Suha
merenung kakinya yang sudah lenguh berjalan. Sehari suntuk dia keluar mencari
kerja. Kerja sementara, sementara menunggu buka semester yang seterusnya.
Keadaan keluarga yang kurang berkemampuan walaupun dia merupakan anak tunggal
membuatkan Suha berusaha gigih mencari kerja. Ayah dan ibu sudah tua, hanya
mengusahakan kebun kecil di belakang rumah mereka. Semester hadapan dia akan
memasuki semester akhir, tentu sahaja banyak wang yang akan digunakan. Mahu
atau tidak, Suha perlu berusaha sendiri tanpa menyusahkan kedua-dua ayah dan
ibunya. Suha mengurut-urut kaki yang dilunjurkan ke hadapan. Hanya dia seorang diri
menunggu bas di hentian berdepan dengan Kedah Medical Centre (KMC) waktu itu.
Tengahari terik begini siapalah yang mahu keluar rumah?
Lembaran-lembaran iklan yang
dilekatkan di hentian itu dibelek-belek Suha sementara menunggu bas lalu di
kawasan itu. Kebanyakkan iklan yang dipaparkan adalah mengenai pinjaman wang
berlesen. Berlesen ke tidak yang pasti, semua itu hanya menjerut leher dengan
nilai faedah yang sangat tinggi. Suha berdoa dalam hati, moga dia dan
keluarganya jauh daripada masalah-masalah kewangan sehingga menyebabkan mereka
sekeluarga berhutang dengan sesiapa. Sedang asyik membelek iklan-iklan yang terpapar, matanya tertancap
kepada satu iklan yang kertasnya sudah agak kusam. Iklan yang menarik
perhatiannya.
“Guru tuisyen peribadi.” Suha
berbisik sendiri. Tangannya pantas sahaja mengeluarkan telefon bimbit dari
poket beg sandangnya.
“Cuba nasib, mana tahu masih
kosong.” Suha bermonolog sendiri, melihatkan keadaan lembaran iklan itu yang
sudah agak kusam membuatkan Suha tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.
“Hello... Waalaikummussalam.” Suha
yang baru mahu bersuara sebaik sahaja talian di sambut, menjawab salam yang
laju sahaja diberikan oleh orang di hujung talian.
“Saya Suha, saya ada baca iklan
yang....”
“Mama, Im dah dapat cikgu!!!” Belum
sempat memperkenalkan diri, laju sahaja kata-katanya dipotong. Suha yang mahu
bersuara, akhirnya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Orang di hujung
talian itu, asyik menjerit dan terpekik dengan orang yang dipanggil mama sedari
tadi. Beberapa minit kemudian barulah orang yang dipanggil mama itu mengambil
telefon dan bersuara.
“Hello, cik baca iklan cikgu tuisyen
peribadi tu ye?” Soalnya.
“Ya, ya, iklan tu. Masih kosong
lagi?” Suha menyoal kembali.
“Baru kosong balik. Cik nak kerja tu
ke?” Suara itu menyoal lagi. Suha tersenyum lebar.
“Ye, saya nak. Macam mana ye nak
mohon?” Suha sudah sedikit berharap.
“Datang rumah boleh? Cik dekat
mana?” Soalnya lagi.
“Saya tengah tunggu bas, dekat KMC.”
Jawab Suha, resah juga untuk ke rumah orang yang langsung tidak dikenalinya.
Disebabkan kerja yang dicarinya beberapa hari ini sudah di depan mata, dia cuba
bersangka baik.
“Boleh ke rumah saya? Taman Pandan,
rumah berdepan Sekolah Menengah Syed Omar tu.” Ujar suara itu lagi.
“Boleh, tapi lambat sikit ye, bas
takde lagi ni.” Ujar Suha berterus terang. Suara itu terdiam beberapa saat,
kemudian terdengar dia berbual dengan seseorang di sana.
“Cik tunggu situ, nanti anak saya
akan ambil cik dekat situ. Boleh?” Suaranya. Suha serba salah.
“Takpe ke? Macam menyusahkan pula.”
Ujar Suha dalam dua rasa. Serba salah kerana menyusahkan dan serba salah kerana
tidak mengenali langsung mereka itu, kalau mereka orang jahat macam mana?
“Anak saya on the way balik rumah
juga tu. Tunggu tau, Cik pakai baju warna apa ye?” Suara itu menyoal, penuh
ramah.
“Baju kurung warna biru muda, tudung
putih.” Ujar Suha. Talian dimatikan, Suha terus menunggu di situ seperti yang
di arahkan. Hatinya masih belum lega selagi belum selesai rundingan kerjanya
dengan entah sesiapa itu. Terasa gementar jika dia tersalah langkah dan masuk
ke dalam perangkap orang jahat. Suha resah!
“Haikal, ingat pesan mama tau. Ambil
cikgu tu dekat bus stop seberang KMC.” Ujar Puan Johanna untuk kesekian kalinya
kepada anak lelakinya, Khaliff Haikal.
“Ye ma, I know-I know. Haikal on the
way ke sana la ni. Cikgu nama apa ma?” Soal Haikal membuatkan Puan Johanna
tergaru-garu kepalanya.
“Ala, mama lupa pulak nama dia. Tak
kisahlah, dia pakai baju kurung biru muda tudung warna putih. Cepat sikit,
kesian dia.” Ujar Puan Johanna.
“Ish mama ni, entah sesiapa aje jadi
cikgu adik. Tunggu ye mama, 10 minit Haikal sampai rumah dengan cikgu tu. Bye.”
Haikal kemudian mematikan talian, kepala digelengkan beberapa kali. Senyuman
kecil terukir di bibirnya.
“Mangsa seterusnya.” Haikal kemudian
ketawa besar. Sudah dua kali guru tuisyen adiknya, Imtiyazz bertukar ganti.
Semuanya angkara perangai ‘nakal’nya yang mengganggu guru-guru itu sepanjang
berada di rumahnya.
Beberapa minit kemudian, Haikal
sudah sampai ke destinasi yang dikatakan itu. Di hentian itu hanya kelihatan
seorang gadis muda yang memakai baju kurung rona warna yang sama seperti yang
dikatakan Puan Johanna. Haikal tersenyum nakal. Otaknya sudah merangka sesuatu.
Setiba di hadapan hentian itu, Haikal menurunkan tingkap keretanya. Gadis itu
memandang ke arahnya tanpa riak. Beberapa kali Haikal menggamit ke arahnya
namun dibiarkan sepi. Hon dibunyikan beberapa kali, hingga menarik perhatian
kereta yang lalu lalang tetapi gadis itu hanya memandangnya dengan dahi yang
berkerut.
“Get in!” Haikal yang sudah keluar
dari keretanya terus melaung memanggil gadis itu dari keretanya.
“Saya ke?” Suha yang sedari tadi
hairan dengan tingkah pemandu kereta BMW G4 itu akhirnya menyoal. Sedari tadi
lelaki itu asyik menggamit memanggilnya, namun difikirnya lelaki itu sedang
memanggil orang lain, jadi dia hanya membiarkan sahaja.
“Yes, you!” Haikal kemudian terus
masuk ke dalam kereta. Pintu sebelah pemandu kemudiannya dibuka dari dalam.
Suha menghampirinya dengan langkah yang berhati-hati.
“Awak tuan iklan ni?” Suha yang
sudah berada di tepi kereta itu kemudian menunjukkan lembaran iklan yang diambil
dari hentian bas ke arah Haikal yang berada dalam kereta. Haikal kemudian
menghulur tangan untuk mengambil lembaran iklan yang ditunjukkan Suha itu.
Beberapa ketika Haikal membelek iklan tersebut, bibirnya tersenyum sendiri,
iklan tak professional langsung. Mesti kerja Imtiyazz! Haikal berbisik sendiri.
“Ye, mama saya suruh ambil cikgu
yang pakai baju kurung biru muda, bertudung putih. Awakkan?”Haikal kemudian melontar
soalan. Suha memandang ke arah tubuhnya seketika, kemudian terus dia
menganggukkan kepalanya.
“Masuklah cikgu, mama dah tunggu
dekat rumah.” Haikal, lembaran iklan itu diletakkan terus ke atas dashboard
keretanya. Suha menapak masuk ke dalam kereta itu dengan berhati-hati, tali
pinggang terus sahaja dipasang tanpa perlu diberitahu.
“Cikgu nama apa?” Khaliff Haikal
kemudian menyoal sebaik sahaja kereta itu meluncur kembali di jalan raya. Suha
yang masih berasa kekok itu menjawab pendek.
“Suha.”
“Suha? Suhaila? Suhana?” Khaliff
Haikal menyoal lagi. Suha tersenyum kecil.
“Suha Binti Sulaiman. Su-ha.” Ujar
Suha satu persatu. Suha sudah biasa dengan soalan sebegitu, sudah lali. Sejak
dari bangku sekolah sehinggalah ke Universiti, ada sahaja yang akan menyoal
nama penuhnya sedangkan yang diberikan itu sememangnya nama penuh yang
diberikan ayah dan ibu kepadanya.
“Pendeknya.” Ujar Khaliff Haikal,
Suha tidak berkata apa hanya tersenyum. Suha berasa kekok untuk berbual dengan
lelaki yang baru sahaja dikenalinya itu. Hanya kenal wajah, namanya? Suha
sendiri tidak tahu.
“Boleh saya tahu nama encik?” Suha
bersuara setelah lama mendiamkan diri. Soalan itu diutarakannya dengan
berhati-hati. Dari riak wajah lelaki disebelahnya itu, tidak nampak keramahan.
Malah lebih kepada keangkuhan. Cara matanya memandang Suha atas bawah sebentar
tadi menambahkan anggapan itu kepada Suha.
“Kenapa? Berminat nak berkenalan?”
Haikal sengaja menjual mahal dan mengusik gadis itu yang dari matanya terlalu naif
dengan dunia. Suha terdiam, muka mula merona merah. Malu!
“Tak, tak. Jangan salah faham, saya
cuma...” Suha cuba untuk menafikan apa yang dikatakan oleh Haikal. Takut jika
lelaki sudah tersalah maksud dengan apa yang disoalannya itu.
“Tak payah nak malu. I’m used to it.
Keluar mana-mana aje semua nak berkenalan. Well.” Haikal memintas Suha dan
terus sahaja bersuara riak. Suha sudah geli telinga mendengar Haikal yang mula
mengangkat diri itu. Tidak mahu menidakkan atau mengiyakan, Suha mendiamkan
diri. Haikal menjeling ke kirinya, dan tersenyum sendiri. Lebih kurang 10
minit, mereka tiba di rumah Haikal. Sebaik sahaja masuk ke garaj, Haikal terus
sahaja keluar daripada kereta. Suha yang melihat Haikal pantas sahaja keluar,
turut kelam kabut melangkah keluar. Baju kurungnya dibetulkan sedikit,
pandangannya berkeliaran ke sekitar rumah itu. Besar halamannya, ringkas dengan
taman kecil di penjuru rumah. Suha terpesona, jauh benar keadaan rumahnya dan
rumah Haikal.
“Mama...” Haikal melaung dari luar
rumah. Suha hanya memandang dari kereta. Beberapa saat kemudian, seorang
kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 9 tahun berlari meluru keluar
rumah. Imtiyazz, anak bongsu keluarga itu, adik kepada Haikal.
“Abang Kal, mana cikgu Im?” Soal
Imtiyazz. Haikal sekadar menjuih bibirnya ke arah Suha yang berada di belakangnya.
“Hai cikgu!” Imtiyazz terus
melambai-lambaikan tangannya ke arah Suha yang baru melangkah menghampiri.
“Hai, nama akak Suha. Adik?” Suha
mencuit pipi Imtiyazz yang agak montel. Imtiyazz tersenyum lebar.
“Nama saya Nur Imtiyazz Binti
Johari.” Panjang sahaja Imtiyazz memperkenalkan dirinya. Suha tersenyum lebar,
senang dengan sambutan gadis kecil itu kepadanya. Setelah beberapa ketika, Suha
menyedari seorang wanita separuh usia menghampiri mereka.
“Haikal, kenapa tak suruh cikgu
masuk?” Haikal hanya menjungkit bahu, kemudian terus melangkah masuk ke dalam
rumah tanpa bersuara atau memandang ke arah Suha.
“Cikgu mari masuk dulu, kita bincang
dekat dalam.” Puan Johanna menjemput Suha dengan penuh keramahan.
“Terima kasih.” Suha menanggalkan
kasutnya, kemudian dengan perlahan melangkah memasuki rumah itu sambil
tangannya digenggam erat oleh Imtiyazz.
“Im, pergi masuk bilik. Buat kerja
rumah dulu, nanti baru kacau cikgu. Mama nak bincang dulu dengan cikgu ye.” Ujar
Puan Johanna setelah melihat anaknya itu tidak mahu berenggang dengan gadis
muda yang baru dikenalinya ini.
“Ala... Im nak buat dengan cikgu
baru Im.” Imtiyazz mula merengek manja. Puan Johanna menggeleng laju, Suha pula
hanya tersenyum. Masih terkejut dengan penerimaan Imtiyazz terhadap dirinya,
mudah benar gadis cilik itu menyukai dia?
“Kejap lagi okay? Biar mama bincang
dengan cikgu dulu, 10 minit aje sayang.” Puan Johanna memujuk. Tidak manis pula
berbincang soal bayaran jika anak kecilnya itu ada bersama.
“Kejap lagi, akak tolong Imtiyazz
buat kerja sekolah ye.” Suha menambah, membuatkan Imtiyazz mengangguk dan terus
melangkah ke biliknya. Puan Johanna menghela nafasnya, macam-macam fe’el!
“Maaflah, Im tu suka sangat dengan
kakak-kakak memandangkan dia takde kakak. Ada dua orang abang, tapi tu lah mana
nak layan adik perempuankan. Saya harap cikgu tak kisah ye?” Puan Johanna segan
dengan perlakuan Imtiyazz yang mungkin tidak selesa bagi Suha.
“Takpe, saya tak kisah. Saya pun
anak tunggal, suka juga ada adik ni. Puan tak perlulah panggil saya cikgu, saya
bukan cikgu pun. Takde pengalaman mengajar pun, setakat mengajar adik-adik masa
program-program di Universiti aje.” Suha menjelaskan. Segan pula asyik
dipanggil cikgu sedari tadi. Dia bukan cikgu atau pelajar jurusan pendidikan,
memang tak layak dengan panggilan cikgu.
“Jadi saya nak panggil apa?” Puan
Johanna menyoal, tangannya sibuk menghidang air yang dibawa orang gajinya
sebentar tadi.
“Panggil saya Suha.” Jawab Suha
penuh sopan.
“Suha? Sedap namanya.” Puan Johanna
memuji, segelas air dihulurkan kepada gadis itu. Suha mengambilnya tanpa banyak
soal, lalu disisipnya sedikit sebelum meletakkan kembali ke atas meja.
“Suha bila boleh mengajar?” Puan
Johanna mula membincangkan hal utama mereka.
“Bila-bila pun boleh. Tapi saya mengajar
untuk dua bulan aje, sebab belum habis semester lagi.” Ujar Suha, takut juga
dia perlu mengajar lebih lama.
“Oh, belum habis belajar la ni?”
Suha menggeleng perlahan.
“Takpelah, saya nak suruh Suha
ajarkan subjek-subjek penting untuk Imtiyazz. Sementara cuti sekolah
sekarangkan, Im tu lemah sangat matematik. Risau saya dibuatnya.” Ujar Puan
Johanna.
“InsyaAllah saya cubalah untuk dua
bulan ni.” Ujar Suha penuh yakin. Puan Johanna sekadar tersenyum. Hati tuanya
tercuit dengan kelembutan Suha.
“Macam mana dengan bayaran?” Soal
Puan Johanna, membuatkan Suha terdiam. Mana dia tahu soal bayaran, belum pernah
dia menjadi guru peribadi yang mengajar di rumah.
“Saya tak pandailah Puan.” Suha
bersuara serba salah.
“Kalau saya kira per subjek boleh?
Satu subjek saya bayar dua ratus untuk sebulan. Berapa subjek tu nanti saya
bincang dengan Imtiyazz sendiri. Boleh Suha?” Suha yang mendengar cuba
mencongak sendiri. Akhirnya dia terkedu, banyaknya!
“Tak mahal sangat ke?” Ujar Suha
penuh jujur. Puan Johanna tersenyum melebar.
“Kenapa? Nak harga tinggi lagi ke?”
Haikal yang entah dari mana datangnya, mula menyampuk. Puan Johanna menampar
perlahan tubuh anaknya itu, memberi amaran.
“Bukan macam tu maksud saya.” Suha
membidas perlahan dan penuh santun. Serba salah dibuatnya dengan kata-kata
Haikal itu.
“Suha jangan layan buaya ni.
Menyibuk aje kerjanya.” Puan Johanna menjeling tajam anak lelakinya itu.
“Mama kata Kal buaya? Sampai hati.”
Haikal buat-buat merajuk. Puan Johanna langsung tidak peduli.
“Biarkan dia Suha, macam mana,
deal?” Puan Johanna menyambung perbincangannya dengan Suha. Suha yang sudah
tidak memahami situasi ketika itu tercongok sendiri.
“Tengok ma, dia nak harga tinggi
lagi.” Haikal mencelah lagi. Membuatkan Suha menjadi gelabah.
“Eh, tak. Saya setuju je semua
Puan.” Puan Johanna berdecit kecil, wajah Haikal dipandangnya tajam.
“Haikal, please jangan ganggu mama
dan I’m warning you. Jangan sesekali ganggu Suha!” Puan Johanna memberikan
amaran tegas. Haikal hanya ketawa kecil dengan amaran itu.
“Ma, she is so naive. I like it!”
Haikal berbisik ke telingan Puan Johanna membuatkan wanita itu menolak Haikal
supaya menjauhi. Hatinya sedikit berang, sudah banyak kali anak lelakinya itu
membuat perangai gatalnya yang menyebabkan habis lari guru-guru yang diupah
sebelum ini. Semua kerana Khaliff Haikal!
Setelah perbincangan dengan Puan
Johanna selesai. Suha terus sahaja memulakan kerjanya untuk hari itu
memandangkan dia sudah berjanji dengan Imtiyazz sebentar tadi. Hari ini dia
akan bekerja separuh masa, memandangkan jam sudah menunjukkan jam 3 petang.
Mulai esok, kerjanya sebagai guru tuisyen peribadi Imtiyazz bermula seawal 9
pagi sehingga 5 petang.
“Cikgu... eh, Kak Suha.” Imtiyazz
yang sudah dipesan supaya memanggilnya Kak Suha, tersasul. Terus sahaja dia
menekup mulutnya.
“Kenapa Im?” Suha memandang gadis
cilik itu menyiapkan kerjanya. Imtiyazz menyambung penulisannya.
“Kak Suha umur berapa?” Soal
Imtiyazz, wajah Suha dipandang sekilas sebelum menyambung kembali kerjanya.
“Erm, belum masuk tahun barukan.
Umur akak 22 tahun, tua dah.” Ujar Suha dengan senyuman yang terukir
dibibirnya.
“Tua? Taklah, muda lagi. Abang Kal
tu dah 29, next year dah 30. Tua-tua-tua.” Imtiyazz sengaja menguatkan suara
dan perkataan tua memandangkan Haikal berada di ruang tamu utama tidak jauh
dari mereka berdua.
“I heard that adik!” Laung Haikal
yang sedang leka dengan telefon bimbitnya. Sedikitpun tidak berpaling wajah.
Suha sekadar tersenyum melihat keletah mereka berdua.
“I know. Abang Kal, Kak Suha ni
calon terbaik untuk jadi kakak ipar Im. I will 100 percent agree! I bet, Mama
too!” Laju sahaja Imtiyazz menyuarakan pendapatnya itu, membuatkan Suha yang
berada di hadapannya kini terkejut besar. Pipinya sudah terasa panas.
“Apa Im cakap macam tu?” Suha
bersuara perlahan, hampir berbisik kepada Imtiyazz yang sudah tersengih seperti
kerang busuk. Haikal yang berada di ruang tamu mula mengangkat wajah.
Dipandangnya Suha dengan pandangan yang tajam. Haikal mula bangkit dari
duduknya dan melangkah menghampiri Imtiyazz dan Suha. Suha sudah gelabah
sendiri.
“Abang dengan cikgu Im ni?” Soal
Haikal, bernada yang agak menjengkelkan telinga yang mendengar.
“Why?” Imtiyazz menyoal setelah
melihat wajah abangnya itu yang memandang Suha dengan pandangan yang agak
sinis. Suha sekadar membatukan dirinya, memekakkan telinga dan buat-buat
seperti mereka berdua di hadapannya kini tidak wujud.
“She is not my taste. Im, cikgu Im
ni taste Abang Danny, bukan Abang Kal. I already have Shaha as your sister in
law.” Haikal kemudian mencubit pipi adiknya dan terus melangkah ke tangga. Suha
menghela nafas lega, setelah lelaki itu beredar dari situ.
“Cikgu, jangan risau kalau nak cuba
nasib masih boleh.” Haikal bersuara lagi, membuatkan Suha tersentak kecil.
Wajah lelaki itu terus dipandangnya sebelum melarikan pandangan ke lain,
setelah Haikal mengenyitkan mata ke arahnya. Haikal melangkah menaiki tangga
dengan ketawa besar, berjaya mengenakan gadis naif itu.
“Im takkan setuju kalau Abang Kal
nak kahwin dengan Shaha. Totally not agree!” Imtiyazz yang masih menghabiskan
kerjanya membentak kecil. Menyedarkan Suha yang sudah hilang dalam dunia
resahnya.
“Kalau Im tak setuju sekalipun,
jangan libatkan akak ye. Akak cari rezeki aje dekat sini.” Suha bersuara jujur,
mahu Imtiyazz mengerti maksudnya.
“Sorry akak, Im bukan sengaja. Im
sekadar berkata jujur. Akak sangat-sangat, 200 percent lebih baik daripada
Shaha, girlfriend Abang Kal tu.” Imtiyazz masih tidak berpuas hati. Sejak
Haikal memperkenalkan Shaha kepada keluarganya, Imtiyazz sudah mula tidak
bersetuju dengan pilihan abangnya itu.
“Biarkanlah, pilihan dia. Im tu kena
fokus belajar.” Suha cuba menasihati gadis cilik itu.
“Baik cikgu!” Imtiyazz bersuara
dengan tangannya di angkat seolah berjanji. Suha tersenyum lebar. Hari ini
terlalu panjang. Baru sahaja mengenali keluarga itu yang membuka pintu rezeki
baginya, sudah macam-macam dilaluinya. Khaliff Haikal, lelaki itu selalu
mengganggu perasaannya.
“Assalamualaikum...” Suara garau itu
menganggu sebentar Suha yang sedang mengajar Imtiyazz menyelesaikan satu
masalah matematik yang tidak difahami gadis itu. Wajah Imtiyazz yang sebentar
tadi mencerot dan berkerut akibat masalah matematik yang dihadapinya kini
kembali ceria.
“Abang Danny!!!” Imtiyazz terus
bangun dan meluru ke pintu utama. Pekikan dari gadis cilik itu terus menarik
perhatian Puan Johanna yang berada di dapur. Laju sahaja wanita itu melangkah
ke arah pintu utama rumah. Suha yang tidak mengerti apa-apa, hanya bangun
berdiri tegak di tempat yang sama. Matanya sahaja mengekori langkah Imtiyazz
dan Puan Johanna ke arah pintu utama.
“Hai sayang, mama mana?” Tubuh genit
Imtiyazz terus dipeluknya erat. Imtiyazz membalas pelukan itu.
“Mama dekat dapur.” Jawab Imtiyazz
setelah merungkai pelukan. Tangan abangnya itu dirangkulnya erat dan melangkah
masuk ke dalam rumah.
“Danny! Balik tak cakap kenapa?”
Puan Johanna yang menghampiri menyambut huluran tangan anaknya itu untuk
menyalaminya. Dahi anaknya dikucupnya lama, melepaskan rindu.
“Alah ma, Danny pergi dua minggu
aje.” Puan Johanna tersenyum sendiri.
“Dua minggu pun, mama dah rindu.”
Ujar Puan Johanna membuatkan tubuh wanita itu dirangkul ke dalam pelukannya.
“I miss you too ma.” Bisiknya,
Imtiyazz yang berada di situ mula mencekak pinggang.
“Ma, tak boleh! Abang Danny pakwe Im.
Ma ambil Abang Kal.” Imtiyazz menolak tubuh ibunya daripada pelukan Khaliff
Daniel, abang sulungnya. Puan Johanna mencebik bibir seketika kemudian dia dan
Daniel ketawa dengan tingkah Imtiyazz. Begitulah mereka kalau sudah berkumpul
bersama-sama. Sejak pemergian ayah mereka, hubungan mereka berempat semakin
erat. Daniel yang kemudian terpandang akan kehadiran Suha di situ mula berkerut
dahi.
“Siapa tu ma? Orang gaji baru?” Soal
Daniel. Suha yang mulanya tersenyum ke arah Daniel, terus berubah riak. Suha
memandang dirinya atas bawah beberapa kali, macam orang gaji ke? Soalnya
sendiri.
“Uishh, bukanlah. Cikgu tuisyen Im,
baru hari ni mula.” Ujar Puan Johanna menjelaskan. Dia menggamit Suha supaya
menghampiri mereka bertiga. Suha hanya menurut.
“Suha ni, anak sulung saya. Khaliff
Daniel. Danny, ni Suha, cikgu tuisyen Im.” Puan Johanna saling memperkenalkan
mereka berdua. Suha sekadar mengukir senyum sebagai tanda hormat dan
perkenalan.
“Hai cikgu, harap bersabarlah
mengajar budak kecik ni.” Daniel menggosok kepala Imtiyazz yang sedari tadi
memeluk erat lengannya. Imtiyazz menepis laju perbuatan Daniel kepadanya. Suha
sekadar tersenyum dan mengangguk perlahan kepalanya.
“Im baik ajelah!” Ujar Imtiyazz
tidak puas hati dengan kenyataan abangnya itu.
“Baiklah sangat sampai
bertukar-tukar cikgu tuisyen.” Daniel mengejek. Imtiyazz menjeling tajam.
“Itu semua kerja Abang Kal. Dia yang
kacau semua cikgu-cikgu Im.” Imtiyazz mempertahankan dirinya.
“Betul ke ma?” Soal Daniel dengan
senyuman melebar, sudah faham benar dengan perangai buaya adik lelakinya itu.
Puan Johanna sekadar mengangguk.
“Suha ni dia tak kacau?” Daniel
menyoal, membuatkan Suha terasa segan. Segan bila dirinya menjadi topik bualan.
“Abang Kal kata bukan taste dia. Kak
Suha taste Abang Danny.” Imtiyazz berterus terang, jujur sangat!
“Ye ye aje. Suha, pedulikan diorang
ni. Lagi layan, makin menjadi-jadi. Sampai tak terlayan.” Daniel bijak mengawal
keadaan, kejujuran Imtiyazz membuatkan Suha kelihatan tidak selesa. Suha
mengangguk dengan senyuman nipis.
Tepat jam 5 petang, Suha mohon untuk
pulang. Ibu ayah tidak lagi dikhabarkan dengan kerja yang baru diperoleh ini.
Kalau mahu telefon tadi, belum tentu ada yang mengangkat panggilan. Sudah tentu
sahaja ibu dan ayah berada di kebun belakang rumah, ataupun sedang mengutip
hasil jualan sayuran dari kedai-kedai yang mengambil sayuran mereka untuk
dijualkan.
“Suha balik dengan apa ni?” Puan
Johanna yang menghantar Suha sehingga ke pintu, mula menyoal.
“Saya balik dengan bas, depan ni ada
hentian bas.” Suha menghulurkan tangan untuk bersalam. Setelah itu, sandalnya
disarungnya.
“Saya suruh Daniel hantarkan?” Puan
Johanna cuba membuat tawaran, kasihan juga melihatkan gadis itu menunggu bas
petang-petang begini. Bimbang jika tiada bas yang beroperasi.
“Takpe Puan, bas banyak lagi waktu
ni. Saya dah biasa pun.” Suha menolak dengan baik. Puan Johanna mengangguk
perlahan. Langkah gadis itu dipandangnya lama sehingga hilang dari
pandangannya.
“Mana nak dapat cikgu tu?” Daniel
kemudian menyoal, sebaik sahaja ibunya melangkah memasuki dapur.
“Dia call tanya mama, kosong ke tak
lagi kerja yang mama iklankan tu. Kebetulan semalam Cikgu Sofia tu berhenti
kerja. Mama pun suruh dia datang, mama tengok okay aje. Teruslah ambil kerja.” Ujar
Puan Johanna, tangan ligat menyambung kembali kerja memotong sayur yang
tergendala sebentar tadi.
“Muda sangat aje tengok.” Daniel
menambah.
“Baru 22, belajar lagi. Dia kerja
part time aje, cari duit poket cuti semester.” Daniel mencebik bibir dan
mengangguk.
“Seronoklah si Haikal tu, putik muda
katakan.” Daniel mula ketawa mengingati keletah Haikal yang pantang sahaja melihat
perempuan cantik.
“Amboi-amboi, balik aje terus
mengumpat aku?” Haikal yang baru melangkah masuk ke dapur, terdengar perbualan
Daniel dan ibu mereka. Bahu Daniel ditumbuknya kasar. Daniel masih galak
ketawa.
“Aku cakap yang betul aje. Apa pelan
kau kali ni? Mengurat sampai dapat atau usik-usik aje?” Daniel menyoal,
menyindir gurau adiknya itu. Haikal yang sedang meneguk air menjungkitkan
kening dengan riak wajah yang ‘nakal’ dan penuh agenda.
“Haa... kamu berdua, Haikal
terutama. Mama harap jangan buat hal untuk dua bulan ni. Mama harap sangat Suha
akan dapat habiskan kerjanya seperti yang mama nak. Have pity on your sister
and also Suha!” Puan Johanna memberi amaran. Resah hati tuanya melihat dua
beradik itu yang mula berbual yang bukan-bukan.
“Okay madam! Ma, Haikal nak keluar
kejap nak jumpa Rudy.” Ujar Haikal sebelum melangkah pergi.
“Ikut bro!” Ujar Daniel terus
bangkit dari duduk, namun cepat sahaja Haikal menolak.
“No, not this time. Kau rehatlah
dulu, aku ada ‘hal’ ni.” Haikal beriak penuh tersirat, membuatkan Daniel akur,
kembali melabuh duduk.
“Adalah tu, siapa pula jadi
mangsanya tu?!” Puan Johanna mencelah, Haikal sekadar tersenyum lebar dan
berlalu pergi. Laju sahaja kunci kereta di ambil dari laci dan terus melangkah
ke kereta. Seketika kemudian kereta BMW G4 itu meluncur laju keluar ke jalan
raya.
“Nasiblah cikgu Suha, sekali kau
datang dalam hidup aku, payah kau nak lari.” Haikal berbisik sendiri, senyuman
terukir dibibirnya itu membawa penuh makna. Matanya mula meliar mencari sebaik
sahaja keretanya itu keluar dari simpang perumahannya. Dari jauh kelibat
‘mangsa’nya dikenal pasti. Senyuman Haikal kian melebar, pedal minyak terus
ditekannya sebelum memberi isyarat ke kiri untuk berhenti. “Game baru bermula!”
Suha memberikan salam sebaik sahaja
sampai di depan rumahnya. Sunyi sahaja, seperti tiada sesiapa di rumah. Ke mana
ayah dan ibu pergi? Selalunya waktu-waktu begini, mereka sudah ada di rumah.
Kunci pendua di bawa keluar daripada begnya. Suha melangkah masuk ke dalam
rumah, jam di tangan dibeleknya sekilas. Sudah hampir ke angka 6, mujur sahaja
ditolak permintaan Khaliff Haikal sebentar tadi supaya menemaninya ke Old Town.,
kalau tidak tentu sahaja dia belum pulang waktu ini. Lelaki itu ada-ada sahaja.
Suha melangkah terus ke bilik, dia belum lagi menunaikan solat Asarnya.
“Kamu pi mana Suha, sehari suntuk
keluaq tak balik-balik.” Ayah yang baru pulang bersama-sama ibu, mula menyoal
anak gadisnya itu. Sesekali ayah terbatuk-batuk, sakit asma ayah menyerang
kembali. Ibu menyerahkan barangan dapur yang di belinya kepada Suha.
“Suha dah dapat reja yah,
Alhamdulillah. Tadi dah mula.” Suha turut melangkah masuk ke dalam rumah, membontoti
langkah ibu dan ayahnya. Suha langsung ke dapur meletakkan barangan tersebut di
dapur.
“Reja apa?” Soal ayah lagi. Suha
kemudian mendekati ayahnya dengan membawa dua gelas air.
“Reja jadi cikgu tuisyen peribadi,
gaji yang depa bagi besaq jugak ayah.” Suha terus bercerita. Ayah dan ibu hanya
mengangguk-angguk dan mengucap syukur.
“Buat reja kena ikhlas, lagi-lagi
jadi cikgu ni. Jangan dok harapkan duit sebagai balasan. Bila mengajaq bagi hat
sebaiknya, curahkan ilmu yang kita ada. Ganjaran besaq, insyaAllah.” Ayah mula
memberikan kata nasihat.
“Suha reja dekat rumah dialah? Dekat
mana tu?” Ibu kemudian mencelah.
“Dekat Taman Pandan ibu, a’ah Suha kena
mengajaq dekat rumah dia. Dari pagi sampai petang.” Ujar Suha, riak wajahnya
sedikit suram. Ayah dan ibu saling berpandangan.
“Awat Suha? Ada masalah? Susah nak pi
sana dengan bas? Nanti ayah hantaq Suha.” Ayah cepat sahaja bersuara sebaik
melihat kesuraman wajah anaknya itu.
“Takdaklah ayah, bas banyak lalu
dekat situ. Rumah tu pun tak jauh dari jalan besaq. Cuma....” Suha mencari-cari
ayat yang sesuai. Dia memandang wajah ibu dan ayahnya berselang seli.
“Awatnya Suha?” Ibu menyoal, wajah
anaknya itu dioles lembut.
“Suha tak berapa selesa dengan anak
lelaki tuan rumah tu. Puan Johanna, Imtiyazz yang Suha ajaq tu baik. Tapi anak
lelaki dia buat Suha tak berapa selesa.” Ujar Suha perlahan, kepalanya kemudian
dijatuhkan keribaan ibu.
“Kalau tak selesa, tak payah reja.
InsyaAllah ada reja lain yang lagi baik.” Ayah cuba mencari penyelesaian. Resah
hati tuanya, jika anaknya sudah berkata demikian.
“Sayang pula yah, reja mudah macam
tu payah nak dapat.” Ujar Suha, wajah redup Ayah dipandangnya.
“Mudah tapi tak selesa? Boleh reja
ka kalau lagu tu?” Soal ibu. Suha menguntum senyum.
“Suha ingat nak cuba untuk seminggu
dua, kalau terus tak selesa Suha berhenti. Lagipun Suha reja sampai habis cuti
semester ni aje.” Ujar Suha, menghilang resah di hati orang tuanya. Menyesal
pula mengadu begitu, sepatutnya dia diamkan sahaja dahulu perkara itu. Baru
sehari, entah esok lusa lelaki itu sudah tidak menganggunya.
“Cikgu, jom saya hantarkan?”
Tiba-tiba sahaja kereta itu berhenti betul-betul di hadapannya. Terkejut
dibuatnya. Beberapa mata yang ada di situ mula menjeling-jeling ke arahnya.
Suha menghampiri Haikal yang masih di dalam kereta.
“Takpelah Encik Haikal, bas saya nak
sampai dah tu. Terima kasih ye.” Suha menolak dengan baik pelawaan itu. Suha
bukan jenis manusia yang suka mengambil kesempatan, walaupun peluang terbuka
besar di depan mata.
“Its okay, get in. Saya hantar
balik, lambat lagi bas tu.” Haikal tidak putus asa, terus mencuba.
“Terima kasih sangat-sangat Encik
Haikal. Saya tak nak termakan budi, lagipun saya dah biasa naik bas.” Suha
menolak lagi, ligat sahaja akalnya mencari ayat menolak pelawaan itu.
“Ala cikgu, jomlah. Lagipun saya nak
minta tolong cikgu ni.” Haikal merayu lagi, kini dengan taktik lain pula. Suha
sudah berkerut dahi, ayat apa lagi yang harus digunakan untuk membuatkan lelaki
di hadapan ini faham dan terus pergi?
“Tolong apa ye?” Soal Suha.
“Naiklah dulu.” Pandai sahaja Haikal
mengenakan, namun Suha langsung tidak berganjak.
“Maaflah, saya pun ada hal lain.
Saya tolong lain kali ye.” Bohong Suha, menolak untuk menolong apa sahaja
bentuk pertolongan yang dipinta lelaki itu.
“Saya nak ajak cikgu teman saya
pergi minum-minum dekat Old Town. Jom, bosanlah petang-petang ni.” Haikal masih
lagi merayu, berusaha memujuk kedegilan Suha yang masih menolak. Sebelum ini
mudah sahaja dia memujuk perempuan, kenapa Suha ni macam bo-layan?
“Maaflah, lagilah saya tak dapat nak
tolong yang itu. Terima kasih Encik Haikal. Bas saya dah datang tu, saya balik
dulu. Assalamualaikum.” Suha terus sahaja memberi salam dan melangkah laju
menaiki bas. Lega hatinya, mujur Allah mempercepatkan bas itu untuk datang
tepat pada waktu dia memerlukan. Rayuan lelaki itu langsung tidak diendahkan,
hati perempuannya menyatakan tidak sama sekali menerima atau melayani rayuan
serta pujukan lelaki itu. Segala-galanya bagai ada yang tersirat!
“Tak guna, sombong kau ye Suha.
Tunggulah, lepas ni kau yang merayu dekat aku!” Haikal membentak, stereng
kereta di hentak kasar. Sebaik sahaja bas itu melintasinya, dia terus memandu
keretanya terus ke destinasi. Rancangan pertama, gagal!
++++
sudah habis baca?
comment and rate! :)
much love readers!
20 comments:
aa, si haikal tu memg la x patot dilayan...hope suha cekal hati...huhu
permulaan yang menarik..:)
boleh tak nak tampar si haikal uh ?? hahaha , thanks abc , ingat ak nak baca bila nampak mini novel , tapi last2 baca sampai habis... x puas baca... ;)
best.. :D
Akak!!! cepat2 ye sambung><
thank u! ^^
tunggu, abc akan tunjukkan perangai haikal tu ish3
akhirnya exm pon da slmt abeh..n kmbali belek pge abc..
emm..abc ni mmg suka guna nama "haikal" ea??hehe..trntya, mna 1 yg bakal tersangkut ngan suha..haikal@danny??
keep update!!
alamak! LIF eh ada Haikal dah?
tak perasan hahahaha bakal suami Haikal kut??? tetttt
insyaallah, selagi mampu berangan, abc akan terus berkarya.
syokknya abeh exam! yeah3
waa.. daebak.. hehe.. cepat sambung abc. dah tak sabar da ni. haikal or danny akan tambat hati suha nanti.
daebak3 ^^ tq. tungguuuuuuu
best...
Abc, nak request boleh? Tlg jadikan danny hero. Tak nak haikal. Hehehehe
hehehe tunggu yang kedua eh. ketiga keempat kelima keenam. u will c who is the real hero. :) hehehe boleh. no hal. danny ye, erm.. danny mmg terbaek!
salam... menarik.. suha...
best!! tp benci lah ngan si haikal tuh...
wah..syok2..harap suha ngn abang bukan ngn adik..hehe
BMW Z4 bukan G4... sila buat pembetulan.
hahaha okey. Z4 hehehe
Haha.. Xnak Z4 tapi kte nak BMW M4.. 😂😂😂
hahaha abc ni buta kereta. maaf la yeee tak kenal
Post a Comment