuannya itu. Kata Anuar, kalau bukan kerana kendurinya mungkin Adra masih ada bersama mereka hari ini. 

            “Entahlah Ngah... Along rasa bersalah...” Keluh Anuar, lemah sekali. Azhar menggelengkan kepalanya.

            “Esok genap 13 hari Adra hilang.... insyaAllah, berkat doa kita, mak dan orang-orang kampung kita pasti jumpa Adra, pasti.” Ujar Azhar sambil menepuk bahu Anuar, memberikan keyakinan dan bagi menghilangkan rasa bersalah Anuar itu.

            Mereka melayan fikiran masing-masing sambil menghirup air kopi panas di kerusi batu itu. Seketika lamunan mereka diganggu dengan deringan telefon bimbit milik Azhar. Azhar Malik kelihatan mengerut dahinya.

            “Siapa?”Soal Anuar yang memerhati reaksi aneh Azhar yang sedang memandang ke skrin telefonnya. Soalan Anuar tidak dijawab, talian terus disambungkan.

            “Waalaikummussalam, ye inspektor?” Anuar mula merapatkan diri sebaik perkataan inspektor itu diluahkan Azhar.

            “Betul ni inspektor? Alhamdulillah, Alhamdulillah.... iye-iye esok kami datang ke balai. Terima kasih inspektor.” Azhar berubah riak dari riak wajah serius ke riak begitu gembira. Anuar masih menanti Azhar untuk menjelaskan berita yang baru diterimanya.

            “Along... Adra Along...” Ujar Azhar Malik begitu gembira, dari kedudukan duduk kini dia mula berdiri.

            “Kenapa dengan Adra?” Anuar resah melihat Azhar begitu gembira. Tidak mahu mengharap apa-apa, takut dia kecewa.

            “Alhamdulillah, pihak polis dah jumpa Adra, esok kita semua ke balai. Jom kita masuk jumpa mak.” Azhar terus menarik lengan Anuar supaya menyaingi langkahnya. Senyuman dibibir Azhar Malik masih tidak lekang. Sebaliknya Anuar Malik masih terdiam, berita itu tiba-tiba. Dia seolah-olah tidak percaya.

            “Mak.... Mak....” Jerit Azhar Malik kuat sebaik memasuki ruang tamu. Rehan dan Qaliff yang berada di dapur keluar dengan pantas, Puan Halimah kemudian membontoti langkah Rehan dan Qaliff.

            “Ada apa ni Ngah terjerit-jerit....”Belum sempat Puan Halimah menghabiskan kata Azhar meluru memeluk ibunya. Puan Halimah tercengang, begitu juga Rehan dan Qaliff. Anuar tersenyum sendiri, isterinya yang menghampiri digamit supaya dekat kepadanya.

            “SubhanaAllah... kenapa dengan kamu ni Ngah?” Soal Emak penuh hairan.

            “Alhamdulillah mak, pihak polis dah jumpa Adra, esok Inspektor Zali suruh kita ke balai.” Semua terdiam buat sesaat, kemudian masing-masing mengucap syukur yang tidak terhingga. Keadaan rumah tersebut riuh seketika, masing-masing berasa lapang dada dengan berita itu.

            “Kenapa polis tak hantar Adra balik rumah terus?” Puan Halimah menyoal sebaik semua mengambil tempat di sofa. Azhar Malik menggeleng perlahan.

            “Inspektor Zali ada cakap, Adra tidak diculik. Lepas tu dia kata esok datang balai untuk selesaikan semua.” Kata-kata yang keluar dari bibir Azhar itu membuatkan semua yang ada mengerut dahi.

            “Tak diculik? Maksudnya Adra lari?”Anuar mencelah. Sekali lagi Azhar menggeleng.

            “Itu kena tunggu esok. Apa-apa pun inspektor Zali cakap, Adra dalam keadaan selamat.” Puan Halimah menghela nafas perlahan. 

            “Takpelah, asalkan kita dah jumpa Adra dan Adra selamat. Sebelum tidur, jangan lupa sujud syukur. Allah dah makbulkan doakan kita, insyaAllah.” Puan Halimah bersuara mengingatkan. Anak-anaknya mengangguk perlahan, seorang demi seorang menghampiri Puan Halimah dan memeluknya erat sebelum melangkah ke bilik masing-masing. Hari sudah pun melabuh tirainya. Esok akan bermula episod yang baru bagi setiap seorang anak adam. 

++++++
Saya perlukan komen untuk penambahbaikan :)
much love readers!