Friday, March 5, 2021

MINI NOVEL 2020: MUZIKAL CINTA 15

 


BAB 15

Nur Ayla yang baru selesai solat mendekati Rashid yang sedang termenung jauh dan tersenyum sendiri. Nur Ayla menggeleng kepala, dia sendiri tersenyum sambil melangkah menghampiri lelaki itu. Lelaki yang buat dia hampir membuat keputusan paling bodoh dalam hidupnya, lelaki yang buat dia lari jauh dan lelaki yang selalu hadir dalam kesunyian yang ada.

“Haa… berangan apa tu? Tersengih sorang-sorang.” Tegur Nur Ayla, mematikan lamunan Rashid.

“Dah siap?” Rashid kembali menyoal, tidak membalas dengan jawapan. Memandang Nur Ayla tak lepas.

“Dah. Nak makan apa ni? Dah dekat pukul 3 pun.”

“Awak rasa nak makan apa?”

“Kita try makanan korea nak? Haritu saya ada tengok dalam IG iklan kedai ni. Rasa dekat kawasan street food tu kut.” Nur Ayla memberi cadangan.

“Untuk awak apa pun boleh.”

“Iye iye aje lah…” Mereka berdua berjalan beriringan menyelusuri deretan kedai yang ada sambil berbual bual kosong. Adakala Nur Ayla mencebik, adakala dia ketawa. Rashid? Tersenyum sahaja. Bagaikan ditampal lukisan senyuman di mukanya.

Dari kejauhan kemesraan Rashid dan Nur Ayla diperhatikan sepasang mata. Yang memandang penuh amarah dan kebencian. Tak tunggu lama, terus sahaja dia mengikut pasangan itu dari jauh.

“Kan panas harini, minum panas pulak?” Rashid menyoal Nur Ayla yang masih sibuk membelek menu biarpun mereka sudah membuat pesanan.

“Perut ni kosong, minum air ajekan tadi. Saya memang suka minum yang panas-panas kalau perut kosong.”

“Iye ke? Kenapa saya tak tahu?”

“Sebab… rasanya ni kali pertama kita keluar macam ni kan?” Balas Nur Ayla. Rashid mencebik, dia berfikir dan kemudian mengangguk.

“Kan… kita hanya kenal untuk kahwin selama seminggu. Dan, kita terpisah kemudiannya.”

“Tak ada jodoh.” Nur Ayla menjungkit bahunya dengan senyuman nipis. Rashid menghela nafasnya. Tubuh dipeluk kedua-dua tangannya. Mata memandang terus ke arah Nur Ayla.

“Betul dah move on? Tak ada dah rasa sayang dekat saya?”

“Iye dah move on, nak buat apa lagi…”

“Betul?”

“Terpulanglah nak percaya ke tak.” Nur Ayla membalas tak teragak. Rashid meraup wajahnya.

“Saya sayang awak, sama… sayang yang masih sama.”

“Hari ni dah berapa haribulan, erm… dah nak masuk tahun lain dah pun. Sudah-sudahlah Encik Rashid.”

“Haa jangan mengada nak berencik-encik dengan saya eh. No, never…”

“Lahhh kenapa? Encik Rashid?” Nur Ayla mengusik.

“Janganlah, dah la awak jauhkan diri awak dari saya, bila macam tu, nanti lagi jauh.”

“Alah Encik Rashid ni, semua tak boleh.”

“Ayla, no.”

“Encik Rashid…” Nur Ayla ketawa, sesekali dia menekup mulutnya kerana ketawa tak berhenti. Rashid pula bersungguh-sungguh mencuba dan mencuba.

“Wow, happy couple…” Suara itu mematikan ketawa mereka berdua. Nur Ayla melarikan pandangan. Diana, masih teringat kata-kata pedih Diana buat dia suatu ketika dulu sebelum dia tekad membina hidup baru, jauh dari Rashid dan segala-galanya.

“Apa you buat dekat sini?” Rashid sudah berdiri tegak.

“What? You yang buat apa dengan perempuan ni? You tahukan dia ni perempuan macam mana? Kalau mama tahu ni, mau sakit jantung dia.” Diana seakan mengugut Rashid.

“Perempuan apanya? She is Ayla.”

“Perempuan rosak. Tu kan? Hey perempuan, bukan aku dah cakap ke kau ni tak layak pun untuk mana-mana lelaki sebab taraf kau dah sama macam pelacur!” Diana bersuara perlahan tapi dekat di telinga Nur Ayla. Ayla menggenggam tangannya kuat menahan marah. Rashid bengang, Diana ditarik menjauhi Nur Ayla.

“You jangan sibuk dekat sini boleh tak? Just go.” Rashid terketar-ketar menahan marah, rahangnya kelihatan diketap kuat.

“Okay, I’ll go but this is right for her!” Diana mengangkat cawan yang berisi teh hijau yang masih berasap itu dan terus menyimbah ke muka Nur Ayla. Terjerit Nur Ayla menahan sakit dek air panas yang mengena tepat wajahnya. Rashid cuba menghalang tetapi tidak sempat, Diana terus berlalu pergi tanpa rasa bersalah meninggalkan Nur Ayla yang sudah terketar-ketar menahan kepedihan yang terasa.

“Ya Allah Ayla…” Rashid sudah hilang arah mahu membantu Nur Ayla. Nur Ayla yang terkapai-kapai sakit terus mencapai tangan Rashid yang cuba membantunya ketika itu dan terus sahaja Ayla memegang tangan Rashid dan menggenggamnya kuat.

“Sakit awak…” Nur Ayla merintih dengan sebelahnya menekap-nekap muka. Rashid mengambil napkin dan meminta pelayan di situ membawa air berais secepatnya. Mujurlah ada staff yang memerhati kejadian itu, laju membawa semangkuk air berais kepada Rashid. Rashid kemudian merendamkan napkin tersebut dan terus menekap ke wajah Nur Ayla yang sudah memerah.

“Sakit…” Nur Ayla merintih lagi setiap kali Rashid menekap napkin itu ke wajahnya. Mujur sahaja air panas itu hanya mengena sebelah muka, kalau tidak, tak tahu apa akan jadi.

“Sorry-sorry, awak pegang napkin ni. Kita pergi emergency ya.” Nur Ayla hanya mengangguk sahaja. Air mata dek sakit dan sedih masih setia mengalir. Selepas menyelesaikan semua bil makanan mereka yang belum sempat dijamah, Rashid segera memimpin Nur Ayla keluar dari situ. Rashid tekad, selepas ini memang Diana akan terus dipadam dalam sejarah hidupnya dan mama Long tak akan ada lagi alasan untuk menghalang dia dan Ayla untuk bersama.

“Mujur tak melecur, kalau tak huduhlah saya.” Ujar Nur Ayla sebaik keluar dari Poliklinik berhampiran Aeon Stesen 18. Doktor hanya meletakkan gel bagi menyejukkan kesan air panas yang mengena wajah. Darjah kelecuran bukanlah pada tahap bahaya. Sebab itu wajahnya hanya memerah dan pedih.

“Mujurlah, kalau tak memang Diana tu masuk jel.” Rashid membentak, marah.

“Terima kasih.” Ujar Nur Ayla dengan wajah yang masih merah dan penuh gel.

“Dah kenapa terima kasih? Perli saya ke apa?”

“Lahh pulak. Terima kasihlah, marah Diana bagi pihak saya.” Ujar Nur Ayla. Rashid menghela nafas perlahan.

“Ni dah maafkan dia ke apa ni?”

“Taklah, malas fikir. Ni tengok ni, baru jumpa and makan sama-sama dah kena curah air panas. Bayangkan kalau kita kahwin, entah-entah kena asid apa.” Nur Ayla menempelak dengan niat mengusik lelaki di depannya ketika itu. Rashid berdecit.

“Lepas ni, memang dia tak akan berani muncul depan awak dah. Dengan mama Long sekali tak akan muncul depan awak. Dah settle dua-dua tu.” Rashid bersuara, kedengaran penuh marah. Nur Ayla masih terukir senyumannya dengan kening yang berkerut.

“Amboi, tekad sangat tu… dah lah, saya ni dari lapar sampai dah rasa kenyang dah. Saya nak baliklah. Letih sangat.” Ujar Nur Ayla. Rashid hanya menurut, tangan dihulurkan kepada Nur Ayla. Nur Ayla memandang tangan yang dihulurkan dan kemudian memandang ke arah Rashid.

“Dah kenapa ni?” Ujar Nur Ayla.

“Eh, tadi kuat awak pegang tangan saya nak datang sini, balik tak nak dah.” Jawapan yang membuatkan Nur Ayla tergamam dan mula terasa bahang mukanya. Nak merah dah memang merah sangat dah.

“Ishhh tadi saya sakit.” Jawab Ayla menahan malu yang menerpa.

“Ooo kalau sakit kira pass lah?” Rashid kembali mengusik.

“Awak…” Nur Ayla mengacah mahu menampar lengan Rashid tapi dalam keadaan menahan malu diusik begitu.

“Ayla… Rashid…” Keloi Puan Ruhil dari jauh, dia sudah pun berjalan laju hampir berlari-lari anak ke arah Rashid dan Nur Ayla bersama-sama Encik Rahmat.

“Awak bagitau mama awak ke?” Soal Nur Ayla.

“Tadi saya dah cakap, semua dah settled.”Ayla terlopong.

“Ya Allah, tengok ni abang muka Ayla… merah macam udang kena bakar. Terok betul perangai si Diana ni. Ish… kita buat police report aje lah macam ni.” Puan Ruhil sudah membebel marah.

“Eh tak payahlah makcik, okay dah.” Ujar Nur Ayla, sungguh dia memang marah dan bengang tapi malas nak panjang cerita.

“Baik sangat kamu ni Ayla. Memang betul apa makcik cakap, kita buat laporan polis. Bukan apa, kalau-kalau dia berani datang depan Ayla lagi nanti macam mana?” Encik Rahmat seakan menyokong apa yang dikatakan isterinya.

“Tak payahlah kut…” Ujar Nur Ayla kemudian memandang Rashid memohon lelaki itu menyokong dirinya. Rashid yang sedar terus sahaja bersuara.

“Tak apa mama papa, Rashid dah call mama Long. Siap gambar Ayla tadi, Rashid dah hantar. insyaAllah Diana atau mama Long memang tak akan masuk campur dah hal Rashid dengan Ayla.” Terang Rashid panjang lebar.

“Wah, dah jadi hal Rashid dengan Ayla?” Puan Ruhil mencuit Encik Rahmat, mengusik Nur Ayla dan Rashid. Nur Ayla yang perasan cepat-cepat menidakkan.

“Eh makcik pakcik jangan anggap lain, saya dengan Rashid hanya bincangkan apa yang patut aje. Mungkin haritu, kami habiskan dengan situasi yang tak elokkan, jadi harini kami habiskan sebaik-baiknya.” Nur Ayla cuba membetulkan keadaan. Rashid hanya menggaru kepala yang tidak gatal. Puan Ruhil dan Encik Rahmat hanya tersenyum sesama mereka.

“Tak apalah, jom… datang rumah makcik. Husna pun ada tu dengan Ruhaila. Dapat tau aje tadi pasal Ayla, makcik suruh diorang terus ke rumah dulu. Jom? Rashid bawak Ayla balik rumah kita.” Nur Ayla sudah hilang kata.

“Mama Papa balik dulu, kita jumpa dengan rumah. Jangan melencong ke lain pulak.” Pesan Encik Rahmat sebelum berlalu pergi.

“Nampaknya, tak terlepas dah awak ni dari saya.” Ujar Rashid dengan bangga. Nur Ayla menjungkit hujung bibir.

“Perasan sangat. Dah la, cepatlah.”

“Aik dah tak sabar nak jumpa bakal mertua?” Rashid cuba mengusik Nur Ayla.

“Taklah. Cepat selesai harini cepatlah selesai kita.” Balas Nur Ayla bersahaja.

“Tekad ye?” Nur Ayla menjungkit bahu dan terus menapak ea rah kereta Rashid. Rashid hanya ketawa kecil sahaja sebelum menapak laju ea rah Nur Ayla yang sudah berada di keretanya. Dalam hati, Rashid tekad untuk memenangi semula hati Nur Ayla. Walau sekeras mana pun hati Nur Ayla ketika ini, akan dicari apa sahaja cara untuk kembali memenangi gadis itu semula. Kembali bercinta seperti sebelumnya.


No comments:

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders