Thursday, August 27, 2015

Mini Novel : Pengganti 7


PENGGANTI TUJUH
            Perjalanan pagi itu terasa sungguh sunyi dan panjang. Yang kedengaran hanyalah suara DJ dan lagu dari corong radio. Suha masih melancarkan mogok merajuknya dengan Haikal. Sengaja, mahu tahu setinggi mana sabarnya Haikal kepada dia. Haikal sedari tadi cuba berbual tetapi hanya dilayan dingin oleh Suha. Haikal menyabarkan hatinya yang kian panas. Tercabar juga dilayan dingin sebegitu.

            “Takkan 10 jam nak diam? Mogok ke apa ni?” Haikal mula mengeraskan nada suaranya. Suha yang hampir-hampir terlelap hanya mencebik. Mengantuk melayan rajuknya sendiri.

            “Awak marah apa dengan saya? Pasal cepatkan tarikh?” Haikal menyoal lagi. Suha masih bereaksi yang sama. Haikal mendengus marah.

            “Sepatutnya saya yang marah awak. Saya yang kena merajuk. Sejak dari hari pertunangan kita, awak langsung tak berterima kasih dekat saya.” Haikal suka mula meninggi suara. Bengang.

            “Kenapa perlu berterima kasih?” Suha sengaja menyimbah minyak petrol ke bara api.

            “Kenapa?” Haikal mula tersenyum sinis. Suha benar-benar mencabar dirinya.

            “Saya cepatkan tarikh tu takut awak tiba-tiba termengandung ke apa. Pernah awak terfikir? Saya bertunang, saya berkahwin semua ni saya buat kerana awak. Kenapa awak macam langsung tak hargai saya?” Haikal bengang. Suha menahan diri dari ketawa.

            “Mengandung? Mengarut sangat dah awak ni?” Suha membalas. Haikal masih bengang. Dari malam itu, Suha masih menyimpan hal yang sebenar.

            “Mengarut? Jadi semua saya buat ni mengarut?” Haikal semakin sakit hati. Suaranya semakin meninggi. Waktu ini Suha mengambil langkah untuk mengetahui apa yang ada dalam hati lelaki ini.

            “Awak ni sekadar rasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku? Pertunangan, perkahwinan yang awak cepatkan. Semua atas rasa tanggungjawab atas apa yang Daniel buat? Macam tu? Kalau macam tu, balik ni jumpa ayah dengan ibu, kita putus. Tak ada apa-apa yang perlu untuk awak bertanggungjawab Encik Haikal.” Tegas Suha bersuara. Haikal mengetap giginya. Terlihat rahangnya yang bergerak-gerak.

            “Putus?” Soal Haikal perlahan dalam marah yang ditahan. Marah kerana Suha semakin galak menyucuk hatinya yang sentiasa tertanya-tanya akan hal malam itu.

            “Ye. Buat apa awak kahwin dengan saya kalau awak sekadar nak bertanggungjawab. Saya tahu jaga diri saya, takkan semudah itu saya nak bagi mana-mana lelaki pijak maruah saya.” Suha bersuara lagi. Haikal termangu.

            “Habis malam tu saya tanya kenapa diam? Daniel pulak seolah-olah mengiyakan apa yang kami fikirkan dan awak diam macam setuju.” Haikal membidas.

            “Sebab tu malam tu saya kata tak ada apa-apa. Apa yang berlaku malam tu biarlah rahsia antara saya dan Daniel. Jadi, awak dah tahukan, tiada apa yang berlaku seperti yang awak fikirkan. Jadi kalau awak nak putuskan pertunangan kita pun tak apa. Saya akan bagitau ayah dengan ibu, awak dah jumpa kekasih lama awak.” Senang sahaja Suha mahu mencungkil rahsia Haikal. Suha menahan ketawa lagi.

            “Putus? Cakap sekali lagi.” Haikal semakin bengang.

            “Iye putus. Takkan tak dengar.”

            “Never! Sekali lagi awak cakap pasal putus, saya tinggal awak tepi highway ni.” Marah sungguh Haikal. Suha hanya ketawa sendiri.

            “Putus...putus...putus...” Suha sengaja mengusik tunangnya itu. Muka Haikal sudah merah-merah.

            “Stop it Suha. Jangan jadi budak sangatlah.” Marah Haikal. Suha hanya ketawa.

            “Kenapa nak teruskan?” Suha menyoal lagi.

            “Tukar topik boleh tak?” Haikal tak mahu menjawab soalan itu.

            “Boleh. Tapi kena janji, awak kena jawab?” Suha memancing lagi.

            “Okeh, asal bukan hal pertunangan dan perkahwinan kita.” Haikal menetapkan syarat. Suha mencebik. Dalam hati, Haikal senang. Suha mula menunjukkan reaksi yang baik apabila bersama dia.

            “Ke mana pergi Shaha Rose awak?” Soalan itu membuatkan Haikal tersentak. Dia terdiam beberapa ketika.

            “Saya tak nak kena serang atau dituduh perampas tau. Shaha Rose yang cantik sangat tu, mana dia pergi?” Suha menyoal lagi dan lagi. Haikal tersenyum meleret.

            “Kenapa? Awak cemburu?” Haikal cuba memancing hati gadis itu.

            “Taklah. Untuk apa saya cemburu? Awak hanya tunang tiba-tiba saya. Kalau orang tahu cerita, awak ni orang panggil ‘pak sanggup’ betul tak?” Haikal hanya mencebik mendengar jawapan itu.

            “Shaha ada, tapi kami dah putus 3 bulan lepas.”

            “Tapi haritu awak cakap macam okay je awak dengan dia.” Soal Suha lagi.

            “Saja nak bagi awak cemburukan saya.” Haikal ketawa, senang hati.

            “Saya tak cemburu langsung.” Suha membalas yakin.

            “Iye ke. Takkan tak ada rasa sikit pun?” Haikal sengaja menyoal.

            “Tak ada. Kita baru kenal Encik Haikal. Untuk apa saya nak cemburukan awak kalau awak dengan Siti Nurhaliza sekali pun.” Sangat ‘over’!

            “Awak tak suka saya awalkan tarikh perkahwinan kita? Soalan itu membuatkan Suha terdiam seketika. Tentang itu, Suha memang mahu jelaskan semuanya.

            “Saya tak kata saya tak suka. Tapi kenapa kena awal? Saya tak sedia. Banyak benda saya nak kena sedia. Kahwin ni awak bukan main-main.” Suha memulakan kata.

            “Saya tak nak terlalu lama menanti. Dugaan apa yang akan datang kita tak tahu. Saya takut awak pergi dari saya.” Entah kenapa, kata-kata Haikal membuatkan hati Suha merasa lain. Seolah-olah bagai ada benda yang menghimpit.

            “Kalau awak yakin dengan keputusan awak nak nikahi saya. Tentu awak tak rasa ragu-ragu, takut macam ni. Kalau kejadian malam tu tak berlaku, awak nak jadikan saya isteri awak?” Suha menyoal. Haikal hanya tersenyum.

            “Kan saya menang bet dengan Daniel. Saya dah cakap pun awak milik saya. Saya tetap akan jadikan awak milik saya Suha walaupun malam tu tak berlaku. Cuma masa, mungkin tak secepat ini. Bila saya fikir, Allah seolah-olah mengizinkan saya.” Haikal bersuara penuh yakin.

            “Jadi, kenapa takut?” Suha menyoal lagi.

            “Kenapa awak takut nak kahwin awal? Beza hanya beberapa bulan sahaja.” Haikal membalas.

            “Saya nak balas jasa Ayah dengan ibu. Saya tak pernah bagi apa-apa dengan Ayah dengan ibu. Takkan lepas saya dah habis belajar saya tinggal mereka macam tu je. Awak pun tahu keadaan keluarga saya macam mana kan?” Haikal menggeleng, Suha salah faham.

            “Saya nak jadikan awak milik saya. Penjaga hati saya. Peneman siang malam saya, masa muda dan tua saya. Bukan untuk saya kurung awak. Selepas kita berkahwin, ayah dan ibu menjadi tanggungjawab saya. Untuk awak membalas apa yang telah mereka berikan selama ini saya takkan sekat, malah saya akan sokong semampu saya.” Penerangan yang jelas dan menusuk hati. Suha terdiam, matanya bergenang. Haikal, lelaki ini belum betul-betul dia kenali.

            “Erm. Saya lapar. Tak nak makan ke?” Suha bersuara, tak mahu lagi dibincangkan hal mereka. Hatinya tidak boleh menerima terlalu banyak ‘Bom Cinta Haikal’.

            “Aik, tukar channel Cik Suha?” Haikal mengusik. Suha sekadar mencebik.

            “Nak ikan patin tempoyak ye.” Suha buat-buat tak dengar dan mula membuat pesanan ringkas. Haikal ketawa. Nakal Suha ni!

            “Okay Miss!” Haikal menjawab patuh. Sengaja mahu menghidupkan suasana. Haikal tidak menyangka. Begini mereka akhirnya. Doanya dalam hati, agar diperkuatkan diri dan hatinya untuk terus setia dan berusaha mengejar cinta Suha.

            “Macam mana awak kenal Shaha Rose? Cantik sangat eh, nak tengok boleh?” Haikal mengerutkan kening. Suha menyoal lagi?

            “Dah kenapa Shaha Rose tiba-tiba? Ikan patin awak tu bisik apa kat awak?” Haikal hairan. Suha banyak cakap hari ni.

            “Nak tahu je. Imtiyazz pun pernah cakap dia cantik. Awak pun pernah kata saya bukan taste awak. Kan-kan-kan?” Suha menyoal lagi dan lagi banyak dia menyoal. Haikal mengeluh perlahan, tak terlayan perangai Suha yang ini. Baru dia tahu, Suha ni mulut banyak!

            “Awak jeles kan sayang?” Haikal menyoal dengan riak wajah penuh kenakalan!

            “Ewww...” Suha memeluk tubuhnya, menggosok tangannya. Meremang! Haikal ketawa besar.

            “Cemburukan. Saya ni hot, tampan bergaya. Awak tak jaga elok-elok, makan hati tau.” Haikal sengaja mengusik. Suha membuat muka geli. Sungguh Haikal sedang bangga diri.

            “Sudahlah, menyesal tanya. Perasan lebih pulak dia.” Jawapan yang membuatkan Haikal ketawa dan terus ketawa. Suha hanya mencebik dan menghabiskan makanan yang masih bersisa. Telefon Haikal yang bordering mematikan sisa tawa lelaki itu. Haikal yang tadinya tersenyum kini masam mencuka.

            “Okay mama, after hantar Suha Kal balik terus. Don’t worry.” Haikal mematikan talian. Dari yang didengari Suha tahulah mama yang menelefon. Haikal tak bersuara sepatah pun selepas itu. Suha tak berani nak menyoal, muka Haikal kelihatan tegang. Rahangnya bergerak-gerak. Suha dah pernah lihat riak wajah itu, Suha tahu apa yang perlu dilakukan waktu ini adalah berdiam diri, jangan nakal-nakal!

            Keadaan dalam kereta kembali macam awal-awal. Kalau tadi Suha yang mogok diam, sekarang Haikal pula yang ambil alih. Suha cuma berani curi-curi pandang. Haikal masih beriak bengang dan penuh kemarahan.

            “Daniel dah balik rumah.” Haikal tiba-tiba bersuara. Suha yang terkejut mendengar suara Haikal hanya mampu mengganguk.

            “Tak nak cakap apa-apa?” Haikal menyoal pula. Soalan itu dengarnya penuh sinis. Suha hanya memandang.

            “Baguslah, mama dah lama cari dia kan?” Suha bersuara. Haikal merengus.

            “Awak suka? Saya masih tak dapat nak maafkan dia atas apa yang berlaku.” Suara Haikal lagi. Suha memandang ke arah Haikal.

            “Awak maafkan dia. Saya dah cakap, malam tu hanya salah faham.” Suha jelaskan lagi.

            “Malam tu Daniel buat saya betul-betul marah. Apa yang dia cakap, awak yang diam. Betul-betul buat saya marah.” Haikal bersuara lagi, lebih kendur nadanya dari yang tadi.

            Suha menarik nafas, Haikal masih dipandangnya. Perlahan-lahan, bahu Haikal disentuh perlahan. Tahu tak manis, tetapi Suha hanya mahu menyalurkan aura positif dan kekuatan kepada tunangnya itu.

            “Terima kasih terima saya, walaupun tak tahu apa yang berlaku malam tu. Terima kasih kerana sayang saya Encik Haikal. Saya akan balas apa yang awak dah beri.” Haikal terpempan. Tak menyangka Suha akan berkata demikian. Hati yang panas tiba-tiba sejuk bagai disimbah ais!


No comments: