Wednesday, May 19, 2021

MINI NOVEL 2020 : MUZIKAL CINTA 22

 


BAB 22

Nur Ayla menutup mulut yang menguap besar. Terasa keletihan perjalanan yang jauh. Sudah lama benar dia tidak ke mana-mana sejak mula bekerja sendiri. Perjalanan kali ini amat memberi makna kepada Nur Ayla apabila bersama-sama dengan lelaki yang dicintainya, Rashid.

“Betul ni sayang, tak nak balik rumah mama papa dulu?” Ujar Rashid sebaik sahaja mengeluarkan beg dan barangan milik Nur Ayla dari kereta. Nur Ayla yang sedang membetulkan tudung di kepala mengangguk laju.

“Nanti saya balik sana, kan saya dah minta izin… ke awak nak tarik balik izin tu?” Nur Ayla menyoal, manja.

“Taklah. Saya risau awak tu. Baru seminggu tau dari apa yang berlaku haritu. Kalau tiba-tiba dia muncul macam mana.” Rashid membalas. Nur Ayla diam, memandang Rashid tak berkelip mata.

“Haa dah kenapa pandang saya macam tu?” Rashid menyoal dengan kening yang sudah bertaut dua.

“Saja nak takutkan saya kan. Saya nak set up kafe’ aje sebab tu kena duduk sini.” Ujar Nur Ayla seakan menjauh hati. Rashid menguntum senyum sebelum merapatkan jarak antara mereka dan menarik Nur Ayla ke dalam pelukannya.

“Saya faham sayang… sorry, saya bukan nak takutkan. Saya risaukan awak.”  

“Teman la saya dekat sini.” Balas Nur Ayla merenggangkan pelukan dan memandang Rashid yang masih menguntum senyum.

“Bukan tak nak. Memang kalau ikut hati, saya simpan awak dalam poket ni. Biar 24 jam awak depan mata saya. Tapi, ada masalah sikit dekat office. Papa kata urgent, jadi terpaksalah saya tahan diri saya dari ikut hati saya ni.” Bahu Nur Ayla dielus perlahan. Nur Ayla mengangguk tanda faham.

“InsyaAllah semua akan baik-baik saja. Semua masalah awak akan selesai dan saya dekat sini baik-baik sahaja.”

“Aamin. insyaAllah. Kalau awak rasa tak sedap hati atau rindu suami awak ni, terus call tau. Saya akan datang secepatnya.” Rashid mengangkat beg Nur Ayla sampai ke depan pintu kafe’. Nur Ayla membuntuti langkah Rashid.

“Kalau rindu eh.”

“Jangan kata tak rindu pulak.” Balas Rashid sambil berdiri tegak dengan kedua-dua tangannya di dalam poket seluar. Nur Ayla dipandang dengan riak wajah serius.

“Taklah, mestilah akan rindu suami saya, seminggu ni asyik berkepitkan.”

“Pandai pun. Saya kena cepat, papa dah tunggu di ofis. Jumpa nanti sayang, I’ll call you later.” Tangan dihulurkan. Nur Ayla cepat-cepat menyambut huluran itu dan mengucup tangan Rashid penuh kasih.

“Hati-hati awak. Jangan bawa laju-laju. Saya tunggu awak call nanti.” Rashid mengusap pipi Nur Ayla sebelum berlalu pergi.

Nur Ayla melambai Rashid sebelum masuk ke rumahnya di tingkat 2. Kerinduan mula menerpa, membuatkan Nur Ayla tersenyum sendiri.

Lima hari bersama-sama Rashid dengan hubungan yang halal, membuatkan mereka bagai tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya meluahkan semua rasa yang ada di dalam hati mereka, yang selama ini mereka simpan dan pendam.

Nur Ayla terutamanya, meluahkan semua rasa cintanya kepada Rashid tanpa berselindung. Segala marah dan kesal juga turut sama diluahkan. Masing-masing tidak lagi mahu saling menyalahkan sesama mereka. Mereka juga tidak lagi mahu menyimpan rahsia sendiri, mereka tahu dan sedar mereka perlu sama-sama mengharungi segala bahagia yang ada juga segala derita yang menerpa. Mereka perlu sentiasa berdua.

Nur Ayla menghempas duduk ke atas sofa. Dia mengambil rehat seketika sebelum perlu bekerja selepas ini. sudah lima hari kafe’ tutup kerana dia pergi bercuti tiba-tiba, jadi Nur Ayla perlu bermula semula. Nur Ayla menghela nafas kuat, malam ini dia perlu bekerja sepanjang malam untuk membuka semula kafe’ esok pagi. Tidak tunggu lama, Nur Ayla bingkas bangun dan terus pergi membersihkan diri. Kerja sudah menanti.

“Sayang, buat apa tu?” Tepat jam 10 malam Rashid menghubungi Nur Ayla.

“Baru lepas siapkan doh roti. Lepas ni nak siapkan doh tart pulak. Awak masih di ofis?” Talian dibuat dalam mode pembesar suara. Tangannya sibuk menyukat tepung.

“Aah, dekat ofis ni, sikit lagi lepas tu saya balik, saya balik sana ye sayang. Rindu.”

“Saya pun rindu awak tapi jauh lah awak. Lewat malam dah awak nak balik sini nanti tu.”

“Macam tak bagi saya balik sana aje.”

“Bukan macam tu, saya pun rindu dekat awak tapi jauhkan. Awak lagilah letih dari saya drive dari pagi sampai malam.”

“Yelah, faham. Banyak ke buat preparation esok tu?”

“Tak banyak seperti selalu, tapi cukup untuk esok pagi sampai tengahari. Saya plan petang esok prepare siap-siap untuk lusa.”

“Letih rehat sayang.”

“Dah biasa, awak pun sama. Letih rehat.”

“I miss you a lot.”

“I miss you too.”

“Ahhh, saya balik malam nanti, tak kira. Rindu teruk.” Nur Ayla ketawa, dia juga merasakan yang sama.

“Yelah-yelah tapi bawak elok-elok, ingat, kalau awak mengantuk balik rumah mama papa dulu tau.”

“Okay sayang, see you soon. Love you sayang.”

“Love you too.”

Talian dimatikan, dengan senyuman Nur Ayla meneruskan kerja-kerjanya. Semakin laju dan bersemangat. Bersemangat mahu menantikan suaminya pulang kerja. Mulut sahaja seakan menolak tetapi hati amat mengharapkan Rashid untuk pulang sesegera mungkin!

 Rashid menutup semua lampu yang terpasang. Setelah selesai kerja yang diminta papa, laju sahaja dia mengemas meja dan terus bersiap untuk pulang. Usai solat isyak tadi, hatinya terasa tidak enak. Berdebar-debar sehingga dia dihimpit kerisauan tentang Nur Ayla yang berseorangan di Seri Iskandar.

Kereta dihidupkan dan terus sahaja dia membelah kedinginan dan sunyi lewat malam itu. Mulutnya terkumat-kamit doa, doa perjalanan yang selamat dan doa isterinya dalam lindungan Yang Maha Memberi Rahmat.

Nur Ayla telah selesai membuat persiapan untuk pembukaan kafe’ esok pagi. Jam telah menunjukkan jam 3 pagi. Cepat-cepat Nur Ayla mengemas apa yang perlu sebelum naik ke tingkat 2. Baru hendak menyangkut apron yang pakai, dari cermin di depannya, Nur Ayla perasan tingkap dapurnya terbuka luas. Nur Ayla pasti dan telah pun memastikan awal tadi sewaktu sebelum memulakan kerja semua tingkap dan pintu ditutup rapat.

Dadanya dihimpit debaran kuat, namun masih berfikiran positif. Telefon di dalam poket seluar dipegang, nombor Rashid dicari dengan pantas dan terus dihubunginya.

“Yes sayang… belum tidur?” Soal Rashid di hujung talian.

“Belum. Awak dekat mana?” Nur Ayla kembali menyoal.

“Dalam perjalanan nak jumpa isteri saya.” Jawapan yang membuatkan Nur Ayla menghela nafas lega.

“Kalau macam tu, boleh tak awak cepat sikit. Saya tak sedap hati.” Ujar Nur Ayla tidak berselindung. Rashid di talian sudah berkerut dahi.

“Why sayang, are you okay?”

“Okay, tapi macam ada tak kenalah. Boleh cepat tak awak?” Nur Ayla ketika itu sudah merapati tingkap yang terbuka, dengan laju dia menutup tingkap itu dan menguncikannya semula. Pintu dapur dipastikan berkunci. Nur Ayla memeriksa seluruh dapur sebelum ke arah ruang kafe’. Lampu dipasang semuanya, terang benderang.

“I am speeding up. Sayang, naik bilik, lock all the doors, okay? Sampai karang I’ll call you.” Ujar Rashid.

“No, jangan hang up. Stay dengan saya boleh? Awak pakai hands-free kan?” Nur Ayla dihimpit rasa takut. Kafe’ telah diperiksa sebaiknya walaupun dalam keadaan takut-takut.

“Okay sayang. Jangan fikir sangat. Awak dah naik bilik ke?”

“Belum, saya check kafe’ dulu.”

“Lahhh sayang, naik bilik, kunci pintu.”

“Saya bukak semua lampu dulu, bagi terang.”

“Sekarang naik bilik.” Ujar Rashid tegas.

“Janganlah marah, okay saya naik sekarang.”

“Tak marah, saya risau sangat ni sayang.”

“Ya tahu, saya pun. Okay dah dekat atas.”

“Masuk bilik kunci pintu, saya sampai nanti baru keluar, okay?”

“Janganlah letak, teruskan cakap dengan saya boleh?” Pinta Nur Ayla, sambil mengunci pintu bilik setelah membuka semua lampu di tingkat atas. Biliknya juga telah diperiksa terlebih dahulu sebelum mengunci pintu. Biarpun Nur Ayla mahu kekal positif, dia tetap berasa amat risau. Risau kalau apa yang difikirkan ketika itu benar-benar berlaku.

“Boleh tapi sayang, I need to call my friend. Inspektor Ibrahim. Saya nak minta tolong dia tentang hal awak ni. Just a few minutes.”

“Okay, tapi lepas tu terus call saya tau.”

“I will sayang, jangan fikir banyak. Stay in your room.” Pesan Rashid sebelum mematikan talian. Nur Ayla memandang telefonnya sebelum menghela nafasnya kuat. Debaran ini membuatkan dia seakan sesak nafas.

Bunyi tingkap pecah membuatkan Nur Ayla terkejut besar hingga terangkat bahunya. Dengan sedikit keberanian, Nur Ayla menjengah ke tingkap dan memandang ke luar. Dari tingkap biliknya Nur Ayla dapat menangkap sosok tubuh seseorang sedang berbuat sesuatu di pintu belakang kafe’. Tingkah sosok itu seakan cuba memasuki kafe’, membuatkan jantung Nur Ayla seakan mahu berhenti. Laju dia berlari mendapatkan telefon dan terus menghubungi Rashid.

“Sayang, saya nak sampai dah ni.”

“Awak, ada orang nak masuk kafe’, dia ada dekat pintu belakang. Dia pecahkan tingkap yang terbuka tadi. Tadi saya kunci. Saya takut.” Nur Ayla terketar-ketar menerangkan keadaannya.

“Allah… stay in your room. Saya call polis.” Rashid mematikan taliannya dengan Nur Ayla dan kembali menghubungi Ibrahim.

“Ibrahim, my wife in danger. Aku rasa dia ada di kafe isteri aku. Boleh kau tolong aku?” Ujar Rashid laju sebaik sahaja Ibrahim menyambung talian.

“Okay baik, aku akan arah peronda terhampir untuk ke kafe isteri kau. Aku akan gerak ke sana secepatnya. Jumpa nanti.” Talian terus dimatikan. Tindakan segera yang pantas amat diperlukan ketika ini.

Rashid menekan minyak menambah kelajuan pemanduannya. Hanya beberapa kilometer sahaja lagi untuk sampai. Mulutnya berhenti dengan doa-doa untuk isterinya.

Nur Ayla semakin dihimpit ketakutan setelah melihat sosok tubuh itu sudah hilang dari pandangannya dan pintu dapur kafe telah terbuka. Nur Ayla menekap tangan ke dada. Jantungnya berdetak pada kadar luar biasa. Nama Allah meniti di bibirnya.

“Saya rasa dia dah masuk kafe’” Nur Ayla menangis di talian.

“Saya dah sampai sayang, jangan keluar. Stay in your room.” Ujar Rashid yang baru tiba. Ibrahim juga sampai pada masa yang sama. Rashid keluar dari kereta dan bersalaman dengan Inspektor Ibrahim, sahabat lamanya. Dua buah peronda polis telah pun sampai lebih awal. Inspektor Ibrahim kelihatan sedang berbincang dengan para anggotanya.

“Saya takut. Cepatlah datang sini. Saya boleh dengar dia naik tangga.” Nur Ayla sudah teresak-esak menangis. Pintu dipastikan lagi sekali berkunci dengan baik.

“I am here sayang, saya dengan Inspektor Ibrahim. Polis pun dah ada ramai ni.”

“Saya keluar sekarang ya.”

“No, no… stay. Sampai saya sendiri datang depan pintu bilik baru awak buka. Boleh sayang? Jangan menangis sayang.”

“Saya takut.”

“I know. Sekejap aje. Stay, okay?” Rashid mematikan talian sebaik selesai memujuk Nur Ayla. Ikutkan hati sememangnya dia mahu terus mendapatkan Nur Ayla ke dalam pelukannya. Jika Nur Ayla takut, dia seribu kali lebih takut. Jika Nur Ayla risau, dia seribu kali lebih risau.

“Kami akan masuk dulu, once dah clear, I call you in.” Ujar Inspektor Ibrahim kepada Rashid. Rashid mengangguk kepala tanda faham dengan arahan disampaikan.

Inspektor Ibrahim kemudian memberikan arahan kepada para anggotanya dengan penuh taktikal yang telah dirancang. Keadaan kafe’ yang terang benderang ketika itu, memudahkan pandangan mereka.

Beberapa orang anggota polis telah pun bersedia di bahagian belakang kafe’ menunggu arahan seterusnya daripada Inspektor Ibrahim. Inspektor Ibrahim sudah bersedia untuk masuk ke kafe melalui pintu depan yang telah pun dibuka kunci oleh salah seorang anggota sebentar tadi.

Kafe’ Nur Ayla tiada sistem kawalan, memudahkan penjenayah untuk masuk dan ketika ini membantu kerja polis yang datang secara diam-diam untuk memerangkap ‘dia’ yang memecah masuk ke kafe’.

“Ayla… hang ada mana sayang… aku dah sampai ni, aku rindu dekat hang…” Suara itu bergema kuat di tingkat 2 kafe’. Nur Ayla yang teresak menahan ketakutan, tergamam dan terkaku seketika mendengar suara yang amat dikenalinya. Malik!

“Hang ada mana haa, aku mai dah ni. Hang tak rindu aku ka, lama aku tunggu hang.” Suara Malik bergema kuat, kedengaran pintu-pintu cuba dibuka. Kemudian, derap kaki kedengaran kuat di depan pintu bilik Nur Ayla.  

Malik tersenyum lebar, dengan mata yang merah menyala. Tombol pintu dipulas, namun berkunci. Pintu diketuk beberapa kali, sengaja mahu menggetarkan hati Nur Ayla yang dia yakin berada di dalam bilik ini.

“Hang dalam ni kan sayang…. Mai la keluaq, aku rindu hang.” Terus sahaja pintu bilik diketuk sekuat-kuatnya, seperti mahu memecahkannya.

Nur Ayla menjerit ketakutan di dalam bilik itu apabila pintu biliknya bagai hendak pecah dihentak Malik diluarnya. Tetapi mengingat apa yang Rashid khabar sebentar tadi, membuatkan Nur Ayla mempunyai sedikit kekuatan. Dia tidak sendirian, suaminya ada di luar bersama-sama anggota polis yang sudah bersedia untuk menangkap Malik.

“Malik! Anda ditahan atas kesalahan menceroboh dengan niat khianat. Serah diri anda!” Tempikan kuat di belakangnya membuatkan Malik laju berpaling. Malik berang, dia bertempik kuat.

“Aku nak jumpa kekasih aku! Aku nak jumpa Ayla!!!” Malik bertempik makin kuat. Namun tidak lama, dengan kecekapan polis dalam hanya beberapa saat, Malik tewas dan telah digari.

Rashid ketika naik ke atas, setelah tidak lagi dapat menahan diri apabila mendengar jeritan Nur Ayla. Ketika itu, Rashid memandang Malik yang sudah dalam tahanan polis. Malik meronta kuat mahu melepaskan diri sebaik sahaja saling berpandangan dengan Rashid ketika itu.

“Ayla aku punya! Kalau aku tak dapat sesiapa pun tak akan dapat!” Tempik Malik. Rashid mengepal penumbuknya, mujur ada polis, jika tidak mahu dilepaskan penumbuk itu tepat pada muka Malik.

“Ayla milik aku, selama-lamanya akan jadi milik aku seorang. Kau hanya akan mampu berangan, hiduplah kau meringkuk dalam tembok sana!” Balas Rashid perlahan namun menusuk tajam. Kata-kata yang membuat Malik meronta lagi kuat sehingga dua anggota polis perlu memegang dia. Inspektor Ibrahim mengarahkan anggotanya membawa Malik pergi dari situ.

“Semua dah clear, bahagian bawah hanya tingkap aje pecah, dia guna batu. Pintu semua okay. Nanti kau bawak isteri kau pergi balai untuk buat full statement.” Inspektor Ibrahim kemudian bersalaman dengan Rashid sebelum kembali meneruskan tugasnya. Rashid pula tidak membuang masa, terus mendapatkan Nur Ayla yang masih berkurung di dalam bilik.

“Sayang, saya dekat luar ni, buka pintu sayang.” Suara Rashid dari luar pintu. Nur Ayla yang mendengar suara yang dinanti-nantikan terus bangkit membuka pintu. Sebaik sahaja melihat sosok tubuh Rashid berdiri tegak di depan pintu itu. Nur Ayla terus sahaja memeluk tubuh Rashid seeratnya, menghembur semua ketakutan di dada suaminya. Rashid mengeratkan pelukan, menggosok lembut belakang badan Nur Ayla sambil membisikkan kata-kata semangat.

“Jangan nangis lagi sayang, semua dah selamat.”

“Saya takut sangat.” Ujar Nur Ayla dalam tangisan. Rashid mengangguk perlahan.

“I know, semua dah selamat. Malik dah kena tangkap. InsyaAllah, lepas ni dia tak akan ganggu sayang lagi.” Ujar Rashid menenangkan Nur Ayla yang teresak-esak menangis.

“Awak, kita tengok kafe’ boleh?” Suara Nur Ayla setelah lama menangis. Rashid memegang wajah Nur Ayla dengan kedua-dua tangannya. Memandang lama dan kemudian menyapu air mata yang bersisa.

“Jom kita pergi tengok dan kemas apa yang patut.” Rashid menarik tangan Nur Ayla untuk beriringan turun ke bawah.

Nur Ayla memeriksa ruang depan kafe’, manakala Rashid memeriksa ruang dapur. Pintu dapur ditutup semula. Kunci yang dirosakkan segera dibaiki seadanya untuk lewat malam ini.

Nur Ayla kemudian menyapu semua kaca tingkap yang berteraburan di lantai. Tingkap yang berlubang, Rashid tutup sementara dengan plastik hitam.

“Esok saya panggil orang repair semua ni ya. Dah sayang, dekat subuh dah.” Ujar Rashid kepada Nur Ayla yang masih ligat membersihkan dapur kafe’nya.

“Tu la dah subuh, lepas subuh saya nak siap-siap untuk bukak kafe’ pulak. Jom lah, mandi, solat dulu. Nanti saya turun sini, buat breakfast untuk awak.” Rashid berkerut dahi. Tangan Nur Ayla dicapai, dielus perlahan.

“Sayang, are you alright?” Soal Rashid. Nur Ayla memandang Rashid dengan pandangan pelik.

“Okay dah. Kenapa awak? Pandangan tu semacam aje?” Nur Ayla kembali menyoal.

“Baru aje selesai semua perkara yang diluar jangkaan kita sayang. Kita pula baru balik dari honeymoon and kejap lagi tetap nak bukak kafe’?”

“Awak… saya dah siap tau semua. Rugilah saya kalau tak buka kafe’.”

“Saya bayar kerugian tu.”

“Awak… saya okay. Tadi memang takut, risau semua ada tapi dah okay. Awak pun dah depan mata saya pun. Please…” Nur Ayla menggenggam tangan Rashid erat. Rashid mengeluh menghela lelah.

“Degil.”

“Tak… saya bekerja sendiri awak. Ini sumber pendapatan saya. Penat, letih, sedih saya dah rasa. Saya dah siapkan semuanya tadi, esok nak habiskan sahaja. Saya faham apa yang awak cuba sampaikan. Tapi please…” Nur Ayla meluahkan rasa. Rashid masih tidak berubah riak.

“Okay boleh tapi lepas ni saya dah tak izin awak kerja. Saya mampu jaga awak and bagi seberapa banyak awak perlukan.” Kata-kata yang membuatkan Nur Ayla terus melepaskan genggaman tangannya. Mata Nur Ayla berkaca.

“Awak… sampai hati awak.” Nur Ayla terus berlari naik ke tingkat atas. Kecewa. Kecewa Rashid membuat keputusan tanpa langsung fikirkan dirinya. Rashid meraup wajahnya kemudian menghela kuat, menghela kekesalan dengan kata-kata yang dia keluarkan tanpa berfikir panjang.

Nur Ayla telah siap membakar beberapa jenis roti, pastry dan cheesetart. Disusun elok semua di tempatnya. Nur Ayla membetulkan apronnya sebelum membawa keluar papan menu untuk diletakkan di depan pintu kafe’.

Ketika itu Rashid yang sudah bersiap untuk ke pejabat turun dari tingkat atas. Nur Ayla hanya mengerling sesaat sebelum kembali menyibukkan diri. Masih terasa hati dengan kata-kata Rashid awal pagi tadi. Namun, sarapan untuk Rashid telah pun disiapkan di meja di dapur.

“Sayang, saya nak ke ofis dulu. Nanti orang yang nak repair pintu dengan tingkap akan datang. Dalam jam 10 nanti.” Nur Ayla hanya mengangguk. Rashid kemudian menghulurkan tangannya. Nur Ayla terus menyambut dan menyalami Rashid. Rashid mahu menarik Nur Ayla ke dalam pelukannya seperti selalu yang dilakukan, namun laju sahaja Nur Ayla melepaskan diri dan membawa diri ke dapur. Rashid hanya diam dan memandang sepi tingkah Nur Ayla. Salah diri sendiri, Rashid tahu dan sedar. Malas melayan rasa, Rashid terus sahaja membawa diri.

Dari jauh Nur Ayla memandang langkah Rashid yang hilang membolos diri ke dalam kereta. Nur Ayla kecewa, tiada langsung kata maaf atau penjelasan dari Rashid tentang hal awal pagi tadi. Nur Ayla memejam matanya rapat, mencari semangat yang kian hilang.


Friday, May 7, 2021

MINI NOVEL 2020: MUZIKAL CINTA 21

 



BAB 21

Majlis selesai dengan baik dan lancar sahaja, sesuai dengan perancangan ‘last minute’ mereka. Nur Ayla menghela nafas lega namun masih ada penjelasan yang perlu dibuat kepada Rashid. Menyebut nama Rashid sahaja membuatkan Nur Ayla getar sendiri. Dalam puas dia menolak, akhir lelaki itu sekali lagi menjadi hero untuk dirinya. Hero sampai syurga. Dengan sekali lafaz, Rashid telah menjadikan Nur Ayla isterinya yang sah.

Rashid memasuki ruang bilik Nur Ayla sebaik sahaja keluarganya sudah pulang ke homestay semula. Rashid memandang Nur Ayla yang termenung di jendela dengan masih lengkap dalam persalinan putih. Entah apa yang dipandang dalam gelap malam ini.

“Pandang apa tu?” Tegur Rashid sebaik sahaja menghampiri Nur Ayla. Nur Ayla yang terkejut disapa tiba-tiba oleh Rashid, laju sahaja menyapu air mata yang membasahi pipi.

“Gelap kat luar ni, pandang lama sangat nanti benda lain yang awak nampak.” Rashid menambah, sengaja mengusik Nur Ayla. Bukan tidak perasan Nur Ayla masih menangis, tetapi sengaja tidak mahu membangkitkan hal itu.

“Tak pandang apa pun, saja ambik angin malam.” Ujar Nur Ayla dengan suara yang serak selepas menangis.

“Kan tak elok kena angin malam, nanti demam. Tengok tu suara pun dah serak tu.” Rashid masih mood mengusik Nur Ayla. Nur Ayla mendecit.

“Mana ada.” Balas Nur Ayla. Rashid ketawa kecil. Menyandar badan ke bingkai tingkap. Nur Ayla beranjak memberi ruang.

“Tak perlu menangis, semua dah selesai. Awak tak gembira?”

“Awak gembira ke?” Nur Ayla membalas dengan soalan. Rashid mengangguk laju.

“Sangat gembira. Akhirnya Allah izinkan saya menghalalkan awak dengan cara baik.” Nur Ayla mengerut keningnya, matanya masih tersisa air mata. Rashid menyapu air mata itu dengan jarinya. Nur Ayla agak terkesima dengan perbuatan Rashid yang diluar jangkaannya.

“Cara yang baik? Maksud awak, awak pernah plan yang tak baik ke?”

“Mungkin. Kalau dah awak asyik menolak saya walaupun dalam hati tu nak, apa pilihan saya ada?” Ujar Rashid bersahaja.

“Jahatnya.” Rashid tersenyum menampakkan barisan giginya.

“Tapi plan saya tak sejahat Malik.” Nur Ayla terdiam.

“Kata tak akan ungkit lepas kahwin.” Ujar Nur Ayla perlahan sahaja.

“Tak ungkit hal tu pun, lagi pun dah tahu. Kenapalah tak cakap dekat saya? Kalau saya tahu dah pecah muka dia.” Rashid mengepal tangannya kuat. Nur Ayla pecah ketawa.

“Pergh, garang sungguh.”

“Betullah. Benda serius dia boleh gelak.” Nur Ayla masih bersisa ketawa. Mereka diam seketika sebelum Nur Ayla perlahan-lahan menyentuh lembut tangan Rashid dan menggenggamnya erat. Rashid memandang tangannya sebelum memandang Nur Ayla yang tersenyum kepadanya.

“Saya sangat berterima kasih dekat awak, sebab masih sudi menerima saya seadaanya saya selepas apa yang berlaku. Saya nak mintak maaf, banyak kali ignore perasaan awak. Percayalah, saya bukan sengaja menolak awak untuk kembali, tapi saya tak yakin untuk menghadap kebenaran yang ada.” Rashid membalas genggaman tangan Nur Ayla.

“Tak perlu risau. Saya terima awak, Nur Ayla Binti Sulaiman, seadanya awak. Saya jatuh cinta dengan awak pada hari pertama saya bertemu empat mata dengan awak. Saat tu, saya simpan dalam hati saya yang awak akan menjadi suri hidup saya. Jadi, apa sahaja yang berlaku, tak kira apa sahaja berlaku, saya terima awak sebab awak, bukan sebab lain. Jadi, jangan menangis lagi sayang. Saya akan cuba jadikan awak seorang isteri yang paling bahagia. Ini janji saya.” Kata-kata yang sangat mendalam, sejuk didengari, tenang di hati. Nur Ayla kemudian mendekati dan merapatkan jarak antara mereka sebelum terus memeluk tubuh Rashid seeratnya. Rashid kemudian mengeratkan lagi pelukan.

“Jangan tinggalkan saya lagi.” Ujar Nur Ayla dalam pelukan.

“Saya tak pernah tinggalkan awak, walaupun sesaat.”

Mereka berpelukan beberapa ketika. Bunyi cengkerik yang kuat mengejutkan mereka berdua yang hilang dalam kehangatan pelukan mereka sendiri. Rashid kemudian mengusik Nur Ayla.

“Terasa memanggillah katil tu. Jom, sayang.” Bisik Rashid di telinga Nur Ayla, membuatkan Nur Ayla laju melepaskan pelukan.

“Jangan gatal eh.”

“Dah halal sayang, awak menolak boleh jatuh dosa tau.” Rashid mengecilkan matanya. Nur Ayla sudah memerah wajah. Teragak-agak mencari jawapan.

“Makanlah dulu, belum makan kan.”

“Lepas makan, boleh? Dessert… yumss” Rashid menjeling penuh makna, membuat Nur Ayla menelan liur yang penuh ditekak.

“Kalau tak merenyam boleh?” Nur Ayla cuba menahan malu yang kian menebal. Tubuh Rashid yang merapat ditolak lembut.

“Gurau aje sayang. Lagi pun, awak dah tak terlepas dari saya.” Rashid mencuit hidung Nur Ayla. Nur Ayla hanya mencebik dengan senyuman terukir kemudiannya.

“Ayla, hampa tak mau makan ka? Tak sabaq sangat dah ka? Makan la dulu kut ya pun. Senonoh sikit.” Suara emak melaung dari luar bilik jelas kedengaran. Rashid terlopong. Nur Ayla yang sudah masak sikap emak, menekup mulut menahan ketawa.

“Jom, senonoh sikit abang Rashid.” Nur Ayla menarik tangan Rashid untuk sama-sama melangkah keluar bilik. Beberapa orang tetamu masih ada menikmati jamuan makan di luar rumah biarpun majlis telah selesai tepat jam 10 malam.

 

 

Nur Ayla mengangkat beg dan berjalan menuruni tangga. Rashid yang sedang berbual dengan ayah di pangkin mengalih pandangan, memandang Nur Ayla yang sudah siap berkemas.

“Dah siap sayang?” Ujar Rashid, sambil melangkah menghampiri Nur Ayla yang meletakkan beg di tepi kereta.

“Dah, tak bawak banyak pun kan semalam.” Balas Nur Ayla.

“Kalau macam tu, kita gerak sekaranglah.”Suara Rashid sambil membelek jam di tangan.

“Awak ada kerja ke hari ni? Sorry, kalau tahu malam tadi lagi patut awak balik Ipoh.” Nur Ayla beriak bersalah.

“Eh, taklah. Saya dah apply cuti dekat papa seminggu.” Balas Rashid, beg baju Nur Ayla dimasukkan ke dalam boot.

“Dah tu kenapa macam nak cepat-cepat aje?” Nur Ayla memegang lengan Rashid, meminta Rashid memandang ke arahnya. Rashid memegang dagu Nur Ayla kemudiannya dan menggeleng.

“Sebab, abang nak bawa sayang pergi bercuti.” Nur Ayla membeliakkan matanya.

“Ke mana?”

“Nanti sayang tahulah.”

“Tapi kafe saya?”

“Lahhh itu yang difikirnya. Cutilah dulu, tak bankrupt lah seminggu tak bukak.” Balas Rashid sebelum berlalu ke arah ayah dan meminta diri. Nur Ayla berdecit kecil sebelum turut berbuat yang sama.

Emak yang buat-buat sibuk menyapu daun gugur juga dihampiri.

“Ayla balik dulu mak.” Tangan dihulur untuk bersalaman.

“Datang tak berjemput, baliklah. Hang bukan tanggungjawab aku dah.” Mak terus berlalu masuk ke rumah melalui pintu dapur. Nur Ayla menghela nafasnya. Rashid yang menghampiri Nur Ayla, terus memeluk pinggang isterinya.

“Biarlah, mungkin mak tak suka abang.”

“Bukan, mak tak suka saya bahagia.”

“Ish, mana ada seorang mak tak nak anaknya bahagia?”

“Ada, mak saya.” Nur Ayla terus berpaling dan melangkah ke arah kereta.

“Jom lah, kan dah lambat.” Ujar Nur Ayla ke arah Rashid yang seakan membatu, tidak bergerak.

Rashid melangkah dan terus memasuki ruang pemandu.

“Jangan pernah fikir macam tu. Tak ada seorang ibu yang tak nak tengok anak dia bahagia. Percayalah, mak tu sangat-sangat gembira.” Ujar Rashid sebelum terus memandu keluar dari kawasan rumah keluarga Nur Ayla.

Nur Ayla hanya memandang Rashid tidak beriak. Kata-kata Rashid cuba dihadam sebaiknya. Walaupun payah hendak percaya, namun cuba untuk percaya separuh daripadanya. Mungkin, mungkin mak sudah gembira dengan perkahwinannya bersama Rashid.

“Ke mana kita ni?” Soal Nur Ayla setelah lama mendiamkan diri.

“Langkawi.” Balas Rashid.

“Seriously?”

“Iye sayang. Kenapa?”

“Seronoknya!” Nur Ayla menjerit kecil. Rashid ketawa.

“Tak sabar eh nak honeymoon?” Rashid mengangkat-angkat keningnya. Nur Ayla menjeling tajam.

“Gatal la awak ni.”

“Dengan isteri saya sendiri.”

“Tu modal baru eh?”

“Saya sayang awak Ayla.” Ujar Rashid membuat Nur Ayla terus tersenyum lebar. Nur Ayla memeluk lengan Rashid dan menyandar kepalanya ke bahu Rashid.

“Terima kasih sayang saya, saya pun sayang awak.”


FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders