Monday, October 8, 2012

Surat Cinta : menulis dengan cinta.




Aku menulis dengan penuh kecintaan hanya kepada mu : 
Khalif Haikal J.

Assalamualaikum cinta hatiku.

Semoga kau baik-baik sahaja jauh nun di sana. Sentiasa dibawah kecintaan Yang Maha Esa, sentiasa dalam lindunganNya. Aku kan terus mendoakan kesejahteraanmu di sana.

Cinta hatiku, hari ini hari yang seterusnya kamu dihatiku. Dan aku tahu, sentiasa kau dihatiku, sentiasa. Semakin hari cintaku padamu mekar, bagai mawar yang baru mengembangkan kelopaknya satu demi satu setiap hari. Dan aku akan pastikan, ia takkan layu sebagaimana hayat mawar yang sementara. Cintaku padamu tiada akhirnya. Kerna doaku pada Dia yang mewujudkan rasa cinta ini, kekalkan cintaku kepada mu hingga ke syurga.

Cinta hatiku, jarak memisahkan kita. Negara yang berbeza. Menghirup udara yang berbeza, namun tetap memandang bulan mentari yang sama. Dengan itu, tak pernah antara kita merasa jauh malah terlalu hampir antara kita. 

Cinta hatiku, aku menulis tinta ini kerna tika ini aku terlalu merinduimu. Terasa degup jantungku berirama luar biasa. Detaknya melodi yang tidak biasa ku rasakan. Melihat sahaja gambar wajahmu, menenangkan degupan rinduku. Melihat senyummu, bisa membuatkan bibirku yang sentiasa menyebut namamu turut tersenyum. Betapa kamu aku rindu, betapa kamu aku cinta.

Cinta hatiku, aku senantiasa menghitung waktu. Detik bila bisa kita bertemu empat mata. Detik bila bisa kita berbicara, menyata rindu yang ada, menyata betapa kita saling mencinta. Detik bila bisa kita menghulurkan segala apa yang terpendam di jiwa. Aku yakin, detik itu akan tiba. Mungkin esok, lusa mahu hari seterusnya. Biarlah bertahun ku menanti, aku berjanji akan terus setia menantimu, kerana kamu cinta hatiku.

Cinta hatiku, warkah ini akan aku nokhtahkan ia di sini. Akan ada coretan untuk mu di lain waktu. Nantilah bila aku benar tak mampu menampung rindu yang membebani jiwaku. Waktu itu akan aku kirimkan warkah rindu dan cintaku buatmu. Janjiku untuk setia, janjiku mencinta, janjiku untuk terus menantikanmu. Sayangilah, cintailah aku sebagaimana aku menyayangi dan mencintaimu. Moga kasih kita hingga ke syurga. Mohon jua kasih DIA.

Kerna cinta, kerna rindu, aku dari kejauhan untuk kamu.
Nurwateeqa.

No comments: