Thursday, March 15, 2018

Mini Novel 2018: N&N (Part 17)



Part 17

Noh Daniel menyembunyikan senyumannya. Apabila Nadia memandang ke arahnya dia seriuskan kembali wajahnya. Apabila Nadia tidak pandang, senyuman kembali terukir. Hatinya terlalu gembira, gembira dengan berita itu!

“Awak tak perlu risau, awak jangan fikirkan pun. Saya boleh uruskan.” Nadia bersuara setelah lama mendiamkan diri. Nadia takut, takut melihat wajah Noh Daniel begitu. Marah? Tertekan? Nadia tidak dapat mentafsirkan.

“Boleh tak kalau awak yang jangan fikir lebih-lebih?” Nadia terdiam. Serius dan tegas sahaja suara Noh Daniel. Seperti Noh Daniel yang pertama kali dia kenal dahulu. Noh Daniel yang melihat Nadia melangkah lambat-lambat di belakangnya membuatkan dia menarik tangan Nadia dan terus menggenggam erat. Noh Daniel menarik Nadia supaya berjalan seiring dengannya.

“Awak fikir terlalu jauh untuk orang lain sampai awak lupa nak fikir tentang diri awak sendiri.” Tutur Noh Daniel membuatkan Nadia memandang tidak berkelip. Apa yang dimaksudkan Noh Daniel? Kata-kata itu terlalu dalam untuk Nadia fikirkan ketika itu. Genggaman tangan dieratkan. Mereka berdua berjalan seiringan ke kereta. Tiada bicara. Tiada kata. Hanya hati yang menuturkan segala-galanya. Ketika itu ada mata yang memandang, penuh kebencian dan marah. “Jaga kau Nadia!”

Usai solat Jumaat di Masjid berdekatan, Noh Daniel memandu kereta pulang ke rumah. Banyak yang didoakan sepanjang di dalam rumah Allah. Semuanya untuk dia dan Nadia.

“Ya Allah, kiranya keputusan yang aku putus dengan petunjuk Engkau berikan adalah keputusan yang terbaik yang pernah aku lakukan. Terima kasih Allah. Semoga aku mampu menyinarkan bahagia buat Nur Nadia, isteri yang Engkau hadirkan dalam hidupku. Amin Ya Rabbal’alamin.”

Nadia mencari-cari beg pakaian yang diletakkan di penjuru dapur pagi tadi. Jam sudah menginjak ke jam 4 petang tetapi dia belum lagi bersiap. Periuk-periuk diangkat, mencari begnya yang tidaklah besar mana. Sesekali Nadia mengeluh.

“Cari apa?” Noh Daniel yang telah lengkap berbaju melayu ungu menegur, setelah melihat Nadia terbongkok-bongkok di dapur.

“Beg baju saya.” Ujar Nadia.

“Abang dah bawa naik ke bilik.” Nadia memandang dua kali ke arah Noh Daniel. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengar. Silap kut?

“Dah pergi naik cepat. Dah lewat ni.” Tegur Noh Daniel setelah Nadia masih tercegat di situ memandangnya tidak berkelip mata.

“Okay, saya... saya naik dulu.” Nadia sudah gagap-gagap, tertangkap asyik memandang suaminya. Laju sahaja kaki di atur naik ke bilik. Hampir dua bulan tidak ke mari. Sepanjang Noh Daniel tiada, Nadia mengelakkan diri untuk datang ke sini. Kalau datang pun dia tidak masuk ke bilik Noh Daniel lebih selesa bersama Nuha dibiliknya. Masuk sahaja ke bilik, mata Nadia tertancap ke arah jubah Abaya yang tergantung di bidai tingkap. Ungu berbunga merah jambu. Kakinya terus sahaja melangkah mendapatkan jubah itu. Tangannya menyentuh perlahan. “Cantik.” Detik hatinya sehingga sebuah senyuman terukir di bibir.

“Pakailah. Untuk sayang.” Suara yang menjengah di bilik itu mengejutkan Nadia yang berada dalam lamunan. Nadia kalih memandang. Tak salah telinganya mendengar? Sayang?

“Untuk saya?” Tangan Nadia menunjuk ke dirinya. Takut tersalah mendengar.

“Ya. Abang beli untuk sayang. Pakailah. Tudung ada dalam almari. Abang tak pandai gosok tudung tu sebab tu tak gantung sekali.” Ujar Noh Daniel dalam senyuman tak lekang. Nadia dihampirinya. Pandangan Nadia ketika itu telah kabur dek air mata. Betul, telinganya tidak salah mendengar. Tapi kenapa? Hati Nadia masih meragui. Setelah sebulan lebih tidak bertemu dan berhubung, kolam hatinya sudah kering.

“Lah... kenapa diam pulak ni? Sayang?” Noh Daniel menarik tubuh Nur Nadia supaya memandang ke arahnya. Air mata Nadia sudah mengalir laju sebaik sahaja Nadia memejamkan matanya. Tubuhnya terhenjut-henjut dek tangisan yang kian menjadi-jadi. Noh Daniel kaget namun terus sahaja tubuh Nadia ditarik ke dalam pelukan. Rindu. Noh Daniel rindu akan Nur Nadia. Pelukan kian erat dan hangat dengan kerinduan. Nadia menangis lagi.

“Shhhh.... Jangan menangis lagi sayang.” Noh Daniel cuba memujuk.

“Kenapa? Kenapa awak buat saya macam ni?” Soal Nadia dalam sedu sedan. Noh Daniel melonggarkan pelukan. Bahu Nadia dipegang. Wajah Nadia dipandang.

“Abang buat semuanya kerana terlalu sayangkan Nur Nadia. Percayalah, tak ada satu hari pun yang abang tak rindukan sayang. Setiap masa abang ingatkan sayang.” Luah Noh Daniel. Nadia membalas pandangan mata Noh Daniel.

“Terlalu sayang sampai tinggalkan saya tanpa cakap apa-apa? Hilang macam tu aje.”

“Ada sebab. Semuanya bersebab. Abang boleh jelaskan satu persatu tapi bukan sekarang. Malam nanti. Selepas majlis selesai kita selesaikan masalah antara kita. Okay?” Noh Daniel menyeka air mata Nadia dengan jari. Dahi Nur Nadia dikucup penuh kasih sayang. Nadia memejam matanya rapat-rapat. Hangat kucupan itu menyejukkan hatinya.

“Sayang pergi siap. Nanti teman Nuha. Tadi dia cari sayang. Abang pergi tolong apa patut dekat bawah.” Nadia sekadar mengangguk dan sedu yang bersisa. Sebaik sahaja Noh Daniel menghilangkan diri di balik pintu, Nadia terus ke bilik air. Membersihkan diri dan bersiap untuk majlis Nuha Dania.

Nadia membetulkan tudung yang dipakai. Mujur instant shawl, kalau shawl biasa mahu berjam-jam baru dia selesai pakai. Bibir dioles sedikit dengan pemerah bibir. Baru belajar-belajar bersolek ringkas dengan Nuha, kalau tidak memang tak adalah dia mahu memakai itu semua.

“Dah siap sayang?” Soal Noh Daniel sebaik masuk ke bilik. Nadia pusing ke arah Noh Daniel yang melangkah menghampiri. Nadia melebarkan senyuman di bibir.

Okay?” Soal Nadia sambil menunjuk ke arah dirinya. Noh Daniel memandang atas bawah. Senyuman tidak lekang.

Perfect!” Ujar Noh Daniel, pinggang Nadia dipegang. Wajah Nadia dibelek dengan kerutan di dahi.

“Dah pandai bersolek... Impressive.” Nadia ketawa.

“Tak over sangat kan?” Noh Daniel menggeleng dengan senyuman.

“Sayang tolong pakaikan butang ni. Sakit jari abang dari tadi tak boleh-boleh.” Noh Daniel menunjukkan butang baju melayunya yang separuh siap di butangkan. Noh Daniel sengaja, sengaja hendak bermanja-manja. Nadia tidak membantah malah terus sahaja memakaikan butang dengan sempurna.

“Sayang, pasal klinik tadi tu. Sayang rahsia dulu ya dari semua.” Ujar Noh Daniel sewaktu Nadia sedang memakaikan butang baju melayunya.

“Kenapa? Mama berharap sangat tu.” Soal Nadia.

“Biar abang yang bagitahu nanti. Selesai semua abang akan bagitahu ya. Rahsia tau.” Noh Daniel bersungguh-sungguh. Nadia sekadar mengangguk mengiyakan sambil tangannya masih lincah mengemaskan butang baju melayu suaminya. Dalam hati Nadia resah, mungkinkah dia tidak suka? Namun Nadia pendamkan sahaja.

“Okay abang. Sayang ikut aje apa yang abang buat. Tapi satu je sayang minta.” Nadia berjeda dalam malu-malu membahasakan dirinya sayang dan memanggil Noh Daniel abang.

“Sayang harap abang tak pergi macam tu lagi. Jangan hantar pesan melalui orang lain kecuali terpaksa. Sayang sedih, sayang terasa macam orang asing.” Nadia meluahkan sedikit rasa hatinya.

“Abang mintak maaf. Abang tak akan tinggalkan sayang lagi. Abang janji. Kali ni, inshaAllah janji ditepati bukan capati.” Noh Daniel sempat bergurau. Nadia mencubit kedua-dua pipi Noh Daniel, geram. Terjerit Noh Daniel dengan cubitan yang tidak disangka membuatkan Nadia ketawa. Hati-hati mereka berasa lega. Lega akhirnya mereka boleh bertemu empat mata.

Selesai bersiap dan solat Asar, semua ahli keluarga telah bersiap sedia menerima kunjungan bakal ahli keluarga baru. Semua dipastikan telah sempurna sebelum kehadiran tetamu yang dinantikan.

“Amboi Kak Nadia, cantik berserinya. Kalah Nuha macam ni.” Ujar Nuha sebaik sahaja Nadia memasuki ruang biliknya. Nuha telah siap dengan persalinan tunang yang berona pink dan peach.

“Mana ada. Nuha lagi cantik dan berseri-seri. Mesti Zaidi tak tidur malam tengok Nuha kejap lagi. Entah-entah terus nak akad nikah apa.” Nadia mengusik, Nuha mencebik dalam malu-malu. Mereka rancak mengusik dan bergurau sesama mereka sehinggalah Datin Nurlia masuk ke bilik. Matanya memandang kedua-dua puteri yang disayanginya. Mata Datin Nurlia mula bergenang dengan air mata.

“Cantiknya anak-anak mama.” Ujar Datin Nurlia sebelum memeluk Nadia dan Nuha seeratnya. Air matanya mengalir laju.

“Mama jangan buat drama ya. Nanti habis make up Nuha.” Nuha yang sudah mengalir air mata menyeka cepat-cepat dengan jarinya.

“Baru bertunang tapi mama rasa sayu. Cepatnya anak manja mama jadi dewasa. Rasanya baru semalam mama lahirkan kamu sayang.” Datin Nurlia meluah rasa. Nuha mengetap bibir menahan tangis.

“Mama ni.... cairlah maskara Nuha ni.” Nuha sudah lebat dengan air mata. Nadia juga bergenang air mata. Rindu. Rindu kepada ibu tatkala melihat keletah dua beranak ini.

“Alah... drama sikit pun tak boleh. Nuha...”Datin Nurlia berjeda. Nuha Dania yang sedang membetulkan solekannya memandang ke arah mama.

“Jaga diri sebagai tunang orang dengan baik. Jaga tingkah laku. Banyak ujian bertunang ni. Tambah-tambah kamu berdua muda lagi. Masih belajar. Kalau salah faham perkara biasa. Bincang elok-elok. Kalau rasa tiada penyelesaian bagitahu mama papa, inshaAllah semua akan baik-baik aje.” Pesanan dan nasihat penuh kasih sayang dari Datin Nurlia. Nuha Dania mengangguk dengan senyuman yang terukir di bibir. Datin Nurlia menarik Nuha ke dalam pelukannya.

“Dan Nadia... ambil peluang untuk cari bahagia. Mama tahu Nadia kecewa, Nadia terluka tapi andai itu semua jalan untuk kita bahagia, kita kena redha. Allah tak uji kita saja-saja. Nadia tahu kan? Mama sayang anak-anak mama.” Tangan Nadia digenggam erat. Nadia mengangguk dalam senyuman yang diukir seikhlasnya. ‘Ya mama, Nadia takkan lepaskan cinta Nadia lagi.’hatinya tekad.

Majlis berjalan lancar seperti yang dirancang. Nuha dan Zaidi akan diikat dengan pertunangan selama satu tahun atas persetujuan bersama. Zaidi dan Nuha masih berbaki satu tahun pengajian. Hubungan mereka akan dihalalkan sebaik sahaja mereka berdua tamat pengajian. Tiada bantahan. Dua-dua keluarga bersetuju atas permintaan Zaidi dan Nuha sendiri.

Nadia membersihkan pinggan mangkuk yang sudah penuh sampai ke luar sinki dapur. Lengan jubah disinsing bagi memudahkan kerjanya. Noh Daniel juga sibuk di luar dapur membersihkan periuk belangan yang digunakan.

“Dua orang ni macam pengantin baru. Selalunya lepas kenduri pengantin yang kena dera basuh periuk belangan. Tak gitu yang?” Datuk Nour Rahman yang masuk ke dapur bersama-sama Datin Nurlia mengusik. Nadia cuma tersenyum mendengarnya.

“Baru lagi apa Pa. Baru 3 bulan tau. Kenduri pun belum.” Noh Daniel membalas usikan. Datuk Nour Rahman tidak tunggu lama untuk membalas.

“Baru 3 bulan dah tinggal isteri....” Datuk Nour Rahman membidas. Terdiam Noh Daniel menelan pahit tekak sendiri. Nadia menahan ketawa.

“Abang ni...” Datin Nurlia menegur lembut.

“Betul apa. Tak macho langsung kan Nadia.” Datuk Nour Rahman menambah. Nadia mengangguk laju. Mengusik. Noh Daniel mencebik bibir.

“Mana ada Danny tinggal Nadia. Danny pergi uruskan study Danny jelah. Sayang jangan nak geng Papa sangat eh.” Noh Daniel membela diri, sempat memberi amaran kepada Nadia. Nadia menjelir lidah. Sengaja memanaskan hati Noh Daniel.

“Iyelah tu. Dah buat tak nak mengaku.” Datuk Nour Rahman sengaja mengusik. Noh Daniel membungkam. Matanya tajam memandang Nadia yang hanya ketawa dengan usikan Papa.

“Dahlah bang oi... Tadi kata nak mandi. Lia dah siapkan semua dalam bilik. Nadia, Danny. Cepat sikit. Tak siap sambung kejap-kejap lagi. Dah nak maghrib ni, kita nak jemaah ramai-ramai. Layan papa kamu buat sakit hati je.” Datin Nurlia mula bersuara. Nadia cepat-cepat menyiapkan basuhannya. Pinggan yang telah disiap dibasuh diletakkan di dalam besen besar. Selepas solat baru akan diterapkan. Noh Daniel yang sudah selesai membasuh periuk di luar mengelap tangan dengan tuala kecil yang diberikan Nadia.

“Suka ya gelakkan abang.” Hidung Nadia dipicit perlahan. Nadia menepis lembut.

“Gelak aje, bukan apa-apa pun.” Nadia membela diri.

“Sukalah tu Papa bela dia.” Noh Daniel masih tidak puas hati.

“Mestilah suka Papa sayang saya.” Ujar Nadia mengiyakan.

“Abang bukan tinggal dengan maksud tak sayang tau. Abang pergi betulkan paras cinta abang dalam hati. Haritu meter rosak, jammed. Sebab tu sampai ke U.K abang pergi cari mekanik yang boleh repair tapi alih-alih mekanik depan abang ni juga yang hebat. Tengok aje terus meter okay. Makin laju pula naik paras cinta ni.” Pinggang Nadia dirangkul. Nadia sudah tersenyum dengan wajah yang memerah. Hatinya yang retak seribu terasa bagai telah ditampal. Makin bercantum satu persatu. Hampir sempurna.

“Ehem! Nak jama’ isyak terus ke berdua ni?” Datin Nurlia sudah bercekak pinggang di belakang. Laju Noh Daniel menarik tangan Nadia berlari naik ke atas. Datin Nurlia menggeleng laju, namun wajahnya terukir senyuman bahagia. Bahagia melihat anak-anaknya bahagia dengan cinta mereka.

to be continue....
much love readers.
do leave some comments.
sapa baca tak komen, malam ni dia mimpi 

abc mai jadi hantu!!! hahaha

7 comments:

Yasmin Syamimi said...

Happy....haha
Tp tak settle lg ke kes diorg ni...

Nur Adibah said...

kenapa best sangat nii.. buat kita senyum sorang2.. ><

Anonymous said...

Best..

Khairun Najwa said...

Best haha.

Anonymous said...

Yeay sambung lg dan lg dan lg....

nae said...

suka sangattt!comei dorg ni

akubersamaCahya said...

SEBAB TU ABC TAKLEH TULIS THE END SAMPAI LAAAA... I LOVE BOTH OF THEM!!!