Wednesday, February 10, 2021

MIni Novel 2020: Muzikal Cinta 10

 

Bab 10

Andai diteruskan lagi kehidupan ini, apakah mungkin bahagia itu akan jadi milikku? Andai aku tamatkan hidup aku hari ini, apakah Allah akan tetap sayang aku seperti selalunya? Izinkah Allah atas apa yang akan aku lakukan ini?

Kereta dihentikan di pinggir jalan. Nur Ayla menyembam muka ke atas stereng kereta. Dihamburkan tangisannya. Bersungguh-sungguh dia menangis. Membuang segala yang ada di dalam hatinya.

“Kenapa aku diuji begini sekali ya Allah…. kenapa?” Nur Ayla merintih. Tubuh disandar perlahan. Air mata yang lencun di wajah dilap dengan tangannya. Bibir yang bergetar mula digerakkan dengan istighfar, berulang-ulang.

“Laillahailla Anta Subhanaka-inni Kuntum Minnazzalimi…” Sungguh Ya Allah, sesungguhnya aku menzalimi diriku sendiri. Berulang kali Nur Ayla membisikkan zikir azimat itu bagi menenangkan golakan jiwanya. Tangisannya beransur reda. Fikirannya kembali tenang. Segala kekusutan yang dirasainya sebentar seakan telah terbang pergi. Nur Ayla memandang terus ke depan. Kereta yang lalu lalang menyedarkan kembali dia kepada dunia sebenar.

Nur Ayla mengucap panjang.

Hampir sahaja dia membuat sesuatu yang bodoh, sesuatu yang bakal disesali seumur hidupnya atau sesuatu yang menghumban diri sendiri ke tempat paling ditakuti semua manusia. Allahuakbar!

Nur Ayla mengambil telefon bimbit di ribanya. Nombor Rashid dicari.

“Jadi, ini akhirnya kita?” Nur Ayla menekan butang hantar. Nur Ayla membetulkan kedudukannya, ingin memulakan semula pemanduannya. Pulang, bukan ke rumah mak atau ayah tetapi ke rumahnya di Ipoh. Biarlah mak dan ayah dengan apa sahaja yang mereka hendak percaya, Nur Ayla mahu mencari tenang, mahu mencari arah ke mana harus dia bawa dirinya selepas ini. Telefon berbunyi.

“Akhirnya kita adalah berdua. Tunggu, saya akan kembali.” Nur Ayla menghela nafas perlahan. Haruskah dia yakinkan dirinya untuk Rashid atau yakinkan diri untuk hanya sendiri sehinggalah sampai suatu waktu yang mungkin diizinkan dia berkongsi rasa dengan seseorang?

Nur Ayla tidak membalas. Pemanduan diteruskan. Nur Ayla menetapkan hatinya. Dia harus sendiri untuk masa ini. Yang datang adalah seperti hujan yang menyejukkan atau matahari yang memberi panas. Apa sahaja yang datang kerana izin Yang Maha Esa, terima dan teruskan. Allah sentiasa ada untuk hamba-hambaNya.

 

10 bulan kemudian …

Husna menyusun kerusi dan meja mengikut perancangan mereka. Esok adalah hari pembukaan Cafe’ Bakery milik Nur Ayla. Kafe kedua miliknya. Jauh sedikit dari kafe pertama yang akan diuruskan oleh Husna, memandangkan rumah Husna dekat dengan kafe tersebut. Cafe’ Bakery kedua ini akan diuruskan oleh Nur Ayla sendiri. Lokasi yang agak jauh tetapi kawasan yang lebih terbuka dengan pelanggan yang lebih ramai, mungkin. Nur Ayla telah membeli rumah kedai ini, jauh ke Seri Iskandar. Membawa haluan baru dalam kerjayanya.

“Husna, mana pembantu kedai yang Husna bagitau akak tu. Dah jam berapa ni tak sampai lagi?” Soal Ayla sambil mengelap meja kaunter. Husna meninjau ke luar kedai.

“Dia ada mesej tadi, lewat sikit, kelas yang mulanya batal tapi tiba-tiba jadi pulak. Dalam pukul 11 kejap lagi dia datang.”

“Student UiTM ke?” Soal Nur Ayla.

“Haah kak, student UiTM. Nanti akak kena tengok jadual kelas dia, senang akak nak manage waktu kerja dia.” Ujar Husna yang lebih pakar dalam merekrut pekerja baharu untuk Ayla. Nur Ayla sekadar mengangguk kepala sambil meneruskan kerja-kerjanya.

Selepas beberapa ketika Nur Ayla dan Husna sibuk mengemas kafe yang bakal diperkenalkan kepada umum esok, seseorang menjengah masuk ke dalam kafe.

“Assalamualaikum. Saya Ruhaila, yang minta kerja sini.” terus sahaja salam diberikan sebaik melihat Ayla dan Husna memandang ke arahnya.

“Waalaikumussalam. Haa, sampai pun. Marilah, duduk sini dulu, kita berkenalan.” Ujar Ayla, Husna mengangguk kepala sedikit dan turut mengambil tempat. Ruhaila melangkah menghampiri.

“Maaflah kak, saya ada kelas pulak tadi. Semalam lecturer kata kelas batal sebab tu saya kata pukul 8 saya datang.”

“Tak apa, ada bawak tak jadual kelas?” Husna membalas. Ruhaila membuka beg galasnya dan mengambil jadual kelas yang siap dibuat salinan. Nur Ayla yang selesai menghidang air dan beberapa biji ‘curry puff’ menyambut huluran kertas tersebut.

“Jemput makan Ruhaila, cuba rasa the best ‘curry puff’ di Ipoh.” Husna juga tak tunggu lama, terus sebiji ‘curry puff’ dijamah. Ruhaila yang melihat Husna begitu asyik menikmati ‘curry puff’ terus mengambil dan turut cuba menikmati kelazatan yang dimaksudkan.

“Wow… pastrinya… lembut, rapuh… inti dia.. wow…” Ruhaila terus memberi komen tanpa diminta. Nur Ayla sekadar mencebik dan tersenyum.

“Nak extra kredit ke ni? Tinggi memuji…” Ruhaila menggeleng laju.

“No… before this, abang saya kata cheesetart kak Ayla yang the best in the world sampai sebiji pun tak merasa saya. Ni, kalau dia rasa, ya Allah mesti borong setiap hari. No wonder….”

“Abang? Siapa?” Nur Ayla berkerut kening. Ruhaila terus diam, kunyahannya perlahan, semakin perlahan.

“Oh, abang saya, saya ada abang. Bila saya bagitau saya apply kerja kafe akak, dia kata dia pernah makan cheesetart akak.” Ruhaila membalas laju, selaju otaknya memproses jawapan selamat. Mujur!

“Oooo yeke. Tak adalah sampai in the world. Tapi kalau ya, Alhamdulillah. Moga moga kafe kita, dua-dua branch maju jaya. Aamin.” Nur Ayla membalas tanpa sebarang syak wasangka lain. Hanya ingin tahu.

“Ruhaila tak banyak kelas ya?”

“Panggil saya Ila je kak. Saya dah semester akhir. Sibuk tesis aje.”

“Jadi, Ila nak kerja pukul berapa sampai pukul berapa?” Nur Ayla mahu memudahkan memandangkan Ruhaila masih belajar.

“Hari saya kelas saya datang pukul 1 sampai kedai tutup. Hari tak ada kelas saya datang pagi sampai kedai tutup. Boleh?”

“Akak okay aje. Kedai akak tutup jam 9 malam tau. Boleh ke ulang-alik malam?” Ujar Nur Ayla.

“Okay je kak, saya ada skuter.” Balas Ruhaila sambil menunjuk ke luar kedai.

“Okaylah macam tu. Lagi satu, gaji nak bulanan atau harian?”

“Bulanan kak, nanti kak bagi hari-hari takdan simpan, hari-hari habis.” Ruhaila ketawa kecil, Husna dan Ayla turut ketawa.

“Kak Husna tak kerja sini?” Ujar Ruhaila sewaktu membantu menyiapkan persiapan akhir sebelum pembukaan esok.

“Tak, akak kena jaga kafe dekat Meru. Ila nanti tengok-tengokkan kak Ayla untuk akak ye, apa-apa sahaja yang nampak tak kena, terus Ila mesej akak tau.” Ujar Husna agak berbisik, matanya memandang ke arah Ayla yang sudah sibuk di belakang kafe menyiapkan bahan-bahan untuk kek, tart dan lain-lain yang akan diperkenalkan esok.

“Kenapa kak? Kak Ayla ada masalah ke?” Ujar Ruhaila, ada kerutan di dahi.

“Taklah, kak Ayla tak ada kawan, ada akak aje. Incase Ila nampak dia tak macam dia, bagitau akak.”

“Tak macam dia?”

“Lama-lama kenal kak Ayla, Ila akan kenal kak Ayla ni orangnya suka senyum, tegas tapi baik sangat. Positif. Tapi once dia down, dia akan jadi seseorang yang lain.” Ruhaila mengangguk tanda faham.

“Tapi saya tengok macam suram aje kak. Ceria dibuat-buat.” Husna menghela nafas perlahan.

“Dia baru nak sembuh. Sini.” Husna menunjuk ke dadanya. Ruhaila memuncung O di bibir.

“Tapi kan Ila ni cakap macam dah lama kenal kak Ayla. Dah memang pernah kenal ke?” Husna menyoal.

“Abang saya selalu sangat cerita pasal kak Ayla, dia…” Ruhaila menelan liur yang terasa sedikit keras. Adui! Mulut kau ni….

“Abang Ila tu siapa eh? Minat dekat kak Ayla ke? Secret admirer?” Husna menyoal lagi. Ruhaila mengangguk laju.

“Yelah tu kut. Kalau di Ipoh kerap dia ke kafe kak Ayla tu. Akak pun mesti perasan, abang saya dah macam regular customer situ.” Ruhaila buat-buat ketawa walaupun dia sendiri dengar semacam dengan ketawa yang dibuat tu.

“Macam-macam kau ni Ila…” Husna menggeleng, senyuman tergaris. Ruhaila menghela lega! Nasib tak kantoi, mulutnya ditampar perlahan memberi amaran kepada diri sendiri.

“Esok awal ye Ila, dalam pukul 9 kita nak bukak kafe ni. Ajak kawan-kawan, 20 pelanggan pertama dapat free satu slice kek istimewa Ayla’s cafe.” Ruhaila mengangguk faham dengan senyuman.

Monday, November 30, 2020

Mini Novel 2020: Muzikal Cinta 9

 



Bab 9

Nur Ayla menggerakkan perlahan-lahan buaian yang diduduknya. Hatinya tidak enak, tak sedap rasa. Berdebar. Semacam sahaja rasa ini. Semacam ada yang tidak kena. Sejak dia memaklumkan emak dan ayah tentang kedatangan Rashid petang ini untuk merisik dan bertunang, hatinya tak senang. Apatah lagi dengan kata-kata emak yang langsung tidak menyokong malah melemahkan semangat Nur Ayla.

“Orang tu tau dak pasai loqlaq hang tu?”

“Loqlaq hang tu dah macam sial hang jugak tau, habaq habih-habih sat lagi sekerat jalan macam si Malik haritu, buat malu aku ja.”

Kata-kata emak berpusing dalam kepalanya sentiasa. Loqlaq tu cuai, gopoh gapah, entahlah, entah kenapa orang yang terdekat dan yang paling disayanginya menganggap itu semua sebagai ‘sialan’ dirinya. Nur Ayla mengeluh lagi. Kekecohan di depan rumahnya membuatkan Ayla bangkit dari buaian dan mula mencari gerangan siapa yang bertempik-tempik di depan rumahnya.

“Mana Ayla makcik mana dia?

“Hang buat apa ni Malik?” Suara Ayah yang baru muncul dari tangga rumah. Emak sudah pun berada di hadapan Malik.

“Saya nak jumpa si Ayla dengan bakal tunang dia tu. Haa kata nak mai harini mana laki tu, aku nak habaq apa perempuan yang nama Ayla tu buat dekat aku.” Tempik Malik. Ayla yang memerhati dari belakang rumah tidak tunggu lama. Terus sahaja menghampiri Malik yang sudah macam orang gila!

“Aku kat sini. Awatnya?” Ayla mencekak pinggang. Ayah laju menuruni tangga dan menghampiri Ayla, risau Malik mengapa-apakan anak gadisnya.

“Haa ni Ayla awatnya?” Emak bersuara. Muka mak merah menahan marah. Mak memang tak suka kekecohan. Malu dengan orang kampung!

“Haaaa hang nak bertunang dengan orang Ipoh noh. Haha, awat orang sini tak mau kat hang dah ka?” Malik ketawa dan bercakap soalan entah apa-apa, sungguh macam orang tak waras.

“Lah, biaq pi la dekat aku nak bertunang ka kahwin ka dengan sesiapa pun. Asalkan bukan hang!” Ayla membalas, tegas dan tajam. Malik bengang. Tangannya sudah dihayun untuk menampar Ayla, namun ada tangan lain yang lebih kuat menahan.

“Eh, ada apa ni sedara. Perempuan kut tak kan nak pukul?” Entah bila, Rashid sudah terpacak di situ. Digenggam kuat tangan Malik. Akibat terasa sakit dengan genggaman Rashid, Malik menarik tangannya.

“Oooo hang la laki-laki hat nak mai bertunang dengan Ayla?” Malik menyoal, nadanya sinis, ada senyuman dihujung bibir. Senyuman penuh makna.

“Ya saya, Rashid.” Rashid menghulur tangan tanda berbahasa untuk berkenalan. Malik berdecit hanya menjeling huluran tangan itu.

“Hang ni dah pikiaq habih ka? Dah kenai habih si Ayla ni?” Ayla lantas mencelah, panas mendengar kata-kata Malik.

“Hang pi balik Malik, hal aku takdak kena mengena langsung dengan hang.”

“Awat takdak kena mengena, aku ni bekaih tunang hang. Aku nak dia ni tau sapa hang dan pasaipa kita putus.” Malik memandang Ayla tajam. Ayla mengerut dahi, tidak mengerti langsung apa yang Malik cuba sampaikan.

“Baru sekarang hang berani nak habaq kat orang pasaipa kita putus?” Tempelak Ayla, Malik hanya senyum penuh sinis.

“Aku nak bagitau dekat mak pak hang, dekat orang yang tak kenai hang ni, siapa Nur Ayla yang sebenaqnya.”

“Bagitau siapa aku atau siapa hang?” Ayla membalas. Rashid hanya diam tidak mencelah. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Hang ni Malik, pi balik, jangan dok buat kacau sini.” Ayah mencelah, tidak sedap hati.

“Sat saja. Kalau hampa semua nak tau, Ayla ni bukanlah perempuan baik. Tengok dia ni luaq memang elok tapi dah barai.” Ayla terbeliak mata memandang Malik, tidak sangka lelaki itu begitu jahat mulut!

“Pasaipa saya accident sebelum putus tunang dengan dia? Sebab dia kantoi dah main dengan laki lain, lepas kantoi dia bengang sebab aku kata nak putus tunang, terus dia tarik stereng kereta bagi kami accident, dia kata nak biaq aku mati!” Ayla berang. Laju sahaja dia menolak tubuh Malik sekuatnya. Malik ketawa.

“Hang memang jahat. Sejahat-jahat manusia yang aku kenai! Selama ni aku diam simpan aib hang, la ni hang fitnah aku?” Air mata Ayla sudah meramu keluar. Rashid dipandang mohon ruang untuk menjelas.

“Rashid saya bukan macam yang dia cakap. Dia tipu.” Ujar Ayla dalam tangisan. Rashid hanya diam.

“Takkanlah aku nak tipu, aku takut dia ni yang hang tipu!” Malik ketawa lagi dan terus berlalu pergi. Ayla cuba untuk menjelaskan tetapi terhalang dengan emak yang hendakkan penjelasan dan Ayah yang hanya beristighfar sedari tadi.

“Rashid…”

“Kita balik dulu Rashid, nanti kita bincang. Kalau semua baik-baik sahaja, kita datang, kalau tak…” Suara wanita pertengahan umur yang erat memegang lengan Rashid mematikan kata-kata Nur Ayla.

Nur Ayla memandang, memandang langkah Rashid yang menjauhi. Nur Ayla terasa jauh, begitu jauh dengan Rashid, dari jarak mereka kini dan juga dari hati. Nur Ayla terjelepuk ke tanah, menangisi nasib diri yang tak henti-henti diuji.

Suara emak yang memekik tak langsung kedengaran, telinganya seakan tuli. Air mata berhenti sendiri. Nur Ayla memandang ke depan, tiada lagi bayangan kereta Rashid dan keluarganya. Nur Ayla malu, malu tidak dapat menjelas kedudukannya sebenar-benarnya. Amarahnya memuncak, wajah Malik yang ketawa berulang tayang di depan mata. Nur Ayla terus bangkit dan terus memasuki keretanya. Kereta dipandu, namun tiada hala tuju. Ayah yang memanggil dibiarkan sahaja. Telinganya terasa berdesing kuat. Difikiran hanya ada wajah Malik yang ketawa dan wajah Rashid yang tiada riak. Nur Ayla tidak tahu, tidak tahu apa lagi yang ada untuk dia. Pedal minyak ditekan sekuatnya, mata dipejam rapat, Nur Ayla tekad, hilang dalam hakikat. Mungkin ini yang terbaik.

“ Kalau cinta kenapa pergi?”

“Bukan pergi selamanya…”

“Tapi bukan masa untuk pergi.”

“Terpaksa, kita terikat dengan orang tua.”

“Jadi, biarlah saya yang pergi, untuk selamanya.”

Mini Novel 2020 : Muzikal Cinta 8





 Bab 8

Ayla mengeleng. Sesekali matanya memandang ke arah Rashid yang ralit dengan gitarnya. Ayla sibuk menyiapkan tempahan dan produk untuk jualan. Sejak-sejak Ayla mengubahsuai kedainya menjadi mini kafe, makin kerap pula muka Rashid di situ.

“Kak dengan dia ada apa-apa ke?” Husna yang lalu dengan dulang di tangan menyoal. Mulutnya muncung menunjuk ke arah Rashid.

“Kawan.”

“Kawan untuk kahwin atau kawan tapi mesra?”

“Kawan ja.”

“Betul?”

“Lah... pasaipa dok tanya banyak ni? Cepat, tu ada customer.” Ayla tidak mahu melanjutkan perbualan. Tentu sahaja Husna naik hairan, hari-hari muka Rashid di kafe mereka.

“Ayla...” Rashid memanggil Ayla yang asyik mendeko kek yang ditempah. Ayla yang membongkok, membetulkan badan. Rashid dipandang tanpa ria.

“For you...” Ujar Rashid dengan senyuman. Tali gitar mula dipetik.

Jika 'ku radio dan engkau lagunya
Dan aku putarkan hingga semua terleka
Begitulah kita ditakdirkan untuk bersama

Jika 'ku air wudhuk mu
Menjadi seri mu
Dalam lima waktu

Jika kau kuat percaya
Akulah jodoh mu
Jaga mu selalu

Menarilah sayang di hari bahagia
Di bawah bulan bintang
Kasih kita berdua

Jangan bimbang sayang
Kita harungi bersama berdua selamanya
Sampai ke hari tua
Mencintaimu

 

Alunan lagu Aizat Amdan meniti telinga Ayla. Suara Rashid menenangkan. Ayla terleka seketika mendengar dan melihat Rashid mendengangkan lagu untuknya. Mungkinkah mereka akan sampai ke hari tua, bersama?

“Sedapkan suara dia. Akak dengan dia ada something ni... Husna dah boleh agak.” Husna menolak bahu Ayla perlahan. Ayla menjungkit bahu.

“Jangan jual mahal kak. Bila orang baik datang, beri peluang. Kalau memang bukan jodoh, tak apalah. Yang penting kita cuba, usaha.” Ujar Husna. Entah bagaimana, kata-kata itu membuka mata Ayla yang sengaja ditutup rapat dalam memandang keikhlasan Rashid yang bersungguh mahu mengenalinya.

“Kak takut, andai satu hari akak bagi dia peluang, sampai satu saat hati kak remuk. Akak tak sanggup nak lalui haritu. Kak nak cari bahagia yang selama ni kak tak rasa.” Ujar Ayla jujur. Husna memeluk bahu Ayla, digosok dan ditepuk lembut. Sejak mengenali Ayla, Husna tahu Ayla sangat kesunyian. Ayla menyembunyikan sunyi dengan sentiasa bekerja.

“Bila hari tu datang, kak kena redha. Maksudnya Allah tak izin untuk akak terus dalam suatu hubungan yang bukan milik akak. Kalau hari tu datang, akak ada Husna untuk Husna pinjamkan bahu ni, untuk akak sandar dan menangis. You have me, Kak Ayla.” Ayla memandang Husna. Seorang gadis belasan tahun, tetapi agak matang pemikirannya. Anak tunggal tetapi penuh kasih sayang.

“Terima kasih Husna.” Husna mengangguk kepala dengan senyuman. Sebelum dia menunjukkan ke arah Rashid yang menggamit Ayla. Ayla tidak tunggu lama, langkah terus sahaja diatur ke arah Rashid.

“Dah habis buat mini konsert Encik Rashid?” Soal Ayla, kerusi yang bertentangan ditarik dan terus dia melabuhkan duduk.

“Belum. Ayla...” Rashid bersuara, riaknya serius. Nada suaranya juga serius.

“Ya?” Soal Ayla, keningnya bertaut.

“Sampai ke hari tua dengan saya?” Ujar Rashid, sebentuk cincin diletakkan di atas meja. Ayla terkaku. Keras. Kepalanya juga, beku.

“Today is our last day, hari akhir berkawan. Jadi, kahwin jom?” Rashid bersuara lagi. Ayla masih diam. Cincin di atas meja dipandang tak berkelip. Lama. Kemudian, wajah Rashid yang sedia memandangnya di pandang.

“Saya belum ada jawapan.” Jujur Ayla. Cincin diambil dan dipegang dua jari.

“Saya tunggu.”

“Sampai berapa lama?” Soal Ayla.

“Berapa lama yang awak perlukan?” Rashid kembali memberi soalan. Ayla sekadar menjungkit bahu.

“Tak tahu,sebulan... setahun?” Ujar Ayla. Rashid menghela nafasnya perlahan, dia tunduk. Diam.

“Awak masih tiada rasa untuk saya Ayla?” Soal Rashid, nadanya lemah. Mungkin kecewa dengan Ayla.

“Saya perlukan masa.”

“Takkan sampai setahun, itu macam memang tak boleh terima saya.” Rashid meluah rasa. Ayla diam.

“Apa yang boleh saya buat untuk saya buat awak jatuh cinta dengan saya? Cuba bagitahu saya. Saya akan cuba buat apa yang boleh untuk awak tahu yang saya ikhlas dengan awak. Ayla, please?” Rashid mulai merayu. Hatinya risau, risau Ayla terus menolak dan akhirnya Ayla tidak menerima dia di dalam hatinya.

“Macam ni lah...”

“Saya tak nak dengar kata tak or no or apa yang membuat awak terus menolak tanpa beri saya peluang. Please, beri saya peluang, mencintai awak dan dicintai awak.” Rashid terus merayu akan peluang. Ayla menghela nafasnya, perlahan. Senyuman paling manis diukirkan.

“Macam ni...” Ayla bersuara, cincin yang dimain-main dijari, dipegang dan terus disarungkan di jari manisnya. Muat. Rashid memandang tak lepas.

“Awak bawak parents awak jumpa mak ayah saya di kampung. Kalau semua okay, kita kahwin.” Ujar Ayla senafas sebelum bangkit dan melangkah menjauhi Rashid yang diam dan masih tidak mengerti. Ayla tersenyum malu sendiri.

“Maksudnya okay? Yes? Ayla...” Rashid turut bangkit dari kerusi. Soalan demi soalan, Rashid tidak percaya. Ayla berjaya mengenakannya.

“Awak jangan tanya banyak-banyak satgi saya tukaq jawapan saya haa menyesai.” Balas Ayla yang masih tidak memandang Rashid.

“Okay-okay. Ayla, pandang la sini kejap.”

“Tak mau, saya malu.” Ayla ketawa kecil.

“Sekejap ja, Ayla...” Panggil Rashid. Ayla yang malu-malu, menarik nafas dalam-dalam dan terus memandang Rashid yang menanti.

“I love you...” Ayla ketawa dengan wajah memerah. Cuba, dia cuba membuka hati dan ruang yang ada untuk Rashid, yang bersungguh-sungguh mahukan dia. Cuba, Ayla cuba untuk mencari bahagianya.

“Euww apa ni....” Husna yang baru keluar dari belakang kedai membuat muka geli. Ayla ketawa, jari yang tersarung cincin diangkat tinggi. Husna terlopong.

“OMG!!!! Husna terlepas ke ni... wah....” Husna terlebih teruja, cincin di jari Ayla dibelek dengan penuh kegembiraan.

“Haa tapi, ingat eh encik, ni kakak kesayangan Husna, once you make her cry, ni... penumbuk ni boleh jadi senjata naa...” Husna memberi amaran. Rashid ketawa kecil, kepala dianggukkan sahaja.

“InsyaAllah, doakan kakak awak tak ubah jawapan dia. Risau dibuatnya.” Ayla mencebik bibir dengan jawapan Rashid.

“Boleh, tapi ni dah happy-happy ni tak ada lagu ka?” soal Husna. Rashid terus sahaja mengambil gitarnya. Tali gitar terus dipetik.

Usah bimbang tentang aku
Ku selalu di sisimu
Hapuskan rasa ragumu
Ku cuma ada kamu
Tenang rasa hati
Pabila engkau muncul lagi

Terima kasih cinta
Kau buat ku bahagia
Tanpa jemu dan lelah
Terima kasih cinta
Pintaku satu saja
Jangan pernah berubah

Hanya kamu satu saja
Tiada yang kedua
Di manapun engkau berada
Di sini masih cinta
Tenang rasa hati
Pabila engkau muncul lagi

Terima kasih cinta
Kau buat ku bahagia
Tanpa jemu dan lelah
Terima kasih cinta
Pintaku satu saja
Jangan pernah berubah

“Kenapa saya?” Ujar Ayla sewaktu Rashid menemani dia berjalan pulang. Walaupun sudah dilarang, lelaki itu mana pernah mahu mendengar.

“Sebab Ayla adalah Ayla.”

“Tak faham.”

“Ayla sentiasa menjadi Nur Ayla, tidak pernah sembunyi atau berpura-pura. Saya suka, senang saya nak tahu siapa awak.” Ayla mengangguk dengan jawapan diberikan.

“Kenapa saya?” Rashid menyoal Ayla dengan soalan yang sama. Ayla senyum.

“Sebab awak pilih saya.”

“Itu aje?”

“Kesungguhan dalam memilih saya untuk dicintai dan mencintai.”

“Terima kasih, terima saya.” Ujar Rashid. Mereka berdiri di hadapan rumah Ayla.

“Terima kasih kerana berusaha.” Jawab Ayla. Mereka saling berpandangan seketika sebelum melarikan pandangan masing-masing. Mereka ketawa, membelah sunyi antara mereka.

“Saya masuk dulu.” Ujar Ayla. Rashid mengangguk.

“Malam nanti saya call.”

“Malam ni lagu apa pulak eh?” Soal Ayla dari dalam pagar rumahnya. Setiap hari ada sahaja lagu yang dinyanyikan, sudah macam lagu untuk tidurkan Ayla.

“Nanti kan... lagu cinta dan gembira yang pastinya.” Balas Rashid sebelum melambai tangan dan melangkah pergi. Ayla tersenyum, senyum bahagia.

“Udah le tu, masuk rumah solat Asar pulak.” Husna menjelir lidah dari rumahnya. Ayla membalas. Cincin di jari diusap lembut, dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh membuat keputusan drastik begitu. Mungkin, dia juga mahukan apa yang dimahukan Rashid. Mungkin, mereka berkongsi rasa yang sama. Mungkin, mereka saling mencinta. Ayla tersenyum bahagia, moga bahagia ini selamanya. Selama-lamanya. 

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders