Tuesday, March 20, 2018

Mini Novel 2018 : N&N - AKHIR


PART AKHIR KISAH NOH DANIEL DAN NUR NADIA.
TINGGALKAN NOTA ANDA BUAT NOH DANIEL DAN NUR NADIA DI KOTAK KOMEN DI BAWAH.

TERIMA KASIH DAN ENJOY READING!



Part 20

Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 10 jam akhirnya tiba di destinasi. Nadia membetulkan duduknya. Sedikit resah sebaik sahaja tiba di Tol Utara, Alor Setar. Nafas ditarik dalam-dalam. Tiga tahun setengah tidak pulang ke sini, beberapa perubahan kelihatan dari pandangan Nadia.

10 minit dari Tol Utara ke rumah Pak cik Salleh. Rumah kelihatan sunyi sepi seperti tiada sesiapa. Rumah juga kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan. Salam diberikan beberapa kali namun tiada jawapan.

“Macam dah tak tinggal sini je.” Suara Noh Daniel.

“Itulah. Nadia pun dah lama tak balik, lama tak call pak cik mak cik...” Nadia membalas dengan keluhan. Walaupun hatinya berdebar seribu rasa, namun jauh dalam hati dia mahu bertemu empat mata dengan mereka.

“Assalamualaikum.” Satu suara menyapa mereka. Noh Daniel dan Nadia kalih memandang sambil menjawab salam.

“Mak Yah!” Nadia meluru memeluk perempuan yang agak berusia itu.

“Ya Allah Nadia, aku ingat aku dah tak boleh jumpa hang lagi dah. Hang pi mana nak oi?” Mak Yah sudah meramu air mata. Nadia dipeluk erat.

“Nadia sambung belajar la Mak Yah, bukan pi mana-mana pun.” Nadia menjawab dengan senyuman.

“Ni sapa?” Mak Yah menyoal, menunjuk kepada Noh Daniel.

“Suami Nadia. Noh Daniel.” Noh Daniel menunduk sedikit tanda hormat.

“Allahuakbar! Bila kahwin? Patutlah meroyan Tuan Hassan tu...” Mak Yah ketawa kemudiannya. Nadia tersenyum.

“Dekat 5 bulan dah. Alhamdulillah.”

“Hang cari Salleh dengan Leha ka?” Ujar Mak Yah lagi.

“Aah Mak Yah. Mana pak cik dengan mak cik? Macam tak ada dekat rumah je...”

“Hang tak tau ka Nadia? pak cik hang dah tak dak, bulan lepas. Leha dekat penjara. Leha tikam Salleh.” Nadia menekup mulutnya. Kaki terasa lembik mendengar perkhabaran itu. Mujur sahaja Noh Salleh setia di sisi, menahan Nadia yang hampir terjatuh.

“Tikam? Kenapa Mak Yah?” Noh Daniel menyoal.

“Pasai juai Irma dekat Tuan Hassan. Lepas tu nak juai Leha dekat Ah Long pulak. Leha marah sangat. Salleh balik mabuk-mabuk malam tu, terus cakap yang satgi ada orang nak ambik Leha sebab dia dah juai. Apa lagi Leha yang dok marah lagi pasai Irma terus ambik gunting tikam Salleh.” Mak Yah menceritakan hal yang berlaku.

“Astagfirullahal’azim.”

“Irma macam mana? Saya nak jumpa dia.” Nadia kemudian menyoal. Mak Yah berwajah kelat.

“Tak payahlah jumpa dia. Hang pun tau kan macam mana keadaan bila dah jadi isteri Tuan Hassan?” Mak Yah melarang.

“Tapi kami datang nak bawa Irma keluar dari sini.” Noh Daniel menambah.

“Jangan buat kerja gila. Irma dah sah jadi bini dia. Hampa dah elok berdua, tak payahlah cari bala.” Mak Yah melarang. Nadia yang memahami sekadar diam. Noh Daniel berkerut dahi, tidak faham.

“Kalau didera boleh buat laporan polis. Kita guna undang-undang negara.” Noh Daniel masih mencuba. Niat dia cuma mahu membantu Irma, sebagaimana kehendak Nadia.

“Memang ada undang-undang tapi bagi Mak Yah biarlah. Habuan dia. Satu kampung tau dah perangai depa satu keluarga ni. Hampa anggap ja lah ini hukuman Allah buat depa satu keluarga atas apa yang depa buat selama ni.” Mak Yah menasihatkan.

“Irma dok rumah mana Mak Yah?” Nadia menyoal, tetap mahu bertemu Irma Hanani.

“Rumah Iklima. Hang ingat dak?” Nadia mengangguk. Mak cik Iklima, bekas isteri Tuan Hassan yang berjaya keluar dari genggaman Tuan Hassan. Sebelum Nadia keluar dari kampung, rumah itu masih kosong. Kiranya jika dia tidak lari dahulu, mungkin rumah itu menjadi penjara buat dirinya. Nadia mengucap syukur di dalam hati.

“Siapa Iklima? Kenapa Mak Yah cakap macam tu?” Noh Daniel menyoal dalam perjalanan mereka ke rumah yang didiami Irma Hanani.

“Iklima bekas isteri nombor satu Tuan Hassan. Iklima ni isteri yang paling disayangi tapi akhirnya paling dibenci sebab lari tinggalkan dia.” Ujar Nadia.

“Kenapa dia lari?”

“Sebab Tuan Hassan macam gila perempuan dan gila talak. Ramai yang dia paksa kahwin dan cerai macam tu je. Tak tahan dengan perangai Tuan Hassan yang makin pelik tu, dia lari dan minta cerai.”

“Kat mana Iklima sekarang?”

“Balik kampung dia, dekat Melaka.”

“Sayang tak jawab soalan abang lagi. Kenapa Mak Yah cakap macam tu tentang keadaan lepas jadi isteri Tuan Hassan?” Noh Daniel menyoal banyak, ingin tahu.

“Mak Yah ni yang suruh Nadia lari selagi boleh dari Tuan Hassan. Mak Yah bagitau yang isteri-isteri Tuan Hassan ni tak pernah bahagia sehari pun walaupun duduk rumah besar. Kena dera dari segi fizikal, mental dan seksual. Nak lari? Jangan harap boleh lepas, mata-mata Tuan Hassan ni ramai, sampai ke Pekan sana. Polis? Bukan tak ada yang buat laporan tapi isteri-isteri Tuan Hassan ni macam setia sangat dengan dia. Ada yang kata diorang kena ugut, kalau buka mulut, family akan terima akibat. Tapi tak tahulah betul ke tak. Tuan Hassan orang berduit, semua boleh settle dengan duit kan.” Nadia bertutur panjang. Noh Daniel mengangguk perlahan.

“Lepas pula Iklima tu?”

“Masa tu Tuan Hassan kurang pengaruh lagi.”

“Jadi macam mana dengan Irma?” Nadia mengjungkit bahu, tidak tahu jawapan untuk soalan itu.

“Kalau dia nak keluar dari sini, kita bawa. Kalau tak kita nak buat macam mana.” Nadia bersuara perlahan. Dari jauh kelihatan rumah banglo setingkat yang tersergam indah namun jelas kesuramannya. Salam diberikan beberapa kali sebelum bunyi kunci pintu dibuka.

“Kau nak apa?” Suara Irma dari balik pintu yang hanya dibuka sedikit.

“Irma, aku datang nak jumpa kau.” Nadia melangkah menghampiri pintu.

“Jangan datang dekat!” Larang Irma Hanani membuatkan langkah Nadia terhenti. Noh Daniel hanya memerhati dari kereta.

“Aku nak jumpa kau kejap aje Irma.”

“Kau pergi jelah Nadia. Aku tak nak jumpa kau. Kau pergi balik.” Irma membentak. Ada serak dalam suaranya.

“Aku akan balik tapi lepas jumpa kau.” Nadia tetap memaksa.

“Kau akan buat aku terseksa kalau Tuan Hassan nampak kau dekat sini.”

“Jom ikut aku, kita keluar dari kampung ni.” Irma diam setelah mendengar kata-kata Nadia. Pintu di buka penuh. Irma melangkah keluar, perlahan-lahan. Nadia menekup mulutnya, air mata berjujuran mengalir melihat keadaan Irma yang lebam penuh di mukanya.

“Kenapa sampai macam ni?” Nadia mengongoi.

“Kau pun tahu Tuan Hassan kan? Tak bagi apa dia nak, inilah hasilnya.” Irma mengukir senyuman nipis namun sinis.

“Aku minta maaf.” Nadia sedikit merintih. Terasa seakan dia yang menjadi penyebab semua ini.

“Bukan salah kau. Ni balasan untuk aku atas apa yang aku buat dekat kau selama ni. Tapi sekarang kau bahagiakan?” Irma memandang ke arah Noh Daniel. Nadia mengangguk.

“Aku bahagia. Sangat bahagia.” Ujar Nadia. Irma tersenyum.

“Alhamdulillah. Dalam jahat yang aku buat, Allah bagi yang terbaik dekat kau. Aku minta maaf.” Irma mengesat hujung matanya. Nadia menggenggam erat tangan Irma.

“Aku maafkan semuanya. Aku tak simpan sikit pun. Semua tu perkara yang bawa aku kepada siapa aku hari ni. Terima kasih Irma, kau selalu ada untuk aku selama aku duduk dengan family kau.”

“Aku tak pernah ikhlas pun dengan kau Nadia. Apa yang aku buat tu semuanya untuk kebaikan aku sendiri. Sikit pun aku tak fikir nak tolong kau. Aku benci kau sebab kau masuk dalam keluarga aku dan ambil perhatian mak dengan ayah, walaupun perhatian itu lebih kepada kejahatan aku tetap cemburu. Aku bertambah benci dekat kau bila kau yang dapat sambung belajar bukan aku. Sebab tu aku perangkap engkau dengan Noh Daniel. Lelaki yang paling bencikan kau sama macam aku.” Irma meluahkan satu persatu kejahatan yang disembunyikan.

“Dia tak pernah benci aku Irma.”

“Aku tahu. Kalau tak masakan korang boleh kahwin dan bahagia macam ni. Allah sayang kau Nadia.”

“Allah sayang kita semua Irma. Allah tak pilih kasih.” Irma mengangguk laju.

“Sebab tu Allah basuh dosa aku dengan ujian ni. Aku terima.”

“Aku dengan Noh nak bawa kau keluar dari sini. Kau ikut aku ya?” Nadia cuba memujuk namun Irma menggeleng laju.

“Aku rela macam ni. Aku mungkin akan kembali kepada aku yang lama kalau aku tak lalui sakit ni. Aku rela. Kau pergilah. Tuan Hassan tak suka sesiapa datang sini.” Irma bingkas bangun dan mahu masuk ke rumah.

“Takziah atas pemergian Pak Cik dan atas apa yang berlaku kepada Mak Cik.” Ujar Nadia sebelum Irma menutup pintu.

“Balasan Nadia. Balasan untuk kami semua. Aku terima. Terima kasih Nadia maafkan kami sekeluarga.” Pintu ditutup rapat. Nadia menghela nafas lemah. Langkah diatur perlahan ke arah Noh Daniel.

“Dia tak nak ikut?” Soal Noh Daniel sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

“Tak, dia dah terima semua ni sebagai kafarah dosa dia.” Tutur Nadia perlahan.

“Kita dah cuba kalau dia yang tak nak, kita tak boleh buat apa. Kita doakan sahaja semua akan baik-baik sahaja.” Ujar Noh Daniel, cuba menenangkan Nur Nadia.

“Kasihan Irma. Seksanya dia. Bibir pecah, mata lebam. Rasa nak aje report polis.”

“Macam sayang kata, isteri-isteri Tuan Hassan yang tak nak buka mulut. Irma pula memang tak nak keluar dari sini. Kalau nak, dia dah ikut kita sekarang.”

“Itulah. Sayang pun tak tahu nak cakap apa. Rasa bersalah pun ada.”

“Bukan salah sayang. Kita yang mencorak hidup kita sendiri. Baik kita corakkan baiklah hasilnya. Allah Maha Adil, tak pernah nak pilih sesiapa. Sudahlah sayang, jangan salahkan diri sendiri.”

“Macam mana sekarang?” Nadia menyoal Noh Daniel, kepala berserabut.

“Macam mana? Lupakan semuanya. Irma dah pilih jalan hidup dia. Sayang pun dah pilih jalan hidup sayang. Pandang ke depan. Cari bahagia yang sayang nak dari dulu. Abang akan sentiasa ada di sisi sayang untuk sokong semua yang sayang buat selagi dalam redha Allah.” Ujar Noh Daniel. Nadia kemudian memeluk lengan Noh Daniel dan merebahkan kepalanya.

“Terima kasih abang untuk segala-galanya.”

“Terima kasih juga sayang untuk segala-galanya.”

Kereta yang dinaiki kian jauh dari kampung yang pernah di diami Nadia suatu ketika dahulu. Mungkin, mungkin ini adalah kali yang terakhir dia kembali ke sini. Nur Nadia mahu mencari kedamaian hati dan kebahagiaan buat dirinya. Jika semalam dia setia mengalirkan air mata kerana sakit yang dirasa, hari ini dan esoknya dia cuma berharap air mata yang mengalir adalah air mata yang terlalu gembira dan bahagia. Moga indah hari ini akan kekal untuk selama-lamanya. Moga bahagia milik mereka berdua, Noh Daniel dan Nur Nadia.

Tamat.



13 comments:

Yasmin Syamimi said...

Yeah!!!

Farah Hasan said...

Thanks akak❤ much loves for this mini novel

Khairun Najwa said...

I like.Tapi mcm pendek.Nak lagi nak lagi.Hehe

nae said...

byk suka duka N&N ni tp berbaloi jugak akhirnya.
thanks utk cerita ni.xsabar tunggu idea baru yg lain :)

akubersamaCahya said...

ALhamdulillah. tQ so much sebab baca dan komen. pendek sebab mini novel (rsanya dah panjang sangat hehe) korang boleh ke page abc di FB untuk undi cerita yang seterusnya ikut pilihan korang. isnin abc akan post cerita baru!

Anonymous said...

Alahai xde FB. He3

Kak Id said...

Congrats untuk N & N ni... Org kalau dah berbakat buat cerita apa pun best...

akubersamaCahya said...

anon : its okay. isnin nanti boleh datang baca cerita baru ya.

kak id: thank you!!!! amin ya rabbal'alamin. moga terus Allah beri ilham dan bakat hehehe

aTie said...

Tak pernah mengecewakan.. Best sangat2..

akubersamacahya said...

thank u

noor huda hasanah said...

Best sgt novel ni.tahniah sis..dlm 2 jam saja hadap novel..dah lama x baca novel sbb bz..mlm ni terbaca..mmg x leh stop...keep it up sis..

akubersamaCahya said...

tq!!! doakan saya ya :)

Hafizza said...

Best..sy marathon baca novel ni dari awal sampai tamat. Tak sabar nak baca novel lain lagi😊😊