Monday, March 8, 2021

MINI NOVEL 2020: MUZIKAL CINTA 16

 



BAB 16

Mereka mengaminkan doa yang dibaca Rashid selaku imam Jemaah Maghrib sebentar tadi. Nur Ayla tidak dapat menolak langsung kata-kata Puan Ruhil yang sangat bijak mengatur rancangan. Dari asar Nur Ayla cuba mengundur diri tapi ditahan sehinggalah berjemaah mereka semua di rumahnya.

Nur Ayla menunggu giliran untuk bersalam dengan Puan Ruhil, menanti Ruhaila dan Husna yang sudah seakan sepakat mengenakan dia hari ini. Nur Ayla menghulur tangannya bersalaman dengan mama Rashid. Puan Ruhil tersenyum lebar. Wajah Nur Ayla dibelek lagi.

“Dah okay?” Soal Puan Ruhil.

“Masih rasa pedih-pedih tapi okay dari tadi.”

“Merah lagi ni. Lepas ni letak lagi gel tu. Tak berparut kut ye?” Puan Ruhil pula yang risau.

“InsyaAllah tak. Doktor kata dia akan jadi kering and okay lepas tu.”

“Mujurlah tak panas sangat, kalau kuah tomyam, mau masak Ayla tadi.” Puan Ruhil melepas lelah. Berkerut keningnya melihat wajah Ayla.

“Alhamdulillah. Kedai Korea takdak tomyam.” Nur Ayla cuba bergurau, Puan Ruhil menepuk perlahan tangan Nur Ayla dengan ketawa kecil.

“Haa pergi salam tu.” Puan Ruhil tiba-tiba bersuara sebaik sahaja Rashid berada dekat dengan mereka. Nur Ayla naik hairan dan pelik dengan arahan Puan Ruhil, dia tiba-tiba keliru sendiri.

“Belum… belum halal.” Nur Ayla menjawab tergagap-gagap. Rashid ketawa mendengarnya.

“Oh belum… kira nanti boleh?” Puan Ruhil mengusik. Nur Ayla sudah tidak tentu arah.

“Alhamdulillah.” Kuat suara Rashid. Nur Ayla sudah pandang sini sana. Baik Puan Ruhil, Encik Rahmat, semua ketawa akan tingkah Ayla ketika itu. Husna dan Ruhaila mulalah menyakat.

“Mana ada… mak cik…” Nur Ayla menidakkan dalam kekalutan.

“Gurau aje, kalau jadi Alhamdulillah… jom siap-siap makan malam, lepas tu baru Rashid hantar balik ye.”

“Husna hantar akak balik kan?” Nur Ayla cuba melarikan diri. Husna yang sedang mengemas sejadah menggeleng laju.

“Eh kak Ayla, rumah Husna depan situ je, dah pukul berapa ni kejap lagi nak patah balik semula. Jauh la kak.” Husna membalas selamba dengan wajah tak beriak bersalah! Nur Ayla mengetap giginya.

“Alah... saya hantarlah. Salah ke?” Rashid mencelah. Masih segak dalam jubah dan kain pelikat. Kepala masih tersarung songkok hitam.

“Taklah, malaslah dengan awak.”

“Apasal dengan saya malas?”

“Sebab tak rajin.”

“Mengada.”

“Biarlah.”

“Ok.”

“Ok.” Masing-masing nak menang. Masing-masing nak merajuk. Masing-masing malas layan. Yang lain hanya menggeleng melihat tingkah mereka berdua. Nur Ayla menjeling Rashid, Rashid hanya menjungkit bahu dan berlalu ke dapur membantu mama. Nur Ayla melangkah ke bilik Ruhaila untuk bersiap.

“Husna ni saja kan.”

“Apa pulak?”

“Kalau tahu dia yang nak hantar akak malam ni, akak balik dah petang tadi.” Nur Ayla masih rasa tidak puas hati.

“Apa salahnya kak? Malam dah kan.” Ruhaila menambah. Nur Ayla memandang Ruhaila dengan mata yang sengaja dikecilkan. Ruhaila mencebik dan melarikan pandangan. Husna juga sama.

“Dua-dua orang ni memang sengaja cari pasal dengan akak.” Nur Ayla mengambil tudungnya dan kemudian mengeluh kuat.

“Kenapa kuat sangat mengeluhnya tu?” Husna mendekat. Nur Ayla menunjukkan tudungnya. Bertapuk kesan air.

“Dah masyem.” Ujar Nur Ayla.

“Ambik tudung Ila eh. Shawl boleh? Tak banyak bawal.” Ruhaila membelek cabinet bajunya mencari shawl yang bersesuaian dengan Nur Ayla.

“Boleh kut, akak pun pakai inner labuh dah ni.” Nur Ayla membetulkan anak tudungnya yang telah sedia menutup kepala dan lehernya.

“Jarang ni kak Ayla nak pakai shawl. Pandai ke?” Husna mengusik. Nur Ayla menjeling saja.

“Pandailah, jarang tapi pernah okay. Apa ingat akak ni kampung sangat ke?”

“Ingat juga, dah asyik ikan bawal ke.” Husna membalas, Nur Ayla cuba mencubit tapi laju Husna menjarakkan diri.

“Haiii anak dara sekalian, pukul berapa komer nak makan. Udah isyak ni.” Suara Rashid dari luar bilik. Mereka terdiam seketika. Ruhaila menghulurkan shawl bercorak warna pastel kepada Nur Ayla yang sesuai dengan warna baju yang Nur Ayla pakai ketika itu. Kemudian laju pula Ruhaila membuka pintu biliknya. Sedar yang semua gadis di dalam bilik itu menutup aurat sebaiknya.

“Puteri abang aje tak siap lagi. Haa temanlah dia. Kak Husna jom, jangan kita kacau daun.” Ruhaila ketawa dan terus keluar bilik. Husna tanpa sempat ditahan Ayla terus sahaja mencicit keluar, sempat pulak memberi signal kepada Rashid yang sudah melebar senyumannya.

“Senyum-senyum. Iklan gigi ke?” Nur Ayla sengaja beriak marah. Shawl itu diletakkan ke atas kepalanya. Segan pula nak bersiap di hadapan lelaki yang memang tak lekang dengan senyuman.

“Senyum tanda bahagia.” Rashid membalas. Berpeluk tubuh dan bersandar di muka pintu. Betul-betul menemani Nur Ayla memakai tudung.

“Tak payahlah tengok, pergilah dulu.” Ujar Nur Ayla sambil membetulkan shawl yang cuba dipakai. Rashid menggeleng.

“Bukan selalu boleh tengok awak bersiap. Entah-entah esok pun belum tentu awak nak berdua-duaan dengan saya macam harini. Kan?”

“Tau tak apa. Dahlah, pandang ke sana. Seganlah.”

“Segan kenapa?”

“Awak bukan suami, bukan tunang and bukan siapa-siapa. Kenapa nak tengok saya bersiap pula?”

“Oh, kalau tunang tak segan? Suami pun tak segan?”

“Mungkin, dah ada ikatan tak adalah segan.”

“Dah tu kenapa mama papa bagi cincin tadi awak tak nak, kalau tak dah kira tunang.” Nur Ayla memejam mata menahan marah yang datang.

“Ish… geram pulak rasa. Mengadakan awak ni.”

“Dengan awak aje Ayla. Dengan awak je.”

“Dah… okay, siap. Okay tak?” Nur Ayla berdiri tegak memandang Rashid.

“Eh tanya kita pulak, dah tak segan? Dah ada ikatan ke kita?” Soalan itu membuatkan Nur Ayla tersedar sendiri, ‘aah, dah kenapa tanya dia?”

“Ish… memang taklah. Jomlah, segan saya dengan mama papa awak kita berdua macam ni.” Nur Ayla menolak daun pintu supaya lebih besar bukaannya untuk dia keluar dari bilik Ruhaila. Rashid berdiri tegak dan bergerak ke tengah muka pintu, menghalang Nur Ayla dari melangkah keluar.

“Dah kenapa ni?” Nur Ayla berkerut dahinya memandang Rashid yang beriak serius.

“Jawab dulu soalan saya.”

“Apa lagi?”

“Betul dah tak ada saya dalam hati awak?” Soal Rashid. Wajahnya memang serius. Nur Ayla menghela nafasnya perlahan. Berfikir dan mencari jawapan.

“Jawapan yang macam mana awak nak?”

“Jujur. Jujur dengan hati awak, jujur dengan saya.”

“Bohong kalau saya kata tak ada. Tapi, percayalah… saya terima semua yang berlaku. Saya terima yang kita tak ada jodoh.”

“Kalau ada kenapa nak kata tak ada jodoh? Sekarang kita dah jumpa, adalah jodohnya.”

“Kalau saya terima, mesti awak akan terus tertanya-tanya pasal Malik. Mesti semua yang dia cerita akan kembali terngiang-ngiang dekat telinga awak. Kemudian hati awak akan berbolak balik. Kan? Tak bagus untuk kita. Terimalah, kita hanya boleh kenal sesama kita, tapi bukan untuk bersama.”

“Jadi ceritalah apa yang berlaku sebenarnya. Susah?”

“Sebagaimana susahnya awak rasa nak terima cerita tu, sama susah saya nak cerita apa yang berlaku.”

“Ishhhhhhhh. Geramnya.” Rashid membentak.

“Saya yang lagi geram. Dahlahhhhhh.”

“Belum. Betul tak nak cerita?” Rashid mendepa tangannya.

“Iya. Kalau dah susah nak terima cerita tu. Percaya aje dan lupakan saya.” Nur Ayla menolak Rashid dan terus berjalan pergi.

“You touch me?” Nur Ayla berdecit. Dia kalih memandang Rashid.

“Awat tak pakai baju ka? Berlapik kut, jangan nak drama.” Terus Nur Ayla berjalan menuruni tangga dan ke arah dapur.

Suasana malam itu, agak meriah di ruang dapur rumah Puan Ruhil dan Encik Rahmat. Ada sahaja gurau senda dan usikan kepada Nur Ayla dan Rashid. Nur Ayla seperti biasa menidakkan, menggeleng dan diam sahaja.

“Boleh hantar saya balik?” Soal Nur Ayla sebaik selesai membantu mengemas dapur bersama-sama Puan Ruhil, Ruhaila dan Husna. Rashid yang sedang memetik gitar berhenti seketika, memandang sekilas Nur Ayla dan kembali memetik gitarnya. Nur Ayla melabuh duduk bertentang dengan Rashid yang asyik mengalunkan lagu.

“Tak boleh tak apa, Grab kan ada.” Nur Ayla mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula mencari aplikasi Grab di dalam telefonnya. Rashid meletakkan gitarnya. Mula memeluk tubuh dan memandang Nur Ayla di hadapannya.

“Jangan mengada.” Ujar Rashid sepatah. Nur Ayla berkerut kening.

“Apa yang mengada?”

“Nak Grab kenapa, kejap lagi saya hantar la.”

“Dah saya tanya awak diam aje. Saya tak kisah pun Encik Rashid, nak hantar ke tak nak hantar ke. Tak ambil hati pun.” Nur Ayla kembali menyimpan telefonnya ke dalam beg tangan.

“Saya dah bagi hati saya, kenapa tak nak ambil?” Rashid menyoal lagi. Nur Ayla tersenyum kecil dengan gelengan.

“Dah ambil, dan dah bagi balik.”

“Saya tak nak, awak kena ambil dan simpan.”

“Berat sangat. Tak nak, penat nak bawak.” Nur Ayla dan Rashid saling membalas, kiasan yang hanya mereka sahaja yang faham ketika itu. Rashid masih beriak serius, Nur Ayla masih dengan senyuman.

“Berat dengan cinta saya untuk awak.”

“Sebab tu saya tak nak, saya takut… kalau jatuh dan pecah, macam mana?” Nur Ayla membalas. Rashid mengetap bibirnya.

“Awak biar di luar macam tu pun dah makin membusuk.”

“Dah tu, ambil dan simpanlah balik.”

“Ish! Degil!” Rashid bengang. Nur Ayla ketawa.

“Boleh ye gelak, saya serius.” Rashid membentak.

“Yelah, hati ayam ke lembu letak luar jadi busuk?” Bidas Nur Ayla.

“Tak kisahlah hati rusa ke kambing ke, awak bukan kisah pun kan?” Rashid menjauh hati.

“Sebab saya kisahlah, saya suruh simpan. Simpan elok-elok, nanti bagi pada yang memang untuk awak. Bukan saya.” Nur Ayla membalas sehabis baik.

“Kenapa Ayla, kenapa kita tak boleh kembali macam dulu?” Soal Rashid wajah Ayla dipandang dalam-dalam. Nur Ayla diam, kakinya mengius-ngius lantai. Otaknya mencari jawapan selamat.

“Sebab awak takkan pernah selesai mencari jawapan tentang Malik dan saya.”

“Okay, kalau itu masalahnya, saya janji. Saya janji untuk tak akan ungkit hal tu.” Rashid mengangkat tangannya seperti bersumpah. Nur Ayla menggeleng.

“Jangan tipu hati sendiri. Awak akan sentiasa diselubungi misteri hal tu.”

“Nur Ayla, kenapa… kenapa tak boleh awak terus terang dengan saya? Awak tahu, kalau hal tu awak jelaskan dekat saya, awak dengan saya boleh kembali macam dulu, kenapa tak nak jelaskan?” Rashid sudah merayu-rayu. Rasa marah, bengang dan hilang sabar.

“Sesuatu yang saya nak padamkan dalam hidup saya, sebab tu saya tak nak sesiapa tahu.”

“Tapi Malik dah gunakan hal tu untuk kepentingan diri dia, dia tahu awak takut hal tu terbongkar.”

“Mungkin. Dahlah, dah lewat, saya nak balik.”

“Kata tadi book grab?”

“Lah, pulak. Tak apalah.” Nur Ayla bingkas bangun dan terus masuk ke dalam rumah. Mendekati Puan Ruhil dan Encik Rahmat di ruang tamu. Husna sudah awal lagi cabut lari balik rumah, Ruhaila mungkin sudah di dalam bilik.

“Saya nak minta diri dulu pak cik, makcik… terima kasih dari petang jamu macam-macam.” Nur Ayla menyalami Puan Ruhil.

“Rashid hantar kan? Hati-hati, nanti ada masa mak cik pak cik singgah kafe Ayla.”

“Boleh aje mak cik. Saya balik dulu.”

“Mana Rashidnya?” Encik Rahmat menyoal apabila melihat Rashid tiada di luar.

“Saya balik dengan Grab.” Ujar Nur Ayla sambil menyarung kasut. Puan Ruhil dan Encik Rahmat saling berpandangan.

“Dah kenapa pulak korang berdua ni?” Soal Puan Ruhil. Rashid yang baru turun dengan persalinan baru hanya mendiamkan diri, dia terus mengambil kunci di meja konsol. Nur Ayla sudah pun melangkah ke luar pagar rumah, malas hendak ambil peduli. Hatinya sedikit terasa dengan sikap Rashid.

“Nak pergi mana tu?” Soal Rashid dengan suara agak kuat kepada Nur Ayla yang sudah melangkah mahu menjauhi rumah. Nur Ayla yang buat-buat tidak dengar hanya terus melangkah, membuatkan Rashid berlari-lari anak mendekati Nur Ayla.

“Jangan mengada boleh tak?” Lengan Nur Ayla yang berlapik dicapai dan ditarik. Rashid membuka pintu kereta dan menolak Nur Ayla masuk ke dalam keretanya. Nur Ayla pasrah dan marah tapi disimpan sahaja, rasa amat penat untuk melayan karenah Rashid yang sentiasa berubah-ubah.

“Elok-elok Rashid, anak orang tu.” Tegur Encik Rahmat. Rashid sekadar mengangguk sebelum memasuki ruang pemandu dan terus memandu keretanya keluar dari kawasan rumah.

“Tadi suruh naik Grab, ni mengada paksa saya naik kereta awak kenapa?” Nur Ayla sengaja membidas. Rashid hanya diam, membatukan dirinya. Nur Ayla menjeling tajam, geram betul dengan Rashid.

Nur Ayla memandang Rashid yang terus membatukan diri. Nur Ayla menggeleng sahaja dan turut mengambil langkah membatukan dirinya seperti Rashid. Masam mencuka wajahnya. Nur Ayla memandang ke luar kereta. Gelap malam itu menemani perjalanan mereka yang memang senyap sunyi, hanya bunyi deru enjin kereta yang menemani. Radio pun tidak dihidupkan, dibiarkan sahaja keadaan begitu antara mereka. Nur Ayla tak mahu beralah dan Rashid sudah rasa payah, payah memujuk hati Nur Ayla yang seakan sudah mencapai satu kata putus. Masing-masing memendam rasa dan kata-kata, biarlah angin sahaja berbicara.


No comments:

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders