BLIND DATE 3 (SIAPA
NUR DHIA?)
Hari yang dinanti dalam kegusaran
telah tiba. Beberapa minit sahaja lagi rombongan Nour Zaed akan tiba, tetapi
Mak Cik Soraya masih belum diberitahu akan hal itu. Sudah difikirkan pelbagai
cara dan kaedah untuk memberitahu akan hal ini namun Nur Dhia masih
teragak-agak. Masih kekal dalam ingatan, masih terasa sakit sengatan yang
hinggap ke tubuhnya saat Hafiz rakan sekelasnya datang menghantar buku latihan
yang tertinggal di sekolah. Mak Cik Soraya memukulnya tanpa belas. Mak Cik
Soraya menuduh Nur Dhia sudah pandai menganyam cinta ketika di bangku sekolah,
tidak menjaga maruah. Mulalah asal usulnya diungkit. Kadang kala Nur Dhia
terfikir, apakah benar dia bukan anak ayahnya? Ayah, disaat habis hayatnya
masih bertegas dia adalah anaknya. Kenapa Mak Cik Soraya sebaliknya?
“Kak Dhia, Mak Cik Soraya tengah
mengamuk!” Kelam kabut Johan memanggilnya di buaian yang berada di dapur. Nur
Dhia sudah resah. Mampus! Segera seliparnya disarung ke kaki. Langkah diatur
laju di belakang Johan.
“Kahwin? Apa betina tu buat dekat KL
nu? Tak guna punya budak! Dari kecik dok malukan aku! Johan! Mana Dhia? Hang
panggil betina tu cepat!” Jelas dan nyaring suara Mak Cik Soraya kedengaran.
Nur Dhia tergamam. Semua hantaran sudah bertaburan di tanah. Kelihatan Tok Mak
dan Mummy beriak terkejut dengan kerutan di dahi. Mungkin tidak menyangka hajat
yang baik dibalas sebegitu rupa. Nour Zaed sudah berketap gigi. Jelas rahangnya
bergerak-gerak. Nur Dhia mengucap dalam hati dan bertawakal.
“Mak cik, saya tak buat apa-apa.
Saya sepatutnya bagitau dekat mak cik tentang rombongan ni tapi saya lupa.” Nur
Dhia tak berani menyatakan ketakutannya. Lupa? Mana mungkin lupa. Sudah
seminggu dia sukar untuk melelap mata kerana hal ini. Apa yang ditakutkan telah
terjadi, apa yang harus dia lakukan sekarang? Mata Mak Cik Soraya
menyala-nyala. Seram!
“Hang memang sengaja nak malukan
akukan? Hang nak kahwin? Siapa nak hang? Hang tu anak tak sah taraf, anak
haram! Sapa yang nak ambik hang jadi bini? Ni aku tau, hang mengandungkan?
Dasar anak haram, perangai macam haram!” jerkah Mak Cik Soraya, laju sahaja
tangannya menampar kuat pipi Nur Dhia sehingga gadis itu terjelepok jatuh ke
tanah. Kaki mak cik Soraya terus sahaja memijak dan menendang perut Nur Dhia.
“Biaq aku pijak hang bagi hang
dengan anak hang mampus!” Mak Cik Soraya bagaikan orang gila yang sudah hilang
warasnya. Nour Zaed yang mulanya hanya berdiri dan memerhati, tidak betah lagi.
Ditolaknya Mak Cik Soraya sehingga terdorong ke belakang orang tua itu. Nur
Dhia dilindunginya.
“Aku hormat kau sebagai orang tua,
orang perempuan tua. Kalau kau lelaki, dah lama aku kerjakan. Kau tak ada
langsung belas kasihan? Kalau pun betul Nur Dhia ini bukan anak kau, siapa kau
nak menghina dia? Di sisi Tuhan Nur Dhia ini lebih mulia dari kau!” bagai
halilintar suara Nour Zaed bergema di situ. Tok Mak dan Mummy menghampiri Nur
Dhia dan membantu Nur Dhia untuk bangun. Kaki Nur Dhia seakan lembik akibat
kesakitan yang ditanggungnya.
“Hoi! Hang datang rumah aku tak
berjemput hang nak maki aku? Kalau hang rasa Nur Dhia ni mulia, hang ambik la
dia. Aku dah lama nak buang dia dari hidup aku. Dari kecik sampai sekarang
bawak malang dekat aku!” Mak Cik Soraya mula melangkah menaiki tangga mahu
masuk ke rumah. Nur Dhia mula bersuara, merintih sedikit kasih dari Mak Cik
Soraya.
“Mak cik, Dhia minta maaf. Dhia tak
malukan mak cik, Dhia tak buat apa-apa. Dhia nak kahwin elok-elok. Mak cik
jangan buang Dhia. Dhia nak pergi mana kalau mak cik buang Dhia?” Nur Dhia
masih bertutur dengan baik walaupun mak cik Soraya sedari tadi memakinya.
“Aku kisah apa hang nak dok kat
mana. Selama ni aku memang harap hang takdak dalam hidup aku. Aku benci hang
sampai mati!” Terus sahaja pintu rumah di tutup rapat. Nur Dhia merintih,
menangis.
“Kau ni apa hal? Dia tu jahat, pukul
kau macam nak mati, kau masih nak duduk dengan dia? Gila ke?” Nour Zaed sudah
hilang sabar. Nur Dhia terlalu berlembut!
“Mak Cik Soraya satu-satunya saudara
yang saya ada. Saya dah tak ada sesiapa lagi awak.” Nur Dhia menangis lagi.
Mummy dan Tok Mak memandang penuh simpati.
“Sekarang ni, kita balik rumah kita
dulu. Rehat dan rawat luka-luka Dhia ni. Kemudian baru kita bincang hal yang
jadi hari ini.” Mummy memberi cadangan. Tudung Nur Dhia dibetulkan letaknya.
Jatuh kasihan kepada gadis ini. Anak haram? Mana ada anak yang haram. Anak yang
lahir semuanya suci. Allahuakbar, mudahnya manusia melabel manusia lain
sedangkan diri sendiri ada celanya.
Baru melangkah beberapa tapak ke
kereta. Hentakkan di belakang kepala membuatkan Nur Dhia mengaduh sakit. Semua
yang ada turut tersentak. Beberapa beg pakaian yang menghempas tanah
mengejutkan mereka. Tok Mak mengucap panjang. Belakang kepala Nur Dhia
dipegangnya. Mujur sahaja bingkai kaca itu tidak melukakan kepala Nur Dhia,
mujur sahaja Nur Dhia memakai tudung. Kalau tidak, sudah tentu habis berdarah
kepala gadis itu. Sungguh perempuan tua itu sudah gila!
“Astagfirullah, Soraya… awak ni
memang tak beradab.” Tok Mak bersuara, hilang sabar. Mak Cik Soraya tak
membalas, hanya menjeling tajam. Daun pintu dihempasnya. Nur Dhia mengalirkan
air matanya sekali lagi. Malunya dia kepada keluarga Nour Zaed dengan apa yang
berlaku. Johan dan Nour Zaed mengambil ke semua beg yang dibuang oleh Mak Cik
Soraya dan di masukkan ke dalam kereta. Johan yang baru sampai sudah
termengah-mengah. Nur Dhia mendekati Johan.
“Johan hang tolong kak Dhia.” Nur
Dhia bersuara dengan suara yang menahan sakit dan sengal-sengal.
“Tolong apa kak? Macam tak biasa
pulak kak Dhia. Hat Johan boleh tolong, Johan tolong. Haa apa dia?”Johan yang
termengah-mengah mula mengambil nafas yang lebih teratur.
“Hang jaga Mak Cik Soraya naa,
tengok-tengok dia. Kalau ada apa-apa terus bagitau kak.” Johan sudah
tergaru-garu kepalanya.
“Jenuh tu kak. Tapi tak apalah.
Johan cuba. Kalau ada apa-apa nanti Johan cari kak Dhia. Kak Dhia jangan
risau.” Nur Dhia mengangguk, mengukir senyuman dalam payah. Hancur hatinya
dengan tindakan Mak Cik Soraya. Mungkin inilah jawapan resah hatinya selama
seminggu ini. Allah, kuatkanlah diriku.
“Orang tu pijak dia, maki dia, boleh
dia suruh budak tu jaga lagi. Awak ni Malaikat dari langit ke Dhia?” Tak habis
lagi leteran Nour Zaed walaupun mereka semua sudah hampir sampai ke rumah. Mak
Tok dan Mummy hanya menggelengkan kepala. Kurang senang dengan sikap Nour Zaed
yang satu ini. Bila hatinya risau, marah, mulut takkan berhenti membebel.
“Sudahlah Zaed, kesiankan Dhia.
Dahlah sedih pasal tadi, kamu tambah lagi. Kamu nak buat dia menangis sampai
esok ke?” Tajam sahaja Mak Tok menyindir. Dia sendiri tertekan mendengar
leteran cucu kesayangannya itu. Nour Zaed sudah terdiam, namun masih menjeling
Dhia yang berada di sebelahnya. Nur Dhia masih teresak nangis, sekali sekala di
sapu air matanya.
“Zaed nak kahwin dengan Dhia hujung
bulan ni.” Nour Zaed bersuara lagi, membuatkan Nur Dhia berpaling memandang ke
arah Nour Zaed yang memandu. Mak Tok dan Mummy hanya mengangguk perlahan. Faham
benar perangai Nour Zaed, A katanya A sampai bila-bila.
“Awak masih nak kahwin dengan saya?”
Perlahan sahaja Nur Dhia menyoal, masih dalam esak tangisnya. Kurang percaya,
sejak beberapa tahun dahulu Dhia cuba mencari satu tempat yang membolehkan dia
menyorok dari manusia-manusia yang mengenalinya. Yang tahu asal usul dirinya
yang dia sendiri tidak pasti. Kini muncul lelaki yang masih tidak jelas siapa
sebenarnya menerima dia yang tidak pasti asal usulnya.
“Kan saya pernah kata, apa pun yang
berlaku awak tetap akan jadi isteri saya dan saya akan jadi suami awak. Faham? Kalau
faham, kesat air mata, air hidung. Esok kita bertunang.” Mudah sangat Nour Zaed
membuat keputusan. Nur Dhia sendiri dalam keadaan keliru. Malu. Masakan tak malu
bila begitu kelakuan dan tindakan Mak Cik Soraya terhadap Mak Tok dan Mummy. Malu!
Maruahnya dipijak-pijak dan dihina.
“Saya sendiri tak pasti saya ini
lahir secara sah atau tidak, kenapa awak pasti untuk memperisterikan saya?”
Soal Nur Dhia, sebaik sahaja Mak Tok dan Mummy beransur masuk ke dalam rumah.
Nour Zaed menutup pintu kereta dan menekan alarm. Nur Dhia dihampirinya. Nour Zaed
memandang Nur Dhia tanpa kelip. Keluhan berat dilepaskan.
“Awak ni suka makan semut? Cepat
sangat lupa. Bukan saya dah jelaskan ke? Takkan tak faham lagi?” Nour Zaed
menjawab dengan nada mendatar dan kurang senang. Tidak marah cuma rimas. Rimas dengan
Nur Dhia yang payah untuk faham.
“Ya saya faham. Apa pun jadi, apa
pun yang halang, kita berdua tetap akan jadi suami isteri. Tapi yang saya tak
faham, mudah benar awak terima saya. Sedangkan seminggu ini saya risau dan
resah. Kalau awak tahu siapa saya yang sebenarnya. Sekarang awak tahu siapa
saya, tapi awak macam tak terkejut.” Nur Dhia menjelaskan, panjang lebar. Hatinya
kurang senang dengan penerimaan Nour Zaed dan keluarganya yang teramat mudah!
“Apa masalah dengan asal usul awak? Lagi
mudah untuk uruskan perkahwinan kita. Tak perlu cari wali sebab jelas awak
tiada wali. Saudara awak Mak Cik Sihir tu aje kan. Awak sebatang kara. Jadi,
apa masalahnya?” Nour Zaed menjawab lagi, Nur Dhia hilang sabar.
“Awak ni faham atau hanya buat-buat
faham? Saya sendiri tak pasti saya ni anak sah atau tidak!” Nour Zaed merengus.
Bahu Nur Dhia dicengkam kuat. Dipaksa Nur Dhia memandang tepat ke matanya.
“Siapa pun awak, saya akan tetap
dengan keputusan saya. Saya dah kenal awak lama Nur Dhia Adzara Binti Ahmad,
tetapi awak sahaja yang membutakan mata awak untuk kenal saya.” Nur Dhia sudah
keliru dan kusut. Apa lagi yang tidak diketahuinya? Apa sebenarnya yang
dimaksudkan oleh Nour Zaed? Kenal lama? Buta mata? Arghhh! Nur Dhia serabut.
“Apa pun awak cakap, saya perlukan
masa. Saya tak boleh bertunang dengan awak, apatah lagi berkahwin!” Bentak Nur
Dhia. Baru sahaja Nour Zaed mahu membantah, Mummy menjengah keluar.
“Apa lagi kamu berdua ni? Dhia cepat
masuk rumah, Mummy nak letak ubat dekat muka kamu dan badan kamu, esok nak
bertunang kena la berseri. Cepat masuk.” Nour Zaed hanya tersenyum lebar. Senyuman
mengejek Nur Dhia. Nur Dhia takkan mampu menolak lagi. Kurang 30 hari Nur Dhia
akan menjadi milik Nour Zaed. Amin!
6 comments:
Cerita ni makin menarik. Hopefully writer dapat menyambung lagi. ��
hai abc...agak lama gak akk tk ikuti blog ni,
dulu hr2 buka...bagus la skrg dh aktif balik,
cerita ni mmg best...hrp cepat2 sambung lg yer
Bila lah hang nak sambung cerpen hang yang lepas lepas? Nak nasihat je ni, kalau nak buat kerja tu, biar lah secara konsisten. Awak cikgu kan? Saya pasti awak faham.. kalau tak mampu nak habiskan cerpen/novel tu, buat lah satu satu takpun hentikan pembikinannya. Jangan buat kami pembaca tertunggu tunggu. Jangan sibuk nak update cerita baru kalau awak sendiri tak yakin yang awak dapat habiskan cerita tu. Pls take this as a note.
Hmmmm bila nk sambung
garang betoii anon kat atas ni.sbb dia cikgu la, dia tak sempat nak update sambungan cerpen. Amanah kerja perlu diutamakan dahulu. Haish, nak gelak pula dgn cik anon ni
Tq farhain huhu garangkan dia huhu
Post a Comment